Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Jun 2021

Kilang pahala yang juga jerat neraka

Posted by epondok di Jun 8, 2021

Oleh Adli Yahya

 

Saya perhatikan sesuatu perkara menerusi laman sosial akhir-akhir ini, terutama beberapa video ringkas dimuat naik lalu menjadi ‘viral.’

Paparan penyeksaan haiwan yang diperlakukan dengan zalim oleh makhluk Allah yang mempunyai akal fikiran itu sendiri. Bertindak zalim terhadap haiwan seolah-olah tidak dapat menggunakan kurniaan akal diberikan kepadanya.
Beberapa gambar dan video penyeksaan terhadap haiwan seperti memijak kepala kucing dengan tumit kasut tinggi, menyiat bulu haiwan tanpa rasa belas ihsan, menggoreng ikan yang masih hidup dan sebagainya adalah antara beberapa penyeksaan terhadap makhluk Allah ini.

Selain itu, saya juga terpanggil berkongsi pandangan mengenai mereka yang memelihara haiwan tetapi gagal memberikan ‘nafkah’ dan penjagaan yang sempurna terhadap haiwan peliharaan itu.
Nafkah terhadap haiwan sememangnya wujud di dalam Islam dan dipanggil sebagai ‘nafkah al-bahaim’ iaitu kewajipan untuk menyediakan keperluan asas seperti makan, tempat tinggal serta perubatan untuk haiwan peliharaan.

Ramai sebenarnya yang membela haiwan, tidak kiralah sama ada sebagai hobi ataupun untuk perniagaan tetapi pada masa yang sama, memberi layanan ala kadar terhadap haiwan-haiwan berkenaan.

Contohnya membela kucing tetapi membiarkan sangkar kucing itu kotor yang kemudiannya membuatkan kucing sakit. Atau mungkin juga lembu yang tidak diberikan makanan yang sewajarnya apabila gagal menyediakan padang rumput untuk lembu meragut rumput.

Ada juga yang membela ikan di dalam kolam tetapi apabila dilihat ke kolam berkenaan, airnya dipenuhi lumut hijau hingga ikan-ikan itu langsung tidak kelihatan.

Perbuatan sebegini juga termasuk di dalam golongan mereka yang bersifat kejam terhadap haiwan. Walau apa juga jenis haiwan, ia tetap makhluk Allah yang tidak seharusnya diperlakukan sedemikian rupa.

Di dalam sebuah kisah terakam bagaimana seorang wanita diseksa di neraka kerana mengurung kucingnya hingga mati. Rasulullah SAW bersabda:

“Seorang wanita diseksa di neraka kerana kerana kucingnya dikurung sehingga mati. Maka dia dimasukkan ke dalam neraka akibat perbuatannya itu. Dia tidak memberikan makanan dan minuman kepada kucing berkenaan, dan dia juga tidak melepaskannya agar kucing itu dapat makan haiwan melata yang boleh ditangkapnya.” (Riwayat Muslim).

Di dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW terlihat seekor unta yang kurus kering. Lalu Rasulullah secara spontan telah menasihatkan tuan unta berkenaan dengan sabda,

“Bertakwalah kepada Allah dalam menguruskan haiwan yang tidak berkata-kata ini. Tunggangi unta ini dan berikannya makan makanan yang baik.”

Kadangkala kita mungkin skeptikal terhadap mengapa perlunya melayan haiwan dengan baik. Bukankah haiwan itu tidak mempunyai akal?

Namun, kita mungkin terlupa haiwan juga seperti manusia, mempunyai perasaan seperti lapar, tidak selesa dan juga boleh sakit. Justeru, apabila kita mengambil keputusan untuk memeliharanya, kita juga hendaklah bersedia untuk menguruskannya dengan baik agar ia tidak menjadi liabiliti yang boleh menarik kita ke neraka Allah kelak.

Di dalam sebuah kisah, seorang wanita yang terkenal dalam kalangan masyarakat kerana kemaksiatannya telah diampunkan oleh Allah akan dosa-dosanya yang lampau hanya kerana dia mengasihi seekor anjing yang kehausan.

Haiwan juga sebenarnya, jika dilihat dari sudut positif, boleh menjadi ‘kilang’ pahala kepada kita. Setiap wang yang dibelanjakan kepada mereka, setiap rasa belas ihsan kepada mereka serta setiap perkara yang ‘memudahkan’ urusan mereka sebenarnya bakal menjadi penimbang berat neraca amalan kita pada hari hisab kelak.

Begitu hebatnya manfaat makhluk Allah yang tidak mempunyai akal ini. Sekalipun kita bukan jenis yang menyukai haiwan, ia bukanlah alasan untuk bertindak kejam terhadap mereka

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Biar sikit asalkan berkat

Posted by epondok di Jun 7, 2021

MOHD. SHAH CHE AHMAD

 

MEMPUNYAI harta dan wang melimpah ruah bukan jaminan bagi seseorang individu untuk hidup dengan senang dan tenang atau memperoleh segala yang diinginkan di dunia.

Pengasas Institut Qalam, Texas, Amerika Syarikat, Syeikh Abdul Nasir Jangda ketika menyampaikan ceramah dalam jelajah dakwahnya berkata, walaupun dilihat serba sederhana, tidak mustahil individu itu lebih sempurna dan gembira berbanding mereka yang mempunyai kehidupan mewah.

Begitulah tambah pendakwah kelahiran Dallas itu, keajaiban rezeki dan keberkatan dikurniakan oleh Allah SWT kepada setiap hamba-Nya yang diingini tanpa mengira pangkat serta latar belakang.

“Ramai beranggapan dengan memiliki harta dan wang yang banyak pasti menjamin kebahagiaan, sehingga kita sentiasa menyebut dalam doa supaya Allah memperluaskan rezeki, menambahnya serta dikurniakan tanpa henti.

“Sebaliknya kita lupa, bukan harta dan wang yang banyak itu menjamin kecukupan tetapi sebenarnya adalah keberkatan daripada Allah. Seharusnya kita perlu berdoa, ‘apa yang aku telah peroleh adalah lebih daripada cukup, tetapi aku cuma mohon agar engkau (Allah) suntik keberkatan dan keredaan dalam setiap rezeki dikurniakan kepadaku,” katanya.

Mendapat pendedahan agama Islam sejak kecil, Abdul Nasir berhijrah ke Karachi, Pakistan untuk menghafal al-Quran pada usia 10 tahun. Kecergasan yang dimiliki dalam hafalan membolehkan beliau berjaya menyempurnakan seluruh hafalan al-Quran dalam tempoh kira-kira satu tahun.

Selain pengajian al-Quran, beliau juga mempunyai lulusan bahasa Arab di beberapa universiti antarabangsa. Abdul Nasir kini turut berkhidmat sebagai Imam di Masjid Colleyville, Dallas dan mengajar di Institut Bayynah, di samping aktif berdakwah di seluruh dunia.

Mengulas lanjut, Abdul Nasir berkata, berkat bukan bermaksud banyak, tetapi mencukupi iaitu boleh memanfaatkan banyak perkara dalam kekurangan atau sekadar rezeki yang ada.

“Berkat tidak membawa apa-apa makna pada kuantiti tetapi ia adalah mengenai kualiti. Kualiti ini menjadi ukuran terhadap apa yang kita ada. Keberkatan adalah sangat luar biasa berbanding apa yang kita fikirkan. Inilah keajaiban rezeki daripada Allah,” jelasnya.

Memetik teladan daripada kisah Rasulullah SAW, beliau berkata, walaupun hidup dalam serba kekurangan dan sederhana, namun hidup Nabi Muhammad sentiasa tenang serta tidak dilanda kekusutan disebabkan kemiskinan.

“Pada hari Rasulullah wafat, baginda hanya meninggalkan bersamanya dua helai tikar dan satu atau dua jag minuman, sebilah pedang serta kelengkapan baju perang baginda, manakala di luar rumah baginda, hanya terdapat seekor keldai.

“Begitulah keadaan Rasulullah walaupun merupakan seorang khalifah dan individu hebat di muka bumi ini. Cuba bandingkan keadaan kita sekarang, kita mempunyai rumah besar, dalamnya terdapat beberapa keluarga yang masing-masing bekerjaya, tetapi dalam masa yang sama, masih berhutang. Situasi ini seperti ada sesuatu yang tidak kena atau kehilangan,” ujarnya.

Tambahnya, beliau turut memuji usaha pelbagai pihak dalam penganjuran program diskusi, seminar atau wacana dalam kalangan komuniti Islam bagi membincangkan isu mengenai pelaksanaan sistem kewangan Islam seperti perbankan syariah, pelaburan halal dan sebagainya.

Bagaimanapun, menurutnya, umat Islam perlu jelas mengenai asas kewangan yang mematuhi syariah agar keputusan yang dilakukan tidak salah dan secara tidak langsung, mendorong kepada perkara haram.

“Kita terlalu obses membincangkan bagaimana hendak memiliki sesuatu yang luar daripada kemampuan atau sesuatu benar-benar kita perlukan. Pelbagai alasan dan kaedah digunakan untuk membolehkannya dengan alasan kerana desakan hidup.

“Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam perkara melibatkan kewangan Islam terutama membuat pinjaman supaya tidak tersalah memilih yang bertentangan dengan amalan patuh syariah. Perkara ini juga mempengaruhi keberkatan rezeki,” katanya.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Makrifatullah perisa ibadah

Posted by epondok di Jun 6, 2021

SUATU hari seorang ulama terkenal bernama Abdullah bin Al-Mubarak berkata: “Kasihan ahli dunia. Mereka keluar dari dunia sebelum merasai perkara yang paling lazat di dalamnya.”

“Apakah perkara yang paling lazat di dunia?,” tanya murid-muridnya.

Ibnu Al-Mubarak menjawab: “Mengenal (Makrifat) Allah.”

Mengenal Allah merupakan keperluan asas fitrah manusia. Selagi mana seseorang belum mengenali tuhannya, selama itu juga jiwanya terasa kosong, kering dan tak bermakna.

Namun ketika ia mula mengenal tuhannya, maka pada saat itu ketenangan membasahi kalbunya. Hatinya merasakan kebahagiaan yang keindahannya tak tergambar dengan kata-kata.

“Sesungguhnya kelazatan, kegembiraan, kenikmatan dan kebahagiaan yang tidak mungkin digambarkan dengan kata-kata hanya boleh kita rasai apabila mengenal Allah, mentauhidkan-Nya dan beriman kepada-Nya… Hati tidak akan merasai kegembiraan dan kelazatan sempurna melainkan apabila ia mencintai Allah dan mendekatkan diri kepada-Nya.”

Sayangnya, syaitan selalu menyibukkan manusia daripada mendapatkan hajat asasi ini. Setiap hari minda dan hati manusia selalu diingatkan dengan harta, takhta dan wanita. Akhirnya, Allah menjadi hilang daripada kesedaran manusia.

Dalam hadis qudsi, Allah berfirman: Sesungguhnya Aku telah menciptakan semua hamba-hamba-Ku dalam keadaan hanif (cenderung kepada kebenaran), namun syaitan-syaitan lalu mendatangi dan menjauhkan mereka daripada agamanya. Syaitan-syaitan mengharamkan apa yang telah Aku halalkan dan menyuruh manusia untuk mempersekutukan diri-Ku dengan sesuatu yang tidak memiliki kuasa apa-apa. (riwayat Muslim)

Perisa ibadah

Makrifatullah seolah menjadi perisa ibadah. Kita tidak akan mendapatkan kenikmatan ibadah selagi mana kita belum mengenal pihak yang kita sembah dalam ibadah tersebut. Kita belum tahu siapa Dia, dan mengapa kita harus patuh kepada-Nya?

Namun apabila kita mengenal-Nya, kita pasti jatuh cinta kepada-Nya. Apabila kita mencintai sesuatu, kita akan ingin selalu bersamanya. Pada satu tahapan, kita tidak dapat hidup tanpa pihak yang kita cintai itu.

Semua ini berlaku pada diri Rasulullah, para sahabat dan ulama salaf soleh kita terdahulu. Mereka merasakan ibadah sebagai salah satu saat-saat yang paling manis di dalam hidup mereka. Rasulullah bersabda: “Allah membuatku mencintai wewangian dan wanita. Dan kebahagiaan aku rasai apabila tengah melakukan solat.” (riwayat al-Nasai)

Justeru, apabila orang yang tidak mengenal Allah melihat ibadah sebagai bebanan, orang yang mengenal Allah melihatnya satu kesempatan.

Ya, ibadah ialah kesempatan untuk kita berjumpa dan berbincang-bincang dengan Allah.

Kita dapat menggunakan kesempatan ini untuk meminta bantuan, pertolongan dan petunjuk atas setiap cabaran hidup yang kita hadapi.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

3 Penyakit yang ditakuti manusia

Posted by epondok di Jun 2, 2021

TUA, lemah dan mati! Itulah tiga penyakit yang sangat ditakuti manusia. Kerana kemuncak kegentaran itu, pelbagai usaha dilakukan bagi menjamin jasad fana mereka tidak dijamah sakit tua, lemah dan mati. Natijahnya, banyak produk kecantikan anti penuaan muncul dalam pasaran. Manusia sanggup berhabis wang ringgit bagi mengelakkan dipandang lemah atau tua. Jika ada produk kebal mati pun manusia akan bertambah ghairah mengejarnya. Takut atau berani, mahu atau enggan, manusia tetap tidak dapat lari daripada sumpahan tua, lemah dan mati:
“Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa,” (al-Rum [30:54]).
Sering kita saksikan bagaimana penyakit tua menampakkan kelemahan manusia.

Orang berusia lanjut ada yang nyanyuk dan berperangai seperti kanak-kanak. Jika kanak-kanak senang didokong apabila meragam, namun jasad orang tua yang bersikap seperti kanak-kanak bukan mudah mahu ditatang. Berikutan itu, Rasulullah SAW mengajarkan kita doa bagi mengelakkan tua nyanyuk:
“Ya Allah! Aku mohon perlindungan-Mu daripada (sifat) bakhil. Aku juga mohon perlindungan-Mu daripada (sifat) penakut, Aku juga mohon perlindungan-Mu daripada dilanjutkan usia sehingga tua nyanyuk. Aku juga mohon perlindungan-Mu daripada ujian dunia dan aku juga mohon perlindungan-Mu dari azab kubur,” – Sahih Bukhari).

SUDUT POSITIF

Walaupun tua kelihatan lemah, namun ada kebaikan padanya. Jiwa mereka tenang, pengalaman panjang meniti usia membantu mereka mengenal mana garam, gula, kaca dan permata sebenar.

Sebut sahaja ketakutan manusia kepada tua, lemah dan mati, rupanya masyarakat purba pernah membicarakan kewujudan kisah “air ajaib” yang boleh melanjutkan usia dan mengekalkan keremajaan. Ia dikhayalkan dengan nama “ainul hayat” (air kehidupan), air atma jiwa dan fountain of youth. Kisah pencarian fountain of youth turut diepikkan dalam filem Pirates of Carribean lakonan Johnny Depp. Soalannya, adakah ia benar wujud dan apa kata al-Quran dan Sunnah tentang khayalan ini.

PENJELMAAN SEMULA

Bila sains berkembang dengan pesat, cerita hikayat ainul hayat semakin dilupakan. Pun begitu, ia tetap menjelma dalam dimensi lain yang lebih agresif iaitu kebanjiran produk kecantikan “lupa mati” yang dislogankan dengan keajaiban anti penuaan. Bukanlah saya ingkar ilmu Allah pada perkembangan Sains, tapi usahlah begitu ghairah membelai fizikal kerana bimbang dihinggapi penyakit tua, lemah dan mati sehingga lupa akhirat. Nak mati atau tak mahu mati, semua manusia tetap akan mati walau sekuat mana sekalipun sistem kawalan peribadi dilakukan:
“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh,” (al-Nisa’ [4:78])

Jangan terlalu berangan-angan ingin hidup lama. Apa guna hidup lama jika hanya dosa dihimpun memenuhi “memori kad amalan” kita? Jangan sampai amaran Rasulullah SAW ini terkena kepada kita. Sabda baginda:
“Hati orang berusia (tua) sentiasa muda pada dua perkara iaitu cintakan dunia dan angan-angan yang panjang,” – Sahih Bukhari.

Yang gugur bukan semuanya tua dan masak. Banyak sekali yang gugur akibat dipukul ribut dan angin kencang. Jika yang muda boleh gugur bila-bila masa sahaja, yang tua pastinya lebih mudah tercabut tangkai dek lemahnya otot di badan.

Jika melihat kedut wajah atau uban rambut di cermin, usahlah kalut mahu mencari ainul hayat atau produk anti penuaan. Sebaliknya bersyukurlah kerana Allah memberikan peluang hidup di dunia bagi menyimpan bekal dibawa ke alam sana. Jangan takut tua, lemah atau mati sebaliknya takutlah kerana tidak bersedia untuk bertemu Allah.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Tanda Allah meninggalkan kita

Posted by epondok di Jun 1, 2021

 Mohd. Shah Che Ahmad

“KAMU mendengar pelbagai peringatan agama setiap hari, tentang solat, menutup aurat, jauhi dosa-dosa dan banyak lagi, tetapi kamu tidak mengendahkan, sebaliknya masih mengulangi. Malah ada yang mempertikaikan pesanan tersebut,”

Itulah antara tanda apabila Allah SWT tidak lagi mengendahkan seseorang dan mula mencabut sedikit demi sedikit keimanan dalam hati mereka.

“Al-Quran diturunkan sebagai sebaik-baik peringatan. Ditambah pula, dalam zaman teknologi moden masa kini, setiap orang mempunyai telefon bimbit masing-masing, begitu juga komputer, televisyen serta radio. Peringatan Islam juga disebarkan menerusi pelbagai medium ini.

“Di laman sosial Facebook contohnya, hampir setiap kali apabila kita membuka laman tersebut, pasti terlintas pesanan peringatan tentang Islam sama ada ceramah, teks, gambar mahupun video. Namun malangnya, sedikit pun kamu tidak mengambil iktibar daripada peringatan itu, malah berkata, ‘aku tidak menganggap perkara ini serius’.

“Ingatlah, sesungguhnya apabila situasi ini berlaku, semuanya dalam perancangan-Nya. Ketahuilah Allah sudah tidak lagi mengendahkan kamu dan Dia menyediakan seburuk-buruk tempat kembali kepada mereka iaitu di neraka kelak,”

Perkara itu menurutnya, sebagaimana telah ditunjukkan berlaku kepada kaum Nabi Nuh a.s. yang menolak dakwah Baginda dengan memberi pelbagai alasan dan tohmahan.

“Bayangkan seorang nabi Allah berdakwah selama 950 tahun, tetapi tahukah kita berapa ramai kaumnya yang mengikuti pesanannya?

“Diriwayatkan jumlah maksimum pernah disebutkan adalah seramai 80 orang, manakala minimum adalah 11. Ini bermakna hanya antara 11 sehingga 80 orang sahaja kaum Nabi Nuh menerima dakwah sepanjang tempoh itu.

“Sehingga Nabi Nuh mengadu kepada Allah sebagaimana dicatat dalam Surah Nuh ayat 5 dan 6 maksudnya: “Ya Tuhanku sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang. Maka seruanku itu hanyalah menambah mereka lari (dari kebenaran),” katanya.

Rayuan Nabi Nuh didengari oleh Allah sebelum memerintahkan Baginda mendirikan bahtera. Sebagaimana firman Allah maksudnya: “Dan diwahyukan kepada Nuh, bahawasanya sekali-kali tidak akan beriman dalam kalangan kaummu, kecuali orang yang telah beriman saja, kerana itu janganlah kamu bersedih hati tentang apa yang selalu mereka kerjakan. Dan buatlah bahtera itu dengan pengawasan dan petunjuk wahyu Kami.” (Hud: 36)

Ternyata sejak bahtera Nabi Nuh dibina, tiada seorang pun memeluk Islam, malah mencemuh Baginda antaranya dengan mengatakan Baginda sebagai tukang kayu dan gila kerana mendirikan kapal di lokasi jauh dari air.

“Setelah lebih 950 tahun berdakwah kepada semua penduduk, kaum Nabi Nuh masih berdegil untuk menerima Islam, sebaliknya terus melakukan dosa. Sesungguhnya peringatan telah pun tamat. Tiada lagi belas kasihan daripada Allah, maka diturunkan azab banjir besar kepada mereka.

“Firman Allah maksudnya: “Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan (dengan banjir dan taufan), kemudian (pada hari akhirat) dimasukkan ke dalam neraka; maka mereka tidak akan beroleh sebarang penolong yang lain dari Allah (yang dapat memberikan pertolongan).” (Nuh: 35),” katanya.

Sehubungan itu,  umat Islam perlu menghargai dan mengambil iktibar daripada setiap peringatan yang diperoleh setiap hari.

“Jangan biarkan Allah lakukan perkara sama kepada kita. Sedarlah apabila hati kita sudah tidak lagi mahu menerima peringatan Islam walaupun diperoleh hampir setiap hari. Itulah tandanya Allah mula meninggalkan kita.

“Setiap perbuatan akan dibalas oleh Allah. Lakukanlah kebaikan dan tinggalkan keburukan mengikut kaedah yang telah ditentukan kerana azab Allah tidak pernah terlepas walau sedikit pun.

“Dan orang kafir akan dihalau ke neraka jahanam dengan berkumpulan sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah penjaganya kepada mereka: Bukankah telah datang kepada kamu rasul daripada kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari kamu ini?” Mereka menjawab: “Ya, telah datang! Tetapi telah ditetapkan hukuman azab kepada orang yang kafir.” (az-Zumar: 71)

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »