Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 5 Julai 2021

Tok Kenali dan perkembangan pengajian pondok

Posted by epondok di Julai 5, 2021

Tok Kenali ialah seorang pejuang, pengasuh dan pendidik sehingga melahirkan ramai agamawan negara.

Tok Kenali atau nama sebenarnya, Muhammad Yusof (nama timang-timangan beliau ialah Awang) dilahirkan di Kenali, Kelantan pada 1868 Masihi. Beliau mempunyai pertalian yang rapat dengan pertumbuhan sistem pengajian pondok yang terdapat di negara ini amnya, dan di Kelantan, khususnya.

Pesanan beliau yang cukup terkenal di kalangan anak-anak murid yang datang ‘mengaji’ dari setiap pelosok negara termasuk dari Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang, Selangor, Johor dan Selatan Siam: “Belajar rajin-rajin” dan “Balik buka pondok!”

Beliau dianggap wali kerana dianugerahkan oleh Allah dengan pelbagai karamah termasuk dakwaan yang cukup popular iaitu beliau boleh berjalan di permukaan air, dapat berada di banyak tempat dalam jangka masa yang singkat, mempunyai mulut yang ‘masin’ (berlakunya beberapa perkara setelah dikatakan oleh beliau) dan juga dapat mengetahui perkara-perkara yang akan berlaku seperti kedatangan Jepun dan peristiwa banjir besar.

Tok Kenali meninggal dunia ketika berusia 65 tahun pada 19 November, 1933.

Tenaga penting majalah Pengasuh

Beliau merupakan tokoh penting di sebalik penerbitan majalah Pengasuh di samping pernah menjadi Ahli Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu (Dewan) Ulama. Beliau pernah belajar selama 17 tahun di Mekah dan lima tahun di Mesir.

Tok Kenali juga telah membuka dua buah pondok di kampong kelahirannya di Kenali, dalam jajahan Kota Bharu.

Di situlah beliau berjuang, mengasuh dan mendidik anak-anak muridnya hingga melahirkan banyak tokoh agama yang kemudian pulang membuka pondok pengajian di tempat masing-masing.

Tok Kenali juga aktif dalam penulisan.

Ulama dan umara

Sebagai Ahli Majlis (Dewan) Ulama, Tok Kenali turut terlibat dalam pemerintahan negeri. Beliau telah membantu menyusun undang-undang tubuh Majlis Agama dan adat Istiadat Melayu Kelantan.

Tok Kenali juga terlibat menggubal Kanun Tanah Negeri yang meliputi persoalan pembahagian harta pusaka menurut syariat.

Menteri Besar Kelantan ketika itu diketuai sahabatnya, Haji Nik Mahmud Ismail sering berbincang dan mendapatkan pandangan daripada Tok Kenali dalam banyak perkara berkaitan pentadbiran.

Beliau pernah bertanyakan kepada Tok Kenali berhubung cara memajukan bandar Kota Bharu.

Tok Kenali mencadangkan agar dibinakan banyak sekolah supaya dengan usaha itu akan wujud banyak kedai, bangunan-bangunan dan bandar Kota Bharu akan maju.

Cadangan itu kemudiannya dilaksanakan dengan penubuhan banyak sekolah agama dan sekolah kebangsaan.

Sultan Kelantan, Sultan Ismail turut menghormati Tok Kenali. Bagindalah yang memerintahkan Tok Kenali menterjemah kitab induk Imam Syafie, iaitu Kitab Al-Umm dan kitab tafsir, Al-Khazan.

Selain mengajar di Pondok Kampung Paya di Kenali, Tok Kenali juga mengajar di Masjid Muhammadi. Selepas kematian ibunya, Tok Kenali berpindah mengajar sepenuh masa di Masjid Muhammadi atas permintaan Menteri Besar.

Sejak itu, pondok-pondok kecil didirikan dengan banyak di sekeliling masjid itu yang didiami pelajar-pelajar yang datang dari serata negeri di Tanah Melayu (Malaysia).

Masjid Muhammadi menjadi pusat pengajian pondok tertinggi dan termasyhur ketika itu.

Posted in Tokoh Ulama' | Leave a Comment »

Tuan Guru Haji Abdul Malek Sungai Pinang (1834-1934)

Posted by epondok di Julai 5, 2021

 

Tokoh guru pondok  akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 yang seangkatan dengan Tok Mesir,  Tok Ayah Kerasak, Hj. Nik Mat Dagu dan Hj. Ismail Pengkalan Paung, rakan akrab Hj. Abdul Latiff Jalaluddin (Bilal Masjid Kota Bharu).

 

Nama penuhnya ialah Hj. Abdul Malik bin Hasan, lahir di Kg. Sungai Pinang, Tumpat sekitar 1834 dari kalangan keluarga yang sangat miskin. Menuntut ilmu di Patani dan kota suci Mekah selama 14 tahun.  Beliau masyhur alim al-Quran dan kitab jawi..

 

Selain mengajar al-Quran dan kitab jawi, beliau banyak terlibat dalam usaha membanteras amalan khurafat dan syirik, termasuk memuja kubur serta amalan ilmu sihir.

 

Di  peringkat negeri pula, beliau turut tersenarai dalam panel ulama’ yang dijadikan pakarrujuk oleh Sultan Mansur Ahmad (dekad 1890-an) dalam menguatkuasakan undang-undang Islam seperti hukuman hudud kepada pencuri dan pembunuh (diarak keliling Pekan),  hukuman ta’zir kepada orang yang tidak berpuasa dan tidak menutup aurat (dilumur belaking).

 

Kebanyakan murid-murid Tuan Guru Hj. Abdul Malek  di berkati Allah dengan ilmu mereka serta berjaya melahirkan barisan pendidik pelapis pada zaman masing-masing.

 

Antara murid-murid kenamaannya ialah Tok Jerulong@ Hj. Mohd.  Said Muhammad, Hj. Samat Hasan Padang Chenok, Hj. Che Mat Taib PasirPekan Hilir, Hj. Ismail Musa Temangan, Hj. Wan Abdullah  Kg. Chap/ Sg. Pinang, Wan Hj. Khatib Bemban /Binjai, Tok Kedah@Hj. Idris Penggawa Kangkong, Hj. Mahmood Ali (Imam Kangkong), Hj. Mohd Akib Ismail Kg. Kelar, Hj. Daud Saamah (bapa kepada Hj. Tuan Guru Hj. Saad Kangkong), Tuan Guru Hj. Ali Pulau Pisang, Tuan Guru Hj. Abdullah Senik (pengasas Pondok Padang di Pasir Mas), Tuan Guru Hj. Wan Ahmad  Abdul Halim (pengasas Pondok Padang Jelapang), Tuan Guru Hj. Abdul Rahman Osman (pengasas Pondok Selehong), Tuan Guru Hj. Yusoff Abdul Rahman (pengasas Pondok Pulau Ubi), hj. Ibrahim Tok Raja (Mufti Kerajaan Kelantan) dan Hj. Seman Sering (kemudian lebih terkenal dengan nama Sheikh Osman Jalluddin al-Kalantani)

 

 

Datuk kepada Dato’ Dr Nik Safiah Karim (Profesor Adjung di Universiti Malaya) ini kembali ke  rahmatullah di Sg. Pinang pada malam Rabu 11/12 Ramadhan  1353 bersamaan 18  Disember 1934.

Posted in Tokoh Ulama' | Leave a Comment »