Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Oktober 2020

Jangan tinggal 3 sunnah Nabi

Posted by epondok di Oktober 31, 2020

Mohd. Radzi Mohd. Zin

 

KITA kini berada dalam bulan Rabiulawal. Satu bulan yang diberkati dengan keputeraan Nabi Muhammad SAW. Walaupun tarikh sebenar kelahiran baginda ada perselisihan namun jumhur ulama mengatakan ia berlaku pada 12 Rabiulawal tahun Gajah bersamaan hari Isnin.

Yang lebih penting adalah bagaimana kita menunjukkan kecintaan kepada kekasih Allah iaitu insan bernama Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qudai bin Kilab. Nabi dan rasul pembawa rahmat ke sekalian alam. Sebab itu, tema sambutan Maulid Nabi tahun ini juga adalah ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’.

Selain membanyakkan selawat kepada baginda SAW dan keluarga baginda, marilah kita berusaha untuk sekurang-kurangnya melakukan tiga sunah nabi SAW. Daripada Abu Hurairah r.a: Rasulullah SAW berpesan kepadaku supaya menjaga tiga ibadat iaitu berpuasa tiga hari setiap bulan; dua rakaat solat duha dan menunaikan solat witir sebelum tidur. (Riwayat al-Bukhari)

 Puasa tiga hari setiap bulan – Ia sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: Rasulullah SAW memerintahkan kami berpuasa pada hari-hari putih iaitu hari ke-13, 14 dan 15. Qatadah bin Milhan berkata: Baginda bersabda: Berpuasa pada ketiga-tiga hari itu seumpama berpuasa sepanjang masa (sepanjang tahun). (Riwayat Abu Daud). Bagaimanapun, ada juga hadis yang menceritakan baginda SAW tidak kisah pada mana-mana hari untuk berpuasa untuk mencukupkan tiga hari itu.

 Solat duha – Nabi SAW sentiasa melakukan ibadat ini dan mengesyorkan umatnya melakukan yang sama. Masanya mulai matahari berada kira-kira segalah di langit timur iaitu 15 ke 20 minit selepas terbit matahari. Ia berterusan sehingga istiwa’ matahari kira-kira 15 ke 20 minit sebelum waktu zawal (gelincir matahari menandakan masuknya waktu zuhur). Waktu afdal adalah sekitar jam 10 pagi iaitu apabila terasa bahang panas matahari.

Menurut ulama, paling minimum solat duha adalah dua rakaat dan maksimum 12 rakaat. Yang kerap dilakukan oleh nabi SAW adalah empat rakaat. Ia berdasarkan daripada Muazah beliau menceritakan: Aku bertanya kepada Aisyah r.ha, adakah nabi SAW melakukan solat duha? Aisyah menjawab: Ya sebanyak empat rakaat dan baginda menambah bilangan rakaat mengikut yang dikehendaki Allah SWT. (Riwayat Muslim)

 Solat witir – ia dilakukan selepas solat isyak hingga menjelang fajar (subuh). Ia dapat dikerjakan sebagai pelengkap solat tahajud atau solat tarawih. Juga sebagai penutup segala solat yang dilakukan hingga menjelang subuh.

Dinamakan ‘witir’ kerana bilangan rakaatnya ganjil. Sabda Rasulullah SAW: Wahai ahli al-Quran, kerjakanlah solat witir sebab Allah itu witir (ganjil/ Maha Esa) dan amat suka kepada ganjil. (Riwayat al-Tirmidzi dan Hakim).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berasa dirinya tidak mampu bangun pada hujung malam, sebaiknya mengerjakan solat witir pada awal malam, tetapi bagi sesiapa yang berasa dirinya mampu dan yakin akan dapat bangun pada penghujung malam, sebaiknya mengerjakan solat witir pada akhir malam kerana solat pada akhir malam itu akan dihadiri para malaikat dan itulah yang lebih utama. (Riwayat Muslim)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Dalil wajib kita mencintai nabi Muhammad s.a.w

Posted by epondok di Oktober 29, 2020

Berbekalkan keyakinan bahawa manhaj risalah dan dakwah Islamiah yang sebenar adalah berteraskan perasaan cinta dan kasih yang mendalam kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, ruangan ini pada minggu lepas telah mengimbau mengenai hakikat kasihnya Rasulullah SAW terhadap umatnya dan pengorbanan yang telah Baginda SAW sembahkan sebagai tanda cinta dan kasih kepada umatnya.Maka wajarlah pada kali ini, jika kita menyambung bicara tentang kewajipan kita pula sebagai Umat Nabi Muhammad SAW membalas kasih Rasulullah SAW terhadap kita serta mencintai Baginda SAW seperti yang selayaknya.

Hakikat bahawa Rasulullah SAW wajib dikasihi dengan sebenar-benarnya sangat jelas di sisi syarak. Ia sebagaimana yang termaktub dalam ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis, yang merupakan sumber agama yang wajib dipatuhi oleh setiap orang yang bergelar Muslim.

Di samping perintah yang terang nyata dalam nas-nas wahyu, akal dan fitrah yang sihat juga sangat kuat mendukung keperluan dan kepentingan kita mencintai dan mengasihi Rasulullah SAW.

Oleh itu, mencintai Nabi SAW adalah suatu yang wajib baik dari sudut naqli (wahyu) mahupun aqli (logik).

Dalil Naqli

Bagi seorang Muslim yang taat, setiap nas wahyu sama ada daripada al-Quran mahupun sunnah yang sahih adalah perintah dan arahan dari Tuhan yang dengan segera dan bersemangat dijunjung dan dipatuhi.

Apatah lagi jika perintah itu datang dalam nada yang tegas dan diiringi amaran. Nada inilah yang jelas dapat kita rasakan pada ayat yang memerintahkan kita mencintai dan mengutamakan Nabi SAW dalam surah al-Taubah, ayat 9 yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka).

Dalam ayat ini, Allah SWT memberi ancaman dan menjanjikan balasan azab-Nya bagi orang yang mengasihi keluarga dan harta bendanya melebihi kecintaannya terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.

Mereka juga ditakutkan dengan gelaran fasiq yang memang sangat dibenci oleh setiap jiwa yang beriman. Ancaman dan balasan azab dalam ayat sepatutnya sudah mencukupi sebagai motivasi, peringatan, dalil yang jelas dan hujah yang kuat bagi menunjukkan thabitnya kewajipan mengasihi Nabi SAW, membesarkan kedudukan Baginda SAW, dan tuntutan melaksanakan hak mengasihinya dengan sempurna.

Jika kita merujuk kepada nas-nas Sunnah pula, walaupun kita mengenali Rasulullah SAW sebagai insan yang paling tawaduk dan paling tidak mementingkan diri, baginda SAW tiada pilihan melainkan menyampaikan dengan jelas dan tegas kewajipan kita menyintai dirinya dan mengutamakannya kerana ia adalah antara inti, rahsia dan pokok ajaran agama ini.

Di antara pesanan dan perintah yang sangat jelas daripada Rasulullah SAW dalam hal ini ialah: Tidak dianggap sempurna Iman seseorang daripada kamu sehinggalah aku lebih dicintainya daripada anaknya, bapanya dan sekalian manusia. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis ini penanda aras kesempurnaan Iman itu sendiri turut diukur berdasarkan tahap kecintaan dan kasih terhadap baginda SAW.

Sudah tentu kita tidak reda keimanan kita cacat dan tidak sempurna apatah lagi jika sebabnya adalah kegagalan kita melakukan sesuatu yang seindah dan semulia menyintai insan teristimewa, Nabi kita Muhammad SAW.

Di ketika yang lain, sunnah merakamkan dialog penuh makna antara Rasulullah SAW dan Saidina Umar al-Khattab r.a. Saidina Umar diriwayatkan berkata, “Wahai Rasulullah! Engkau lebih aku cintai daripada mana-mana manusia yang ada di dunia ini melainkan jiwaku yang berada di dalam jasadku”.

Kata-kata Umar RA ini disambut oleh Rasulullah SAW dengan tegas: “Tiada sesiapapun yang benar-benar menjadi Mukmin sejati sehinggalah aku lebih dicintainya walaupun daripada dirinya sendiri”.

Mendengarkan sabda yang mulia ini, Umar r.a lantas berkata: “Demi Tuhan yang menurunkan Kitab kepadamu, sekarang ini engkau lebih aku cintai daripada diriku yang berada di dalam jasadku”. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Sekarang (barulah kamu mempunyai iman yang sempurna) wahai Umar!” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain hadis-hadis yang mengikat iman dengan kecintaan terhadap Nabi SAW, kita juga menemukan hadis-hadis yang menjadikan cintakan Nabi SAW sebagai pra-syarat bagi mendapatkan matlamat-matlamat sehebat kemanisan iman dan seagung dapat bersama dengan Nabi SAW dalam syurga Allah SWT.

Rasulullah SAW diriwayatkan bersabda, Sesiapa yang terdapat di dalam dirinya tiga perkara ini, akan merasai kemanisan iman; Allah dan RasulNya lebih dikasihi daripada selain keduanya, dia mengasihi seseorang yang tidak dikasihinya melainkan kerana Allah dan dia berasa benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia berasa benci sekiranya dicampakkan ke dalam neraka. (riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Nasa’i di dalam Bab Iman)

Diketika yang lain seorang sahabat telah menanyakan baginda SAW, “Bilakah akan berlaku hari kiamat, wahai Rasulullah?” (Dia bertanya sedemikian seolah-olah berasa rindu kepadanya). Jawab baginda SAW, “Apakah yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari kiamat?” Jawabnya, “Aku tidak bersedia menghadapinya dengan banyak melakukan solat, puasa (sunat) atau pun bersedekah tetapi aku amat kasih kepada Allah dan Rasul-Nya”. Sabda Baginda SAW, “Kamu akan bersama dengan orang yang kamu kasihi”. (riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)

Melihat nas-nas yang jelas di atas, apakah patut kita masih ragu-ragu atau lemah dalam berusaha membalas cinta kekasih yang unggul ini? Bijakkah kita jika masih menjulang cinta dunia melebihi cinta kita terhadap Nabi SAW?

Dalil Akal dan Fitrah

Selain kalam wahyu Qurani dan Nabawi, kewajipan dan keutamaan mencintai Nabi Muhammad SAW juga sangat selari dengan setiap akal yang salim dan segala fitrah yang sejahtera.

Lazimnya perasaan kasih adalah kecenderungan hati terhadap apa yang disamai atau disepakati sesama manusia sama ada persamaan atau kesesuaian pada fitrah semulajadi manusia ataupun hukum syarak.

Di antara persamaan yang menyebabkan terhasilnya kecenderungan dan kasih ini ialah:

lKelazatan atau tarikan yang dirasai dan ditanggapi oleh pancaindera yang zahir terhadap sifat-sifat luaran orang yang dikasihinya seperti tarikan kepada rupa paras atau gambaran yang cantik, suara yang lunak, makanan dan minuman yang lazat. Semuanya ini, adalah kecenderungan semulajadi pada fitrah yang sejahtera.

Kecenderungan atau tarikan yang dipandu dan dilahirkan oleh akal dan hati yang sejahtera terhadap sifat-sifat dalaman yang mulia dan baik yang dimiliki oleh seseorang yang dikasihi seperti suka atau kasih kepada orang-orang soleh, para ulama, ahli kebajikan yang dikhabarkan tentang perjalanan hidup mereka yang indah dan akhlak mereka yang baik.

Fitrah manusia yang cenderung untuk mengasihi golongan ini mampu menghasilkan rasa keterikatan dan komitmen yang tinggi yang jika disalurkan dengan betul boleh menghasilkan kerja-kerja besar dan hebat.

Perasaan suka dan kecenderungan yang lahir disebabkan oleh rasa terima kasih terhadap kebaikan seseorang dan nikmat-nikmat yang telah diterima daripadanya.

Sesungguhnya menjadi tabiat jiwa manusia, suka dan kasih kepada orang yang berbuat baik terhadapnya.

Jika kita meninjau faktor-faktor timbulnya cinta di atas pada diri Rasulullah SAW yang mulia, ternyata pada diri Baginda SAW terhimpun ketiga-tiga faktor tersebut sehingga mewajibkan secara aqli dan fitri Baginda SAW dikasihi dan dicintai oleh kita semua.

Adapun kecantikan rupa paras dan lahiriah Nabi SAW, kesempurnaan akhlak dan batin baginda SAW, telah dicatatkan dengan tinta emas dalam sejarah dan khazanah ilmu dan tidak dipertikaikan sama sekali.

Sekiranya kita cenderung mengasihi seseorang yang melakukan kebaikan kepada kita di dunia walau cuma sekali-dua pun serta sangat terhutang budi kepada orang yang telah menyelamatkan kita daripada kebinasaan dan kemudaratan semasa kita mengalami kesusahan duniawi barang seketika.

Maka sudah tentu insan istimewa yang telah membuka kepada kita segala pintu nikmat dan kebaikan yang berkekalan serta menyelamatkan kita daripada azab api neraka yang dahsyat adalah lebih patut, lebih utama dan lebih layak mendapat kasih dan cinta kita.

Semoga Allah SWT dengan limpahan rahmat-Nya, berkenan menganugerahkan kita dengan cinta-Nya, cinta Rasul-Nya, dan menyubur-mekar dalam sanubari kita cinta tulus terhadap Rasulullah SAW sebagaimana yang selayak dan sewajarnya cinta suatu umat yang mulia kepada Nabinya yang agung, SAW. Wallahu a’lam.

Oleh Panel Penyelidikan, Yayasan Sofa Negeri Sembilan

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Cintai Nabi dengan ikuti sunnahnya

Posted by epondok di Oktober 28, 2020

MENCINTAI Nabi SAW tidak cukup sekadar dengan pengakuan semata-mata, sebaliknya hendaklah ia direalisasikan seperti apa disabdakan oleh Baginda, “Tidaklah salah seorang kalian beriman sehingga aku lebih dia cintai daripada anaknya, ibu bapanya, dan seluruh manusia.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

Untuk kita membela agama yang dibawa oleh Nabi, kita hendaklah mencintai Baginda lebih daripada diri sendiri dan kecintaan itu hendaklah diterjemahkan dengan tindakan. Cinta seperti inilah yang  mengisi hati sahabat Baginda SAW.

Cinta sejati

Abu Bakar Al-Siddiq RA berkata, “Wahai Rasulullah, demi ALLAH sesungguhnya aku lebih mencintaimu daripada keluargaku. Sesungguhnya aku lebih mencintaimu daripada anakku. Ketika aku berada di rumah, aku teringat dirimu, aku tidak mampu sehingga aku datang bertemu denganmu lalu aku melihatmu.

Namun ketika aku teringat kematianku dan kematianmu, aku mengetahui bila engkau masuk syurga engkau berada di kedudukan golongan Nabi, dan bila aku masuk syurga, aku tidak dapat melihatmu.” (Riwayat Hasan, Al-Thabarani)

Nabi tidak menjawab sehingga turun ayat, “Barang siapa mentaati ALLAH dan Rasul, maka mereka bersama orang yang telah diberi nikmat oleh ALLAH daripada kalangan para Nabi, siddiqin, syuhada,  dan solehin.” (Surah al-Nisa: 69)

Umar bin Al-Khatthab RA berkata, “Dahulu aku mempunyai seorang jiran Ansar daripada Bani Umayyah bin Zaid, sebuah kabilah yang bermukim di dataran tinggi kota Madinah. Kami berdua bergilir-gilir mengunjungi Rasulullah SAW. Jika hari ini dia turun maka esoknya aku yang turun.

Selesai menemui Rasulullah SAW, aku khabarkan kepadanya apa yang disampaikan Rasulullah pada hari itu, baik berupa wahyu atau lainnya. Demikian juga halnya kalau dia yang turun, dia melakukan hal sama.

Sebagai lelaki Quraisy, kami orang yang memiliki penguasaan terhadap isteri-isteri kami. Tetapi setiba kami di Madinah, kami dapati orang Ansar adalah orang yang kalah oleh isteri-isteri mereka. Akibatnya isteri-isteri kami mula terpengaruh dengan tabiat wanita Ansar.

Pernah satu ketika aku membentak isteriku, tapi dia membantah. Aku jadi berang bila dia berani membantahku. Isteriku berkata, “Mengapa kamu marah atas sikapku, padahal isteri-isteri Nabi SAW juga membantah Baginda SAW? Bahkan ada antara mereka yang meninggalkan Baginda SAW seharian hingga malam.”

Aku menyinsing pakaianku dan menuju rumah Hafsah. Setiba aku di rumahnya, aku berkata: “Wahai Hafsah, benarkah ada di antara kalian yang membuat Rasulullah SAW kesal seharian hingga malam?” “Benar” jawabnya. “Alangkah ruginya kamu. Apa kamu berasa aman daripada murka ALLAH setelah kamu membuat kesal RasulNya, hingga boleh jadi kamu celaka kerananya? Jangan meminta kepada Nabi SAW dan jangan sekali-kali membantah atau meninggalkannya. Mintalah kepadaku apa yang kamu inginkan dan jangan kamu terpengaruh madumu kerana dia lebih cantik dan lebih dicintai Rasulullah SAW”.

Pada ketika itu warga Madinah sedang membicarakan Raja Ghassan sedang menyiapkan pasukan berkuda untuk menyerang Madinah. Ketika itu, tiba giliran jiranku orang Ansar itu untuk turun menemui Rasulullah SAW. Petangnya, dia mendatangiku dengan tergesa-gesa dan mengetuk pintu rumahku dengan kuat. Dia berkata, “Ada perkara besar yang baru terjadi!”

Aku bertanya, “Adakah pasukan Ghassan telah tiba?” Jawabnya, “Jauh lebih besar dan lebih ngeri dari itu. Nabi SAW telah menceraikan isteri-isterinya!” Aku bergumam, “Alangkah rugi si Hafsah kalau begitu.” (Riwayat Al-Bukhari)

Terlalu banyak lagi jika hendak diceritakan, tapi lihatlah bagaimana sikap golongan sahabat yang lebih mementingkan Rasulullah atas diri dan keluarga, sehingga bagi mereka, serangan pasukan Raja Ghassan lebih kecil jika dibanding apa yang terjadi dengan rumah tangga Nabi.

Abu Sufyan ra berkata, “Aku tidak melihat seorang pun manusia yang mencintai manusia seperti kecintaan sahabat Muhammad kepada Muhammad.” (Sirah Ibn Hisyam)
Cinta yang sejati lagi ikhlas terhadap Nabi akan terzahir dalam akhlak, amalan, tingkah laku dalam kehidupan, bahkan akan mendorong seseorang itu menolong agama yang dibawa oleh kekasihnya.

Bagaimana kita menolong agama yang dibawa oleh Nabi? Antaranya adalah dengan mengikuti, menyebarkan dan mempertahankan Sunnah Baginda.

Sesungguhnya syarat agar ALLAH mencintai seseorang hamba adalah dengan dia mengikuti Sunnah Nabi dan menjauhi bidaah. Ini sebagaimana firman ALLAH: “Katakanlah (wahai Muhammad), sekiranya kamu mencintai ALLAH maka ikutilah aku nescaya ALLAH akan mencintai kamu.” (Surah Ali Imran: 31)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Membalas cinta Nabi kepada umat tiada batasan

Posted by epondok di Oktober 27, 2020

CINTA luar biasa Nabi Muhammad SAW terhadap umatnya hingga berasa rindu untuk bertemu dan membela kita, menjadi asas penting untuk setiap Mukmin membuktikan keimanan serta kecintaan kepada Baginda.

Walaupun umat selepas kewafatan Rasulullah SAW tidak pernah berjumpa dan melihatnya, Baginda sudah mengungkapkan kerinduan dan kecintaan itu.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersama sahabatnya pergi ke kawasan perkuburan Baqi’ dan bersabda: “Sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang beriman. Sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin pada hatiku seandainya dapat melihat saudara kita.”

Sahabat RA bertanya: “Apakah kami ini bukan saudaramu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Kamu semua ialah sahabatku, sedangkan saudara kita ialah (orang Mukmin) yang belum muncul (yang beriman tanpa pernah melihat Rasulullah SAW).” (HR Malik, Muslim, Ibn Majah dan Nasa’ie)

Pengasas Yayasan Pondok Pesantren Nurul Oman Kraksan Probolinggo Jawa Timur, Habib Hasan Ismail Al-Muhdor pada Tausiyah Khas di Masjid UKM, Bangi. – Foto Aswadi Alias.

Pengasas Yayasan Pondok Pesantren Nurul Oman Kraksan Probolinggo Jawa Timur, Habib Hasan Ismail Al-Muhdor, berkata orang Islam perlu berbangga menjadi umat Nabi Muhammad SAW kerana Baginda amat merindui dan ingin berjumpa dengan umatnya selepas kewafatannya.

“Di Padang Mahsyar kelak, Rasulullah SAW akan menjadi tumpuan umat manusia untuk mendapatkan syafaat Baginda.

Manusia dalam kebingungan

“Seluruh umat manusia ketika itu dalam kebingungan dan ketakutan hingga mencari Nabi yang dapat membela mereka di hadapan Allah SWT.

“Akhirnya, mereka mendapatkan pertolongan Rasulullah SAW apabila Baginda memohon kepada Allah SWT untuk menyelesaikan penderitaan yang ditanggung itu,” katanya pada Majlis Tausiyah di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Habib Hasan berkata, malah Rasulullah SAW tidak pernah lekang dalam mendoakan umatnya. Sehingga akhir hayat, Baginda masih lagi mengingati kita.

Pengasas Yayasan Pondok Pesantren Nurul Oman Kraksan Probolinggo Jawa Timur, Habib Hasan Ismail Al-Muhdor pada Tausiyah Khas di Masjid UKM, Bangi. – Foto Aswadi Alias.

Beliau memetik kisah Rasulullah SAW yang berada di rumah Aisyah RA dan bangun bermunajat pada malam hari, hingga Ummul Mukminin terjaga dan mendengar Rasulullah SAW berdoa untuknya: “Ya Allah, ampunilah Aisyah daripada dosa lalu, yang akan datang, tersembunyi dan terlihat.”

Mendengar doa itu tentunya membuatkan Aisyah RA gembira kerana Rasulullah SAW mendoakannya secara khusus, tetapi Baginda menjelaskan doa itu bukan saja untuk isterinya, bahkan kepada umatnya yang lain.

“Jadi, melihat kecintaan dan keprihatinan Rasulullah SAW kepada umatnya itu, kita wajib untuk mencintai Baginda sepenuh hati,” katanya.

Habib Hasan turut melontarkan pertanyaan sama ada kecintaan kita boleh mengatasi kecintaan Sahabat RA kepada Baginda kerana mereka sendiri tidak mampu untuk berpisah lama dengan Baginda kerana perasaan cinta dan rindu itu.

Pengasas Yayasan Pondok Pesantren Nurul Oman Kraksan Probolinggo Jawa Timur, Habib Hasan Ismail Al-Muhdor pada Tausiyah Khas di Masjid UKM, Bangi. – Foto Aswadi Alias.

Tak boleh tidur rindu Rasulullah

“Ketika Rasulullah SAW dalam perjalanan dakwah dan sahabat RA sudah tiga hari tidak berjumpa dengan Rasulullah SAW, mereka sudah berasa rindu hingga tidak boleh tidur kerana perasaan yang terlalu mendalam kepada Baginda.

“Wanita soleh, Rabiatul Adawiyah beribadat dan taat kepada Allah SWT, malah dalam munajat kepada Tuhan, beliau bukan ingin masuk syurga ataupun takut masuk neraka, sebaliknya untuk menggembirakan Rasulullah SAW,” katanya.

Justeru, Habib Hasan berkata, sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah SAW kita perlu sentiasa mengingati Baginda dengan memperbanyakkan selawat dan mengamalkan sunah Baginda.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Cara tunjuk Kecintaan kepada nabi Muhammad s.a.w

Posted by epondok di Oktober 26, 2020

BULAN Rabiulawal sangat sinonim dengan sambutan Maulidur Rasul. Sesetengah negeri di Malaysia menjadikan tarikh 12 Rabiulawal pada setiap tahun sebagai cuti umum demi merayakan kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Sambutan Maulidur Rasul bukanlah semata-mata berarak dengan sepanduk dan pakaian yang indah. Meskipun aktiviti sedemikian dapat menaikkan syiar Islam, namun apa yang lebih utama adalah suburnya ingatan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW sehingga menguatkan kembali iltizam untuk benar-benar menghayati ajaran Islam yang disampaikan oleh baginda.

Kecintaan kepada Rasulullah SAW juga berperanan sebagai penguat rohani yang dapat mengukuhkan tauhid dan kebergantungan kepada Allah SWT.

Ingatan terhadap kesungguhan dan pengorbanan Nabi SAW yang sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan umat dapat mendorong ke arah melaksanakan syariat dan menghayati akhlak Islam secara sempurna.

Di Nusantara, salah satu cara para ulama menyemarakkan rasa kecintaan kepada baginda adalah menerusi seni barzanji.

Barzanji adalah satu amalan membaca teks sastera Arab yang mengandungi riwayat, sejarah Nabi SAW serta doa secara berlagu.

Masyarakat Melayu lazimnya menyebut “berzanji.” Namun, jika diambil kira dari nama penulis karya tersebut iaitu Imam Jaafar Al-Barzanji bin Hasan bin Abdul Karim, istilah yang lebih tepat adalah barzanji.

Keberkatan karya Imam Jaafar ini dapat dinilai berdasarkan penerusan amalan barzanji dalam kalangan umat Islam sehingga ke hari ini. Amalan tersebut mengalir dari Asa Barat sehinggalah ke Kepulauan Melayu. Kata-kata pujian dan gambaran terhadap kebaikan Nabi SAW mencetuskan rasa rindu dan kesyukuran menjadi umat baginda.

Imam Jaafar membawa pembaca untuk mengenali Rasulullah SAW, bukan sahaja dari aspek fizikal nabi, tetapi juga aspek susur galur nenek moyang Nabi SAW. Selain itu peristiwa utama dalam hidup Nabi SAW turut diadun dengan bahasa dan kata-kata yang menyentuh perasaan. Antaranya peristiwa semasa kelahiran, peletakan Hajarul Aswad, Nabi SAW diangkat sebagai Rasul, peristiwa hijrah, hakikat kesempurnaan serta akhlak baginda.

Melalui seni dan kuasa kata-kata yang terkandung dalam teks tersebut, Imam Jaafar membawa para pembaca untuk menghalusi perasaan kerinduan dan kecintaan kepada baginda. Dari rindu maka tercetuslah rasa takzim iaitu perasaan ingin memuliakan Nabi SAW dan mengikut sunnah baginda.

Perasaan mencintai Rasulullah SAW yang menjadi nilai utama yang ingin disemai dalam jiwa umat Islam, menjadikan amalan barzanji bukan sahaja diadakan pada hari kelahiran Nabi SAW, tetapi juga dalam pelbagai majlis keraian.

Masyarakat Melayu di Malaysia turut mengalunkan barzanji dalam majlis menyambut kelahiran bayi atau akikah, majlis berkhatan, majlis perkahwinan, ketika masuk rumah baru, menyambut kepulangan jemaah haji dan sebelum menghantar rombongan meminang.

Terdapat juga keadaan yang mana barzanji dilakukan untuk mengumpulkan orang ramai bagi menyampaikan satu berita atau pengumuman penting.

Di pondok pengajian di Nusantara, barzanji ini berfungsi untuk mengelakkan bosan dan letih dalam pelajaran. Guru pondok lazimnya akan berhenti seketika dan membuat alunan barzanji seperti bertaranum. Alunan tersebut diikuti oleh murid mereka secara beramai-ramai. Dengan itu, para pelajar beroleh kerehatan minda dan dalam masa yang sama mendapat pengisian yang bermanfaat.

Seni barzanji mengajak umat Islam mengamati peribadi Nabi SAW. Nabi SAW adalah manusia, tetapi bukan manusia biasa. Nabi SAW adalah seorang guru yang agung. Baginda SAW tidak hanya mengajar manusia berakhlak mulia, tetapi baginda sendiri merealisasikan akhlak Al-Quran dalam kehidupan seharian baginda. Lantaran itu baginda turut digelar Al-Quran yang berjalan.

Dengan mengambil rawi kelapan belas yakni rawi yang terakhir sebagai contoh, kesempurnaan akhlak Rasulullah SAW digambarkan dengan terperinci.

Imam Jaafar menukilkan nabi sebagai seorang yang pemalu dan sering merendah diri meskipun kedudukan baginda sangat mulia di sisi Allah SWT.

Baginda sering melakukan kerja-kerja rumah dan menguruskan hal ehwal keluarga tanpa mengharapkan kepada isteri atau pembantu. Baginda menjahit sendiri pakaian yang koyak, membaiki sandal yang rosak dan memerah sendiri susu kambing.

Dalam pergaulan, Nabi SAW sangat berlemah lembut kepada orang miskin. Pada kesempatan yang ada, baginda akan meluangkan masa bersama-sama golongan ini demi memberi perhatian dan bantuan kepada mereka. Baginda tidak pernah memandang hina kepada golongan yang miskin dan lemah.

Selain itu, baginda sering menziarahi golongan yang sakit dengan memberikan kata-kata semangat dan mengingatkan mereka untuk bersangka baik kepada Allah SWT.

Baginda sangat mengambil berat kebajikan dan bersungguh-sungguh membela anak yatim, hamba, wanita dan orang tua dari sebarang penindasan dan pengabaian.

Riak wajah, perkataan dan gerak tingkah laku baginda tidak pernah menampakkan membenci atau tidak menyukai sesiapa.

Jika berjumpa dengan para sahabat, baginda yang akan terlebih dahulu memberi salam. Wajah yang manis dan kata-kata yang baik akan diberikan kepada sesiapa yang bertemu dengan baginda.

Baginda sering memaafkan dan berlapang dada terhadap golongan yang sering menyakiti baginda atau yang tidak beradab dengan baginda.

Baginda juga tidak berasa gentar kepada mana-mana raja atau penguasa.

Kemuliaan akhlak baginda yang luar biasa menyebabkan baginda mendapat penghormatan daripada sahabat yang beriman serta para malaikat.

Nabi SAW sentiasa mendahulukan para sahabat berjalan di hadapan baginda, dan memberikan ruang kosong kepada malaikat untuk berada di belakang baginda.

Kehidupan baginda sangat sederhana meskipun baginda pernah ditawarkan kekayaan dunia.

Baginda jarang sekali berada dalam keadaan kekenyangan, malah pernah mengikat batu di perut baginda kerana kelaparan.

Sekiranya baginda bergurau, hanya kebenaran dan perkara yang diredai Allah yang dinyatakan oleh baginda.

Demikianlah antara kandungan rawi dalam teks barzanji yang memberi gambaran terperinci mengenai sikap dan akhlak Rasulullah SAW. Gambaran ini memudahkan orang mukmin mengamalkan nilai-nilai mulia tersebut dalam kehidupan seharian.

Akhir sekali, dapat dirumuskan bahawa amalan barzanji adalah salah satu medium yang dapat memperkenalkan umat kepada Nabi SAW. Amalan dan tradisi ini wajar diteruskan dan difahamkan pula kepada generasi muda Muslim.

Dari pengenalan terhadap baginda, maka lahirlah rasa cinta yang mendalam yang seterusnya membawa cinta kepada Allah SWT dan saling menghargai sesama insan.

Kecintaan kepada Rasulullah SAW mendorong seseorang untuk mencintai ahli keluarganya, anak-anak, ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat serta alam yang diciptakan oleh Allah SWT secara benar. Maka segala penindasan, kezaliman, dendam dan kebencian dalam kalangan masyarakat akan terkubur.

Kesatuan pemikiran dan keyakinan orang Melayu terhadap elemen cinta kepada Rasulullah SAW menjadikan barzanji sebagai satu seni Islam yang dapat menyatukan hati umat Islam, mengeratkan silaturahim, menjadikan majlis ceria dan lebih bermakna serta memupuk penghayatan kepada kasih sayang dan pengorbanan Rasulullah SAW.

Dengan penghayatan terhadap makna dan falsafah barzanji ini, umat Islam dapat memaknai sambutan Maulidur Rasul dengan kecintaan yang jujur kepada baginda. Baginda adalah pintu segala kebaikan dan kunci pengenalan setiap hamba kepada Allah, Tuhan sekalian alam!

DR. MAHFUZAH MOHAMMED ZABIDI

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

10 hukuman pada pencaci Nabi

Posted by epondok di Oktober 25, 2020

Oleh Nazmi Yaakub

 

KEMUNCAK cinta kepada Nabi Muhammad SAW bukan sahaja sampai melebihi ibu bapa dan anak, bahkan melampaui diri sendiri seperti yang dijelaskan Baginda kepada Saidina Umar RA.

Bagi jemaah haji, walaupun ibadat Rukun Islam Kelima itu sudah selesai, ‘kembara’ rohani mereka tidak akan sempurna sekiranya tidak menziarahi makam Rasulullah SAW dan Masjid Nabawi di Madinah.

Tidak hairanlah umat Islam pasti sensitif dengan segala tuduhan jahat kepada insan dan makhluk teragung itu, sementelah pula lemparan kata nista serta caci-maki sama ada dalam bentuk teks mahupun visual.

Usahkan menyakiti hati Nabi SAW, meninggikan suara di hadapan Rasulullah SAW sahaja memberikan implikasi besar kepada amal seseorang.

Firman Allah SWT: “Wahai orang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi dan janganlah kamu berkata kepada Baginda dengan suara keras seperti suara keras sebahagian kamu terhadap orang lain, supaya tidak terhapus (pahala) amalanmu sedangkan kamu tidak menyedari.” (Al-Hujurat: 2)

Begitu teliti Allah SWT mengajar hamba-Nya mengenai adab kepada Rasulullah SAW hingga memberi amaran betapa amalan setinggi gunung boleh menjadi debu yang tiada maknanya.

Malah kepada orang yang menghina dan mencaci Rasulullah SAW, Allah SWT memberikan amaran dan balasan yang lebih keras serta menggerunkan lagi.

Ibnu Abbas RA mengingatkan sesiapa berselawat kepada Nabi SAW sekali, maka Allah SWT akan memberi 10 kali rahmat kepadanya, tetapi orang yang mencaci Baginda sekali, maka Tuhan akan mencacinya 10 kali.

“Tidakkah engkau memerhatikan firman Allah SWT yang ditujukan kepada pemuka Musyrikin Makkah, Walid ibnu Mughirah.

“Ketika dia sekali mencaci Nabi SAW, Allah SWT mencacinya dengan 10 cacian,” katanya.

Ibnu Abbas RA merujuk kepada ayat al-Quran yang membela Rasulullah SAW. Firman Allah SWT: “Dan janganlah engkau (berkisar daripada pendirian engkau yang benar dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya). Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecahbelahkan orang ramai). Yang sering menghalangi amalan kebajikan, yang melanggar hukum agama, lagi yang amat berdosa. Yang jahat kejam, yang selain itu tidak tentu pula bapanya. Adakah kerana ia hartawan dan ramai anak-pinaknya (maka ia mendustakan agama Kami)? Apabila dibacakan kepadanya ayat keterangan Kami, ia berkata: “(Ini ialah) cerita dongeng orang dahulu kala.” (Al-Qalam: 10-15)

Di akhirat kelak, orang yang mencaci Rasulullah SAW akan diancam dengan azab neraka yang tidak terperi kesakitan dan penderitaannya seperti firman Allah SWT: “Dan orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Al-Taubah: 61)

Dalam berdepan dengan tuduhan jahat dan cacian kepada Rasulullah SAW, umat Islam yang berilmu perlu

menjawab dengan hujah terbaik, sekali gus melambangkan Islam sebagai agama yang dibangunkan atas dasar ilmu.

Pada masa sama, orang awam yang tidak memiliki kemampuan untuk menjawab tuduhan atau cacian sebegitu, boleh melaporkan sebarang kenyataan yang menyentuh peribadi atau akhlak Nabi SAW kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Dalam berdepan dengan insiden jahat sebegitu, umat Islam tidak boleh mengambil tindakan secara kekerasan yang tidak dibenarkan syarak atau melemparkan kata-kata cacian yang tidak selayaknya atau melampaui batas.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Kelebihan selawat 20 kali sehari

Posted by epondok di Oktober 23, 2020

Manusia sangat memerlukan syafaat apabila mereka dihimpunkan di Padang Mahsyar kelak. Tiada seorang manusia pun yang terlepas daripada melakukan dosa kecuali Nabi Muhammad SAW.

Syafaat bererti memohon pertolongan pada saat memasuki syurga Allah SWT. Ada beberapa syafaat yang boleh diperoleh manusia dan salah satunya adalah syafaat daripada Nabi Muhammad SAW.

Itu adalah syafaat terbesar diberikan kepada Baginda SAW. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.” Rasulullah SAW juga berpesan bahawa Baginda adalah syafaat pertama untuk memasuki syurga.” (Surah al-Mudatthir, ayat 48)

Sekiranya setiap dosa anak Adam itu terzahir dengan hitamnya wajah, sudah pasti wajah kita akan bertambah hitam setiap masa kerana dosa yang dilakukan.

Bagaimanapun, Allah SWT sentiasa menutup keaiban dan dosa yang dilakukan hamba-Nya dan memerintahkan manusia sentiasa bertaubat.

Di Padang Mahsyar nanti keadaannya amat dahsyat apabila seluruh manusia akan duduk dalam keadaan bersesak-sesak, berdiri dalam keadaan telanjang dengan matahari terpacak tegak di atas kepala.

Ketika itu, semua merayu pertolongan daripada Allah SWT. Bagaimana hendak mendapatkan syafaat agung itu? Antaranya, kita perlu mencintai Nabi Muhammad SAW dengan memperbanyakkan berselawat ke atas Baginda.

Hanya selawat ke atas Nabi Muhammad SAW saja Allah SWT perintahkan kepada hamba-Nya yang Dia lakukan dahulu sebelum memerintahkan manusia melakukannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzaab, ayat 56)

Begitulah hebatnya amalan berselawat. Jasa yang cukup besar Nabi Muhammad SAW kepada umatnya adalah Baginda menyebabkan kita dapat mengecapi nikmat iman dan Islam.

Jika mati dalam keadaan tiada iman dan Islam, kita akan kekal tinggal di dalam neraka buat selama-lamanya.

Bagi mendapatkan jaminan syafaat daripada Nabi SAW itu adalah dengan berselawat sebanyak 10 kali pada waktu pagi dan petang.

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperoleh syafaatku pada hari kiamat.” (Riwayat Tabrani)

Bagi memudahkan kita berselawat sehingga ia menjadi amalan seharian, sebelum mengangkat tangan membaca doa pada waktu Subuh dan Asar kita boleh berselawat 10 kali terlebih dahulu.

Selawat paling utama diucapkan adalah selawat Ibrahimiyah. Selawat Ibrahimiyah ialah selawat yang dibaca pada separuh kedua dalam bacaan tahiyat akhir dalam solat.

Selawat itu menggabungkan dua ucapan salam ke atas Nabi Muhammad SAW dan Nabi Ibrahim iaitu “Allahumma salli ‘ala muhammadin wa’ala ali muhammad, kama sallayta ‘ala ibrahim, wabarik ‘ala muhammadin wa’ala ali muhammad, kama barakta ‘ala ali ibrahim, fi l-‘alamin, innaka hamidun majid.”

Maksudnya: “Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad seperti selawat-Mu kepada Ibrahim dan berilah keberkatan kepada Muhammad dan keluarga Muhammad seperti keberkatan-Mu kepada keluarga Ibrahim, di seluruh alam, sesungguhnya Engkaulah Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

4 Hujah Nabi pada manusia lalai ibadat

Posted by epondok di Oktober 13, 2020

Oleh Nazmi Yaakub

KESIBUKAN dengan harta benda dan tugas serta kesukaran menghadapi penyakit dan kesusahan hidup sering menjadi alasan atau dalih kepada manusia dalam melaksanakan tanggungjawab asasi sebagai hamba Allah SWT.

Firman Allah SWT: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. (Al-Dzariyat: 56)

Pada sangkaan umum, keempat-empat faktor itu seolah-olah dapat dijadikan justifikasi terhadap tindak-tanduk di dunia hingga mengabaikan tuntutan beribadat kepada Allah SWT.

Bagaimanapun, Allah SWT mengutuskan empat rasul yang masing-masing berdepan dengan hal itu, sekali gus menjadi hujah kepada hamba-Nya yang cuba menggunakannya untuk melindungi kelalaian diri sendiri.

Nabi Sulaiman AS dikurniakan kekuasaan dan kekayaan dengan kerajaan yang tidak pernah diberikan kepada hamba Allah SWT yang lain.

Bagaimanapun, anugerah luar biasa itu termasuk angin ditundukkan kepada perintah Baginda dan keupayaan memahami bahasa haiwan tidak menjadikan Nabi Sulaiman AS lalai.

Sebaliknya, Baginda dipuji Allah SWT seperti firman-Nya: Dan Kami kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak) Sulaiman ia adalah sebaik-baik hamba (yang kuat beribadat), lagi sentiasa rujuk kembali (bertaubat). (Saad: 30)

Justeru, Allah SWT akan berhujah dengan golongan kaya yang memiliki harta berlimpah-ruah dengan sirah Nabi Sulaiman AS.

Bagi golongan hamba pula yang menggunakan alasan sibuk melayani majikan masing-masing, Allah SWT akan berhujah dengan Nabi Yusuf AS yang diselamatkan daripada perigi buta tetapi dijual sebagai abdi kepada pemerintah Mesir.

Hujah itu bukan sahaja boleh menafikan kesibukan golongan abdi daripada melakukan ibadat, bahkan ia juga perlu diberi perhatian orang Islam pada masa ini yang mungkin berasa sibuk dengan urusan masing-masing.

Bagi orang yang sakit pula, Allah SWT berhujah dengan sirah Nabi Ayub AS yang ditimpa dengan ujian kesakitan teruk hingga terbaring, manakala harta kekayaannya hilang dan zuriatnya diambil kembali oleh Tuhan.

Firman Allah SWT: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani. (Al-Anbiya’: 83)

Golongan miskin pula akan dihadapkan dengan kisah Nabi Isa AS yang menjadi orang paling fakir di dunia tetapi Baginda tidak pernah meninggalkan ibadat kepada-Nya.

Malah, kefakiran Nabi Isa AS mendapat tempat istimewa dalam tradisi sufi hingga menjadi antara contoh yang sering diungkapkan dalam karya termasuk puisi.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Penyucian jiwa antara amalan paling utama

Posted by epondok di Oktober 7, 2020

Oleh Abdurrahman Haqqi

Penyakit hati faktor insan jauh daripada rahmat Tuhan, terjerumus ke neraka

DARIPADA 110 kali perkataan ‘qulub’, kata jamak ‘qalb’ yang dalam bahasa kita diterjemah menjadi ‘hati’ yang disebutkan dalam al-Quran, sebahagian besar penyebutannya dikonotasikan negatif dengan pengertian bahawa hati dalam keadaan sakit yang memerlukan pengubatan.

Ini lain halnya dengan penyebutan ‘qalb’, kata tunggal ‘qulub’ yang dalam bahasa kita menjadi ‘kalbu’. Walaupun ia disebut sebanyak 16 kali tetapi semua penyebutannya berkonotasikan positif dengan pengertian bahawa hati itu dalam keadaan sihat tidak sakit.

Penyebutan hati dalam bentuk kata tunggal ini perinciannya adalah tanpa imbuhan (qalb) disebut dua kali; dengan imbuhan orang pertama (qalbi) sekali; dengan imbuhan orang kedua (qalbuka) tiga kali; dengan imbuhan orang ketiga (qalbuhu) lapan kali dan (qalbuha) sekali; dan ‘muthanna’ (qalbain) sekali.

Untuk ‘qulub’, contohnya, dalam al-Quran ada disebut maksudnya: “(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah meteraikan atas hati mereka serta pendengaran mereka.” (Surah al-Baqarah: 7) dan ayat bermaksud: “Dalam hati mereka (golongan orang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka.” (Surah al-Baqarah: 10), manakala untuk ‘qalb’, contohnya adalah firman Allah bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah Jibril itu menurunkan al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah.” (Surah al-Baqarah: 97)

Imam al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad, yang wafat pada 505 Hijrah dalam kitab ulungnya Ihya’ Ulumiddin menulis secara panjang lebar perihal hati ini.

Kitab yang berjumlah empat jilid besar itu, dalam jilid 3 dan 4 dikhaskan untuk mengupas secara menyeluruh keajaiban hati yang mana jilid 3 dikhaskan untuk membincangkan muhlikat atau pemusnah hati yang dibahagikan kepada 10 bab dan jilid 4 dikhaskan untuk membincangkan munjiyat atau penyelamat hati.

Pada permulaan jilid 3 itu, Imam al-Ghazali terlebih dulu menjelaskan perbezaan empat istilah yang menurutnya ‘kebanyakan kekeliruan mengenainya adalah disebabkan oleh ketidaktahuan mengenai pengertian sebenar keempat-empat istilah iaitu jiwa, ruh, hati dan akal.

Beliau kemudian menjelaskan makna hati terlebih dulu dengan membahagikannya kepada dua jenis iaitu hati yang berbentuk ‘love’ berketulan merah yang ia adalah termasuk kajian ahli perubatan, manakala hati yang ingin dibincangkan oleh al-Ghazali ialah hati yang ditakrifnya dengan ‘latifah rabbaniyyah ruhaniyyah” (halus ketuhanan yang bersifat rohani).

Dalam penjelasannya, al-Ghazali berkata: “Ia mempunyai hubungan dengan hati jasmani (hati tabi’i). Kehalusan itulah hakikat sebenar seorang manusia. Hati itu adalah yang membuat manusia menjadi tahu, berilmu dan arif.

Hati itu juga yang menjadi objek seruan agama yang ia akan dihukum, dicerca atau dicela dan diminta pertanggungjawabannya. Ia mempunyai hubungan dengan hati jasmani. Walaupun demikian ia membuat kebanyakan makhluk menjadi keliru dalam mencari hubungan di antara kedua-duanya.”

Sebagai makhluk Allah yang diberi amanah untuk melaksanakan ajaran al-Quran, manusia mempunyai dua tugas utama yakni melaksanakan hukum-hakam amali zahir dan hukum-hakam amali batin.

Hukum-hakam amali di atas boleh dalam bentuk perintah dan larangan. Contoh perintah bagi tugas pertama seperti solat, puasa, haji, jual beli dan perkahwinan manakala contoh larangan adalah membunuh, berjudi, berzina dan mencuri.

Pada pihak lain, contoh perintah bagi tugas kedua ialah iman kepada Allah, malaikat-Nya, ikhlas, reda dan syukur manakala larangannya adalah kifur, nifaq, riak dan hasad dengki.

Tugas kedua adalah berkaitan dengan hati atau kalbu dan ia lebih utama daripada tugas pertama walaupun kedua-duanya tidak boleh dipisahkan. Hati adalah asas fikiran dan menjadi sumber aspek zahir pada diri manusia. Jika ia rosak, maka rosaklah semua dan jika ia baik maka baiklah semua. Sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari menyebutkan maksudnya: “Ingatlah sesungguhnya dalam jasad ada seketul darah, jika ia baik maka baiklah seluruh jasad, jika ia rosak maka rosaklah pula seluruh jasad. Ingatlah, seketul darah itu adalah hati.”

Dalam sebuah hadis yang masyhur ada dikatakan maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak memandang pada jasad dan rupamu. Tetapi Allah memandang pada hatimu.”

Imam al-Ghazali menetapkan bahawa fardu ain hukumnya bagi setiap mukmin untuk mempelajari ilmu berkaitan dengan hati dan mengenal penyakitnya seperti hasad dengki, iri hati, takbur dan riak.

Oleh itu, membersihkan hati dan menyucikan jiwa termasuk amalan fardu paling utama dan menjadi kewajipan Ilahi di sebalik perintah-Nya seperti kita dapati dalam firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang besar.” (Surah al-A’raf: 33)

Penyakit hati adalah faktor utama yang menjauhkan manusia daripada Allah yang mengakibatkan jauhnya diri daripada syurga dan menjerumuskannya ke dalam neraka selepas dijajah oleh kuasa syaitan pimpinan iblis. Pelepasan diri daripada jajahan syaitan ini lebih mustahak daripada pelepasan diri daripada jajahan sesama manusia kerana jika diri sudah terlepas daripada jajahan syaitan, maka jalan di hadapannya semakin luas dan nyata, dan dengan sendirinya dia akan menyedari untuk menghancurkan semua belenggu buatan syaitan. Di sinilah letak salah satu rahsia ucapan Baginda SAW yang menyebutkan bahawa mereka sudah kembali daripada jihad ashghar yakni berperang kepada jihad akbar yakni jihad melawan hawa nafsu. Peperangan hanya berlaku pada satu-satu masa, sedangkan melawan hawa nafsu berlaku pada setiap masa termasuk dalam peperangan.

Ulama membahagikan senjata melawan musuh nyata manusia yang berada dalam diri dan di luarnya dengan tiga cara iaitu zikr al-jahr atau zikir nyata dengan melafazkan ucapan zikir dengan lisan; zikr al-khafi atau zikir secara senyap dengan hati; dan zikir al-sirr atau zikir secara rahsia yang mana hubungan terjalin antara hamba dan Allah SWT secara rahsia.

Dalam bab ke-10 jilid 3 itu Imam al-Ghazali membuat kesimpulan yang diambil daripada ayat al-Quran yang sangat menarik yang bermaksud: “Maka orang cerdik dan yang memiliki fikiran tajam hati mereka seperti sebuah misykat (lubang) yang berisi sebuah lampu; lampu itu ada dalam geluk kaca (kandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak daripada pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan saja disinari matahari ketika naiknya dan bukan saja ketika turun (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar walaupun ia tidak disentuh api, cahaya berlapis cahaya. Sebaliknya, orang yang tertipu oleh hiruk-pikuk keduniaan, hati mereka adalah umpama keadaan gelap-gelita di lautan yang dalam, diliputi ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal; gelap gelita berlapis-lapis apabila orang itu mengeluarkan tangannya, dia tidak dapat melihatnya sama sekali.

“Sesiapa yang tidak dijadikan Allah mendapat petunjuk, maka dia tidak akan beroleh sebarang petunjuk hidayah.” Di mana kedudukan kita?

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Hukuman ta’zir halang penjenayah ulangi kejahatan

Posted by epondok di Oktober 6, 2020

HUKUMAN ta’zir ialah kesalahan yang hukumannya adalah dera, iaitu penjenayah tidak dijatuhkan hukuman hudud atau qisas. Hukuman ta’zir dalam kanun jenayah syariah tidak ditentukan dan ditetapkan Allah bentuk hukuman itu di dalam al-Quran dan hadis.

Hukuman bagi kes ta’zir ialah dera ke atas penjenayah yang sudah sabit kesalahannya dalam mahkamah dan hukumannya tidak dikenakan mengikut hukuman hudud atau qisas, kerana kesalahan yang dilakukan penjenayah itu tidak termasuk di bawah kes yang membolehkannya dijatuhkan hukuman hudud atau qisas.

Jenis serta bentuk hukuman ta’zir itu terserah kepada kebijaksanaan hakim untuk menentukan dan memilih hukuman yang patut dikenakan ke atas penjenayah, kerana hukuman ta’zir bertujuan menghalang penjenayah mengulangi kejahatan yang mereka lakukan, bukan menyeksa mereka.

Hakim yang menghakimi kes mengikut kes jenayah syariah apabila sabit kesalahan penjenayah itu di mahkamah hendaklah dijatuhkan hukuman mengikut peruntukan hukum syarak yang ditentukan dan ditetapkan Allah dan RasulNya yang disebutkan di dalam Quran dan hadith – jangan diputuskan dan dihukum mereka itu tanpa merujuk hukuman Allah terlebih dulu.

Perkara ini diingatkan Allah Taala dalam firman berikut: ” Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab Al-Quran dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya kitab-kitab suci yang ada di hadapannya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. (Al-Ma’idah: 48)

Firman Allah Taala, “Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkan engkau dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepada mu. (Al-Ma’idah: 49)

(Sumber: Buku ‘Qanun Jinayah Syari’yah dan Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam Berdasarkan Quran dan Hadith’ oleh bekas Mufti Sabah, Said Ibrahim).

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »