Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Tradisi, kaedah pembacaan kitab hadis

Posted by epondok di April 3, 2021


Dr Mohd Khafidz Soroni

Setelah kitab hadis dibukukan pada kurun ketiga dan keempat Hijrah, kebanyakan ulama kemudian memberi tumpuan mempelajari serta mengajarkannya kepada penuntut ilmu.

Persambungan sanad riwayat kepada kitab ini sudah cukup menjadi satu kebanggaan dan kemuliaan buat mereka. Tradisi pengajian demikian terus diwarisi dari satu zaman ke satu zaman.

Terdapat tiga bentuk pembacaan kitab hadis yang diamalkan oleh ulama hadis. Pertama, bacaan secara cepat tanpa syarahan (kaedah sard). Kedua, bacaan berserta syarahan sederhana (kaedah hall wa bahth). Ketiga, bacaan berserta syarahan terperinci (kaedah im’an).

Kaedah sard, iaitu bacaan kitab hadis secara laju tanpa syarahan daripada guru biasanya bertujuan memenuhi syarat persambungan sanad hadis antara guru dengan murid. Kadar kelajuan bacaan juga mungkin berbeza antara individu. Misalnya, dalam pembacaan Sahih al-Bukhari, al-Hafiz Abdul Aziz al-Abdusi (wafat 837H) mampu mengkhatamkannya dalam sehari.

Syeikh Muhammad bin Abdul Kabir al-Kattani (wafat 1327H) pernah mengkhatamkan Sahih al-Bukhari daripada selesai solat Subuh sehingga hampir masuk waktu Zuhur di Jami’ al-Qurawiyyin, kota Fez yang dihadiri oleh ribuan orang.

Diikuti tempoh tiga majlis sehingga tempoh beberapa belas majlis. Antaranya, al-Khatib al-Baghdadi (wafat 463H) mempelajari seluruh Sahih al-Bukhari daripada Ismail al-Hairi dalam tiga majlis. Imam al-Qastallani (wafat 923H) membacanya dalam lima majlis. Diikuti Imam Burhanuddin al-Biqa’i (wafat 935H) yang mempelajari kitab Sahih al-Bukhari seluruhnya daripada Badruddin al-Ghazzi dalam masa enam hari.https://729efe0bd6b8410f2b9a64fc9025c6b9.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html

Al-Malik al-Asyraf Musa al-Ayyubi (wafat 635H) setelah membina Dar al-Hadith al-Asyrafiyyah di Dimasyq mendengar Sahih al-Bukhari dengan bacaan Musnid al-Syam al-Husain bin al-Mubarak al-Zubaidi dalam lapan hari.

Syeikh Ali bin Abdullah al-Tawqadi (wafat 1199H) pula mempelajari kitab Sahih al-Bukhari daripada Murtadha al-Zabidi di rumahnya dalam 12 majlis. Imam Ibn al-Jaza’iri (wafat 666H) mendengarnya dengan bacaan Ibn Ruzibah al-Baghdadi dalam 14 majlis. Syeikh Fadhl al-Rahman al-Hindi (wafat 1313H) mempelajarinya daripada Muhammad Ishaq al-Dihlawi dalam masa beberapa belas hari.

Dalam pembacaan Sahih Muslim pula, Imam Talhah bin Muzaffar al-Althi (m. 593H) pernah mengkhatamkannya dalam tiga majlis. Imam al-Fairuzabadi (wafat 816H) mempelajarinya daripada Nasiruddin ibn Jahbal dalam masa tiga hari berhadapan tempat simpan capal Nabi SAW di Dimasyq.

Al-Hafiz al-Iraqi (wafat 806H) pula mempelajari kitab Sahih Muslim daripada Muhammad bin Ismail bin al-Khabbaz dalam enam majlis manakala al-Hafiz Ibn Hajar (wafat 852H) pernah membacanya di dalam empat majlis sahaja.

Antara kitab hadis lain yang dibaca cepat ialah kitab Sunan Ibn Majah yang pernah dibaca oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam empat majlis, kitab besar Sunan al-Nasa’i al-Kubra dalam 10 majlis yang setiap satunya sekitar empat jam dan beliau pernah membaca kitab al-Mu’jam al-Saghir oleh al-Tabarani dalam satu majlis sahaja di antara Zuhur dan Asar.

Imam Burhanuddin al-Abnasi (wafat 802H) pernah mempelajari dua kitab, Jami’ al-Tirmizi dan Sunan Abi Dawud daripada Ibn Amilah di Dimasyq dalam masa lapan hari. Begitu juga Imam Muhammad bin Khalaf al-Maqdisi (wafat 618H) mendengar kedua-duanya dengan bacaan Umar ibn Tabarzad dalam masa kurang daripada 10 hari.

Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Kurani (wafat 1145H) mempelajari kitab al-Muwatta’ daripada Abu al-Asrar al-Ujaymi dalam 11 majlis. Imam al-Maqrizi (wafat 845H) pula mendengar dalam 15 majlis kitab Sunan Ibn Majah dengan bacaan Abu al-Abbas al-Jawhari.

Kaedah hall wa bahth iaitu bacaan kitab hadis berserta syarahan sederhana daripada guru yang mengambil masa sedikit lama. Misalnya, Syeikh Muhammad bin ‘Ali al-Sanusi (wafat 1076H) pernah membaca Sahih al-Bukhari dalam masa sebulan, Sahih Muslim dalam masa 25 hari dan al-Sunan dalam masa 20 hari.

Syeikh Jamaluddin al-Qasimi (wafat 1332H) pula memperdengarkan Sahih Muslim secara periwayatan dan syarahan dalam masa 40 hari. Syeikh Muhammad Abid al-Sindi (wafat 1257H) pernah membaca di Masjid Nabawi enam kitab, al-Kutub al-Sittah dalam masa sebulan secara periwayatan, diikuti pula secara syarahan dalam tempoh enam bulan.

Ketiga, kaedah im’an iaitu bacaan kitab hadis berserta syarahan terperinci dan mendalam daripada guru dan mengambil masa yang agak lama. Misalnya, Syeikh Abdul Hayy al-Kattani (wafat 1382H) pernah mengajarkan kitab Sahih al-Bukhari secara mendalam di Jami’ al-Qurawiyyin dalam 50 majlis. Kaedah pengajian ini boleh memakan masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya dan bukan menjadi satu keanehan dalam pembelajaran ilmu hadis.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
<span>%d</span> bloggers like this: