Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 4 Oktober 2020

Sheikh Muhammad Daud Al Kalantani

Posted by epondok di Oktober 4, 2020

Disediakan dan di bentang oleh:

Ustaz Bunyamin Bin Haji Abdul Rahman – M.A UM

( Cucunda Sheikh Muhammad Daud & anakanda Pengasas Pondok Sungai Durian)

Pengulas:

Yang Amat Arif Dato’ Haji Daud Bin Muhammad

(Dato’ Aria DiRaja, Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan)

 

BIODATA SYEIKH MUHAMMAD DAUD

A. Pendahuluan.

Kajian mengenai tokoh merupakan satu kajian penting dan banyak manfaatnya. Apatah lagi kajian tersebut melibatkan tokoh yang memberi sumbangan besar kepada dunia ilmu. Ulama’ yang dianggap sebagai pewaris anbiya’ amat perlu didedah ketokohannya, peranan dan sumbangannya terhadap masyarakat dan negara amat besar. Dalam kertas kerja ini penulis mengemukakan biodata Syeikh Muhammad Daud bin Sulaiman al-Kalantani al-Makki rahimahullah, sejarah pendidikan, sumbangan beliau, hasil karya, jawatan, kegiatan ilmiah dan kemasyarakatan.

Syeikh Muhammad Daud al-Kalantani ialah salah seorang ulama’ Melayu yang masyhur di Makkah pada akhir abad ke-14 Hijrah. Antara tokoh-tokoh ulama’ yang sezaman dan seangkatan dengan beliau ialah Syeikh Abdul Qadir al-Mandili, Syeikh Mukhtar Ampenan, Syeikh Yaasin Padang, Syeikh Ab. Rahim al-Kalantani al-Falaki, Haji Soleh Kenali, Syeikh Abdul Karim al-Banjari, Ali Chaya Patani, Thailand, Syeikh Kanin al-Mandili dan lainnya. Syeikh ‘Ali al-Maliki juga merupakan ulama’ seangkatan dengan Syeikh Daud, dalam masa yang sama beliau pernah berguru dengan Syeikh ‘Ali al-Maliki.1

 

B.  Nama, kelahiran dan latar belakang keluarga.

Nama penuh beliau ialah Muhammad Daud bin Sulaiman bin Syarif al-Kalantani al-Makki, dari keturunan Melayu yang dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1909 Masihi bersamaan dengan 1328 Hijrah. Bapanya bernama Sulaiman bin Syarif yang berasal dari Besut, Terengganu, beliau telah meninggal dunia pada tahun 1942M ketika berumur 48 tahun. Ibunya bernama Hajjah Che Jah (Khadijah) binti Haji Yusuff bin Haji Sulung, berasal dari Kota Bharu, Kelantan.2

Ibunya dilahirkan pada tahun 1894M, meninggal dunia di Kota Bharu pada tahun 1977M, sewaktu berumur lebih kurang 97 tahun. Dikebumikan di perkuburan Banggul, Kota Bharu. Beliau meninggal dunia sebulan selepas Syeikh Muhammad Daud kembali ke Makkah, selepas menziarahi ibunya di bulan Ramadan tahun tersebut.

Syeikh Muhammad Daud mempunyai enam orang adik beradik, iaitu: Muhammad Nur, Kalthom, Fatimah, Hafsah dan Aminah. Kesemua mereka ini telah meninggal dunia kecuali Hajjah Aminah yang menetap di Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, Kelantan.

Syeikh Daud yang berasal dari Malaysia ini menetap di Makkah selepas menyambung pengajiannya di sana dan mendapat kewarganegaraan Arab Saudi. Beliau menetap disana bersama keluarganya sehingga beliau meninggal dunia dan dikebumikan di sana.

 

Syeikh Muhammad Daud –rahimahullah– telah mencatat:

قد استلمت الشهادة الجنسية باسمي محمد داود في 27 /1 / 1372هـ رقم (194)”

Saya telah menerima sijii kerakyatan (Arab Saudi) dengan nama saya Muhammad Daud pada 27/1/1372 Hijrah. Nombor pendaftaran (194)”.

 

Beliau mempunyai dua orang isteri iaitu, Aminah binti Senik dan Rabiah binti Muhammad Razi. Keduanya adalah orang Melayu, rakyat Malaysia yang dikahwini di Makkah.

Puan Hajjah Aminah binti Senik yang berasal dari Kota Bharu, berangkat ke Makkah pada tahun 1937M, ketika berumur 11 tahun. Beliau ke Makkah bersama dengan nenek dan datuk saudaranya serta beberapa orang saudara-mara yang lain.

Setahun kemudiannya, iaitu pada bulan Rabiul Awwal tahun 1938M, Syeikh Muhammad Daud berkahwin dengan Hajjah Aminah binti Senik di Makkah, lebih kurang selepas 11 tahun Syeikh Daud menetap disana.

Hasil perkongsian hidup Syeikh Muhammad Daud dan Hajjah Aminah, mereka dikurniakan sembilan orang cahaya mata, tiga lelaki dan lima perempuan, iaitu: Sulaiman dan Zainab (telah meninggal dunia di Makkah ketika kecil), Fatimah, Mustafa, Azizah, Maryam, Khadijah, Muhammad Hilmi dan Aishah.

    Kemudian, atas permintaan isterinya yang pertama, Syeikh Muhammad Daud berkahwin pula dengan Rabiah binti Muhammad Razi, pada Jamadil Awal 1385H, bersamaan tahun 1966M. Hajjah Rabiah yang berasal dari kampung Batu 30, Machang, Kelantan, dibawa ke Makkah dan mendapat kerakyatan Arab Saudi selepas itu. Mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, iaitu: Sulaiman, Abdul Rahman, Aiman dan Iman.

Istimewanya, kedua-dua isterinya menetap di rumah yang sama bersama dengan Syeikh Daud semasa hayatnya. Bahkan setelah beliau meninggal dunia pun mereka berdua masih tinggal bersama sehinggalah Puan Hajjah Aminah meninggal dunia kerana sakit tua pada 10 Jamadil Akhir 1424H bersamaan dengan Ogos 2004M, pada jam 10.30am. Manakala Hajjah Rabiah masih berada di Makkah dan menetap di sana bersama anak-anaknya.

Kini sepuluh orang daripada anak-anak Syeikh Daud menetap di Makkah sebagai warganegara Arab Saudi, kecuali Ustazah Hajjah Fatimah yang kembali ke Malaysia selepas berkahwin kerana mengikut suaminya Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Sulaiman. Ustazah Hajjah Fatimah menetap bersama anak-anaknya di Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan sehingga ke hari ini.

 

C.    Latar belakang pendidikan dan gurunya.

 

Beliau mula mendapat pendidikan awal di Jami’ Merbau, Kelantan, dan kini dikenali dengan Ma’ahad Muhammadi. Antara guru-gurunya di Jami’ Merbau ialah; Syeikh Haji Muhammad Soleh atau dikenali dengan Tok Kenali, Ustaz Haji Abdul Rahman yang merupakan guru bahasa Arab dan Mufti Haji Idris. Sewaktu menuntut di Jami’ Merbau, Syeikh Muhammad Daud terkenal dikalangan kawan-kawannya sebagai seorang yang tekun dalam pelajaran dan mempunyai minat yang mendalam untuk menuntut ilmu, sehingga diceritakan bahawa beliau pernah berlari-lari menuju ke tempat belajar kerana takut ketinggalan mata pelajarannya.3

    Pada tahun 1926M, ketika berusia 17 tahun beliau ke Makkah untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di sana. Beliau mendapat pendidikan di Makkah secara formal dan juga tidak formal di beberapa buah institusi pendidikan ini:

1.   Madrasah Sawlatiyyah.4 Madrasah ini merupakan tempat pendidikan yang pertama bagi Syeikh Daud, beliau mempelajari ilmu agama di Madrasah ini hingga tamat pengajiannya.

2.   Masjidil Haram. Syeikh Daud sentiasa menghadiri kelas pengajian berbentuk halaqah dalam pelbagai bidang ilmu di Masjidil Haram. Tambahan pula, Masjidil Haram menjadi tempat tumpuan yang utama untuk menuntut ilmu dan dikenali sebagai al-Jami’ah al-Maftuhah ataupun universiti terbuka.

3.   Madrasah al-Fakhriah.5 Madrasah ini menjadi pilihannya untuk menghafaz al-Quran al-Karim.

4.   Madrasah Dar al-‘Ulum al-Diniyyah (Qism al-‘Ali).

5.   Madrasah al-Mu’allimin al-Layliyyah, sebuah institusi pendidikan yang setaraf dengan Maktab Perguruan. Beliau meneruskan pengajian di madrasah ini dalam aliran Bahasa Arab dan Matematik.

6.   Syeikh Daud juga turut mempelajari ilmu dengan guru-gurunya yang mengadakan kelas pengajian di rumah mereka.

 

Antara guru-gurunya yang terkenal di Makkah ialah:

 

1.   Syeikh Muhammad Soleh bin Muhammad Idris al-Makki al-Kalantani al-Jawi (1960M), yang lebih dikenali dengan nama Pak Nik Leh. Merupakan seorang guru yang amat disayanginya dan banyak mempengaruhi keperibadiannya. Pak Nik Leh telah diberi penghormatan menulis muqaddimah bagi kitab haji yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Daud.

2.   Syeikh Hasan bin Muhammad al-Masysyath (1317-1399H/ 1899-1979M), berasal dari keluarga yang mulia di Makkah. Antara kitab yang dipelajari dari gurunya ini ialah: Al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an, Sunan at-Tirmizi, Mukhtasar Ibn Abi Jamrah dan lainnya.

3.   Syeikh al-Muhaddith, Muhammad al-‘Arabi al-Mahgribi (1970M). Antara kitab yang dipelajari darinya ialah: Sahih al-Bukhari, Sunan al-Nasa’i, Al-Ahkam fi Usul al-Ahkam  dan lainnya.

4.   Syeikh Abdullah al-Bukhari. Antara kitab yang dipelajari darinya ialah: Sahih al-Bukhari dan Hasyiah al-‘Attar ‘ala Syarh Maqulat.

5.   Syeikh ‘Ali al-Maliki. Di antara kitab yang sempat dipelajarinya dengan Syeikh ‘Ali al-Maliki ialah kitab Sunan al-Nasa’i.

6.   Syeikh al-Sayyid Muhsin al-Mismawi. Antara kitab yang dipelajarinya ialah: Fath al-Wahhab bi Syarh manhaj al-Tullab.

7.   Syeikh Khalifah bin Hamd al-Nabhani. Syeikh Muhammad Daud berguru dengan beliau di Madrasah Dar al-‘Ulum. Di antara kitab yang dipelajarinya ialah “Syarh al-Bakurah al-Janiyyah.6

 

Berdasarkan sumber yang di perolehi, sepanjang pengajian di Makkah, Syeikh Muhammad Daud telah menerima sanad daripada gurunya Imam Hamdan dan Syeikh Hasan al-Masysyath.

Ini kerana dalam pengajian hadith, sanad merupakan ilmu yang penting dan dianggap oleh Abdullah Ibn al-Mubarak sebagai Agama.7 Beliau berkata:

 

الإِسنادُ مِنَ الدين؛ لولا الإسناد لقالَ مَنْ شاءَ مَاشَاء.”

Maksudnya: ”Sanad itu adalah sebahagian dari agama. Seandainya tanpa sanad nescaya sesiapa sahaja beleh berkata apa yang dia ingin katakan”.

 

Imam Syafi’i berkata yang bermaksud:

Perumpamaan orang yang mencari hadith tanpa sanad, bagaikan pencari kayu api di malam hari

Sufyan al-Thawri pernah menyebut:

(الإسـناد سـلاح المؤمـن)

                        Sanad adalah senjata bagi Mukmin”.8

 

Kemahiran Syeikh Daud bukan setakat dalam bidang hadith bahkan beliau mahir dalam pelagai bidang ilmu.

 

D. Akhlak dan keperibadian.

 

Syeikh Muhammad Daud merupakan seorang yang rendah diri, mesra dan penyabar, beliau  tidak pernah marah kepada sesiapa pun dalam pergaulannya, sama ada dengan keluarga, murid-murid, kawan-kawan dan tetamunya, pintu rumahnya sentiasa terbuka, walaupun pada waktu beliau sedang berehat.9

Beliau juga seorang yang amat teliti di dalam segala urusannya. Syeikh Daud suka mencatat setiap perkara dalam buku diari peribadinya, ini tidak hanya terbatas tentang hal-hal rasmi, bahkan segala urusan sehariannya akan dicatat dengan terperinci dan jelas. Ini dapat dilihat melalui catatannya di buku-buku dan kitab-kitabnya, semua maklumat seperti bilakah mula belajar, siapakah gurunya, tempat belajar, bilakah tamat dan sebagainya, tercatat dengan lengkapnya. Cacatan rehlah dan perjalanan hidupnya juga tersimpan kemas di dalam diari-diari peribadinya.

 

E. Sumbangan Dalam Akademik dan Masyarakat.

 

Syeikh Muhammad Daud merupakan seorang guru yang alim, beliau telah banyak berjasa kepada pelajar-pelajar Asia di Makkah dan disegani oleh kerajaan Arab Saudi pada masa itu. Beliau menetap di Makkah semata-mata untuk berkhidmat dan menyampaikan ilmunya kepada pelajar-pelajar yang datang dari Tanah Air. Kata Syeikh Muhammad Daud tentang dirinya, sebagaimana yang dicatatkan dalam buku harian beliau:

فلن أشتغل هنا إلا طلب العلم والتدريس

Saya tidak bekerja disini (Makkah) melainkan menuntut ilmu dan mengajarnya ”.

Sumbangan Syeikh Muhammad Daud dalam pengajian ilmu ialah dengan mengadakan kelas pengajian halaqah atau talaqqi secara umum di Masjidil Haram sementara di rumahnya diadakan secara khusus bagi membuka peluang kepada pelajar yang ingin menambahkan ilmu mereka, kedua-dua pengajian ini merupakan pengajian kitab turath. Kelas pengajian yang dibuka adalah dalam berbagai bidang ilmu seperti ilmu hadith, ilmu tafsir, ilmu fiqh, nahu, balaghah, ilmu arudh, sirah dan lain-lain lagi.

Manakala di musim haji, beliau menjadi penceramah kepada jemaah haji bagi menjelaskan kemusykilan yang dihadapi oleh mereka, kerana pada waktu itu Muassasah Haji belum ditubuhkan.

Syeikh Daud juga berkhidmat di beberapa buah pusat pendidikan Islam yang masyhur di Makkah yang mengamalkan sistem persekolahan (sistem moden). Antara tempat Syeikh Muhammad Daud mengajar ialah Madrasah Dar al-Aitam, Madrasah al-Su’udiyyah dan Madrasah Dar al-‘Ulum al-Diniyyah. Sukatan mata pelajaran madrasah-madrasah tersebut diambil dari Wizarah (Kementerian) kecuali Madrasah Dar al-‘Ulum al-Diniyyah yang mengamalkan sistem gabungan antara pengajian turath dan pengajian moden. Cara beliau mengajar di madrasah tidak jauh bezanya dengan di Masjid Haram dan di rumahnya.10

Menurut Tuan Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah, Syeikh Daud lebih cenderung mengajar kitab hadith seperti kitab Sunan Sittah. Antaranya kitab hadith yang diajar ialah; Sahih Muslim, Sunan at-Tirmizi, Sunan Nasa’i,11 dan Syarh al-Zarqani ‘ala al-Muwatta’.

Pengajian hadith yang diajar oleh Syeikh Muhammad Daud di Makkah merupakan madah yang dominan, namun tidak dinafikan bahawa ianya juga seimbang antara ilmu-ilmu dalam bidang yang lain.

      Sistem pembelajarannya pula, biasanya beliau dan ulama’-ulama’ lain menggunakan kaedah bacaan, terjemahan dan hafalan. Ini kerana kebanyakan para penuntut pada masa itu terdiri daripada penuntut Asia seperti Malaysia, Thailand dan Indonesia.12 Setelah tamat pengajian mereka akan diberikan ijazah.

Selain dari mengajar, beliau juga turut melibatkan diri dengan kegiatan ilmiah dan kemasyarakatan, beliau banyak mengikuti aktiviti-aktiviti persatuan pelajar dan persatuan ulama’ Melayu di Makkah.

 

Antara aktiviti yang disertai oleh beliau ialah:

 

1.   Persatuan Pelajar Agama SeKelantan (PENJASA), beliau merupakan ketua persatuan tersebut. Persatuan ini ditubuhkan untuk membincangkan tentang ko-kurikulum perbahasan yang dibuat berdasarkan kitab-kitab kecil seperti kitab Musalli. Mereka membincangkan masalah khilaf antara mazhab supaya tidak terlalu ta’sub dan membuat kesimpulan dari perbahasan tersebut dengan mengambil hujjah yang lebih rajih.13

Selain itu, persatuan ini juga menganjurkan program pertandingan syarahan dan musabaqah al-Quran yang dipengerusikan oleh Syeikh Daud sendiri.

2.   Penasihat Gabungan Penuntut-penuntut Islam Semenanjung (GAPIS).

3.   Musyrif (penyelia) bagi Persatuan Rumah Melayu SeMalaysia (PERMAS).

4.   Menganggotai Persatuan Ulama’ Malaya di Makkah.

5.   Selain itu Syeikh Daud juga minat mengembara dan sering mengadakan rehlah ilmiah bersama murid dan kawannya, sama ada di dalam atau luar negara Arab Saudi.

 

Antara rehlah ilmiah beliau mengikut buku catatannya dan cerita muridnya:

 

         i- Arab Saudi: Wadi Fatimah, sekarang ini dikenali dengan al-Jumum. Wadi Tha’lab, Wadi Khaif dan beberapa wadi lain di sekitar Makkah. Rehlah di tepi pantai Jeddah dan lawatan ke Madinah untuk menziarahi Masjid Nabawi dan tempat-tempat bersejarah lain.14

         ii- Mesir: Pada 11 Rejab 1394H bersamaan 30 Jun 1974M, Syeikh Daud bersama rombongannya mengadakan lawatan ke Mesir. Antara tempat-tempat yang dilawati ialah, al-Jami’ al-Azhar al-Syarif, Iskandariah, Ahram (Piramid) dan Taman Malik Farouq.

         iii- Malaysia: Pada bulan Ramadhan 1397H bersamaan dengan tahun 1977M, beliau pulang ke Malaysia selama beberapa minggu. Ini merupakan lawatan pertama dan terakhir beliau setelah lima puluh tahun meninggalkannya. Lawatan ini diadakan bertujuan untuk menziarahi keluarga dan kaum kerabat yang menetap di Malaysia, khususnya ibunya yang sedang sakit ketika itu. Rupanya ini menjadi ziarah wida’ (selamat tinggal) kerana ibunya meninggal dunia selepas itu (sebagaimana diceritakan di atas).

 

F. Murid-murid.

 

Syeikh Muhammad Daud mempunyai bilangan murid yang ramai dari seluruh pelusuk tanah air, khasnya pelajar dari Kelantan. Boleh dikatakan beliau adalah ’Mahaguru’ kepada kebanyakan ’tok-tok guru’ pondok di Kelantan pada pertengahan abad ke 19M. Antara murid-muridnya ialah:

1-            Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Sulaiman, Pondok Sungai Durian.

2-            Tuan Guru Haji Abdullah bin Abdul Rahman, Pondok Lubuk Tapah.

3-            Tuan Guru Haji Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Mustafa dan Tuan Guru Haji Hashim, Pondok Pasir Tumbuh.

4-            Tuan Guru Haji Sulaiman, Pondok Siram, Pasir Mas.

5-           Dato’ Haji Hasbullah, mantan mufti negeri Kelantan,15 Ustaz Yahya bin Othman, Ustaz Yahya bin Muhammad Razi (ipar Syeikh Muhammad Daud), Haji Nor Bunut Susu, Hj. Daud Pasir Mas, (ipar kepada Tuan Guru Hj. Abdullah Lubuk Tapah), Haji Umar Pasir Mas, Haji Soleh bin Othman Jalaluddin, Penanti, Bukit Mertajam, Haji Muhammad bin Haji Adam, Makkah, Haji Hasan Bandar, Haji Ibrahim bin Mahmud Mengkebang, Haji Yusuf bin Abdul Kadir Kampung Raja, Haji Hasan Mentuan, Haji Ya’kub Tayyib, Ustaz Hasan Idris, ustaz Haji Ahmed Shukri bin Abdul Rahman (cucunya ) dan lain-lain.16

 

Murid-murid Syeikh Daud telah berjaya menjadi ilmuwan tanah air dalam berbagai bidang17 dan bergiat aktif dalam berbagai cara dengan membuka institusi pengajian pondok, menjadi pensyarah, pegawai kerajaan, penyampai kuliah di masjid dan surau, menjadi penceramah agama, ahli perniagaan, ahli politik dan sebagainya. Melalui jawatan yang disandang inilah mereka menaburkan ilmu dan amal.

 

G.  Pandangan dan pujian Ulama’.

 

1.            Syeikh Daud merupakan seorang yang jujur, ikhlas dan rendah diri.

2.            Seorang yang taat kepada guru.

3.            Seorang yang tidak pernah marah kepada muridnya, beliau sentiasa menasihati muridnya dengan senyuman dan pengajaran.

4.            Seorang ulama’ yang berfikiran terbuka.18

5.            Syeikh Daud merupakan seorang ulama’ yang ada padanya barakah.

6.            Seorang ulama’ yang menepati masa dan istiqamah dalam setiap perkara.

7.          Seorang hafiz al-Quran.

8.            Mudah mesra dan suka bergaul dengan masyarakat.

9.           Baik akhlak dan budi pekerti.

10.        Suka menerima tetamu dan melayani mereka dengan baik.

11.        Sentiasa menghubungi silaturrahim.19

 

H.  Karya-karya.

   

Syeikh Muhammad Daud telah meninggalkan beberapa buah karya, sama ada yang telah diterbitkan atau masih dalam bentuk manuskrip.

Antara hasil karyanya ialah:-

1. “”اللقطة البديعة المختصرة في مناسك الحج والعمرة, (Pungutan yang ringkas lagi indah pada bicara haji dan umrah). Kitab ini ditulis di Makkah pada bulan Zulkaedah tahun 1357H.

Kitab ini telah dicetak sebanyak enam kali semasa hayatnya. Cetakan terakhir pada tahun 1975M, di Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan. 

Terdapat dipermulaan karya ini beberapa perkara yang ditulis oleh Syeikh Daud mengenai isi kandungan yang dibicarakan di dalam karya tersebut. Kemudian disusuli dengan Muqaddimah dari Syeikh Daud dan semakan yang dibuat oleh gurunya Syeikh Soleh Idris dan Syeikh ‘Abdul Qadir bin ‘Abdul Muttalib al-Mandili. Karya ini mengandungi hukum-hukum haji dan umrah, doa tawaf dan sa’i, amalan-amalan pada hari ‘Arafah, doa Arafah yang panjang, doa tawaf wida’, adab ziarah masjid Rasulullah s.a.w., cara memberi salam kepada Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya di al-Madinah al-Munawwarah. Doa-doa didalam karya ini kesemuanya telah diterjemahkan olehnya ke bahasa Melayu dalam tulisan jawi.20

 

2. Risalah Sembahyang (t.t) Percetakan al-Ahliah: Kota Bharu, Kelantan.

Buku ini merupakan risalah kecil yang mengandungi bacaan-bacaan doa sembahyang fardhu dan wirid-wirid serta terjemahan maknanya yang lengkap di dalam bahasa Melayu tulisan jawi.

 

3.  Ibadat Haji (1970), Cet.3. Pustaka Aman Press, Kelantan.

Buku ini juga merupakan risalah kecil, mengandungi bacaan doa tawaf dan doa di padang ‘Arafah21 dan lainnya. Juga dihiasi dengan peta selayang pandang dari Makkah ke Arafah. Buku ini dikarang bersama dengan menantunya, Tuan Guru Haji Abdul Rahman dan ianya telah dicetak beberapa kali, manakala cetakan kali ketiga pada 1970M, dengan tambahan isi kandungan dan beberapa pembetulan.

 

4.  Doa-doa Tawaf dan Sa’i Dalam Ibadat Haji (1982)

Buku ini juga merupakan risalah kecil membicarakan mengenai niat ketika berihram haji, umrah dan bacaan doa ketika tawaf, sa’i dan ketika berada di Tanah Haram. Buku ini telah dicetak beberapa kali, manakala cetakan kali pertama pada tahun 1402H, bersamaan 1982M telah dicetak di Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan. Risalah kecil ini merupakan ringkasan dari kitab Al-Luqatah al-Badi’ah al-Mukhtasarah fi manasik al-Haj wa al-‘Umrah.

 

5. Al-Durrah al-Thaminah al-Gharibah fi Ad’iyah al-Tawaf, wa Du’a’ ‘Arafah wa al-Ziyarah. (Mutiara yang mahal lagi indah pada menyatakan doa-doa tawaf, doa ’Arafah dan bacaan ziarah). Ditambah lagi dengan doa sembahyang istikharah, sembahyang hajat dan lain-lainnya, serta disudahi dengan surah Yasin. Risalah ini telah

dicetak berulang kali, manakala cetakan kali kedua pada tahun 1968, ianya dicetak oleh The United Press, Pulau Pinang.

 

6.  Kitab Tarikh al-Haramain, Haram al-Makkah wa Haram al-Madinah.

Kitab ini merupakan sebuah kitab yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dari kitab Tarikh al-Haramain, karangan al-Syeikh ‘Abbas Kararah. Kitab ini merupakan Makhtutat (manuskrip) yang masih belum dicetak dan ianya masih berada dalam simpanan keluarga al-Marhum, di Maktabah Syeikh Muhammad Daud bin Sulaiman al-Kalantani al-Makki, Pondok Sungai Durian, 18000 Kuala Krai, Kelantan.

7.  Kitab al-Wurayqat pada Menerangkan Ilmu Miqat. (الوُرَيقات).

Ditulis pada tahun 1356H. Kitab ini merupakan manuskrip yang masih belum dicetak. Ianya masih tersimpan di Pejabat Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian, Kuala Krai.

 

Kematian.

 

Setelah beberapa lama menghabiskan usianya dengan menuntut dan menyebarkan ilmu, Syeikh Daud menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 11.30 malam Khamis, 11 Rabiul Awwal 1399 Hijrah, bersamaan 7 Februari 1979M, dalam usia 70 tahun di Hospital Ajyad, Makkah, iaitu sebuah hospital yang tidak jauh dari rumahnya.

Jenazahnya dikebumikan di Perkuburan al-Ma’la, tidak jauh dari kubur Sayyidina Abdullah bin Az-Zubair radhiallahu’ anhuma.

Pemergiannya bak kehilangan sebutir permata yang telah menerangi dunia ilmu, khasnya anak-anak Melayu Kelantan di Tanah Haram.

 

Penutup.

 

Kesinambungan pengajian ilmu-ilmu Islam perlu diteruskan dengan mempertingkatkan kemahiran dan kepakaran dalam menguasainya, ini bertujuan untuk meningkatkan lagi kesedaran dan pemahaman umat Islam tentang tuntutan agamanya.

Syeikh Muhammad Daud merupakan seorang tokoh yang perlu dicontohi kerana hasil dari didikannya ramai muridnya menjadi pendakwah dan ulama’ yang masyhur di tanah air. Beliau juga berjaya memberi sumbangan ilmu kepada masyarakat melalui hasil karyanya.

Sebagai kenangan dan juga untuk mengenang sumbangan dan jasa-jasa beliau di dalam bidang ilmu ini, perpustakaan di Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian telah dinamakan sempena nama beliau iaitu ”Maktabah Syeikh Muhammad Daud bin Sulaiman al-Kalantani al-Makki”.

Kejayaan Syeikh Muhammad Daud juga menjadi kebanggaan dan sumber inspirasi bagi keluarganya. Dengan pertolongan Allah SWT anak cucunya menyusuli jejak langkahnya mendalami ilmu agama dan pendidikan Islam sehingga mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat pendidikan tinggi BA, MA dan Ph.D dan mencurahkan khidmat sebagai pendidik dan pendakwah kepada masyarakat, menyambung perjuangan meneruskan pendidikan Pondok Sungai Durian.

    Akhir sekali, penulis memohon kemaafan di atas segala kesilapan dan kekurangan yang ada dalam kertas kerja ini. Semoga hasil kajian ini dikemaskinikan lagi oleh para peserta seminar pada hari ini bagi menerusi langkah Syeikh Daud dalam sumbangan ilmu dan karyanya.

 

 

 

Wallahu a’lam.

 


1.  Temuramah dengan Tuan Guru Haji Hashim bin Haji Abu Bakar di rumah kediamannya pada hari Isnin bersamaan dengan 1/5/2006, di Madrasah Diniyyah Bakriah, Pondok Terusan, Pasir Tumbuh, 16150 Kota Bharu, Kelantan. Dan temuramah dengan Ustaz Ibrahim Mahmod pada 9hb. Jun 2005 di rumah kediamannya di alamat: Pondok Nur Iman, RPT Mengkebang, 18000 Kuala Krai, Kelantan.

2. Maklumat ini diperolehi daripada Dr. Haji Abdul Basit bin Abdul Rahman yang telah mewawancarakan Haji Muhammad Nur bin Sulaiman, di rumahnya yang terletak di Jalan Tok Semian, kota Bharau, Kelantan. Pada hari Sabtu 7/11/1987 bersamaan dengan 16 Rabiul Awwal 1408H.

3.  Ibid.

4.  Madrasah ini merupakan sebuah Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang pertama diasaskan. Al-Syeikh Hasan Qazzaz menceritakan bahawa pada peringkat awal, pendidikan yang diamalkan di Makkah boleh dikatakan sistem pengajian turath, setelah madrasah ini ditubuhkan, madrasah ini mula membuat sistem baru yang dibiayai oleh individu khas. Lihat: Dr Ridha bin Muhammad Safiuddin Al-Sanusi (2004M), “Muhaddith al-Haramayn, al-‘Allamah al-Musnid, al-Imam ‘Umar bin Hamdan bin ‘Umar al-Mahrasi al-Makki al-Madani. Hal.46, al-Maktabah al-Makkiyyah: Makkah al-Mukarramah.

5. Temuramah dengan Ustaz Haji Hussin bin Abdul Majid, atau dikenali dengan Haji Hussin Qadhi di rumah kediamannya di Pasir Putih pada hari Isnin bersamaan dengan 6/6/2005. Beliau merupakan besan Syeikh Muhammad Daud.

6.  Sumber maklumat ini diperolehi dari buku catatan Syeikh Daud.

7.  Mahyuddin, Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (1945), Syarh Sahih Muslim, j.1. Kaherah: Al-Sa’adah, h.15.

8.  Mahyuddin, Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (2000). Sahih Muslim, j. 1-2, c. 7. Beirut: Dar al-Ma’rifah, h. 31.

9.  Temuramah dengan Puan Hajjah Rabiah bt. Mohd Razi, isteri kedua Syeikh Daud pada 2 Mei 2005 di rumah kediaman Ustaz Yahya Mohd Razi di alamat: No 6, Jalan 3/5 H, Bandar Baru Bangi, 43650 Selangor.

10. Temuramah dengan Ustaz Yahya Mohd Razi (ipar Syeikh Daud) pada 2 Mei 2005 dialamat: No 6, Jalan 3/5 H, Bandar Baru Bangi, 43650 Selangor.

11. Temuramah dengan Tuan Guru Haji Abdullah pada hari Selasa bersamaan dengan 7/6/05 di rumah kediamannya, Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan.

12. Temuramah dengan Dr. Haji Abdul Basit bin Abdul Rahman di rumahnya pada hari Ahad, 2/9/2007 di alamat: Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian, 18000 Kuala Krai, Kelantan.

13. Persatuan mengadakan program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan anak-anak kelantan. Temuramah dengan Ustaz Ibrahim Mahmod pada 9hb. Jun 2005, op.cit

14. Temuramah dengan Ustaz Haji Yusuf bin Abdul Kadir pada 9hb. Jun 2005 di rumahnya di alamat 33A Kampung Raja, Panyit 18500, Machang, Kelantan.

15. Temuramah dengan Ustaz Haji Hussin bin Abdul Majid pada 6/6/2005, op.cit., dan penulis juga mengadakan temuramah dengan Tuan Guru Haji Abdullah pada 7/6/2005, op.cit.

16. Temubual dengan Ustazah Hajjah Fatimah binti Syeikh Muhammad Daud pada 20/12/2007, di rumahnya di alamat: Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian, 18000 Kuala Krai, Kelantan.

17. Temuramah dengan Haji Hussin bin Abdul Majid pada 6/6/2005 , op.cit.

18. Ibid.

19. Temuramah dengan Tuan Guru Haji Abdullah bin Abdul Rahman Lubuk tapah pada 7/6/2005, op.cit.

20. Syeikh Muhammad Daud bin Sulaiman al-Kelantani (1975), “Al-Luqatah al-Badi’ah al-Mukhtasarah fi manasik al-Haj wa al-‘Umrah”. Cetakan kelima. Pulau Pinang: Zi United Press, h. 6.

21. Syeikh Muhammad Daud bin Sulaiman al-Kelantani dan Haji Abdul Rahman bin Sulaiman (1970), ‘‘Ibadat Haji atau Al-Durrah al-Thaminah al-Gharibah fi Ad’iyah al-Tawaf, wa Du’a’ ‘Arafah’’   Cet.3, Pustaka Aman Press, Kelantan, h. 3.

Posted in Pondok Sungai Durian, Tokoh Ulama' | Leave a Comment »