Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Hitung kebaikan, dosa sendiri jauhi riak

Posted by epondok di April 1, 2021


Oleh Ahmad Sabki

PENYAKIT rohani yang mengancam kemurnian akidah umat Islam ialah sifat riak yang masih wujud walaupun ia dibenci Allah. Riak boleh membinasakan segala kebaikan dan pahala amal soleh seseorang itu. Sifat riak boleh dihindari dengan memperkuat dan mempertingkatkan iman sementara hati sentiasa takut akan azab dan seksaan Allah di akhirat nanti.

Imam Al-Ghazali berkata, riak adalah mencari kedudukan pada hati manusia dengan memperlihatkan kepada mereka hal kebajikan. Imam Habib Abdullah Haddad pula berpendapat, riak ialah menuntut kedudukan atau minta dihormati orang ramai dengan amalan yang ditujukan untuk akhirat.

Allah berfirman maksudnya: “Maka celakalah (azab) bagi orang yang solat, yang mereka itu lalai dari solat lagi mereka itu riak”. (Surah Al-Maun: 4 hingga 6) Firman Allah lagi bermaksud: “Hai orang beriman janganlah kamu batalkan sedekahmu dengan mencerca dan menyakiti seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia”. (Surah Al-Baqarah: 264)
Paling mudah disimpulkan, riak adalah perbuatan yang semata-mata bertujuan mengharapkan sanjungan, pujian atau penghormatan orang lain. Hal ini bertentangan kehendak Islam yang menyeru umatnya beramal atau melakukan perkara kebajikan dengan hati ikhlas mengharapkan keredaan Allah.

Jika penyakit riak dibiarkan terus bersarang dalam hati seseorang, lama kelamaan ia akan membinasakan kemurnian akidah, keluhuran akhlak dan kesempurnaan amal umat Islam. Memang ada kalangan umat Islam yang melakukan sesuatu amalan kebajikan atau ibadat hanya untuk mengaburi mata orang ramai.

Mereka melakukan amalan kebajikan atau ibadat untuk menunjukkan kononnya mereka itu baik, pemurah, warak atau rajin beribadah.
Mereka lakukan perkara itu kerana didorong hawa nafsu yang sentiasa berusaha memesongkan mereka yang lemah imannya. Hal ini diingatkan Allah dalam firman bermaksud: “Dan janganlah kamu turut hawa nafsu, nanti ia menyesatkan kamu dari (agama) Allah”. (Surah Sad: 26)

Rasulullah sentiasa mengingatkan umatnya supaya menjauhkan diri daripada perbuatan riak. Sabda baginda bermaksud: “Awaslah kamu jangan mencampuradukkan antara taat pada Allah dengan keinginan dipuji orang (riak), nescaya gugur amalanmu” (Hadis riwayat Ad-Dailami)

Sabda baginda lagi: “Suatu yang paling aku khuatirkan kamu ialah syirik kecil, lalu ditanya oleh sahabat: Apakah syirik kecil itu ya Rasulullah? Kemudian baginda bersabda: Riak”. (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Untuk menjauhkan diri ataupun membersihkan hati daripada amalan riak maka setiap Muslim hendaklah memperhitungkan diri sendiri berapa banyak kebaikan serta dosa dilakukan supaya terus berhati-hati dalam setiap gerakan dan apa juga tindakan yang akan dilakukan.

Firman Allah bermaksud: “Dan orang yang melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon. Dan tiada siapa yang mengampuni dosa melainkan Allah dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya sedang mereka mengetahui”. (Surah Ali-Imran: 135)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: