Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for April 2021

Ramadhan Bulan kumpul pahala, hindari dosa

Posted by epondok di April 30, 2021

UMAT Islam seharusnya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana diberi kesempatan sekali lagi untuk berada di bulan mulia yang penuh keberkatan, iaitu bulan Ramadan 1442 Hijrah.

Ramadan mempunyai banyak keistimewaan terutama pada ibadat puasa, dipertanggungjawabkan ke atas setiap individu Islam yang mencukupi syarat kewajipannya.
Pada bulan mulia ini diturunkan al-Quran, dihapuskan dosa dan dilimpahi ganjaran berganda, malah terdapat satu malam yang sangat baik berbanding 1,000 bulan iaitu malam al-Qadar yang dikhususkan kepada orang beriman.

Sesuai dengan kelebihannya itu, Ramadan dikenali juga bulan kerahmatan dan kemenangan, bulan keampunan, pembebasan daripada api neraka dan bulan ibadat, lebih-lebih lagi pada Ramadan dikhaskan dengan solat sunat Tarawih.

Keistimewaan Ramadan ini dapat dilihat melalui kenyataan Rasulullah s.a.w, antaranya sabda Baginda yang bermaksud:

“Pada malam pertama Ramadan, akan dibelenggu segala syaitan, ditutup semua pintu neraka dan dibuka semua pintu syurga. Kemudian datanglah seruan: Wahai orang yang

menginginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang mengingini kejahatan, berhentilah. Pada setiap malam (Ramadan), Allah membebaskan segolongan hamba-Nya daripada api neraka.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Begitupun, tiada yang lebih istimewa pada bulan Ramadan selain ibadat puasa iaitu satu ibadat yang mempunyai ciri dan hikmah tersendiri berbanding dengan ibadat lain.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa berpuasa bulan Ramadan dengan penuh keimanan, mengharap balasan daripada Allah, diampunkan baginya dosa yang telah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibadat puasa adalah ujian ketahanan iman serta akidah untuk kita melakukan suatu pengislahan (penambahbaikan).

Walaupun ibadat lain tidak kurang dan tidak dapat kita nafikan kebaikannya tetapi menjadi tabiat manusia apabila sesuatu itu dapat dilihat, maka ia akan ditonton dan dipertontonkan.

Sesuatu yang ditonton dan dipertontonkan kadangkala akan menimbulkan perasaan riak, sombong ataupun ingin dipuji dan disanjung, sedangkan sifat seumpama ini akan hanya menjejaskan kemurnian ibadat itu sendiri.

Oleh kerana hakikat ibadat puasa ini tidak dapat ditonton dan tidak dapat dipamerkan, dengan sendirinya seseorang ingin dipuji dan dipuja ataupun mahu menunjukkan riak itu tadi tidak dapat berbuat demikian, sebaliknya menjurus kepada pembinaan sifat positif dalam diri seperti ikhlas dan berkasih sayang.

Sifat seumpama inilah menjadi senjata yang dapat memperbetulkan diri dan masyarakat kita.

Apabila kita dapat memperbetulkan diri, barulah kita mampu dan berupaya untuk memperbetulkan keluarga dan masyarakat.

Kita tidak mungkin dapat memperbetulkan keluarga, jika kita tidak dapat memperbetulkan diri kita terlebih dahulu. Kita juga tidak dapat melihat masyarakat yang subur dengan nilai kebaikan, jika diri kita tidak menyumbang ke arah itu.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Memohon keampunan Allah sempena Ramadhan

Posted by epondok di April 29, 2021

OLEH DR. AMINUDIN MANSOR

ACAPKALI tibanya Ramadan umat Islam menyambut puasa Ramadan iaitu bulan menyucikan diri dengan menggandakan amalan kebaikan. Bagaimanapun ada juga dalam kalangan kita yang sibuk mencari rezeki dengan menjual pelbagai juadah berbuka puasa dan kuih raya. Perkara ini bukan tidak boleh dilakukan tetapi hendaklah dengan cara yang sederhana.

Sederhana dalam konsep ini adalah dalam berbelanja bagi mengurangkan kos sara hidup yang tinggi dan sederhana dalam mencari rezeki di bulan Ramadan iaitu berniaga di bulan Ramadan tetapi melebihkan melakukan ibadah.

Dalam ibadat berpuasa kita digalakkan bersungguh-sungguh tekun dan taat melakukan puasa, amalan-amalan lain seperti bersedekah, bersolat tarawih, berzikir, bertasbih, berdoa dan qiamullail yang perlu diutamakan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila masuk bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu langit dan ditutupkan pintu-pintu neraka dan diikatkan semua syaitan. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebelum Rasulullah SAW wafat, baginda sempat berpuasa sebanyak sembilan kali Ramadan. Di samping puasa Ramadan, Rasulullah SAW banyak mengerjakan puasa sunat sehingga ibadat puasa ini menjadi antara amalan utama baginda.

Namun sebagaimana biasa, Rasulullah SAW sentiasa mengamalkan konsep sederhana dalam kehidupan baginda. Pada hari-hari tertentu baginda berpuasa sunat dan pada hari-hari biasa baginda tidak berpuasa dan menikmati makanan.

Tidak pernah Rasulullah SAW berpuasa setiap hari kecuali bulan Ramadan sahaja. Isteri baginda Saidatina Aisyah r.a. pernah menceritakan: Rasulullah SAW berpuasa sehingga aku katakan beliau tidak berbuka. Beliau berbuka sehingga aku katakan beliau tidak berpuasa. Aku tidak melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh kecuali bulan Ramadan. Aku tidak melihat beliau berpuasa setiap bulan lebih banyak dari di bulan Syaaban. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Elak boros

Dalam hadis ini dijelaskan konsep sederhana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW terutama ketika berbuka. Hal inilah yang patut diikuti oleh umat Islam sebagai panduan dalam berbuka dan berpuasa terutama di bulan Ramadan. Elakkan daripada makan terlalu banyak dan boros berbelanja.

Puasa-puasa sunat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah puasa hari Isnin dan Khamis. Puasa tiga hari dalam sebulan (iaitu hari ke-13, 14 dan 15 pada setiap bulan Islam di mana dinamakan sebagai hari-hari putih kerana bulan mengambang pada malam-malam hari tersebut).

Baginda Rasulullah SAW juga berpuasa pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah, hari Asyura iaitu pada 10 Muharam dan puasa enam hari dalam bulan Syawal.

Puasa Ramadan wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam mukalaf (berakal dan cukup umur) dan tiada keuzuran. Meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja adalah fasik dan berdosa besar.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa berpuasa Ramadan dengan keimanan dan mengharap pahala (keredaan) Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu. (riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, setiap umat Islam digalakkan berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala serta keampunan daripada Allah SWT.

Begitu juga mereka yang mendirikan solat tarawih. Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang mendirikan solat tarawih pada malam hari di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu. (riwayat al-Bukhari)

Semoga Ramadan tahun ini umat Islam akan dapat menggandakan pahala dan melakukan pelbagai ibadat wajib dan sunat dalam bulan yang penuh berkat dengan tenang dan tabah bagi mendapatkan pengampunan Allah dan penghapusan daripada segala dosa.

 

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ramadhan bulan jinakkan nafsu liar

Posted by epondok di April 27, 2021

NAFSU itu diibaratkan seperti kuda liar. Kuda liar perlu dijinakkan dengan latihan. Menunggang kuda liar boleh menyebabkan penunggang tersungkur. Melatih kuda liar ibarat menjinakkan nafsu diri. Antara batas nafsul amarah ke nafsul lawamah sehingga terbina nafsul mutmainnah, ini menuntut proses dan jihad.

Ramadan diibarat madrasah mendidik nafsu dan hati. Walaupun syaitan dan iblis dirantai tetapi nafsu manusia masih bebas. Mengekang hawa nafsu dan mendidik hati amat penting supaya madrasah Ramadan membangun jiwa muttaqeen. Jiwa muttaqeen adalah jiwa yang terpedoman dengan rasa ubudiyyah yang tinggi dengan Allah.

Rasa ubudiyyah (keterikatan dengan Allah) sangat penting bagi seseorang mukmin kerana pancang hubungan dengan Allah menjadikan kita hamba yang taat dan khalifah yang bermanfaat . Hamba yang taat mampu mengawal nafsu dan mendidik hati supaya ada rasa kepatuhan, ketaatan, ketundukan dan keakuran terhadap suruhan Allah.

Khalifah yang bermanfaat terpancar dari jiwa kehambaan supaya apa saja yang dilakukan dalam hidup ini berada dalam lingkungan ibadullah dan ibadurrahman iaitu memiliki ketaatan kepada Allah dan kasih sayang yang tinggi terhadap orang lain.

Ramadan menyediakan para mukmin ruang untuk melakukan muhasabah dan taubat. Muhasabah dan taubat menjadi sesuatu yang amat penting kerana kita ini adalah manusia berdosa dan mohon keampunan kepada Allah adalah suatu tuntutan.

Ego diri yang sombong dan degil hati yang keras harus dijinakkan supaya kembali kepada fitrah diri yang menuntut supaya manusia menginsafi bahawa kudrat upaya yang ada pada kita adalah terbatas dan Allahlah satu-satunya yang Maha Perkasa atas segala.

Apabila kita berlapar hawa nafsu kita lapar sama. Tetapi bagaimana kelaparan itu membawa kita menginsafi kelompok yang tidak bernasib golongan miskin yang minta perhatian supaya makna kemanusiaan terpancar dan mendorong kita mengerti erti kesusahan dan kepayahan.

Tarawih yang kita kerjakan mendidik hati supaya berjiwa rukuk dan sujud dan sentiasa terikat dengan jamaah. Jiwa rukuk dan sujud membawa keinsafan bahawa kita adalah hamba-Nya dan keterikatan dalam jamaah adalah penting untuk membangun ummah.

Tadarus yang kita lakukan bakal mendekatkan kita dengan al-Quran kerana Ramadan dan al-Quran terhubung erat supaya ajaran al-Quran menjadi pedoman hidup kita dan hubungan terhadap yang ghaib menjadi dekat dan rapat.

Sunat tahajjud dan qiyam yang kita kerjakan lambang kehampiran dan kedekatan kita dengan Allah. Ini adalah proses mendidik nafsu dan hati supaya memiliki kepatuhan yang tinggi terhadap suruhan dan pantang larang Allah. Inilah kunci yang menjadikan manusia sentiasa berjiwa tawaduk terhadap Allah dan juga umat manusia dan mampu mengawal diri dari melakukan sesuatu yang menyalahi.

Kita tunaikan zakat fitrah lambang membersihkan harta dan mendekati kelompok asnaf. Kelompok ini perlu didekati dengan ikhlas lantaran Islam mendidik kita bertimbang rasa dan berlaku adil terhadap yang lain.

Aidilfitri yang bakal disambut lambang titik kemenangan dalam perjalanan rohaniah meningkatkan kualiti diri supaya tidak terjebak dengan perangkap hawa nafsu dan memiliki ubudiyyah tinggi terhadap pencipta dan mampu mengembalikan diri sebagai manusia fitrah.

Menjadi manusia fitrah kembali adalah impian melalui madrasah Ramadan dengan segala sukatannya dan ingin lahir sebagai insan soleh yang mampu mendamba diri untuk kehidupan setahun lagi supaya memiliki kualiti mutmainnah dan dapat menjalani hidup dengan aman dan cekal.

Inilah maksud Ramadan dan Aidilfitri yang hakiki supaya islah diri terjadi, transformasi amal berlaku dan kita bakal mampu berperanan untuk bulan-bulan seterusnya sehinggalah Ramadan datang lagi.

Kesan Ramadan yang penuh maknawi ini adalah matlamat ibadah ini dilakukan supaya barakah dari Allah diterima dan manfaat kepada yang lain dirasai. Bila nafsu dapat dijinakkan dan hati dapat digilap dengan keinsafan bahawa kita adalah dicipta dan tertakluk sebagai hamba dan khalifah, selagi itulah kesan ubudiyyah terhadap-Nya akan sentiasa berlaku.

Ibarat kuda yang liar setelah dijinakkan berupaya memacu perjalanan diri dengan tangkas dan patuh kepada tali kekang dan tuannya supaya perjalanan diri dan kehidupan sentiasa terpedoman dan terkawal. Itulah hikmah Ramadan dan Aidilfitri.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Bolehkan Jin rasuk manusia bulan Ramadhan

Posted by epondok di April 26, 2021

SALAM Tuan Haji. Apakah gangguan syaitan boleh terjadi di bulan Ramadan? Saya melihat sendiri adik perempuan saya mengalami kerasukan, menjerit dan mengilai terutama tengah malam, sedangkan sekarang bulan Ramadan? Apa yang saya tahu, iblis dan syaitan dirantai bulan ini. Mohon pencerahan. Terima kasih dan selamat menjalani ibadah puasa.

n Azman, Segamat, Johor.

Jawapan

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah kerana sekali lagi kita dipertemukan dengan bulan Ramadan penuh barakah. Bulan yang Allah sediakan begitu banyak pahala untuk direbut melalui ibadat, sehingga Rasulullah SAW bersabda dalam hadis bermaksud: “Tidur bagi orang yang berpuasa itu adalah ibadat, manakala diamnya adalah bertasbih.” (HR al-Baihaqi).

Betapa besar kelebihan Ramadan sehingga tidur dianggap ibadat. Pada bulan ini diturunkan satu malam istimewa -Lailatulqadar. Malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

Puasa memiliki banyak hikmah dan manfaat untuk tubuh, ketenangan jiwa dan kecantikan. Semasa berpuasa, organ tubuh dapat berehat. Bulan ini Allah menurunkan petunjuk bagi manusia, iaitu al-Quran. Kita digalak memperbanyak serta mengganda bacaan al-Quran serta maksudnya.

Pada bulan ini pintu langit dibuka seluas-luasnya bagi memberi peluang kepada umat Islam memohon ampun dan memanjatkan doa.

Syaitan tidak dapat menghasut manusia pada Ramadan. Tetapi mengapa masih berlaku kerasukan? Sedangkan dalam hadis Rasulullah SAW ada bersabda: “Apabila datangnya Ramadan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai atau dibelenggu para syaitan.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Pengalaman saya di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah selama 10 tahun mendapati ketika Ramadan kejadian rasuk kerap berlaku.

Kerasukan Dalam keluaran lepas, saya ada menyentuh mengenai isu kerasukan atau histeria. Dari aspek perubatan moden, histeria atau kerasukan disebabkan gangguan mental atau mental disability yang membawa kepada halusinasi. Daripada perspektif perubatan Islam, kerasukan dikaitkan dengan gangguan jin atau iblis.

Hakikat Penciptaan JinBagi menjelaskan perkara berkaitan kerasukan. Elok kita selusuri hakikat penciptaan jin serta sejarah kejadiannya. Kewujudannya tidak boleh dinafikan kerana ia makhluk ciptaan Allah. Tujuan penciptaannya sama dengan penciptaan manusia iaitu mengabdikan diri kepada Allah.

Firman Allah bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku“. (Surah Az-Zariyat:56)

Daripada jin tersebut, ada yang beriman dan taat kepada perintah Allah.

Firman Allah: “Dan sesungguhnya di antara kami ada yang soleh dan di antara kami ada pula yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza’. (Surah Al-Jinn:11)

Jika jin mentaati Allah, mereka diberi ganjaran di akhirat. Sebaliknya jika mereka ingkar maka balasan azab pedih menanti.

Sebagaimana maksud firman Allah SWT: “Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, daripada jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongan sendiri); hinggalah apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan pertama di antara mereka: “Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat kali ganda daripada (azab) neraka”. Allah berfirman:”Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui.” (Surah al-A’raf:38)

Menurut Syeikh Jadul Haq (bekas Syeikh Al-Azhar), Iblis adalah ‘abu syaitan’ (bapa syaitan). Jika malaikat adalah tentera Allah yang mengajak kebaikan, iblis dan syaitan adalah sebaliknya. Syaitan ialah golongan angkuh dan derhaka dari alam jin. Mereka daripada kalangan jin juga.

Sejarah IblisFirman Allah: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan iblis; dia adalah berasal dari golongan jin…” (Surah al-Kahfi: 50)

Iblis dikenali dengan nama Azazil. Sebelum penciptaan Nabi Adam a.s. Azazil adalah imam kepada malaikat. Riwayat menceritakan malaikat Israfil melihat yang tersurat di Loh Mahfuz: “Adanya satu hamba Allah yang beribadah selama 80,000 tahun tetapi hanya kerana satu kesalahan, maka ibadah hamba itu tidak diterima Allah dan hamba itu terlaknat sehingga hari Kiamat”.

Israfil menangis kerana bimbang makhluk yang tersurat di Luh Mahfuz dirinya. kemudian diberitakan kepada para malaikat, menangis sekelian malaikat kerana takut. Lalu semua malaikat menemui Azazil, agar mendoakan mereka. Azazil mendoakan seluruh malaikat: “Ya Allah, Janganlah Engkau murka terhadap mereka (para malaikat)”

Malangnya, Azazil lupa mendoakan untuk dirinya. Ketika Allah menciptakan Nabi Adam a.s. dan memerintah malaikat sujud hormat kepada Nabi Adam. Mereka sujud kepada perintah Allah melainkan Iblis. Dia menolak, kerana merasakan dirinya lebih baik.

Bukan sahaja dia enggan, malah sombong dan menjawab:“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; maka mereka sujud melainkan iblis; dia berkata: Patutkah aku sujud kepada makhluk yang Engkau ciptakan dari tanah?” (Surah al-Isra’:61)

Azazil dihalau keluar dari syurga. Namanya diubah kepada Iblis. Apabila Iblis diturunkan ke bumi, dia berjanji akan menyesatkan manusia serta keturunannya.

Firman Allah: Dia (Iblis) berkata: “Khabarkanlah kepadaku, inikah orang yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, pasti aku akan sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil“. (Surah al-Isra’:62)

Syaitan yang ‘dirantai’Para ulama berbeza pendapat dalam menafsirkan maksud hadis tentang syaitan dirantai. Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan dari al-Halimiy yang dimaksudkan dengan syaitan dirantai ialah para syaitan tidak dapat menggoda umat Islam kerana ibadah puasa berperanan melemahkan syahwat.

Menurut Imam Nawawi Rahimahullah menyebut ia hanya ‘majaz’ atau kiasan untuk menunjukkan betapa syaitan tidak mampu melaksanakan tugasnya seperti biasa menyebabkan dirinya bagai ‘dirantai’.

Menurut pandangan Imam As-Syafie, hanya jin dan syaitan bengis dibelenggu, manakala yang lain masih bebas.Kesimpulan daripada pendapat tersebut, jin dan syaitan masih dapat mengganggu manusia di bulan Ramadan.

Keteguhan iman serta amalan ibadah seseorang yang sebenarnya dapat membelenggu jin, menghindari daripada hasutan kejahatan serta tipu dayanya.Puasa adalah suatu ibadat ‘tazkiyah al-nafs’, iaitu proses penyucian jiwa dan nurani daripada segala penyakit rohani. Ia dapat meningkatkan nilai takwa di sisi Allah yang dapat menghindarkan kita daripada gangguan makhluk halus.

Berikut surah amalan bagi mengelakkan diri daripada gangguan kerasukan:-

1. Surah Al Baqarah ayat 165 hingga 186

2. Surah Al A’raaf ayat 146 hingga 159

3. Surah Al Baqarah ayat 244 hingga 255

4. Surah Al Mukminun ayat 105 hingga 118

Jadikanlah Ramadan sebagai bulan meningkatkan amal ibadah dan istiqamah dilakukan di bulan-bulan lain.

Selain dapat mengamalkan sunnah, kita dapat memelihara kesihatan tubuh badan kita daripada pelbagai jenis penyakit dan terhindar dari kerasukan! Insya-Allah.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Penting jaga deria elak jejas pahala puasa

Posted by epondok di April 25, 2021

Oleh Mazlina Ismail

 

Sepanjang Ramadan, umat Islam perlu memelihara deria daripada melakukan perkara yang boleh menjejaskan pahala puasa. Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra menyarankan menggunakan deria untuk majlis ilmu, membaca al-Quran dan merenung ciptaan Ilahi.

Allah SWT menciptakan manusia sempurna dengan deria mata, telinga, hidung, lidah, tangan dan anggota lain sebagai rahmat untuk hamba-Nya. Allah yang Maha Pengasih mencipta anggota badan untuk kemudahan dan kesenangan kita melaksanakan segala urusan di dunia ini.

Kita diberikan mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, lidah untuk berbicara, tangan untuk memegang, kaki untuk melangkah dan banyak lagi. Mereka yang dikurniakan kesempurnaan tubuh badan dan anugerah deria ini sering terlupa untuk menghargainya.

Apabila nikmat itu ditarik daripada mereka, barulah dapat kita menilai betapa besarnya nikmat deria yang diberikan Allah SWT. Merenung kehebatan segala deria yang dikurniakan itu sewajarnya membuatkan kita menjadi hamba yang bersyukur.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran, penglihatan serta kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah Fussilat, ayat 20)

Allah SWT menegaskan bagaimana anggota badan manusia akan menjadi saksi atas perbuatan tuannya ketika hidup di dunia.

Sepanjang menjalani ibadah puasa pada Ramadan ini, kita perlu sentiasa peka bahawa puasa tidak hanya menahan diri daripada makan, minum dan hubungan suami isteri, tetapi ibadah puasa sewajarnya menjadikan kita berhati-hati menggunakan deria yang dikurniakan Allah SWT.

Mulut orang berpuasa bau kasturi

Daripada Abu Hurairah, Rasululluh SAW bersabda: “Allah Azzawajjalla berfirman: Setiap amal anak adam adalah untuknya kecuali puasa, puasa itu adalah untuk-Ku dan aku akan memberinya pahala. Puasa itu adalah perisai. Apabila kamu puasa, janganlah kamu rosak puasamu dengan mencela, dan menghina orang. Apabila kamu dihina atau dipukul orang. Katakanlah: Aku puasa. Demi Allah yang jiwa Muhammad di tangannya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah pada Hari Kiamat kelak daripada bau kasturi. Dan bagi orang berpuasa ada dua kegembiraan. Apabila dia berbuka dia gembira dan apabila dia menemui Tuhannya (meninggal) dia gembira dengan puasanya.” (Sahih Muslim)

Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin membuka bicara rancangan Pesona D’ Zahra di IKIMfm minggu lalu dengan mengajak kita melihat satu persatu deria dikurniakan Allah SWT seterusnya memahami cara yang betul memeliharanya daripada mengurangkan atau membatalkan ganjaran ibadah puasa.

Umat Islam disuruh untuk menjaga pandangan mata, dilarang memandang benda haram, makruh atau najis. Kita disuruh memandang langit, bintang, lautan, alam yang kehijauan dan wajah ibu serta pasangan dengan pandangan kasih sayang kerana Allah SWT akan memandang mereka dengan pandangan rahmat.

Turut menjadi penyejuk mata adalah memandang perkara yang membawa ingatan kepada kekuasaan Allah SWT seperti Kaabah dan al-Quran.

Selain menjaga pandangan, umat Islam juga perlu menjaga pendengaran untuk mendengar perkara yang baik seperti ilmu yang disampaikan dalam majlis ilmu atau tazkirah yang diberi ganjaran sebanyak 70,000 malaikat mendoakan keampunan untuk mereka yang mendatangi majlis ilmu.

Mendengar bacaan al-Quran adalah antara perkara terbaik kerana ia akan menyuburkan jiwa dan menjadikan jiwa tenang.

Perkara yang perlu dielakkan dan dilarang mendengarnya ialah kisah tidak berfaedah, perkataan membabitkan umpatan, perkara mengaibkan orang lain, fitnah serta perkara melalaikan kerana ia boleh mengeraskan hati.

Adalah tidak kurang pentingnya penjagaan hidung dan umat Islam disaran menghias diri, rumah, masjid dengan wangi-wangian. Ketika menjalani ibadah berpuasa, Muhamad mengingatkan kita makruh hukumnya memberus gigi selepas zuhur kerana bau mulut orang berpuasa wangi di sisi Allah SWT.

Ketika berpuasa mahupun hari biasa, seorang Muslim hendaklah memelihara mulut daripada kebiasaan untuk menjamah makanan pada siang hari dan mengelak daripada berkata perkara tidak baik atau sia-sia yang akan menjejaskan kualiti puasa mereka.

Pastikan kita tidak mengambil atau membuat sesuatu yang dimurkai oleh Allah SWT yang jelas haram hukumnya mahupun makruh atau syubhah bagi mendidik diri sentiasa bersikap jujur pada setiap masa.

Jana akhlak terpuji

Memahami salah satu matlamat difardukan puasa Ramadan adalah untuk menjana akhlak yang terpuji dan seterusnya mencapai kemuncak darjat ketakwaan sebenar kepada Allah SWT.

Pentingnya menjaga deria kerana ia membawa kita kepada matlamat puasa iaitu ketakwaan yang sebenar-benarnya.

Terpelihara anggota badan menjadikan seseorang hamba itu tenang hatinya, rasional fikirannya serta berhikmah dalam perlakuannya. Ini adalah kata kunci untuk berjaya di dunia dan akhirat.

Seandainya anggota ini disalah guna untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT, kita sebenarnya telah gagal untuk bersyukur.

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »

Teladani ulama, aulia kerap khatam al-Quran

Posted by epondok di April 24, 2021

Oleh Nazmi Yaakub

 

MEMBACA al-Quran antara amalan yang dituntut termasuk dalam mengisi Ramadan hingga tidak hairanlah ulama dan aulia bukan sahaja melaziminya, bahkan banyak kali mengkhatamkan bacaan kitab suci itu.

Imam Nawawi dalam kitabnya, at-Tibyaan fi Adabi Hamalati al-Quran, menjelaskan generasi terdahulu mengkhatamkan al-Quran daripada lapan kali sehari semalam hingga dua bulan sekali.

Antara sahabat, tabiin (pengikut sahabat) dan pengikut mereka yang mengkhatamkan al-Quran setiap hari ialah Saidina Uthman Affan RA, Tamim ad-Dari RA, Said ibnu Jubair RA, Mujahid RA serta Imam Shafie RA.

Dalam hubungan mengkhatamkan al-Quran dalam Ramadan, Imam Nawawi berkata, Mansur Zaadan daripada kalangan tabiin dan ahli ibadat, berbuat demikian antara waktu Zuhur dengan Asar.

Mansur sekali lagi mengkhatamkan al-Quran pada waktu malam bulan puasa itu antara Maghrib dengan Isyak, iaitu sehingga berlalu satu perempat malam.

Begitu juga Ali al-Azadi yang menghabiskan bacaan al-Quran antara Maghrib dengan Isyak setiap malam Ramadan.

Begitu juga Imam Shafie seperti yang diungkapkan dalam Siyar A’lam al-Nubala karya Imam al-Zahabi, menyelesaikan bacaan al-Quran sebanyak 60 kali sepanjang Ramadan.

Keupayaan individu

Bagaimanapun, Imam Nawawi mengingatkan keupayaan mengkhatamkan al-Quran berbeza mengikut individu.

Sekiranya seseorang itu ingin merenung dan mempelajari al-Quran dengan teliti, kadar bacaan perlu dihadkan supaya memperoleh kefahaman yang baik ketika membacanya.

Apatah lagi andainya pembaca al-Quran juga dalam kalangan golongan yang mempunyai tanggungjawab seperti pendidikan, keagamaan dan kepentingan masyarakat, perlu membuat pertimbangan serta penyesuaian supaya tidak mengabaikan tugas mereka.

Keupayaan mengkhatamkan al-Quran juga sebenarnya berkait dengan barakah yang diberikan Allah SWT dalam kehidupan ulama dan auliya serta karamah yang dianugerahkan kepada mereka.

Oleh itu, Imam Nawawi mengingatkan sekiranya kita belum mencapai tahap yang dimiliki ulama dan auliya yang banyak mengkhatamkan al-Quran, kita perlu membacanya tanpa tergesa-gesa atau menyebabkan cepat terasa jemu.

Tidak hairanlah, sebahagian ulama terdahulu tidak suka dan tidak menggalakkan daripada mengkhatamkan al-Quran dalam masa sehari semalam.

Ini kerana mereka berpandukan hadis yang diriwayatkan Abdullah ibnu Amru ibnu Al-As yang berkata Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah orang membaca (mengkhatamkan) al-Quran dalam waktu kurang daripada tiga hari. (HR Abu Daud, Tirmizi dan Nasa’i)

Justeru, Imam Ghazali RA dalam kitabnya, Ihya’ Ulumuddin, menjelaskan golongan ahli ibadat yang menjalani latihan kerohanian dalam bentuk amalan, tidak harus mengurangkan khatam al-Quran dua kali dalam seminggu.

Bagi salik yang menjalani latihan kerohanian dalam konteks urusan hati dan pemikiran serta sibuk dalam penyebaran ilmu, boleh mengkhatamkan al-Quran sekali seminggu.

Khatam sekali sebulan

Bagaimanapun, individu yang terbabit dalam penafsiran al-Quran yang memerlukan kajian dan renungan ilmiah, cukup dengan mengkhatamkan al-Quran sekali sebulan.

Secara umumnya, orang awam yang mahu mengkhatamkan al-Quran boleh menjadikan hadis yang diriwayatkan Abdullah ibnu Umar RA yang membawa perbualan beliau dengan Rasulullah SAW sebagai panduan.

Ibnu Umar berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, dalam tempoh berapa lama, saya boleh mengkhatamkan al-Quran?” Baginda menjawab: “Khatamkan sekali sebulan.” Aku berkata: “Saya masih mampu lebih daripada itu.”

Lalu soal jawab itu berlangsung hingga Rasulullah SAW mengurangkannya kepada 25 hari; 15 hari, 10 hari dan akhirnya lima hari. Apabila Ibnu Umar mengatakan masih mampu, Rasulullah SAW tidak memberikan keringanan lagi. (HR Baihaqi)

Sempena Ramadan, sebaik-baiknya kita dapat mengkhatamkan al-Quran sekali dan menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk menyelesaikan bacaan kitab suci itu dengan lebih kerap lagi.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Puasa: Kenapa mesti berlapar?

Posted by epondok di April 23, 2021

RAMADAN tahun ini tidak seperti tahun-tahun sebelum ini. Umat Islam rasa sedikit cemas dengan situasi politik yang semakin rumit di samping dugaan dan godaan lain yang pasti akan dihadapi. Pada hakikatnya puasa Ramadan yang akan kita hadapi ini bukan semata-mata berlapar dan dahaga tanpa sebarang makna.

Sebab itu, orang yang berpuasa tanpa persiapan mental dan keinsafan diri yang mendalam, dianggap sia-sia seperti sabda Nabi yang bermaksud: “Betapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapatkan sesuatu daripada puasa itu selain lapar dan dahaga”.

Pada prinsipnya, kewajipan berpuasa adalah kewajipan untuk meningkatkan kualiti diri seseorang yang berperanan sebagai ahli masyarakat, suami, isteri, anak, pemuda, guru, murid, pegawai, tokoh masyarakat dan juga pemimpin. Peningkatan kualiti diri adalah sangat penting sehingga Allah SWT mewajibkan puasa sebagai kewajipan sepanjang zaman dan sepanjang sejarah manusia.

Dalam surah al-Baqarah ayat 182 Allah SWT menegaskan dalam firmannya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana ia diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu”. Persoalannya adalah kenapa puasa yang menjadi ibadah wajib seluruh umat manusia dan seluruh masa dan tidak zakat, haji dan lainnya. Berasaskan ayat-ayat al-Quran dan Hadis jelas bahawa sasaran atau tumpuan utama daripada ibadah ini adalah untuk menundukkan nafsu yang ada dalam diri setiap manusia.

Kenapa nafsu yang menjadi sasaran bukan akal atau lain-lain? Ini adalah kerana nafsulah yang tidak mahu disuruh tunduk kepada Allah SWT dan juga kepada kebenaran kecuali dengan membuatkan ia lapar. Hanya dengan lapar nafsu seseorang itu akan tunduk kepada Allah dan kebenaran yang datang daripada Allah.

Tetapi kenapa harus dengan mengosongkan perut, tidak makan dan minun seharian? Jawapannya kerana nafsu itu berpangkalan di dalam perut. Perut menjadi pusat utama tumbuh dan berkembangnya nafsu. Justeru hakikatnya perut tidak harus sentiasa dalam keadaan kenyang. Orang yang perutnya selalu berada dalam keadaan kenyang menurut Imam Al-Ghazali akan dihinggapi oleh lima sifat tercela.

Pertama, dia ingkar kepada Allah. Kedua, dia tidak akan mengasihi orang lain kerana dia menganggap perut orang lain kenyang seperti perutnya. Ketiga, hatinya tidak dapat diresapi hidayah dan hikmah daripada orang-orang yang soleh. Kempat, kata-katanya tidak akan pernah menyentuh hati orang lain. Kelima, dia akan dihinggapi banyak penyakit.

Kasih dan simpati

Dengan ini puasa pada hakikatnya bermaksud untuk mendidik manusia kasih dan simpati antara satu sama lain. Hatinya pula mudah tersentuh dengan kebenaran. Jiwanya halus dan tahu berterima kasih, tahu menghargai jasa orang dan bukan manusia yang berkepentingan diri.

Sementara harapan menjadi manusia muttaqin adalah hikmah yang disertakan Allah dalam ibadah itu dan harus diperolehi oleh setiap orang melakukannya. Dalam mengerjakan ibadah puasa, umat Islam harus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai tingkat ketakwaan.

Takwa merupakan satu cara atau pola dalam menempuh kehidupan menerusi tingkah laku yang berasaskan kesedaran bahawa Allah itu sentiasa hadir di sisi kita. Ibadah puasa bukan setakat menahan makan dan minum sahaja, tetapi pemahaman tentang apa yang harus kita tahan itu lebih daripada sekadar berpuasa secara fizikal bahkan juga menahan nafsu (batiniah) itu lebih utama serta berupaya meningkatkan lagi tahap puasa seseorang itu.

Dalam masa sebulan berpuasa ini, kita seharusnya bermujahadah bersungguh-sungguh dengan menahan nafsu daripada melakukan perkara-perkara keji seperti mengumpat, buruk sangka, bergaduh, memutuskan hubungan silaturahim dan melakukan perkara-perkara maksiat yang lain. Jika tidak puasa itu sia-sia belaka.

Sifat prasangka buruk merupakan kategori daripada perbuatan zalim. Selalunya orang yang mempunyai sifat buruk sangka sesama muslim adalah mereka yang kurang melaku introspeksi diri, hanya melihat diri sendiri lebih baik daripada orang lain.

Oleh hal yang demikian, Nabi menganjurkan kepada semua manusia, terutama orang yang sedang berpuasa agar banyak melakukan introspeksi diri sebagaimana sabda baginda yang bermaksud; sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan introspeksi diri, maka akan diampuni dosanya yang telah lalu.

Puasa kemudiannya bukan sahaja menjadi etika individu, tetapi juga menjadi etika sosial dan gerakan moral yang efektif dalam menangani pelbagai masalah sosial seperti kemiskinan, jenayah, rasuah, dan sebagainya.

Oleh hal yang demikian, semua perbuatan umat manusia itu adalah untuk dirinya sendiri, kecuali puasa. Mengapa demikian? Kerana puasa merupakan ibadah yang paling peribadi dan tidak ada sesiapa yang tahu apakah kita berpuasa atau tidak kecuali diri kita sendiri dan Allah.

Kalau orang melakukan solat, maka perbuatan solat itu boleh diketahui orang. Begitu pula dengan zakat, kerana ada yang menerimanya. Lebih-lebih lagi ibadah haji dilakukan di tempat yang umum. Maka ketika kita berpuasa, kemudian kita berasa sangat haus dan dahaga dan tersedia di depan kita segala macam minuman, tetapi kita menahannya, inilah sebenarnya satu bentuk latihan untuk menyedari tentang kehadiran atau kewujudan Tuhan dalam hidup kita.

Kita tidak akan minum padahal kita bersendirian, kerana kita meyakini bahawa Allah mengawasi dan menuntut satu pertanggungjawaban. Puasa adalah latihan untuk menguatkan lagi kesedaran kita bahawa Allah itu sentiasa berada terlalu hampir dengan kita.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Dia bersamamu di mana pun kamu berada. Dan Allah Maha Mengetahui tentang segala sesuatu yang engkau kerjakan.” (Q 57:4).

Ulama’ pernah berkata, “Puasa adalah ladang tempat terciptanya niat kepada Tuhan yang sempurna dan kepasrahan diri.” Sifat perhambaan ini akan membuat manusia menjadi abdi Allah, yang bersedia untuk melakukan apa sahaja yang disenangi Allah. Melalui puasa seseorang akan merasakan penderitaan orang yang lapar kerana serba kekurangan sehingga hatinya akan tergerak untuk memberi kelebihan yang dimilikinya kepada orang lain yang kurang bernasib baik.

Sepintas lalu amalan-amalan seperti ini amat berat tetapi ia bukan terletak pada sesuatu amalan melainkan pada cara kita memikirkan amalan itu. Kalau kita memikirkan sesuatu itu berat maka ia dengan sendirinya menjadi berat, tetapi kalau kita memikirkannya mudah maka dengan sendirinya ia akan mudah

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »

Menyucikan jiwa dalam bulan Ramadhan

Posted by epondok di April 22, 2021

Oleh DR. FADLAN MOHD. OTHMAN

hikmah utama bulan Ramadan ialah untuk membina ketakwaan hamba-hamba-Nya. – Gambar hiasan

ALLAH SWT berfirman yang maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah 2:183)

Daripada ayat ini kita sudah boleh mengetahui bahawa hikmah utama bulan Ramadan ialah untuk membina takwa. Daripada sudut praktikal pula takwa ialah melaksanakan perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan apa yang dilarang oleh-Nya.

Daripada sudut spiritual takwa ialah perasaan takut dan waspada dalam mengorak setiap langkah dalam kehidupan beragama di dunia ini.

Bulan Ramadan adalah tempat dan masa terbaik untuk menyucikan jiwa.

Rasulullah SAW telah pun memberikan pelbagai tips untuk menyucikan jiwa di bulan mulia ini.

1Menghayati amalan ibadah pada bulan ini dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala.

Beberapa hadis riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa siapa puasa dan solat malam di bulan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan, akan diampunkan dosanya yang terdahulu.

Hadis ini mendidik jiwa Muslim agar sentiasa menekankan sudut keimanan dalam melakukan sesuatu amalan. Jiwa Muslim juga wajar sentiasa mengharapkan pahala daripada Allah SWT sahaja.

2Bersabar dalam menghadapi segala cabaran.

Sabda Rasulullah SAW: Puasa adalah perisai… Jika ada orang yang mencacinya atau memeranginya, hendaklah dia sebut: Saya berpuasa. (riwayat al-Imam al-Bukhari, no. 1904)

Perhatikanlah bagaimana puasa mendidik jiwa Muslim agar menahan dirinya daripada pergaduhan. Dengan ini puasa mendidik sifat mulia iaitu sifat sabar dalam jiwa Muslim.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira. (al-Zumar:10)

Jiwa yang suci pasti akan dapat bersabar dalam mengamalkan ketaatan, sabar dalam meninggalkan maksiat dan sabar dalam menghadapi musibah.

3Mengaitkan kegembiraan dengan ketaatan terhadap Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW: Orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; semasa dia berbuka dia akan gembira dan semasa dia berjumpa dengan Tuhannya dia akan bergembira dengan puasanya.” (riwayat al-Imam al-Bukhari, no. 1904)

Hadis ini mendidik jiwa agar bergembira dengan ketaatan dan bukannya bergembira semasa membuat maksiat.

4Sentiasa berdoa dan meminta daripada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW: “Tiga doa yang mustajab tanpa syak. Doa orang berpuasa, doa orang dizalimi dan doa orang mengembara.” (riwayat al-Uqaili dan Ibnu Asakir; no. 1797)

Hadis ini mendidik jiwa Muslim agar merendah diri kepada Allah SWT dengan berdoa sepanjang masa tatkala berpuasa.

Inilah intisari ibadah yang sebenar. Ia juga menunjukkan jiwa Muslim berjaya disucikan di dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ramadhan Bulan Didik Akhlak Mulia

Posted by epondok di April 21, 2021

MOHD. AYOP ABD. RAZID

 

KITA hari ini berada dalam lingkungan persaingan dan hidup berbangga-bangga dengan kehidupan dunia. Sifat keduniaan ini mendorong ramai individu yang materialistik, individualistik dan egoistik. Kesannya, pe­nyakit rohani seperti iri hati, hasad dengki, dendam dan permusuhan sesama manusia semakin berleluasa dalam masyarakat. Akal, jiwa dan perasaan manusia seolah-olah tertutup dalam perkara-perkara berkaitan ihsan dan kemanusiaan.

Untuk Islam ubatnya ada, iaitu melaksanakan ibadah puasa. Ulama tersohor nusantara, Prof. Hamka menyebut ibadah puasa berupaya mengetuk hati, iman dan akidah. Ibadah ini dapat menyatukan akal, perasaan, jiwa dan sanubari in-
san kerana ketika berpuasa kita sebenarnya melakukan ‘al-muja-hadah’ atau bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu.

Al-mujahadah dapat membantu kita membentuk jiwa yang sentiasa khauf (takut) balasan akhirat dan pengadilan Ilahi di Padang Mahsyar nanti. Dari sudut tasawuf, bermujahadah melawan hawa nafsu ketika berpuasa menyebabkan berlakunya proses pembersihan diri (takhali) iaitu sifat-sifat keji yang ada dalam hati dibuang dan diisikan (tajali) dengan sifat-sifat mahmudah (sifat-sifat mulia). Maknanya, ibadah puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Kesan positif yang terhasil daripada ibadah puasa yang dilaksanakan dengan penuh penghayatan itu mampu membina dan menyuburkan kembali nilai akal budi insan. Akal budi insan akan menjadi jernih dan murni.

Dalam konteks ini, bulan puasa secara tidak langsung menjadi bulan ‘kempen budi dan nilai-nilai murni’. Ada kewajarannya kita menganggap demikian kerana di bulan mulia inilah kita dianjurkan membaiki akhlak dan melakukan amalan-amalan mulia dengan menyantuni sesama manusia, membantu mereka yang kurang bernasib baik melalui amalan sedekah, infaq dan ibadah zakat.

Budi merujuk kepada akhlak mulia yang mengandungi nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi. Budi juga merujuk kepada perlakuan tata hidup, kesopanan dan kesusilaan, tata terbit, kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan yang menggambarkan kualiti pemikiran dan perasaan seseorang atau sesuatu bangsa itu.

Puasa yang dilakukan de­ngan penuh penghayatan akan membawa kita kembali hidup bermasyarakat secara harmoni. Ibadah puasa dapat mendidik kita menjadi insan yang tidak mementingkan diri sendiri. Menurut Hamka ketika berpuasa, semua kehendak nafsu akan dirasionalkan oleh akal sehingga lapar dan dahaga yang dirasai itu mampu mengetuk pintu hati dan menghapus rasa keangkuhan diri. Akal budi akan kembali jernih hingga menumbuhkan rasa kasih sayang dan belas ihsan terhadap orang yang kurang bernasib baik serta mereka yang berada dalam kesulitan dan musibah.

Kesannya akan wujudlah hubungan harmoni antara golong­an kaya dan golongan miskin. Orang berada akan menjadi lebih dermawan dan orang yang memiliki kuasa akan menjadi le­bih penyayang. Hakikatnya, ibadah puasa yang dilakukan dengan sempurna dapat memupuk persaudaraan dan silaturahim sesama umat Islam. Inilah masanya hubungan dan perpaduan sesama umat Islam yang telah terjejas dipereratkan kembali.

Untuk mencapai hakikat persaudaraan Islam maka hendaklah kita jauhi sifat-sifat mazmumah seperti buruk sangka, kebencian, permusuhan, hasad, iri hati, mencaci dan mengata nista. Rasulullah SAW pernah ditanya, “Apakah yang menyebabkan puasa itu menjadi sia-sia?” Lalu ba­ginda menjawab, “bercakap dusta dan mengumpat”. Jika puasa kita sia-sia maka kita gagal membentuk akal budi yang jernih.

Kesimpulannya, Ramadan adalah ‘madrasah rohaniah’ dan bulan ‘kempen budi dan nilai-nilai murni’ yang mampu membawa manusia mencapai ‘islah al-basyar’ atau transformasi kemanusiaan. Ibadah puasa dapat mendidik jiwa mukmin, melembutkan perasaannya serta membawanya kepada ‘muraqabah’ atau mendekatkan diri kepada Allah SWT.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Rebut kelebihan Ramadhan dalam meningkatkan taqwa

Posted by epondok di April 20, 2021

Oleh Mohd Fadly Samsudin
KINI, umat Islam menjalani ibadah puasa. Alangkah bertuah dan beruntung mereka yang diberi umur untuk menemui Ramadan.

Ramadan adalah medan tarbiah bagi mempertingkatkan amal ibadah selain memberi keseimbangan aktiviti seharian umat Islam yang kurang baik sebelum ini.
Peranan puasa boleh disamakan dengan fungsi enjin yang menjadi bahagian terpenting kepada kereta. Jika ia tidak diperiksa atau diselenggara secara berkala bagaimana ia mampu berfungsi dengan baik dan tahan lama.

Begitu juga peranan puasa, sekiranya seorang itu tidak pernah berpuasa sudah tentu mereka akan mengalami masalah kesihatan tidak kiralah sama ada kesihatan fizikal atau rohani.

Namun, ramai mendakwa mereka berpuasa, tetapi masih melakukan perkara maksiat.

Apa puncanya? Mereka berpuasa sekadar menjalankan rutin apabila tiba bulan Ramadan saja.

Orang lain berpuasa, mereka pun ikut berpuasa tanpa memahami fadilatnya. Golongan itu amat rugi, walaupun berpuasa, tetapi hakikatnya mereka hanya mendapat lapar dan dahaga saja.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Berapa ramai orang yang berpuasa, mereka tidak mendapat apa-apa daripada puasa mereka kecuali lapar dan dahaga.”

Orang yang berpuasa rohnya sentiasa berada dalam keadaan bersih kerana hatinya dekat dengan Allah.

Berhati-hati ketika berbicara kerana bimbang boleh mengurangkan pahala puasa seperti mengumpat, mencerca, menceritakan keaiban orang lain, memaki serta mengeluarkan kata-kata kesat.

Makan berlebihan juga tidak boleh diamalkan kerana ia bertentangan dengan matlamat Ramadan. Pergaulan yang baik perlu dilakukan terutama terhadap isteri, anak, jiran tetangga, rakan dan seluruh manusia yang mempunyai hubungan dengan kita.

Umat Nabi Muhammad singkat umurnya berbanding umat nabi lain. Maka, Allah sediakan peluang dan kesempatan kita mengumpul amalan seperti mana yang disediakan buat umat terdahulu.

Pensyarah Pusat Kajian Pembangunan Pengurusan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia, (USM), Dr Mohd Shukri Hanapi berkata, umat Islam perlu sentiasa merujuk, memahami dan menghayati falsafah puasa Ramadan.

“Falsafah puasa itu tercatat dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa” (Surah al-Baqarah ayat 183).

“Antara falsafah utama puasa Ramadan ialah penjanaan takwa. Ulama mengemukakan makna takwa kepada beberapa pengertiannya antaranya meletakkan penghalang dan penghadang di antaramu dengan perkara yang diharamkan Allah iaitu melaksanakan perintah-Nya dan menghindari larangan-Nya serta melaksanakan amalan taat dan meninggalkan amalan maksiat.

“Saidina Umar al-Khattab pernah bertanya Ubai bin Ka’ab, “Apakah takwa itu?”
Ubai menjawab, “Wahai Amir al-Mukminin, tidakkah engkau pernah memasuki jalan yang penuh berduri?” Kemudian Saidina ‘Umar menjawab, “Ya”. Ubai berkata, “Apakah yang engkau lakukan?” Saidina ‘Umar menjawab, “Aku menyinsingkan seluarku dan memerhatikan kakiku. Aku meletak satu langkah demi satu langkah dengan cermat kerana takut terkena duri”. Ubai berkata, “Itulah takwa”. Maksud takwa di sini ialah berhati-hati supaya tidak melakukan perkara yang ditegah dan diharamkan Allah.

“Tidak memadai bagi mereka yang berpuasa sekadar tidak makan dan minum pada siang hari serta menjaga perkara yang membatalkan puasa.

“Walaupun puasanya sah di sisi syarak, namun ia tidak menepati dengan falsafah puasa Ramadan kerana seorang Muslim bukan saja dikehendaki mematuhi syarat dan menjauhi perkara membatalkan puasa, malah perlu menghindari perkara yang diharamkan seperti meninggalkan solat, mendedahkan aurat, melemparkan kata-kata kesat, melihat dan mendengar perkara maksiat,” katanya.

Mohd Shukri berkata, amat mendukacitakan setiap kali Ramadan kemeriahan menunaikan solat Tarawih hanya berlaku buat seketika saja.

“Pada peringkat awal masjid dan surau penuh dengan jemaah. Selepas menunaikan solat sunat Tarawih mereka sama-sama bertadarus al-Quran.

“Namun, di pertengahan Ramadan, jemaah semakin berkurangan. Ia bertentangan dengan amalan Rasulullah yang berusaha mempertingkatkan amal ibadah lebih-lebih lagi menjelang malam terakhir Ramadan.

“Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bahawa Rasulullah s.a.w apabila masuk sepuluh hari terakhir bulan Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, mengejutkan ahli keluarganya dan menunaikan solat sunat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Ia berpunca kerana kurangnya penghayatan terhadap keistimewaan dan kelebihan Ramadan. Dalam hadis, Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang melakukan solat malam pada Ramadan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredaan dan keampunan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

“Apabila kurangnya penghayatan, amalan yang mereka lakukan dalam bulan Ramadan bagaikan tiada roh, malah mereka tidak sedikit pun merasai kelazatannya,” katanya.

Beliau berkata, jika seorang merasakan puasanya berada pada tahap paling rendah, iaitu puasa orang awam (sekadar meninggalkan makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa) maka mereka perlu berusaha mempertingkatkannya pada tahun ini.

“Sekurang-kurangnya mereka dapat mencapai tahap kedua, iaitu puasa orang khas (berusaha menjaga akhlak dan melakukan perkara sunat bagi menambahkan lagi kualiti puasanya).

“Jika berjaya mencapai tahap kedua, berusaha pula tingkatkan hingga sampai tahap tertinggi, iaitu puasa paling khas (khawasil khawas).

Untuk mencapai tahap ini, mereka bukan saja dituntut menjaga segala perkara yang membatalkan puasa, tetapi perkara yang boleh membatalkan pahala puasa.

“Anggota badan turut berpuasa dan hati pula sentiasa berzikir kepada Allah.
Inilah tingkatan puasa yang sepatutnya cuba dicapai setiap Muslim.

“Sentiasa menjaga lidah dan mulut kerana orang berpuasa perlu mengelak daripada bercakap perkara yang sia-sia dan keji,” katanya.

Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Puasa itu adalah perisai. Maka janganlah orang yang berpuasa itu bercakap perkara yang keji dan janganlah dia melakukan perbuatan orang jahil.” (Riwayat al-Bukhari).

Menurutnya, dalam bulan Ramadan amalan boros kerap kali berlaku terutamanya ketika menyediakan makanan dan minuman berbuka puasa.

“Meskipun berbelanja itu hak seorang manusia, namun Islam memandang sifat boros sehingga berlaku pembaziran itu sebagai melampau.

Terdapat dua panduan untuk mengingatkan umat Islam supaya sentiasa bersederhana, sama ada ketika berbelanja iaitu berusaha mengehad kemahuan diri dengan cara menghapuskan nafsu jahat seperti ammarah, lawwamah atau mulhamah dan menggantikannya dengan nafsu baik.

“Hal ini boleh dilakukan dengan membersihkan hati yang akhirnya membawa kepada sikap berjimat cermat. Justeru, mereka tidak lagi berbelanja secara berlebihan.

“Amat mendukacitakan, pembaziran itu dilakukan ketika terdapat lagi segelintir masyarakat yang amat memerlukan bantuan,” katanya.

Mohd Shukri berkata, dalam hidup manusia mereka sering di dominasi hawa nafsunya.

“Mereka menuruti apa saja yang menjadi keinginannya meskipun keinginan itu sesuatu yang batil serta merugikan orang lain. Sebab itu, dalam Islam ada perintah memerangi hawa nafsu.

“Sekiranya manusia kalah dalam ‘peperangan’ memerangi hawa nafsunya ia akan mengalih pengabdiannya kepada Allah dan cenderung mengarahnya ke arah kesesatan.

“Allah memerintahkan kita memperhatikan masalah itu dalam firman-Nya yang bermaksud, “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.” (Surah al-Jathiyah ayat 23).

“Berpuasa menjadikan seorang insan itu dididik memiliki keinginan kepada kebaikan, meskipun ia terhalang dengan pelbagai kesukaran.

Puasa juga menguatkan rohani Muslim yang membuatkannya mereka tidak lupa diri meskipun mencapai kejayaan duniawi.

“Semoga Ramadan kali ini kita istiqamah melakukan tadarus al-Quran, beriktikaf, memperbanyakkan solat sunat, bersedekah, berzikir, sentiasa menjaga pancaindera daripada melakukan maksiat.

“Cara itu pastinya akan mengekalkan momentum perubahan diri yang diperoleh hasil tarbiah Ramadan,” katanya

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »