Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Februari 2021

Syeikh Yasin Al-Fadani adalah Musnid al-‘Asr

Posted by epondok di Februari 24, 2021

Syeikh Yasin al-Fadani (duduk tengah) bersama warga Madrasah Dar al-Ulum al-Diniyyah, Mekah tahun 1375 Hijrah sekitar tahun 1955 Masihi.

AL-‘ALLAMAH al-Mutafannin Musnid al-‘Asr ‘Alam al-Din Abu al-Faidh Muhammad Yasin bin Muhammad Isa al-Fadani al-Indunisi al-Makki al-Syafii dilahirkan di Mekah pada 1335 Hijrah bersamaan 1916 Masihi. Beliau membesar di sana di bawah asuhan ayahnya dan juga bapa saudaranya bernama Syeikh Mahmud. Keluarganya berasal dari Kota Padang, Indonesia yang berhijrah ke Mekah.

Pengajian awal beliau bermula di Madrasah Saulatiyyah dan pada masa sama, melazimi halaqah-halaqah ilmu di Masjid al Haram yang disampaikan oleh para ulama Ahli Sunnah Wal Jama’ah di sana. Kemudian, melanjutkan pengajian dan menamatkannya di Madrasah Dar al ‘Ulum al Diniyyah, Mekah.

Syeikh Yasin telah menimba ilmu daripada para ulama secara talaqqi di mana Mekah pada ketika itu merupakan lubuk ilmu-ilmu Islam dan ulama.

Keberadaan di Mekah memberi kelebihan yang banyak kepadanya kerana pada musim haji, beliau akan memanfaatkan waktu itu untuk menuntut ilmu dan memohon ijazah daripada para ulama yang menunaikan fardu haji.

Antara guru yang paling kerap didampinginya dalam usaha mendapatkan ilmu, makrifah dan pembentukan sahsiah ialah Sayyid Alawi bin Abbas al-Maliki, Syeikh Muhammad Ali bin Husain al-Maliki, Al-‘Allamah Syeikh Hasan bin Muhammad al-Masysyat dan Muhaddith al-Haramain Syeikh Umar Hamdan al-Mahrisi.

Hasil kesungguhannya menuntut ilmu tanpa jemu, menjaga adab dan mempersembahkan khidmat yang terbaik kepada para gurunya, Syeikh Yasin telah muncul sebagai salah seorang ulama di Mekah.

Beliau mula mengajar di Masjid al-Haram dan Madrasah Dar al-‘Ulum al-Diniyyah ketika umurnya belum mencecah 20 tahun.

Beliau juga seorang ulama berperwatakan sederhana, zuhud, berlapang dada, mengasihi fakir miskin dan sentiasa menghulurkan bantuan kepada para penuntut yang datang ke Mekah.

Al-Muhaddith Syeikh Mahmud Said Mamduh menyatakan: “Allah telah memuliakan saya dengan memberi peluang kepada saya melazimi Sayyidi Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani. Beliau telah memberi perhatian khusus kepada saya dan memerintahkan saya duduk di sebelah kanannya setiap kali saya berada di dalam majlis pengajiaannya dan kedudukan saya ini tidak pernah diambil oleh orang lain.

“Beliau juga membantu menyelia urusan pengajian saya di sisi ulama Mekah dan menolong saya berkenaan dengan urusan kitab dan guru, di samping apa yang saya pelajari secara terus daripadanya.”

Malah dia juga sentiasa berakhlak dan menjaga adab terhadap guru-gurunya. Beliau akan sentiasa berusaha menjaga hati mereka sebaik mungkin.

Selesai menulis syarah kitab al Luma’ mengenai Usul Fiqh yang bertajuk Bughyah al Musytaq bi Syarh Luma’ Abi Ishaq setebal dua jilid, beliau berhasrat mencetaknya tetapi dalam masa yang sama salah seorang gurunya iaitu al-Qadhi Syeikh Muhammad Yahya Aman al-Hanafi turut sama selesai menulis syarah bagi kitab al-Luma’ bertajuk Nuzhah al-Musytaq.

Maka Syeikh Yasin telah membatalkan niat untuk mencetak kitab tersebut sebagai menjaga hati, memuliakan dan mendahulukan gurunya.

Setelah menghabiskan umurnya atas jalan ilmu dan dakwah, Syeikh Yasin al-Fadani dijemput menemui Ilahi pada Zulhijjah 1410 Hijrah bersamaan 1990 Masihi.

Pemergiannya adalah pemergian musnid terunggul pada zamannya. Setelah kewafatannya, berkuranganlah kehadiran manusia yang datang dari jauh dan dekat ke Mekah demi mendapatkan ijazah dan sanad yang tinggi.

Pengiktirafan Ahli Ilmu

Kedudukan Syeikh Yassin menjadikan beliau di antara ulama tersohor di seluruh dunia Islam dan menjadi tujuan permusafiran mereka bagi mendapatkan faedah ilmu dan merantaikan diri dengan sanadnya yang tinggi.

Pengiktirafan terhadap kedudukannya itu dapat dilihat apabila gurunya al-Muhaddith al-Mujtahid Sayyid Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari dengan katanya: “Di antara mereka daripada kalangan mereka yang mengijazahkan saya ialah al-‘Allamah al-Musnid Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani. Saya telah mengijazahkannya dan beliau pun mengijazahkan saya lalu kami saling ijazah mengijazahkan antara satu sama lain. Beliau sekarang adalah Musnid al-‘Asr (Musnid Unggul Zaman).”

Mengenai kemahiran dan keilmuannya juga, Syeikh Mahmud Said Mamduh menyatakan: “Syeikh kami al-‘Allamah al-Fadani bukan hanya sekadar seorang musnid, bahkan beliau adalah seorang alim yang menguasai segenap disiplin ilmu Islam. Beliau menjadi tumpuan manusia meminta fatwa daripada pelbagai ceruk rantau.

“Seringkali datang kepadanya soalan-soalan yang banyak secara bertulis dari negeri-negeri Melayu Nusantara. Belia mengkhususkan sebahagian daripada waktu malamnya untuk menjawab soalan-soalan itu.

“Ya, beliau menyibukkan dirinya dengan ilmu mengenai isnad di akhir usianya, akan tetapi sebelum itu beliau telah menyibukkan dirinya dengan ilmu-ilmu syarak, istilah dengan menyampaikan pengajian dan dalam bentuk penulisan.”

Murid-muridnya itu datang dari seluruh pelosok dunia Islam bermula dari benua Afrika sehinggalah Asia Tenggara. Boleh dikatakan hampir kesemua ulama, tuan guru dan kiai dari Tanah Melayu Nusantara yang menuntut ilmu di Mekah sekitar 1950 sehinggalah 1990 adalah daripada kalangan muridnya, sama ada mengambil ilmu terus atau dengan pengijazahan sanad.

Berdasarkan fakta itu, sudah pastilah ia meliputi ribuan di kalangan mereka baik dari bangsa ajam mahupun Arab.

Syeikh Yasin adalah lambang kebanggaan umat Melayu di tanah Nusantara ini. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Syeikh Yasin adalah seorang ulama berdarah Melayu yang paling unggul di dunia Islam di mana dalam beberapa sudut, tahap keilmuannya jauh mendahului ulama-ulama Islam dari bangsa lain termasuk bangsa Arab sendiri.

Bahkan ulama-ulama di timur dan barat dunia Islam berusaha untuk meriwayatkan ilmu dan sanad daripada beliau walaupun terpaksa menempuh jarak yang jauh.

Kelahirannya dan keberadaannya di Mekah mengharumkan Tanah Melayu Nusantara ini. Syeikh Yasin adalah lambang keunggulan, kehebatan dan kegemilangan Islam yang sampai ke tanah ini di zaman silam

Posted in Tokoh Ulama' | Leave a Comment »

Jangan mudah mengkafirkan

Posted by epondok di Februari 23, 2021

DI dalam kitab Mafahim (Kefahaman-kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan) Al-Allamah Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki telah memperjelaskan fahaman tentang pelbagai isu agama yang menjadi pertikaian oleh sebahagian orang seperti tabarruk, tawassul, ziarah kubur dan seumpamanya.

Ada yang sampai ke tahap menuduh syirik dan mengkafirkan sesama Islam kerana isu-isu ini. Oleh itu pengarang kitab ini memulakan tulisannya dengan memperbetulkan semula kefahaman dalam hal menghukum kafir sesama Islam.

Beliau menegaskan bahawa, ramai orang telah salah faham – semoga Allah SWT memperbaiki dan menunjukkan mereka jalan yang benar – tentang sebab-sebab sebenar yang mengakibatkan seseorang itu terkeluar daripada Islam dan wajib dihukum sebagai kafir.

Mereka kelihatan begitu mudah dan terburu-buru menghukum kafir ke atas saudara seagama hanya kerana wujudnya percanggahan pendapat dengan mereka, hinggakan hanya sedikit sahaja kaum Muslimin yang berbaki di muka bumi ini.

Walau bagaimanapun, kita memandang sikap keterlaluan mereka dengan baik sangka. Kemungkinan, niat mereka baik – demi menjaga kemurnian ajaran Islam daripada perbuatan syirik melalui konsep amar makruf dan nahi mungkar.

Namun, mereka lupa, amar makruf dan nahi mungkar perlu kepada sikap berhikmah (bijaksana) dan peringatan yang baik. Jika ada yang perlu didebatkan sekalipun, haruslah dilakukan dengan cara terbaik, sebagaimana firman Allah SWT: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad!) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. (al-Nahl: 125)

Cara ini lebih mudah diterima dan menghasilkan apa yang diharapkan. Adapun menyanggahi cara ini, merupakan suatu kesilapan dan kebodohan.

Oleh itu, apabila kamu mengajak seseorang Muslim yang mendirikan solat, melaksanakan apa yang difardukan oleh Allah SWT, menjauhi segala yang diharamkan-Nya, menyebarluaskan dakwah Islam dan aktif memakmurkan masjid kepada perkara-perkara yang pada pandangan kamu adalah benar, tetapi pandangannya berbeza dengan pandangan kamu, dan pandangan ulama mengenainya masih belum disepakati sejak dahulu hingga sekarang.

Maka dia enggan menurut pandangan kamu, lalu kamu melemparkan tuduhan “kafir” kepadanya hanya kerana beberapa perbezaan pendapat, maka sebenarnya kamu telah melakukan sebesar-besar kemungkaran dan perbuatan yang dilarang keras oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Maka kamu diseru supaya melaksanakannya dengan jalan yang berhikmah dan baik.

Al-Allamah al-Imam Sayyid Ahmad Masyhur al-Haddad RA mengatakan, “Sesungguhnya telah ditetapkan oleh ijmak ulama larangan mengkafirkan seseorang ahli Kiblat; kecuali jika dia mengingkari Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa, atau melakukan perbuatan syirik secara terang-terangan yang tidak perlu lagi diandaikan takwilannya, atau mengingkari kenabian Nabi Muhammad SAW, atau mengingkari sesuatu yang telah pasti kebenarannya dalam agama, atau mengingkari suatu masalah atau hadis mutawatir (yang telah pasti kesahihannya), atau pun sesuatu yang telah disepakati oleh ulama.”

Dalam ajaran Islam, ilmu agama yang diketahui secara pasti (kebenarannya) itu; seperti masalah tauhid, kenabian, sempurnanya risalah dengan perutusan Nabi Muhammad SAW, kebangkitan semula pada hari Kiamat, hisab, pembalasan pada hari Kiamat, syurga dan neraka. Jika seorang Muslim mengingkari hal-hal seperti itu, maka dia dinilai sebagai kafir. Tiada keuzuran bagi setiap Muslim untuk tidak mengetahui perkara-perkara asas seperti itu, melainkan bagi orang-orang yang baru memeluk agama Islam. Mereka dimaafkan sehinggalah mereka mempelajarinya, dan selepas itu mereka tidak boleh dimaafkan lagi jika mengingkarinya.

Manakala hadis mutawatir ialah khabar atau hadis yang diriwayatkan oleh sejumlah perawi yang dipercayai dan tidak mungkin melakukan pembohongan, yang (diterima) daripada sejumlah perawi seperti mereka; baik dari aspek isnad (rangkaian orang yang meriwayatkannya) mahu pun tabaqat (ramainya bilangan perawi).

Adapun isnad, seperti hadis: “Sesiapa yang melakukan pembohongan ke atasku, maka dia menyiapkan tempat duduknya di dalam neraka.”

Manakala dari aspek tabaqat (mutawatir pada setiap peringkat) seperti mutawatir-nya al-Quran. Al-Quran itu mutawatir tanpa ada had; baik di timur mahupun di barat; dalam mempelajari, membaca, mahupun menghafaznya, yang diterima dan diriwayatkan daripada sekelompok yang banyak kepada kelompok yang banyak, daripada satu generasi kepada generasi yang lain. (Oleh kerana terlalu ramai perawinya sehingga tidak terkira), maka al-Quran tidak memerlukan kepada isnad.

Kadang kala, mutawatir itu berlaku pada amalan dan pewarisan; seperti amalan sesuatu semenjak zaman Nabi Muhammad SAW sampai sekarang, diamalkan dan dipraktikkan, serta tiada sesiapa yang mengingkarinya (khususnya ulama).

Kadang kala, terjadi mutawatir dari segi ilmu seperti mutawatirnya mukjizat Nabi Muhammad SAW. Meskipun sebahagiannya ada yang diriwayatkan secara ahad (individu), tetapi secara umumnya ia dapat dinilai mutawatir dengan ilmu pengetahuan setiap Muslim.

Sesungguhnya menghukum seseorang Muslim itu kafir bukan pada perkara-perkara yang telah kami terangkan di atas, adalah suatu yang amat bahaya. Dalam hadis, Rasulullah SAW menegaskan: Jika seseorang berkata kepada saudaranya, “Wahai kafir!” Maka kekafiran itu akan kembali (menimpa) kepada salah seorang di antara keduanya. (riwayat Imam al Bukhari daripada Abu Hurairah RA)

Kesimpulannya, pengarang kitab ini benar-benar mengingatkan kita, supaya berhati-hati daripada sembarangan melabel orang lain sebagai kafir bukan pada tempat-tempat atau perkara-perkara yang telah dijelaskan sebelum ini, kerana perbuatan seperti itu mengandungi bahaya yang amat besar. Hanya Allah SAW sahajalah yang dapat menunjukkan jalan yang lurus, dan hanya kepada-Nya kita semua akan dikembalikan.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Sifat ulama’ penegak kebenaran

Posted by epondok di Februari 22, 2021

Oleh Mohd Hariri Mohamad Daud

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Muliakanlah ulama kerana sesungguhnya mereka adalah pewaris Nabi. Barang siapa yang memuliakan ulama sesungguhnya mereka memuliakan Allah dan Rasul-Nya.” (Hadis riwayat Iman Khatib dari Jabir)

Ulama adalah golongan yang menguasai dan memahami secara terperinci ilmu teras Islam serta memahami Islam seperti yang difahami generasi para sahabat dan mereka mampu menyelesaikan masalah berkaitan perkara agama. Definisi ini diberikan Abdul Karim Khatib dalam kitabnya Tafsir Al qurani lil Quran.

Imam Muhammad bin Ahmad Qurtubi dalam tesisnya Jami’ Liahkam al-Quran pula menyebut, golongan ulama adalah manusia yang takut kepada kudrat Allah.

Al-Quran secara tegas menjelaskan ketinggian martabat golongan ulama antaranya perintah Allah supaya manusia memberikan ketaatan kepada mereka dalam firman yang bermaksud: “Wahai orang beriman taatilah Allah, taatilah rasul dan orang yang memerintah urusan kamu (ulil amri).” (Surah an-Nisa’, ayat 59)

Ibnu Abbas dan Imam Ibnu Qayyim berpendapat maksud (ulil amri) pada ayat ini ialah ahli fikah dan ahli agama (ulama).

Istilah ulama disebut dua tempat dalam al-Quran, pertama, dalam firman Allah yang bermaksud: “Tidakkah mereka yang musyrik sedar akan kebenaran dan tidaklah menjadi satu keterangan kepada mereka bahawa pendeta agama Bani Israel mengetahui kebenaran al-Quran.” (Surah Asy-Syuara’, ayat 197)

Kedua, firman Allah bermaksud: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut kepada Allah daripada kalangan hamba-Nya hanya orang yang berilmu, sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Pengampun.” (Surah Fathir, ayat 28)

Imam Muhammad Ar Razi Fakhruddin mentafsirkan ayat surah Faathir, menyebut sesungguhnya orang alim lebih tinggi darjatnya daripada ‘abid (ahli ibadah). Kemuliaan seseorang itu terletak kepada ketakwaan kepada Allah dan ketakwaan itu datang melalui ilmu yang benar.

Ketinggian dan kemuliaan kedudukan seorang ulama ialah penguasaan ilmu agama yang tinggi dan mendalam. Mereka juga cermin dan pemimpin umat menegakkan agama Allah, tegas menegakkan yang hak dan menyanggah perkara batil yakni bertentangan dasar agama.

Ulama sumber rujukan umat menetapkan sesuatu hukum. Tanpa ulama seluruh umat manusia akan menghadapi kesukaran apabila berdepan persoalan yang memerlukan penyelesaian hukum. Selain itu, ketinggian ilmu ulama mencerminkan ketakwaan kepada Allah.

Said Hawwa dalam kitabnya ‘al-Assasu fi-Tafsir (1985) mengupas pendapat Ibnu Mas’ud yang menyatakan ulama bukanlah semata-mata orang yang mempunyai banyak ilmu tetapi juga orang yang ‘khasyyah’ (takut dan cinta yang tinggi) kepada Allah.

Pada zaman keagungan Islam, peranan dan komitmen ulama sangat luas merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Selain pakar dalam bidang akhlak, akidah dan syariah, mereka juga cendekiawan serta ilmuwan yang tiada tolok bandingnya dalam bidang sains dan teknologi.

Wujudkah apa yang disebut ulama jahat? Rasulullah menyebut dalam hadisnya bahawa ada orang yang berilmu, mengetahui halal haram, mengetahui hak dan batil, memahami al-Quran serta al-Hadis tetapi sanggup mencampur-adukkan perkara hak dengan batil.

Inilah dikatakan ulama yang menyeleweng. Rasulullah pernah ditanya seorang sahabat, “Apakah amal perbuatan yang paling utama? Baginda menjawab: Teman yang menolong kamu apabila kamu susah dan mengingatkan kamu jika kamu melakukan kesalahan. Sahabat berkenaan bertanya lagi: Manusia yang bagaimana yang paling buruk? Baginda menjawab: Ulama yang selalu membuat kerosakan.” (Hadis riwayat Jamaah)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Rosaknya agama disebabkan tiga perkara iaitu faqih (ahli agama) yang jahat, pemimpin yang zalim dan orang yang bodoh tetapi mahu berijtihad.” (Hadis riwayat Dailami dari Ibnu Abbas).

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Derma untuk resit pengurangan cukai

Posted by epondok di Februari 21, 2021

Posted in Derma Kurang Cukai | Leave a Comment »

Memelihara aib orang

Posted by epondok di Februari 20, 2021

Oleh SITI FATIMAH ABDUL RAHMAN

SEBAGAI orang Islam, kita sepatutnya bersyukur kerana kita dipandu oleh al-Quran dan al-sunnah dalam menentukan tingkahlaku kita dalam menjalani kehidupan ini.

Andaikan kita ini pengembara, pastinya kita bersyukur jika sepanjang perjalanan itu, kita dibekalkan dengan kompas sebagai penunjuk arah. Kita sepatutnya lebih bersyukur lagi kerana tidak semua pengembara dibekalkan dengan penunjuk arah.

Berbeza dengan masyarakat Islam, masyarakat lain tiada panduan khusus dan jelas tentang bagaimana mereka seharusnya menjalani hidup. Jika ada sekalipun, panduan itu hanyalah untuk aspek hidup yang tertentu dan tidak menyeluruh seperti Islam. Bagi mereka, segala-galanya boleh dilakukan. Justeru, ramai yang berpegang kepada motto jenama Nike, “Just do it“. Mereka pun buatlah apa sahaja yang terlintas di hati tanpa mengambil kira kesannya pada diri mahupun orang lain. Orang Islam tidak sepatutnya berpegang pada motto itu. Namun, ramai juga yang dengan bangganya memakai baju-T dengan slogan itu.

Dalam kehidupan seorang Muslim, ada yang boleh dan ada yang tidak boleh dilakukan. Jika sikap dan tingkahlaku umat Islam sama sahaja dengan orang bukan Islam, maka apalagi yang membezakan kita dengan mereka?

Walaupun seorang Muslim itu dibatasi oleh perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan, sebenarnya, masih banyak perkara yang dibenarkan dan sedikit sahaja yang dilarang. Satu daripada perkara yang dilarang itu adalah membuka aib diri dan aib orang lain. Membuka aib diri sendiri mungkin tidak begitu menimbulkan masalah kerana orang yang waras biasanya mengunci rapat keaiban dirinya sendiri. Namun, apa yang sedang membarah dalam masyarakat kita kini adalah sikap yang suka mengaibkan orang lain. Dalam kata-kata lain, suka mendedahkan keburukan orang lain.

Semua orang ada melakukan kesilapan dalam hidup dan lazimnya kita akan merahsiakan kesilapan itu bagi mengelakkan rasa malu jika ia diketahui umum. Seorang kanak-kanak pun tahu malu jika silapnya ditegur di khalayak ramai, inikan pula orang dewasa. Jadi, biasanya kita akan merahsiakan kesilapan itu agar ia tidak mengaibkan diri sendiri.

Namun, apabila tiba kepada keaiban orang lain, sikap kita begitu berbeza sekali. Ramai yang suka mendengar atau membaca kisah-kisah keaiban orang, malah, sanggup pula memanjangkan kisah-kisah itu kepada orang lain, sedangkan Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa yang menutup aib saudara Muslimnya, nescaya Allah SWT akan menutup keaibannya di akhirat kelak.”

Malangnya, ramai orang Islam lebih suka mengingkari perintah hadis ini. Mereka sama ada menjadi orang yang mengaibkan orang lain secara lisan mahupun tulisan, menjadi pendengar atau pembaca atau penonton setia kisah-kisah keaiban itu, mahupun menjadi penyampai atau pemanjang cerita-cerita aib tersebut.

Malah, ada yang mengaut keuntungan daripada keaiban orang lain. Kononnya, itulah formula untuk melariskan jualan. Soalnya, formula siapa? Formula Barat atau formula Islam yang kita bangga menjadi umatnya?

Ada juga yang mendakwa bahawa cerita seperti itu yang majoriti pembaca mahukan. Dakwaan itu mungkin benar dan biasanya majoriti akan menang. Namun, tidak semestinya majoriti itu betul. Maka, jika ternyata majoriti cenderung memilih sesuatu yang dilarang oleh agama, apakah kita patut terus menggalakkan mereka?

Dalam Surah al-Hujurat, ayat 11, Allah SWT dengan jelas melarang umat Islam daripada menyatakan keaiban orang lain. Dalam ayat yang sama disebut bahawa mereka yang mengingkari larangan itu, ia menjadi fasik, maka hendaklah bertaubat. Larangan ini begitu penting sekali dipatuhi sehingga ia diulangi dalam ayat yang berikutnya,” …dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang…“. Tidak cukupkah ayat-ayat ini memandu kita ke jalan yang benar?

Dalam pengenalan beliau mengenai surah al-Hujurat ini, Abdullah Yusuf Ali, dalam terjemahan al-Qurannya menyebut bahawa, surah ini menyentuh tentang adab yang perlu dipatuhi oleh ahli masyarakat Islam. Selain melarang mengaibkan orang, surah ini juga memerintahkan agar ketua dihormati, khabar angin diselidiki, damaikan dua pihak yang berkelahi, manusia lain jangan dicemuh atau diperlekeh, jangan melabel orang dengan perkataan yang buruk, jauhi prasangka, jangan mencari salah dan keaiban manusia, jangan mengumpat dan berkenalanlah sesama manusia.

Amat malang sekali apabila umat Islam yang telah dipandu tentang cara bagaimana untuk hidup bermasyarakat tidak mengambil manfaat daripada panduan itu, sebaliknya mengambil sikap yang sama sekali bertentangan dengannya. Jadi, salah siapa kalau masyarakat kita banyak cacat-celanya? Salah siapa kalau masyarakat kita tidak jauh buruk akhlaknya berbanding dengan masyarakat Barat atau Timur yang tiada ‘kompas’ penunjuk jalannya?.U/M

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Syeikh Abdul Qadir al-Mandili Guru di Masjidil Haram

Posted by epondok di Februari 19, 2021

Bukan sedikit tokoh-tokoh ulama yang berketurunan Mandailing berhijrah ke Tanah Melayu. Antara tokoh terawal yang datang ke Tanah Melayu ialah Syeikh Junid Thala. Tokoh besar ini lahir pada tahun 1314 Hijriyyah bersamaan dengan 1897 Masehi. Beliau merupakan pendiri Madrasah ad-Diniyah di Padang Rengas, Kuala Kangsar Perak. Madrasah ini pernah menjadi pusat gerakan menentang penjajah satu masa dahulu. Tokoh selanjutnya ialah Syeikh Abdul Qadir Bin Abdul Mutollib Al-Indonesi Al-Mandili. Beliau pernah menimba ilmu di Kedah dan kemudiannya menjadi tenaga pengajar di Masjidil Haram. Walaupun menjadi guru di Masjidil Haram, hubungan beliau dengan alim-ulama dan para penuntut ilmu di Alam Melayu sangat akrab. Beliau sangat mengambil berat tentang perkembangan semasa samada dari segi agama mahupun politik di Alam Melayu.
Nama penuh ulama ini ialah Abdul Qadir bin Abdul Mutollib bin Hassan. Beliau dilahirkan pada tahun 1910 Masehi di Sigalangang, Tapanuli Selatan sebuah wilayah yang terletak di bahagian Sumatera Utara dalam Pulau Sumatera. Latar belakang keluarganya adalah dalam bidang asas tani. Syeikh Abdul Qadir mendapat pendidikan awal di Sekolah Belanda pada tahun 1917 dan lulus Darjah Lima pada tahun 1923. Setahun selepas itu beliau berhijrah ke Kedah untuk mendalami ilmu agama.
Di peringkat awal, beliau menimba ilmu kepada Tuan Guru Haji Bakar Tobiar di Pondok Penyarum, Pendang. Selepas itu beliau berpindah ke Pondok Air Hitam untuk menimba ilmu kepada tokoh ulama di situ iaitu Tuan Guru Haji Idris dan Lebai Dukun. Pada tahun 1926, Syeikh Abdul Qadir memasuki Madrasah Darul Saadah Al-Islamiyah (Pondok Titi Gajah ) yang pada waktu itu dipimpin oleh Syeikh Wan Ibrahim Abdul Qadir yang lebih terkenal dengan panggilan Pak Chu Him) oleh masyarakat setempat. Beliau menadah kitab kepada Pak Chu Him selama 10 tahun. Beliau sangat tekun belajar dan amat ringan tulang. Pada musim cuti, beliau akan bekerja mengambil upah memukul padi kerana pondok itu terletak di dalam kawasan padi. Diriwayatkan bahawa telah menjadi amalan beliau untuk menghafaz sambil memukul padi. Tidak hairanlah beliau menjadi anak murid kesayangan Pak Chu Him Selanjutnya beliau menjadi guru pondok membantu Pak Chu Him mengajar di situ tetapi dalam tempoh yang tidak lama. Ini adalah kerana beliau mengambil keputusan untuk berangkat ke Makkah untuk menimba ilmu kepada kakanda Pak Chu Him iaitu Syeikh Wan Ismail Abdul Qadir atau lebih dikenali sebagai Pak Da ‘Ail. Pak Da ‘Ail pada ketika itu merupakan tokoh ulama besar di Makkah. Pada tahun 1936, beliau bertolak ke Makkah dan setibanya di sana, beliau bukan sahaja berguru dengan Pak Da ‘Ail tetapi juga tokoh-tokoh ulama lain seperti Syeikh Al-Maliki, Syeikh Hassan Al-Masyat, Syeikh Muhammad Al-Arabi, Syeikh Sayyid Al-Alawi, Syeikh Muhammad Ahyad, Syeikh Hasan Yamani, Syeikh Muhammad Nur Saif, Syeikh Umar Hamdan Mahrusi, Syeikh Yasin Isa Al-Fadani dan Syeikh Abdullah Lahji. Dengan mendampingi ulama-ulama besar ini, beliau telah mendalami ilmu khususnya dalam bidang Tauhid, Tasawwuf, Fiqh dan Hadith. Ketika berada di Makkah beliau tambah tekun belajar. Diriwayatkan masanya banyak dihabiskan di Masjidil Haram dengan mengaji, menghafaz, mengerjakan tawaf dan minum air zam-zam Saking alimnya beliau yang menguasai pelbagai bidang ilmu maka beliau kemudiannya diterima menjadi guru di Masjidil Haram. Bukan calang-calang orang menjadi guru agama di Masjidil Haram kerana Masjidil Haram menjadi tempat perhimpunan alim-ulama untuk menimba ilmu. Syeikh Abdul Qadir telah mendapat pengiktirafan tokoh-tokoh ulama di Makkah sehingga beliau diberi izin untuk mengajar di kota suci itu. Disebabkan itulah beliau telah digelar oleh seorang tokoh ulama Kedah iaitu Tuan Guru Haji Husein Che Dol[1] sebagai “al-Alim al-Fadhil wa al-Abdi al-Kamil As-Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutollib Al-Mandili al-Indonesi” yang menggambarkan tingginya tahap keilmuan beliau. Halaqah pengajiannya sentiasa mendapat tempat di hati para penuntut ilmu khususnya penuntut yang datang dari Alam Melayu. Halaqah beliau dikatakan sentiasa penuh, tidak pernah kurang dari 200 orang pelajar. Beliau mengajar pelbagai bidang ilmu termasuklah ilmu Nahu, Sorof, Hadith, Musthalah Hadith, Tafsir, Fiqh Syafi`i dan sebagainya.
Ketika menjadi guru di Masjidil Haram, Syeikh Abdul Qadir pernah ditawarkan dengan pelbagai jawatan termasuk sebagai guru agama di Cape Town, Afrika Selatan. Presiden Sukarno dikatakan pernah menawarkan kepada beliau jawatan Mufti Indonesia manakala Al-Malik Saud, Raja Arab Saudi menawarkan jawatan sebagai Qadhi Al-Qudat dengan gaji yang besar tetapi beliau menolaknya kerana ingin menumpukan perhatian kepada pengajarannya di Masjidil Haram. Ini bersesuaianlah dengan gelaran yang beliau sendiri pakai iaitu “Khuwaidam Talabah al-Ilmu as-Syarif bil Harami al-Makki (Khadam kecil bagi penuntut ilmu di Masjidil Haram)”.
Syeikh Abdul Qadir tidak ketinggalan menghasilkan karya dimana ada di antara kitab-kitab yang ditulisnya itu masih lagi digunakan sebagai teks pengajian di pondok dan di masjid. Tulisan beliau meliputi pelbagai bidang seperti usuluddin, tasawwuf, fiqh, politik, pendidikan dan perundangan. Diriwayatkan sewaktu berada di Makkah, beliau telah menghasilkan 24 buah kitab dalam bahasa Melayu dan Arab. Antara hasil penulisannya ialah seperti seperti
Risalah Pokok Qadyani – Risalah ini mendedahkan kesesatan dan bahaya ajaran Mirza Ghulam Ahmad Qadyani.
Sinar Matahari Buat Penyuluh Kesilapan Abu Bakar Al-Asy’ari – Kitab ini ditulis pada tahun 1958 mengkritik pemikiran Kaum Muda.
al-Mazhab atau Tiada Haram Bermazhab – Kitab ini juga ditulis pada tahun 1958 mengkritik pemikiran Kaum Muda.
Pendirian Agama Islam – Kitab ini ditulis pada tahun 1956 dan membicarakan tentang masalah ideologi ciptaan manusia seperti kapitalisme, sosialisme dan komunisme serta percanggahannya dengan aqidah dan pemikiran Islam.
Senjata Tok Haji dan Tok Lebai – Kitab ini ditulis pada tahun 1949
Pembantu Bagi Sekalian Orang Islam Dengan Harus Membaca Quran dan Sampai Pahalanya Kepada Sekalian Yang Mati – Kitab ini ditulis pada tahun 1950
Tuhfat Al-Qari Al-Muslim Al-Mukhtarah Mimma Ittifaqa Alaih Al-Bukhari wa Muslim – Kitab ini ditulis pada tahun 1952
Bekal Orang Yang Menunaikan Haji – Kitab ini ditulis pada tahun 1953
Penawar bagi Hati – Kitab ini ada diterbitkan dalam versi Rumi oleh penerbit Hidayah Publishers
Perisai bagi Sekalian Mukallaf – Kitab ini ada diterbitkan dalam versi Rumi oleh Hidayah Publishers dan Jahabersa.
Buku-buku yang ditulisnya dalam bidang politik dan perundangan antaranya ialah seperti Kebagusan Undang-undang Islam dan Kecelaan Undang-undang Ciptaan Manusia (1961), Siasah dan Loteri dan Alim Ulama (1962) dan Islam: Agama dan Kedaulatan (1959).
Syeikh Abdul Qadir sangat gigih mengajar tidak kira walaupun dalam keadaan sakit. Tidak langsung tampak kesakitan yang dideritainya sebaik sahaja beliau mula mengajar. Apabila ditanya oleh anak muridnya apakah beliau sudah sembuh, beliau menjawab, “kalau menangis pun bukan nak lega”. Begitulah hebatnya tokoh ulama yang berasal dari Alam Melayu ini yang sangat gigih berdakwah dan menabur ilmu kepada umat Islam tanpa mengira penat dan lelah. Pada tahun 1385 Hijriyyah (1965 Masehi), Syeikh Abdul Qadir bin Tholib menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah mengalami penyakit uzur di kakinya. Jenazahnya telah dimakamkan di perkuburan Ma`la Makkah Mukarramah.
Rujukan utama
http://www.niknasri.com/?p=1378. Dicapai pada 19 Oktober 2010
http://pondoktauhid.blogspot.com/2010/04/sheikh-qadir-mandili.html. Dicapai pada 19 Oktober 2010
http://allangkati.blogspot.com/2010/09/syeikh-abdul-qadir-bin-tolib.html. Dicapai pada 19 Oktober 2010

——————————————————————————–

[1] Anakanda kepada Tuan Guru Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani atau lebih dikenali dengan Tok Ayah Doi. Tok Ayah Doi adalah merupakan bapa mertua Pak Chu Him

Syeikh Abdul Qadir al-Mandili

Kitab al Mazhab karangan Syeikh Abdul Qadir al-Mandili

Kitab Senjata Tok Haji dan Tok Lebai susunan Syeikh Abdul Qadir al-Mandili

http://ikantongkol09-tokoh.blogspot.com/2010/10/syeikh-abdul-qadir-al-mandili-guru-di.html

Posted in Tokoh Ulama' | 1 Comment »

6 teka-teki Imam Al-Ghazali wajar jadi panduan

Posted by epondok di Februari 18, 2021

Oleh Husna Abd Halim

6 teka-teki Imam Al-Ghazali wajar jadi panduan Solat ibadah paling ringan tetapi ramai gagal melaksanakannya. – Gambar hiasan
Banyak pengajaran di sebalik jawapan diberikan ulama terkenal

Teka-teki adalah permainan yang sangat menarik. Mengimbau zaman kanak-kanak, kerap kali juga mengajukan soalan teka-teki antara satu sama lain dengan rakan sekelas sehingga ketawa terbahak-bahak.

Ini kerana pelbagai jawapan yang diberi walaupun ada kala tiada kaitan langsung dengan teka-teki itu sangat mencuit hati. Benar kata orang, teka-teki jawapannya ada kala tidak terlintas di benak fikiran dan tidak logik tetapi ketepatannya sesuai dengan soalan.
Kini, teka-teki bukan lagi menjadi permainan atau perkara yang dilakukan pada masa terluang bersama teman, tetapi dijadikan bahan bualan juruhebah di radio bagi menarik perhatian pendengar.

 

Teka-teki dalam pembelajaran

Manfaatnya begitu meluas sehinggakan sesetengah guru menggunakan pendekatan teka-teki di dalam pembelajaran bagi mengelak pelajar mengantuk atau bosan dengan cara pembelajaran yang sama setiap hari.

Tambahan pula, teka-teki sedikit sebanyak dapat menghilangkan tekanan selain dapat meningkatkan kecerdasan minda. Kita akan berusaha sedaya upaya memikirkan apakah jawapan yang tepat dan cuba menjawab dengan pantas. Jawapan teka-teki sedikit rumit dan berputar belit.
Melihat dari perspektif Islam sendiri, ada banyak kebaikan teka-teki dalam kehidupan kerana dapat memberi maklumat baru. Oleh itu, keunikan teka-teki boleh digunakan untuk mengajukan soalan yang mengingatkan kita kepada Allah SWT dan mempunyai unsur yang baik.

Enam teka-teki yang ditanya oleh Imam Al-Ghazali kepada anak muridnya boleh juga dijadikan soalan untuk kita menjawabnya. Contohnya, apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia lalu muridnya menjawab, orang tua, guru, kawan dan sahabat.

Imam Al-Ghazali berkata, semua jawapan yang diberikan adalah benar tetapi jawapan paling tepat sekali bagi soalan itu ialah mati.

Kedua, beliau bertanya apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia lalu muridnya menjawab, negara China, bulan, matahari dan bintang. Imam Al-Ghazali menegaskan, semua jawapan yang diberi adalah betul tetapi yang paling betul ialah masa lalu.

Walau dengan apa cara sekali pun, kita tidak akan dapat kembali ke masa lalu. Oleh itu, kita mesti menjaga hari ini dan hari mendatang dengan amalan soleh supaya tidak sesal di kemudian hari nanti.

Ketiga, beliau bertanya apakah yang paling besar di dunia ini lalu muridnya menjawab, gunung, bumi, matahari. Imam Al-Ghazali berkata, semua jawapan yang diberi adalah tepat tetapi yang paling tepat ialah nafsu Kita mesti berhati-hati dengan nafsu, jangan sampai nafsu mengheret kita ke neraka jahanam.
Tanggung amanah paling berat

Keempat, Imam Al-Ghazali bertanya mengenai benda paling berat di dunia lalu muridnya menjawab, besi dan gajah. Imam Al-Ghazali mengatakan, semua jawapan adalah benar tetapi yang paling benar ialah menanggung amanah. Segala tumbuhan, binatang, gunung ganang tidak sanggup memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah di bumi.

Manusia ramai yang rosak dan binasa kerana tidak mampu memikul amanah dengan baik akibat kecuaian serta kedegilan mereka mengikut lunas yang telah ditetapkan syarak.

Soalan kelima, Imam Al-Ghazali bertanyakan apakah yang paling ringan di dunia lalu muridnya menjawab, kapas, angin, debu dan awan. Imam Al-Ghazali menyatakan semua jawapan yang diberi adalah benar tetapi yang paling benar ialah meninggalkan solat kerana manusia sering mempermudah dan meringankan sembahyang disebabkan terlalu mementingkan urusan dunia.

Keenam, beliau bertanya benda yang paling tajam di dunia lalu muridnya menjawab, pedang. Imam Al-Ghazali mengatakan jawapan itu betul, tetapi yang paling betul ialah lidah manusia.

Disebabkan lidah maka manusia suka menyakiti dan melukai perasaan orang lain sehingga berlakunya perbalahan serta perpecahan.

Kita perlu sedar soalan teka-teki yang dikemukakan Imam Al-Ghazali nampak mudah untuk dijawab, namun jawapan sebenarnya berbalik pada diri manusia yang sering melakukan kesilapan dan kita patut mengambil pengajaran daripada teka-teki itu.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Jangan terlibat aplikasi tidak bermoral – Mufti Wilayah

Posted by epondok di Februari 17, 2021

KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Dr Luqman Abdullah menasihati umat Islam di negara ini agar tidak terlibat dalam aplikasi yang tidak bermoral seperti Sugarbook.

Beliau menegaskan bahawa sebarang perbuatan yang boleh mendorong kepada berlakunya perzinaan adalah dilarang menurut syarak.

“Larangan ini adalah berdasarkan kepada dalil-dalil seperti yang terdapat dalam firman Allah Ta’ala dalam surah al-Isra ayat 32 yang bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan),” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan akibat buruk bagi mereka yang terjerumus ke dalam kancah zina, antaranya dianggap sebagai dosa paling besar selepas syirik kepada Allah dan membunuh serta diharamkan syurga bagi penzina sedangkan mengetahui perbuatan itu adalah jelas dilarang.

“Larangan ke atas umat Islam daripada menyertai aplikasi Sugarbook atau mana-mana aplikasi lain yang berkaitan dengannya adalah selaras dengan prinsip sadd al-dzara’i iaitu penutupan pintu-pintu yang boleh membawa kepada perbuatan yang haram di sisi Islam,” tegasnya.

Justeru, beliau menasihati umat Islam yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral itu supaya segera bertaubat kepada Allah dan berazam untuk meninggalkan perbuatan itu selama-lamanya.

Dalam pada itu, Luqman juga menyeru supaya bermuhasabah, menginsafi serta mendekatkan diri keoada Allah dengan memperbanyakkan amal ibadah dan amal soleh.

“Yakinlah bahawa rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT itu amat luas. Janganlah sesekali berputus asa untuk mencari rezeki yang halal demi kelangsungan hidup masing-masing.

“Jauhilah perkara-perkara yang haram, nescaya akan bertambah keberkatan dalam hidup,” katanya lagi.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tasawuf: Antara syariat, hakikat dan tarekat

Posted by epondok di Februari 15, 2021

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

PADA minggu lepas, kita telah menekankan tentang tasauf sebagai ilmu yang membincangkan tentang rukun Ihsan dan juga hakikat agama Islam.

Kita juga telah menunjukkan bahawa istilah hakikat telah pun digunakan untuk merujuk kepada tahap keimanan yang tinggi yang dicapai oleh seorang yang benar-benar beriman.

Inilah yang tergambar daripada pertanyaan Nabi SAW kepada Muaz r.a yang telah kita petik serta hadis lain yang hampir sama isinya melibatkan seorang sahabat, Harithah r.a.

Formula utamanya adalah, syariat sebagai asas, manakala tarekat adalah wasilah dan hakikat pula ialah buah atau hasilnya. Tiga perkara ini sebenarnya saling melengkapi dan sebati.

Sesiapa yang berpegang dengan syariat, akan melalui tarekat, dan seterusnya akan sampai kepada hakikat. Tidak ada di antaranya pertentangan dan percanggahan.

Oleh kerana inilah, ahli sufi berkata di dalam kaedah mereka yang masyhur: “Setiap hakikat yang bersalahan dengan syariat, maka ia adalah zindiq”.

Bagaimana boleh dikatakan hakikat menyanggahi syariat, sedangkan hakikat lahir daripada proses melaksanakan syariat? (Sheikh Abdul Qadir Isa, Haqaiq ‘An al-Tasawwuf, H. 475)

Untuk menjelaskan hubungan di antara syariat dan hakikat, di sini dikemukakan satu contoh.

Misalnya solat; pergerakan dan perbuatan zahir berserta rukun-rukun dan syarat-syaratnya adalah faktor syariat yang menjadi jasad solat. Ada pun hadir hati bersama Allah di dalam solat pula merupakan faktor hakikat yang menjadi roh solat.

Amalan yang dilakukan dalam solat merupakan jasadnya, manakala khusyuk dalam solat adalah rohnya.

Apakah faedahnya jasad tanpa roh dan apakah hubungan di antara kedua-duanya? Sebagaimana roh memerlukan kepada jasad untuk mendirikan solat, begitu jugalah jasad memerlukan roh untuk tujuan tersebut.

Oleh kerana itulah, Allah SWT telah berfirman: Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. (al-Baqarah: 110). Solat tidak dapat dilaksanakan dengan sebenar-benarnya melainkan dengan roh dan jasad.

Oleh sebab itulah, di dalam firman Allah di atas, tidak disebut: ‘solatlah’, tetapi disebut ‘dirikanlah solat’.

Daripada sini terdapat hubungan yang erat di antara syariat dan hakikat sebagaimana eratnya hubungan roh dan jasad. Oleh itu, orang Mukmin yang sempurna ialah yang menghimpunkan di antara syariat dan hakikat.

Inilah inti seruan para ahli sufi kepada umat manusia sebagai mengikut kesan dan jejak Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya. (Isa, Haqaiq, H. 474)

Untuk sampai kepada kedudukan yang tinggi dan keimanan yang sempurna, seseorang perlu mengikut jalan tarekat, iaitu bermujahadah melawan nafsu, mendaki daripada sifat kekurangan kepada sifat yang sempurna dengan mendampingi guru mursyid.

Inilah jambatan yang akan menyampaikan seseorang daripada syariat kepada hakikat.

Berkata Imam sufi, Sheikh Ahmad Zarruq r.a: “Tidak ada tasauf melainkan dengan fikah, kerana tidak akan diketahui hukum-hakam Allah yang zahir melainkan dengan syariat. Tidak ada fikah melainkan dengan tasauf kerana tidak ada suatu amalan melainkan dengan siddiq (benar) dan bertawajjuh (mengadapkan diri) kepada Allah. Tidak ada kedua-duanya (tasauf dengan fikah) melainkan dengan keimanan, kerana tidak sah salah satu daripadanya tanpa iman.

“Jadi semuanya menjadi wajib pada hukum sebagaimana wajibnya jasad bagi roh. Tidak ada kewujudan bagi roh melainkan di dalam jasad sebagaimana tidak adanya kehidupan bagi jasad melainkan dengan roh, maka fahamilah”. (Qawaid al-Tasawwuf, H. 4)

Tasauf dan tarekat

Istilah tarekat adalah antara istilah dunia tasauf yang sering cuba dimomokkan oleh sesetengah pihak. Seolah-olah semua tarekat sufi yang ada itu adalah sesat dan menyesatkan.

Ada buku terjemahan di negara kita yang menyenaraikan nama tarekat-tarekat arus perdana tasauf, menyatakan dengan berani bahawa semua tarekat ini mengandungi kesesatan!

Sebenarnya, tidak ada bidang dan ilmu yang tidak disusupi oleh mereka yang menyeleweng daripada arus perdana bidang tersebut. Begitulah tasauf dan tarekat.

Cuma jika kita merujuk kepada para ahli bidang tasauf, kita akan mudah membezakan tarekat yang benar dan tarekat yang palsu dan sesat.

Apakah sebenarnya tarekat? Menurut al-Jurjani r.h dalam kitabnya al-Ta’rifaat: “Tarekat adalah jalan yang khusus bagi ahli salikin (orang yang berjalan) menuju kepada Allah dengan melalui pelbagai rintangan dan peningkatan pelbagai makam”. (Al-Jurjani, Ta’rifaat H: 94).

Mufti Mesir, Dr. Ali Jum’ah, dalam fatwanya yang berkaitan menyatakan bahawa tasauf adalah suatu program atau modul pendidikan yang menumpukan kepada penyucian diri manusia daripada segala penyakit hati yang menghijabnya daripada Allah SWT.

Beliau turut mentakrifkan tarekat sebagai madrasah yang menjurus kepada proses penyucian diri dan pembaikan akhlak sedangkan sheikh tarekat ialah individu yang dipertanggungjawabkan memimpin proses tersebut.

Tarekat-tarekat ini berbilang-bilang disebabkan beberapa faktor termasuk tabiat semulajadi manusia yang berbeza-beza. Ini seperti yang dapat kita perhatikan dalam berbezanya jawapan Nabi SAW apabila ditanya tentang amalan soleh yang paling utama.

Baginda SAW memberi jawapan yang sesuai dengan orang yang bertanya. Perbezaan ini juga berdasarkan pengalaman dan ijtihad yang berbeza dalam mentarbiyah diri yang dipunyai oleh para guru tasauf selagi ia tidak terkeluar batasan al-Quran dan sunnah.

Namun, ini tidak bermakna kita boleh merujuk terus kepada dua sumber ini untuk mengenalpasti proses pendidikan tasauf yang benar.

Dr. Ali Jum’ah menegaskan, seperti mana ilmu-ilmu lain memerlukan perantaraan para ulama untuk menggali ilmu tersebut daripada dua sumber utama ini, begitu juga kita perlu merujuk kepada para ulama tasauf untuk menggali ilmu tasauf.

Jika tarekat dalam ilmu tasauf itu difahami dalam konteks ini, maka ia akan kelihatan selari dan serasi dengan kerangka agama Islam.

Maka jadilah ia seperti kata-kata Ibnu ‘Abidin r.h di dalam kitabnya yang masyhur, Radd al-Mukhtar: “Tarekat adalah jalan yang khusus bagi Ahli Salikin dengan mengharungi pelbagai rintangan dan melalui peningkatan makam-makam…Hakikat adalah musyahadah (menyaksikan) akan Tuhan dengan mata hati. Dikatakan juga, bahawa ia adalah rahsia maknawi yang tidak terbatas dan bertempat.

“Hakikat, tarekat dan syariat saling melazimi kerana jalan menuju kepada Allah mempunyai zahir dan batinnya. Zahirnya ialah syariat dan tarekat. Manakala batinnya adalah hakikat.

“Hakikat berada di dalam syariat dan tarekat sebagaimana pati susu yang berada di dalam susu. Pati susu tidak akan dapat diminum bersama air susu, sekiranya tidak digaulkan.

“Oleh hal yang demikian, maksud ketiga-tiga perkataan tersebut (syariat, tarekat dan hakikat) adalah mendirikan penghambaan kepada Allah sebagaimana yang dikehendaki daripada seseorang hamba”. (Isa, Haqaiq, H. 477-478)

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Kedudukan tasawuf dalam Islam

Posted by epondok di Februari 14, 2021

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

  Tidak lengkap agama seseorang tanpa rukun Islam, iman dan ihsan.  

PADA minggu ini marilah kita memahami di mana letak duduknya tasauf dalam kerangka agama kita. Setiap Muslim perlu benar-benar memahami bahawa agama Islam itu terdiri daripada tiga rukun iaitu Islam, iman dan ihsan.

Setiap rukun saling perlu memerlukan dalam mencapai kesempurnaan al-Din (agama) seseorang manusia. Tidak lengkap agama seseorang tanpa ketiga-tiga rukun tersebut.

Pembahagian agama ini telah disebut di dalam hadis Jibril a.s yang masyhur dan panjang itu. Rasulullah SAW telah menegaskan bahawa dialog antara baginda SAW dan Jibril a.s adalah untuk mengajar tentang al-Din agama itu sendiri.

Dalam hadis tersebut, rukun ihsan telah dijelaskan oleh Nabi SAW sebagai: Ihsan itu adalah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, tetapi jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu. (riwayat Muslim dan Imam Ahmad dalam Musnadnya)

Hadis ini menjelaskan tentang rukun-rukun dalam agama. Sangat wajarlah jika hadis ini yang sering ditekankan di tengah masyarakat agar mereka memperoleh tasawur (world view) yang lebih lengkap tentang agama.

Sebaliknya, terlalu menekankan hadis tentang bidaah akan memberi kesan yang berbeza.

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah (691 H – 751 H) mensyarahkan perkataan al-Harawi di atas dengan katanya: “Asal tarekat adalah untuk menyempurnakan makrifat, melazimkan muraqabah kepada Allah dalam setiap gerak geri, hembusan nafas dan langkah sehingga hati dikuasai oleh kebenaran dan terputus darinya segala hubungan keduniaan”.

Daripada sini, dapat difahami bahawa rukun ihsan itu terbahagi kepada dua tahap iaitu muraqabah dan musyahadah.

Di dalam hadis di atas, musyahadah (kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya), disebut sebelum muraqabah (sekiranya kamu tidak melihat-Nya, maka Allah memandang kamu).

Ini menunjukkan ketinggian dan kemuliaan musyahadah melebihi muraqabah.

Dalam suluk atau perjalanan kerohanian tasauf dan peningkatan tahapnya atau dikenali juga sebagai makam, biasanya dimulai dengan muraqabah. Dengan berterusan atas muraqabah, seseorang itu akan diwariskan pula dengan musyahadah.

Keselarian sifat dua makam utama dalam ilmu tasauf ini dengan rukun ihsan jelas menunjukkan bahawa tasauf menempati kedudukan yang sangat asasi dalam agama kita.

Tasauf sebagai hakikat agama

Tasauf sebagai rukun ihsan juga turut diistilahkan oleh para ulama bahawa ialah adalah hakikat agama. Cuma harus diingat, penggunaan istilah hakikat di sini adalah dalam konteks yang khusus dan bukannya dengan erti sesuatu yang berlawanan dengan dakwaan atau gambaran.

Tasauf sebagai hakikat agama difahami sebagai salah satu dimensi dan rukun yang tidak terpisah dengan syariat. Hakikat dan syariat bukannya saling bercanggah sebaliknya berjalan seiringan dan saling memerlukan.

Dalam hal ini, telah masyhur kata-kata Imam Malik r.a: “Sesiapa yang belajar tasauf tetapi tidak mempelajari ilmu fikah (dan tauhid), maka ia adalah zindiq. Sesiapa yang belajar ilmu fikah (dan tauhid) tetapi tidak belajar tasauf maka ia adalah fasik, dan sesiapa yang mengumpulkan kedua-duanya maka ia adalah ahli hakikat”.

Golongan yang pertama dikira zindiq kerana hanya memandang kepada hakikat tanpa disertai dengan syariat.

Golongan yang kedua dianggap fasik kerana tidak masuk ke dalam hatinya cahaya ketakwaan, rahsia keikhlasan, peringatan muraqabah dan jalan muhasabah sehingga dia tidak mengenal pasti maksiat yang dilakukan.

Golongan yang ketiga menjadi ahli hakikat kerana dia mengumpulkan kesemua rukun agama; iaitu iman, Islam dan ihsan sebagaimana yang dihimpunkan di dalam hadis Jibril di atas. (Al-Muhaddith Abdullah al-Ghumari, Al-I’lam Bianna al-Tasauf min Syariah al-Islam, H: 25)

Melihat tasauf sebagai hakikat agama juga disandarkan oleh para ulama kepada hadis Muaz ibn Jabal r.a yang telah dikeluarkan Abu Nu’aim r.a di dalam Hilyah al Auliya’ daripada Anas ibn Malik r.a, bahawa Muaz ibn Jabal bertemu Rasulullah SAW, maka nabi SAW bersabda: “Bagaimanakah keadaan kamu pada pagi ini, wahai Muaz?” Jawab Muaz r.a, “Aku pada pagi ini benar-benar beriman kepada Allah SWT”. Sabda Rasulullah SAW,

“Sesungguhnya setiap perkataan ada tanda kebenarannya, setiap kebenaran ada hakikatnya, maka apakah tanda kebenaran yang kamu katakan?” Jawabnya, “Wahai Nabi Allah! Tidaklah aku berpagi-pagi pada setiap pagi, melainkan aku menyangka bahawa usiaku tidak sampai ke petang, dan tidaklah aku berpetang-petang melainkan aku menyangka bahawa umurku tidak akan sampai ke Subuh. Tidaklah aku melangkah dengan satu langkah melainkan aku menyangka bahawa aku tidak akan berkesempatan melangkah seterusnya dan aku seolah-olah sedang melihat sekalian umat yang sedang duduk diseru melihat kitabnya (buku catatan amalan masing-masing untuk dihisab) bersamanya ada nabinya dan berhala-berhala yang telah mereka sembah selain Allah, dan seolah-olah aku sedang melihat kepada balasan azab ahli neraka dan balasan pahala ahli syurga”.

Sabda Baginda SAW, “Engkau telah mengetahuinya, maka teruskanlah (apa yang telah diamalkan oleh Muaz r.a tersebut sehingga dikurniakan nikmat yang disebutkan di atas)”.

Kita mencadangkan di sini bahawa kunci kepada memahami tasauf adalah dengan mendekatinya sebagai ilmu yang menghuraikan rukun ihsan dan hakikat agama kita.

Dengan izin-Nya, kita akan mengembangkan perbincangan tentang perkara ini dengan turut mengaitkannya dengan satu lagi istilah yang sangat rapat dengan tasauf dan sering menjadi punca kekeliruan iaitu tarekat.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »