Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Disember 2020

Logo halal jadi alat perdaya pengguna

Posted by epondok di Disember 27, 2020

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


PENGGUNA mesti waspada ketika memilih tempat menjamu selera dan membeli-belah untuk elak terpedaya dengan helah peniaga yang menggunakan logo halal sesuka hati. – Gambar hiasan

Peniaga guna helah pamer ayat Al-Quran, ‘Assalamualaikum’ untuk kelirukan pembeli

APABILA ada pemalsuan sijil dan logo halal untuk produk makanan dan gunaan, ia adalah strategi pihak pengeluar barangan terbabit untuk menguasai pasaran Muslim, bukan saja di Malaysia, malah seluruh dunia. Mereka tidak mengambil kira faktor hukum halal dan haramnya kerana menganggap pulangan material lebih utama berbanding dosa dan pahala.

Isu yang sudah bertahun menjadi perdebatan ini akhirnya mendapat perhatian sewajarnya apabila kekangan undang-undang dirungkai untuk memperkasa pengeluaran sijil dan logo halal Malaysia. Akta Perihal Dagangan 1972 (APD 72) yang akan dipinda hanya memberi kuasa kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melantik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) untuk tujuan itu.

Di sebabkan hal berkaitan agama berada di bawah bidang kuasa negeri, maka tentulah rakyat mengharapkan agar setiap Jain memberi persetujuan untuk merealisasikan penyeragaman sistem, standard dan sijil halal, sekali gus menghapuskan kepelbagaian ‘cara’ menghalalkan produk pasaran yang mengelirukan pengguna Muslim.

Pelbagai rupa logo halal juga menguntungkan pengeluar dan penjual yang berpeluang menggunakan kelonggaran berkenaan untuk mempamerkan logo mengikut kreativiti masing-masing tanpa mempunyai sijil yang dikeluarkan mengikut peraturan APD 72. Kebanyakan pengguna tidak meminta sijil halal daripada penjual kerana percaya penjual Islam tidak akan menipu pembeli dengan mempamerkan logo halal yang haram.

Buat masa sekarang, sesiapa saja boleh mengeluarkan sijil halal atau menggunakan helah sehingga pengguna beranggapan sesuatu produk itu halal dengan melabelkan perkataan ‘makanan orang Islam’, ‘ditanggung halal’ atau dengan meletakkan lukisan ayat Al-Quran di dinding premis, hatta kalimah ‘Assalamualaikum’ dan ‘Bismillahirrahmanirrahim’, walhal, barangan yang dijual tidak menepati maksud halal sama sekali.

Begitu juga dengan produk tidak mendapat pengesahan halal yang dinamakan dalam bahasa Arab bermula dengan perkataan ‘al’. Keadaan ini lebih merumitkan kerana undang-undang mungkin hanya menguatkuasakan sijil dan logo, bukannya nama produk. Di sinilah letaknya kebijaksanaan umat Islam menilai setiap barangan makanan atau gunaan yang dipasarkan, bukannya menyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak yang berautoriti semata-mata.

Banyak sebab mengapa di negara majoriti umat Islam pengguna Muslim tidak begitu mengambil berat soal halal dan haram setiap makanan yang dimakan atau produk yang diguna. Salah satunya kerana mereka percaya penjual atau pengeluar Muslim tidak tergamak menipu pengguna seagama.

Selain itu, pengguna mempunyai banyak pilihan, jadi mereka tidak mengendahkan jika benar produk yang tidak halal tetapi dianggap halal oleh pengguna masih dijual di pasaran. Mereka beranggapan sesiapa yang mengambil berat pasti tidak akan membeli, begitulah sebaliknya.

Apa yang berlaku, produk itu kekal di pasaran tanpa ada laporan dibuat kepada pihak polis atau autoriti lainnya. Kewujudan gerai menjual barangan basah seperti ayam dan daging yang dijual dalam kuantiti yang kecil juga diragukan status halal dan haramnya. Pembeli haruslah peka dengan keadaan ini supaya usaha kerajaan mengatasi masalah produk halal di negara ini berjaya dilakukan, bukan saja dengan meminda undang-undang, malah dengan kesedaran pengguna keseluruhannya.

Di negara yang mempunyai sejumlah kecil umat Islam yang mempunyai bekalan produk halal terhad, pengguna Muslim amat berhati-hati memilih barangan yang ingin dibeli, sehingga berjam-jam lamanya masa diambil untuk membeli-belah. Mereka terpaksa membawa senarai nama bahan tidak halal yang mungkin digunakan dalam produk makanan yang ingin dibeli memandangkan hampir semua barangan tidak mempunyai logo halal.

Di United Kingdom contohnya, jika ingin membeli ayam atau daging mentah, penulis hanya membeli di kedai yang mempamerkan sijil halal dikeluarkan oleh ‘Halal Food Authority (HFA)’ saja dan mereka turut mengambil kira faktor makanan haiwan itu serta memenuhi standard penyembelihan seperti haiwan diberi minum sebelum disembelih, haiwan berkenaan tidak melihat haiwan lain disembelih sebelumnya, saiz pisau sembelihan adalah empat kali lebih besar daripada saiz leher haiwan dan tajam serta posisi penyembelih dan haiwan sembelihan yang menghadap kiblat.

Penyembelihan juga dilakukan di tempat penyembelihan berlesen saja dan dilakukan dengan pengawasan pegawai veterinar. Di sekolah rendah pula, pelajar Muslim yang tidak membawa bekalan dari rumah akan membuat bayaran secara harian, mingguan atau bulanan kepada pihak sekolah dan akan diberi makanan halal yang diluluskan oleh HFA juga.

Di sini, makanan halal dan berkhasiat yang diambil pelajar Muslim lebih mudah dipantau pihak sekolah memandangkan sekolah rendah tidak mempunyai kantin atau gerai yang menjual makanan ringan di luar pagar sekolah.

Sebaliknya, mereka hanya perlu mengambil menu yang sihat seperti susu, salad, buah-buahan dan makanan berasaskan tumbuhan saja dan disediakan mengikut garis panduan makanan halal di dewan makan sekolah. Keadaan ini sekali gus menyelamatkan setiap peringkat usia pengguna Muslim di UK daripada mengambil makanan yang tidak diketahui status halalnya dan membahayakan kesihatan.

Golongan dewasa tentulah lebih prihatin dalam soal pengambilan produk halal yang diiktiraf tetapi kanak-kanak dan remaja agak terbuka dalam hal ini memandangkan mereka kurang berpengetahuan dan terlalu banyak ruang yang ada untuk diperdaya.

Justeru, undang-undang saja masih belum cukup untuk membasmi longgokan produk yang tidak menepati piawaian halal tanpa kesedaran dan pendidikan yang menyeluruh.

Tambahan pula produk kosmetik, farmasuetikal, pakaian, khidmat perbankan dan kewangan, logistik dan juga perniagaan pantas jutawan dan pelaburan yang semakin rambang di arena maya jarang yang berlogo halal.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Sejarah 4 Mazhab – Siri 4

Posted by epondok di Disember 26, 2020

Abdul Latif Rahbar
Bukankah imam-imam mujtahid sendiri tidak pernah memaksa sesiapapun untuk mengikut mereka? Dan bukankah Imam Syafie sendiri mengatakan bahawa apabila sahih sesebuah hadis maka itulah mazhabku?

Menjawab persoalan ini, memang benar imam-imam mujtahid sama sekali tidak pernah memaksa murid mereka mengikut mazhab atau pendapat-pendapat yang mereka keluarkan. Tetapi harus diingatkan bahawa imam-imam mujtahid tersebut mempunyai anak murid yang sudahpun mencapai tahap mempunyai kelayakan dan kemampuan untuk membezakan antara dua dalil.

Jadi perkataan Imam Syafie misalnya ditujukan kepada Imam Muzani, perkataan Imam Abu Hanifah ditujukan kepada Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad.

Apabila Imam Syafie mengatakan bahawa, “Apabila sahih sesebuah hadis maka itulah mazhabku,” yang dimaksudkan ialah apabila sahih sesebuah hadis dan ia menepati usul yang telahku istinbatkan dari al-Quran dan sunnah maka itulah mazhabku. Ini dapat kita ketahui sekiranya kita mempelajari usul-usul dan kaedah istinbat yang ditetapkan oleh Imam Syafii rah.a sendiri.

Bukanlah sahih di sini bermakna sahih pada pandangan ahli-ahli hadis semata-mata. Sekiranya maksud Imam Syafie adalah seperti itu maka sudah tentu Imam Syafie akan mengatakan bahawa menyentuh wanita yang bukan mahram tidak akan membatalkan wudhu. Tetapi memandangkan terdapat dalil-dalil lain yang perlu diambil kira, maka langkah selamat ialah dengan mengatakan bahawa ianya membatalkan wudhuk.

Oleh itu, kita tidak boleh menganggap bahawa kesemua yang kita anggap sahih adalah mazhab Syafie melainkan kita sendiri sudah mencapai darjat Imam Muzani. Pun begitu tidak banyak fatwa Imam Syafie ditolak oleh pengikut beliau walaupun selepas kewafatannya.

Sekiranya maksud kalam Imam Syafie adalah seperti yang didakwa oleh mereka yang tidak bermazhab, sudah tentu pakar-pakar fiqah dan hadis seperti Imam Nawawi dan Hafiz ibnu Hajar akan mengubah fatwa mazhab Syafie kepada “yang lebih sahih.” Tetapi hal sedemikian tidak terjadi dan menunjukkan bahawa maksud perkataan Imam Syafie bukanlah seperti yang mereka dakwa.

Imam Abu Hanifah sendiri misalnya tidak pernah memaksa Abu Yusuf mengikut mazhab beliau. Tetapi telah diriwayatkan pada satu ketika Imam Abu Yusuf telah melancarkan halaqah ilmunya sendiri, lalu Imam Abu Hanifah menghantar wakil untuk mengajukan beberapa soalan yang musykil kepada Imam Abu Yusuf sambil mengatakan kepada wakil tersebut sekiranya Abu Yusuf mengatakan “Ya” salah, dan sekiranya dia mengatakan “Tidak” pun salah. Akhirnya Imam Abu Yusuf kembali menghadirkan diri ke majlis Imam Abu Hanifah.

Tindakan Imam Abu Hanifah di atas bukanlah untuk memaksa Imam Abu Yusuf untuk bermazhab dengan mazhab Hanafi, tetapi untuk mengingatkan Imam Abu Yusuf bahawa beliau masih belum bersedia untuk mengemukakan ijtihad beliau sendiri walaupun beliau adalah anak murid Imam Abu Hanifah yang paling kanan.

Kesemua yang mempelajari sejarah tentu tahu bahawa Imam Abu Yusuf telah dilantik sebagai qadi besar empayar Abbasiah. Bukanlah calang-calang boleh menjadi ketua qadi pada zaman yang dipenuhi ilmuan-ilmuan berwibawa.

Mengapa hanya mengiktiraf empat mazhab dan tidak lebih?

Pada zaman Baginda s.a.w. para sahabat berpandukan ajaran yang mereka dapat secara langsung daripada Rasulullah s.a.w. sendiri. Dan selepas kewafatan Baginda s.a.w. ramai sahabat yang bertaqlid dengan pendapat mereka-mereka yang rapat dengan Bagida s.a.w. seperti khalifah rashidin, Ibnu Mas’ud dan lain-lain. Namun selepas tersebarnya agama ke seluruh pelusuk alam sahabat berhijrah ke tanah-tanah yang dijajah demi untuk mengajar kepada saudara-saudara baru mengenai Islam.

Mereka menyampaikan apa yang mereka lihat dan dengar sendiri dari Baginda s.a.w. Dan bermulalah zaman penyebaran hadis, dengan tabi’in mula mengembara dan berjumpa dengan para sahabat demi untuk mendapat ajaran sunnah Baginda s.a.w. Demikianlah juga pada zaman tabi’-tabi’in. Ketika itu taqlid terhadap individu tertentu sudahpun berlaku.

Penduduk madinah misalnya banyak bertaqlid dengan pendapat Zaid bin Thabit yang juga adalah penulis wahyu rasulullah s.a.w. Penduduk Basrah dan Kufah bergantung dengan pendapat Ibnu Mas’ud. Penduduk Syam bertaqlid dengan Muadz bin Jabal r.a dan penduduk Makkah dengan Ibnu Zubair r.a. begitulah halnya ummat ketika itu memahami bahawa kita perlu mengikut amalan mereka-mereka yang jauh memahami sunnah baginda s.a.w.

Selepas zaman sahabat sehinggalah abad ketiga hijrah memang terdapat ribuan mujtahidin seluruh dunia. Imam-imam mujtahid seperti Abu Hanifah, Hasan Basri, Sufyan Thauri, Sufyan bin Uyainah, Syafie, Malik bin Anas, Ahmad bin Hanbal, Awza’i, Ishaq bin Rahwayh/Rahuyah dan lain-lain adalah di antara mereka-mereka yang mempunyai ramai pengikut dan muqallid.

Namun selepas abad keempat hanya tinggal beberapa mazhab seperti Hanafi, Maliki, Syafii, Hanbali, Awza’i, dan Zahiri. Mazhab-mazhab lain semakin sedikit pengikutnya memandangkan empat mazhab ini menjadi ikutan di kota-kota utama dunia Islam ketika itu. Hanafi dan Hanbali di Iraq, Maliki di Andalusia dan Afrika, Syafie di tanah Parsi dan di Mesir, Awza’i di tanah Syam dan hanya sebilangan kecil Zahiriyyah iaitu mereka-mereka yang bertaqlid dengan Daud az-Zhahiri.

Selepas abad kelima Awza’i dan Zahiriyyah juga lenyap walaupun pendapat mereka dibukukan oleh pengikut-pengikut mereka. Dan kekallah empat mazhab sehingga ke hari ini kerana masih mempunyai pengikut dan tradisi ini diamalkan zaman-berzaman. Ummah sejak dulu hingga kini berasa selesa dengan bertaqlid kerana mereka sedar ketidakmampuan mereka dalam berijtihad.

Dalam tempoh ummah mula bertaqlid iaitu sejak abad ketiga hijrah hingga kini terdapat ramai ulama hadis yang lahir seperti Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasa’i, Ibnu Majah, Baihaqi, Tahawi, Daruqutni dan lain-lain yang mana ilmu mereka dalam bidang hadis dan agama tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak. Namun mereka sendiri berasa selesa dengan bertaqlid akan para imam.

Sesungguhnya bertaqlid dengan imam seperti yang dilakukan oleh jumhur ummah dan ulama adalah sesuatu yang amat mustahak lebih-lebih lagi pada masa kini yang penuh dengan kejahilan dan kekufuran. Mereka sudah memudahkan urusan ummah dalam segala segi dan bidang. Memilih untuk berijtihad sendiri dan meninggalkan ajaran mereka yang jauh lebih hebat dari kita adalah sama seperti meninggalkan Mann dan Salwa hanya semata-mata demi untuk mendapatkan timun dan bawang.

Dan Allah ta’ala jualah yang Maha Mengetahui.

Posted in Fokus Isu, Klinik Agama | 2 Comments »

Elak unsur agama ketika rai perayaan bukan Islam

Posted by epondok di Disember 25, 2020

Oleh Ibrahim Abdullah

Rumah terbuka sekadar rapatkan hubungan sesama manusia di luar konteks akidah

MASYARAKAT majmuk di negara ini merayakan pelbagai perayaan seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Krismas dengan semangat meningkatkan persefahaman, muhibah, toleransi dalam kalangan masyarakat berbilang fahaman.

Mengikut garis panduan dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai perayaan itu, ada pendapat mengatakan hukum merayakan hari perayaan agama lain adalah haram. Mereka bimbang perbuatan itu boleh menjejaskan akidah atau secara tidak langsung akan membawa kefahaman bahawa semua agama adalah sama.

Berdasarkan buku Hukum Merayakan Perayaan Kaum-kaum Bukan Islam, tulisan Dr Abdul Hayei Syukor, ada dua pandangan berbeza dari sudut hukum mengenai orang Islam turut merayakan hari perayaan bukan Islam.

Kekeliruan dari sudut hukum merayakan hari perayaan agama lain atau dalam konteks ‘rumah terbuka nasional’ berpunca daripada fahaman kurang jelas terhadap maksud merayakan atau mengucapkan ucapan selamat hari kebesaran kaum lain itu.

Jika maksud merayakan itu adalah ikut serta berhari raya, mereka merelakan kekufuran orang bukan Islam dan bermuamalah atas nama agama mereka, ia adalah bercanggah dengan ajaran Islam.

Sebaliknya, jika merayakan hari perayaan kaum lain sekadar hanya ikut bercuti pada hari itu atau menyertai perayaan mereka untuk merapatkan perhubungan sesama manusia, maka ia adalah di luar daripada konteks meraikan akidah atau merelakan agama mereka.

Menurut Fatwa Lajnah Daaimah, kunjungan terhadap perayaan bukan Islam tidak boleh dilakukan kerana akan menyebabkan orang yang melakukannya berdosa.

Berdasarkan persoalan hukum itu, pihak menganjurkan majlis perlu meneliti adakah perayaan yang dianjurkan mempunyai unsur agama atau semata-mata bercirikan kebudayaan. Kedua-dua unsur ini perlu diteliti bagi memastikan sambutan perayaan tidak menyinggung sensitiviti keagamaan orang awam yang menyertainya.

Perayaan bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam ialah:

# Majlis itu tidak disertakan upacara bertentangan akidah Islam contohnya menyertakan simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin dan pokok Krismas.

# Majlis itu tidak disertakan perbuatan bertentangan syarak yang diamalkan masyarakat bukan Islam iaitu memakai pakaian seperti Santa Claus.

# Majlis itu tidak disertakan perbuatan bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam seperti percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan. Berpakaian menjolok mata, mendengarkan lagu mempunyai seni kata berunsur lucah serta pemujaan. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik dan laga ayam.

Penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam seperti mengikut garis panduan yang dikeluarkan JAKIM.

Sementara itu, sebahagian ulama berpendapat mengucapkan selamat pada hari raya bukan Islam adalah diharamkan. Alasannya, ketika mengucapkan seperti itu bererti seseorang setuju dan reda dengan syiar kekufuran yang mereka perbuat.

Meskipun seseorang tidak reda dengan kekufuran itu sendiri, namun tetap tidak dibolehkan bagi seorang Muslim untuk reda terhadap syiar kekufuran atau memberi ucapan selamat pada syiar kekafiran lainnya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Jika kamu kafir maka sesungguhnya Allah tidak memerlukan (imanmu) dan Dia tidak meredai kekafiran bagi hamba-Nya, dan jika kamu bersyukur, nescaya Dia meredai kesyukuranmu itu.” (Surah az-Zumar, ayat 7)

Firman-Nya lagi bermaksud: “Pada hari ini (Arafah) telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku redakan Islam itu jadi agama bagimu.” (Surah al-Ma’idah, ayat 3).

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Riba perosak sistem ekonomi adil

Posted by epondok di Disember 24, 2020

Oleh Mohd Noor Omar

Sistem kewangan, perbankan Islam perlu telus dalam urusan jual beli agar peminjam tak terbeban

KEWANGAN Islam sudah diterima umum dan menjadi satu industri yang amat memberangsangkan. Namun terdapat tanggapan bahawa kemudahan kewangan Islam tiada beza dengan kewangan konvensional kecuali nama kontrak berkenaan dalam bahasa Arab dan borang berwarna hijau. Kalau kontrak itu pinjaman, pelanggan masih perlu membayar lebih dari apa yang dipinjamkan atau kadang-kadang lebih tinggi. Adakah sama faedah dan keuntungan dan kenapa faedah diharamkan tetapi keuntungan dibenarkan sedangkan yang bezanya hanya perkataan dan tulisan.

Persoalannya, adakah tanggapan ini benar atau orang beranggapan begini tidak faham konsep akad atau berlaku pengubahsuaian dalam kontrak kewangan Islam sehingga pelanggan lebih tidak faham daripada faham terhadap apa yang berlaku. Namun, sama ada faham atau tidak, manusia perlukan satu sistem kewangan yang bebas daripada amalan yang ditegah, terutama riba hasil urusan pinjam meminjam. Hebatnya kewangan Islam bukan kerana jenamanya tetapi prinsip utama yang digariskan Allah SWT.

Faedah dalam urusan kewangan biasanya merujuk kepada lebihan yang diperoleh daripada wang asas yang dipinjamkan manakala keuntungan pula adalah pulangan yang diperoleh hasil menjual barangan atau perkhidmatan. Islam melarang keras amalan mengambil faedah daripada pinjaman yang disebutkan sebagai riba manakala amalan jual beli dengan kadar keuntungan dibenarkan.

Aktiviti utama bank konvensional ialah antara lain berurusan dengan pinjaman dan mendapat keuntungan hasil daripada pinjam meminjam wang. Wang diniagakan dengan memberikan pinjaman wang untuk mendapatkan keuntungan ke atas apa yang diberikan. Sekiranya perbankan Islam membuat urusan yang sama dan cuba membezakan kulit luar, warna dan jenama, maka betullah tanggapan mengatakan perbankan dan kewangan Islam tiada bezanya. Sebarang bentuk pinjaman dalam sistem kewangan mestilah menepati `akad Qard al-hasan` iaitu pinjaman tanpa dikenakan sebarang faedah.

Apa yang berlaku ialah institusi kewangan memberi wang dan mendapat pulangan yang melebihi wang asas sebagai keuntungan. Untuk menjadikannya sebagai jual beli, maka beberapa pendekatan diambil supaya dapat menjadikan aktiviti ini nampaknya seolah-olah jual beli. Helah disusun dengan teliti dan dialaskan dengan hujah yang mengharuskan jenama kontrak tertentu yang pada hakikatnya tidak dilaksanakan mengikut keperluan asal. Pendapat ulama digunakan dan yang malangnya, pengamal kewangan Islam sendiri mencari jalan untuk merombak bentuk asal akad tetapi menisbahkannya kembali kepada ulama yang tidak lagi dapat memantau ketelusan perubahan dan rombakan yang dibuat.

Pengharaman riba memang jelas tetapi yang agak kabur adalah beza di antara amalan riba dan jual beli. Namun, sebagai Muslim yang bertanggungjawab, perincian mengenainya perlu mendapat keutamaan bukannya menjadi dalang yang membuka pintu kepada kemurkaan Allah SWT. Jangan tergolong di dalam golongan yang disentuh al-Quran sebagai satu kumpulan yang cuba membolehkan apa yang tidak dan sanggup bersusah-susah untuk menjualbelikan riba.

Allah SWT menegaskan di dalam al-Quran mengenai halalnya jual beli dan mengharamkan riba. Imam al-Ghazali menghuraikan bahawa, `Riba diharamkan kerana riba boleh menghalang orang ramai dari terbabit secara langsung dengan aktiviti ekonomi sebenar`. Pengharaman riba atau apa-apa saja nama lain bagi riba adalah untuk mengelakkan penindasan pihak yang mempunyai wang ke atas orang yang memerlukan. Perkara ini jelas bercanggah dengan kepentingan kemanusiaan kerana peminjam tiada pilihan lain terpaksa membayar lebih dari apa yang diperoleh dalam pertukaran.

Lanjutan itulah hukum ini juga ialah hilangnya keseimbangan, pertikaian ketelusan, tekanan terhadap golongan kurang mampu dan lenyapnya keadilan dalam urus niaga. Apabila ia dibiarkan berleluasa, keseluruhan sistem ekonomi akan menjadi rapuh kerana aktiviti ekonomi sebenar tidak jelas sama sekali.

Oleh itu, memahami, membezakan dan menjarakkan di antara jual beli dan riba bukan saja penting tetapi menjadi tanggungjawab pengamal kewangan Islam. Hukum berkenaan tetap sama tidak kira nama, warna atau rupa. Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat rupa atau harta (luaran sesuatu) tetapi melihat kepada pendirian (hati) dan amalannya. Gambaran besarnya dosa amalan riba melebihi perbuatan zina yang terkutuk walaupun perzinaan itu berlaku dengan keredaan.

Begitu juga yang berlaku di dalam industri. Walaupun permintaan kepada ‘skim pinjaman wang Islam’ makin meningkat dan ‘menguntungkan’ namun, ia bukanlah alasan untuk membuka pintu amalan riba. Keuntungan jangka pendek golongan tertentu apatah lagi mengorbankan kekananan tuntutan ajaran Islam tidak tergolong sama sekali di dalam maqasid syariah.

Riba adalah kezaliman yang berlaku dalam muamalah yang boleh meruntuhkan keseluruhan sistem ekonomi. Apabila keadilan, ketelusan dan keseimbangan dinafikan, lihatlah bagaimana krisis ekonomi dunia masyarakat antarabangsa hadapi sekarang. Sampai ke satu tahap, kerapuhan muamalah berasaskan riba menunjukkan dirinya yang rapuh dengan menghancurkan dan memberi kesan yang ketara terhadap keyakinan muamalah ekonomi sebenar.

Untuk pulih, keseluruhan sistem perlu dirangka semula selari dengan ajaran Islam. Kefahaman konsep muamalah dan mentakrif semula syarat serta rukun jualbeli menjadi satu kemestian. Akad muamalah sebenarnya datang dengan pakej pengurusan risiko di dalamnya. Sekiranya aspek pengurusan risiko ini diabaikan dengan membuat rombakan syarat atau mengahwinkan akad yang tidak sesuai, maka akan lahir risiko yang lebih rumit.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Salasilah Sheikh Daud Abdullah Fathani

Posted by epondok di Disember 23, 2020

Koleksi Tulisan Allahyarham: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
NAMA penuh beliau ialah al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani Syeikh Wan Daud bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris (juga dikatakan Wan Senik) al-Fatani. Ibunya bernama Wan Fathimah anak Wan Salamah bin Tok Banda Wan Su bin Tok Kaya Rakna Diraja bin Andi (Faqih) Ali Datok Maharajalela bin Mustafa Datu Jambu (Sultan Abdul Hamid Syah) bin Sultan Muzaffar Waliullah bin Sultan Abu Abdullah Umdatuddin.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Syeikh Daud Patani ini mempunyai lima beradik iaitu Syeikh Wan Abdul Qadir, Syeikh Wan Abdul Rasyid, Syeikh Wan Idris dan seorang adik perempuan namanya Siti Khadijah bin Abdullah al-Fathani.

Syeikh Daud al-Fathani adalah keturunan Faqih Ali. Rujukan asal yang mengatakan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Faqih Ali diperolehi tulisan Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan iaitu: “Syahdan dan pada suatu masa bulan sedang mengambang di tepi langit, tersebutlah cerita anak raja Bugis lari daripada saudaranya menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan tumpang duduk berkirim diri rumah Laksamana Kota Tinggi, dipanggil Andik Ali.

“Tatkala Laksamana memandang kepadanya berasalah kasihan belas dan dipeliharanya sebagai anak angkatnya sendiri. Tidak berapa tahun kemudian diperjodohkan dengan anaknya Wan Tija. Tidak berapa lama selepas itu Andik Ali serta dengan isterinya pun beredar ke Patani menumpang di rumah Mekong Damit Kampung Bira pada tahun 1049 H.

“Maka kerana lemah lembut tingkah lakunya dan berpelajaran orang di Patani memanggilnya Faqih Ali. Di situ ia beristeri kepada Ce’ Dewi anak Sri Biji Diraja. Baginda sampai di Patani kira-kira tahun 1637 M”.

Berbalik kepada Syeikh Daud al-Fathani, beliau dilahirkan di Kampung Parit Marhum, Kerisek, Patani. Kota Kerisek ini terkenal dalam sejarah kerana di sinilah Maulana Malik Ibrahim iaitu salah seorang Wali Songo pernah tinggal dan mengajar, sebelum berpindah ke Jawa Timur.

Tahun kelahirannya tidak dapat dipastikan kerana terdapat perselisihan pendapat di kalangan penyelidik mengenainya. Dalam catatan-catatan beberapa keluarga penulis yang ada hubungan dengan beliau, ada yang mencatat tahun 1133 H, 1153 H dan tahun 1183 H.

Sheikh Daud dan ilmu pengetahuan

Ayah Sheikh Daud iaitu Sheikh Wan Abdullah dan datuknya Sheikh Wan Idris adalah ulama besar untuk zamannya. Sejak kecil Sheikh Daud al-Fathani ditanam dan dididik dengan ajaran Islam oleh datuk dan ayahnya.

Tambahan pula menjadi tradisi zaman itu di Patani sentiasa diperkenalkan Islam sejak kanak-kanak lagi. Anak-anak yang berumur lima atau enam tahun dipaksa supaya menghafal pengetahuan mengenal Allah (ilmu tauhid), dan seterusnya diberi pelajaran nahwu dan sharaf juga secara menghafal.

Syeikh Daud al-Fathani telah melalui kesemua sistem pendidikan tradisional yang ada di Patani pada ketika itu.

Pada peringkat awalnya Syeikh Daud berguru dengan kaum keluarganya sendiri yang memang terkenal alim. Seorang daripada mereka ialah bapa saudaranya, Sheikh Shafiyuddin.

Ada yang berpendapat bahawa Sheikh Daud al-Fathani menerima pelajaran asasnya di Patani selama lima tahun, kemudian ke Aceh belajar dengan Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi selama dua tahun. Sheikh Muhammad Zain al-Asyi adalah seorang ulama terkemuka di Kesultanan Aceh.

Namun yang dapat dipercayai bahawa Sheikh Daud al-Fathani dan kawan-kawannya telah belajar di Mekah selama 30 tahun dan lima tahun di Madinah. Disebabkan masa belajar yang lama itu beliau digelar al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani.

Setelah demikian lama beliau menuntut ilmu pengetahuan, maka beliau pulang ke Patani untuk menyebarkan ilmu pengetahuan di negeri tumpah darah sendiri. Namun timbul krisis peperangan antara Patani dengan Siam pada ketika itu.

Diriwayatkan bahawa beliau melibatkan diri dalam peperangan itu, terjun secara langsung di gelanggang jihad fi sabilillah.

Apabila terjadi peperangan tersebut, akhirnya beliau kembali ke Mekah bersama-sama beberapa pelarian politik. Sampai di Mekah, beliau dilantik menjadi Ketua Sheikh Haji dan beliau adalah orang pertama dilantik secara langsung sebagai ketua. Beliau juga melibatkan diri dengan penulisan yang merupakan hobi beliau, di samping mengajar di Masjidil Haram. Karangannya dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Arab.

Karangan beliau dalam bahasa Arab tidak banyak tersebar di Asia Tenggara. Adapun dengan bahasa Melayu tersebar secara meluas, walaupun di zamannya masih merupakan kitab tulisan tangan sahaja kerana belum ada yang bercetak.

Dalam beberapa karyanya, beliau mengupas masalah-masalah keilmuan. Antara lain tulisan beliau: Maka lazimkan olehmu hai saudaraku dengan menuntut ilmu yang fardu ain yang wajib atasmu. Belajar akan dia pada syarak supaya engkau dapat sahkan iktikad kamu dan ibadat kamu. Dan supaya sejahtera daripada seksanya. Dan supaya engkau akan dapat pahala, keredaan dan kasihnya”.

Pada mukadimah karyanya Bughyatuth Thullab, beliau menulis, ertinya “Dan adapun kemudian daripada itu maka bahawasanya beberapa nafas yang cerdik-cerdik yang menuntut bagi beberapa martabat yang tinggi-tinggi sentiasa perangainya itu di dalam menghasilkan beberapa ilmu syarak.

Beliau juga membuat penafsiran dalam beberapa hadis. Antaranya hadis berikut, “Sedikit Fiqhi itu lebih baik daripada banyak ibadat” yang ertinya: “Barang siapa belajar ilmu dan tiada berkehendak dengan dia akan wajah Allah s.w.t., tiada kerana-Nya melainkan supaya mengena dengan dia akan kehendaknya daripada dunia tiada akan bilik syurga yang ke atas pada hari kiamat”.

Beliau mengulas tentang hadis-hadis tersebut dalam Bughyatuth Thullab seperti berikut: “Maka dapat difahami hadis ini, tiada dipuji daripada kelebihan ilmu itu melainkan jikalau ada qasadnya dan tuntutnya itu berkehendak dengan dia akan wajah Allah s.w.t. dan berkehendak ia mengeluarkan dirinya daripada kelam kabut jahilnya kepada Nur ilmu.

“Maka jika ada qasadnya akan dunia seperti harta atau kebesaran atau gelaran atau kemegahan atau masyhur atau melengkapi muka manusia kepadanya dan lainnya maka iaitu dicela seperti barang yang tersebut pada hadis itu”.

Menurut beliau lagi: “Maka tatkala adalah kelebihan ilmu demikian itu maka sebenarnya bahawa tiap-tiap orang yang kasih bagi dirinya kebajikan maka hendaklah ia ijtihad atas qadar kuasa pada menghasilkan dia, kadang-kadang mengaji, kadang-kadang mengajar, kadang-kadang menunjukkan orang yang jahil satu bab daripada masalah memberi manfaat pada agama istimewa pula jikalau lebih lagi”.

Daripada kalimat-kalimat beliau itu dapatlah kita fahami bahawa seseorang Islam yang bertanggungjawab adalah terlebih dahulu memberikan pendidikan agama Islam kepada anak-anaknya. Ini adalah merupakan kewajipan agama Islam.

Adapun pendapat Sheikh Daud al-Fathani bahkan ulama-ulama di zaman lampau lebih terikat dan menitikberatkan pendidikan Islam berbanding pendidikan lainnya. Menurut Islam, yang utama dipelajari ialah belajar akan memberi faham dua kalimah syahadat, wajib taharah (bersuci), solat, puasa, hukum zakat, hukum berjual-beli menurut Islam dan lain-lainnya, semuanya telah diatur dalam fikah Islam.

Sheikh Daud al-Fathani dalam Bughyatuth Thullab berkata: “Selagi seseorang masih tidak mengerti akan seluk belok tentang keIslaman, maka seseorang itu tetap masih jahil, walau pengetahuan lain masih dikuasai demikian rupa”.

Kewafatan

Sheikh Daud al-Fathani wafat dan dimakamkan di Taif. Kuburnya bersampingan dengan kubur Saidina Abdullah bin Abbas iaitu sepupu Rasulullah s.a.w.. Tahun kewafatannya juga belum diketahui dengan pasti. Tetapi ada yang berpendapat beliau wafat sekitar tahun 1847 M, juga ada yang menyebut tahun 1265 H.

Menurut cerita ibu penulis Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani, beliau mendengar daripada ibunya, Hajah Wan Siti Saudah binti Abdullah bahawa jenazah beliau telah dipindahkan oleh Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani ke Mekah, ditanam di bawah pohon Bedara di rumahnya.

Hal ini disebabkan pada zaman itu pihak Wahabi akan membongkar semua kubur yang dikeramatkan termasuk kubur Sheikh Daud al-Fathani.

Bagi penulis, walaupun beliau telah lama meninggal dunia namun jenazahnya tidak hancur, darah masih berjalan kecuali nafas sahaja yang tiada.

Posted in Tokoh Ulama' | 3 Comments »

Musibah matinya hati

Posted by epondok di Disember 21, 2020

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

KEHADIRAN bulan Safar al-Khair mengimbau kembali kisah kegeringan Rasulullah SAW sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 12 Rabiulawal. Jika Rasulullah SAW itu adalah kekasih dan keutamaan kita, maka sudah tentu saat-saat yang memilukan itu menarik perhatian dan perasaan kita.

Sesungguhnya kewafatan Rasulullah SAW adalah musibah terbesar bagi umat Islam sehingga terdapat ulama yang menulis buku khusus mengenai musibah kewafatan Rasulullah. Setelah kewafatan Baginda, ada yang masih lemah imannya menjadi murtad, tidak mahu menunaikan zakat dan berpecah belah. Sesungguhnya inilah musibah terbesar yang pernah menimpa sahabat-sahabat Baginda. Hanya kekentalan iman menjadi penyelamat ketika itu.

Hari ini, umat Islam ditimpa musibah yang tidak kurang besarnya iaitu matinya hati. Pelbagai peringatan yang diberikan tetapi bak mencurah air di daun keladi. Inilah penyakit hati yang dikhuatiri oleh Rasulullah akan berlaku ke atas umatnya. Inilah kematian yang paling sukar untuk dipastikan kerana tidak ditandai dengan kain kapan putih ataupun batu nisan.

Apa pun, selaku insan yang sentiasa menginsafi diri, kita masih boleh menghisab diri, apakah musibah ini telah mengenai diri kita atau kita termasuk di kalangan mereka yang terselamat. Terdapat tiga tanda yang digariskan oleh ulama iaitu, tidak merasa sedih apabila tidak berkesempatan melakukan amal ketaatan, tidak menyesal apabila terlanjur melakukan dosa dan suka bersahabat dengan orang-orang yang lalai dan telah mati hatinya. Inilah alamat ringkas yang diletakkan oleh Syeikh Ibnu ‘Atoillah dalam kalam hikmahnya.

Maka dapat difahami bahawa keriangan dan kegembiraan seseorang kerana ketaatan yang dilakukannya dan kesedihan seseorang disebabkan maksiat yang dilakukannya merupakan tanda hidupnya hati seseorang. Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang digembirakan oleh kebaikannya dan disedihkan oleh kejahatannya, maka dia adalah orang mukmin.” (riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan al-Hakim)

Namun, ini bukanlah kegembiraan yang bercampur dengan perasaan ‘ujub. Orang yang bersifat ‘ujub hanya memandang kepada daya dan kekuatannya dan lupa tentang anugerah Allah dalam mengurniakan taufik dan hidayah kepadanya. Hendaklah kita menjauhi sifat ‘ujub kerana ia boleh menghapuskan pahala amal-amal yang dilakukan. Begitu juga perasaan riak.

Amal kebaikan merupakan tanda keredaan Allah dan keredaan-Nya membawa kepada kegembiraan. Manakala amal kejahatan merupakan tanda kemurkaan Allah dan kemurkaan-Nya membawa kepada kesedihan. Sesiapa yang diredai oleh Allah, maka Allah mengizinkannya untuk melakukan amal soleh. Sesiapa yang dimurkai oleh Allah, maka Allah meninggalkannya dan membiarkannya berada dalam kelalaian dan kehinaan.

Abdullah ibn Mas’ud RA berkata: “Orang mukmin melihat dosa-dosanya seolah-olah dia sedang berada di kaki gunung; dia takut kalau gunung itu akan menghempapnya. Manakala ahli maksiat melihat dosanya hanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya maka mudah untuk menghalaunya.”

Namun demikian, tidak sepatutnya pula seseorang hamba yang apabila telah melakukan dosa, dikalahkan oleh kesalahan yang dilakukannya. Dikalahkan dalam bentuk bersikap pesimis, tidak lagi mengharap keampunan Tuhannya dan berprasangka buruk terhadap Tuhannya. Bagi orang yang benar-benar beriman dan hidup hatinya, rasa khawf dan raja’ (takut dan harap kepada Allah) mesti ada pada dirinya. Allah telah menyifatkan para nabi dan rasul-Nya serta pengikut mereka dari kalangan kaum mukminin yang solehin dengan kedua-dua sifat ini, sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Israa’ ayat 57.

Syeikh Ibnu ‘Atoillah RA menyatakan dalam Hikamnya: “Janganlah kerana besarnya dosa di sisi kamu, menghalang kamu daripada berprasangka baik dengan Allah kerana orang yang telah kenal Tuhannya, nescaya akan menganggap dosanya kecil di sisi kemurahan Allah yang luas.”

Manakala sebab yang membawa kepada matinya hati ialah cintakan dunia, lalai daripada mengingati Allah dan menggunakan anggota untuk melakukan maksiat.

Di antara perosak yang terbesar ialah kasih terhadap dunia, berkeinginan kepadanya, sangat tamak terhadapnya, berminat dengannya, kasihkan pangkat dan harta dunia dan tamak terhadap keduanya, kikir dan bakhil dengan harta dunia. Firman Allah dalam surah Hud ayat 15-16.

Kecintaan kepada dunia adalah kepala segala kejahatan. Ia akan menghalang seseorang daripada melakukan kebaikan akibat hati yang telah digelapi oleh perkara-perkara keduniaan. Justeru, Syeikh Ibnu ‘Atoillah menyatakan “Bagaimana hati dapat bercahaya, sedangkan gambaran-gambaran alam maya termeteri di cermin hati?”

Allah SWT menjadikan hati manusia itu seperti cermin yang memaparkan dan memantulkan imej setiap benda yang dihadapkan kepadanya. Cermin itu pula hanya mempunyai satu muka. Apabila Allah SWT hendak memberikan inayah-Nya kepada seseorang hamba, maka Dia menyibukkan fikiran hamba tersebut dengan cahaya-cahaya-Nya dan pelbagai kebaikan dan Dia tidak membelenggu atau menambat hati hamba tersebut dengan suatu perkara dari alam yang gelap dan khayalan yang meragukan. Maka terpaparlah di cermin hatinya cahaya-cahaya iman dan ihsan, dan terpancarlah padanya cahaya tauhid dan makrifah.

Begitulah sebaliknya, jika Allah mahu membiarkan seseorang hamba (mengeluarkannya daripada inayah-Nya) dengan keadilan dan kebijaksanaan-Nya, maka Dia akan menyibukkan pemikiran hamba tersebut dengan kegelapan dunia dan syahwat. Maka kegelapan dunia ini akan terpapar di cermin hatinya. Lalu hatinya akan terhijab daripada sinar makrifah dan cahaya keimanan.

Semakin banyak gambaran dunia bertindih-tindih di cermin hatinya, maka semakin pudar cahayanya dan semakin tebal hijabnya. Maka dia tidak akan dapat melihat melainkan apa yang zahir sahaja dan dia tidak dapat berfikir melainkan perkara lahiriah sahaja.

Ada di antara hijabnya sangat dahsyat hingga menutup seluruh hati dan seluruh cahaya terpadam hingga dia menafikan terus kewujudan cahaya dari asalnya. Semoga dilindungi oleh Allah.

Ada di antaranya pula, hanya sedikit karatnya dan nipis hijabnya, maka dia mengakui kewujudan cahaya tersebut tetapi tidak dapat melihatnya. Ini ialah makam (kedudukan) kaum Muslimin awam.

Dalam hadis Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya hati itu akan berkarat sepertimana karatnya besi, dan sesungguhnya iman itu akan lusuh seperti lusuhnya baju yang baru.”

Namun dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap sesuatu itu ada penggilapnya dan penggilap hati ialah zikrullah.”

Sabda Rasulullah SAW juga: “Sesungguhnya seseorang hamba itu apabila melakukan kesalahan, digores di dalam hatinya dengan bintik hitam. Sekiranya dia menanggalkannya dan memohon keampunan, maka ia akan berkilau. Sekiranya dia kembali melakukan kesalahan, ditambah pada hatinya bintik hitam tersebut sehingga menyelubungi hatinya.” Maka itulah selaput kegelapan yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah al-Mutoffifin ayat 14.

Cahaya iman dan ihsan

Ketahui bahawa hati itu hanya mempunyai satu wajah, apabila kamu hadapkan cahaya kepadanya maka ia akan bersinar, dan apabila kamu hadapkan kegelapan kepadanya maka ia akan menggelap, kegelapan dan cahaya itu tidak pernah bersatu, maka fahamilah pula kata-kata Syeikh Ibnu ‘Atoillah yang menyebut: “Bagaimanakah hati itu boleh bersinar dengan cahaya iman dan ihsan, sedangkan gambaran alam dan dunia yang gelap terpapar di cermin hati?”

Sesungguhnya dua perkara yang berlawanan tidak mungkin akan bersatu sebagaimana firman Allah SWT pada surah al Ahzaab ayat 4.

Sedarlah wahai insan! Kamu tidak memiliki dua hati tetapi hanya satu. Apabila kamu hadapkan hati kamu itu kepada makhluk dan dunia ini, maka ia akan membelakangkan Allah. Apabila kamu hadapkannya kepada Allah, maka ia akan membelakangkan makhluk dan kamu akan mampu berjalan kepada Allah. Selama kamu tertambat dengan syahwat dan keduniaan kamu di dalam alam ini, maka kamu tidak akan mungkin dapat berjalan kepada Tuhan kamu, tidak juga kepada apa yang diisyaratkan oleh Syeikh Ibnu ‘Atoillah al Sakandari RA.

Selama hati masih tertawan atau terpenjara di dalam penjara kecenderungan atau keinginan kepada sesuatu yang akan binasa, dia masih terikat dengannya. Orang yang mempunyai hati sedemikian, tidak akan dapat berjalan menuju kepada keredaan Allah. Bahkan, tidak akan terpancar ke atasnya cahaya makrifat. Keterikatan hatinya dengan syahwat merupakan penghalang yang akan menegah dan menghalangnya daripada menuju kepada Allah disebabkan kesibukan dan keasyikannya dengan perkara-perkara yang memalingkannya daripada berjalan menuju kepada Allah.

Sekalipun tidak dinafikan dia mungkin dapat berjalan bersama nafsu syahwatnya, nafsunya akan melemahkan dan menghalangnya daripada dapat berjalan dengan cepat kerana kecenderungannya terhadap nafsu syahwatnya. Sekalipun dia mungkin dapat berjalan dengan cepat, dia tetap tidak akan aman daripada perkara-perkara yang akan menggelincirkannya kerana keseronokan dan kesenangannya dengan syahwat tersebut.

Sebab itu, para pembesar Sufi meninggalkan kelazatannya, sehingga berkata sebahagian daripada mereka: “Sengatan tebuan atas badan yang luka itu lebih ringan daripada sengatan syahwat atas hati orang yang sedang bertawajjuh kepada Allah.” (Ibnu ‘Ajibah, Iqaz al-Himam, H: 44)

Justeru, wahai saudaraku! Putuskanlah dan lepaskanlah dirimu dari perkara yang menghalang perjalanan kamu. Berjalan dan berhijrahlah kamu kerana hijrah adalah merupakan sunnah Rasulullah SAW. Semenjak Nabi SAW berhijrah, Baginda SAW tidak pernah menikmati masa untuk berehat melainkan di dalam musafir untuk berjihad sehingga Allah membuka sebuah negara untuknya.

Begitu juga para sahabat, hanya segelintir sahaja daripada mereka yang tinggal tetap di negara mereka sehingga dengan tangan-tangan mereka Allah membuka negara-negara yang lain dan memberikan petunjuk kepada hamba-hamba Allah yang lain. Semoga Allah memanfaatkan kita dengan keberkatan mereka, Amin.

Hidupkanlah hati kita dengan meninggalkan terlebih dahulu perkara-perkara yang boleh menggelapkan dan mematikan hati. Selanjutnya sinarilah ia dengan cahaya-cahaya ketaatan dan keikhlasan. Sesungguhnya hati yang hidup akan sentiasa mendorong pemiliknya melakukan amal dan ketaatan dan meninggalkan dosa dan kejahatan dengan hati yang gembira tanpa rasa penat dan payah. Wallahu a’lam.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Syeikh Uthman Jalaluddin Penanti menguasai pelbagai bidang ilmu

Posted by epondok di Disember 21, 2020

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

MURID Tok Kenali Kelantan yang menjadi ulama besar yang terkenal memang ramai. Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti al-Kalantani termasuk salah seorang di antara mereka. Perjuangan jihad keilmuan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti, sama ada dalam penerapan di ruangan mengajar mahu pun menyebarkan pengkaryaan tulisan mempunyai sistem yang tersendiri. Jika kita menoleh ke belakang sewaktu mencari ilmu itu sendiri Utsman Jalaluddin mempunyai pengalaman yang berbeza dari orang lain.

Nama lengkap beliau ialah Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti bin Muhammad bin Abdus Shamad al-Kalantani, lahir di Kampung Panjang, Daerah Sering, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1297 H/1880 M. Ada riwayat lain menyebut bahawa beliau lahir tahun 1300 H/1882 M dan wafat di Mekah, hari Jumaat, 30 Zulhijjah 1371 H/19 September 1952 M. Saya berpendapat, kelahiran tahun 1300 H/1882 M adalah yang dapat dipegang kerana menurut riwayat, Utsman Jalaluddin sama tua dengan sahabatnya, Syeikh Ismail bin Abdul Qadir al-Fathani atau Pak De `El, yang lahir tahun 1300 H/1882 M.

Sewaktu masih berada di Kelantan, Utsman Jalaluddin belajar kepada Haji Jamal di Perupok. Selanjutnya belajar kepada Mufti Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal. Utsman Jalaluddin melanjutkan pelajarannya di Mekah dan bermukim di sana mulai tahun 1319 H/1901 M. Pada tahun tersebutlah Utsman Jalaluddin bersahabat dengan Pak De `El al-Fathani.

Kedua-duanya termasuk golongan murid termuda Syeikh Ahmad al-Fathani. Walau bagaimana pun, kedua-duanya duduk dalam majlis pengajian dengan orang-orang yang lebih tua, di antara mereka ialah Tok Kenali.

Syeikh Utsman Jalaluddin al-Kalantani dan Pak De `El al-Fathani, sempat belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani hanya sekitar tujuh tahun sahaja, kerana Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia pada tahun 1325 H/1908 M. Walau pun masih ramai guru beliau di Mekah selain, Syeikh Ahmad al-Fathani, namun Syeikh Utsman Jalaluddin akhirnya pulang ke Kelantan dan belajar kepada Tok Kenali.

Syeikh Utsman Jalaluddin kahwin dengan Hajah Sara binti Haji Muhammad Saleh bin Syeikh Jalaluddin al-Kalantani. Mengenai datuk pada Hajah Sara, iaitu Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya’ bin Abdul Ghafur al-Kalantani. (Rujuk Bahagian Agama, Utusan Malaysia, terbitan hari Isnin, 13 September 2004, Seksyen 3, halaman 9.)

Hendaklah diperhatikan bahawa Hajah Sara (isteri Syeikh Utsman Jalaluddin) neneknya juga bernama Hajah Sara (isteri Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya’ bin Abdul Ghafur al-Kalantani). Hajah Sara binti Haji Muhammad Tahir al-Fathani adalah adik-beradik dengan Haji Ibrahim (Pak Him). Haji Ibrahim (Pak Him) ini ialah ayah kepada Mufti Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang), iaitu datuk kepada Datuk Seri Abdullah Badawi Perdana Menteri Malaysia).

Salah seorang anak Syeikh Utsman Jalaluddin ialah Tuan Guru Haji Saleh. Pertama kali saya berjumpa Tuan Guru Haji Saleh, iaitu pada tahun 1976 dan baru-baru ini pada malam Ahad, 30 Rejab 1426 H/4 September 2005 M, beliau datang ke majlis tempat saya mengajar. Pada tarikh tersebut banyak maklumat baru saya dengar daripada Tuan Guru Haji Saleh di antaranya; ada yang dimuat dalam artikel ini. Tuan Guru Haji Saleh menceritakan bahawa beliau belajar kitab Tashil Nail al-Amani (nahu) dari ayahnya Syeikh Utsman Jalaluddin.

Syeikh Utsman Jalaluddin secara langsung bersama-sama Pak De `El al-Fathani belajar kepada penyusun kitab itu, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.

Tuan Guru Haji Saleh menceritakan pula, bahawa ayahnya Syeikh Utsman Jalaluddin menceritakan Syeikh Ahmad al-Fathani adalah seorang yang sangat bijak menggubah syair dan sangat besar pengaruhnya di Mekah. Kata beliau, pernah terjadi seorang yang telah dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Mekah. Keluarga yang dihukum, mengadu halnya kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad menggubah syair, dikirim kepada Sultan Turki dan Mahkamah Mekah. Akhirnya, orang yang telah jatuh hukuman mati itu tidak jadi dijatuhi hukuman mati.

Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti al-Kalantani termasuk ulama dunia Melayu yang menghasilkan karya yang banyak ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Di antaranya ialah:

1. Tathrif al-‘Arfi fi Tashrif ash-Sharf, ditulis dalam dwi bahasa, Arab dan Melayu. Diselesaikan pada 23 Zulhijjah 1354 H/1935 M. Kandungan membahas ilmu saraf. Di antara maklumat pada mukadimah Syeikh Utsman Jalaluddin mencatatkan, “Padahal sungguhnya telah hamba pungut akan dia daripada mutiara tashrif yang amat elok bagi guru hamba yang alim lagi yang amat dalam ilmunya, lagi menghimpun bagi beberapa fan ilmu yang bangsa kepada agama, iaitu Muhammad Yusuf yang dimasyhurkan gelarannya di seluruh tanah-tanah Melayu dengan Tok Kenali di negeri Kelantan. Yang telah diwafatkan dia pada hari Ahad, 2 Syaaban 1352 Hijrah.

Mudah-mudahan diliputi kiranya akan dia oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan rahmat-Nya yang diredhai. Dan demikian tashrif itu, ialah daripada seelok-elok peraturan pada permulaan pengajaran ilmu Arab. Dan sungguhnya tiada hampir didapatkan seumpamanya pada masa yang kemudian, dan pada masa yang dahulu-dahulu…” Cetakan yang pertama Mathba’ah Persama, 83 Achen Street, Penang, 1354 H. Cetakan yang kedua oleh percetakan yang sama tahun 1358 H dijadikan tiga juzuk, ialah juzuk yang pertama dan kedua dalam satu jilid, sedang juzuk yang ketiga dalam jilid yang lain.

2. Asy-Syarh al-Kabir, ditulis dalam bahasa Arab. Diselesaikan pada 16 Syaaban 1358 H/30 September 1939 M. Kandungan membahas ilmu saraf. Di halaman kulit belakang diiklankan nama-nama karya Syeikh Utsman Jalaluddin ialah: Fath al-Mu’in Arab-Melayu, jilid 1 sampai jilid 4, Tafsir Jalalain Arab-Melayu, jilid 1 dan jilid 2, Mathali’ al-Anwar wa Majali’al-Azhar, jilid 1 dan jilid 2, Qiladah al-‘Iqyan fi Sya’bi al-Iman, jilid 1, Mir-ah al-Iman, Miftah al-Jinan (tasawuf), Siraj al-Islam Hadits Nur Nabi, Nujum al-Muhtadin Perbahasan Kaum Muda, dan Ta’rif al-‘Urfi fi `Ilmi at-Tashrif (Arab-Melayu). Dicetak oleh Mathba’ah Persama, 83 Achen Street, Penang, Ramadhan 1358 H/Oktober 1939 M

3. Ad-Durrah an-Nafi’ah fi Asyrath as-Sa’ah), kitab ini terdiri beberapa penggal. Kandungan membahas tentang tanda-tanda hari kiamat, berdasarkan al-Quran, hadis dan tafsiran para ulama yang muktabar. Cetakan yang pertama, The United Press, Pulau Pinang, tanpa dinyatakan tarikh. Pada cetakan terdapat kata pujian dari Haji Abdullah Pak Him, Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai, Haji Ahmad Sa’ad al-Mashri dan Haji Ahmad Tuan Husein, tarikh 2 Safar 1371 H.

Keseluruhan karya Syeikh Utsman Jalaluddin belum dapat disenaraikan semuanya dalam artikel ini, kerana saya berasa perlu mengambil data dan memperkenalkan sebuah karya beliau yang berjudul Anwar al-Huda wa Amthar an-Nada. Kitab ini adalah merupakan syarah Tafsir al-Jalalain yang mengkombinasikan bahasa Arab dan bahasa Melayu. Tafsir ini disebarkan secara berjilid untuk khairat Madrasah Manabi’ al-‘Ulum yang diasaskan oleh pengarangnya di Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Pada halaman depan tafsir ini tertulis Syarhu Tafsir al-Jalalain. Di bawahnya dinyatakan Arab, Melayu yang dinamakan Anwar al-Huda wa Amthar an-Nada yang diterjemahkan di bawahnya kepada bahasa Melayu dengan “Beberapa Cahaya Bagi Penunjuk Dan Beberapa Hujan Bagi Embun”. Sesudah itu, penyusunnya menggubah tujuh bait syair (puisi) bahasa Arab yang beliau terjemahkan kepada bahasa Melayu klasik.

Pada halaman 2 dan 3 beliau menggubah syair Arab yang panjang terdiri 29 bait, juga beliau terjemah ke dalam bahasa Melayu klasik. Syeikh Utsman Jalaluddin pada mukadimahnya, memberi komentar yang panjang mengenai ilmu tafsir. Menurut beliau tentang pentafsiran al-Quran, “Mulai daripada masa Nabi s.a.w. hingga kepada zaman yang kemudian daripada sahabat-sahabat, dan tabi’in, dan tabi’it tabi’in hingga kepada zaman `ulama’ yang kemudian atas qaul yang tahqiq, yang berhubung segala sanad mereka itu kepada Nabi s.a.w. Sesungguhnya awal-awal yang menghimpunkan segala huruf tafsir itu ialah sekelian sahabat Nabi s.a.w. di dalam Mekah, dan `Atha’ bin Abi Rabah dan Mujahid daripada tabi’in, dan lain-lainnya yang memindah oleh sekelian mereka itu daripada Saiyidina Abdullah bin Abbas. Yang ia memindah daripada Nabi s.a.w.”.

Daripada kenyataan di atas dapat diambil kesimpulan bahawa, “sanad” yang bersambung sampai kepada Rasulullah s.a.w. adalah sangat penting dalam ilmu-ilmu Islam termasuk juga ilmu tafsir. Golongan yang bukan daripada golongan ulama, jika mereka mentafsirkan al-Quran adalah sukar untuk dapat diterima, kerana para ulama memberikan persyaratan yang ketat mengenai itu.

Disiplin

Syeikh Utsman Jalaluddin dalam Anwar al-Huda dengan memetik dari Syarh Ihya’ `Ulumid Din bahawa seseorang yang akan mentafsir al-Quran mestilah menguasai sekurang-kurangnya lima belas disiplin ilmu. Ilmu-ilmu itu ialah:

1. Ilmu Lughah, 2. Ilmu Nahwu, 3. Ilmu Tashrif, 4. Ilmu Isytiqaq, 5. Ilmu Ma’ani, 6. Ilmu Bayan, 7. Ilmu Badi’, 8. Ilmu Qiraat, 9. Ilmu Ushulid Din, 10. Ilmu Usul Fiqh, 11. Ilmu Asbab an-Nuzul, 12. Ilmu Fiqh, 13. Ilmu Nasikh dan Mansukh, 14. Ilmu Hadis, 15. Ilmu Ludunni.

Pada bahagian ini juga, Syeikh Utsman Jalaluddin menceritakan pandangan gurunya Tok Kenali, kata beliau, “Syahdan adalah guru hamba al-‘Alim al-‘Allamah Syeikh Muhammad Yusuf Kenali, Kelantan, yang diwafatkan dia pada 2 Sya’aban, hari Ahad, pada tahun 1352 H, beberapa kali disuruh akan dia di hadapan hamba supaya ia mentafsir akan Quran sahaja dengan ketiadaan syarah, maka ia menolak akan dia. Dan ia berkata, “Kita bukan ahli bagi mentafsir akan Quran dengan ketiadaan syarah karena kita tiada hafaz akan huruf-huruf tafsir dan kalimahnya yang menerangkan maksud … “.

Riwayat di atas bukanlah mencerminkan Tok Kenali tidak berkemampuan dalam ilmu tafsir, tetapi adalah memperlihatkan sifat tawadhu’ beliau. Sebaliknya ada orang yang tidak mendalami ilmu-ilmu Islam, tetapi terlalu ceroboh dan berani untuk mentafsirkan al-Quran hanya berdasarkan pemikiran akal semata-mata tanpa mempedulikan yang telah digariskan oleh para ulama yang muktabar

Posted in Tokoh Ulama' | 1 Comment »

Menyelami proses peralihan remaja

Posted by epondok di Disember 7, 2020

Oleh Dr. Khaidzir Ismail

Remaja dikaitkan dengan pewaris negara. Kerajaan, masyarakat dan keluarga sentiasa menaruh harapan kepada mereka untuk mengisi kekosongan pada masa depan.

Remaja yang berpotensi antaranya memiliki cita-cita dan kritikal, dinamik dan kreatif, berani menghadapi bahaya, optimis dan bersemangat juang serta mempunyai kekuatan fizikal.

Namun demikian potensi remaja yang besar ini kurang dikembangkan oleh kerana pemasalahan yang dihadapi oleh mereka itu sendiri seperti berjiwa besar yang gemar dengan cabaran, suka melakukan aksi lasak dan tingkah laku berisiko tinggi. Tetapi tindakan ini semua tidak sepadan dengan perkembangan minda atau kognitifnya yang masih tidak matang.

Masalah yang berkaitan dengan aktiviti pergaulan bebas, seksualiti, keseronokan dadah, alkohol, hiburan di kelab dan gangsterisme adalah punca daripada perubahan fisiologikal. Ia memerlukan bantuan orang dewasa untuk mendekati dan membimbing mereka.

Oleh kerana proses perubahan yang terpaksa dilalui dalam mendewasakan mereka ini maka potensi yang ada tidak dapat berkembang dengan baiknya. Lebih-lebih lagi dengan adanya persekitaran yang tidak sihat dan berisiko termasuklah keadaan keluarga yang bermasalah, didampingi rakan sebaya yang bermasalah dan keadaan fizikal tempat tinggal yang tidak kondusif yang boleh menjadi halangan.

Sejarah psikologi manusia menunjukkan selama beribu tahun dunia ditenggelami kegelapan kejahilan dengan dosa dan noda.

Namun, apabila datangnya Islam dengan bimbingan yang dibawa oleh Rasulullah SAW membentuk akhlak yang betul dengan mengajak manusia beriman kepada Allah.

Ia membawa kepada kebaikan dan menegah mereka daripada kejahatan. Maka hasilnya golongan muda yang telah kehadapan membawa panji-panji Islam hingga ke Sepanyol dan India yang tidak dapat dinafikan sejarah.

Sayangnya, dewasa ini tidak ramai yang mengambil pelan dan kaedah yang telah terbukti berkesan ini.

Malah ramai yang telah mengambil tindakan lanjut memperbaiki keadaan dengan bukan cara yang betul dan hasilnya usaha-usaha ini telah membawa kepada kegagalan, kekecewaan dan menimbulkan lagi kekeliruan.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Tasawwuf: cabang agama yang dizalimi

Posted by epondok di Disember 6, 2020

Oleh PANEL PENGKAJI YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Mempelajari Ilmu tasauf menjadi pelengkap kepada ilmu fardu ain yang lain.

DALAM siri tulisan mengenai tajdid di minggu-minggu yang lalu ada disebut bahawa tasauf kerap menjadi sasaran sesetengah aliran mereka yang mendakwa tajdid.

Tasauf, tarekat dan istilah-istilah yang berkaitan dengannya sering dimomokkan oleh mereka seolah-olah setiap yang bernama tasauf dan tarekat itu sesat, bidaah dan khurafat.

Strategi memomokkan istilah ini sebenarnya suatu cubaan mengunci minda dan menjadikan masyarakat jauh hati daripada tasauf tanpa benar-benar mengenali dan memahaminya dengan tepat.

Mereka ini sedar jika masyarakat meneliti dan mendekati tasauf dengan adil dan bersungguh-sungguh, kefahaman dan penghayatan yang murni terhadap tasauf akan menjadi salah satu benteng yang memisahkan masyarakat daripada terpengaruh aliran yang ingin mereka juarai.

Tasauf sebagai cabang ihsan

Kunci utama kepada kefahaman yang murni terhadap tasauf adalah dengan menyedari bahawa sebenarnya ia tidaklah melainkan cabang atau dimensi Ihsan daripada agama kita.

Ihsan selain daripada Islam dan iman serta kesedaran tentang akhir zaman merupakan cabang dan dimensi utama al-Din seperti yang kita semua tahu daripada hadis Jibril yang merupakan antara induk hadis-hadis Nabi SAW.

Begitu besar pengajaran yang hendak dibawa melalui hadis tersebut sehingga Jibril telah menyampaikan secara istimewa iaitu dengan merupakan dirinya sebagai manusia dan berdialog secara langsung dengan Nabi SAW bersaksikan para sahabat.

Dari situ, kita semua maklum bahawa agama yang kita anuti ini sebenarnya terdiri daripada tiga cabang Islam, iman dan ihsan yang terjelma kepada tiga cabang ilmu utama agama iaitu syariah, akidah dan akhlak.

Tiga istilah alternatif bagi ilmu-ilmu ini adalah fiqh, tauhid dan tasauf. Jadi sebenarnya dalam peta minda Islam, tasauf adalah istilah lain bagi dimensi ihsan atau akhlak.

Jika itulah kedudukan tasauf dalam kerangka faham agama kita, tidak peliklah jika kita melihat para ulama muktabar sepanjang zaman, sebagai mereka yang paling menguasai selok-belok agama ini, bersikap sangat positif terhadap tasauf dan dunia tasauf.

Kebanyakan mereka terjun langsung ke dalam dunia tersebut dengan mengamal, mengajar dan mengarang kitab-kitab rujukan dalam bidang ini. Selebihnya menjadi mereka yang mencintai para ulama dan pemuka tasauf atau sekurang-kurangnya tidak mengambil sikap memusuhi mereka.

Imej-imej negatif tasauf

Tetapi kenapa masih ada yang takut dengan tasauf atau memandangnya sebagai asing atau negatif?

Jika direnungi, tasauf adalah dimensi dalaman atau batin agama kita. Kerana sifatnya itu telah timbul salah-faham dan kekeliruan terutama di peringkat amalan dan perbahasan yang lebih tinggi.

Mendekati tasauf di tahap yang tinggi tanpa panduan guru yang berkelayakan boleh menyebabkan timbulnya ajaran sesat. Bila ini berlaku, ajaran-ajaran salah ini sering mendapat liputan meluas dan sensasi di media seperti dalam kes Hassan Anak Rimau, Ayah Pin dan al-Arqam.

Kumpulan dan ajaran tasauf yang menyeleweng sering menggunakan istilah-istilah dalam dunia tasauf seperti tarekat, sheikh, mursyid, aurad, kasyaf, yaqazah dan seumpamanya. Akhirnya istilah-istilah ini turut terpalit dan dilihat negatif sedangkan hakikatnya tidak begitu.

Sebenarnya penyelewengan turut berlaku dalam cabang lain seperti syariah. Malah penyelewengan dalam cabang syariah mungkin lebih meluas dan melibatkan lebih ramai orang dan kumpulan.

Cuma mungkin kesannya tidak begitu kelihatan atau kurang dirasakan oleh mereka yang terlibat. Bukankah masih banyak penyelewengan daripada landasan hukum syariah yang ada dalam masyarakat kita?

Dalam bidang dan kumpulan mana pun akan ada mereka yang menyeleweng atau ekstrem. Soalnya, adakah kita adil menilai dan menghukum sesuatu bidang atau kumpulan hanya dengan merujuk kepada mereka yang menyeleweng atau sesat yang muncul dari bidang atau kumpulan itu?

Jika begitu, banyaklah bidang dan cabang ilmu yang harus kita tolak kerana adanya bebiri hitam yang muncul daripada kalangan pengamalnya!

Adakah bijak kita meminggirkan tasauf hanya kerana beberapa individu dan kelompok yang sesat yang timbul dari dunia tasauf?

Segelintir mereka yang salah menghayati tasauf juga menyebabkan timbul imej seolah-olah tasauf adalah anti-dunia, anti-kemajuan dan anti-perjuangan.

Harus diingat, jika tasauf hendak dinilai dengan neraca seseorang yang memang tenggelam dan mabuk dengan dunia dan material memanglah tasauf akan dilihat pasif dan tidak cukup dinamik.

Ada juga orang yang baik-baik dan minatkan agama tetapi punya tanggapan bahawa tasauf adalah ilmu yang terlalu tinggi untuk mereka. “Kami belum layak mengaji tasauf”, kata mereka.

Ini juga satu sindrom yang amat merugikan kerana ia menjauhkan mereka daripada apa yang amat diperlukan dalam kehidupan mereka.

Siapakah di kalangan kita yang tidak perlukan penyucian diri dan peningkatan kerohanian?

Malah ini adalah suatu keperluan bagi setiap Muslim pada setiap ketika dalam hidupnya. Kita akan jelaskan nanti betapa tasauf, seperti juga ilmu-ilmu lain ada tahap dan peringkat-peringkatnya.

Selagi mana kita mendatangi tasauf mengikut tahap dan kaedahnya, dengan bimbingan guru yang layak maka tidak timbul sindrom tidak layak atau belum sesuai belajar tasauf.

Ada juga di sana kelompok dan kumpulan yang sentiasa mencemburui dunia tasauf dan pendokongnya kerana tasauf dilihat sebagai aliran tandingan kepada aliran yang mereka juarai.

Lantas mereka sering cuba menempelkan label-label bidaah, khurafat dan taksub kepada tasauf.

Insya-Allah kita akan membahaskan asas-asas al-Quran dan al-sunnah di sebalik tasauf. Jika difahami dengan jujur, tasauf yang murni adalah bebas daripada label-label ini.

Sebaliknya, jika diteliti, kelompok yang mentohmah tasauf, sering terlibat dengan unsur-unsur bidaah, khurafat dan taksub.

Tengok sahaja bagaimana mereka menjulang tokoh-tokoh mereka sendiri dalam pelbagai bentuk dan cara. Seolah-olah tokoh-tokoh ini sahaja yang memonopoli kefahaman dan kebenaran. Bukankah ini taksub walaupun tiada tangan yang dicium atau berkat yang diambil?

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Sangkakala – Tanduk daripada cahaya

Posted by epondok di Disember 5, 2020

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

AL-IMAM al-Maraghi berkata di dalam tafsirnya: “Allah mengulangi sebutan terhadap nikmat-nikmat yang dikurniakan ke atas mereka kerana kelalaian mereka. Sepatutnya mereka bersyukur kepada Allah atas segala nikmat-Nya. Peringatan yang dikemukakan dalam bentuk ancaman dan celaan menunjukkan betapa kerasnya hati mereka sehingga mereka hanyut dalam kelalaian yang merasakan dirinya berkuasa dan tidak mungkin mereka dikenakan sebarang kotoran berbanding yang lain. Justeru, Allah Taala mengingatkan mereka melalui dua ayat ini sebagaimana firman Allah Taala.
WAHAI BANI ISRAEL! KENANGKANLAH NIKMAT-NIKMAT-KUYANG AKU TELAH KURNIAKAN KEPADA KAMU, DAN (INGATLAH) BAHAWASANYA AKU TELAH MELEBIHKAN (NENEK-MOYANG) KAMU (YANG TAAT DAHULU) ATAS ORANG-ORANG (YANG ADA PADA ZAMANNYA).
DAN PELIHARALAH DIRI KAMU DARIPADA (AZAB SENGSARA) HARI (AKHIRAT), YANG PADANYA SESEORANG TIDAK DAPAT MELEPASKAN ORANG LAIN (YANG BERDOSA) SEDIKITPUN (DARIPADA BALASAN AZAB), DAN TIDAK DITERIMA SYAFAAT DARIPADANYA, DAN TIDAK PULA DIAMBIL DARIPADANYA SEBARANG TEBUSAN; DAN MEREKA (YANG BERSALAH ITU) TIDAK AKAN DIBERI SEBARANG PERTOLONGAN. (Surah al-Baqarah ayat 47 dan 48)
Firman Allah Taala `Wahai Bani Israel! Kenangkanlah nikmat-nikmat-Ku yang Aku telah kurniakan kepada kamu’. Ayat ini menyamai ayat 40 daripada Surah al-Baqarah kecuali pada akhirnya terdapat sedikit kelainan.
Ibn al-Jauzi melalui tafsirnya, Zad al-Masir menaqalkan pendapat az-Zajjaj, katanya: “Adalah orang-orang Yahudi menyangka bahawa nenek moyang mereka yang menjadi nabi-nabi boleh memberi syafaat kepada mereka pada Hari Kiamat. Lantas Allah menjadikan mereka putus asa dengan ayat ini.”
Al-Imam an-Nasafi berkata di dalam kitabnya, Madarik at-Tanzil: “Pengulangan di sini sebagai tanda penguat dan penyokong.”
Seterusnya, Allah menyebut `Dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).’ Dimaksudkan dengan al-`Alamin ialah jumlah manusia yang ramai. Dan dikatakan, Aku kurniakan kepadamu kelebihan dan anugerah berbanding selain kamu di kalangan umat-umat dan manusia di mana kamu mempunyai tamadun dan hadharah mengatasi mereka yang lain seperti penduduk Mesir dan penduduk di Baitul Maqdis.
Al-Maraghi berkata: “Allah menyeru mereka dengan menyebut nama bapa mereka kerana daripadanya muncul segala kemegahan mereka dan sumber kemuliaan mereka. Disandarkan di sini nikmat dan fadilat kepada mereka semata-mata kerana kesyumulan dan kesempurnaan kedua-duanya.
Kelebihan
Kelebihan di sini didatangkan kepada mereka supaya mereka sentiasa berpegang dengan kelebihan dan akhlak yang mulia, di samping meninggalkan segala kehinaan dan akhlak yang keji kerana sesiapa yang melihat dirinya mempunyai kemuliaan dan kelebihan, sudah pasti akan diangkat segala sifat rendah dan hina dina. Dan sebenarnya kelebihan satu-satu golongan atau umat bukan semata-mata berdasarkan harta benda dan kekuasaan. Tetapi yang sebenarnya mereka yang hampir dengan Allah dengan mengikut segala syariat-Nya yang mana mereka beristiqamah dalam mengikut nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan mereka.”
Al-Imam al-Baghawi berkata: “Manusia-manusia yang sezaman dengan mereka sahaja. Yang demikian itu merupakan kelebihan sekalipun hak kelebihan untuk bapa tetapi terhasil dengannya kemuliaan untuk anak.”
Ibn Jarir at-Tabari berkata: “Ta’wil dan tafsir ayat ini sama seperti ta’wil dan tafsir ayat 40 Surah al-Baqarah.”
Seterusnya Allah Taala menyebut `Dan peliharalah diri kamu daripada (azab sengsara) Hari (Akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (daripada balasan azab)’, iaitu takutlah pada hari yang begitu menakutkan di mana seseorang itu tidak dapat melepaskan diri daripada segala tanggungjawab.
Kemudian `Dan tidak diterima syafaat daripadanya’, iaitu orang kafir tidak menerima sebarang syafaat daripada Allah selama-lamanya.
Seterusnya disebut: `Dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan’, iaitu tidak diterima daripadanya sebarang tebusan dan Allah menutup dengan kenyataan-Nya.
Terdapat empat pendapat di kalangan ulama pada tafsiran sarfun dan `adlun (tebusan):
1. Sarfun bermakna amal, sedangkan `adlun bermakna fidyah. Inilah pendapat al-Hasan al-Basri.
2. Sarfun bermakna diat (tebusan), sedangkan `adlun ialah seorang lelaki yang mempunyai kedudukan. Inilah pendapat al-Kalbi.
3. Sarfun bermakna tatawwu’ (ibadat sunat), sedangkan `adlun bermakna faridhah ( ibadat wajib). Inilah pendapat al-Asmu`ie.
4. Sarfun bermakna helah, sedangkan `adlun bermakna fidyah. Inilah pendapat Abu `Ubaidah.
`Dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.’ As-Samarqandi berkata dalam tafsirnya, Bahr al-`Ulum: “Dan sekali-kali mereka tidak ditegah daripada terkena azab hukuman Tuhan.
Mafhum daripada ayat 48 ini ialah manusia disuruh takut dan benar-benar mengambil iktibar untuk menghadapi Hari Kiamat atau pembalasan kerana pada hari tersebut mempunyai beberapa ciri yang menakutkan:
l Seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (daripada balasan azab).
l Tidak diterima syafaat daripadanya.
l Tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan.
l Mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.
Abu al-Laith as-Samarqandi dengan sanadnya meriwayatkan daripada Aisyah r.a. yang menceritakan bahawa saya bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Apakah cinta itu ialah ingat akan kekasihnya pada Hari Kiamat?” Jawab Nabi s.a.w.: “Ada tiga tempat (masa) ia tidak akan ingat; 1. Ketika ditimbang amal sehingga diketahui apakah ringan atau berat. 2. Ketika menerima lembaran catatan amal (suhuf), sehingga ia menerimanya, sama ada dari kanan atau dari kiri. 3. Ketika ular naga keluar dari neraka, lalu mengepung mereka dan berkata: “Kepadaku diserahkan tiga perkara: Orang yang menyekutukan Allah dengan tuhan yang lain, orang yang kejam, penentang dan zalim serta orang yang tidak percaya pada Hari Kiamat (hisab), maka dikumpulkan semua orang tersebut, lalu dilemparkan semuanya dalam neraka jahanam dan di atas neraka jahanam itu ada jambatan yang lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang. Sedangkan di kanan kirinya ia dipukul dan penuh dengan duri-duri. Orang-orang yang berjalan di atasnya ada yang bagaikan kilat, dan bagaikan angin yang kencang, maka ada yang selamat, dan ada yang luka terkena tusukan duri dan ada yang terjerumus masuk ke dalam neraka.”
Abu al-Laith as-Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Antara dua kali tiupan sangkakala itu jaraknya adalah empat puluh tahun (tiupan untuk mematikan dan membangkitkan kembali). Kemudian Allah menurunkan hujan bagaikan air mani lelaki, maka timbullah orang-orang mati bagaikan timbulnya tanaman sayuran.”
Abu al-Laith juga meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ketika Allah telah selesai menjadikan langit dan bumi, Allah menjadikan sangkakala dan diserahkan kepada Malaikat Israfil, maka ia meletakkannya pada mulutnya ke `Arasy, menanti bilakah ia diperintah meniupkannya.” Aku bertanya: “Ya Rasulullah, apakah sur (sangkakala) itu?” Jawabnya: “Bagaikan tanduk daripada cahaya.” Aku bertanya: “Bagaimana besarnya?” Jawabnya: “Sangat besar bulatannya. Demi Allah yang mengutusku sebagai Nabi, besar bulatannya itu seluas langit dengan bumi, dan akan ditiup sehingga tiga kali. 1. Nafkhatu al-Faza’ (untuk menakutkan). 2. Nafkhatu as-Sa`aq (untuk mematikan). 3. Nafkhatu al-Ba`ath (untuk menghidupkan kembali atau membangkitkan).”
Dalam riwayat Ka`ab hanya dua kali tiupan, iaitu mematikan dan membangkitkan.
Mu`az bin Jabal r.a. bercerita bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Tidak dapat bergerak kaki seorang hamba sehingga ditanya tentang empat perkara; Umurnya digunakan untuk apa sampai binasa, badannya apa yang dirosakkannya, ilmunya apa yang digunakannya (diamalkannya) dan hartanya dari mana ia perolehi dan ke mana ia belanjakan.”
Ikrimah berkata: “Seorang ayah akan memegang anaknya pada Hari Kiamat dan berkata: “Saya ayahmu ketika di dunia.” Maka anak itu memuji kebaikannya, lalu ayah itu berkata: “Hai anak, kini saya berhajat kepada kebaikanmu yang sekecil zarah, mudah-mudahan saya dapat selamat dengannya daripada apa yang kamu lihat ini.” Jawab anaknya: “Saya juga takut pada apa yang kamu takutkan itu, kerana itu saya tidak dapat memberikan kepadamu sedikitpun.” Lalu kepada isterinya dia berkata kepadanya: “Saya dahulu suamimu di dunia”, maka isterinya memujinya. Lalu dia berkata: “Saya ingin meminta kepadamu satu kebaikan, mudah-mudahan saya boleh selamat daripada apa yang kamu lihat ini.” Jawab isterinya: “Saya juga takut seperti kamu.”
Ibn Mas`ud bercerita bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Orang kafir akan tenggelam dalam peluhnya kerana lamanya hari itu sehingga ia berdoa: “Ya Tuhan, kasihanilah aku meskipun aku masuk dalam neraka.”

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »