Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Ikut kaedah Imam Ghazali terap penghayatan rukun iman

Posted by epondok di November 15, 2020


Penyandang Kursi Sheikh Abdullah Fahim, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia

ISI kandungan akidah Islam tidak lain tidak bukan ialah rukun iman yang enam. Pertama, makrifat atau pengenalan terhadap Allah SWT berserta dengan nama-Nya yang Husna dan sifat-Nya yang Maha Tinggi, memahami serta mengenali dalil kewujudan Tuhan dan tanda kebesaran-Nya di alam tabii.

Kedua, makrifat terhadap pelbagai alam di luar alam tabii yang tidak dapat dijangkau pancaindera, iaitu daya kebaikan diwakili malaikat dan daya kejahatan diwakili Iblis serta tenteranya dari kalangan syaitan. Termasuk juga mengenali dan mengetahui perkara yang terdapat dalam alam berkenaan dari kalangan jin dan pelbagai roh.

Ketiga, makrifat kitab Allah SWT yang diturunkan untuk mendefinisikan tanda kebenaran dan kebatilan, kebaikan dan kejahatan, halal dan haram serta baik dan buruk secara tepat. Keempat, makrifat terhadap nabi dan rasul yang dipilih Tuhan untuk menjadi tanda jalan ke arah hidayah dan memimpin makhluk ke arah kebenaran.

Kelima, makrifat mengenai hari akhirat dan perkara berkaitan seperti kebangkitan semula, pembalasan, pahala, seksa, syurga serta neraka. Keenam, makrifah mengenai qada’ dan qadar yang peraturan alam berhubung penciptaan dan pentadbiran berjalan di atasnya.

Pendekatan Imam Ghazali

Dalam usaha menerap sehingga rukun iman itu hidup dalam diri, pendekatan yang ditawarkan Imam Ghazali seperti tercatat dalam kitabnya, Ihya Ulum al-Din boleh dijadikan panduan.

Beliau menjelaskan pendekatan dan proses pendidikan akidah atau rukun iman mesti diajarkan dengan semua isi kandungannya diterapkan melalui empat tahap. Ia dimulai dengan menghafaz dan diikuti proses memahaminya, iaitu dengan membentuk kefahaman melalui pendedahan terhadap pengertiannya sedikit demi sedikit.

Selepas itu dijadikan iktikad dan dibenarkan dengan penuh keyakinan. Pendekatan atau proses saranan Imam Ghazali itu membabitkan dua tahap utama dalam diri manusia. Pertama, pengingatan dan kefahaman mental, manakala kedua ialah kepercayaan serta keyakinan dalam diri.

Tahap pertama tidak begitu sukar didapati oleh manusia normal dan berfungsi sebagai mukadimah atau meminjam ungkapan Imam Ghazali, ia bagaikan peringkat kerja ‘menabur biji benih’ kepada tahap kedua yang akan membabitkan kepercayaan dan keyakinan terpahat kukuh lagi mendalam dalam diri.

Tahap kedua dalam penerapan pendidikan rukun iman memerlukan pendekatan tersendiri yang dalam hubungan ini Imam Ghazali menyarankan beberapa saranan termasuk memenuhkan waktu dengan membaca al-Quran dan tafsirnya, selain hadis bersama memahami maknanya.

Selain itu, kita disarankan untuk memenuhkan waktu dengan melaksanakan banyak tugas ibadat dan sentiasa bergaul dengan orang soleh, iaitu menghadiri majlis ilmu, mendengar kata-kata serta melihat tingkah laku mereka yang sentiasa tunduk dan menyerah kepada Allah SWT.

Saranan itu dianggap Imam Ghazali seperti ‘siraman air dan taburan baja’ untuk menumbuh dan menyuburkan ‘biji benih’ yang sedia ‘disemai.’ Penunaian sempurna semua saranan itu akan menjadi asas pertambahan kemantapan dan keyakinan terhadap rukun iman.

Tumpu al-Quran, hadis

Jelas saranan pemantapan pegangan dan keyakinan rukun iman yang diketengahkan Imam Ghazali mempunyai kekuatan tersendiri dan cukup munasabah untuk menjadi pemangkin, malah boleh berfungsi sebagai sistem sokongan kepada kekentalan pegangan akidah.

Namun dalam konteks semasa, ia mesti dilihat dan dianalisis secara khusus supaya dapat menyumbangkan khidmat secara maksimum serta berkesan dalam skop dan perspektif semasa yang permasalahannya cukup rencam, kompleks lagi tersendiri.

Saranan pertama mestilah dilebarkan skop cakupannya dengan tidak hanya tertumpu bacaan al-Quran dan hadis secara literal, bahkan pembacaan bahan kesusasteraan semasa yang dihasilkan cendekiawan semasa yang beroleh inspirasi daripada kandungan wahyu berkenaan. Korpus bahan kesusasteraan sakral seumpama ini mesti diwujudkan di tengah masyarakat dengan membawa nafas dan tema yang boleh menyumbang ke arah menyubur dan memperkukuhkan pegangan akidah.

Ia mesti diusahakan supaya wujud dan berada pada taraf arus perdana yang bersifat terkini sehingga berupaya meminggirkan bahan bacaan picisan tidak berfaedah menjadi sesuatu yang hanya dilihat oleh masyarakat sebagai bahan yang bersifat ketinggalan zaman dan lapuk.

Saranan kedua pula perlu diperluaskan sehingga tidak hanya dihadkan ibadat khusus, sebaliknya dirangkumkan bersama ibadat umum. Ibadat mestilah diberi dan diletakkan dalam definisi atau perspektif baharu. Ini menjadikan setiap aktiviti harian seumpama makan dan minum serta mencari nafkah hidup sebagai ibadat, iaitu perspektif membudayakan hidup seluruhnya sebagai ibadat.

Semua kegiatan hidup seharian akan menyumbangkan bibit cahaya kepada hati dan menghasilkan komitmen terhadap hubungan tiga serangkai, iaitu manusia-alam-Allah SWT yang pastinya berupaya melahirkan kedamaian dalam kehidupan.

Bagi saranan ketiga itu, ia perlu dilihat dalam perspektif keseluruhan masyarakat, iaitu diperluaskan daripada individu soleh kepada masyarakat soleh.

Teguhkan pegangan akidah

Masyarakat dan semua institusi utama, khususnya keluarga, pendidikan, kepimpinan masyarakat serta negara termasuk media massa mestilah berfungsi sebagai sistem sokongan dan sumber rujukan kepada contoh teladan yang baik khususnya yang ada hubungan langsung dengan akidah dan gaya hidup harian.

Masyarakat soleh mesti memiliki persekitaran amat kondusif kepada segala yang boleh dijadikan teladan yang baik dan menjadi sokongan serta pemangkin ke arah menghasilkan kepercayaan dan keyakinan yang teguh terhadap akidah.

Apabila dikaitkan perbincangan pendidikan dan komitmen terhadap penghayatan akidah dengan situasi umat Islam di negara ini masa kini, dapat diperhatikan apa berlaku umumnya hanyalah peringkat tidak lebih daripada ‘taburan atau semaian biji benih’ akidah, iaitu daripada peringkat tadika hingga universiti.

Secara keseluruhannya ia dibiarkan kering tanpa ‘siraman dan bajaan.’ Suasana kondusif untuk penyuburan penghayatan akidah kelihatan tidak wujud dengan baik di tengah masyarakat, malah apa yang lebih jelas ialah unsur percanggahan bagaikan racun pembunuh kepada percambahan serta kesuburan pegangan akidah ummah.

Contohnya apa disemai dan dipupuk dalam institusi pendidikan, kelihatan diracun dan dihancurkan institusi lain di tengah masyarakat seperti institusi sosial tertentu, media massa serta penggunaan peralatan telekomunikasi canggih semasa seperti internet, malah oleh institusi keluarga sendiri.

Justeru, berlakulah kegersangan dan ternafi sama sekali kesuburan penghayatan rukun iman dan akidah. Kawalan metafizik yang tersedia melalui rukun iman untuk memelihara akhlak dan gaya hidup tidak boleh berfungsi kerana keyakinan dan penghayatannya tidak subur dalam diri.

Pupuk semula jati diri Islam

Berdasarkan perilaku sebahagian umat Islam semasa, mereka bagaikan tidak tertarik dengan tawaran syurga dan tidak gentar sama sekali dengan ancaman neraka di akhirat kelak. Mereka bagaikan tidak yakin malaikat sedang menulis perbuatan manusia sama ada baik atau buruk sehingga berani melakukan perbuatan ditegah agama.

Sebahagian ummah hidup di luar kerangka gaya hidup direstui agama mereka. Usaha menstruktur semula gaya hidup ummah agar dapat dikembalikan kepada jati diri keislaman, perlu diluruskan pendekatan pendidikan serta mencurahkan komitmen yang padu.

Melaksanakan tuntutan perubahan bukanlah mudah, malah memerlukan jihad dan kesungguhan luar biasa daripada umat Islam yang sedar dan mahu melihat tamadun manusia berkualiti tinggi bagi menggantikan tamadun kebendaan Barat yang banyak membawa porak peranda.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: