Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

WAS-WAS PADA ILMU

Posted by epondok di Januari 27, 2021


         Siri Pertama

 Punca Kerosakan Akhlak    Krisis keyakinan  terhadap  sesuatu ilmu yang dipelajari terutama ilmu agama menjadi suatu sinonim negatif yang semakin teruk melanda para remaja hari ini. Mereka tidak mampu mengimbangi  antara ilmu yang diperolehi dengan suasana persekitaran yang mana kebanyakannya bertentangan dengan apa yang dipelajari di sekolah  atau   pusat pengajian yang lain. Sesuai dengan keadaan yang baru mulai belajar cara untuk berdikari , mereka seringkali tertewas dengan godaan  kehendak darah muda  yang sentiasa inginkan keseronokan dan kebebasan yang tidak terbatas.. Ilmu agama yang dipelajari bagaikan melayang apabila mereka berada di luar daripada suasana pengajian. Mereka  seolah-olah diminta untuk mengetahui sahaja tentang kebaikan dan kejahatan sesuatu perkara  itu tanpa ada di sana sesuatu perasaan  untuk mengamalkan apa yang baik dan menjauhi apa yang dilarang oleh  agama. Nafsu dan darah muda yang  bergelora hebat dalam jiwa remaja ini sering mengheret mereka untuk terjebak dalam kancah  pepejat  sosial yang semakin menjadi-jadi.  Kebanyakan  remaja  hari ini tahu tentang kesilapan dan kesalahan yang mereka lakukan berdasarkan ilmu yang dipelajari tetapi perasaan ihsan iaitu sentiasa merasai bahawa diri mereka sentiasa di jaga oleh malaikat Raqib dan ‘Atid serta keyakinan yang mengingatkan mereka tentang  setiap gerak geri mereka di kawal oleh Allah  Ta’ala  tidak menyelinap di sanubari. Memang tidak dinafikan bagaimana  ramai  juga  para  remaja hari ini yang kurang berpengetahuan tentang agama dan golongan inilah yang lebih mudah terjerumus ke kancah  salah laku yang membimbangkan bukan sahaja  kepada keluarga tetapi merebak dalam masayarakat  malah membebankan negara.

Bahana Ilmu Tidak Diamalkan

        Krisis keyakinan terhadap sesuatu ilmu yang dipelajari terutama yang membabitkan ilmu agama secara khusus atau fardhu ‘ain, menyebabkan para remaja hanya layak dipanggil sebagai seseorang yang berpengetahuan sahaja dalam sesuatu bidang tetapi  segala ilmu itu tidak mampu digunakan dalam membina sakysiah atau keperibadian yang benar-benar taat dan patuh kepada suruhan Allah dan rasulNya. Pemisahan antara ilmu fardhu kifayah seperti sains, geografi, sejarah dan lain-lain lagi daripada ruh agama juga menyebabkan para pelajar menganggap bahawa ilmu-ilmu tersebut tidak ada kaitannya dengan agama sedangkan ianya merupakan  sebahagian daripada ilmu Allah yang menjelaskan lagi tentang kehebatan dan kekuasaan Allah. Ilmu Allah begitu luas sehingga diibaratkan sebagaimana air dilautan yang luas terbentang di mana ilmu yang kita perolehi walau pun diteroka begitu lama dan mendalam tetapi dibaratkan tidak lebih daripada seseorang yang meletakkan jarinya di dalam lautan tersebut dan kemudiannya mengangkatnya serta dilihat air yang melekat dijarinya. Itulah ia ilmu yang telah dipelajari berbanding dengan ilmu Allah yang maha luas itu. Sebagai warganegara sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama  rasmi sepatutnya setiap ilmu yang dipelajari mesti diterapkan atau pun dikaitkan dengan Islam agar  ruh agama terus hidup subur dalam sanubari para  remaja. Para guru dan tenaga pengajar yang beragama Islam mestilah mengikut teknik dan kaedah yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w dalam  menyampaikan ilmu kepada manusia agar mereka sendiri dan para pelajar mampu mengetahui tentang kelengkapan Islam dan supaya  ruh Islam tersemat kemas dalam hati  sehingga mampu  menongkah krisis keyakinan yang menghantui diri sebelum ini.

Kaedah Tarbiah Berkesan

        Kaedah ini dapat kita lihat melalui ayat  2 surah  al-Jumaat yang bermaksud : Dialah yang  telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang arab yang ummiy (buta huruf) , seorang rasul daripada bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka ( daripada aqidah yang sesat), serta mengajarkan kepada mereka kitab Allah ( al-Quran ) dan hikmat (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. 

        Daripada ayat ini dapat kita lihat beberapa teknik atau pun kaedah dalam  memastikan segala ilmu yang diajar dapat menyerap ke dalam hati para pelajar beserta dengan iman sehingga ilmu itu mampu menjadi pendinding kepada mereka daripada terseret ke lembah maksiat  yang  bermaharajalela di sekeliling mereka. Kaedah yang pertama ialah memastikan  penyampaian ilmu itu berasaskan al-Quran dengan membaca dalilnya samada daripada al-Quran atau pun hadis Rasulullah s.a.w. Kemudian hati dan minda pemikiran para pelajar mesti dibersihkan daripada pengetahuan yang bertentangan dengan  apa  yang diberitahu oleh Allah dan rasulNya. Setelah keadaan pelajar ini telah diketuk hati mereka dengan bacaan al-Quran serta dibersihkan daripada pemahaman yang bercanggah dengan al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w, barulah para guru menyampaikan ilmu pengetahuan yang berkenaan dengan penuh hikmat bukannya secara  sambil lewa. Melalui kaedah ini sahajalah para pelajar akan memahami segala ilmu dengan penuh yakin bersama-sama dengan serapan iman ke dalam hati mereka Apabila kaedah ini tidak dilakukan secara sempurna maka kita dapat lihat berlakunya  kecelaruan pada diri pelajar termasuk pelajar agama sendiri kerana ilmu yang mereka perolehi tidak terserap bersama keimanan kerana diri mereka sendiri dikotori dengan najis dosa dan tidak pula dicuci  dengan taubat yang sebenar. Ingatlah bahwa ilmu itu adalah cahaya dan sesungguhnya cahaya Allah itu tidak akan dianugerahkan kepada mereka yang berbuat maksiat.
 


Rujukan :
1. Al-Quran Al-Karim
2. Dr Solah al-Khalidi, Thawabit lil Muslim al-Mu’asir, Maktab Islami, cet. kedua 1991

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: