Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Cintai sahabat tanda cinta Nabi s.a.w

Posted by epondok di November 8, 2020


Oleh UMAR MUHAMMAD NOOR

SUATU hari seorang lelaki mendatangi Rasulullah SAW untuk mengajukan satu soalan. Beliau berkata: Wahai Rasulullah, bilakah kiamat akan berlaku?

Mendengar soalan itu, Baginda SAW membalas pertanyaan lelaki itu dengan soalan balas: Apa persiapanmu untuk menghadapinya? Persiapan menghadapi kiamat lebih penting berbanding mencari tahu masa kiamat berlaku.

Orang itu menjawab: Aku tidak memiliki apa-apa persiapan. Akan tetapi aku sangat mencintai Allah dan Rasul-Nya.

Rasulullah SAW bersabda: “Engkau akan bersama orang yang engkau cintai.

Anas bin Malik yang menceritakan kisah ini berkata: Tiada sesuatu yang membuat kami bergembira melebihi kegembiraan kami apabila mendengar sabda Nabi SAW: Engkau akan bersama orang yang engkau cintai.

Anas lalu berkata: Aku mencintai Nabi, Abu Bakar dan Umar. Dan aku berharap akan dibangkitkan bersama mereka meskipun aku tidak mampu beramal seperti mereka. (riwayat al-Bukhari)

Cinta sahabat

Sahabat Nabi ialah gelaran untuk setiap orang yang pernah berjumpa Rasulullah SAW dan beriman kepadanya. Berkata Imam al-Bukhari dalam Sahih-nya: Orang yang pernah bersama-sama dengan Nabi atau pernah melihatnya daripada kaum Muslimin, maka ia adalah seorang sahabat.

Setiap Muslim wajib menghormati dan mencintai semua sahabat Nabi tanpa terkecuali. Sebab mereka pejuang agama Allah SWT yang telah berjasa menyebarkan ajaran Rasulullah SAW ke seluruh dunia. Jika bukan usaha para sahabat, Islam tidak akan pernah tiba ke negeri kita.

Berkata Abdullah bin Mas’ud: “Sesungguhnya Allah SWT memandang kepada hati-hati seluruh manusia dan melihat hati Muhammad sebagai yang terbaik. Maka Allah SWT memilihnya dan mengutusnya sebagai rasul kepada seluruh manusia. Lalu kembali melihat hati-hati manusia dan mendapati hati para sahabatnya sebaik-baik hati. Maka Allah SWT menjadikan mereka sebagai pembela dan pejuang bersama nabi-Nya.” (riwayat Ahmad)

Demikianlah sikap dan pendirian ahli sunnah wal Jamaah. Kita mencintai dan menghormati semua sahabat dan mendoakan mereka setiap kali nama mereka disebutkan. Kita mengucapkan: radiallahu ‘anhu (r.a), semoga Allah meredai mereka. Kita berharap dengan sikap ini kita akan dikumpulkan bersama mereka di akhirat kelak, insya-Allah.

Mencela sahabat

Salah satu pendirian aliran sesat ialah membenci sahabat Nabi SAW sebagaimana yang menjadi pegangan Syiah. Sikap ini lahir, sama ada daripada niat buruk di dalam hati ataupun mangsa kejahilan tentang gambaran sebenar para sahabat. Andai mereka mengkaji riwayat hidup para sahabat Nabi daripada sumber rujukan yang muktamad dengan minda yang jernih, insya-Allah mereka akan mendapat gambaran yang lebih positif.

Sikap benci kepada sahabat bukan fenomena baharu. Sikap ini telah berlaku sejak lebih dari 1,000 tahun yang lalu. Justeru, para ulama berkurun selalu mengingatkan agar kita berwaspada dengan pendirian sesat ini. Kita mesti sedar bahawa mencela sahabat pada hakikatnya ialah mencela Rasulullah SAW.

Imam Malik berkata: “Orang-orang yang mencela sahabat sebenarnya mensasarkan Rasulullah SAW. Mereka hendak mengatakan bahawa baginda bukan orang baik. Sebab andai baginda orang baik, nescaya ia akan ditemani oleh sahabat-sahabat yang baik pula.”

Menjadi mangsa

Masyarakat awam yang malas membaca akan selalu menjadi mangsa. Semakin malas kita membaca, semakin mudah mindanya diracuni oleh aliran sesat. Andai kita membaca sejarah hidup para sahabat dan perjuangan mereka bersama-sama Rasulullah SAW , mustahil kita merendahkan dan mencela mereka. Malahan kita akan kagum, hormat dan cinta kepada setiap orang daripada mereka.

Tengoklah ucapan-ucapan penuh hormat yang dilontarkan para ulama kepada sahabat Nabi SAW. Ucapan ini lahir selepas mengenali dan mengkaji sejarah hidup dan perjuangan para sahabat Nabi SAW untuk Islam.

Berkata Abu Hanifah: “Duduknya seorang sahabat bersama Rasulullah SAW walau hanya satu saat adalah lebih baik daripada amal ibadah kita seumur hidup.”

Ibnu Al-Mubarak pernah ditanya: “Manakah yang lebih baik, Umar bin Abdul Aziz ataukah Muawiyah bin Abi Sufyan?” Umar bin Abdul Aziz ialah seorang khalifah yang terkenal sangat soleh dan zuhud. Sementara Muawiyah seorang khalifah yang juga merupakan sahabat Nabi.

Ibnu al-Mubarak menjawab: “Debu yang masuk ke hidung kuda Muawiyah apabila beliau berjuang bersama Nabi SAW lebih baik daripada Umar bin Abdul Aziz berkali-kali ganda.”

Singkat kata, mulakanlah membaca dan mengkaji riwayat hidup para sahabat Nabi SAW. Jika selepas itu hati kita tetap tidak mencintai sahabat, itu pertanda bahawa Allah telah mengunci hati kita daripada melihat kebenaran. Perbanyaklah bertaubat sebelum terlambat. Wallahu a’lam

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: