Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Mac 2021

Dusta bawa kepada jadi munafik

Posted by epondok di Mac 6, 2021

Oleh Wan Muhd Ruzlan

Insan dapat menjaga lidah daripada berbohong termasuk golongan mukmin berakhlak mulia

ANTARA perbuatan sangat ditegah Islam ialah berdusta. Jika minum minuman keras dikatakan induk segala keji maka berdusta pula faktor utama kerosakan akhlak dan kesesatan. Dusta atau bohong juga dikategorikan Rasulullah sebagai tanda orang munafik. Ini jelas seperti sabda Baginda: “Tanda kemunafikan ada tiga, iaitu jika berkata berdusta, jika berjanji mengingkari dan jika dipercayai berkhianat.” (Hadis riwayat Muttafaqalaih)

//

Sebenarnya, seseorang yang suka berbohong memiliki peribadi buruk yang tidak melambang seorang mukmin sejati. Allah berfirman bermaksud: “Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah dan mereka itu ialah orang-orang yang bertabiat berdusta.” (Surah An-Nahl: 105)

Inilah peringatan Allah untuk kita mengenai kedudukan orang yang berdusta.
Hindari perbuatan berbohong itu malah jika kita tinjau dalam masyarakat Melayu ada pepatah berbunyi: “Siakap senohong, gelama, ikan duri, cakap bohong, lama-lama mencuri.”

Begitulah pekanya masyarakat kita dalam soal mendidik anak bagi mengelakkan perbuatan berbohong itu.

Umar al-Khattab ada berkata: “Kejujuran yang membuatku dihina itu lebih aku cintai daripada kebohongan yang membuatku dihormati. Namun, sedikit sekali yang melakukannya.”
Orang yang selalu berdusta dalam percakapan seharian itu melambang manifestasi iman yang goyah. Apa tidaknya, orang yang senang berdusta akan menganggap dosa itu remeh malah boleh dianggap sebagai insan yang tidak takut azab sengsara neraka.

Dusta adalah antara sifat mazmumah yang wajib ditinggalkan kerana ia amat dilarang Allah berdasarkan firman-Nya: “Mahukah Aku khabarkan kepada kamu kepada siapakah syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan itu) sedangkan kebanyakan beritanya adalah dusta.” (Surah asy-Syu’araa: 221-223)

Demikian juga dengan penegasan Allah ini: …Serta jauhilah perkataan-perkataan dusta.” (Surah al-Hajj: 30) Berpandukan ayat Allah itu, jelas bahawa perbuatan berdusta sangat ditegah Islam.

Sesungguhnya, berdusta dikategorikan sebagai dosa besar iaitu selepas dosa syirik (menyekutukan Allah) dan menderhakai ibu bapa. Ini seperti ditegaskan Rasulullah bermaksud: “Nabi pernah menyatakan berkenaan dosa-dosa besar. Kata baginda, menyekutukan Allah, menderhaka kedua-dua ibu bapa, membunuh dan berdusta.” (Hadis riwayat Bukhari)

Jadi, taraf dusta itu di tempat keempat dalam kategori besar. Namun manusia mudah lupa dan jarang peduli kepada dirinya sendiri mengenai dosa besar yang wajib dijauhi. Kita sangat prihatin dan peka kepada daging babi dan lebih melebihkan takut daging itu lebih daripada takutkan Allah. Demikian juga dengan rasuah. Tanpa ragu ada segelintir manusia bergelumang dengan dosa merasuah dan menerima rasuah. Masya-Allah, kita nampaknya boleh memilih dosa besar. Ada yang boleh dilakukan dan ada yang sangat takut. Fikir dan renungilah ayat Allah dalam al-Quran berkenaan dusta supaya lidah kita menjadi kelu untuk berbicara di luar batasan agama.

Sebenarnya bercakap dusta itu membawa seseorang mukmin bercirikan munafik. Hal ini jelas seperti sabda Rasulullah: “Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka ia adalah orang munafik. Sesiapa (juga) yang memiliki salah satu daripada empat sifat tersebut bererti dia bersifat kemunafikan sehinggalah dia meninggalkannya. Empat sifat tersebut ialah apabila bercakap dia berdusta, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila pertikaian dia melampaui batas.” – (Hadis riwayat Bukhari).

Demikian penegasan Rasulullah mengenai ciri munafik dan sifat suka berdusta itu satu daripadanya. Justeru, sama-sama kita hindari dengan memelihara lidah sebaik mungkin dengan tutur kata jujur dan bermanfaat.

Banyak impak negatif dusta terhadap seseorang insan. Antaranya, membawa punca rasa kurang senang atau kemarahan orang yang mendengarnya. Juga, si pendusta apabila kemudian terbukti segala tutur katanya dusta, ini akan menghilangkan kewibawaannya pada pandang orang lain. Misalnya jika dia seorang ayah dan kerap berdusta pada isteri dan anak maka lambat laun mereka bersikap kurang hormat sekali gus mengikis kualitinya sebagai ayah berwibawa. Jika dia pemimpin negara atau masyarakat tetapi katanya penuh dusta maka orang ramai tidak akan menghormatinya lagi sebagai pemimpin yang boleh dipercayai dan disokong.

Jika dia seorang peniaga dan urusan jualannya diselaputi dusta maka ia akan mendatangkan kesan buruk bukan saja kurang dipercayai pelanggan tetapi apa yang pasti Allah akan membalasnya dengan azab di akhirat.

Rasulullah bersabda: “Keimanan seseorang itu tidak sempurna sehinggalah dia meninggalkan pembohongan sama ada semasa bergurau senda atau berbalah.” (Diriwayatkan Abu Hurairah)

Jelas, seorang insan yang dapat mengawal dan memelihara lidahnya daripada mengucapkan kata dusta sebaliknya sentiasa menuturkan kata yang baik dan berfaedah maka dia tergolong dalam mukmin yang berakhlak mulia. Ingatlah, melalui lidah kita akan mendapat bahagia dan melalui lidah juga sengsara dunia dan azab neraka akan menimpa kita

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Kurang tarbiyah punca gagal kawal nafsu zina

Posted by epondok di Mac 5, 2021

HIKMAH larangan berzina sudah dimaklumi umum. Akibat buruknya juga terbukti hari ini, kes pembuangan bayi serta pembunuhan pasangan kekasih adalah bertitik tolak daripada perlanggaran perintah Allah.

Walaupun Islam sudah menggariskan cara hidup yang sempurna merangkumi semua aspek, ada segelintir pihak mahu melanggarnya. Maka timbullah pelbagai kejadian tidak diingini dan tidak dapat diterima fitrah manusia. Zina adalah perbuatan keji yang boleh mengaibkan pemilik maruah diri, keluarga dan agama. Zina juga membawa kerosakan pada bumi. dan dapat dilihat dalam perkembangan sosial sekarang, hubungan intim tidak lagi menjadi asing dalam budaya hidup moden.

Akibatnya, janin digugurkan dan anak yang tidak sah taraf lahir, dibuang merata malah dibiarkan mati. Perbuatan ini boleh disamakan dengan pembunuhan yang balasannya juga adalah nyawa, mengikut hukum Tuhan.

Firman Allah: “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar.” (Surah al-Israa’: 33)

Berzina sehingga melahirkan anak tidak sah taraf juga meninggalkan implikasi lain yang bersifat jangka panjang terhadap anak terbabit seperti rosaknya nasab. Allah berfirman maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan.” (Surah Al-Israa’: 32)

Buruknya zina dapat dinilai melalui amaran Allah dalam ayat itu supaya hamba-Nya tidak menghampiri sebarang perbuatan yang mendorong kepada zina.

Kebanyakan pengamal zina hari ini tahu dan faham akan larangan itu tetapi tidak berusaha menjauhinya. Apa lagi yang mampu mengelakkan golongan ini menjauhi zina melainkan kesedaran beragama dan pemantauan orang di sekeliling?
Memang benar, sekiranya empunya badan tidak berusaha kembali ke pangkal jalan, sudah tentulah tidak ada apa yang boleh merubah keadaan. Di negara yang taraf pendidikan rakyatnya tinggi, kedangkalan ilmu tidak menjadi sebab perbuatan jahiliyah ini semakin berleluasa. Apatah lagi ilmu agama hari ini mudah diperoleh dan disampaikan kepada setiap golongan masyarakat secara langsung atau tidak langsung. Mungkin juga tarbiyah hati yang kurang mencukupi menyebabkan nafsu tidak terhalang daripada terus membuat kerosakan di bumi dan akal pula tidak boleh menjadi pedoman meskipun mampu berfikir.

Walau apa pun alasannya, mencari ruang kesalahan tidak cukup untuk membetulkan keadaan. Sebaliknya, setiap ahli masyarakat perlu memainkan peranan yang sepatutnya untuk tidak membenarkan perbuatan zina berlaku di mana-mana, baik di rumah sendiri, bilik hotel, dalam semak atau di rumah tumpangan. Mengharapkan sehingga setiap individu mempunyai kesedaran tentulah tidak merancakkan langkah pencegahan, walaupun itulah yang terbaik untuk mengatasinya.

Firman Allah bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu puak yang menyeru berdakwah kepada kebajikan mengembangkan Islam dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah, buruk dan keji, dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Surah Ali ‘Imran: 104)

Individu Islam tidak boleh menolak daripada berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Dengan berpegang ajaran inilah manusia tidak akan terpesong daripada kebenaran atau sesat akidahnya, sama ada melalui perkataan atau perbuatan, seperti sabda Rasulullah: “Dari Ibni Abbas r.a ia berkata: Sabda Rasulullah – Sesungguhnya aku telah meninggalkan pada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sama sekali sesat selama mana kamu berpegang kepada keduanya, kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.” (Hadis riwayat Al-Imam Al-Hakim)

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Tukar agama: Kenyataan Sajat kelirukan masyarakat

Posted by epondok di Mac 4, 2021

Dato’ Dr Luqman Abdullah

KUALA LUMPUR: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menyeru semua umat Islam di negara ini agar memelihara maruah diri dan agama serta tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat.

Ia susulan kenyataan terbuka seorang artis yang mendakwa dirinya seorang transgender dan menzahirkan rasa bangga menjadi seorang pondan serta kenyataan ‘Muhammad Sajjad’ atau ‘Nur Sajat’ yang memberitahu kepada umum dirinya berniat untuk menukar agama.

Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Dr Luqman Abdullah berkata pihaknya memandang serius kenyataan itu yang dilihat memberikan kesan yang mendalam terhadap umat Islam di negara ini.

Malahan, katanya menimbulkan kekeliruan segelintir masyarakat yang mula beranggapan bahawa perbuatan itu adalah normal serta tidak menyalahi agama sekali gus dibimbangi akan membuka kepada pintu-pintu keburukan yang lain.

“Sehubungan itu, pihak PMWP ingin menasihatkan kepada seluruh umat Islam di negara ini
supaya sentiasa memelihara maruah diri masing-masing terutamanya dengan berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan kepada umum.

“Dalam Islam, setiap percakapan yang mengundang keburukan sama ada ke atas diri sendiri ataupun orang lain, akan dinilai sebagai suatu dosa di sisi Allah.

“Rasulullah s.a.w turut mengingatkan kepada setiap umat Islam agar memelihara lidah masing-masing daripada menyebut perkataan-perkataan yang buruk ataupun boleh membuka keaiban diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Luqman menasihati pihak yang mendedahkan keaiban mereka kepada supaya kembali terhadap larangan yang telah ditegaskan oleh Allah dengan memetik ayat ke-11 surah al-Hujurat; “Dan janganlah setengah kamu menyatakan celaan (keaiban) setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk”.

“Manakala bagi mana-mana individu yang terlintas dalam hati mereka untuk menukar agama, kami ingin mencadangkan kepada mereka supaya bertenang, berehatlah seketika daripada kesibukan, pergilah mencari ketenangan diri, renunglah kembali dosa-dosa silam yang pernah dilakukan, lafazkanlah istighfar berulang kali, berdoa, bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT,” ujarnya.

Lantaran itu, beliau menggesa semua pihak agar menghormati norma masyarakat di negara ini yang sentiasa memelihara memelihara tatasusila serta kesopanan dalam perbezaan gender di antara lelaki dengan wanita.

Selain itu, mengingatkan umat Islam agar menghormati perlembagaan serta undang-undang yang telah ditetapkan khususnya yang berkaitan dengan jenayah Syariah.

“Marilah sama-sama kita memelihara maruah diri kita sebagai umat Islam. Janganlah kita bersikap mementingkan diri sendiri dengan sewenang-wenangnya melakukan perkara-perkara yang boleh membuka keaiban diri sendiri sehingga mendatangkan fitnah kepada agama,” serunya lagi

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Cara Urus masa ukur martabat manusia

Posted by epondok di Mac 3, 2021

Oleh Wan Marzuki

Tugas perlu disiapkan ikut tempoh ditetapkan elak kerja bertangguh, tak sistematik

BIJAK pandai ada mengatakan, masa itu emas. Sejak zaman dulu manusia mengakui emas begitu berharga dan bernilai. Memiliki emas sama ada sebagai harta atau barang perhiasan turut menjadi kebanggaan.

Melihat mahalnya nilai emas di pasaran dan sukar pula untuk memperolehnya tanpa ikhtiar serta usaha, maka nilaiannya disandarkan kepada masa. Walaupun emas tetap mahalnya, namun jika dibandingkan dengan masa, nilainya tidak sama.

 Emas dan masa sama berharga serta tidak ternilai tetapi masa tidak dapat disamakan dengan harta benda dan wang ringgit kerana masa tidak boleh ditukar ganti, dibeli dan dikembalikan jika ia sudah berlalu. Hukama mengibaratkan masa sebagai pedang.

Jika manusia tidak berusaha untuk mendahului masa dalam maksud mengejar kepentingan dunia dan akhirat pada setiap masa, maka masa pasti akan mendahului menyebabkan manusia mengalami kerugian membiarkan masa berlalu tanpa diisi perkara bermanfaat.

Masa cukup berharga kepada manusia. Bagi mereka yang mempunyai kerjaya, masa memainkan peranan penting kerana setiap saat dilalui, akan ada tugasan serta urusan harus diselesaikan.

Majikan akan menilai keberkesanan tugasan pekerja dengan memperuntukkan tempoh waktu tertentu untuk menyiapkan tugasan.
Jika tugasan disiapkan pada tempoh ditetapkan, maka pekerja sebeginilah yang benar-benar memahami dan menghayati pentingnya mengikut ketetapan masa kerana setiap detik masa berlalu, tidak akan dapat diulang kembali.

Islam mengajar cara menjaga dan mengurus masa dengan baik serta berkesan antaranya ialah membuat perancangan teliti. Setiap pekerjaan sudah pasti akan dilaksanakan mengikut masa tertentu. Justeru, penjadualan penting bagi mengelakkan berlakunya pembaziran masa.

Kerja perlu disiapkan mengikut tempoh ditetapkan bagi mengelak kerja bertangguh dan tidak sistematik.

Nabi Allah Ibrahim menyediakan jadual khusus dalam waktu hidupnya seharian untuk bermunajat (berzikir) kepada Allah, bermuhasabah diri, berfikir mengenai ciptaan Allah serta memenuhi keperluan hidup seperti makan dan minum.

Umat Islam yang sentiasa inginkan kemajuan untuk diri, masyarakat, bangsa dan negara hendaklah menjadi orang yang sentiasa menepati masa untuk mengelak hal negatif berpunca daripada kecuaian menepati masa. Kata-kata hikmat: “Jangan tangguh kerja hari ini sehingga hari esok”.

Jangan membazir masa kerana orang yang benar-benar menghargai masa akan sentiasa memenuhkan harinya melakukan perkara bermanfaat serta mengelak terjebak dalam aktiviti negatif yang merugikan.

Menjaga kualiti masa juga antara cara mengendalikan masa dengan berkesan. Kualiti masa bagi seseorang tentunya berbeza namun Islam menyusunnya mengikut batas tertentu yang pasti sesuai dan perlu diambil perhatian semua umat muslimin.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu masa sihatmu sebelum sakit, masa lapangmu sebelum sibuk, masa mudamu sebelum tua, masa senangmu sebelum susah dan masa hidupmu sebelum mati.”

Berdasarkan hadis itu, manusia dituntut berlumba meningkatkan kualiti dan produktiviti. Firman Allah dalam surah al-Maidah yang bermaksud: “Hendaklah kamu berlumba-lumba melakukan kebaikan.”

Selain itu hendaklah istiqamah dalam melakukan pekerjaan. Kekuatan untuk mengekalkan semangat dan usaha untuk beristiqamah apabila diberi tugasan akan lahir dengan sendiri dalam diri apabila seseorang itu menganggap apa yang dilakukan adalah ibadat kepada Allah.

Setiap pekerjaan atau tugasan dilakukan tidak semuanya akan menghasilkan kejayaan seperti diharapkan, namun Islam menuntut supaya sentiasa menjadikan masa silam sebagai guru dan pengalaman untuk menilai kembali kekuatan serta persediaan menghadapi tugasan.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya telah berlaku sunnah Allah sebelum dari kamu, kerana itu berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana akibat orang yang mendustakan Rasul-Nya.” – (Surah al-Imran, ayat 137)

Martabat manusia dinilai melalui cara mereka memenuhi masa seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia yang panjang umurnya dan baik pula pekerjaannya, manakala sejahat-jahat manusia ialah yang panjang umurnya tetapi buruk pula amalannya.”

Allah berfirman yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal salih, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Surah al-Asr)

Golongan manusia yang tidak akan rugi ini adalah yang melakukan kerja dan tugasan hidup menepati kehendak syariat. Oleh itu, orang beriman dan beramal salih akan berusaha memenuhi masa melakukan pekerjaan bermanfaat demi mendapat keredaan Allah.

Manusia yang untung ini juga akan sentiasa memohon kepada Allah untuk menguatkan semangat menghadapi kehidupan serta berusaha membantu saudara mereka dengan memberi pesanan berguna untuk sentiasa patuh kepada suruhan Allah.

Orang yang sentiasa dalam keuntungan ialah:

  • Orang yang beriman dengan mengikrarkan lidahnya dan membenarkan hatinya bahawa semua ajaran dibawa junjungan Rasulullah adalah benar belaka.
  • Dia juga membuat kebajikan yang mendatangkan manfaat kepada umum serta membawa orang lain ke arah jalan diredai.
  • Sentiasa berpesan dengan kebenaran, berpegang kepada ajaran al-Quran yang menjadi asas kepada sebarang tindakan orang mukmin dan sunnah Rasulullah yang menjadi penerang kepada ketetapan kalamullah.
  • Orang beriman juga berpesan supaya dirinya dan orang lain sentiasa teguh hati dan bersabar dalam hidup kerana orang kurang sabarnya akan mudah dihasut syaitan yang membawa manusia ke jalan kesesatan.
    //

  • Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

    Hikmah di sebalik wuduk

    Posted by epondok di Mac 2, 2021

    Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

    SOLAT adalah tiang agama dan menjadi ‘penangkis segala maksiat’. Solat wajib dilaksanakan sebagai usaha membentuk kebahagiaan jasmani dan rohani.

    Sebelum melaksanakan tuntutan solat, umat Islam perlu berwuduk sebagai lambang penyucian zahir dan batin. Ia bukan sekadar pembersihan dan penyucian tertentu anggota daripada segala kekotoran tetapi ia mengandungi hikmah lain yang memberi makna mendalam.
    Berwuduk menepati kehendak ilmu kesihatan moden yang memperakui ia adalah kaedah perubatan berkesan. Ibnu Qaiyyim al-Jauzi pernah berkata: “Mandi dan wuduk itu mendatangkan kesegaran badan dan kesedapan jiwa serta menghilangkan sebarang kekotoran yang diperoleh, antaranya yang disebabkan jimak.” Justeru, wuduk adalah sebahagian rawatan kesihatan kepada umat manusia. Memetik kata pakar kesihatan dari Akademi Perubatan Daghestan, Dr Magomed Magomedov, wuduk dapat merangsang pusingan biologi manusia dengan merangsang kawasan tertentu yang dikenali sebagai ‘Kawasan Aktif Biologi’.
    Beliau berkata, bangsa Cina banyak mengkaji kaedah ilmu sains refleksologi dan mereka yakin kawasan aktif biologi akan merangsang sistem saraf dalam tubuh manusia. Ia mampu memberi kesan positif terhadap tahap kesihatan seseorang. Dr Magomed melaporkan, apabila seseorang menyentuh muka ketika berwuduk, ia akan merangsang saraf untuk menyalurkan kekuatan baru kepada organ lain seperti usus, perut, pundi kencing dan sistem peranakan. Apabila kita membasuh kaki kanan sambil menggosok, ia akan merangsang sistem saraf bagi memulihkan sistem tulang, usus, pankreas, hempedu serta kawasan pinggang.
    Apabila membasuh kaki kiri, sains perubatan mengakui ia menyihatkan kelenjar dan kawasan otak yang mengawal sistem endoktrin. Maha Suci Allah! Ibadah yang selalu kita laksanakan selama ini sebenarnya terangkum 1001 macam manfaat. Justeru, kepentingan wuduk sebagai satu ibadah dan alternatif rawatan kesihatan sepatutnya menjadi amalan kepada kita.
    Tidak semestinya kita mengambil wuduk ketika hendak menunaikan solat atau ketika hendak membaca al-Quran saja. Wuduk boleh dilakukan sebagai amalan untuk membina jiwa yang suci.
    Kita dinasihatkan berwuduk apabila marah. Perasaan marah seseorang pasti menurun apabila berwuduk. Cuba kita bayangkan ketika kita menuju ke tempat berwuduk, badan kita dalam keadaan panas dan kurang bertenaga. Bagaimanapun, apabila selesai berwuduk dengan serta-merta anggota tubuh tenteram. Pada suatu hari, Junaid al-Baghdady menghidap penyakit mata. Lalu, dia berubat dengan seorang tabib Nasrani. Tabib itu menilik keadaan mata Junaid, kemudian menasihatkan supaya matanya jangan terkena air. Pada mulanya, dia tidak keberatan mengamalkan petua tabib itu. Namun, di rumahnya, Junaid teringat bahawa setiap kali bersolat, seseorang itu mestilah berwuduk sedangkan berwuduk mesti membasahi muka.
    Junaid yakin Allah menjadikan setiap penyakit dan setiap penyakit itu pasti ada ubatnya. Nabi Muhammad s.a.w bersabda bermaksud: “Allah tidak akan menurunkan penyakit kecuali menurunkan ubatnya, maka berubatlah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah). Tanpa ragu-ragu Junaid pun berwuduk dan membasuhi mukanya. Kemudian selesai melakukan solat, dia tidur. Kejadian aneh terjadi padanya, matanya sembuh.
    Tabib yang memberi petua penyembuhan pada Junaid menjadi sangat hairan apabila melihat mata Junaid kembali sembuh. Yang dia hairankan ialah mengapakah begitu cepatnya mata Junaid sembuh. Kata tabib itu, “Mengapakah tiba-tiba sahaja matamu menjadi baik? Jawab Junaid: “Aku hanya berwuduk, aku membasuh muka dan mataku.’ Kesan peristiwa itu tabib yang beragama Nasrani itu akhirnya memeluk Islam. Dia mengucap dua kalimah syahadah lalu berkata: “Itu adalah ubat dari Tuhan yang menciptakan penyakit itu. Dia yang memberikan penyakit dan Dia jugalah yang menciptakan ubatnya. Aku juga sebenarnya menderita penyakit, iaitu penyakit hati (rohani), dan Junaidlah yang menjadi tabibnya.” Dengan berkat berwuduk, ia mengandungi banyak manfaat terutama menyembuhkan pelbagai penyakit. Itulah yang diperintahkan Allah pasti mempunyai hikmah dan kebaikannya kepada manusia.” “Sesungguhnya umatku datang pada hari kiamat dalam keadaan bersinar-sinar daripada kesan wuduk. Sesiapa yang berupaya untuk melebihkan basuhan wuduknya, maka lakukanlah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

    Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »