Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 17 November 2020

Bersungguh timba ilmu

Posted by epondok di November 17, 2020

Mohd Rizal Azman Rifin

 

SATU ketika dahulu, umat Islam menjadi pendahulu zaman dan berjaya merintis pelbagai ilmu pengetahuan.

Resipi kejayaan dan kecemerlangan umat Islam silam mudah untuk dikesan.

Tiada sebarang rahsia seandainya kita benar-benar mengkaji dan memperhalusi keadaan kehidupan umat Islam terdahulu.

Antaranya, ia disebabkan keperkasaan jati diri sebagai seorang Muslim yang utuh dalam jiwa. Apa yang pasti mereka menyerlahkan akhlak Islam sebagai ‘pakaian diri.’

Bukan sahaja patuh kepada setiap perkara dalam ajaran Islam, tetapi indah dan murninya akhlak peribadi yang berpaksikan nilai akhlak Islam sebenar.

Di samping itu, umat Islam terdahulu berusaha gigih mentadabbur setiap ayat yang terkandung dalam al-Quran. Mereka bukan setakat ‘rapat’ dengan al-Quran dengan membiasakan amalan membacanya, tetapi mereka juga rajin dan komited menggali setiap yang tersirat sebagaimana dikemukakan dalam ayat-ayat Allah itu.

Tidak hairanlah ketika itu, umat Islam seakan-akan ‘tamakkan’ ilmu pengetahuan.

Apa sahaja yang boleh memberikan manfaat kepada diri dan masyarakat umum, mereka tidak melepaskan peluang meraihnya.

Rangka kerja mereka dimulakan dengan niat kerana Allah SWT serta demi kemaslahatan ummah.

Umat Islam masa itu berasa malu jika tidak meninggalkan khazanah berharga untuk kesejahteraan ummah.

Maka, wujudlah ‘perlumbaan’ mencari ilmu yang sangat dikagumi. Kejayaan dunia Barat juga mustahil dicapai sebagaimana kita saksikan pada hari ini sekiranya tidak menceduk apa yang terhasil di bumi umat Is-lam.

Dunia Barat mahupun Timur sangat ‘terhutang budi’ dengan sumbangan umat Islam yang boleh dilihat hingga ke hari ini.

Cukupkah kita menumpang bangga dengan apa yang mereka capai dahulu?

Jiwa umat Islam khususnya generasi anak muda mudah hanyut dalam dunia hiburan lagha yang membanggakan diri kononnya mahu menjadi manusia moden yang mengikut arus zaman.

Anak muda bergelar insan terpelajar di menara gading juga tidak terlepas kerana mereka mudah dihanyutkan serta belajar setakat mahu lulus semata-mata.

Sebab itulah pelbagai gejala negatif muncul seperti isu plagiat. Mahu lulus dalam peperiksaan dan menjadi seorang bergelar graduan.

Ratusan graduan berjaya dihasilkan setiap tahun dan apakah statistik sedemikian cukup untuk kita banggakan, lantas mendabik dada bahawa rakyat kita sudah hebat dalam dunia ilmu pengetahuan?

Kejayaan tidak dilihat kepada kualiti graduan sahaja, sebaliknya perlu menghasilkan graduan berkualiti tinggi yang jiwa mereka patuh kepada ajaran dan unggul jati diri sebagai umat Islam.

Kita juga diwar-warkan dengan usaha kerajaan untuk memperkasakan bidang Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pelbagai langkah dan penyediaan dana peruntukan sudah dan sedang disediakan.

Hal demikian tidak lain kerana mahukan generasi yang berjaya memiliki ilmu dan kemahiran, seterusnya mereka berupaya menjadi pekerja industri berkemahiran tinggi yang diidamkan pihak industri.

Generasi muda perlu merebut peluang yang terhidang dan bangkit menjadi seorang yang berjaya dalam sebarang kerjaya.

Khalifah Umar al-Khattab pernah mengingatkan kita bahawa umat ini akan ditinggikan dan dimuliakan Allah seandainya kita patuh dan taat pada-Nya.

Umat Islam tidak boleh bertangguh lagi. Semangat ingin majukan diri dan ummah perlu tersemat dalam jiwa.

Bangkit perbaiki diri untuk bangun memperoleh ilmu di samping menyerlahkan diri dengan akhlak Islam sejati perlu dijadikan agenda merangka kehidupan.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »