Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

‘Doakan saya istiqamah’ – Mufti Wilayah Persekutuan

Posted by epondok di Julai 2, 2020


Oleh Sahibus Samahah Dr Luqman Abdullah

ALHAMDULILLAH segala pujian dan syukur kepada Allah atas segala nikmat terutama dua nikmat besar iaitu nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkah Baginda SAW.

Selepas dilantik secara rasmi menjadi Mufti Wilayah Persekutuan berkuat kuasa pada 22 Ramadan 1441H bersamaan 15 Mei lalu dengan rendah diri saya memikul amanah yang diberikan ini dengan penuh tanggungjawab.

Saya akan berusaha menjalankan amanah yang diberikan ini dengan sebaiknya walaupun saya sedar bukanlah orang yang selayaknya memegang jawatan ini.

Pada Jumaat, 20 Syawal lalu, saya bersama dengan Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan mendengar titipan amanat daripada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda, Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Saya coretkan sedikit sebanyak tinta nasihat daripada Seri Paduka Baginda antaranya mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan berteraskan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada perspektif akidah, syariah dan akhlak.

Selain itu, amanat menzahirkan keindahan syariat Islam dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan dan menangani serta menghadapi cabaran kesesatan akidah dan penyelewengan pemikiran.

Ketika saya memulakan tugas di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, saya dimaklumkan beberapa ahli dalam pengurusan tertinggi juga adalah ahli yang baharu dilantik dan ini adalah satu cabaran buat kami sebenarnya.

Sebagai mufti antara tugas hakiki saya selain daripada hal pentadbiran harian, menghadiri mesyuarat pasca Kabinet agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan menjawab persoalan hukum, saya juga diamanahkan dengan beberapa jawatan antaranya Pengerusi Jawatankuasa Hukum Syarak Wilayah Persekutuan, Pengerusi Jawatankuasa Penemuduga Tauliah Mengajar dan Ceramah Agama di Wilayah Persekutuan, Pengerusi Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Wilayah Persekutuan dan beberapa jawatan lagi.

Dengan tugasan yang banyak berkenaan, saya mengharapkan doa daripada semua agar dapat terus istiqamah dengan penuh iltizam dalam menunaikan amanah yang berat ini. Saya juga sebenarnya bersyukur kerana sejauh pengamatan saya setakat ini saya mendapat sokongan dan kerjasama padu daripada semua kakitangan pejabat mufti.

Harapan saya untuk pengurusan tertinggi yang baharu ini dan semua kakitangan pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan) agar dapat bekerja sebagai satu pasukan yang saling berganding bahu bagi memartabatkan institusi kefatwaan khususnya di Wilayah Persekutuan.

Gerak kerja yang disusun sebagai satu pasukan pastinya menghasilkan ramuan dan hasil yang terbaik sama ada daripada aspek kualiti serta kuantiti. Tanamkan sifat beretika dan penuh berakhlak dalam menjalankan tugasan yang diberikan.

Bagi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, saya mengharapkan agar hubungan baik dan jalinan kerjasama selama ini dapat diteruskan dan ditambah baik agar perkhidmatan Hal Ehwal Islam dapat disampaikan dengan berkesan.

Tabiat kerja dan tugasan kita mungkin berbeza tetapi matlamat kita adalah sama iaitu untuk memberi khidmat terbaik kepada pemegang taruh.

Bagi masyarakat awam khususnya di Wilayah Persekutuan saya berharap agar segala permasalahan dan kekeliruan yang terbuku akan dapat diselesaikan dengan sebaiknya dan saling membantu bagi menjaga perpaduan serta memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam bidang kuasa yang diberikan akan berusaha membantu agar segala masalah dapat diselesaikan dan memberi solusi yang baik berlandaskan hukum syarak dan lunas perundangan yang ada.

Akhir kata, dalam suasana global menghadapi pandemik Covid-19 dan negara kita yang berada dalam fasa Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), saya berdoa agar segala ujian yang menimpa ini diangkat oleh Allah Taala.

Jutaan terima kasih kepada barisan hadapan yang bertungkus-lumus tidak kira siang dan malam, barisan media yang melaporkan perkembangan semasa ke semasa, rakyat Malaysia yang sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang dan seterusnya memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: