Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Siapa layak dapat kelebihan Lailatul Qadar

Posted by epondok di Mei 9, 2021


Oleh ANZARUDDIN AHMAD

Umat islam perlu mencari malam al-qadr melalui pengisian berqiamullail dan ibadat yang lain.

UMAT Islam kini berada pada fasa ketiga Ramadan di mana kemuncak
keistimewaan 10 hari terakhir Ramadan ini ialah kemunculan malam penuh
berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam al-Qadr
dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada
Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini
(Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam yang amalan
ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan besar ganjarannya
daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu,
sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan
kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak
mendapat petunjuk) daripada Allah”. (riwayat Ibnu Majah).

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sesiapa yang
beribadah pada malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan
keredaan Allah, mudah-mudahan akan diampuni dosanya yang lalu. (riwayat
Muslim).

Para ulama bersepakat bahawa malam al-Qadr berlaku di bulan Ramadan.
Begitu juga mereka bersepakat malam itu berlaku pada 10 malam terakhir
Ramadan. Mereka hanya berselisih pendapat tentang malam yang ke berapa.

Pendapat yang masyhur menyatakan bahawa malam al-Qadr berlaku pada
malam ke-27 Ramadan. Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya: “Barang
siapa yang ingin mendapatkan al-Qadr, dia hendaklah mencari pada malam
ke-27 (riwayat Ahmad).”

Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu berlaku pada
malam ganjil 10 hari terakhir. Apa pun harinya, yang penting pada malam
itu, Allah menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan kepada
hamba-hamba-Nya yang melaksanakan ibadat dengan penuh keimanan dan
mengharapkan keredaan Allah.

Kelebihan malam al-Qadr tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan
orang dan juga tidak pula diberi kepada orang yang ibadahnya hanya pada
malam-malam tertentu sahaja.

Fadilat malam itu akan menyinari mereka yang benar-benar ikhlas,
khusyuk dan istiqamah dalam beribadat. Hadirnya malam penuh berkat itu
sangat dinantikan dan disambut dengan penuh keimanannya.

Kata al-Imam al-Qurtubiy, Rasulullah SAW diperlihatkan kepadanya usia
umat terdahulu, maka baginda merasa bahawa usia umatnya terlalu pendek
hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti mana yang diraih oleh
umat terdahulu yang usianya lebih panjang.

Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud
satu hadis Rasulullah SAW. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadr yang
mempunyai nilai 1,000 bulan kepada Rasulullah SAW dan umatnya.

Justeru itu, malam al-Qadr dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah
dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh.
Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik
daripada amal kebajikan selama 1,000 bulan atau 83 tahun tiga bulan.

Kerana keutamaan ini, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar
mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadr. Dalam hal ini,
Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam
menghidupkan malam terakhir Ramadan.

Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar
lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati
isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti
solat tahajud, witir, terawih, bertadarus al-Quran, berzikir dan
seumpamanya.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang
sering baginda baca adalah doa maksudnya: “Wahai Tuhan kami!
Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di
akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang
pedih.”

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk
memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah
dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah.

Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh
tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan
amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun
kepada Allah daripada sebarang dosa yang lalu. Setiap manusia tidak
terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang
dilarang Allah.

Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: “Setiap anak Adam tidak
akan terlepas dari melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada
kalangan yang berdosa itu adalah yang bertaubat kepada Allah (riwayat
al-Tirmidzi dan Ibnu Majah).”

Justeru, wajar bagi setiap Muslim bermuhasabah terhadap segala amalan
dan seterusnya bertaubat kepada Allah biarpun sekecil mana kesalahan
itu.

Perlu diinsafi bahawa taubat tidak sepatutnya ditunda atau
ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana ajal maut akan datang
menjemput manusia pada bila-bila masa. Maka peluang keemasan yang
disediakan Allah sepanjang Ramadan wajar direbut agar tidak menyesal
kemudian hari

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: