Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Disember 2020

Golongan Ahlussunnah menurut Imam al-Baghdadi

Posted by epondok di Disember 4, 2020

Oleh DR. ASMADI MOHAMED NAIM

SAYA membaca tulisan mengenai makna atau definisi Ahlu al-sunnah wal Jamaah (ASWJ) daripada seorang penulis mingguan pada pertengahan November 2009 lepas. Penulis mengutip definisi Ahlussunnah yang ditulis oleh Imam al-Baghdadi (wafat429H) dalam kitabnya, al-Farq Baina al-Firaq.

Namun malangnya perkataan al-turuq al-sifatiah atau ‘jalan-jalan sifat’ dalam definisi tersebut diabaikan. Walhal, itulah antara perkara yang penting untuk menentukan sama ada tauhid yang mensyarahkan sifat-sifat 20 adalah sesuatu yang baru atau sememangnya sudah lama.

Pada saya, ada sedikit masalah ‘ketidakjujuran ilmu’, bila dia tidak menerangkan secukupnya maksud al-Baghdadi apabila mensyarahkan pengertian ASWJ.

Demikian juga, ada sebuah lagi penulisan yang menceritakan aliran pemikiran tauhid di Nusantara, yang merujuk bahawa aliran yang mensyarahkan Sifat 20 hanyalah muncul selepas tahun 1,000 Hijrah melalui Imam Sanusi dengan kitabnya Umm al-Barahin.

Penulis tidak merujuk kemunculan metod tersebut kepada penyusunnya yang sebenar iaitu Abu Hassan al-Asy’ari (wafat324H) yang muncul pada akhir kurun ke 3 Hijrah. Ini masalah ‘sikap amanah’ dalam penulisan.

Dalam kesempatan ini, saya hanya mahu menjelaskan siapakah Ahlussunnah menurut penulisan Imam al-Baghdadi yang telah menjadi rujukan definisi ASWJ supaya pembaca dapat memahaminya secara jelas.

Beliau menyatakan (hal.19): “Maka golongan yang ke 73 ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu golongan ahl al-ra’y (Ibu Hanifah dan murid-muridnya) dan ahlu al-hadis; bukan mereka yang mempermain-mainkan hadis; dan ulama fikah mereka, penghafal al-Quran mereka, perawi hadis daripada mereka, dan ulama hadis di kalangan mereka, semuanya sepakat atas keesaan Pencipta, keesaan sifat-sifat-Nya, keadilan-Nya, hikmah-Nya dan nama-nama-Nya dan pada bab kenabian dan kepimpinan, hukum hudud dan pada perkara usuluddin.”

Seterusnya, Imam al-Baghdadi Rahimahullah memperincikan lapan golongan yang termasuk dalam Ahlusunnah wal Jamaah (lihat bukunya dari halaman 240-243):

Golongan pertama, mereka yang menguasai ilmu khususnya dalam bab Tauhid (meng-esa-kan Allah) dan kenabian, hukum-hukum wa’ad (khabar gembira) dan wa’id (ancaman seksa), pahala dan balasan, syarat-syarat ijtihad, pemerintahan dan kepimpinan. Mereka yang melalui jalan ini ialah ulama Kalam (Tauhid) yang bebas dari fahaman tasybih (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk) dan bebas daripada fahaman ta’til (yang menafikan sifat-sifat yang Azali bagi Allah SWT), dan bebas daripada bidaah al-Rafidhah, Khawarij, Jahmiah, Najariah dan seluruh pengikut bidaah dan hawa nafsu.

Golongan kedua ialah imam-imam fiqh sama ada kumpulan yang cenderung pada rakyun (dalil aqal) atau hadis. Iaitu mereka yang beriktikad (berkeyakinan) pada perkara usuluddin dengan mazhab-mazhab sifat pada Allah dan pada sifat-sifatnya yang azali (membicarakan sifat-sifat Allah SWT sebagaimana sifat 20), dan mereka bebas daripada fahaman Qadariah dan Muktazilah; mereka menetapkan melihat Allah Taala dengan mata (di akhirat kelak) dengan mata tanpa tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), tanpa ta’til’ (menafikan sifat-sifat Allah). Termasuk dalam golongan ini ialah murid-murid kepada Malik, al-Shafie, al-Auza’i, al-Thauri, Abu hanifah, Ibn Abu Laila (wafat148H), sahabat-sahabat Abu Thaur (wafat240H), sahabat-sahabat Ahmad bin Hanbal (wafat241H), ahli al-Zahir, keseluruhan ulama fiqh yang beriktikad dalam bab-bab akal ini dengan prinsip-prinsip Sifat (tauhid yang membahaskan Sifat-sifat Allah). Dan mereka tidak mencampurkannya dengan apa-apa daripada ahli bidaah dan hawa nafsu.

Golongan ketiga ialah mereka yang menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan periwayatan hadis dan sunnah yang disampaikan oleh Nabi SAW, mereka berupaya membezakan antara sahih dan cacat antaranya, mengetahui sebab-sebab al-jarh wa al-ta’dil (kredibiliti seorang rawi) dan mereka tidak memasukkan ilmu mereka dengan apa-apa daripada ahli bidaah dan nafsu yang menyesatkan.

Golongan keempat ialah kaum yang menguasai kebanyakan topik-topik sastera Arab, nahu dan saraf. Mereka berada atas jalan pakar bahasa seperti al-Khalil (wafat175H), Abu ‘Amr bin al-‘Ala (wafat 145), Sibawaih (wafat 180H), al-Farra’ (wafat 207H), al-Akhfash (wafat 215H), al-Asma’i, al-Mazini (wafat 236H), Abu Ubaid (wafat 224H) dan seluruh imam-imam Nahu sama ada ulama-ulama Kufah atau Basrah, yang mana mereka tidak mencampurkan ilmu mereka dengan sesuatu daripada bidaah al-Qadariah, atau Rafidhah atau Khawarij.Maka sekiranya seseorang itu cenderung ke arah nafsu yang menyesatkan, maka bukanlah ia daripada golongan Ahlussunnah walaupun kata-katanya adalah ‘hujah’ dalam ilmu bahasa dan Nahu.

Golongan kelima, antaranya ialah mereka yang menguasai ilmu yang berkaitan dengan jenis-jenis qiraat untuk al-Quran dan jenis-jenis tafsiran al-Quran, penakwilannya berdasarkan mazhab-mazhab Ahlussunnah, tanpa berpegang dengan takwilan ahli nafsu yang sesat.

Golongan keenam ialah, antaranya ialah para ahli zuhud sufi yang mempunyai ilmu maka jauh pandangan, yang telah dinilai maka ia diiktibarkan, mereka reda dengan hidup yang ringkas, mereka mengetahui bahawa penglihatan, pendengaran dan hati dipertanggungjawabkan terhadap kebaikan dan kejahatan; menghisab dengan neraca zarah-zarah, justeru menyediakan diri mereka dengan sebaik-baik persiapan untuk hari Kiamat. Perkataan mereka berjalan di atas dua jalan iaitu secara jelas dan isyarat di atas jalan ahli hadis, tanpa mereka ‘membeli’ pandangan yang mempermainkan hadis. Mereka tidak melakukan kebaikan kerana riak, tidak pula meninggalkan kebaikan kerana malu kepada orang lain. Agama mereka hanya satu dan menafikan pentasybihan (menyerupakan Allah dengan makhluk), mazhab mereka ialah tafwidh (menyerahkannya) kepada Allah SWT, bertawakal kepada-Nya, penyerahan kepada-Nya, tenang dengan apa yang direzekikan-Nya.

Golongan ketujuh ialah, antaranya kaum yang terikat dengan barisan hadapan peperangan dengan orang-orang kafir, berjihad melawan musuh-musuh Islam, mereka menjadi benteng melindungi umat Islam, meninggalkan isteri-isteri mereka dan negara mereka dan menzahirkan pada barisan hadapan mereka Mazhab ASWJ.

Golongan kelapan ialah, antaranya kebanyakan negara-negara yang secara kebiasaannya terdapat syiar ASWJ, bukannya negara yang menzahirkan syiar ahli hawa-nafsu yang sesat.

Itulah huraian sebenar al-Imam Abdul Qahir bin Tohir bin Muhammad al-Baghdadi. Rupanya, ramai sebenarnya yang diiktiraf sebagai Ahlussunnah. Ia berbeza dengan pandangan yang meminoritikan dan mengeksklusifkan ASWJ hanya untuk golongannya sahaja, dengan tuduhan sesat dan bidaah pada perkara remeh-temeh seperti qunut, talkin, zikir selepas solat, berdoa beramai-ramai dan sebagainya.

Lihat kata Imam al-Baghdadi tentang perkara-perkara cabang (hal. 19): “Mereka (ASWJ) hanya khilaf mengenai halal dan haram pada cabang hukum, bukanlah khilaf tersebut mengundang kepada sesat dan fasik; mereka adalah puak yang terselamat, kerana mereka bersatu pada keesaan Pencipta dan qidam-Nya, qidam segala sifatnya sejak azali, dan harus melihat-Nya tanpa sebarang perumpamaan dan gangguan, serta yakin terhadap isi kandungan kitab-Nya dan rasul-Nya, dan mengikut segala syariat Islam dan menghalalkan segala yang dihalalkan oleh al-Quran, dan mengharamkan segala yang diharam oleh al-Quran serta menerima apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan beriman pada hari kebangkitan dan perhitungan, dan soal dua Malaikat dalam kubur, beriman dengan telaga Kauthar dan Timbangan.

Semoga masyarakat Islam tidak terbelenggu dengan perpecahan yang lebih parah, lantaran perkara-perkara tersebut.

Banyak masa yang perlu digunakan untuk memperbetulkan generasi muda yang menyongsang arus dengan pelbagai gejala sosial. Wallahu a’lam.

Posted in Fokus Isu, Klinik Agama | Leave a Comment »

Keperluan bermazhab

Posted by epondok di Disember 3, 2020


Abdul Latif Rahbar
Kita tidak berijtihad, tetapi kita memilih salah satu dari dua pendapat imam-imam. Bagaimana pula ini dikatakan sebagai ijtihad? Mengapa kita hanya perlu mengikut satu mazhab sahaja? Tidak bolehkah kita mencampur-adukkan semua pendapat dan memilih yang terbaik?

Menjawab persoalan di atas, ijtihad bermakna mengeluarkan pendapat. Apabila terdapat dua pendapat yang berlainan, memilih salah satu dari kedua pendapat itu juga dikira sebagai ijtihad. Ikhtilaf yang timbul antara mazhab hari ini sebenarnya adalah ikhtilaf dan perbezaan pendapat sejak zaman para sahabat lagi.

Sekiranya terdapat percanggahan pendapat antara dua sahabat, maka imam-imam akan terlebih dahulu meneliti yang mana satukah antara percanggahan tersebut yang lebih menepati syarak.

Hasilnya adalah ikhtilaf yang kita lihat pada hari ini. Imam Abu Hanifah lebih condong dalam memilih pendapat Ibnu Mas’ud misalnya dan Imam Syafie lebih kepada Ibnu Abbas. Tidaklah bermakna mereka tidak mengetahui pendapat sahabat-sahabat yang lain.

Jadi, apabila kita melihat terdapat dua pendapat yang berlainan, maka memilih salah satu ke atas yang lain juga dikira sebagai ijtihad kerana ini jualah amalan imam-imam mujtahid yang terdahulu. Dan untuk kita memilih salah satu dari pendapat tersebut kita mestilah mempunyai dalil dan nas yang cukup di samping mengetahui kesemua dalil dan nas, pro dan kontra masalah berkenaan.

Alasan bahawa kita tidak mengeluarkan pendapat dan masih berpegang kepada pendapat seseorang imam tanpa mengikut imam tersebut dalam lain-lain masalah adalah tidak dapat diterima sama sekali. Oleh itu sekiranya ada dalam kalangan kita yang mahu berbuat demikian, hendaklah dia fikirkan kesemua jawapan terhadap persoalan yang bakal dibangkitkan dari segi bahasa, usul, hadis dan lain-lain sebelum dia memilih untuk memilih sebarang pendapat kerana inilah yang telah dilakukan oleh mujtahid-mujtahid terdahulu.

Pernah satu ketika Khalifah Harun ar-Rashid mencadangkan kepada Imam Malik agar disatukan kesemua mazhab dan diambil yang terbaik. Jawapan Imam Malik ialah kesemua perbezaan pendapat adalah berdasarkan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Sekiranya diambil satu sahaja dari kesemua perbezaan tersebut dan ditinggalkan yang lain sedangkan ada kemungkinan yang ditinggalkan itu sebenarnya tepat maka seolah-olah kita meninggalkan sunnah Nabi s.a.w. Jadi tiada keperluan untuk menyatukan semua mazhab apabila kesemua sunnah Nabi s.a.w dapat diamalkan walaupun oleh berlainan puak.

Majoriti ummah pada hari ini membaca al-Quran dengan riwayat Hafs daripada Imam ‘Asim al-Kufi. Seperti yang diketahui umum, terdapat 10 qiraat hari ini yang masih boleh dibaca dalam solat. Di utara Afrika misalnya mereka membaca al-Quran dengan riwayat Qalun atau Warsh dari Imam Nafi’ Madani. Ulama qiraat mengatakan bahawa qiraat yang boleh dibaca pada hari ini hanyalah sepuluh dan setiap sepuluh qiraat tersebut mencapai darjat mutawatir (terlalu ramai bersepakat mengenai cara pembacaannya sejak zaman Rasulullah s.a.w sehingga kini sehingga mustahil untuk mereka berkomplot untuk menipu mengenainya).

Semua ahli qiraat bersetuju bahawa diperbolehkan untuk membaca kesemua qiraat dalam satu tilawah dengan cara kita membaca setiap ayat beberapa kali di samping mengkhatamkan setiap cara bacaan. Ataupun kita kumpulkan kesemua qiraat tanpa mengulang ayat tersebut berulang kali, sebaliknya menghabiskan setiap qiraat terhadap setiap perkataan. Untuk memahami hal ini lebih lanjut kita bolehlah mendengar tilawah dari Syeikh Abdul Basit atau dari bacaan Syeikh Na’ina misalnya.

Pun begitu ahli qiraat mengatakan ketika tilawah tidak dibolehkan membaca satu ayat dalam sesuatu qiraat, kemudian membaca ayat yang berikutnya dalam qiraat yang lain kerana perkara ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pihak. Hal ini disepakati oleh semua sama ada pihak yang bermazhab atau selainnya. Jadi sekiranya kita tidak boleh mengambil qiraat dan membacanya bercampur-aduk dengan sesuka hati, bagaimana pula kita boleh mencampur-adukkan pendapat antara mazhab sesuka-hati?

Mengapa golongan yang tidak bermazhab dalam bidang fiqh bertaqlid dengan Imam Hafs dan Imam ‘Asim dalam bidang qiraat? Mengapa tidak mengatakan bahawa Imam ‘Asim tidak pernah memaksa sesiapun untuk bertaqlid dengan beliau? Mengapa soalan-soalan yang sering diutarakan dalam perbahasan fiqah langsung tidak pernah diutarakan dalam ilmu qiraat?

Sekiranya kita berpendapat perlu kita bertaqlid dengan Imam qiraat, maka tidak dapat tidak kita juga mesti bertaqlid dengan imam-imam mujtahidin.

Posted in Fokus Isu, Klinik Agama | Leave a Comment »

Jauhi Fitnah Dajjal

Posted by epondok di Disember 2, 2020

DAJAL ini sebenarnya satu nama dalam bahasa Arab yang berada dalam acuan kata yang merujuk kepada makna terlalu atau melampau atau berlebihan (sighah mubalaghah).

Dalam kamus bahasa Arab contohnya Lisanul Arab, Ibn Manzur mengemukakan salah satu makna perkataan Dajal itu merujuk kepada menutup kebenaran dengan ramainya pengikut.

Dalam kamus al-Wasit pula, Dajal bermaksud pembohong besar. Yusuf al-Wabil menjelaskan dalam karya beliau Asyrat al-Sa’at, yang sudah diterjemahkan ke dalam bahasa nusantara oleh Pustaka Ibn Kathir, dajal ini membawa makna mencampur adukkan. (Rujuk buku Kiamat sudah Dekat, terbitan Pustaka Ibn Kathir, Jakarta).

Mengikut hadis riwayat Imran bin Husain ra, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sejak penciptaan Adam sampai ke hari kiamat tidak ada suatu makhluk yang lebih dahsyat fitnahnya dari dajal.” (Riwayat Muslim No 7582).

Berdasarkan takrifan dan hadis di atas, kesimpulannya, dajal adalah seorang lelaki kecenderungannya untuk menutup kebenaran dengan kebatilan atau dia menutup kejahatannya di hadapan manusia dengan pembohongannya.

Berkaitan dengan perkara ini Nabi SAW su-dah bersabda yang bermaksud: “Dan sesungguhnya akan ada pada umatku, 30 orang Daj-jal iaitu pembohong besar. Setiap mereka me-ngaku menjadi nabi. Semuanya akan berbo-hong terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya. Aku adalah penutup sekalian nabi. Tidak ada seorang nabi pun selepasku. (Riwayat Ahmad No 10073, Abu Daud No 4336, Abu Ya’la No 5810).

Dalam kitab Dalail an-Nubuwwah karangan al-Baihaqi, Nabi SAW sudah menyenaraikan nama mereka, antaranya al-Aswad al-Ansi, Musailamah, al-Mukhtar dan lain-lain. Nabi SAW turut menyebut dalam hadis yang sama, kabilah Arab paling jahat iaitu Bani Umayyah, Bani Hanifah dan Thaqif kerana menolong kalangan pendusta itu. (Riwayat al-Baihaqi dalam Dalail al-Nubuwwah No 2825).

Menurut keterangan yang dikemukakan oleh Nabi SAW dalam banyak hadis dajal ini adalah seorang lelaki yang masih muda, berkulit merah, pendek, keningnya lebar, dadanya lebar, mata kanannya buta dan keadaannya seperti buah anggur yang menonjol, sementara di atas mata kirinya ada daging yang tumbuh, antara dua matanya tertulis huruf kaf, fa` dan ra` secara terputus-putus. Jarak antara dua betisnya berjauhan dan rambutnya kerinting. Huruf-huruf yang terpampang di atas dahinya itu dapat dibaca oleh setiap Muslim. Dan antara sifatnya yang lain adalah dia mandul dan tidak memiliki anak.

Imam Nawawi menjelaskan dalam Syarah Muslim, tulisan pada dahi dajal ini nampak dengan jelas. Ia adalah hakiki, yang dijadikan Allah SWT sebagai tanda pelbagai kekufuran, pembohongan dan kejahatannya.

Dajal ini suatu ujian yang timbul pada akhir zaman kepada manusia. Dajal turut dikurniakan oleh Allah SWT kelebihan yang amat luar biasa seperti menghidup dan mematikan manusia. Dia juga mampu memberikan kesenangan kepada pihak yang menyokongnya dan menganiayai pihak yang menentangnya. Dia memiliki syurga dan neraka dan kemampuan menurunkan hujan. Bagaimanapun, semuanya terjadi dengan kehendak Allah SWT. Dalam hadis, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya bersama dengannya ada air dan api, maka apinya adalah api yang dingin dan airnya seperti api. Maka janganlah kamu terpedaya.” (Riwayat Muslim No 7553).

Kesimpulannya, saya kemukakan penjelasan al-Qadhi Iyadh, beliau berkata, maksudnya: “Hadis-hadis diriwayatkan Imam Muslim dan yang lain adalah hujah yang benar yang menetapkan kewujudan dajal.

Sesungguhnya dia adalah manusia secara hakiki dijadikan Allah SWT sebagai ujian untuk hamba-hamba-Nya dengan cara yang sudah ditentukan, berupa kemampuan menghidupkan orang yang dia sudah bunuh dan kelihatan segala macam kegemerlapan dunia dengan kesuburan bersamanya, syurga dan nerakanya, dua sungainya dan khazanah bumi yang mengikutinya, perintahnya agar hujan diturunkan sehingga turunlah hujan

dan kemampuannya menumbuhkan pokok di muka bumi semuanya atas keizinan Allah SWT.

Kemudian Allah SWT akan melemahkannya selepas itu hingga dia tidak lagi mampu membunuh orang itu dan selainnya. Kemudian datanglah Isa untuk misi membunuhnya lalu Allah SWT menetapkan keimanan orang-orang yang beriman.

Demikianlah mazhab ahli Sunnah dan semua ulama hadis serta fuqaha, berbeza daripada pandangan golongan yang mengingkari seperti Khawarij, Jahmiyyah dan sebahagian Muktazilah beranggapan semua perkara luar biasa itu adalah khayalan.

Akhirnya menyedari bahaya tipu daya dajal ini, Nabi SAW sudah mengemukakan panduan yang wajar diambil berat oleh umat Islam iaitu:

1. Berpegang teguh dengan Islam. Hanya golongan mukmin yang benar-benar memahami aqidah Islam saja yang akan dapat menolak fitnah dajal. Contohnya mengenali sifat-sifat Allah SWT akan menyebabkan seseorang membezakan antara manusia yang hodoh ini dengan Allah SWT yang tidak dapat digambarkan dengan apa juga gambaran.

2. Memohon perlindungan daripada fitnah dajal. Nabi SAW menganjurkan kita mengamalkan doa perlindungan kepada Allah SWT dalam tasyahud akhir sebelum memberikan salam. Diriwayatkan daripada Aisyah bahawa Nabi SAW kerap berdoa dalam solat baginda, yang bermaksud: “Ya Allah ku pohon perlindungan dari azab api neraka dan azab kubur dan fitnah kehidupan dan kematian dan fitnah Al-Masih Al-Dajal. Ya Allah, ku pohon perlindungan dari dosa dan hutang. (Ya Allah aku sudah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang besar dan tidaklah dapat mengampunkan aku melainkan Engkau, maka ampunilah aku dengan keampunan daripada-Mu dan rahmatilah aku, sesungguhnya Engkau maha pengampun lagi maha penyayang). (HR al-Bukhari No 832 ,834, 6326, 7387, 7388 dan Muslim No 589, 2705).

3. Menghafaz beberapa ayat dari surah al-Kahfi. Sebagai contoh dalam hadis Nabi bersabda maksudnya: Barang siapa yang bertemu dengan dajal itu maka bacakanlah olehmu permulaan surah al-Kahfi. (Riwayat Muslim)

4. Menjauhi Dajjal. Lebih utama daripada itu, kita digalakkan berada atau mendiami Makkah dan Madinah kerana Allah SWT mengharamkan Dajjal daripada memasuki ke dua-dua tempat ini. Seperti sudah dijelaskan, dajal mampu mempengaruhi sesiapa menyaksikan kehebatannya untuk mentaatinya. Maka wajarlah bagi setiap Muslim menghindari atau mendekati dajal ini.

Akhir sekali saya mencadangkan kepada penanya dan pembaca agar mengkaji peristiwa akhir zaman yang berlaku menerusi penjelasan Nabi SAW daripada kitab-kitab hadis contohnya Riyadhus Salihin susunan al-Imam al-Nawawi.

Tulisan Yusuf al-Wabil dalam kitab Asyratus Sa’ah juga adalah sebuah kajian amat baik menerusi penelitian dan susunan amat jelas juga akan membantu memahami peristiwa akhir zaman akan berlaku. Kedua-dua karya ini sudah pun diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai Riyadhus Salihin dan Hari Kiamat Sudah Dekat, diterbitkan Pustaka Ibn Kathir.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Haram Kahwini Bekas Mertua

Posted by epondok di Disember 1, 2020

Soalan :

SEORANG lelaki menikahi seorang wanita tetapi selang beberapa bulan, bertindak menceraikan wanita itu. Dalam tempoh perkahwinan yang singkat itu, lelaki berkenaan belum pernah mengadakan hubungan seks dengan isterinya. Apakah lelaki ini dibolehkan menikahi bekas ibu mentuanya iaitu ibu bekas isterinya itu.
Jawapan :

HARAM seorang lelaki menikahi bekas ibu mentuanya, sama ada dia sudah pernah berjimak dengan anak wanita itu ataupun belum.

Pengharaman ini adalah pengharaman yang berterusan berpandukan ayat ke 23 surah al-Nisa yang bermaksud: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan saudara-saudara bapa kamu dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki dan anak-anak saudara kamu yang perempuan dan ibu-ibu kamu yang sudah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu dan ibu-ibu isteri kamu.”

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT tidak membezakan antara mentua yang anaknya sudah disetubuhi atau belum. Dalam Sahih Tafsir Ibn Kathir, diperjelaskan mentua diharamkan dengan hanya semata-mata akad dengan puterinya. (Rujuk Sahih Tafsir Ibn Kathir jilid 2 halaman 473).

Hal ini berbeza apabila seseorang lelaki berkahwin dengan seseorang yang belum pernah disetubuhinya lantas terjadi perceraian ataupun kematian, maka lelaki ini diharuskan berkahwin dengan anak perempuan bekas isterinya itu. Hal ini disebutkan secara tegas dalam ayat yang sama yang menetapkan mengenai wanita-wanita yang haram dikahwini.

Firman Allah berikutnya dalam ayat yang sama : “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan saudara-saudara bapa kamu dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan dan ibu-ibu kamu yang sudah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu dan ibu-ibu isteri kamu dan anak-anak tiri yang dalam peliharaan kamu daripada isteri-isteri yang kamu sudah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu sudah pun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya).

Inilah ketetapan Islam yang dipersetujui kalangan ulama. Selain itu, kita juga memahami dalam kaedah syarak yang disepakati fuqaha` : Akad nikah dengan anak mengharamkan ibu dan bersetubuh dengan ibu mengharamkan anak.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »