Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Mac 2021

Peniaga Muslim dituntut utama kebajikan masyarakat

Posted by epondok di Mac 31, 2021

Oleh Nik MUstapha Nik Hassan

Islam tolak amalan perniagaan bersifat kepentingan individu semata-mata

PENIAGA Muslim perlu memiliki pendekatan niaga yang luhur untuk berjaya. Amalan berniaga sangat dituntut oleh agama, lebih-lebih lagi pembabitan berniaga hendaklah membawa kejayaan kepada peniaga. Kejayaan berniaga boleh diukur melalui jumlah keuntungan.

Yang menarik mengikut Islam, keuntungan berskala besar dan berterusan dapat diperoleh jika barangan dan perkhidmatan yang diperniagakan mendapat sambutan yang hebat secara besar-besaran. Dengan kata lain, perniagaan itu mampu menguasai pasaran yang besar termasuk di peringkat antarabangsa.

Matlamat itu mampu diperoleh melalui niat dan pendekatan menjalani perniagaan oleh peniaga yang luhur menepati kehendak agama. Kejituan niat dan pendekatan boleh diamalkan jika pada awal permulaan, perniagaan niat peniaga ialah untuk berusaha meningkat kebajikan kepada pengguna. Dengan kata lain, peniaga terbabit mengambil pendekatan dalam amalan perniagaannya bahawa tujuan dia berniaga untuk menyumbang kepada kebajikan hidup pengguna.

Pendekatan berkenaan perlu kepada kejujuran hati dan kreativiti dalam memahami keperluan dan kehendak kehidupan masyarakat. Pada akhirnya yang hendak dicapai ialah melalui amalan perniagaannya, keperluan dan kehendak masyarakat dapat dipenuhi.

Natijah daripada keluhuran niat dan kebijaksanaan berniaga hasilnya mampu memberi keuntungan besar kepada peniaga. Keuntungan besar diperoleh melalui kebolehan peniaga terbabit menguasai pasaran melalui pembesaran jualan dengan mengenakan harga berpatutan. Pendekatan ini boleh dirumuskan sebagai ‘keuntungan diperoleh melalui tanggungjawab kepada masyarakat.’

Jika kita meneliti pendekatan dalam perniagaan, pendekatan ini menganjurkan kepada keharmonian antara kepentingan atau hak peniaga dan sumbangan kebajikan kepada masyarakat. Pendekatan hidup berharmoni ini adalah asas utama kepada penyusunan dan pembinaan tamadun masyarakat manusia oleh sektor perniagaan.

Keuntungan dalam amalan perniagaan adalah hasil usaha gigih serta bijak (berkesan) oleh seseorang peniaga. Setiap amalan perniagaan tidak semestinya menghasil keuntungan dan ada kala peniaga terpaksa menghadapi kerugian.

Untung dan rugi dalam perniagaan adalah proses yang lumrah. Justeru, keuntungan yang besar melalui kemampuan mencatat jualan besar bukan sesuatu yang perlu dipandang serong. Keuntungan besar diperoleh melalui niat asalnya yang luhur dan kebijaksanaan peniaga menjalani perniagaannya.

Jika kegiatan perniagaan tidak menyalahi agama dan keuntungan besar diperoleh, ia menggambarkan satu kejayaan yang mulia oleh peniaga yang boleh dibanggakan. Perolehan keuntungan perniagaan melalui pendekatan di atas jika menjadi budaya di kalangan ahli peniaga Muslim, kesan yang sangat hebat kepada ekonomi masyarakat Islam akan menjadi besar. Peniaga Muslim memperoleh kejayaan dalam perniagaan mereka pada skala besar.

Islam adalah agama untuk semua umat manusia. Segala amalan perniagaan mesti mampu memberi kesan positif yang besar kepada keseluruhan masyarakat. Pendekatan perniagaan seperti dianjurkan Islam mampu memberi sumbangan besar kepada kebajikan keseluruhan masyarakat.

Membina budaya niaga yang positif seperti di atas pada masa kini bukan perkara mudah dan dapat dihasilkan dalam jangka masa pendek. Tambahan lagi dalam budaya amalan perniagaan semasa di mana kepentingan peniaga secara individu menjadi teras utama.

Memberi penumpuan

keterlaluan terhadap kepentingan individu, maka lahirlah pendekatan perniagaan bersifat memaksimumkan keuntungan dalam jangkamasa singkat. Budaya niaga yang menumpu kepada kepentingan peniaga secara individu menyebabkan wujudnya beberapa permasalahan kepada masyarakat.

Salah satu penyebab kepada kemelut ekonomi global semasa adalah disebabkan pendekatan amalan perniagaan bersifat kepada kepentingan individu peniaga. Kebajikan masyarakat adalah persoalan yang tidak penting.

Pendekatan yang dianjurkan Islam dalam amalan perniagaan menuntut golongan peniaga bahawa mereka memiliki tanggungjawab kepada kebajikan masyarakat dalam amalan perniagaan mereka.

Pendekatan Islam yang merangsang individu supaya bertanggungjawab kepada kebajikan masyarakat adalah satu pendekatan yang bersesuaian dengan fitrah menyusun kehidupan bermasyarakat sehingga wujudnya tamadun manusia yang mulia. Pendekatan ini saja yang mampu menjamin keharmonian dan kestabilan ekonomi tercapai.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Lunak suara semasa baca al-Quran digalakkan

Posted by epondok di Mac 30, 2021

Oleh ZUARIDA MOHYIN

SESUNGGUHNYA nasihat ini amat berguna kepada setiap daripada kita yang pada hakikatnya sentiasa menerima ujian Allah SWT, sama ada secara kita sedar ataupun tidak, kecuali bagi mereka yang sentiasa muhasabah diri.

Kitab suci al-Quran adalah sebaik-baik bacaan bagi orang mukmin, sama ada di kala senang mahupun di waktu susah, di saat gembira ataupun ketika dirundung duka.

Hakikatnya, membaca al-Quran, sama ada kita mengetahui maksudnya ataupun tidak, adalah termasuk dalam ibadah, amal soleh dan memberi rahmat serta manfaat bagi yang melakukannya; memberi cahaya ke dalam hati yang membacanya sehingga terang benderang, juga memberi cahaya kepada keluarga dan rumah tangga tempat al-Quran itu dibacakan.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Kepada kaum yang suka berjemaah di rumah-rumah ibadat, membaca al-Quran secara bergiliran dan mengajarkannya terhadap sesama, akan turunlah kepadanya ketenangan dan ketenteraman, akan terlimpah kepadanya rahmat dan mereka akan dijaga oleh malaikat, juga Allah akan selalu mengingati mereka. (riwayat Muslim).

Justeru, bukan sahaja membaca al-Quran yang menjadi ibadah dan amal yang mendatangkan pahala dan rahmat, tetapi mendengarkannya juga besar manfaatnya.

Surah al-A’raaf ayat 204 menjelaskan tentang pahala orang yang sekadar mendengarkan bacaan al-Quran yang bermaksud: Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah (baik-baik) dan perhatikanlah tenang, agar kamu mendapat rahmat.

Ini kerana, mendengarkan bacaan al-Quran dengan baik, dapat menghibur perasaan sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melunakkan hati yang keras, serta mendatangkan petunjuk. Itulah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah, yang diberi kepada orang yang mendengarkan bacaan al-Quran dengan baik.

Demikianlah besarnya mukjizat al-Quran sebagai wahyu Ilahi, yang tidak bosan-bosan dibaca dan didengari. Sehinggakan semakin kerap orang membaca dan mendengarkannya, semakin terpikat hatinya kepada al-Quran.

Apatah lagi apabila al-Quran itu dibaca dengan lidah yang fasih, dengan suara yang baik dan merdu, ia akan lebih memberi pengaruh kepada jiwa orang yang mendengarkannya dan bertambah kukuh imannya.

Bagaimana keadaan orang mukmin tatkala mendengarkan bacaan al-Quran itu digambarkan oleh firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, hanyalah mereka yang apabila disebut (nama) Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya dan kepada Allah lah mereka bertawakal. (al-Anfaal: 2)

Diriwayatkan pada suatu malam, Nabi Muhammad SAW mendengarkan Abu Musa Al-Asy’ari membaca al-Quran sampai jauh malam. Setibanya baginda di rumah, baginda ditanya oleh Aisyah r.a., apa sebabnya baginda pulang sehingga lewat malam. Rasulullah menjawab, bahawa baginda terpikat oleh kemerduan Abu Musa Al-Asy’ari membaca al-Quran, seperti merdunya suara Nabi Daud a.s.

Malah di dalam riwayat, banyak sekali disasterakan, betapa pengaruh bacaan al-Quran pada zaman Rasulullah terhadap hati orang-orang kafir yang setelah mendengarkan bacaan al-Quran itu.

Tidak sedikit hati yang pada mulanya keras dan marah kepada Nabi SAW serta pengikut-pengikutnya, berbalik menjadi lunak dan mahu mengikuti ajaran Islam.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Sikap tasauf terhadap syariat

Posted by epondok di Mac 28, 2021

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

DI kesempatan yang lepas, kami telah mengemukakan sedutan daripada penjelasan oleh salah seorang tokoh besar ulama tasauf, hadis dan syariat di zaman kita, Al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki tentang isu hubungan antara tasauf dan syariat.

Dalam kitabnya Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan), beliau telah memetik kata-kata para pemuka ulama tasauf yang menegaskan keselarian antara ilmu ini dengan syariat atau usul syariat, al-Quran dan al-Sunnah.

Di bawah ini diperturunkan beberapa petikan lain yang mengungkapkan dengan begitu fasih tentang persoalan ini, sekali gus memberikan kepada kita gambaran sebenar tasauf daripada lisan para tokoh-tokohnya yang hakiki.

Adalah jelas daripada kata-kata tokoh-tokoh tasauf daripada generasi awal ini bahawa jalan syariat adalah asas dan landasan bagi perjalanan seseorang sufi. Walau apa pun yang mungkin ditemui seseorang dalam perjalanannya itu semuanya harus tunduk kepada neraca al-Quran dan al-Sunnah.

Maka tasauf yang hakiki, seperti mana yang dipegang oleh para pemukanya adalah manhaj yang harmoni dan selari dengan al-Quran dan al-Sunnah, bahkan bersumberkan dan berdasarkan dua sumber asasi syariat ini.

Cuma, mungkin tetap timbul perbezaan dan perselisihan jika istilah merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah atau istilah syariat itu difahami secara berbeza. Sepatutnya dua sumber asasi agama ini difahami dan didekati mengikut pendekatan yang muktabar dan disepakati oleh para pakar dalam ilmu-ilmu al-Quran dan Hadis. Bukannya pendekatan yang terlalu literal dan sempit.

Syariat juga perlu difahami dalam kerangka yang telah diterima pakai oleh arus perdana Usul al-Fiqh dan Fiqh dan segala kaedah-kaedah yang berkaitan. Jika ini jadi pegangan maka nescaya Tasauf dan Syariat akan berjalan segandingan dan seiringan. Wallahua’lam.

Insya-Allah, pada minggu hadapan kita akan meneliti pula beberapa kefahaman yang perlu dimurnikan berkaitan dengan aliran Akidah al-‘Asha’irah.

Posted in Artikel Pilihan, Klinik Agama | Leave a Comment »

Adakah Anda Seorang Mujtahid?

Posted by epondok di Mac 26, 2021

Ust. HusinDisediakan oleh Ust. Husin bn. Abdul Kader 

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله وكفى وسلام على عباده الذين اصطفى، أما بعد:

Alhamdulillah Allah s.w.t memberi taufiq kepada kita pada menulis risalah ini, semuga kita sama-sama dapat mengambil menfaat dengannya.

            Pada masa kini umat Islam sering diganggu oleh pemikiran-pemikiran yang meragu-ragukan amalan-amalan harian kita. Ada pihak yang sanggup meracuni fikiran umat Islam sehingga mereka berani menentang pendapat-pendapat ulama mu’tabar masa silam. Mereka mengemukakan beraneka dalil sehiggakan umat Islam tidak dapat memahami dan melemahkan kekuatan beramal.

            Dengan adanya sikap mengkritik hukum-hukum khilaf di antara ulama, umat Islam tidak akan memperolehi pendirian tetap secara sederhana dan menyukarkan umat Islam mengelak dari fitnah, yang merunsingkan bagi pihak kami ialah, takut-takut mereka pandai-pandai menambah dan mengurangkan amalan-amalan Islam serta mengelirukan umat Islam dan mengeluarkan kata-kata yang bercanggah dengan kehendak Allah dan Rasulullah yang sebenar.

            Rasulullah s.a.w bersabda: ( ما ضل قوم بعد هدى، كانوا عليه الا اوتو الجدل )  riwayat ibnu majah. Maksudnya, mana-mana golongan yang tidak disesatkan setelah diberi petunjuk melainkan mereka diberi peluang untuk bertengkar.

            Sebenarnya masalah khilafiah dipertikai oleh imam-imam terhadap sesuatu amalan berdasarkan cara yang manakah patut diutamakan. Itu bukannya bercanggah pendapat mengenai sah atau tidak sah sesuatu amalan itu. Contohnya seorang imam berpendapat bahawa (رفع يدين) mengangkat kedua tangan semasa hendak ruku’ adalah lebih afdhal daripada tidak angkat tangan, sementara imam yang lain mengatakan bahawa tidak angkat tangan itu lebih baik daripada angkat tangan. Begitulah seterusnya:

1)      Membaca Amin kuat atau perlahan

2)      Membaca Bismillah dengan suara nyaring sebelum Fatihah atau membaca dalam hati

3)      Sujud sahwi dilaksanakan sebelum memberi salam atau selepas memberi salam sebelah kanan.

Jikalau anda mengerti bahawa membaca fatihah adalah wajib berdasarkan hadith:

( لا صلاة الا بفاتجة الكتاب ) bermaksud “tiadalah sembahyang melainkan dengan membaca fatihah” (tidak sah sembahyang tanpa membaca fatihah). Maka hendaklah anda beramal sesuai dengan hadith itu. Akan tetapi ijtihad (petikan atau fahaman daripada Al-Quran atau Al-Hadis) anda tidak boleh menjadi hujjah ke atas orang lain dan anda tidak boleh menyalahkan ijtihad orang lain kerana mereka juga mengambil dalil dengan hadith:

( من صلى خلف الامام فقراءة الامام له قراءة ) maksudnya “barangsiapa sembahyang di belakang imam maka bacaan oleh imam itu dianggap bacaannya juga”. Maksudnya ma’mum tidak perlu baca apa-apa di belakang imam.

            Jikalau anda menganggap ( menyuarakan ) di sini bahawa hadith yang menggalakkan membaca fatihah di belakang imam itu kukuh dan hadith yang mengharuskan tidak membaca fatihah itu lemah atau hadith yang direka dan seterusnya anda memberi fatwa mengenai batalnya sembahyang mereka yang tidak membaca fatihah di belakang imam, maka seolah-olah anda memberi gambaran mengenai tidak sahnya sembahyang sahabat, tabe’in dan imam-imam mujtahid yang beramal dengan hadis yang mengharuskan tidak membaca fatihah itu. Padahal tidak ada seorangpun berkata demikian itu pada abad pertama hijriah, sedangkan isu perselisihan pendapat mengenai membaca fatihah atau tidak di belakang imam itu telah wujud di kalangan mereka pada abad pertama lagi.

            Mungkin di sini anda sekalian akan menghadapi satu kemusykilan iaitu apabila mengkaji Al-Quran dan Al-Hadith, didapati perselisihan di antara:

1)      ayat sama ayat

2)      ayat dan hadith

3)      satu hadith sama hadith yang lain,

maka bagaimanakah cara yang tepat untuk beramal dengan Quran dan Sunnah. Saya ingin beritahu dua perkara sebagai asas jawapan itu, iaitu pertama mengenai tugas muhaddith dan kedua mengenai tugas mujtahid.

            Tugas muhaddith ialah semata-mata meriwayatkan sabdaan Rasulullah s.a.w, perbuatan Rasulullah s.a.w dan pengiktirafan Rasulullah tanpa mengemukakan:

1)      Yang mana nasikh(hukum yang tetap), yang mana mansukh(hukum yang dah dibatalkan).

2)      Yang mana hadith merupakan dasar utama, yang mana merupakan hadith pengecualian.

3)      Suruhan yang manakah disambut atau disokong beramal oleh sekumpulan besar sahabat dan tabi’in.

Maksudnya, perkara-perkara tersebut itu tidak diambil endah oleh muhaddith dan yang mengambil kira terhadap perkara-perkara itu adalah imam-imam mujtahid. Itulah tugas bagi seorang mujtahid. Oleh kerana itu pentashihan hadis yang dibuat oleh fuqaha’ ( iaitu imam-imam mujtahid ) lebih tinggi kedudukannya daripada pentashihan yang dibuat oleh ulama’ muhaddithin. Imam Al-A’amasy berkata: ( حديث يتداوله الفقهاء خير من حديث يتداوله الشيوخ ) maksudnya, hadith yang diterima pakai oleh fuqaha’ mujtahidin itu lebih baik daripada yang diterima pakai oleh ulama’ muhaddithin. Imam Tirmizi menukilkan dalam Kitab Hadith Tirmizi pada bab mandi mayat: “وكذلك قال الفقهاء وهم اعلم بمعاني الحديث”

(ترمذي باب غسل الميت: 1، ص 118)

            Dan demikian itulah berkata ahli-ahli feqah, pada hal mereka (فقهاء) itulah yang lebih memahami dengan makna maksud hadith. Ini memberi gambaran kepada kita bahawa mujtahid lebih mengerti isi kandungan hadis daripada muhaddith. Sebagai menyokong pendapat Imam Tirmizi hendak diberitahu satu kisah yang berlaku di antara Imam A’amasy seorang muhaddis ( pakar riwayat hadis ) dan Imam Abu Hanifah seorang mujtahid ( pakar mengkaji Al-Quran dan Al-Hadith secara halus dan mendalam ).

            Pada suatu ketika Imam A’amasy ( muhaddith ) disoal mengenai beberapa hukum sedang Imam Abu Hanifah ( mujtahid ) ada di samping Imam A’amasy. Imam A;amasy meminta Imam Abu Hanifah menjawab, maka Imam Abu Hanifah pun terus menjawab soalan-soalan yang diaju itu. Sebaik saja selesai menjawab Imam A’amasy bertanya kepada Imam Abu Hanifah “dari sumber manakah engkau mengeluarkan hukum-hukum itu”. Imam Abu Hanifah berkata “daripada hadith-hadith yang saya terima riwayat daripada tuan”. Kemudian Imam Abu Hanifah pun mula membaca hadith-hadith yang ia menerima daripada Imam A’amasy. Imam A’amasy berkata: “hadith-hadith yang aku mengajar engkau dalam masa seratus hari itu engkau pula sekaligus mahu baca habis dalam satu majlis. Aku tidak tahu pun engkau akan mengeluarkan hukum daripada hadith-hadith itu”.

            Begitu juga ada seorang Imam bernama Humaidi yang menjadi guru kepada Imam Bukhari dan yang mengambil (menerima) terlalu banyak riwayat hadith daripada Sufyan bin U’yainah (murid Imam Abu Hanifah). Oleh kerana Imam Humaidi terlalu alim dalam bidang hadith, Imam Syafie sendiri amat menghormatinya dan menerima juga riwayat hadith daripadanya. Walaupun demikian, Imam Humaidi terpaksa menerima ijtihad Imam Syafie kerana ia tidak mampu mengeluarkan hukum daripada hadith-hadith yang ia mengetahui itu.

            Peristiwa tersebut menggambarkan kepada kita bahawa:

 (1) Imam A’amasy hanya seorang muhaddith dan Imam Abu Hanifah adalah mujtahid yang menguasai bidang hadith.

 (2) Imam Humaidi hanya seorang muhaddith dan Imam Syafie adalah mujtahid yang menguasai bidang hadith.

            Kita perlu tahu bahawa imam-imam empat mazhab adalah imam-imam berkaliber, pandai lagi bijak yang menguasai (mempunyai) dua bidang ilmu serentak. Maksudnya mereka mampu menonjol diri sebagai muhaddith dan mujtahid.

            Apabila seorang mujtahid memikirkan tentang sesuatu hukum berdasarkan Quran, Sunnah, fatwa-fatwa sahabah dan Tabi’in termasuk amalan-amalan berterusan oleh umat Islam. Maka ia (mujtahid) berusaha bersungguh-sungguh untuk:

1)      Mencantum dan mengumpul di antara nas ( ayat atau hadith ) yang bercanggah.

2)      Mengutamakan salah satu di antara dua nas yang berlainan.

Dalam usaha sedemikian itu jikalau seseorang mujtahid meninggalkan (tidak beramal) mana-mana hadith, itu menunjukkan mujtahid mempunyai dalil (hadis) yang lebih kuat dari hadis itu. Oleh kerana itu:

1) Kita tidak boleh membuat tuduhan melulu bahawa mujtahid itu membiarkan hadith begitu sahaja. Imam-imam mujtahid yang diterima dan disambut baik di kalangan umat Islam itu tidak bersikap menyalahi sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w dengan sengaja, kerana mereka lebih mengerti bahawa mengikuti Quran dan Sunnah adalah wajib. Kalau begitu jika pendapat imam bercanggah dengan hadith sahih, mestilah ada sebab-sebab tertentu mengenai percanggahan itu.

2) Kita tidak boleh mencela mana-mana mujtahid apabila berlaku perselisihan di kalangan mereka itu pada menghukum sahih atau dhaif hadith. Mengambil dalil dengan sesuatu hadith itu layak menjadi dalil di sisinya. Oleh kerana itu mengemukakan qaul mujtahid yang lain dengan tujuan menonjolkan bahawa hadis itu tidak layak menjadi dalil, ini dikira tidak adil kerana qaul seorang mujtahid tidak menjadi hujah dalam bentuk menyalahkan mujtahid lain.

3) Seorang mujtahid tidak boleh dituduh meniggalkan hadith sahih dengan semata-mata mengambil dalil daripada hadith dhaif kerana ia mempunyai hujah yang kuat untuk memilih hadith dhaif. Dalam kitab jami’ Tirmizi terdapat dua buah hadith yang layak menjadi dalil dari segi mengambil kira sanadnya. Tetapi kedua-dua hadith itu tidak diamalkan oleh fuqaha’.

Hadithnya adalah:

” رواية عن ابن عباس قال: جمع رسول الله صلى الله عليه وسلم بين الظهر والعصر وبين المغرب والعشاء بالمدينة من غير خوف ولا مطر “

” رواية معاوية قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم من شرب الخمر فاجلدوه فان عاد في الرابعة فاقتلوه “

Ertinya:

1) “Riwayat Ibnu Abbas yang berkata: Rasulullah s.a.w telah jamak solat zohor dengan solat asar dan solat maghrib dengan solat isyak di Madinah tanpa sebab ketakutan dan hujan”.

2) “Riwayat Mua’wiyah, berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: sesiapa meminum arak maka kamu sebatlah dia! Jika dia mengulangi lagi kali ke-empat maka bunuhlah dia!”

            Ijma’ Umat telah pun meninggalkan beramal dengan zahir hadith ini, kerana mereka mempunyai dalil yang lebih kuat daripadanya walaupun begitu mereka tidak digelar sebagai orang yang meninggalkan Sunnah (تارك السنه).

Imam Ibnu Taimiyah menukil dalam kitabnya ‘رفع الملام’ bahawa apabila anda menemui keadaan-keadaan seperti tersebut di atas, fahamilah imam itu mesti mempunyai tiga keuzuran (sebab-sebab) tersendiri mengenai meniggalkan (tidak beramal) hadith walaupun hadith itu hadith sahih.

Pertama: imam kurang yakin bahawa nabi tidak bersabda akan hadith itu. (Mungkin nabi tidak bersabda begitu).

Kedua: imam tidak menganggap bahawa sabdaan demikian itu menghendaki akan hukum itu. (Sabdaan Rasulullah s.a.w tidak mendorong kearah mengeluarkan hukum itu).

Ketiga: imam menganggap bahawa hukum yang dikeluarkan daripada hadith itu sudah dibatalkan (mansukh).

            Imam Ibnu Taimiyah membahagikan lagi sepuluh sebab berdasarkan tiga keuzuran tersebut tadi. Saya ingin kemukakan empat sebab yang mudah difahami bagi anda semua.

SEBAB PERTAMA: hadith tidak sampai di sisi imam, oleh kerana itu ia tidak ditaklifkan (dibebankan) untuk menjadi alim bagi hukum itu. Apabila imam menentukan hukum mengenai suatu kejadian berdasarkan zahir ayat atau sesuai dengan hadis yang lain atau menurut qias, maka keputusan hukum yamg ditetapkan oleh imam itu kadang-kadang menepati dengan hadith itu (iaitu hadith yang tidak sampai di sisinya) dan adakalanya bercanggah.

SEBAB KEDUA: kebanyakan hadith yang diterima pakai di sisi (محدثين متقدمين) tidak dapat diambil kira di sisi ((محدثين متأخرين kerana terdapat dalam sanad yang riwayat tidak dikenali atau kurang ingatan atau yang dituduh berbohong.

SEBAB KETIGA: seorang mujtahid menganggap dhaif terhadap suatu sanad hadith menurut ijihadnya tanpa memgambil kira sanad yang lain, sementara mujtahid yang lain pula menganggap sanad hadith itu sahih walaupun kajian mereka yang menganggap dhaif itu betul.

SEBAB KEEMPAT: mujtahid terlupa dengan hadith yang ia pernah terima dan sampai di sisinya. Pernah Saidina Umar terlupa hadith mengenai tayammum bagi orang junub, maka Ammar bin Yasir mengingatkannya.

            Segolongan masyarakat di zaman kita hari ini tersalah faham terhadap hadith. Mereka menyangka setiap hadith sahih dan hasan itu wajib diamalkan walaupun tidak dipegangi oleh para mujtahid. Perkara ini sebenarnya bukanlah seperti yang disangkakan. Sesungguhnya Imam Mujtahid mempunyai kaedah tersendiri menangani masalah ini lebih-lebih lagi apabila terdapat hadith-hadith yang berlawanan.

            As-Syeikh Muhaddis Hindi Syah Abdul Aziz bin Syah Waliyullah Al-Dahlawi di dalam kitabnya العجالة النافعة ) ( mengulas dengan katanya: “sesungguhnya Imam mujtahid yang meneliti dalil-dalil bagi hukum-hukum syariat tatkala mereka melihat hadith-hadith Rasulullah s.a.w dan athar ( perkataan atau perbuatan ) sahabat dan tabe’in itu bersalah-salahan di antara satu sama lain, sedangkan ianya dasar atau sumber bagi segala hukum. Mereka berbeza pendapat dalam menangani percanggahan tersebut.

1)      Imam Malik

            Beliau memilih berpegang kepada amalan penduduk Madinah kerana Madinah adalah tempat tinggal Rasulullah s.a.w, khalifah-khalifahnya, anak-anak para sahabat, ahli keluarga Rasulullah s.a.w dan merupakan tempat penurunan wahyu. Maka penduduknya lebih mengetahui tentang pengertian wahyu. Oleh itu setiap hadith atau athar yang berlawanan dengan amalan mereka, maka pasti ianya dimansukhkan (dibatalkan hukum beramal) atau ditakwil atau ditakhsis (dikhususkan dengan sesuatu yang lain) atau tidak disebutkan cerita sebenar hadith atau athar tersebut. Justeru itu tidak boleh diambil kira dengannya.

قال ابن القيم: “من أصول مالك اتباع عمل اهل المدينة وإن خالف الحديث (بدائع الفوائد: ج 4، ص 23)

Ibnu Al-Qayyim (murid Ibnu Taimiyyah) berkata: di antara dasar-dasar Imam Malik ialah menuruti amalan penduduk Madinah walaupun amalan (mereka) itu bersalah-salahan akan hadith.

2)       Imam Syafi’e

Beliau berpegang kepada amalan penduduk Hijaz serta menggunakan penyelidikan terhadapnya. Beliau meletakkan sesetengah riwayat-riwayat yang berlawanan itu pada satu keaadaan dan sesetengah pula pada suasana yang lain dengan cara menyatukan riwayat-riwayat tersebut selama mana yang mampu. Kemudian beliau mengembara ke Mesir dan Iraq. Di sana beliau mendengar banyak riwayat-riwayat daripada orang-orang yang dipercayai (thiqah) di negeri-negeri itu. Lalu nyatalah di sisi beliau sesetengah riwayat terlebih kuat berbanding dengan amalan penduduk Hijaz. Lalu terbit di dalam mazhabnya dua Qaul (pendapat) iaitu Qaul Qadim (pendapat yang lama) dan Qaul Jadid (pendapat yang baru).

3)      Imam Ahmad bin Hambal

Beliau pula meletakkan setiap hadith mengikut zahirnya tetapi dengan cara mengkhususkan mengikut punca-punca datangnya hadith-hadith tersebut dengan cara menyatukan sebab hukum itu. Oleh yang demikian itu mazhabnya menyalahi qias dan berlawanan hukum dengan keadaan tiada yang membezakannya, itulah yang disandarkan mazhabnya kepada golongan zahiriah (puak yang berpegang kepada zahir nas-nas syarak).

4)      Imam Abu Hanifah (Nukman Bin Thabit)

Adapun pendapat Imam Abu Hanifah dan para pengikutnya adalah jelas iaitu apabila kita meneliti nescaya kita mendapati di dalam syariat ada dua bahagian hukum. Pertama: merupakan kaedah yang umum yang menjadi dasar bagi hukum-hukum seperti;

(1)kesalahan seseorang tidak ditanggung oleh orang lain.

(2)kemerdekaan tidak menerima fasakh.

(3) kesempurnaan jualan melalui ijab dan qabul.

Kedua: kejadian-kejadian yang merupakan juzuk (cabangan) dan sebab-sebab  tertentu seolah-olahnya menepati pengecualian terhadap kaedah-kaedah yang umum. Maka kewajipan seseorang mujtahid itu hendaklah ia memelihara kaedah yang umum dan meninggalkan selainnya kerana syariat itu pada hakikatnya merupakan kaedah-kaedah umum tersebut. Adapun hukum hakam yang bercanggah dengannya yang mana sebab-sebabnya dan ketentuanya tidak kita ketahui dengan yakin maka tidak boleh di ambil kira. Contohnya sesuatu jualan akan batal dengan adanya syarat-syarat yang fasid (rosak) adalah suatu kaedah umum. Adapun  apa yang berlaku didalam kisah jabir di mana beliau mensyaratkan di dalam penjualan unta di bawah kegunaannya sampai ke Madinah adalah suatu kisah yang tersendiri yang merupakan juzuk(cabangan) yang mana tidak boleh menyanggahi kaedah kaedah umum tersebut.   

HURAIAN TENTANG PERKATAAN IMAM SYAFIE

اذا صح الحديث فهو مذهبي ertinya: Apabila sahih sesuatu hadith maka ianya mazhabku.

1)      Segelintir masyarakat tersalah faham terhadap perkataan imam-imam mujtahidin yang berbunyi: “Apabila sahih sesuatu hadith maka ianya mazhabku” dengan menganggap bahawa apabila menemui sesebuah hadith sahih yang bercanggah dengan pendapat imam, maka ditinggalkan pendapat imam tersebut, lantas beramal dengan hadith tersebut. Maksud sebenar yang dinukilkan dalam kitab syarah Ukud Rasmul Mufti bahawa sekiranya menemui hadith sahih mengenai mana-mana hukum yang tidak diputus oleh imam, maka hadith itu akan dibilang sebagai mazhab imam dan hukum itu terus ditambah dalam feqah imam tersebut. Ini kerana, jika imam itu masih hidup dan menemui hadith sahih sedemikian, tentulah ia akan mengambilnya untuk dijadikan sebagai dalil bagi pendapatnya serta mamasukkan dalam feqahnya.

2)      Di dalam kitab Al-majmuk ada menerangkan pengertian sebenar perkataan Imam Syafie r.m.h:

i-                    Tiadalah bermaksud bahawa seseorang yang melihat hadith sahih lantas ia berkata ini adalah mazhab Syafie dan beramal dengan zahir hadis.

ii-                  Tidak juga perkataan ini ditujukan kepada mereka ( mujtahid ) yang tidak sampai kepada darjat ijtihad yang mana apabila menemui hadith sahih terus beramal dengannya.

iii-                 Bahkan makna perkataan ini ditujukan kepada mereka yang sampai darjat ijtihad tetapi hendak beramal dengan hadith sahih yang ditemui ada beberapa syarat:

a)      Setelah ia (mujtahid) meneliti sekalian kitab Imam Syafie dan sekalian kitab ulama’ mazhab Syafie.

b)      Kuat pada sangkaannya bahawa Imam Syafie tidak menemui hadith sahih itu.

3)      Banyak hadith sahih yang telah sampai kepada Imam Syafie atau yang ia mengetahui tetapi ia tidak beramal dengan zahir hadith itu kerana Imam Syafie mengeluarkan hukum daripada hadis yang terlebih rajih daripadanya. Terkadang hadith itu mansukh (hadis yang dibatalkan hukum) atau ada hadith yang lain yang mentakhsiskan atau Imam Syafie telah menta’wil (mengambil makna yang lain selain daripada makna yang sebenar) hadith itu atau lainnya.

Ada setengah orang menyebut bahawa perkataan ini ditujukan kepada Ashab (anak murid) Imam Syafie iaitu Imam Muzani dan Imam Buwaiti ketika mereka mengemukakan pertanyaan “yang mana satu hendak dipegang antara dua perkataan Imam Syafie iaitu Qaul Qadim (pendapat Imam Syafie semasa di Baghdad) atau Qaul Jadid (pendapat imam Syafie semasa di Mesir). Maka Imam Syafie memberi jawapan dengan berkata اذا صح الحديث فهو مذهبي (maksudnya: pendapat yang manakah menepati dengan hadith sahih, itulah mazhabku). Oleh kerana itu perkataan Imam Syafie tersebut dibahaskan di dalam Muqaddimah Majmuk Imam Nawawi sebelum beliau masuk kepada tajuk فصل كل مسئلة فيها قولان للشافعي رحمه الله قديم وجديد (ertinya: fasal bagi setiap masalah feqah ada padanya dua pendapat di sisi Imam Syafie r.h.m iaitu qaul qadim dan qaul jadid(.

Peringatan:

      Mazhab Syafie mempunyai ulama-ulama mujtahid tersendiri yang telah menjaga mazhab ini dengan berpandukan kaedah-kaedah Imam Syafie. Jika diandaikan bahawa Imam Syafie tidak menemui sesebuah hadith yang sahih untuk menerangkan sesuatu hukum, maka merekalah yang terlebih mampu dalam penyelidikannya tersebut.

      Di sini anda semua perlu tahu lagi satu perkara iaitu fuqaha’ mujtahid mempunyai beberapa peringkat atau lapisan.

Peringkat pertama: mujtahid mutlaq

      Peranan mereka ialah ijtihad (mengeluarkan hukum) dalam syariah. Seperti imam-imam empat mazhab dan (mujtahidin) yang mengemukakan cara yang sama dengan imam-imam yang empat itu seperti imam Safuan Sauri, Imam Auza’i dan sebagainya. Mereka (mujtahid mutlaq) menyediakan kaedah-kaedah yang merupakan dasar-dasar bagi ilmu feqah, kemudian berdasarkan kaedah-kaedah itu tanpa taqlid (menuruti pandangan orang lain kerana tidak ada kebolehan ijtihad) kepada sesiapa, mereka berijtihad melalui (adillah arba’ah) Quran, Hadith, Ijmak dan Qias pada hukum-hukum furuk.

Peringkat kedua: mujtahid fil mazhab

      Mereka mempunyai kekuatan ijtihad di bawah suluhan dasar-dasar feqah yang ditetapkan oleh imam yang empat seperti:

1)      Imam Buwaiti dan Imam Muzani dalam mazhab syafie

2)      Imam Abu Yusof dan Imam Mohammad dalam mazhab hanafi.

Peringkat ketiga: mujtahid fil masa’il (mujtahid fatwa)

      Mereka mampu mengeluarkan hukum melalui ijtihad sendiri pada hukum-hukum cabang di mana imam (mujtahid mutlaq) dan muridnya (mujtahid fil mazhab) masih belum mengeluarkan hukum mengenai sesuatu amalan itu seperti.

1)      Imam Nawawi dan Imam Rafe’i dalam mazhab Syafi’e

2)      Imam Tahawi dan Imam Sarkhasi dalam mazhab Hanafi.

       Peringkat ke-empat: ashabul takhrij

Mereka tidak dianugerahkan dengan kebolehan ijtihad tetapi mereka mampu menentukan satu kemungkinan di antara dua kemungkinan bagi qaul (pendapat) imam atau muridnya memandangkan (bersandar) dasar feqah imam.

1)      Imam Ramli dan Imam Ibnu Hajar Haitami dalam mazhab Syafi’e

2)      Imam Karkhi dan Jassas Razi dalam mazhab Hanafi. 

Peringkat kelima: ashabul tarjih

      Tugas mereka adalah mengutamakan satu riwayat atau satu pendapat di antara riwayat-riwayat atau pendapat-pendapat yang berlainan oleh imam-imam dalam mazhab. Mereka juga tidak mempunyai kebolehan ijtihad.

Peringkat ke-enam: ashabul tamyiz

      Mereka mampu membeza-bezakan antara pendapat imam-imam. Pendapat yang mana kuat, lemah atau lebih kuat dan sebagainya. Mereka juga bertaqlid pendapat imam.

      Dengan meneliti perkara-perkara tersebut dapat difahami bahawa betapa rumitnya ijtihad dari Al-Quran dan Al-Hadith, bukan senang dan mudah nak jadi mujtahid. Sesetengah mereka yang kurang waras, yang dapat menghafal beberapa buah hadith dan sempat belajar dua-tiga buah kitab hadith dan menganggap bahawa itu sahajalah hadith yang diterima daripada Rasulullah s.a.w dan terus menafikan atau menolak pandangan-pandangan ulama’ yang berdasarkan hadith-hadith yang lebih banyak daripada mereka itu. Yang mereka tidak tahu itu mereka menganggap langsung tidak wujud. Mereka umpama seekor ulat yang menyusup hidup di celah belahan sebutir batu. Batu itulah langit dan bumi bagi ulat itu. Begitulah dengan keadaan mujtahid moden pada masa kini.

      Saya merasa hairan juga dengan pengikut-pengikut mereka kerana mereka juga turut menolak dan mencaci imam-imam mu’tabar lagi bertaqwa hidup pada zaman hampir dengan zaman Rasulullah s.a.w dan sahabatnya. Sebaliknya mereka menyokong pula dengan mujtahid moden tidak bertaqwa hidup pada zaman hampir dengan zaman dajjal. Ulama’ cendikiawan dan mujtahid yang wujud pada zaman khairul kurun disingkir, dianggap lekeh, tidak berguna manakala mujtahid moden yang wujud pada zaman syarrul kurun pula disambut meriah dan dihormati.

      Daripada semua perkara yang sudah saya bentang itu saya tidak bermaksud bahawa pada masa kini tidak dibenarkan berijtihad dan wajib bertaqlid. Pintu ijtihad masih terbuka lagi. Kalaulah anda mempunyai kebolehan ijtihad silakan anda masuk gelanggang berijtihad, kerana (هم رجال ونحن رجال) mereka (mujtahidin) lelaki dan kami juga lelaki. Apa salah kami juga berijtihad seperti mereka. Tetapi yang menjadi lucunya ialah orang yang tahu memberi ubat panadol kepada orang demam berlagak menjadi doktor pakar. Ada juga sesetengah pihak bergaya bahawa seandainya ائمة اربعة hidup masa kini, ائمة اربعة juga wajib ikut pandangan mereka.

      Akhirnya saya mahu menasihati kepada anda semua:

1)      Jangan menghabiskan sia-sia usia kamu yang begitu berharga itu dalam kancah perselisihan dan pertengkaran yang tidak dapat mengaut keuntungan duniawi dan juga ukhrawi.

2)      Daripada anda menuruti jalan perselisihan dan perpecahan baik anda menuruti jalan persefahaman dan bersatu-padu supaya dapat keredhaan Allah dan Rasul-Nya. Ingat! Perpecahan itu merupakan batu penghalang bagi membawa rahmat Allah.

3)      Anda perlu memahami diri bahawa dimanakah kedudukan anda sebenar? Sebagai mujtahidkah muhaddith ataupun sebagai mujtahid mutlaq atau mujtahid fil mazhab.

4)      Jangan terlalu menonjolkan diri sebagai mujtahid jika tidak sampai kepada darjat ijtihad dan hanya mempunyai ilmu yang sedikit.

5)      Perlulah anda semua mempelajari sikap menghormati pandangan orang lain dan janganlah berseronok mengkritik terhadap pandangan ulama’ mujtahidin dan muhaddithin yang mempunyai ilmu, amal, taqwa dan sikap amanah dengan ilmu yang dianugerah Allah s.w.t.

6)      Jangan pula terpengaruh dengan mereka yang berpura-pura membawa aliran mengikuti Al-Quran dan Al-Sunnah sedangkan mereka berpegang dengan aqidah tajsim dan tasybih yang menyalahi dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan jumhur muslimin.

      Mudah-mudahan Allah s.w.t memberi taufiq kepada kita agar dapat mengikuti jalan yang benar lagi lurus dan menjauhi kita daripada menuruti jalan yang sesat lagi menyesatkan.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

6 Sifat buruk isteri yang mesti dirawat

Posted by epondok di Mac 20, 2021


1. Wanita Ananah: banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat memperalatkan sakit atau buat-buat sakit.
2. Wanita Mananah: suka membangkit-bangkit terhadap suami. wanita ini sering menyatakan,”Aku membuat itu keranamu”.

3. Wanita Hananah: menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.

4. Wanita Hadaqah: melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

5. Wanita Baraqah: ada 2 makna, pertama yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya, kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya.

6. Wanita Syadaqah: banyak cakap tidak menentu lagi bising.

Dicatat oleh Imam Al-Ghazali

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Surah al-Taubah tanpa Bismillah

Posted by epondok di Mac 17, 2021

Ada pelbagai penjelasan ulama tafsir berhubung perkara ini. Sebagai contoh diperjelaskan oleh al-Qurtubi dalam tafsirnya, al-Jamik Li ahkam al-Quran.

Pandangan pertama ialah menjadi tradisi masyarakat Arab yang sengaja menggugurkan al-Basmalah apabila berlaku pencerobohan atau memungkiri janji. Sikap pihak Quraisy memungkiri janji menyebabkan surah ini diturunkan tanpa dimulakan dengan al-Basmalah.

Pandangan kedua pula yang diriwayatkan al-Nasaei ahmad daripada Muhammad al-Muthanna bahawa Ibn Abbas pernah bertanyakan kepada Uthman Affan, mengapakah surah al-Taubah termasuk dalam kategori suah al-Mi`in digabungkan dengan al-Anfal yang sebahagian surah al-Mathani.

Jawapan Uthman adalah perkara itu ditetapkan Nabi SAW tanpa penjelasan sehingga Baginda wafat. Uthman hanya berkata, kedua-dua surah itu mengandungi mesej hampir sama. Perkara ini juga diriwayatkan al-Tirmizi dalam jalan periwayatan.

Pandangan ketiga pula daripada Abu Ismah dan Kahrijah bahawa sahabat berselisih pandangan terhadap surah al-Anfal dan al-Taubah. Apakah kedua-duanya membentuk surah yang sama atau berbeza.

Apabila kedua-dua golongan itu tidak bersetuju, maka jalan tengah yang dipilih ialah membiarkan surah al-Taubah tanpa dimulakan al-Basmalah bagi menerima pandangan yang mengatakan ia sebahagian surah al-Anfal. Pada masa yang sama, surah al-Taubah dimulakan dengan nombor pertama bagi menerima hujah pihak kedua yang mengatakan ia adalah surah berbeza.

Pandangan keempat yang menjadi pilihan kebanyakan ulama bersumberkan daripada Ibn Abbas yang mengatakan al-Basmalah yang diletakkan pada permulaan surah membawa syiar kedamaian sedangkan surah al-Taubah ini mengetengahkan mesej yang tegas iaitu amaran dan peperangan.

Surah ini menyampaikan pernyataan umum putusnya ikatan dan perjanjian antara Muslimin dengan Musyrikin, kecuali sebahagian perjanjian yang sudah ditetapkan ketika berlakunya hingga ke waktu tertentu. Itupun jika perjanjian itu tidak dilanggar atau dirosakkan. Musyrikin sengaja melakukan helah terhadap Muslimin seperti menjalin hubungan dengan Yahudi dan mengingkari ketetapan yang ditandatangani bersama.

Perkara ini mengakibatkan ikatan persefahaman yang dimeterai bersama dirungkai dan tiada lagi tanggungjawab moral terhadap pengkhianatan itu.

Islam mesti membuat perhitungan dengan mereka. Demikian latar belakang peristiwa berkaitan dengan turunnya surah al-Taubah atau dinamakan juga sebagai al-Bara`ah seperti yang diperjelaskan Ibn Jarir dalam tafsirnya. Inti pati peringatan daripada surah ini dapat difahami dengan jelas menerusi ayat pertama surah berkenaan iaitu: “(Ini adalah) pemutusan tanggungjawab (pembatalan perjanjian) daripada Allah SWT dan Rasul-Nya terhadap golongan kafir musyrik yang kamu mengikat perjanjian setia (dengan mereka).”

Menurut Sufyan Uyainah, al-Basmalah yang terletak pada awal surah mengandungi makna rahmat yang diperuntukkan untuk kalangan Mukminin. Ini berbeza terhadap golongan Musyrikin, munafik dan kafir yang menjadi penentang Islam. Mereka tidak layak mendapat jaminan itu.

Bagaimanapun, setiap penjelasan ini sebenarnya adalah pandangan ulama di kalangan sahabat dan tabi’in. Memadailah untuk kita mengatakan setiap perkara yang berhubung dengan al-Quran adalah ketetapan Allah SWT secara tawqifiy.

Apabila Nabi SAW memperdengarkan bacaan al-Anfal hingga ke penghujung, maka Baginda menyambung dengan surah al-Taubah tanpa membacakan al-Basmalaha, wallahu a’lam.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tuan Guru Ghazali Batu 26: Penasihat Sultan Perak

Posted by epondok di Mac 16, 2021

Mohd Fadli Ghani
Mon | Apr 13, 09 | 2:40:12 pm MYT

SALAH seorang ulama besar Perak yang bersama-sama mengasaskan PAS pada 1951 selain Mufti Haji Ismail Hamzah, Sheikh Zubir al-Filfulani, Mufti Haji Ghazali Abdullah, Tuan Guru Haji Mohd Arshad Mohd Salleh dan Tuan Guru Haji Abdul Samad Nuh ialah Tuan Guru Dato’ Haji Ghazali Arshad atau lebih masyhur namanya sebagai Tuan Guru Haji Ghazali Batu 26. Penglibatan para ulama terkenal ini dalam PAS telah meletakan PAS sebagai sebuah parti yang berpengaruh di Perak dan negeri ini menjadi kubu kuat PAS pada dekad 1950-an.

Tuan Guru Haji Ghazali walaupun lebih terkenal kerana institusi pendidikannya di Batu 26, Bagan Datoh dan kegiatan dakwah beliau sebagai penasihat Sultan Perak dalam soal agama, beliau sebenarnya pakar rujuk PAS dalam soal hukum agama.

Tuan Guru Haji Ghazali bin Arshad bin Muhamad Rashid bin Sheikh Mansur telah dilahirkan di Pasir Panjang Laut, Setiawan Perak pada 13 Rabiul Akhir 1319 Hijriyah (1901).

Moyangnya Sheikh Mansur berasal dari Yaman, manakala ibunya, Hajah Puteri Madinah Mat Saman berketurunan Megat Terawis, pahlawan Perak yang terkenal itu.

Walaupun bapanya tinggal di luar bandar tetapi mempunyai kesedaran agama yang tinggi kerana di sekitar Setiawan ketika itu terdapat beberapa orang ulama seperti Kadi Haji Alias Hussein (ayahanda Dr Haji Abbas Alias, bekas Yang Dipertua Agung PAS) dan Kiyai Haji Abdul Latif Abdul Hamid (ayahanda Ustaz Baharuddin Latif, bekas Setiausaha Agung PAS).

Pada awalnya, Haji Ghazali dihantar belajar di Sekolah Melayu Pasir Panjang Laut selama lima tahun. Pada 1912, beliau dimasukkan ke Pondok Lubuk Merbau, kemudian berhijrah ke Kedah kerana berguru dengan Tuan Hussin Kedah di Pondok Bagan Ulu, Pantai Merdeka dan Pondok Selengkoh, Sungai Limau, Yan. Setelah itu, beliau mengambil masa lima tahun lagi untuk mendalami ilmu agama di Madrasah al-Masriyah, Tanah Liat, Bukit Mertajam di bawah bimbingan Sheikh Salleh Masri sehingga 1919.

Setelah pengajian peringkat asas ditamatkan, Tuan Guru Haji Ghazali bertolah ke Makkah kerana mahu menambahkan lagi ilmu agamanya. Di Makkah beliau mengambil kesempatan untuk menadah kitab dengan ulama-ulama di Masjidil Haram.

Dalam masa yang sama, Haji Ghazali telah memasuki Madrasah Shaulatiyah al-Hindiyah, sebuah pusat pendidikan Islam yang terkenal di Makkah ketika itu dan dikendalikan oleh ulama-ulama anti-British dari India.

Selepas empat tahun, beliau lulus Syahadah Nihayah pada 1926. Haji Ghazali tidak terus pulang, sebaliknya menyambung pengajian dalam halaqat ulama di Masjidil Haram dan pusat pengajian lain di Makkah sehingga 1930. Antara gurunya di Makkah ialah Sheikh Hassan al-Masyat, Pak Da Ail al-Fathani, Sheikh Muhammad Ali al-Maliki, Sheikh Ahmad Khurasan, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Merbok, Sheikh Harun Kambang Minangkabau, Syed Hussin Abdul Nabi, Sheikh Ibrahim Zaidan dan Sheikh Mokhtar Atarid.

Selepas 11 musim haji menggali ilmu di Makkah, barulah beliau pulang di Malaya. Beliau dikatakan alim dalam ilmu balaghah, mantik, falakiah, tafsir, hadis dan fekah. Selepas kembali ke Tanah Melayu, Haji Ghazali menyambung pengajiannya dengan Tuan Hussin Kedah di Pondok Pokok Sena, Seberang Prai dan sempat bersama dengan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, bekas Bendahari Agung PAS.

Sebaik sahaja pulang ke Perak, Haji Ghazali telah melangsungkan perkahwinan dengan Hajah Zabedah Haji Salleh. Ketika itu juga, beliau memasang tekad untuk membuka pusat pengajian sendiri. Dengan menggunakan bangsal kendurinya, beliau mengasaskan Madrasa ad-Diiniah di Kampung Matang Kunda, Bagan Datoh iaitu di rumah mentuanya.

Penubuhan ini disokong kuat oleh iparnya, Haji Arshad Haji Salleh sehingga Haji Ghazali menamakan madrasah tersebut sebagai Madrasah Irshadiyah Diiniyah. Di peringkat awal madrasah ini mengajarkan ilmu-ilmu asas Islam seperti fiqh, usuluddin, akhlak, tajwid dan bahasa Arab.

Bagaimanapun pada 1935, madrasah ini telah berpindah ke Hujung Matang atau sekarang ini lebih dikenali sebagai Batu 26, Bagan Datoh. Sejak itu, Tuan Guru Haji Ghazali menghabiskan perjuangannya membangunkan generasi baru Islam di madrasah ini seingga akhir hayatnya.

sembah derhaka

Nama Haji Ghazali terkenal dengan cepat di Perak selepas pembukaan madrasah ini. Hal ini menarik perhatian Sultan Iskandar Alang Shah. Pada 1935 baginda mahu melantik beliau sebagai guru agama kepada Sultan Perak. Bagaimanapun beliau memohon sembah derhaka dengan menolak permintaan Sultan itu.

Haji Ghazali kemudian dilantik oleh Sultan Perak sebagai Ahli Majlis Ulama Perak pada 1936. Bagaimanapun kegiatan dakwah beliau terganggu pada 1942 ekoran meletusnya Perang Dunia Kedua yang menyebabkan keluarganya terpaksa berpindah ke Sungai Manik.

Pada 1946 madrasah ini dibuka semula dan menerima pelajar dari seluruh negara. Pada 1960, Haji Ghazali telah mengetuai jawatankuasa yang dianggotai oleh pelajar-pelajar untuk mencari dana bagi membina bangunan baru. Akhirnya pada 1970, madrasah ini berwajah baru dengan nama Sekolah Menegah Agama Irshadiyah Persendirian, dan pada 1998 madrasah ini diambil alih oleh Kementerian Pelajaran.

Sekolah Menegah Agama Irshadiyah telah memperkenalkan sistem pembelajaran agama dan Arab pada sesi pagi, manakala kelas akademik di sebelah petang. Sijil keluaran madrasah ini, iaitu Syahadah Thanawi telah mendapat pengiktirafan Universiti al-Azhar.

Dalam pada itu juga, madrasah ini telah menjadi pusat kegiatan Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP) semenjak awal 1960-an lagi.

Selain memberikan tumpuan kepada kegiatan dakwah khassah di madrasah ini, beliau juga memberi tumpuan kepada dakwah am seperti mengajar di masjid-masjid dan terlibat dalam kegiatan masyarakat.

Kerana keilmuan beliau, pada 1964 Sultan Perak telah menawarkan beliau jawatan Mufti Perak, tetapi beliau sekali lagi memohon sembah derhaka menolak tawaran itu kerana ingin memberi tumpuan kepada madrasahnya.

Pada 1976, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Menilai Darjah Kealiman Calon-calon Mufti Kerajaan Negeri Perak yang memilih bekas Imam Besar Masjid Negara, Haji Ghazali Abdullah yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS sebagai Mufti Perak pada 1977.

Selain kgiatan dakwah ini, Haji Ghazali juga terlibat dalam kegiatan politik semenjak di Makkah lagi. Beliau sebagi pelajar lepasan Madrasah Shaulatiyah mempunyai semangat antipenjajah yang kuat. Kerana itu, beliau mendukung perjuangan Hizbul Muslimin pada 1948 dan terlibat secara aktif dalam Majlis Ulama Hilir Perak. Majlis ini bertanggungjawab mencadangkan kepada Umno supaya mengadakan Persidangan Ulama Se-Malaya pada 1950.

Setelah Persatuan Ulama Se-Malaya ditubuhkan pada 23 Ogos 1951, Haji Ghazali menjadi salah seorang pengasas PAS apabila beliau turut menyertai Persidangan Persatuan Ulama Se-Malaya di Butterwoth pada 24 November 1951. Dalam persidangan ini nama persatuan ini diubah kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS).

Haji Ghazali tidak pernah memegang jawatan tinggi dalam PAS kerana memberikan tumpuan kepada madrasahnya. Namun begitu, beliau telah menjadi tempat rujukan pimpinan PAS dalam hukum-hakam agama. Pada 1962, beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Tarjih Dewan Ulama PAS Pusat, iaitu sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam soal hukum agama seumpama majlis fatwa PAS.

Penlibatan Haji Ghazali bersama PAS berterusan sehingga akhir hayatnya walaupun beliau tidak menonjol dalam kepemimpinan parti. Selepas bersara daripada kegiatan pendidikan kerana usia lanjut, Haji Ghazali mentelaah kitab-kitab agama di sebuah pondok berhampiran Madrasah Irshadiyah.

Kerana sumbangan besar beliau dalam dunia dakwah dan pendidikan, pada 1989 Tuan Guru Haji Ghazali dianugerahkan sebagai Tokoh Ulamak Silam oleh UKM, diikuti oleh anugerah Tokoh Maal Hijrah Hilir Perak (1989), Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak (1990) dan anugerah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh Sultan Perak pada 1992 yang membawa gelaran Dato?.

Lima tahun kemudian, iaitu pada 10 Mei 1997, Tuan Guru Dato’ Haji Ghazali Arshad telah meninggal dunia dalam usia 98 tahun. Antara muridnya yang terkenal ialah Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh, Ketua Dewan Ulama PAS, Tuan Guru Haji Hashim Abu Bakar (Mudir Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan) dan Prof Madya Dato’ Salleh Haji Ahmad, bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) yang juga bekas Ahli Majlis Syura Ulama PAS.– tajdid_

Posted in Tokoh Ulama' | 1 Comment »

Hukum bapa buat syarat sebelum kahwin

Posted by epondok di Mac 15, 2021

Soalan:

Assalamualaikum, saya nak tanya dan minta pendapat, anak perempuan nak kahwin, bapanya sebagai walinya telah meletakkan syarat, kalu nak nikah perlu jumpa dia dan bawa kakak iaitu bakal pengantin sekali baru dia izinkan. Masalahnya anak saya tak nak jumpa ayahnya, saya dengan bekas suami dah bercerai. Perlu ke saya ikut syaratnya atau saya boleh cari wali hakim? Kakak bakal pengantin itu anak dia juga, sebab dia orang dari kecil tak berjumpa ayahnya.

Ringkasan jawapan

Kami simpulkan jawapan dengan beberapa perkara yang utama seperti yang berikut:

1. Hukumnya ialah layak untuk menggunakan khidmat wali hakim jika wali nasab enggan menikahkan pengantin apabila syarat-syarat telah dipenuhi.

2. Kewajipan anak untuk berbuat baik kepada ibu bapa. Islam melarang seseorang menderhakai kepada ibu bapa walaupun mereka seorang yang zalim.

3. Perlu merujuk kepada Jabatan Agama Islam yang berdekatan, untuk mendapatkan khidmat nasihat dan cadangan.

Huraian jawapan

Waalaikumussalam wbkth.
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Wali dari segi bahasa bermaksud kasih sayang dan pertolongan. Dari segi istilah, wali adalah merupakan pihak yang mempunyai hak atau autoriti untuk membuat keputusan dan mengawal selia urusan orang lain. (Lihat: Fiqh al-Manhaji, Mustafa al-Khin & Mustafa al-Bugha 1992, Dar al-Qalam, 4/60)

Dalam konteks perkahwinan berkata Dr Wahbah al-Zuhaili:

القدرة على مباشرة التصرف من غير توقف على إجازة أحد

Ialah merujuk kepada individu yang mempunyai kuasa untuk melakukan akad perkahwinan terhadap orang yang di bawah jagaannya tanpa bergantung kepada keizinan. Wali dalam konteks ini perlulah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan syarak. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Damsyiq, Dar al-Fikri 9/6690)

Kewujudan wali adalah wajib semasa akad nikah dan ia merupakan salah satu daripada rukun akad nikah. Perkahwinan seorang perempuan sama ada dewasa atau masih kecil, janda ataupun dara, hendaklah diakadkan oleh walinya. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

لَا تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ، وَلَا تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ نَفْسَهَا

Maksudnya: “Seorang perempuan tidak harus mengkahwinkan perempuan lain dan tidak harus mengkahwinkan dirinya sendiri.” (Lihat: Sunan Ibn Majah (1882), Dar Ihya’ al-Kutub al-Arabiyyah 1/606)

Berkata Imam al-Nawawi RH dalam kitabnya:

Tidak harus seseorang perempuan mengkahwinkan dirinya sendiri walaupun dengan izin wali ataupun tanpa keizinan wali dan tidak harus juga dia menjadi wali kepada orang lain. Bukan sahaja itu malah, dia tidak harus mewakilkan anak perempuan untuk menjadi wali kepadanya. (Lihat: Raudah al-Talibin wa Umdah al-Muftin, al-Maktab al-Aslami Birut, 7/50, Ianah al-Tolibin, Dar al-Fikri Birut 2005, 3/353)

Walau bagaimanapun, Islam memberi penyelesaian sekiranya berlaku masalah yang berkaitan dengan wali. Ini berdasarkan hadis daripada Aisyah R.anha, Rasulullah SAW bersabda:

لَا نِكَاحَ إِلَّا بِوَلِيٍّ وَشَاهِدَيْ عَدْلٍ، وَمَا كَانَ مِنْ نِكَاحٍ عَلَى غَيْرِ ذَلِكَ، فَهُوَ بَاطِلٌ، فَإِنْ تَشَاجَرُوا فَالسُّلْطَانُ وَلِيُّ مَنْ لَا وَلِيَّ لَهُ

Maksudnya: “Tidak ada pernikahan melainkan dengan adanya wali dan dua orang saksi yang adil. Jika pernikahan berlaku tanpa kehadiran mereka, pernikahan itu adalah batil. Jika berlaku perbalahan tentang wali, maka sultan ialah wali kepada mereka yang tiada wali.” (Lihat: Sahih Ibn Hibban, Muassasah al-Risalah Birut 1993M, 9/386)

Apabila wali nasab tiada, maka hak perwalian berpindah kepada qadhi, kerana dia dilantik untuk melaksanakan kepentingan orang Islam.

Selain itu, di sini kami sertakan susunan atau tertib wali perempuan yang sah mengikut hukum syarak, namun pertukaran antara seorang wali kepada wali yang lain adalah kerana ketika ketiadaan mereka dari sudut hissan ataupun syar’an. Hissan ialah dengan maksud wali itu telahpun meninggal dunia. Manakala dari sudut syar’an iaitu perkara-perkara yang menjadi terhalang untuk dia menjadi wali antaranya ialah kerana dia seorang hamba, gila dan riddah keluar dari Islam. (Lihat: Ianah al-Tolibin, Dar al-Fikri Birut 2005, 3/353-357)

Susunan tertib itu adalah seperti berikut:

Bapa kandung (sekiranya telah meninggal atau terdapat penghalang)
Datuk sebelah bapa ke atas
Adik beradik lelaki seibu sebapa
Adik beradik lelaki sebapa
Anak saudara lelaki seibu sebapa
Anak saudara lelaki sebapa
Anak lelaki kepada anak saudara lelaki seibu sebapa
Anak lelaki kepada anak saudara lelaki sebapa
Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa
Bapa saudara sebelah bapa sebapa
Datuk saudara sebelah bapa seibu sebapa dengan datuknya
Datuk saudara sebelah bapa sebapa dengan datuknya
Moyang saudara sebelah bapa seibu sebapa dengan moyangnya
Moyang saudara sebelah bapasebapa dengan moyangnya
Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa (sepupu lelaki)
Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa (sepupu lelaki)
Cucu lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa
Anak datuk saudara sebelah bapa seibu sebapa dengan datuknya
Anak datuk saudara sebelah bapa sebapa dengan datuknya
Wali hakim

Namun begitu sekiranya wali nasab enggan mengkahwinkannya tanpa apa-apa sebab yang munasabah mengikut hukum syarak., maka di sini syarak menetapkan tiga syarat untuk memilih wali hakim sebagai wali pernikahan iaitu:

Bakal suami itu sekufu dengan pasangannya.
Pengantin perempuan yang akil dan baligh.
Wali hakim itu merupakan lantikan dari wilayahnya.
(Lihat: Ianah al-Tolibin, Dar al-Fikri Birut 2005 3/360)

Sehubungan dengan itu, kami sertakan disini Akta Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 Bahagian II seksyen 7 orang yang boleh mengakadnikahkan perkahwinan:

(1) Sesuatu perkahwinan di Wilayah Persekutuan hendaklah mengikut peruntukan Akta ini dan hendaklah diakadnikahkan mengikut Hukum Syarak oleh:-

(a) wali di hadapan Pendaftar;
(b) wakil wali di hadapan dan dengan kebenaran Pendaftar; atau
(c) Pendaftar sebagai wakil wali.

(2) Jika suatu perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang tiada mempunyai wali dari nasab, mengikut Hukum Syarak, perkahwinan itu hendaklah diakadnikahkan hanya oleh wali Raja.

Sementara itu,berkenaan syarat yang telah ditetapkan oleh bapa pengantin bukanlah satu syarat sahnya perkahwinan, Islam tidak meletakkan syarat bertemu bapa sebagai syarat sah perkahwinan.

Namun perlulah ingat bahawa berbakti kepada ibubapa hukumnya wajib ke atas semua yang bergelar anak. Allah SWT mewajibkannya sebagaimana Allah mewajibkan solat dan puasa walaupun kedua ibu bapa itu kafir. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِن جَٰهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشۡرِكَ بِي مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٞ فَلَا تُطِعۡهُمَاۖ وَصَاحِبۡهُمَا فِي ٱلدُّنۡيَا مَعۡرُوفٗاۖ

Maksudnya: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” (Surah Luqman: 15)

Ibn Kathir berkata: “Jika kedua orang tuamu memaksa kepada agamanya, maka janganlah kamu mengikutnya dan dalam saat yang sama ia tidaklah menjadi penghalang bagimu untuk berbakti kepada keduanya di dunia secara ma’ruf (baik). Ambillah iktibar dari kisah Sa’ad bin Abi Waqqas yang berbakti kepada ibunya dan bagaimana cara penyelesaian yang dilakukan oleh Sa’ad yang penuh hikmah sehingga akhirnya menjadikan ibunya boleh menerimanya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, Dar Tayyibah 1999M, 6/337)

Sayyid Qutb berkata: “Sampai di sini gugurlah kewajipan taat kepada dua ibu bapa, dan di sinilah meningkatnya hubungan akidah mengatasi segala hubungan yang lain. Walau bagaimana hebat usaha, perjuangan, desakan dan penerangan yang dikemukakan oleh ibu bapa dengan tujuan memujuk si anak supaya mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang tidak diketahui ketuhanannya, maka dia diperintah supaya jangan taat kepada kehendak dua ibu bapa itu. Itulah perintah dari Allah selaku tuan punya hati yang pertama yang pasti ditaati.

Tetapi perbezaan akidah di antara anak dan ibu bapa, juga perintah supaya mentaati ibu bapa dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan akidah, tidaklah menggugurkan hak ibu bapa dari mendapat layanan yang baik dan persahabatan yang mesra dari anak-anaknya.” (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, Dar al-Syuruq al-Qahirah 2009M, 5/2788-2789)

Terdapat sebuah kisah menarik berkenaan keutamaan serta besarnya ganjaran pahala bagi mereka yang menjaga kedua ibu bapa. Ia dicatatkan di dalam hadis sepertimana berikut:

وأَقْبَلَ رَجُلٌ إِلَى نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: أُبَايِعُكَ عَلَى الْهِجْرَةِ وَالْجِهَادِ أَبْتَغِي الْأَجْرَ مِنْ اللَّهِ. قَالَ: فَهَلْ مِنْ وَالِدَيْكَ أَحَدٌ حَيٌّ؟ قَالَ: نَعَمْ بَلْ كِلَاهُمَا. قَالَ: فَتَبْتَغِي الْأَجْرَ مِنْ اللَّهِ؟ قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: فَارْجِعْ إِلَى وَالِدَيْكَ فَأَحْسِنْ صُحْبَتَهُمَا

Maksudnya: “Seorang lelaki datang menemui Nabi SAW seraya berkata: Aku berbai’ah kepada kamu untuk berhijrah dan jihad bagi mencari pahala daripada Allah. Sabda Baginda SAW: “Adakah salah seorang ibu bapa kamu masih hidup? Jawab beliau: “Ya, bahkan kedua-duanya.” Sabda Baginda: “Adakah kamu ingin mencari pahala daripada Allah? Jawabnya: “Ya.” Lantas sabda Baginda SAW: “Pulanglah kepada ibu bapa kamu dan layani mereka dengan sebaik-baiknya.” (Lihat: Sahih Muslim (2549), Dar Ihya’ al-Turas al-Arabi Birut, 4/1975)

Di dalam sebuah hadis yang lain, diceritakan berkenaan Asma’ binti Abu Bakar R.Anhuma yang bertanya kepada Rasulullah SAW, adakah dia boleh berhubung dengan ibunya yang masih seorang musyrik. Kisahnya adalah sebagaimana berikut:

قَدِمَتْ عَلَىَّ أُمِّي وَهْىَ مُشْرِكَةٌ فِي عَهْدِ قُرَيْشٍ، إِذْ عَاهَدُوا رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَمُدَّتِهِمْ، مَعَ أَبِيهَا، فَاسْتَفْتَتْ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ أُمِّي قَدِمَتْ عَلَىَّ، وَهْىَ رَاغِبَةٌ، أَفَأَصِلُهَا قَالَ ‏ “‏ نَعَمْ، صِلِيهَا ‏”‏‏

‏Maksudnya: “Ibuku menemuiku saat itu dia masih musyrik ketika Quraisy orang-orang muslimin mengikat perjanjian dengan Rasulullah SAW dalam satu tempoh yang tertentu bagi perjanjian kebaikan antara orang quraisy dan Baginda serta ayahnya, lalu aku meminta pendapat kepada Rasulullah SAW. Aku katakan; “Wahai Rasulullah, ibuku (yang musyrik) datang kepadaku dan dia sangat ingin (mengambil daripadaku sebahagian harta), apakah aku harus tetap menjalin hubungan dengan ibuku?”. Baginda menjawab: “Ya, sambunglah silaturrahim dengannya”. (Lihat: Sahih al-Bukhari (3183), Dar Tuq al-Najah 1422H, 4/103, al-Kawakib al-Darari fi Syarah Sahih al-Bukhari (2976), Dar Ihya’ al-Turas al-Arabi Birut 1981M t.2, 13/145)

Berdasarkan hadis-hadis di atas, sekiranya ibu bapa mereka yang bukan Islam, wajib berbuat baik kepada keduanya, justeru membuat kebaikan kepada ibu bapa yang telah Islam adalah lebih penting dan utama walaupun mereka berlaku zalim. Sebagai penutup dalam huraian ini, kami datangkan satu hadis yang dinyatakan oleh Ibn Abbas R.anhu bahawa katanya:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ لَهُ وَالِدَانِ مُسْلِمَانِ يُصْبِحُ إِلَيْهِمَا مُحْتَسِبًا، إِلَّا فَتْحَ لَهُ اللَّهُ بَابَيْنِ – يَعْنِي: مِنَ الْجَنَّةِ – وَإِنْ كَانَ وَاحِدًا فَوَاحِدٌ، وَإِنْ أَغْضَبَ أَحَدَهُمَا لَمْ يَرْضَ اللَّهُ عَنْهُ حَتَّى يَرْضَى عَنْهُ “، قِيلَ: وَإِنْ ظَلَمَاهُ؟ قَالَ: وَإِنْ ظَلَمَاهُ

Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim yang memiliki kedua orang tua yang Muslim, berjalan menuju keduanya dengan penuh kegembiraan dengan niat mencari pahala dari Allah melainkan Allah akan bukakan baginya dua pintu syurga. Jika orang tuanya tinggal satu orang maka baginya akan dibukakan satu pintu syurga. Jika salah satu dari kedua orang tuanya marah maka Allah tidak akan redha kepadanya hingga orang tuanya redha kepadanya”. Lalu ada yang bertanya, ‘Walaupun keduanya berbuat zalim kepadanya?’ Beliau menjawab, “Walaupun keduanya menzalimimu.” (Lihat: al-Adab al-Mufrad, Dar al-Basyair al-Islamiyyah Birut 1989M, 16)

Penutup

Kesimpulannya, tidak wajib si anak untuk berjumpa dengan bapanya sebelum berkahwin namun wajib meminta bapa anak tadi untuk menjadi wali perkahwinannya walaupun dia tidak suka.

Dinasihatkan juga, pihak keluarga merujuk dengan Jabatan Agama, Unit Keluarga Islam untuk dapatkan khidmat nasihat dan cadangan. 

(Tulisan ini diambil daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di ruangan Irsyad al-Fatwa yang diterbitkan 26 Februari 2021.)

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Terus kekal bersatu atas dasar akidah Islam – Mufti

Posted by epondok di Mac 14, 2021

Dato’ Dr Luqman Abdullah

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini diseru agar kekal teguh memelihara kedaulatan agama Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang meluluskan penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam.

Dukacita dengan keputusan itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Dr Luqman Abdullah berkata pihaknya masih percaya isu itu dapat diselesaikan dengan cara yang lebih harmoni dalam masa terdekat oleh pihak-pihak berautoriti dalam negara.

“Perlu diingat bahawa sebarang hal yang menyentuh perihal agama secara tidak langsung berkait dengan nilai sensitiviti yang mesti dijaga dengan baik.

“Sekiranya tidak mampu diselesaikan dengan cara yang lebih harmoni, dibimbangi ia bakal mencetuskan ketegangan di antara agama serta kaum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya berharap agar umat Islam di negara ini terus kekal bersatu atas dasar akidah Islam yang sahih berteraskan kerangka Ahlul Sunnah wal Jamaah.

“Ingatlah, bersatunya umat Islam adalah asas pembinaan khayra ummah (umat yang terbaik) sekali gus menjadi tauladan kepada sekalian umat manusia,” ujarnya.

Dr Luqman turut menasihati umat Islam supaya mengukuhkan tahap keimanan kepada Allah SWT dan berusaha memelihara ibadah wajib serta mendekatkan diri kepada Pencipta.

“Dalam tempoh pandemik yang sedang melanda, umat Islam dinasihatkan untuk mengukuhkan lagi tahap keimanan kepada Allah SWT.

“Marilah kita berusaha memelihara ibadah-ibadah seperti kewajipan solat fardu lima waktu, mendekatkan diri kepada Allah menerusi zikir munajat, meminta pertolongan kepada Allah dengan sentiasa berdoa kepada-Nya, menjaga adab serta tatasusila berasaskan akhlak Rasulullah s.a.w.

“Kesemua inilah yang akan menjadi dasar kekuatan umat Islam dalam mendepani apa jua cabaran yang mendatang,” katanya lagi.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain iaitu solat, kaabah dan baitullah dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Doa pohon kembalikan barang hilang

Posted by epondok di Mac 12, 2021

Perbanyakkan baca surah al-Duha dan baca doa ini…

اللَّهُمَّ كَمَا رَدَدْتَ يُوسُفَ عَلَى أَبِيهِ رُدَّ عَلَيَّ ضَالَّتي

Allahumma kama radadta Yusufa ‘Ala Abihi Rudda ‘Alayya Dhallatiyy

Ya Allah sebagaimana Engkau kembalikan Yusuf kepada bapanya, Engkau kembalikan hartaku yang hilang.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »