Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Mei 2021

Memahami ilmu tasawuf tingkat keimanan, perkukuh rohani

Posted by epondok di Mei 31, 2021

Oleh Latifah Arifin

 

KEGAGALAN golongan agamawan dan masyarakat umum memahami istilah sufi yang sarat falsafah antara faktor menyebabkan ilmu tasawuf dipinggirkan, bahkan lebih membimbangkan ia dikatakan bertentangan dengan syarak.

Kesukaran mencari ahli agama yang mampu menterjemah dan memberikan huraian lengkap khususnya ungkapan berkaitan tauhid sufi menyebabkan berlaku salah faham serta persepsi negatif terhadap orang yang mengamalkannya.

Perkara itu dikupas ulama kelahiran Indonesia, Sheikh Rohimuddin Nawawi Al-Bantani yang menyifatkan hal ini perlu diperbaiki segera supaya cabang ilmu berkenaan tidak ditinggalkan.

“Ada golongan akademik Islam memandang tauhid kerohanian ini dengan pandangan akal, iaitu tidak lebih sekadar terminologi falsafah, bukan ilmu agama. Ia tambah melarat apabila ahli agama yang mengajar tidak mampu memahami kitab tasawuf.

“Akhirnya, kerana bimbang melakukan kesalahan dalam penyampaian, maka ia terus ditinggalkan. Lama kelamaan, ia makin parah apabila bertindak mengharamkan tasawuf,” katanya dalam pertemuan dengan BH Agama, baru-baru ini.

Jalan kepada kesempurnaan

Menurut Sheikh Rohimuddin, ilmu tasawuf penting kepada setiap umat Islam ke arah menjadi Muslim yang sempurna. Bagaimanapun, ia bukan mudah kerana memerlukan keyakinan yang kuat kepada Allah SWT, bukan sahaja daripada lahir, bahkan secara batin.

Katanya, jalan tasawuf sama seperti syariat Islam, cuma bahasa yang ditulis dalam kitab agak rumit kerana padat dengan istilah sufi membuatkan timbul andaian ia berbeza dengan pengajian agama yang biasa dipelajari.

“Contohnya, orang tasawuf berkata hidup ini jangan berikhtiar. Ini bukan bahasa akal, tetapi menuntut kita memahaminya menggunakan bahasa kerohanian. Jadi, orang biasa yang tidak mendalami ilmu tasawuf akan melihat ungkapan ini sebagai ganjil.

“Sedangkan maksudnya, selepas kita berusaha sehabis daya, maka serahkan sebulatnya kepada Allah SWT tanpa berfikir atau berharap kepada hasilnya,” katanya.

Orang sufi melihat maksud ikhtiar ialah memilih dan tertakluk kepada Allah SWT untuk memberikan jawapan, tugas kita sebagai khalifah adalah bekerja serta beribadah dengan sebaiknya tanpa mengharap balasan.

Serius belajar tasawuf

Disebabkan itu, pelbagai polemik timbul kerana ada yang bertindak membuat tafsiran sendiri terhadap ungkapan sufi dan tidak mengambil inisiatif bertanya kepada ilmuwan yang pakar dalam bidang berkenaan.

Kepesatan media sosial hari ini mendorong umat Islam mengambil jalan mudah dengan hanya merujuk kepada video atau maklumat di laman web dan video YouTube oleh ahli agama yang belum tentu mahir dalam tasawuf.

Justeru, beliau berharap masyarakat Islam lebih terbuka dalam memahami pengajaran tasawuf, bagi yang ingin menuntut secara mendalam disarankan belajar dengan orang yang benar-benar arif supaya tidak tersasar daripada hakikat ilmu sebenar.

Syeikh Rohimuddin berkata, golongan agama perlu lebih serius mempelajari bidang ilmu tasawuf kerana ia elemen penting dalam pegangan akidah Islam dan membantu orang awam menzahirkan keimanan secara lahiriah dan memiliki kerohanian yang kukuh.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Banyak pahala tapi jarang dilaksanakan

Posted by epondok di Mei 30, 2021

ISLAM adalah agama yang sangat menjunjung tinggi adab dan tatasusila sesama Muslim. Ucapan salam adalah lumrah bagi seorang Muslim yang dilafazkan di saat bertemu dan berpisah. Namun ucapan salam masih menjadi satu perkara yang jarang diamalkan oleh sebahagian umat Islam. Jika berlaku sekalipun ia hanya terbatas kepada orang yang dikenali sahaja.

Hal ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi daripada Abdullah bin Masud r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Antara tanda-tanda (dekatnya) hari kiamat adalah seseorang yang sering melalui laluan masjid tetapi dia tidak pernah solat walaupun hanya dua rakaat di situ dan dia hanya mengucapkan salam kepada orang yang dikenali sahaja.”

Imam Nawawi menyatakan hukum memberi salam dalam kitabnya, Minhaj seperti berikut: Memulakan salam hukumnya sunat dan menjawab salam hukumnya adalah wajib.

KEISTIMEWAAN UMAT MUHAMMAD

Salam adalah satu kelebihan yang Allah SWT berikan kepada umat Nabi Muhammad SAW, kelebihan ini menyebabkan umat Islam diangkat darjat oleh-Nya di dunia dan akhirat.

Bahkan orang Yahudi mengetahui kelebihan ini sehingga menimbulkan hasad dengki dalam diri mereka, sebagaimana hadis yang diriwayatkan Imam Ibnu Majah daripada Aishah r.a.: “Tidaklah orang Yahudi itu merasa hasad terhadap kamu, sebagaimana rasa hasad mereka terhadap amalan salam dan ucapan amin yang kamu amalkan.”

Sebenarnya memberi salam itu menunjukkan keperibadian seorang Muslin yang tawaduk, sekali gus menunjukkan kecintaan kepada saudaranya yang lain.

Ucapan salam:

  • Menggambarkan kebersihan hati daripada sifat dengki, dendam, benci, sombong dan memandang rendah terhadap orang lain.
  • Salam merupakan hak kaum Muslimin antara satu dengan lain.
  • Punca tercapainya rasa saling mengenali, keberkatan, bertambahnya rasa kasih sayang dan kecintaan.
  • Penyebab memperoleh kebaikan, punca seseorang masuk syurga.

ADAB BERI SALAM

Menyebarkan salam adakah satu bentuk inisiatif menghidupkan sunah Rasulullah SAW. Sehubungan dengan itu, bagi menghidupkan kembali sunah memberi salam dalam kalangan Muslimin, maka perlu diketahui beberapa adab memberi salam :

1. Memberi salam mengikut keutamaan umur dan situasi.

  • Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.: “Orang muda hendaklah memberi salam pada yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai.”
  • Ibn Battal mengatakan: disyariatkan orang muda mengucapkan salam kepada orang tua kerana kedudukan orang tua lebih mendahului dari sudut usia. Orang yang muda usianya diperintahkan agar menghormati dan tawaduk di hadapan orang lebih tua.

2. Berjabat tangan dan mengucapkan salam ketika bertemu.

  • Adab salam yang diajarkan oleh Islam, jika sesama Muslim bertemu maka digalakkan agar mengucapkan salam disertai dengan berjabat tangan, hal ini akan mengeratkan kasih sayang sesama Muslim.
  • Menerusi hadis diriwayatkan Imam Thabrani: “Jika seorang Mukmin bertemu dengan Mukmin yang lain lalu mengucapkan salam kemudian berjabat tangan dengannya, maka berguguran dosa-dosa mereka berdua seperti daun-daun yang berguguran daripada sepohon pokok.”

3. Menjawab salam dengan lebih baik atau yang seumpama dengannya.

  • Menjadi tuntutan agama bagi orang yang menerima salam hendaklah menjawab dengan lebih baik daripada orang yang memberi salam kepadanya.
  • Firman Allah dalam Surah al-Nisa’, 86: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.”

4. Berusaha mengucapkan salam dengan lebih sempurna.

  • Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi: “Bahawasanya seseorang telah datang menemui nabi lalu mengucapkan assalamualaikum, nabi bersabda: untuknya 10 kebaikan. Kemudian yang lain datang dan mengucapkan assalamualaikum warahmatullah. Maka nabi bersabda: untuknya 20 kebaikan. Setelah itu datang seorang yang lain pula, lalu mengucapkan assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh, nabi bersabda: untuknya 30 kebaikan.”
  • Firman Allah 
dalam Surah al-Nur, 27: 
“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat 
(mematuhi cara dan 
peraturan yang 
sopan itu).”

PEDOMAN

  • Islam adalah agama yang sangat menjunjung tinggi adab pergaulan sesama Muslim
  • Ucapan salam menggambarkan kebersihan 
hati daripada sifat dengki, dendam, benci, sombong dan 
rasa memandang rendah 
kepada orang lain
  • Lazimi ucapan salam ketika bertemu kerana ia merupakan satu sunah Rasulullah SAW dan syiar Islam yang kian dipinggirkan.

 

Petikan
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Tanda kiamat semakin lengkap

Posted by epondok di Mei 29, 2021

Mohd. Shah Che Ahmad

 

LEBIH 1,400 tahun lalu, Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam dengan bersabda: “Jarak antara diutuskan aku dan kiamat adalah seperti dua ini,” sambil menunjuk dua jari dan membentangkannya. – Riwayat Bukhari dan Muslim.

Mengaitkan sabda Rasulullah tersebut dengan situasi semasa,  hampir kesemua tanda-tanda kecil sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis lain berhubung peristiwa kiamat telah hampir sempurna berlaku.

Malangnya,  ramai manusia termasuk umat Islam masih tidak menyedari peringatan tersebut, sebaliknya terus menerus melakukan pelbagai dosa, malah mewujudkan kembali maksiat umat terdahulu yang pernah diazab Allah.

“Secara umum, apa yang dapat kita perhatikan adalah berlaku ketidakseimbangan di seluruh dunia. Ketidakseimbangan itu termasuklah dalam masyarakat, moral, ideologi, metodologi dan juga alam sekitar seperti pemanasan global.

“Namun, yang jelasnya adalah ketidakseimbangan dalam aspek moral. Manusia dilihat semakin hilang perasaan malu, maksiat dan zina dilakukan secara terbuka, meminum arak kian berleluasa. Lebih teruk, manusia melakukan sesuatu perkara yang jauh daripada norma seperti berkahwin dengan anjing dan itu dianggap 
perkara biasa.

“Begitu juga dengan amalan homoseksual. Jika sebelum ini, dunia melihat hubungan songsang itu dengan pandangan negatif, namun apa yang berlaku kebelakangan ini, kamu yang akan dianggap gila jika menentang amalan tersebut kerana dikatakan mengganggu hak kebebasan,” katanya.

Inilah katanya, sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah mengenai antara tanda-tanda kiamat yang maksudnya: “Kiamat tidak akan terjadi sehingga orang bersetubuh seperti keldai di jalanan.” – Riwayat Ibnu Hibban

“Dunia dipenuhi maksiat, malah dilakukan secara terbuka tanpa rasa malu atau bersalah. Sehinggakan terdapat segelintir golongan yang percaya bahawa, memakai pakaian hanyalah untuk tujuan tertentu seperti kerana ingin mengelakkan sejuk, ketika sakit atau untuk kelihatan cantik dan bergaya.

“Ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang memerintahkan umatnya menutup aurat ketika berhadapan dengan bukan mahram. Jika ditegur, mereka berkata, ‘tuhan telah menciptakan kita telanjang, mengapa perlu berpakaian?” jelasnya.

IBU MELAHIRKAN ‘TUAN’

Bilal berkata, antara tanda lain jelas berlaku masa kini adalah situasi seorang ibu melahirkan ‘tuan’nya 
sendiri.

“Ibu bapa dicari ketika diperlukan sahaja, contohnya, meminta wang dan menyelesaikan masalah mereka, selebihnya menghabiskan masa dengan rakan sebaya. Lebih kejam, 
ada pula yang sanggup menganiaya ibu bapa sendiri dengan memukul serta tergamak membunuh jika mereka tidak dapat memenuhi permintaan,” ujarnya.

Perkara ini tegasnya, sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya: “Ketika Rasulullah ditanya oleh Malaikat Jibril tentang kiamat, maka baginda menjawab: “Yang ditanya tidaklah lebih mengetahui daripada si penanya.” Kemudian Jibril berkata lagi. “Kalau begitu khabarkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya.” Rasulullah 
SAW menjawab: Seorang 
budak wanita atau wanita merdeka (al-Amah) akan melahirkan tuannya dan engkau akan melihat rakyat jelata yang miskin akan 
tinggal di gedung-gedung menjulang tinggi,” – Riwayat Muslim

AL-QURAN DIANGKAT

Dalam pada itu beliau turut menjelaskan, al-Quran yang merupakan kitab panduan umat Islam pula kini mula diangkat oleh Allah secara berperingkat-peringkat.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya: “…..al-Quran akan hilang semuanya pada suatu malam saja, maka tidak ada yang tertinggal di permukaan bumi ini walaupun hanya satu ayat…” – Riwayat Ibnu Majah

“Diangkat atau hilang bukan bermaksud tidak lagi dicetak atau kabur daripada mashaf sedia ada, tetapi dimatikan para ulama. Oleh itu, tiada lagi penghayatan terhadap ayat-ayat al-Quran. Ia hanya dibaca tetapi tidak difahami dan diamalkan.

“Walaupun pada masa kini, ramai yang menghafal al-Quran…, ini bagus, tetapi tidak memadai jika tidak diamalkan dalam kehidupan harian. Memelihara al-Quran daripada diangkat bukan sekadar menghafal tetapi memahami dan mengamalkannya,” katanya.

Lebih membimbangkan tambahnya, lahir pula golongan anti hadis yang kononnya beramal agama dengan hanya berpandukan kitab utama al-Quran.

“Tidak mustahil satu hari nanti, golongan ini akan menolak al-Quran pula kerana mendapati banyak keterangan di dalamnya mengelirukan dan tiada panduan. Inilah peranan hadis iaitu untuk menjelaskan lebih terperinci mengenai perintah syariat 
yang dinyatakan di dalam al-Quran,”

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

5 jenis wanita menurut al-Quran

Posted by epondok di Mei 28, 2021

Oleh SITI ZURAIDAH ISMAIL

DALAM al-Quran, ALLAH SWT menceritakan pelbagai jenis kisah untuk kita teladani dan jadikan iktibar sebagai panduan dalam kehidupan sehari-hari. ALLAH tidak hanya mengisahkan perihal kisah kaum terdahulu, tetapi juga pelbagai bentuk akidah, ibadah, muamalat dan sebagainya.

ALLAH  ada menjelaskan mengenai jenis wanita dalam al-Quran. ALLAH kisahkan semua cerita ini untuk hamba-Nya, khususnya wanita bagi diaplikasikan dalam kehidupan yang sedang dijalani.

Ada antara yang bersifat positif dan ada yang bersifat negatif. Ada yang patut dicontohi, dan semestinya ada yang harus kita jauhi. Lima jenis wanita diceritakan dalam al-Quran buat panduan kita semua.

Wanita pejuang

Jenis pertama yang disebut dalam al-Quran adalah jenis pejuang. Wanita yang memiliki sifat pejuang ini mempunyai keperibadian yang kuat. Mereka berani menanggung risiko apa pun saat keimanannya diusik dan kehormatannya diperlekehkan. Siti Asiah binti Mazahin, isteri Firaun memiliki sifat pejuang ini.

ALLAH mengabdikan doa Siti Asiah dalam al-Quran: “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga, dan selamatkanlah aku daripda Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim.” (Surah at-Tahrim: 11)

Walaupun berada dalam cengkaman Firaun, Asiah mampu menjaga akidah dan harga dirinya sebagai seorang Muslimah. Asiah lebih memilih istana di syurga daripada istana dunia yang dijanjikan Firaun. ALLAH mengabdikan doanya dan menjadikannya tauladan bagi orang yang beriman.

Jaga dirinya

Jenis wanita yang kedua ialah wanita soleh yang menjaga kesucian dirinya. Kita dapat lihat sifat ini ada pada Maryam binti Imran. Hari-harinya diisi dengan ketaatan kepada ALLAH. Maryam sangat konsisten menjaga kesucian dirinya.

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Bagaimana mungkin aku mempunyai anak lelaki, padahal tidak pernah ada lelaki yang menyentuhku dan aku bukan seorang penzina!” (Surah Maryam: 20)

Disebabkan keutamaan inilah, ALLAH mengabdikan namanya sebagai salah satu surah dalam al-Quran dengan Surah Maryam, surah ke-19.

ALLAH memelihara Maryam bukan kerana kecantikannya, tetapi kerana kesuciannya dalam menjadi hamba yang soleh.

Pembawa kayu bakar

Jenis yang ketiga, dimiliki oleh Hindun, isteri Abu Lahab. Mereka yang mempunyai sifat seperti Hindun ini suka menghasut, menyebar fitnah dan menjaja cerita. Di dalam al-Quran, Hindun disebut sebagai “pembawa kayu bakar” atau dengan kata lain penyebar fitnah. Bersama suaminya, Hindun tidak putus menentang dakwah Rasulullah SAW, menyebar fitnah dan melakukan kezaliman. Bicara yang sedikit menjadi besar apabila Hindun bersuara.

“Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah dia bersama! Tidaklah berguna baginya hartanya dan apa yang dia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergelora (neraka). Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar (penyebar fitnah). Di lehernya ada tali daripada sabut yang dipintal.” (Surah Al-Masad: 1-5)

Wanita penggoda

Jenis wanita yang keempat ialah jenis wanita yang menggoda. Ini dibuktikan Zulaikha saat menggoda Nabi Yusuf AS. Perbuatan Zulaikha ini diceritakan dalam al-Quran: “Dan perempuan yang dia (Yusuf) tinggal di rumahnya menggoda dirinya. Dan dia menutup pintu-pintu, lalu berkata, “Marilah dekat kepadaku.”.

Yusuf berkata: “Aku berlindung kepada ALLAH, sesungguhnya, tuanku telah melayaniku dengan baik.” Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya.” (Surah Yusuf: 23)

Sifat atau jenis wanita yang terakhir ialah wanita pengkhianat dan ingkar kepada suaminya. ALLAH memuji wanita yang tidak taat kepada suaminya yang zalim, seperti yang dilakukan oleh Asiah, isteri Firaun.

Namun, dalam masa yang sama ALLAH tidak menyukai wanita yang mengkhianati suaminya yang soleh. Isteri Nabi Nuh dan Nabi Luth mempunyai sifat kelima ini. Saat suaminya memperjuangkan kebenaran, mereka menjadi pengkhianat dakwah.

ALLAH SWT berfirman: “… perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Luth, mereka berdua berada di bawah jagaan dua hamba yang soleh daripada hamba-hamba Kami, dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing, maka kedua-dua suami mereka tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka daripada (azab) ALLAH dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): “Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (neraka).”  (Surah At-Tahrim: 10)

Golongan wanita yang dikisahkan al-Quran ini hidup ribuan tahun lalu. Namun, karakter dan sifatnya tetap ada sehingga kini. Ada jenis yang kukuh keimanannya dalam berjuang. Ada wanita solehah yang tetap beribadah dan tetap menjaga kesucian diri. Ada pula yang suka menghasut, menggoda dan menjadi pengkhianat. Semuanya terserah kepada kita untuk memilih yang mana.

ALLAH berfirman: “Dan sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada kamu ayat-ayat yang memberi penjelasan, dan contoh-contoh kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu dan sebagai pengajaran bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah An-Nur: 34)

Semoga dengan membaca kisah ini, kita tidak terjerumus pada lingkar dosa yang akan memenuhi neraka. Insya-ALLAH

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Adab melancong ke bumi dilaknat

Posted by epondok di Mei 27, 2021

MULANYA saya asyik mengapungkan diri dalam lautan yang serba masin itu. Rasanya sungguh unik kerana tubuh tidak tenggelam kerana kepekatan garam dalam airnya. Tiba-tiba sebuah hadis Rasulullah SAW menjengah minda. Tanpa tunggu saya terus melangkah keluar dari laut mati Jordan yang dikatakan menjadi tempat terbenamnya kaum Nabi Lut a.s. yang buas dan penggila seks songsang.”

Masih segar dalam ingatan perkongsian guru kami semasa belajar di Universiti Malaya 1998 dahulu. Apakah hadis yang dimaksudkan itu? Sabda Rasulullah SAW:

“Abdullah bin Umar r.a. menceritakan: (Pada tahun kesembilan hijrah ketika dalam perjalanan ke Tabuk untuk mempertahan Madinah daripada kemungkinan serangan tentera Rom) kami melalui kawasan al-Hijr (negeri kaum Thamud yang dimusnahkan Allah) bersama Rasulullah SAW. Baginda lantas bersabda: “Jangan kalian masuk ke negeri kaum yang menzalimi diri mereka sendiri (yang akhirnya dimusnahkan Allah) melainkan dalam keadaan menangis bimbangkan azab yang pernah menimpa mereka akan turut menimpa kalian.” Kemudian baginda mempercepat langkahnya sehingga meninggalkan tempat itu,” – Sahih Bukhari dan Muslim.

Tidak cukup dengan arahan itu, dalam hadis lain Rasulullah SAW mengarahkan para sahabat membuang atau memberi makan kepada unta semua gandum yang diuli menggunakan air dari perigi kaum Thamud. Jika para sahabat mahu mengambil air, mereka hanya dibenarkan mengambilnya dari perigi tempat bekas unta Nabi Saleh a.s. minum,” – Sahih Bukhari dan Muslim.

HIKMAH SEBALIK KEJADIAN

Mengapa perlu menangis ketika melalui tempat sebegini? Tangisan biasanya muncul ketika sedih, takut atau gembira. Arahan Nabi dalam hadis tersebut ada makna tersirat yang wajib difahami iaitu perlu berfikir dan mengambil pengajaran daripada musibah yang menimpa kaum tersebut. (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari).

Kegentaran hati melihat kesan kemusnahan mereka boleh mendatangkan tangisan keinsafan. Ia yang timbul setelah melihat kesan sejarah dengan mata kepala pastinya lebih membekas pada jiwa, bak kata pepatah Inggeris “seeing is believing.” Inilah juga yang banyak diulang Allah dalam al-Quran:

“Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian berdasarkan) peraturan Allah yang tetap, oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang yang mendustakan (para Rasul),” (Ali ‘Imran [3:137]).

Bahkan, jika kita lihat banyak sekali ayat al-Quran mencela sikap Musyrikin Quraish yang pekak dan buta mata hati tidak mahu mengambil iktibar daripada sejarah umat lampau sedangkan mereka selalu sahaja melihat serta melalui negeri yang pernah dimusnahkan Allah dalam perjalanan dagang mereka:

“Dan sesungguhnya kamu (yang menentang Nabi Muhammad): selalu sahaja berulang-alik (dalam musafir dan perjalanan dagang) melalui bekas tempat tinggal mereka, semasa kamu berada pada waktu pagi. Dan juga pada waktu malam; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya? (al-Saffat [37:137-138]).

IBRAH DARIPADA KAUM THAMUD

Bagi mengingatkan Muysrikin Quraish tentang kaum Thamud, Allah berfirman:

“Dan demi sesungguhnya penduduk ‘al-Hijr’ (Mada’in Salih) telah mendustakan para Rasul. Dan Kami telah berikan kepada mereka tanda-tanda (yang membuktikan kebenaran agama dan Rasul Kami); dalam pada itu, mereka terus juga berpaling (mengingkarinya). Dan mereka memahat sebahagian daripada gunung sebagai tempat tinggal dengan keadaan aman (daripada sesuatu bahaya). Meskipun demikian, mereka dibinasakan juga oleh letusan suara yang menggempakan pada bumi waktu pagi. Maka apa yang mereka telah usahakan itu, tidak dapat menolong mereka sedikit pun,” (al-Hijr [15:80-84]).

Mudahnya, sejarah umat lampau wajib diambil iktibar. Jika mereka soleh gemilang maka rahsia mereka wajib dihadamkan dan diubah suai mengikut situasi zaman. Jika mereka jahat dan hina maka sikap mereka wajib dijauhi. Jangan hanya melihat tempat mereka dalam gelak tawa sambil mencukupkan koleksi swafoto pelancongan pada musim cuti. Ambil peluang ziarah itu untuk mengukuhkan jiwa dan iman kepada kebenaran agama Allah.

Pergilah melancong! Ia mampu membuka mata hati dan menjadi bank pahala jika diisi dengan pengisian yang betul sebagaimana firman Allah:

“Maka bukan sedikit negeri yang Kami binasakan kerana kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar, dan istana yang tersergam (telah kosong, ditinggalkan). Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan yang tersebut – mereka menjadi orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada dalam dada,” (al-hajj [22:45-46]).

Agensi pelancongan yang menyediakan khidmat lawatan ke tempat sebegini seharusnya tidak hanya meninggalkan para pengunjung begitu sahaja tanpa bimbingan seperti anak ayam kehilangan ibu. Selaku penganjur, mereka perlu mengisi aktiviti ziarah dengan tazkirah agar kunjungan itu membuahkan takwa dan 
gerun kepada azab Allah.

Siapa Nabi
 SAleh a.s.?

l Sebelum Nabi Ibrahim dan selepas Nabi Hud

* Diutuskan kepada kaum Thamud – kaum yang mensyirikkan Allah dan memiliki kepakaran memahat gunung untuk dijadikan tempat tinggal.

* Antara mukjizat baginda, mengeluarkan unta betina daripada batu besar.

* Dilunaskan bagi memenuhi permintaan kaum baginda yang meminta bukti kerasulan

* Di negeri Thamud terdapat sembilan lelaki yang sangat jahat dan selalu menentang baginda.


* Unta itu kemudiannya dibunuh oleh Qudar bin Salif dan konco-konconya.

* Selepas itu merancang untuk membunuh Nabi Saleh dan para pengikut baginda.

* Namun mereka terlebih dahulu dimusnahkan Allah.

* Semasa Nabi Muhammad SAW menuju ke Tabuk pada tahun kesembilan hijrah, baginda berpesan dengan 
adab yang disebut 
rencana ini.

Memang matlamat orang 
kafir kalau boleh hendak melihat umat Islam terus tidak berpakaian. Tetapi mereka sedar untuk melakukannya secara langsung adalah mustahil, Oleh itu mereka memperkenal pelbagai jenis budaya dan fesyen 
untuk diikuti.

 

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Kepentingan syeikh tarekat patuhi syarat

Posted by epondok di Mei 26, 2021

Profesor Datuk Zakaria Stapa

 

MENGAPA seseorang syeikh sesebuah tarekat tasawuf itu mesti memenuhi syarat-syarat yang diletakkan oleh golongan sufi, sehingga syarat-syarat tersebut menjadi asas pengukuran sama ada betul atau salahnya sesebuah tarekat.

Dalam kata lain, mengapa seseorang syeikh yang tidak cukup syarat akan menjadi asas kepada berlakunya penyelewengan dalam sesebuah tarekat yang dipimpin oleh syeikh berkenaan? Sebenarnya persoalan ini berkait langsung dengan paling kurang dua perkara berikut:

  • Fungsi syeikh sebagai pembimbing kerohanian murid.
  • Fungsi murid yang mesti taat terhadap arahan dan suruhan syeikh.

Dalam menyempurnakan kedua-dua fungsi itu, seseorang syeikh mesti cukup dan sempurna syarat-syarat sebagai seorang syeikh. Jika tidak, syeikh itu sedang melakukan satu jenayah besar terhadap institusi tarekat tasawuf itu sendiri pada satu pihak, dan kepada murid yang datang dengan penuh ikhlas untuk dibimbing oleh syeikh berkenaan pada pihak yang lain. Demikianlah besar dan pentingnya syarat menjadi syeikh dalam sesebuah tarekat tasawuf.

PEMBIMBING KEROHANIAN

Dalam konteks sebagai pembimbing kerohanian, maka syarat syeikh yang mesti mempunyai ilmu pengetahuan, iaitu alim, khususnya tentang isi kandungan kitab al-Quran, hadis, ilmu fikah dan akidah adalah berkait langsung dengan proses bimbingan dan mentarbiahkan muridnya.

Sebagai contoh, renungkan dengan teliti betapa perlunya seseorang syeikh memiliki pengetahuan yang jelas mengenai isi kandungan al-Quran dan sunah apabila berhadapan dengan persoalan-persoalan sebagaimana digambarkan oleh:

1. Al-Shaykh Abu al-Hasan al-Shadhili, pengasas Tarekat al-Shadhiliyyah:

“Apabila kasyaf (penyingkapan rahsia alam ghaib melalui pandangan mata hati) yang engkau peroleh bertentangan dengan al-Quran dan sunah, maka hendaklah engkau berpegang kepada al-Quran dan sunah dan tinggalkan kasyaf tersebut.

“Dan katakan kepada diri engkau bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menjamin kepadaku kemaksuman kandungan al-Quran dan sunah, tetapi tidak begitu halnya dengan kandungan kasyaf, ilham dan mushahadah, melainkan setelah semua itu dipadankan dengan semangat kandungan al-Quran dan sunah lalu didapati tidak bertentangan dengan semangat isi kandungan kedua-dua sumber berautoriti tersebut.”

2. Seorang tokoh sufi, Sahl ‘Abd Allah al-Tustari bahawa setiap pengalaman wajd yang tidak disaksikan kebenarannya oleh al-Quran dan sunah adalah terbatal.

Pengalaman-pengalaman seperti kasyaf, ilham, wajd dan mushahadah adalah antara perkara yang kerap mendatangi diri dalam kalangan orang yang terlibat dalam kehidupan bertasawuf.

Persoalannya, bagaimanakah seseorang syeikh yang mengalami secara peribadi pengalaman-pengalaman seumpama di atas, atau yang terpaksa menyelesaikan masalah diadukan oleh muridnya yang mengalami perkara tersebut, dapat memberikan jawapan dan seterusnya membuat kesimpulan sama ada ia bertentangan atau sebaliknya dengan roh isi kandungan al-Quran dan sunah.

Bagaimana untuk seorang syeikh menjawabnya dengan tepat jika dia sendiri tidak memiliki pengetahuan mencukupi berhubung dengan kandungan al-Quran dan sunah? Pengetahuan itu amat penting, jika sebaliknya ia akan memudahkan syeikh dan muridnya terjerumus ke lembah penyelewengan.

ADAB SEBAGAI MURID

Perlu difahami bahawa seseorang murid semestinya mentaati suruhan dan arahan guru sehingga ke tahap seorang murid di hadapan syeikh bagaikan sekujur mayat di hadapan pemandi mayat yang membolehkannya melakukan apa sahaja terhadap mayat tersebut untuk tujuan pembersihan.

Perkara ini perlu difahami dalam perspektif yang betul, di mana keperluan ketaatan murid itu adalah untuk memudahkan proses pembersihan jiwanya bawah bimbingan seseorang syeikh.

Justeru, institusi tarekat tasawuf mengenakan syarat yang amat ketat kepada seseorang syeikh untuk membolehkannya menjadi syeikh. Malah dengan syarat-syarat itu sebenarnya telah menyempitkan kuasa yang diberikan kepada syeikh dalam hubungan dengan muridnya.

Dengan itu, ditegaskan bahawa seseorang syeikh tidak boleh bertindak sesuka hati terhadap murid yang berada bawah bimbingannya, kerana dia mesti menghayati dengan tepat segala syarat seorang syeikh. Jadi, seseorang murid bawah bimbingan seseorang syeikh yang cukup syarat sebenarnya telah berada dalam keadaan selamat.

Sebagai contoh dalam konteks fungsi murid yang perlu taat kepada syeikh, ia boleh dirujuk kepada syarat-syarat perlunya seseorang syeikh itu memiliki sifat-sifat zuhud, adil, takwa, suka menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Sebenarnya tanpa sifat-sifat mulia tersebut atau syarat-syarat khusus berkenaan, seseorang syeikh itu amat sukar untuk berperanan dengan sempurna dalam kerja pendidikan dan bimbingan.

Sementelah institusi tarekat tasawuf mensyaratkan para murid agar mentaati syeikh tanpa syarat dan menyerahkan segala apa yang ada pada dirinya untuk dididik serta dibimbing oleh syeikh terbabit.

Kuasa syeikh yang diberikan oleh institusi ini dalam urusan pentadbiran diri dan masa depan para murid adalah amat luas sekali. Dan tentunya syeikh ini akan terdedah luas dan mudah terperangkap kepada desakan serta kemahuan hawa nafsunya jika tidak memiliki syarat-syarat yang disebutkan di atas.

ELEMEN AJARAN SESAT

Kes-kes yang kerap terjadi dalam lingkungan apa yang diistilahkan sebagai ajaran sesat di Malaysia, yang mana guru memperalat murid, termasuk dalam hal berhubung dengan kepuasan seks, sebenarnya berpunca daripada kesilapan memilih syeikh atau guru yang tidak cukup syarat.

Oleh itu, golongan sufi memberikan perhatian serius terhadap syarat-syarat syeikh dan mereka menyenaraikan syarat-syarat tersebut demi keselamatan umat Islam.

Hal ini dijelaskan oleh al-Ghazali dengan mengatakan bahawa bagi seseorang syeikh mursyid itu banyak tanda dan syarat yang mesti dimilikinya:

  • “Dan kami menjelaskan kepada engkau secara ringkas supaya tidaklah boleh sebarang orang mengaku dirinya sebagai syeikh mursyid secara sewenang-wenangnya. Dan kejayaan seumpama ini (hasil pimpinan mursyid sejati) adalah amat jarang, khususnya pada zaman ini (pada zaman al-Ghazali).”
  • “Sesungguhnya ramai orang yang mengaku diri mereka sebagai mursyid sedangkan mereka pada hakikatnya mengajak manusia ke arah kelalaian dan kekosongan semata-mata. Malah kebanyakan golongan mulhidin (menyeleweng daripada ajaran Islam) itu pun mengaku sebagai mursyid juga, sedang tindak tanduk mereka bertentangan dengan syariat secara terang-terang.”

 

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Al-Mujahadat dalam ilmu tasawuf

Posted by epondok di Mei 25, 2021

RUANGAN kali ini akan mula membicarakan secara lebih khusus kepada kandungan ilmu tasawuf iaitu sebagai proses untuk memperkenalnya secara lebih mendalam. Maka, penggunaan istilah-istilah khusus tidak dapat dielakkan kerana disiplin ilmu tasawuf dan tarekat sememangnya banyak menggunakan istilah yang perlu difahami dalam bentuk dan konteksnya yang tersendiri sekiranya ilmu tersebut hendak difahami dengan baik.

Kesilapan memahami istilah-istilah khusus tersebut boleh menyebabkan berlakunya kekeliruan dan kadang-kadang tohmahan yang tidak wajar kepada ilmu penting ini yang datang daripada rahim peradaban Islam.

Perbincangan ini dimulai dengan memperkenal dua istilah utama, al-mujahadat dan al-madhaqat yang merupakan pengikat kepada suatu rangkuman keseluruhan terhadap apa yang perlu ditekuni, dialami dan dihayati sepanjang perjalanan kehidupan seseorang sufi.

Dalam konteks ini, kehidupan seseorang yang terbabit dalam dunia kesufian terbahagi kepada dua bahagian atau bentuk:

1. Kehidupan mujahadah (hayat al-Mujahadah).

2.Kehidupan mushahadah (hayat al-Mushahadah).

Justeru, dalam keseluruhan perjalanan kehidupan, golongan sufi membezakan antara bentuk kehidupan yang melibatkan usaha gigih dan kerja keras kezuhudan, riyadat dan ibadat pada satu pihak dengan bentuk kehidupan yang dihayati bersama pencapaian pelbagai pengalaman kasyaf pelbagai makna, asrar, petanda serta mawajid yang juga dikenali sebagai pencapaian pelbagai al-Madhaqat.

Dua bahagian atau bentuk kehidupan ini, secara mudahnya boleh diungkapkan sebagai peringkat wasilah pada satu pihak, dan peringkat matlamat pada pihak yang lain.

Oleh itu, al-Mujahadat dan al-Madhaqat merupakan dua bentuk kehidupan berbeza yang perlu ditempuh secara gigih, dialami dan dihayati oleh seseorang yang berjaya dalam kehidupan kesufian.

Kedua-dua bentuk kehidupan inilah yang mendefinisikan dan menjadi isi kandungan kepada keseluruhan penghayatan ilmu tasawuf. Justeru, dalam lain perkataan, keseluruhan kehidupan bertasawuf adalah perkara-perkara yang terangkum dalam dua istilah utama ini: al-Mujahadat dan al-Madhaqat.

PENGORBANAN DEKATI ALLAH

Dalam tulisan ini, fokus akan diberikan terlebih dahulu kepada aspek al-Mujahadat dan selepas itu barulah beralih kepada al-Madhaqat.

Al-Mujahadat adalah kata jamak kepada al-mujahadah dan dalam keadaan asalnya adalah sama dengan istilah al-Jihad, iaitu pengorbanan segala sesuatu demi kerana Allah SWT serta memerangi musuh-Nya.

Namun al-Mujahadah dalam penggunaan ilmu tasawuf dirujuk secara khusus kepada peperangan terhadap nafsu dan penghindaran daripada segala tuntutannya berasaskan keyakinan bahawa ia merupakan musuh utama yang berfungsi sebagai agen menjerumuskan manusia ke arah kehancuran dan menjauhkan mereka daripada tuntutan-tuntutan agama.

Oleh itu, al-Mujahadah dalam konteks ilmu tasawuf merupakan suatu bentuk pengalaman kemanusiaan manusia dalam usaha gigih memerangi nafsu.

Nafsu bagi istilah kesufian merujuk kepada diri kehaiwanan manusia yang merupakan pusat kepada syahwat dan al-hawa serta tempat terbitnya segala bentuk kejahatan dan dosa dalam diri manusia. Menurut analisis dan pengalaman golongan sufi, syahwat dan al-hawa adalah tabiat buruk yang terdapat dalam nafsu manusia.

Syahwat:

* Merujuk kepada tuntutan untuk mendapatkan kelazatan.

* Ia muncul pada setiap sudut badan manusia yang sentiasa cuba merealisasikan pelbagai tujuannya dan pancaindera manusia ditagih untuk memberikan khidmat merealisasikan tuntutan tersebut.

* Tanpa mengira halal haram dan betul salahnya, syahwat perut adalah makan dan minum, syahwat lidah adalah bercakap, syahwat mulut merasa (mengecap), syahwat tubuh bersentuhan, syahwat akal berfikir dan begitulah seterusnya.

Al-Hawa:

* Merujuk kepada kecenderungan tabii yang menguasai nafsu dan segala perbuatannya dalam kerangka merealisasikan kegemaran nafsu tersebut.

* Bertentangan dengan akal murni manusia. Pada asasnya, diri manusia bagaikan medan tempur antara akal murni dan al-hawa

* Perbuatan manusia yang muncul daripada al-hawa dan direstui pula oleh nafsunya adalah berada jauh daripada Allah SWT dan dekat dengan syaitan.

* Perangai syaitan adalah aspek kehaiwanan diri manusia dan sebab itulah golongan sufi sentiasa berusaha sungguh-sungguh untuk melepaskan diri daripadanya.

Kejahatan dan dosa yang berpusat pada nafsu pada umumnya, terbahagi kepada dua iaitu pelbagai perlakuan maksiat; dan akhlak buruk serta sifat-sifat keji, seumpama ujub, hasad, marah, takbur, riyak dan lain-lain bentuk akhlak buruk yang pada keseluruhannya ditolak oleh syarak serta akal murni.

Kepakaran dan pengetahuan mendalam manusia mengenai nafsu diri mereka bersama dengan segala sesuatu yang berkaitan dengannya adalah amat penting untuk menjamin kejayaan usaha mujahadah yang mereka jalani.

Dan sesungguhnya aspek-aspek ini merupakan satu psikologi rohaniah yang amat mendalam dan penting dalam disiplin ilmu tasawuf.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Teladani 4 tokoh, jadilah wanita dirindui syurga

Posted by epondok di Mei 23, 2021

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

 

MANUSIA tidak kira lelaki dan wanita diciptakan untuk mengabdikan diri kepada Allah dengan ketaatan yang penuh, sekali gus mengisi kehidupan dunia berdasarkan aturan yang ditetapkan yang mempunyai tugas serta peranan masing-masing.

Di sebalik perbezaan peranan dan fungsi lelaki dan wanita itu, kedua-dua jantina ini saling lengkap-melengkapi dan mewujudkan keseimbangan hidup di dunia.

Pelakon, penulis, pengacara dan pereka fesyen Muslimah berasal dari Batam, Indonesia, Oki Setiana Dewi, berkata wanita perlu mengetahui peranannya di muka bumi sebagai hamba Allah dan khalifah di dunia supaya dapat melaksanakan tuntutan wanita sebagai isteri, anak dan anggota masyarakat.

Oki berkata, semua peranan itu perlu dilakukan secara maksimum yang mungkin, untuk mengejar cita-cita menjadi wanita penghuni syurga.

“Kewajipan utama wanita tentu sekali untuk mengabdikan dan menyembahkan diri hanya kepada Allah SWT yang bermakna tiada satu yang berhak diikuti selain daripada yang diperintahkan-Nya.

“Kecintaan dan pengabdian wanita terhadap suami, ibu, dan keluarga tidak boleh melebihi terhadap Allah SWT hingga mengikut perintah suami juga perlu dalam kerangka yang tidak bertentangan dengan perintah-Nya,” katanya dalam ceramah Menjadi Wanita Yang Dirindu Syurga yang diadakan di Masjid Al-Shariff, Gombak.

Oki berkata, Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat ke-30 bahawa Dia memilih manusia menjadi khalifah di muka bumi ini, sekali gus menjadikan peranan wanita perlu terarah tugasnya sebagai khalifah atau pemimpin.

Beliau juga memetik firman Tuhan: “Kaum lelaki ialah pemimpin dan pengawal bertanggungjawab terhadap kaum perempuan hingga Allah SWT melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas perempuan dan juga kerana orang lelaki membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian harta mereka. Maka perempuan yang soleh ialah yang taat (kepada Allah SWT dan suaminya) serta memelihara (kehormatan dirinya dan apa juga yang wajib dipelihara) ketika suami tidak bersama dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya. (An-Nisaa: 34)

“Isteri yang baik perlu memberikan kebahagiaan dan membantu suaminya dalam menjalankan tugas di rumah dengan suami bertanggungjawab mencari nafkah manakala isteri menguruskan hal ehwal rumah.

“Menjadi isteri solihah juga ciri seorang taat kepada Allah SWT, menjaga kehormatan diri ketika ketiadaan suami, selain itu, apabila dipandang pasangannya menjadi penyejuk mata,” katanya.

Mengenai peranan wanita terhadap anak-anak, Oki berkata, mereka menjadi anugerah Allah SWT yang perlu dididik untuk menjadi penyambung tugas khalifah, apatah lagi golongan itu paling dekat dengan anak sejak daripada kandungan dan kelahiran hingga dewasa.

“Golongan wanita dikurniakan kemampuan dan kesabaran tinggi untuk mendidik anak-anak. Oleh itu, memberikan pendidikan kepada anak-anak antara tanggungjawab terbesar wanita,” katanya.

Oki berkata, wanita juga mempunyai peranannya tersendiri dalam masyarakat termasuk menjadi sumber inspirasi kepada orang lain selagi berada dalam keredaan Allah SWT.

“Jika ada ilmu, ia harus diajar dan disebarkan ke jalan Allah SWT yang tidak akan berkurang sebaliknya akan terus bertambah.

“Begitu juga dengan sedekah kerana Allah SWT menjadikan gandaan di sebalik, malah mereka tidak akan jatuh miskin sebaliknya akan digantikan dengan perkara tidak disangka,” katanya.

Oki menyarankan golongan wanita supaya mencontohi empat wanita yang bakal sebagai penghulu wanita di syurga seperti sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik muslimah syurga ialah Khadijah, Fatimah, Maryam dan Asiyah. (HR Baihaqi)

Oki berkata, keempat-empat wanita itu ialah isteri solihah yang sangat luar biasa kerana tetap menunjukkan ketaatan dan ketakwaan kepada Allah SWT walaupun diuji dengan hebat, sekali gus banyak pengajaran yang boleh dijadikan teladan kepada wanita generasi masa kini.

“Khadijah RA memenuhi hidupnya dengan perjuangan isteri yang mendampingi suami, iaitu Rasulullah SAW dalam perjuangan menegakkan Islam, sekali gus berusaha menjadi penenang ketika Baginda diuji.

“Beliau bukan saja penasihat, bahkan perawat yang menenangkan Rasulullah SWT, selain sentiasa memahami masalah dan situasi dihadapi Baginda.

“Asiyah yang juga isteri Firaun yang terkenal sebagai pemerintah zalim dan kejam tetapi akidah serta imannya teguh terhadap Allah SWT, sekali gus terus menjaga kemuliaan diri dengan akhlak baik dan terpuji,” katanya.

Kata Oki, Fatimah RA, puteri Rasulullah SAW pula wanita atau ibu hebat dalam menguruskan rumah tangganya yang sentiasa melawan rasa lelah mengadun tepung, menimba air dan mengurus anak-anak.

“Fatimah pernah mengadu kepada Rasulullah SAW mengenai kepenatan menguruskan tugas seharian, lalu Baginda menyuruhnya berzikir dan berpesan nikmat diperoleh sebagai isteri seperti berjihad di jalan Allah SWT hingga tidak lagi mengeluh,” katanya.

Begitu juga Maryam, ibu Nabi Isa AS, Oki berkata, wanita itu wajar menjadi contoh terbaik dalam menghiasi kehidupan dengan mentaati Allah SWT.

Beliau tidak terpedaya dengan kesenangan dunia malah terus menghambakan diri dengan melakukan ibadat siang dan malam serta menjaga kehormatan diri daripada sekecil-kecil perbuatan maksiat.

“Ujian berat dianugerahkan kepadanya menjanjikan hikmah besar. Walaupun dihina dan dicaci kerana melahirkan zuriat tanpa suami, beliau tetap reda dan yakin Allah SWT menyediakan ganjaran hebat,” katanya.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Pengajaran wasiat Muhammad al-Fateh

Posted by epondok di Mei 22, 2021

Oleh Dr Burhanudin Jalal

KISAH Panglima Muhammad al-Fateh (Sultan Mehmed II) sentiasa segar walaupun sentiasa dibincang dan diperkatakan. Mengulang-ulang kisah hidupnya dalam lipatan sejarah kegemilangan peribadi, kepemimpinan dan pemerintahannya tidak pernah menjemukan.

Kehidupan, keperibadian dan kepemimpinan Muhammad al-Fateh dapat memberikan gambaran secara jelas dan terperinci mengenai ketakwaan, keyakinan dan kepatuhannya kepada agama dan Allah SWT menjadikan beliau sultan yang adil, amanah, berwawasan serta penyayang terhadap rakyatnya. Ini seperti digambarkan melalui sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Constantinople akan ditakluki. Maka sebaik-baiknya pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya dan yang akan menakluknya.”

Tempoh menjadi sultan selama 31 tahun (855-888 Hijrah atau 1451-1481 Masihi) adalah satu tempoh yang lama. Muhammad al-Fateh terkenal sebagai pemimpin mempunyai visi dan wawasan yang jelas. Strategi peperangan beliau amat luar biasa dan tenteranya berjaya mencipta meriam, senjata baharu pada ketika itu.

Keperibadian Muhammad al-Fateh sebagai sultan amat disenangi rakyat jelata, mampu membawa panji Islam ke mercu kegemilangan dan sentiasa dikenang. Satu aspek perlu dihayati bersama khususnya pemimpin pada semua peringkat ialah keutamaan al-Fateh mementingkan urusan agama berbanding yang lain. Ini dapat dibuktikan melalui wasiat beliau untuk anaknya ketika hendak meninggal dunia. Wasiat yang mengungkapkan prinsip beliau menjalani kehidupan, nilai serta keyakinan yang dipegang supaya terus disuburkan oleh khalifah berikutnya.

Wasiat dulukan rakyat

Antara lain wasiat itu mencatatkan: “Tidak lama lagi aku akan mati, tetapi aku tidak pernah menyesal kerana aku telah meninggalkan calon pengganti dan penerus seperti kamu. Jadilah orang yang adil, soleh dan penyayang. Lindungilah seluruh rakyatmu tanpa membeza-bezakan dan bekerjalah untuk menyebar agama Islam. Ini adalah kewajipan seluruh raja di atas muka bumi ini, dahulukan perhatianmu kepada urusan agama berbanding urusan yang lain. Jangan berhenti untuk terus melaksanakannya. Jangan memilih orang yang tidak mengutamakan urusan agama, tidak menjauhi dosa besar dan tenggelam dalam maksiat. Jauhilah juga bidaah yang merosakkan. Jauhilah orang yang mengajak kamu melakukan bidaah. Perluaskanlah negeri kamu dengan berjihad dan janganlah sampai harta baitulmal itu dibazirkan. Jangan mengambil harta seorang pun dari rakyat kamu kecuali dengan mengikut aturan Islam. Berikanlah jaminan makanan dan keselamatan bagi orang yang lemah. Muliakan orang yang berhak dengan sebaik-baiknya. Ketahuilah bahawa ulama adalah satu kekuatan yang ada dalam tubuh negara kamu, maka muliakanlah kehormatan mereka dan motivasikanlah mereka dengan sumber kekuatan dan kekuasaan yang kamu miliki. Jika engkau mendengar ada ulama di negeri yang jauh, maka jemputlah ia datang dan muliakannya. Waspada dan berhati-hatilah, jangan sampai engkau terlena dan terpesona dengan harta dan kekuatan yang banyak. Jangan sampai engkau menjauhi ulama syariat dan jangan sampai engkau cenderung melakukan amalan yang menyalahi syariat. Agama adalah tujuan kita, hidayah adalah jalan hidup kita dan dengan keduanya kita akan menang. Ambillah pengajaran daripada diriku. Aku datang ke negeri ini seperti semut yang kecil, lalu Allah memberikan aku semua nikmat yang besar ini. Oleh itu, ikutilah dan jejaklah apa yang aku lakukan. Bekerjalah untuk meneguhkan agama ini dan muliakan pengikutnya. Jangan menggunakan wang negara untuk kemewahan dan sia-sia atau membelanjakan lebih daripada sepatutnya kerana ia penyebab terbesar kebinasaan.”

Suka berahsia

Sultan Muhammad al-Fateh meninggal dunia pada 4 Rabiulawal 886 Hijrah (3 Mei 1481) di Askodra, dalam sebuah khemah di kelilingi anggota tenteranya. Ketika hampir dengan kematian itu, beliau sedang merancang satu misi besar tetapi masih dirahsiakan dan tidak diketahui tujuan atau masa pelaksanaannya. Muhammad al-Fateh sentiasa merahsiakan strategi ketenteraan walaupun kepada panglima tentera yang terdekat dengannya. Dalam menjaga kerahsiaan ini, Muhammad al-Fateh pernah menyatakan: “Jika aku sengaja memberitahu kepada satu helai janggutku, maka pasti aku akan mencabutnya.”

Selepas Muhammad al-Fateh meninggal dunia, lima khalifah meneruskan pemerintahan dan kepemimpinan, seorang daripadanya ialah Sultan Sulaiman I yang digelar oleh pihak Barat sebagai ‘Solomon the Great’. Ternyata empayar Uthmaniah terus gemilang selepas ketiadaan Muhammad al-Fateh dan wasiat beliau penting kepada penggantinya. Semoga wasiat itu dapat diteladani dan diwarisi generasi hari ini bagi membawa Malaysia ke arah kegemilangan, kecemerlangan, mendapat keampunan dan keberkatan Allah SWT

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Syawal duga keberkesanan madrasah Ramadan

Posted by epondok di Mei 17, 2021

Penerusan ibadah dengan amalan sunah kekalkan ketakwaan

Madrasah Ramadan adalah proses tarbiah buat hati, jiwa dan roh yang mampu mendekatkan diri kepada Allah.

Natijah daripada segala proses di madrasah Ramadan ini melahirkan hati yang bertakwa kepada Allah SWT di mana takwa adalah pakaian Mukmin untuk menggalas cabaran selama 11 bulan yang akan datang.

Ketika ini juga akan teruji madrasah Ramadan yang telah berlalu selama sebulan dan adakah segala amal ibadah dan amal soleh yang telah dilaksanakan dapat direalisasikan dalam bulan Syawal ini.

Mereka yang berjaya diubah oleh tarbiah Ramadan adalah orang yang amat beruntung kerana terlepas daripada kehinaan yang telah dinyatakan oleh Baginda SAW. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Amat jauh daripada rahmat Allah SWT bagi sesiapa yang sempat bertemu bulan Ramadan, tetapi tidak menggunakan peluang dengan sebaiknya, maka Allah tidak mengampunkannya.”(Hadis Riwayat Hakim).

Orang bertakwa nikmat kemanisan Ramadan

Orang yang benar-benar dapat menikmati kemanisan dan kegembiraan sambutan Aidilfitri adalah orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. Mereka inilah yang tergolong dalam golongan orang yang sentiasa meninggalkan larangan Allah di samping mentaati syiar Islam sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah SWT bermaksud: “Demikianlah ajaran Allah. Sesiapa yang menghormati syiar agama Allah maka dialah orang yang bertakwa kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat takwa hati Mukmin” .(Surah Al-Hajj ayat 32).

Sabda Rasulullah SAW bermaksud : “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh rasa keimanan dan penghayatan akan diampuni segala dosanya yang lalu”. (Riwayat Bukhari & Muslim). Hadis ini menunjukkan bahawa mereka yang dapat melepasi Ramadan dengan sempurna akan mendapat bonus keampunan daripada Allah SWT. Ini bergantung kepada sejauh manakah kita dapat mengikuti terma dan syarat yang ditetapkan. Ramai yang tidak menduga bahawa dugaan sebenar adalah pada bulan Syawal kerana penurunan peningkatan kualiti ibadah kita berlaku dengan begitu mendadak sekali terutama apabila selesai solat Aidilfitri.

Masjid, surau lengang

Masjid dan surau akan menjadi lengang, al-Quran akan disimpan dan kembalilah aktiviti kebiasaan yang dilakukan sebelum Ramadan. Mereka yang telah berjinak-jinak dengan masjid sudah mula menjauhi diri dan melipat sejadahnya. Mereka kembali kepada dunia seperti sebelumya dengan begitu ghairah sekali.

Menyedari hakikat inilah, Baginda SAW menyeru kita, agar tekun dan terus melaksanakan amalan sunat walau berakhirnya Ramadan supaya kita senantiasa mengingati apakah tujuan Allah menghidupkan dan memanjangkan usia kita di muka bumi ini. Ibadah mestilah diteruskan kerana kehidupan kita sentiasa disambung oleh Allah SWT. Ibadah puasa juga tidak akan habis sehingga penghujung nyawa. Banyak puasa sunat yang dianjurkan khususnya puasa nabi Daud a.s yang berpuasa sehari dan berbuka sehari. Puasa Asyura, puasa Muharam, puasa Isnin dan Khamis dan lain-lain. Baginda SAW juga menyeru umat Islam agar terus mengerjakan ibadah puasa enam hari pada bulan Syawal di mana Baginda SAW telah berwasiat pada Sayyidina Ali r.a. yang bermaksud : “Wahai Ali, sesiapa antara kamu yang menyambung puasa Ramadan dengan enam hari di bulan Syawal, maka Allah akan menulis baginya pahala puasa satu tahun penuh.” (Al-Hadith). Amalan solat berjemaah di masjid setiap hari mestilah diteruskan di samping meneruskan ibadah qiamullail dan iktikaf. Lidah juga hendaklah dibasahi dengan zikir, terutama melalui pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Bersedekah, berwakaf dan berzakat sepanjang masa serta memelihara silaturahim antara sesama manusia.

Keistimewaan bulan Syawal

Keistimewaan bulan Syawal adalah disebabkan sepanjang bulan itu adalah hari raya, hari kemenangan dan kegembiraan. Ia juga hari kesyukuran dan menambah amal kebaikan yang sedia terkumpul sejak Ramadan. Ia juga adalah bulan keampunan sebagaimana yang disabdakan Rasulullah SAW dari Ibnu Mas’ud r.a. yang maksudnya: “Apabila mereka berpuasa sebulan Ramadan lalu pergi untuk mengerjakan solat Aidilfitri, Allah Taala berfirman : “Hai para Malaikat-Ku, tiap-tiap orang yang beramal itu mengharapkan pahalanya, dan para hamba-Ku yang berpuasa dalam bulan Ramadan lalu menunaikan solat Aidilfitri juga mengharapkan pahalanya, maka oleh kerana itu saksikanlah, bahawa sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka.” Lalu ada seruan : “Hai umat Muhammad, kembalilah kamu ke rumahmu masing-masing, sesungguhnya semua kejahatanmu telah diganti dengan kebaikan.” Maka Allah Taala berfirman: “Hai para hamba-Ku, kamu semua telah berpuasa untuk-Ku dan juga telah berbuka untuk-Ku, oleh kerana itu bangkitlah kamu semua, kamu semua telah diampuni.” (Zubdatul Wa’izhiin).

Syawal juga bulan yang dimakbulkan doa melalui rahmat daripada Allah SWT serta kasih sayang-Nya. Rahmat ini telah dicetuskan oleh amalan baik selepas Ramadan apabila kesan tarbiah Ramadan sudah dapat dicernakan oleh jiwa manusia.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Bersungguh-sungguhlah kamu semua pada Aidilfitrii dengan bersedekah dan amalan-amalan yang baik, yang bagus dari solat, zakat, tasbih, tahlil kerana sesungguhnya hari ini Allah Taala mengampuni semua dosa kamu. mengabulkan semua doamu dan melihat kamu semua dengan kasih-sayang. “Allah SWT berfirman: “Hai para Malaikat-Ku, saksikanlah olehmu semua, bahawa sesungguhnya telah-Ku jadikan pahala mereka atas puasanya itu, keredaan-Ku dan ampunan-Ku.” (Hadith Qudsi).

Pada hari ini, ramai yang memahami bahawa hari raya adalah hari untuk menghabiskan segala dana untuk menggantikan segalanya dengan yang baru.

Bermewah-mewah, hiburan dan sebagainya. Pembaziran berleluasa sehingga mengabaikan tanggungjawab sebenar sebagai seorang Muslim. Kita lupa bahawa itu adalah hari untuk bersyukur, memuji, memuja dan membesarkan Allah SWT.

Aidilfitri ialah adalah hari untuk mengembalikan fitrah manusia kepada keadaan asal semula jadi yang suci dan murni.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »