Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 21 Disember 2020

Musibah matinya hati

Posted by epondok di Disember 21, 2020

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

KEHADIRAN bulan Safar al-Khair mengimbau kembali kisah kegeringan Rasulullah SAW sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 12 Rabiulawal. Jika Rasulullah SAW itu adalah kekasih dan keutamaan kita, maka sudah tentu saat-saat yang memilukan itu menarik perhatian dan perasaan kita.

Sesungguhnya kewafatan Rasulullah SAW adalah musibah terbesar bagi umat Islam sehingga terdapat ulama yang menulis buku khusus mengenai musibah kewafatan Rasulullah. Setelah kewafatan Baginda, ada yang masih lemah imannya menjadi murtad, tidak mahu menunaikan zakat dan berpecah belah. Sesungguhnya inilah musibah terbesar yang pernah menimpa sahabat-sahabat Baginda. Hanya kekentalan iman menjadi penyelamat ketika itu.

Hari ini, umat Islam ditimpa musibah yang tidak kurang besarnya iaitu matinya hati. Pelbagai peringatan yang diberikan tetapi bak mencurah air di daun keladi. Inilah penyakit hati yang dikhuatiri oleh Rasulullah akan berlaku ke atas umatnya. Inilah kematian yang paling sukar untuk dipastikan kerana tidak ditandai dengan kain kapan putih ataupun batu nisan.

Apa pun, selaku insan yang sentiasa menginsafi diri, kita masih boleh menghisab diri, apakah musibah ini telah mengenai diri kita atau kita termasuk di kalangan mereka yang terselamat. Terdapat tiga tanda yang digariskan oleh ulama iaitu, tidak merasa sedih apabila tidak berkesempatan melakukan amal ketaatan, tidak menyesal apabila terlanjur melakukan dosa dan suka bersahabat dengan orang-orang yang lalai dan telah mati hatinya. Inilah alamat ringkas yang diletakkan oleh Syeikh Ibnu ‘Atoillah dalam kalam hikmahnya.

Maka dapat difahami bahawa keriangan dan kegembiraan seseorang kerana ketaatan yang dilakukannya dan kesedihan seseorang disebabkan maksiat yang dilakukannya merupakan tanda hidupnya hati seseorang. Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang digembirakan oleh kebaikannya dan disedihkan oleh kejahatannya, maka dia adalah orang mukmin.” (riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan al-Hakim)

Namun, ini bukanlah kegembiraan yang bercampur dengan perasaan ‘ujub. Orang yang bersifat ‘ujub hanya memandang kepada daya dan kekuatannya dan lupa tentang anugerah Allah dalam mengurniakan taufik dan hidayah kepadanya. Hendaklah kita menjauhi sifat ‘ujub kerana ia boleh menghapuskan pahala amal-amal yang dilakukan. Begitu juga perasaan riak.

Amal kebaikan merupakan tanda keredaan Allah dan keredaan-Nya membawa kepada kegembiraan. Manakala amal kejahatan merupakan tanda kemurkaan Allah dan kemurkaan-Nya membawa kepada kesedihan. Sesiapa yang diredai oleh Allah, maka Allah mengizinkannya untuk melakukan amal soleh. Sesiapa yang dimurkai oleh Allah, maka Allah meninggalkannya dan membiarkannya berada dalam kelalaian dan kehinaan.

Abdullah ibn Mas’ud RA berkata: “Orang mukmin melihat dosa-dosanya seolah-olah dia sedang berada di kaki gunung; dia takut kalau gunung itu akan menghempapnya. Manakala ahli maksiat melihat dosanya hanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya maka mudah untuk menghalaunya.”

Namun demikian, tidak sepatutnya pula seseorang hamba yang apabila telah melakukan dosa, dikalahkan oleh kesalahan yang dilakukannya. Dikalahkan dalam bentuk bersikap pesimis, tidak lagi mengharap keampunan Tuhannya dan berprasangka buruk terhadap Tuhannya. Bagi orang yang benar-benar beriman dan hidup hatinya, rasa khawf dan raja’ (takut dan harap kepada Allah) mesti ada pada dirinya. Allah telah menyifatkan para nabi dan rasul-Nya serta pengikut mereka dari kalangan kaum mukminin yang solehin dengan kedua-dua sifat ini, sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Israa’ ayat 57.

Syeikh Ibnu ‘Atoillah RA menyatakan dalam Hikamnya: “Janganlah kerana besarnya dosa di sisi kamu, menghalang kamu daripada berprasangka baik dengan Allah kerana orang yang telah kenal Tuhannya, nescaya akan menganggap dosanya kecil di sisi kemurahan Allah yang luas.”

Manakala sebab yang membawa kepada matinya hati ialah cintakan dunia, lalai daripada mengingati Allah dan menggunakan anggota untuk melakukan maksiat.

Di antara perosak yang terbesar ialah kasih terhadap dunia, berkeinginan kepadanya, sangat tamak terhadapnya, berminat dengannya, kasihkan pangkat dan harta dunia dan tamak terhadap keduanya, kikir dan bakhil dengan harta dunia. Firman Allah dalam surah Hud ayat 15-16.

Kecintaan kepada dunia adalah kepala segala kejahatan. Ia akan menghalang seseorang daripada melakukan kebaikan akibat hati yang telah digelapi oleh perkara-perkara keduniaan. Justeru, Syeikh Ibnu ‘Atoillah menyatakan “Bagaimana hati dapat bercahaya, sedangkan gambaran-gambaran alam maya termeteri di cermin hati?”

Allah SWT menjadikan hati manusia itu seperti cermin yang memaparkan dan memantulkan imej setiap benda yang dihadapkan kepadanya. Cermin itu pula hanya mempunyai satu muka. Apabila Allah SWT hendak memberikan inayah-Nya kepada seseorang hamba, maka Dia menyibukkan fikiran hamba tersebut dengan cahaya-cahaya-Nya dan pelbagai kebaikan dan Dia tidak membelenggu atau menambat hati hamba tersebut dengan suatu perkara dari alam yang gelap dan khayalan yang meragukan. Maka terpaparlah di cermin hatinya cahaya-cahaya iman dan ihsan, dan terpancarlah padanya cahaya tauhid dan makrifah.

Begitulah sebaliknya, jika Allah mahu membiarkan seseorang hamba (mengeluarkannya daripada inayah-Nya) dengan keadilan dan kebijaksanaan-Nya, maka Dia akan menyibukkan pemikiran hamba tersebut dengan kegelapan dunia dan syahwat. Maka kegelapan dunia ini akan terpapar di cermin hatinya. Lalu hatinya akan terhijab daripada sinar makrifah dan cahaya keimanan.

Semakin banyak gambaran dunia bertindih-tindih di cermin hatinya, maka semakin pudar cahayanya dan semakin tebal hijabnya. Maka dia tidak akan dapat melihat melainkan apa yang zahir sahaja dan dia tidak dapat berfikir melainkan perkara lahiriah sahaja.

Ada di antara hijabnya sangat dahsyat hingga menutup seluruh hati dan seluruh cahaya terpadam hingga dia menafikan terus kewujudan cahaya dari asalnya. Semoga dilindungi oleh Allah.

Ada di antaranya pula, hanya sedikit karatnya dan nipis hijabnya, maka dia mengakui kewujudan cahaya tersebut tetapi tidak dapat melihatnya. Ini ialah makam (kedudukan) kaum Muslimin awam.

Dalam hadis Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya hati itu akan berkarat sepertimana karatnya besi, dan sesungguhnya iman itu akan lusuh seperti lusuhnya baju yang baru.”

Namun dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap sesuatu itu ada penggilapnya dan penggilap hati ialah zikrullah.”

Sabda Rasulullah SAW juga: “Sesungguhnya seseorang hamba itu apabila melakukan kesalahan, digores di dalam hatinya dengan bintik hitam. Sekiranya dia menanggalkannya dan memohon keampunan, maka ia akan berkilau. Sekiranya dia kembali melakukan kesalahan, ditambah pada hatinya bintik hitam tersebut sehingga menyelubungi hatinya.” Maka itulah selaput kegelapan yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah al-Mutoffifin ayat 14.

Cahaya iman dan ihsan

Ketahui bahawa hati itu hanya mempunyai satu wajah, apabila kamu hadapkan cahaya kepadanya maka ia akan bersinar, dan apabila kamu hadapkan kegelapan kepadanya maka ia akan menggelap, kegelapan dan cahaya itu tidak pernah bersatu, maka fahamilah pula kata-kata Syeikh Ibnu ‘Atoillah yang menyebut: “Bagaimanakah hati itu boleh bersinar dengan cahaya iman dan ihsan, sedangkan gambaran alam dan dunia yang gelap terpapar di cermin hati?”

Sesungguhnya dua perkara yang berlawanan tidak mungkin akan bersatu sebagaimana firman Allah SWT pada surah al Ahzaab ayat 4.

Sedarlah wahai insan! Kamu tidak memiliki dua hati tetapi hanya satu. Apabila kamu hadapkan hati kamu itu kepada makhluk dan dunia ini, maka ia akan membelakangkan Allah. Apabila kamu hadapkannya kepada Allah, maka ia akan membelakangkan makhluk dan kamu akan mampu berjalan kepada Allah. Selama kamu tertambat dengan syahwat dan keduniaan kamu di dalam alam ini, maka kamu tidak akan mungkin dapat berjalan kepada Tuhan kamu, tidak juga kepada apa yang diisyaratkan oleh Syeikh Ibnu ‘Atoillah al Sakandari RA.

Selama hati masih tertawan atau terpenjara di dalam penjara kecenderungan atau keinginan kepada sesuatu yang akan binasa, dia masih terikat dengannya. Orang yang mempunyai hati sedemikian, tidak akan dapat berjalan menuju kepada keredaan Allah. Bahkan, tidak akan terpancar ke atasnya cahaya makrifat. Keterikatan hatinya dengan syahwat merupakan penghalang yang akan menegah dan menghalangnya daripada menuju kepada Allah disebabkan kesibukan dan keasyikannya dengan perkara-perkara yang memalingkannya daripada berjalan menuju kepada Allah.

Sekalipun tidak dinafikan dia mungkin dapat berjalan bersama nafsu syahwatnya, nafsunya akan melemahkan dan menghalangnya daripada dapat berjalan dengan cepat kerana kecenderungannya terhadap nafsu syahwatnya. Sekalipun dia mungkin dapat berjalan dengan cepat, dia tetap tidak akan aman daripada perkara-perkara yang akan menggelincirkannya kerana keseronokan dan kesenangannya dengan syahwat tersebut.

Sebab itu, para pembesar Sufi meninggalkan kelazatannya, sehingga berkata sebahagian daripada mereka: “Sengatan tebuan atas badan yang luka itu lebih ringan daripada sengatan syahwat atas hati orang yang sedang bertawajjuh kepada Allah.” (Ibnu ‘Ajibah, Iqaz al-Himam, H: 44)

Justeru, wahai saudaraku! Putuskanlah dan lepaskanlah dirimu dari perkara yang menghalang perjalanan kamu. Berjalan dan berhijrahlah kamu kerana hijrah adalah merupakan sunnah Rasulullah SAW. Semenjak Nabi SAW berhijrah, Baginda SAW tidak pernah menikmati masa untuk berehat melainkan di dalam musafir untuk berjihad sehingga Allah membuka sebuah negara untuknya.

Begitu juga para sahabat, hanya segelintir sahaja daripada mereka yang tinggal tetap di negara mereka sehingga dengan tangan-tangan mereka Allah membuka negara-negara yang lain dan memberikan petunjuk kepada hamba-hamba Allah yang lain. Semoga Allah memanfaatkan kita dengan keberkatan mereka, Amin.

Hidupkanlah hati kita dengan meninggalkan terlebih dahulu perkara-perkara yang boleh menggelapkan dan mematikan hati. Selanjutnya sinarilah ia dengan cahaya-cahaya ketaatan dan keikhlasan. Sesungguhnya hati yang hidup akan sentiasa mendorong pemiliknya melakukan amal dan ketaatan dan meninggalkan dosa dan kejahatan dengan hati yang gembira tanpa rasa penat dan payah. Wallahu a’lam.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Syeikh Uthman Jalaluddin Penanti menguasai pelbagai bidang ilmu

Posted by epondok di Disember 21, 2020

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

MURID Tok Kenali Kelantan yang menjadi ulama besar yang terkenal memang ramai. Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti al-Kalantani termasuk salah seorang di antara mereka. Perjuangan jihad keilmuan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti, sama ada dalam penerapan di ruangan mengajar mahu pun menyebarkan pengkaryaan tulisan mempunyai sistem yang tersendiri. Jika kita menoleh ke belakang sewaktu mencari ilmu itu sendiri Utsman Jalaluddin mempunyai pengalaman yang berbeza dari orang lain.

Nama lengkap beliau ialah Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti bin Muhammad bin Abdus Shamad al-Kalantani, lahir di Kampung Panjang, Daerah Sering, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1297 H/1880 M. Ada riwayat lain menyebut bahawa beliau lahir tahun 1300 H/1882 M dan wafat di Mekah, hari Jumaat, 30 Zulhijjah 1371 H/19 September 1952 M. Saya berpendapat, kelahiran tahun 1300 H/1882 M adalah yang dapat dipegang kerana menurut riwayat, Utsman Jalaluddin sama tua dengan sahabatnya, Syeikh Ismail bin Abdul Qadir al-Fathani atau Pak De `El, yang lahir tahun 1300 H/1882 M.

Sewaktu masih berada di Kelantan, Utsman Jalaluddin belajar kepada Haji Jamal di Perupok. Selanjutnya belajar kepada Mufti Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal. Utsman Jalaluddin melanjutkan pelajarannya di Mekah dan bermukim di sana mulai tahun 1319 H/1901 M. Pada tahun tersebutlah Utsman Jalaluddin bersahabat dengan Pak De `El al-Fathani.

Kedua-duanya termasuk golongan murid termuda Syeikh Ahmad al-Fathani. Walau bagaimana pun, kedua-duanya duduk dalam majlis pengajian dengan orang-orang yang lebih tua, di antara mereka ialah Tok Kenali.

Syeikh Utsman Jalaluddin al-Kalantani dan Pak De `El al-Fathani, sempat belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani hanya sekitar tujuh tahun sahaja, kerana Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia pada tahun 1325 H/1908 M. Walau pun masih ramai guru beliau di Mekah selain, Syeikh Ahmad al-Fathani, namun Syeikh Utsman Jalaluddin akhirnya pulang ke Kelantan dan belajar kepada Tok Kenali.

Syeikh Utsman Jalaluddin kahwin dengan Hajah Sara binti Haji Muhammad Saleh bin Syeikh Jalaluddin al-Kalantani. Mengenai datuk pada Hajah Sara, iaitu Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya’ bin Abdul Ghafur al-Kalantani. (Rujuk Bahagian Agama, Utusan Malaysia, terbitan hari Isnin, 13 September 2004, Seksyen 3, halaman 9.)

Hendaklah diperhatikan bahawa Hajah Sara (isteri Syeikh Utsman Jalaluddin) neneknya juga bernama Hajah Sara (isteri Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya’ bin Abdul Ghafur al-Kalantani). Hajah Sara binti Haji Muhammad Tahir al-Fathani adalah adik-beradik dengan Haji Ibrahim (Pak Him). Haji Ibrahim (Pak Him) ini ialah ayah kepada Mufti Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang), iaitu datuk kepada Datuk Seri Abdullah Badawi Perdana Menteri Malaysia).

Salah seorang anak Syeikh Utsman Jalaluddin ialah Tuan Guru Haji Saleh. Pertama kali saya berjumpa Tuan Guru Haji Saleh, iaitu pada tahun 1976 dan baru-baru ini pada malam Ahad, 30 Rejab 1426 H/4 September 2005 M, beliau datang ke majlis tempat saya mengajar. Pada tarikh tersebut banyak maklumat baru saya dengar daripada Tuan Guru Haji Saleh di antaranya; ada yang dimuat dalam artikel ini. Tuan Guru Haji Saleh menceritakan bahawa beliau belajar kitab Tashil Nail al-Amani (nahu) dari ayahnya Syeikh Utsman Jalaluddin.

Syeikh Utsman Jalaluddin secara langsung bersama-sama Pak De `El al-Fathani belajar kepada penyusun kitab itu, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.

Tuan Guru Haji Saleh menceritakan pula, bahawa ayahnya Syeikh Utsman Jalaluddin menceritakan Syeikh Ahmad al-Fathani adalah seorang yang sangat bijak menggubah syair dan sangat besar pengaruhnya di Mekah. Kata beliau, pernah terjadi seorang yang telah dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Mekah. Keluarga yang dihukum, mengadu halnya kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad menggubah syair, dikirim kepada Sultan Turki dan Mahkamah Mekah. Akhirnya, orang yang telah jatuh hukuman mati itu tidak jadi dijatuhi hukuman mati.

Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti al-Kalantani termasuk ulama dunia Melayu yang menghasilkan karya yang banyak ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Di antaranya ialah:

1. Tathrif al-‘Arfi fi Tashrif ash-Sharf, ditulis dalam dwi bahasa, Arab dan Melayu. Diselesaikan pada 23 Zulhijjah 1354 H/1935 M. Kandungan membahas ilmu saraf. Di antara maklumat pada mukadimah Syeikh Utsman Jalaluddin mencatatkan, “Padahal sungguhnya telah hamba pungut akan dia daripada mutiara tashrif yang amat elok bagi guru hamba yang alim lagi yang amat dalam ilmunya, lagi menghimpun bagi beberapa fan ilmu yang bangsa kepada agama, iaitu Muhammad Yusuf yang dimasyhurkan gelarannya di seluruh tanah-tanah Melayu dengan Tok Kenali di negeri Kelantan. Yang telah diwafatkan dia pada hari Ahad, 2 Syaaban 1352 Hijrah.

Mudah-mudahan diliputi kiranya akan dia oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan rahmat-Nya yang diredhai. Dan demikian tashrif itu, ialah daripada seelok-elok peraturan pada permulaan pengajaran ilmu Arab. Dan sungguhnya tiada hampir didapatkan seumpamanya pada masa yang kemudian, dan pada masa yang dahulu-dahulu…” Cetakan yang pertama Mathba’ah Persama, 83 Achen Street, Penang, 1354 H. Cetakan yang kedua oleh percetakan yang sama tahun 1358 H dijadikan tiga juzuk, ialah juzuk yang pertama dan kedua dalam satu jilid, sedang juzuk yang ketiga dalam jilid yang lain.

2. Asy-Syarh al-Kabir, ditulis dalam bahasa Arab. Diselesaikan pada 16 Syaaban 1358 H/30 September 1939 M. Kandungan membahas ilmu saraf. Di halaman kulit belakang diiklankan nama-nama karya Syeikh Utsman Jalaluddin ialah: Fath al-Mu’in Arab-Melayu, jilid 1 sampai jilid 4, Tafsir Jalalain Arab-Melayu, jilid 1 dan jilid 2, Mathali’ al-Anwar wa Majali’al-Azhar, jilid 1 dan jilid 2, Qiladah al-‘Iqyan fi Sya’bi al-Iman, jilid 1, Mir-ah al-Iman, Miftah al-Jinan (tasawuf), Siraj al-Islam Hadits Nur Nabi, Nujum al-Muhtadin Perbahasan Kaum Muda, dan Ta’rif al-‘Urfi fi `Ilmi at-Tashrif (Arab-Melayu). Dicetak oleh Mathba’ah Persama, 83 Achen Street, Penang, Ramadhan 1358 H/Oktober 1939 M

3. Ad-Durrah an-Nafi’ah fi Asyrath as-Sa’ah), kitab ini terdiri beberapa penggal. Kandungan membahas tentang tanda-tanda hari kiamat, berdasarkan al-Quran, hadis dan tafsiran para ulama yang muktabar. Cetakan yang pertama, The United Press, Pulau Pinang, tanpa dinyatakan tarikh. Pada cetakan terdapat kata pujian dari Haji Abdullah Pak Him, Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai, Haji Ahmad Sa’ad al-Mashri dan Haji Ahmad Tuan Husein, tarikh 2 Safar 1371 H.

Keseluruhan karya Syeikh Utsman Jalaluddin belum dapat disenaraikan semuanya dalam artikel ini, kerana saya berasa perlu mengambil data dan memperkenalkan sebuah karya beliau yang berjudul Anwar al-Huda wa Amthar an-Nada. Kitab ini adalah merupakan syarah Tafsir al-Jalalain yang mengkombinasikan bahasa Arab dan bahasa Melayu. Tafsir ini disebarkan secara berjilid untuk khairat Madrasah Manabi’ al-‘Ulum yang diasaskan oleh pengarangnya di Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Pada halaman depan tafsir ini tertulis Syarhu Tafsir al-Jalalain. Di bawahnya dinyatakan Arab, Melayu yang dinamakan Anwar al-Huda wa Amthar an-Nada yang diterjemahkan di bawahnya kepada bahasa Melayu dengan “Beberapa Cahaya Bagi Penunjuk Dan Beberapa Hujan Bagi Embun”. Sesudah itu, penyusunnya menggubah tujuh bait syair (puisi) bahasa Arab yang beliau terjemahkan kepada bahasa Melayu klasik.

Pada halaman 2 dan 3 beliau menggubah syair Arab yang panjang terdiri 29 bait, juga beliau terjemah ke dalam bahasa Melayu klasik. Syeikh Utsman Jalaluddin pada mukadimahnya, memberi komentar yang panjang mengenai ilmu tafsir. Menurut beliau tentang pentafsiran al-Quran, “Mulai daripada masa Nabi s.a.w. hingga kepada zaman yang kemudian daripada sahabat-sahabat, dan tabi’in, dan tabi’it tabi’in hingga kepada zaman `ulama’ yang kemudian atas qaul yang tahqiq, yang berhubung segala sanad mereka itu kepada Nabi s.a.w. Sesungguhnya awal-awal yang menghimpunkan segala huruf tafsir itu ialah sekelian sahabat Nabi s.a.w. di dalam Mekah, dan `Atha’ bin Abi Rabah dan Mujahid daripada tabi’in, dan lain-lainnya yang memindah oleh sekelian mereka itu daripada Saiyidina Abdullah bin Abbas. Yang ia memindah daripada Nabi s.a.w.”.

Daripada kenyataan di atas dapat diambil kesimpulan bahawa, “sanad” yang bersambung sampai kepada Rasulullah s.a.w. adalah sangat penting dalam ilmu-ilmu Islam termasuk juga ilmu tafsir. Golongan yang bukan daripada golongan ulama, jika mereka mentafsirkan al-Quran adalah sukar untuk dapat diterima, kerana para ulama memberikan persyaratan yang ketat mengenai itu.

Disiplin

Syeikh Utsman Jalaluddin dalam Anwar al-Huda dengan memetik dari Syarh Ihya’ `Ulumid Din bahawa seseorang yang akan mentafsir al-Quran mestilah menguasai sekurang-kurangnya lima belas disiplin ilmu. Ilmu-ilmu itu ialah:

1. Ilmu Lughah, 2. Ilmu Nahwu, 3. Ilmu Tashrif, 4. Ilmu Isytiqaq, 5. Ilmu Ma’ani, 6. Ilmu Bayan, 7. Ilmu Badi’, 8. Ilmu Qiraat, 9. Ilmu Ushulid Din, 10. Ilmu Usul Fiqh, 11. Ilmu Asbab an-Nuzul, 12. Ilmu Fiqh, 13. Ilmu Nasikh dan Mansukh, 14. Ilmu Hadis, 15. Ilmu Ludunni.

Pada bahagian ini juga, Syeikh Utsman Jalaluddin menceritakan pandangan gurunya Tok Kenali, kata beliau, “Syahdan adalah guru hamba al-‘Alim al-‘Allamah Syeikh Muhammad Yusuf Kenali, Kelantan, yang diwafatkan dia pada 2 Sya’aban, hari Ahad, pada tahun 1352 H, beberapa kali disuruh akan dia di hadapan hamba supaya ia mentafsir akan Quran sahaja dengan ketiadaan syarah, maka ia menolak akan dia. Dan ia berkata, “Kita bukan ahli bagi mentafsir akan Quran dengan ketiadaan syarah karena kita tiada hafaz akan huruf-huruf tafsir dan kalimahnya yang menerangkan maksud … “.

Riwayat di atas bukanlah mencerminkan Tok Kenali tidak berkemampuan dalam ilmu tafsir, tetapi adalah memperlihatkan sifat tawadhu’ beliau. Sebaliknya ada orang yang tidak mendalami ilmu-ilmu Islam, tetapi terlalu ceroboh dan berani untuk mentafsirkan al-Quran hanya berdasarkan pemikiran akal semata-mata tanpa mempedulikan yang telah digariskan oleh para ulama yang muktabar

Posted in Tokoh Ulama' | 1 Comment »