Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Julai 2020

Iktibar korban – Cinta Allah mengatasi cinta makhluk

Posted by epondok di Julai 31, 2020

Bulan Zulhijjah ialah antara bulan Islam yang banyak merakamkan beberapa peristiwa besar dalam sejarah Islam. Peristiwa terpenting yang berlaku, di antaranya seperti ibadah haji dan peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dengan anaknya demi ketaatan baginda kepada perintah Allah s.w.t. Rentetan daripada peristiwa itu, amalan ibadah korban telah menjadi sebahagian daripada syariat Allah s.w.t. yang dituntut terhadap umat Islam untuk melaksanakannya. Nabi s.a.w. menjelaskan lagi syariat tersebut dalam sebuah hadis yang bermaksud:

Daripada Zaid bin Arqam, dia berkata: Suatu hari sahabat Rasulullah s.a.w. bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu?” Jawab Rasulullah: “Ia adalah sunah bapa kamu, Ibrahim.” Mereka berkata: “Apa yang akan kami peroleh daripadanya wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya.” Mereka berkata: “Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.” (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi)

Untuk sama-sama kita memahami falsafah pengorbanan besar di sebalik kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail itu, Allah s.w.t. merakamkannya di dalam al-Quran ayat 99-112 surah as-Shaffat yang bermaksud: Dan Ibrahim berkata: “Sesungguhnya aku pergi menghadap kepada Tuhanku, dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku….. Dan Kami beri dia khabar gembira dengan (kelahiran) Ishak, seorang nabi yang termasuk orang-orang yang soleh.

Di sebalik kisah yang dirakamkan itu, terdapat dua dimensi pengorbanan yang boleh dijadikan iktibar untuk renungan kita bersama. Pertama, pengorbanan seorang ayah yang begitu lama menantikan seorang anak, kemudian apabila sudah memilikinya terpaksa pula mengorbankan perasaan cinta dan kasih tersebut, demi kepatuhan dan keredhaannya terhadap perintah Allah Taala. Kedua, ketaatan dan keyakinan penuh Nabi Ismail terhadap pengorbanan yang dituntut oleh ayahnya untuk dilakukan. Sebagai seorang anak, baginda sanggup pula mengorbankan kasihnya kepada ibu dan ayahnya dan zaman keseronokan remajanya, malah ke tahap sanggup mengorbankan nyawanya sendiri, semata-mata kerana ketaatan baginda terhadap perintah Allah s.w.t. dan perintah seorang ayah. Kedua-dua pengorbanan ini sebenarnya berpusat daripada hubungan cinta sejati mereka kepada Allah s.w.t. yang tidak berbelah bahagi.

Dalam kes di atas, logik naluri kita akan bertanya, mengapa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sanggup mengorbankan cinta dan kasih sayang mereka demi perintah Allah Taala? Bukankah Nabi Ibrahim sudah lama mengidamkan seorang anak? Mengapa setelah dikurniakan anak, diperintahkan pula supaya menyembelihnya? Dalam keadaan itu, tentu baginda berdua boleh berdalih dengan pelbagai alasan. Tetapi mereka tidak berbuat begitu, kerana cinta mereka kepada Allah s.w.t. mengatasi cinta kepada makhluk. Tetapi persoalannya, sejauh manakah kita dapat memahami falsafah korban seperti yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail itu? Bolehkah tahap pengorbanan umat Islam hari ini setinggi itu? Sanggupkah seorang Muslim itu menerima takdir dengan pasrah seperti kematian atau kehilangan orang yang disayanginya? Atau adakah kita lebih banyak mempertikaikan takdir yang telah Allah Taala aturkan? Mungkinkah ada lagi pada zaman serba canggih ini, remaja sehebat Nabi Ismail yang sanggup berkorban nyawa, kasih dan keseronokan zaman remajanya demi ketaatan dan kecintaan kepada Allah Taala?

Sesungguhnya seandainya seorang Muslim itu apabila mereka mendahulukan cinta Allah daripada cinta makhluk, mereka pasti akan beroleh jaminan besar sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis yang bermaksud: Ada tujuh golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah pada hari yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungan Allah s.w.t. iaitu imam yang adil, pemuda yang mengabdikan diri untuk beribadah kerana Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang lelaki yang bersahabat, mereka bertemu kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah, lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan kemudian menolaknya lalu berkata: “Sesungguhnya aku takutkan Allah”, lelaki yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang tangan kanannya sedekahkan dan lelaki yang menitiskan air mata, beribadah menyebut nama Allah ketika bersendirian. (Riwayat Muslim)

Sehubungan itu, Islam menjelaskan bahawa cinta seseorang hamba kepada Allah s.w.t. itu haruslah berlandaskan kepada ittiba’ (ikutan) dan ketaatan sebagai bukti kecintaan mereka kepada Allah s.w.t. seperti mana yang diamalkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam cerita tersebut. Hal ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. melalui firman-Nya yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah Aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (Ali Imran:31)

Sesungguhnya sumber cinta daripada Allah Taala merupakan sumber cinta yang paling tinggi dan utama. Apabila berlaku pertembungan antara cinta Allah Taala dengan cinta makhluk, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memenangkan cinta mereka untuk Tuhannya tanpa ragu-ragu. Baginda mengetahui bahawa meletakkan cinta Allah pada tempatnya adalah satu kedudukan cinta yang tinggi yang hanya akan lahir bagi orang yang sudah cukup kenal akan Allah Taala. Menurut Imam al-Ghazali bahawa ma’rifah (ilmu pengetahuan) itu akan mendahului cinta sebab, cinta tanpa ma’rifah tidak mungkin berlaku. Ini kerana manusia hanya dapat mencintai sesuatu yang dikenalinya sahaja. Pepatah Melayu ada menyebut, `Tak kenal maka tak cinta’. Ia seolah-olah membenarkan pendapat Imam Ghazali tersebut.

Dalam kisah tersebut, demi membuktikan cinta mereka adalah benar, lalu Allah s.w.t. menguji mereka dengan bentuk ujian yang sukar diterima oleh akal manusia biasa. Oleh itu, benarlah bahawa cinta yang tulus ikhlas itu memerlukan pengorbanan yang mesti ditempuh melalui sesuatu ujian dan dugaan terlebih dahulu. Apakah bukti cinta mereka? Tidak lain dan tidak bukan mereka telah mengorbankan cinta mereka yang sementara kepada cinta yang kekal abadi. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah s.w.t. mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta. (Al-Ankabut: 3)

Oleh itu, Muslim yang benar-benar kenal akan Allah Taala sanggup menggadaikan harta dan wang ringgit. Mereka juga sanggup mengorbankan kasih mereka terhadap anak-anak dan keluarga sendiri, malah nyawa sekalipun semata-mata kerana mendahului cinta Allah s.w.t. Apabila cinta Allah Taala sudah memenuhi hatinya, maka barulah datang cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan makhluk-makhluk-Nya yang lain. Itulah kedudukan cinta yang betul yang menerbitkan kemanisan iman yang tiada taranya. Malangnya umat Islam hari ini tidak memahami konsep `al-Aulawiyat’ ini. Mereka dengan mudah terjerumus dengan cinta makhluk-Nya sehingga sanggup dikongkong oleh nafsu tamak, rakus, bakhil dan mengutamakan keuntungan dunia tanpa had dosa atau pahala. Akhirnya kebinasaan dan kerugian yang terpaksa diratapi dan disesali apabila jasad mereka menjadi bahan makanan kepada cacing dan ulat di dalam tanah. Di dalam al-Quran Allah s.w.t. memberi amaran kepada manusia melalui firman-Nya yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq. (At-Taubah: 24)

Hal ini kerana cinta yang hakiki bukan diukur berdasarkan pandangan mata makhluk atau kerana tuntutan hawa nafsu semata, tetapi lebih mengikut pandangan Allah Taala yang dialirkan ke dalam hati setiap makhluk-Nya. Malah semua anugerah Allah Taala kepada manusia seperti nikmat kebaikan, kemewahan, hidup dan mati semuanya adalah rahmat dan kasihan belas-Nya pada kita yang kadang-kadang gagal difahami falsafah sebenar di sebalik pemberian tersebut. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita melalui sabdanya yang bermaksud: Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan dan mengerumuni talam hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi s.a.w. menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu ramai sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan.” Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu wahai Rasulullah?” Nabi s.a.w. menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati. (Riwayat Abu Daud)

Justeru itu Islam telah menyusun dan mengatur tatacara berkorban dengan kemas dan sempurna supaya kita memahami pengajaran di sebalik peristiwa agung tersebut. Falsafah daripada pensyariatan ibadat ini nanti akan mengekalkan ingatan kita kepada lambang cinta agung Nabi Ibrahim yang mengorbankan puteranya Nabi Ismail demi cinta dan taqarrub mereka kepada Allah s.w.t. Firman-Nya yang bermaksud: Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul. (Al-Baqarah : 186)

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Contohi keikhlasan korban nabi Ibrahim a.s

Posted by epondok di Julai 30, 2020

JAUH dari tanah air, keluarga, hilang segala harta dan terpinggir. Demi agama Allah, baginda diusir keluar dari negeri dan hilang segala nikmat dunia. Besar sungguh ujian Allah kepada Nabi Ibrahim a.s.

Jika gunung yang ditimpa ujian sehebat ini, pun boleh runtuh berderai. Setelah lama kesepian dan terbuang, doa baginda agar dikurniakan anak dimakbulkan Allah. Firman Allah:
“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung daripada orang yang soleh!” Lalu Kami berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa 
dia akan beroleh seorang anak yang penyabar,” (al-Safffat [37:99-101]).

Penungguan kelahiran Nabi Ismail a.s. pula bukan sekejap tetapi sangat lama. Sehingga mencecah usia tua. Ia difahamkan daripada lafaz syukur Nabi Ibrahim a.s. yang difirmankan Allah ini:“Segala puji tertentu bagi Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua: Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan,” (Ibrahim[14:39]).

Kita boleh bayangkan betapa gembiranya hati Nabi Ibrahim a.s. yang jauh dalam buangan dengan kelahiran Ismail a.s. Walaupun hilang keluarga yang bergelumang dengan karat syirik, kini Allah menggantikannya dengan anak yang soleh seperti Ismail. Sudah pasti anak ini menjadi permata hati yang sangat berharga, tambahan pula lahirnya ketika Nabi Ibrahim berada pada usia 
tua.

PENGORBANAN TERHEBAT

Kita boleh lihat dalam masyarakat, datuk yang sudah berusia biasanya sangat cintakan cucu. Si ayah seakan hilang kuasa ke atas anak apabila datuk melangkah masuk. Apa sahaja kehendak cucu dipenuhi tanpa tangguh. Inilah darjat “rasa cinta” Nabi Ibrahim kepada Ismail.

Di tengah kegembiraan ini, Allah sekali lagi menguji baginda dan ujian kali ini mampu menggugurkan jantung. Anak kesayangan mesti dikorbankan:

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku bermimpi menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang yang sabar”. Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”.

“Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; Dan Kami kekalkan baginya 
(nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian: “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!” Demikianlah Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu daripada hamba Kami yang beriman,” (al-Safffat [37:102-111])

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong Pejuang Agama

Posted by epondok di Julai 28, 2020

Nama lengkap ulama besar ini ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid bin Abdul Qadir. Ayahanda beliau dikatakan berasal dari keturunan Patani. Tarikh kelahiran Haji Abdul Rahman Limbong sebenarnya tidak dapat dipastikan tapi beliau dipercayai dilahirkan sekitar tahun 1285H/1868M. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang sangat mementingkan pendidikan agama. Sejak kecil lagi beliau telah berangkat ke Makkah bersama-sama bapa saudara beliau iaitu Haji Tun Muhammad Zain. Setelah dewasa, beliau pulang semula ke Terengganu. Minat beliau terhadap ilmu agama tidak pernah padam. Sebaik tiba di Terengganu, beliau terus mencari kelibat tok guru untuk mendalami ilmu. Ketika berada di Terengganu, beliau menadah kitab kepada Tuan Guru Haji Yaakob Paya Bunga. Beliau memperolehi ilmu nahu, sorof dan feqah dengan ulama tersebut. Kemudian beliau mengaji pula dengan Haji Musa yang juga tinggal di Paya Bunga.[1] Apabila beliau mendengar kemasyhuran pondok Tokku Paloh[2], beliau terus bersegera ke sana. Untuk pergi ke pondok pengajian Tokku Paloh dari rumah beliau, beliau berulang alik dengan menaiki perahu.[3] Pada peringkat awal pengajian beliau dengan Tokku Paloh, beliau hanya menjadi khadam kepada Tokku Paloh.[4] Beliau berkhidmat menyapu halaman rumah, membersihkan surau, menyediakan kayu api, mengisi air di kolah surau dan sebagainya.[5] Oleh kerana beliau menjadi khadam kepada Tokku Paloh dan membuat kerja yang pelbagai macam, maka kuranglah masa beliau menghadiri majlis ilmu. Beliau hanya berpeluang mendengar pengajian di tepi kolah sambil menatap kitab yang digunakan oleh Tokku Paloh.[6] Perbuatannya itu dilakukannya tanpa disedari oleh sesiapa pun.[7] Dan apabila selesai sahaja pengajian, beliau menyembunyikan kitabnya.[8] Beliau tidak mahu diketahui turut sama-sama belajar dengan murid-murid Tokku Paloh yang lain.[9] Walaubagaimanapun, gerak-gerinya itu dapat dihidu oleh Tokku Paloh.[10] Timbul rasa kasih Tokku Paloh kepada beliau apabila dilihat anak muda itu cukup bersemangat untuk belajar.[11] Dalam masa yang singkat sahaja beliau dapat menguasai segala pelajaran yang diajarkan. Di samping itu beliau terkenal sebagai seorang yang sangat menghormati guru. Segala suruhan serta arahan gurunya akan dilaksanakan dan dipatuhi dengan penuh adab. Beliau tidak pernah mengangkat muka apatah lagi bertentang mata apabila berhadapan dengan gurunya yang sangat dikasihinya itu.[12] Oleh kerana beliau boleh dikatakan di antara murid Tokku Paloh yang terpintar serta baik akhlaknya, maka tidak hairanlah Tokku Paloh begitu sayang dan kasih terhadap beliau.[13]
Dari gurunya Tokku Paloh, beliau diijazahkan tariqat Naqsyabandiyah[14] dan Sammaniyah[15]. Sebagai seorang ulama yang warak lagi taat kepada Allah swt, beliau amat kuat menjaga syariat. Ketelitian beliau dalam menjaga syariat dapat dilihat berdasarkan kepada kehidupan beliau sendiri. Tidak pernah sama sekali beliau bertentangan mata dengan kaum wanita walaupun dengan murid-murid beliau sendiri. Beliau juga akan menundukkan pandangan serta menyisihkan diri apabila bertembung dengan kaum wanita.
Tuan Guru Haji Abdul Rahman mengajar masyarakat di Hulu Terengganu. Berdasarkan kitab-kitab yang diajarnya, ternyata beliau menguasai pelbagai disiplin ilmu. Antaranya ialah kitab al-Ajrumiyah hingga kepada Mutammiman dan Tashil Nail al-Amani mengenai ilmu nahu, semuanya dalam bahasa Arab; Matan Umm al-Barahin, Faridah al-Faraid dan ad-Durr ats-Tsamin dalam ilmu tauhid; kitab Tahrir (bahasa Arab) dalam ilmu feqah dan Hidayah as-Salikin dan ad-Durr an-Nafis tentang ilmu tasawwuf.[16] Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong adalah seorang ulama yang suka mengembara atau merantau ke tempat lain. Beliau bermusafir ke Beserah, Kuantan, Kelantan, Patani, Kedah, Sambas, Jambi, Riau dan Brunei.[17] Beliau mengajar agama di tempat-tempat yang disinggahinya. Maka tidak hairanlah apabila anak-anak muridnya bertaburan diseluruh Alam Melayu.
Dalam tahun 1920-an, pihak Inggeris telah mula menunjukkan belangnya dengan mencampuri urusan mentadbir tanah di lokasi Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong.[18] Setiap ekar tanah yang dibuka oleh rakyat dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris.[19] Menyedari akan biadapnya tindakan Inggeris itu maka Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong telah mengemukakan hujah-hujahnya di mahkamah bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya hak negeri.[20] Maksud negeri itu adalah campur tangan penjajah Inggeris. Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong menegaskan bahawa tanah yang mereka miliki adalah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari Johor bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama.[21] Pihak Inggeris tidak menerima hujah-hujahnya dan mengecop beliau sebagai penderhaka kepada pemerintahan yang sah. Akhirnya Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong ditangkap dan dibuang ke Singapura[22] dan selanjutnya dibuang ke Makkah dalam tahun 1928.[23] Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbung kemudiannya wafat pada 14 Jamadilakhir 1348 (1929) di Makkah.
[1] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2007. Haji Abdur Rahman Limbong Ulama dan Pahlawan Melayu. BIcara Agama. Utusan Malaysia. Terbit pada 22 Januari 2007. Boleh dicapai di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
[2] Nama penuh Tokku Paloh ialah Engku Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin al-Aidrus. Gelaran lain ialah Engku Sayyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Tokku Paloh pernah menjadi Ahli Mesyuarat Kerajaan sekali gus merupakan penasihat sultan pada zaman Sultan Zainal Abidin III. Beliau dilahirkan pada tahun 1236H/1817M di Cabang Tiga iaitu berhampiran dengan kawasan Masjid Tok Ku di Cabang Tiga dan wafat pada 1 hb Zulhijjah 1336 H/7 hb September 1918 M dan dimakamkan di tanah perkuburan “Makam Tok Ku Paloh” yang terletak berhampiran dengan rumahnya dan suraunya
[3] Rujuk dari http://tamanulama.blogspot.com/2008/08/haji-abdul-rahman-limbong-ulama-yang.html. Dicapai pada 24 November 2009
[4] Rujuk dari http://tamanulama.blogspot.com/2008/08/haji-abdul-rahman-limbong-ulama-yang.html. Dicapai pada 24 November 2009
[5] Rujuk dari http://tamanulama.blogspot.com/2008/08/haji-abdul-rahman-limbong-ulama-yang.html. Dicapai pada 24 November 2009
[6] Rujuk dari http://tamanulama.blogspot.com/2008/08/haji-abdul-rahman-limbong-ulama-yang.html. Dicapai pada 24 November 2009
[7] Rujuk dari http://tamanulama.blogspot.com/2008/08/haji-abdul-rahman-limbong-ulama-yang.html. Dicapai pada 24 November 2009
[8] Rujuk dari http://tamanulama.blogspot.com/2008/08/haji-abdul-rahman-limbong-ulama-yang.html. Dicapai pada 24 November 2009
[9] Rujuk dari http://tamanulama.blogspot.com/2008/08/haji-abdul-rahman-limbong-ulama-yang.html. Dicapai pada 24 November 2009
[10] Rujuk dari http://tamanulama.blogspot.com/2008/08/haji-abdul-rahman-limbong-ulama-yang.html. Dicapai pada 24 November 2009
[11] Rujuk dari http://tamanulama.blogspot.com/2008/08/haji-abdul-rahman-limbong-ulama-yang.html. Dicapai pada 24 November 2009
[12] Rujuk dari http://tamanulama.blogspot.com/2008/08/haji-abdul-rahman-limbong-ulama-yang.html. Dicapai pada 24 November 2009
[13] Rujuk dari http://tamanulama.blogspot.com/2008/08/haji-abdul-rahman-limbong-ulama-yang.html. Dicapai pada 24 November 2009
[14] Abdul Rahman Abdullah. 1997. Pemikiran Islam di Malaysia Sejarah dan Aliran. Gema Insani Press. Jakarta. Hlm 51-52
[15] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2007. Haji Abdur Rahman Limbong Ulama dan Pahlawan Melayu. Bicara Agama. Utusan Malaysia. Terbit pada 22 Januari 2007. Boleh dicapai di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
[16] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2007. Haji Abdur Rahman Limbong Ulama dan Pahlawan Melayu. Bicara Agama. Utusan Malaysia. Terbit pada 22 Januari 2007. Boleh dicapai di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
[17] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2007. Haji Abdur Rahman Limbong Ulama dan Pahlawan Melayu. Bicara Agama. Utusan Malaysia. Terbit pada 22 Januari 2007. Boleh dicapai di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
[18] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2007. Haji Abdur Rahman Limbong Ulama dan Pahlawan Melayu. Bicara Agama. Utusan Malaysia. Terbit pada 22 Januari 2007. Boleh dicapai di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
[19] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2007. Haji Abdur Rahman Limbong Ulama dan Pahlawan Melayu. Bicara Agama. Utusan Malaysia. Terbit pada 22 Januari 2007. Boleh dicapai di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
[20] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2007. Haji Abdur Rahman Limbong Ulama dan Pahlawan Melayu. Bicara Agama. Utusan Malaysia. Terbit pada 22 Januari 2007. Boleh dicapai di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
[21] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2007. Haji Abdur Rahman Limbong Ulama dan Pahlawan Melayu. Bicara Agama. Utusan Malaysia. Terbit pada 22 Januari 2007. Boleh dicapai di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
[22] Dalam catatan syair Riwayat Terengganu Darul Iman yang dikarang oleh puteri saudara Sultan Zainal Abidin III iaitu Tengku Dalam Kalthum, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong dihantar ke Singapura oleh Inspektor Tengku Abdullah dan dua orang mata-mata. Dari situ, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong belayar ke Jeddah. Rujuk Mohd Yusoff Hashim. 1991. Terengganu Darul Iman Tradisi Persejarahan Malaysia. Dewan Bahasa Pustaka. Kuala Lumpur. Hlm. 213
[23] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2007. Haji Abdur Rahman Limbong Ulama dan Pahlawan Melayu. Bicara Agama. Utusan Malaysia. Terbit pada 22 Januari 2007. Boleh dicapai di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Surau Tuan Haji Abdul Rahman Limbong di Chukai Kemaman


Kesemua gambar ini dirakam oleh Tuan Haji Salleh bin Bador dan anaknya, Nor Safwan

Posted in Tokoh Ulama' | Leave a Comment »

Fadhilat Puasa sunat Hari Arafah ( 9 Zulhijjah)

Posted by epondok di Julai 27, 2020

Puasa hari Arafah jatuh pada 9 Dzulhijjah.  Ia disunatkan kepada orang yang tidak menunaikan haji, iaitu bagi bukan jemaah haji.  Antara kelebihan puasa sunat hari `Arafah ialah:

1)  Diampuni dosa setahun yang lepas dan setahun yang akan datang.

Dari Abu Qatadah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam pernah ditanya tentang puasa hari `Arafah, kemudian Baginda menjawab:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَ الْبَاقِيَة

“Puasa itu (puasa hari `Arafah) dapat menebus dosa setahun yang telah berlalu dan setahun akan datang.”

(HR Muslim)

2)  Amalan terbaik yang disukai ALLAH Ta`ala kerana ia termasuk dari 10 hari pertama dari bulan Dzulhijjah.

Dari Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhuma bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

مَا مِنْ اَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا اَحَبُّ اِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الْاَيَّامِ, يَعْنِي اَيَّامَ الْعَشْرِ, قَالُوا:  يَا رَسُولَ اللهِ, وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ؟  قَالَ:  وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ, اِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ شَيْءٌ

“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi ALLAH selain dari hari-hari yang sepuluh ini (pada bulan Zulhijjah).”

Para sahabat bertanya: “Walaupun berjihad di jalan ALLAH?”

Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:  “Walaupun berjihad di jalan ALLAH, kecuali lelaki yang keluar berjihad membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).”

(HR al-Bukhari)

3)  Hari yang paling banyak dibebaskan dari api neraka.

Dari `A’isyah radhiAllahu `anha berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَة

“Tidak ada hari yang lebih ramai ALLAH Ta`ala membebaskan hambaNYA daripada api neraka lebih daripada hari `Arafah.”

(HR Muslim)

Bagi jemaah haji, mereka tidak disunatkan berpuasa.  Malah disunatkan berbuka sebagai mengikut Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam dan supaya dia tetapkuat dan gagah untuk memperbanyakkan doa pada hari tersebut.

Semoga ALLAH Ta`ala memberikan kita hidayah dan taufiq untuk dapat melaksanakan ibadah puasa sunat hari `Arafah dan mengecapi kelebihan-kelebihan daripadanya, amin…

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ibadat Korban dan hukum berkaitannya

Posted by epondok di Julai 27, 2020

Petikah : almalakawi.wordpress.com/

Pengenalan

الأضحية ialah binatang ternakan yang  disembelih kerana menghampiri diri kepada Allah تعالى, dikerjakanya pada hari raya adha dan tiga hari tasrik iaitu pada sebelas, dua belas, dan tiga belas bulan zulhijah.

Diberi nama dengan udhiyah kerana mengikut waktu awal ia dikerjakan iaitu waktu duhah.

Dalil

Dalil (nas) qurban sebelum datang ijmak ialah:

(فصل لربك وانحر) أى صل صلاة العيد وانحر النسك

Maka hendaklah sembahyang kamu dan menyembelih ertinya hendaklah kamu sembahyang hari raya adhah dan sembelih qurban.

Hukum

*Quban adalah sunat muakad pada orang yang merdeka dan hamba separuh dan keduanya itu mukalaf lagi cerdik (yang boleh memerentah hartanya dengan sendiri) dan dia kuasa mengerjakannya.

*Qurban sunat kifayah di atas seorang jika berbilang didalam satu rumah, dan sunat itu tertentu baginya jaka dia seorang sahaja didalam satu rumah.

*Makruh meningalkan qurban kerana ada ulama yang mewajibkannya iaitu Mazhab Hanafi mewajibkan qurban di atas mereka yang wajib zakat.

*Maksud sunat kifaya ialah apabila dikerjakan oleh seorang dalam satu rumah maka terlepas sekelian isi rumah daripada makruh.

*Qurban jadi wajib dengan sebab bernazar seperti kata seorang kerana Allah wajib atas ku qurban, atau dengan menentukan binatang dijadi qurban seperti kata seorang ini binatang quban maka jadi wajib menyembelihnya pada waktu yang dikira quban.

Binatang yang boleh dibuat qurban:

1. Unta, umurnya genap lima tahun.

2. Lembu atau kerbau, umurnya genap dua tahun.

3. Kambing, umurnya genap dua tahun.

4. Biri-biri umurnya genap setahun, tetapi jika telah gugur giginya sebelum cukup umurnya setahun, memada dibuat qurban.

*Menurut pendapat Ibnu Abbas رضي الله عنهما memada pada qurban itu dengan menumpahkan darah, sekalipun dengan menyembelih seekor ayam atau itik dan begitu juga aqiqah atas jalan qias pada qurban. Para ulama Syafieyah mengharuskan bertaklid (mengikut) dengan pendapat ini bagi mereka yang tidak mampu.

Afdal binatang yang diqurbankan itu:

1. Saekor unta bagi seorang.

2. Saekor lembu atau kerbau bagi seorang.

3. Saekor kibas atau kambing.

*Tujuh kibas atau kambing bagi seorang terlebih afdal dari seekor unta.

*Memada seekor lembu atau unta untuk tujuh orang.

*Sekiranya berlainan niat orang yang berkongsi pada seekor unta atau lembu yang disembelih, seperti seorang berniat qurban, seorang yang lain niat aqeqah dan ada yang berniat hendak jual maka mamada.

Syarat binatang qurban:

Binatang yang dibuat qurban hendaklah jangan ada aib (cedera) yang mengurangkan dagingnya.

Aib (cedera/cacat) yang mengurangkan daging:

1. Binatang yang terpotong telinga walaupun sedikit.

2. Binatang yang tiada telinga.

3. Binatang yang terpotong ekor.

4. Binatang yang terpotong lidah.

5. Binatang yang gila yang tidak makan rumput dan jadi kurus.

6. Binatang yang berkudis jika sedikit sekalipun, kerana binasa dagingnya.

7. Binatang yang baru beranak, kerana tidak elok dagingnya.

8. Binatang yang sangat kurus.

9. Binatang yang buta sebelah.

10. Binatang yang buta dua mata.

11. Binatang yang nyata sakitnya.

12. Binatang yang sangat tempang, sekalipun jadi tempang dengan sebab hendak dibaringkannya kerana hendak sembelih.

13. Binatang yang bunting kerana kurang dagingnya, ini yang muktamad yang diambil pada Majmuk. Menurut Ibnu Rifa’h “memada buat qurban dengan binatang yang bunting krana kurang dagingnya diganti oleh anak yang di dalam perut” pandapat ini ditolak oleh mereka yang berpendapat tidak memadai berqurban dengan binatang yang bunting kerana terkadang yang dikandung itu darah bukan daging dan lagi bertambah daging tidak boleh menganti akan cacat kerana tidak memadai berqurban binatang yang tempang lagi gemuk.

Aib/cedera /cacat yang tersebut tidak memada buat qurban tetapi wajib menyembelih pada watu qurban akan binatang yang dinazarkan yang ada aib tersebut atau yang tidak cukup umur sepertti berkata seorang “wajib atas ku qubankan kambing ini” sedankan ianya ada aib yang tersebut.

Niat Qurban

*Disyaratkan berniat pada ketika sembelih.

*Sekiranya orang yang hendak melakukan qurban mewakilkan sembelih kepada orang lain maka hendaklah dia berniat pada ketika menyerahkan binatang qurban kepada wakilnya dan memada niatnya itu sekalipun wakilnya tidak tahu bahawa binatang yang disembelih itu binatang qurban. Boleh juga orang yang berqurban berniat pada ketika wakil menyembelih.

*Harus serahkan niat qurban kepada orang islam yang mumayiz sama ada dia orang yang menyembelih atau tidak.

*Tidak disyaratkan niat qurban pada binatang qurban yang dinazarkan tetapi sunat niat.

Membahagi daging qurban

*Wajib bersedekah daging qurban yang mentah kadar yang dinamakan sedekah kepada fakir miskin dan harus diambil yang lebihnya untuk dirinya.

*Wajib bersedekah sekelian daging yang mentah, kulit dan tanduk binatag qurban yang dinazarkan.

*Orang yang berquba nazar haram memakan daging qurbannya begitu juga orang yang di bawah tangungannya.

* Sunat orang yang berqurban memakan sedikit daging daripada qurban sunat.

*Orang yang berqurban haram lagi tidak sah menjual suatu dari daging, bulu, tulang dan lainnya.

*Haram dijadikan daging qurban atau juzuk yang lain sebagai pengupah tukang sembelih.

Buat qurban untuk orang lain

*Tidah sah buatkan qurban untuk orang hidup dengan ketiadaan izin dari yang empunya diri.

*Harus wali (bapa atau datuk sebelah ayah) buat qurban untuk maulinya (anak atu cucu) dengan harta wali tidak harus dengan harta kanak-kanak.

*Tidak sah buat qurban bagi orang yang mati yang tida berwasiat supaya dibuat qurba baginya, adapun jika dia berwasiat sah dibuat qurban untuknya

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Bunut Payong (1897-1961)

Posted by epondok di Julai 26, 2020

Salah seorang ulama’ besar negeri Kelantan yang masyhur  alim dalam ilmu fiqh. Pendiri Pondok Bunut Payong yang terkenal di seluruh semenanjung itu. Seangkatan dengan Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Saad Kangkong, Hj. Ahmad Batu Tiga Repek,  Hj. Salleh Pedada dll.

 

Dilahirkan di Kg. Sireh, Kota Bharu pada 20 Muharram 1315 bersamaan 20 Jun 1897. Bapanya, Hj. Ahmad bin Mohd Zain yang berasal dari Kg.Chepa,Kedai Lalat pernah berkhidmat sebagai imam tua di Masjid Langgar, Kota Bharu (berkhidmat sehingga 1920)

 

Sesudah berguru selama 15 tahun dengan Tok Kenali, beliau belayar ke tanah suci Makkah untuk mendalami pengajiannya. Antara lain mengikuti kuliah Tuan Mokhtar Bogor, Sheikh Said al-Yamani, Sheikh Mohd Ali al-Maliki dan beberapa tokoh yang lain lagi.

 

Sekembali ke Kelantan, beliau diminta menyertai kumpulan tenaga pengajar Halaqat Kitab di Masjid  Muhammadi, Kota Bharu. Bagaimanapun, khidmatnya tidak lama kerana pada 1931, beliau memulakan kegiatan keguruannya sendiri di Bunut Payong yang di beri nama Madrasah Ahmadiah. Madrasah ini kemudian terkenal ke seluruh pelosok semenanjung Melayu sebagai  pusat pengajian pondok yang berprestasi tinggi di Kelantan.

 

Di pondok Bunut Payong inilah Tuan Guru Hj. Abdul Tahir mengajar kitab hingga ke akhir hayatnya. Beliau terkenal sebagai seorang tok guru yang tekun mengajar serta mengamalkan disiplin diri yang tegas.

 

Kerana  kegigihannya yang sedemikian, maka tidak  peliklah jika Pondok Bunut Payong berjaya melahirkan ramai murid  berilmu tinggi seperti Hj. Hussain Rahimi, Hj. Nik Man Sg. Budor, Hj. Abdul Aziz Pasir Tumbuh, hj. ISMAIL Padang Lepai,  Hj. Abdullah Kok  Lanas,  Hj. Omar Kubang Bemban, Hj. Abdul Rahman  Slow Machang, Hj. Wook Lubok Chekok, Hj. Noor  Teliar, Hj. Sulaiman Siram, Hj. Daud Bukit Bunga, Hj. Yaakub Kelong, Hj. Ghazali Pulau Chondong,Hj.  Zakaria Selising, Hj. Osman Perlis, Hj. Ahmad Kodiang,  Hj. Yahya joned Gurun,  Hj. Ibrahim Bongek, Hj. Abdul Wahid Sungai Udang, Hj. Hussain Umbai, Hj.  Ahmad Relai, Hj. Hasanuddin Berhala Gantang, Hj.  Ismail Phuket, Hj. Ghazali Mundok.

 

Kerana ketokohannya juga beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan beberapa penggal (seawal 1932).Kematian fuqaha’ ini pada pukul 7.20 pagi Selasa 4 Rabiulawal 1381 bersamaan  15 Ogos 1961 menyebabkan negeri Kelantan kehilangan seorang  tokoh ilmuan yang menerangi budaya ilmu dan dakwah Islamiahnya

Posted in Tokoh Ulama' | 1 Comment »

Melantik wakil untuk ibadat korban

Posted by epondok di Julai 25, 2020

Petikah : almalakawi.wordpress.com/

Apabila seorang itu dilantik menguruskan qurban maka dia menjadi wakil kepada orang yang buat qurban, maka sepatutnya pekara di bawah ini hendaklah diketahwi oleh orang yang menguruskannya supaya memudahkan urusan.

Terkadang orang yang buat qurban hanya melantik wakil untuk menyembelih sahaja, tidak yang lain maka wakil tidak boleh melakukan perkara yang lain daripada yang disuruh.

Di sini saya nasihatkan kepada orang yang berkongsi/bersekutu tujuh orang supaya melantik seorang dari kalangan mereka atau orang lain menguruskan qurbam mereka dari segi pembelian lembu, mencari tukang sembelih, meniatkan qurban dan membahgikan daging, pengurus ini adalah wakil bagi mereka.

Adakah pengurus ini boleh melantik orang lain untuk melakukan apa yang diwakilkan kepadanya? Di bawah ini saya nyatakan hukumnya.

Hukum wakil melantik wakil yang kedua

*Wakil melantik orang lain mengantikan tempatnya ada beberapa keadaan:

1. Tidak harus wakil melantik orang lain menjadi waki mengantikan tempatnya selagi wakil itu dapat melakukan dengan sendiri pekara yang diwakilkan kepadanya.

2. Harus wakil melantik orang lain menjadi waki yang kedua dengan izin daripada orang yang berwakil.

3. Harus wakil melantik orang lain menjadi wakil yang kedua denga tiada izin daripada orang yang berwakil jika pekara yang diwakilkan itu tidak dapat dikerjakan oleh wakil dengan sendirinya kerana dia tidak layak dengan perkerjaan itu, dia tidak dapat mengerjakannya dengan baik atau dia lemah hendak mengerjakannya sekira-kira jika dia mengerjakkannya, nescaya dia akan mengerjakannya dengan kepayahan yang bersangatan.

*Wakil yang kedua yang dilantik oleh wakil pertama  adalah menjadi wakil bagi orang yang berwakil dan dia bukan wakil bagi wakil pertama melainkan orang yang berwakil berkata kepada wakil yang pertama “lantik lah wakil bagi diri kamu” maka setelah dia melantik wakil kedua, wakil kedua itu hukumnya menjadi wakil bagi wakil yang pertama.

*Sekiranya orang yang berwakil menyuruh melantik wakil bagi pihak orang yang berwakil maka wakil yang kedua itu adalah wakil bagi orang yang berwakil bukan wakil bagi wakil pertama.

Pemecatan wakil kedua

*Wakil kedua yang menjadi wakil bagi orang yang berwakil hanya terpecat sebagai wakil apabila di pecat oleh orang yang berwakil.

*Wakil pertam tidak boleh memecat wakil yang kedua yang dia lantik untuk orang yang berwakil.

*Wakil pertama dan orang yang berwakil boleh memecat wakil kedua yang dilantik bagi pihak wakil pertama.

Peringatan kepada orang yang berwakil

Saya cadangkan kepada yang berwakil supaya menyatakan apayang hendak diwakilkan dengan jelas, terutama kepada mereka yang berkogsi tujuh orang.

Perkara yang perlu dinyatakan adalah:

*Wakil sembelih sahaja.

*Wakil niat sahaja tidak sembelih.

*Wakil sembelih dan niat.

*Wakil membeli binatang yang hendak dibuat qurban sahaja.

*Wakil membahagi daging qurban sahaja.

*Wakil pengurusan iaitu mengurus segala urusan qurban dari membeli, mewakilkan orang lain untuk menyembelih, niat dan membahagi daging. والله اعلم

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Amalan pilihan 10 hari Zulhijjah

Posted by epondok di Julai 24, 2020

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

DALAM bulan Zulhijah yang mulia ini, ada satu hari yang dikatakan antara hari yang paling afdal di sisi Allah SWT, selain daripada Jumaat iaitu pada 9 Zulhijah yang lebih dikenali hari Arafah. Hari Arafah adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah, satu daripada rukun fardu bagi umat Islam yang menunaikan ibadat haji.

Pada hari itu, Allah SWT akan membebaskan sesiapa yang menghadiri Padang Arafah dan memuliakan hari itu daripada api neraka. Oleh kerana itu, hari keesokannya ialah Aidiladha, hari kesyukuran dan perayaan bagi umat Islam dengan menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT.

Kelebihan Hari Arafah tidak hanya terhad kepada jemaah haji yang berada di Tanah Suci, malah kelebihan itu turut dapat dinikmati umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji. Sehubungan itu, umat Islam dianjurkan berpuasa pada sembilan hari pertama dalam bulan Zulhijah, terutama pada Hari Arafah. Tidak diragui lagi bahawa puasa adalah amalan yang afdal di sisi Allah SWT berdasarkan sabda Rasulullah, “Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya”. (Hadis Muslim).

Selain berpuasa, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan salih seperti solat sunat tahajud, bersedekah, membaca al-Quran dan menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Perlu diinsafi bahawa setiap amalan yang dilakukan pada hari-hari berkenaan akan digandakan ganjaran pahalanya oleh Allah SWT. Begitu juga amalan yang paling afdal di sisi Allah SWT seperti berjihad pada jalan Allah SWT tidak akan dapat meraih ganjaran istimewa sepuluh hari Zulhijah itu melainkan apabila seseorang Muslim itu tercedera atau mati syahid atau kudanya mati dalam medan peperangan.

Ibnu Abbas pernah menceritakan bahawa Rasulullah bersabda, “Tiada suatu hari pun amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Sahabat bertanya, “Adakah itu termasuk juga berjihad pada jalan Allah?”. Jawab Baginda, “Tidak termasuk berjihad pada jalan Allah melainkan orang yang keluar dengan seluruh jiwa raganya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”. (Hadis Bukhari)

Dalam hadis lain, Rasulullah juga bersabda, ” Tiada suatu hari pun dalam setahun yang amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Oleh itu, hendaklah kamu memperbanyakkan zikir, tahlil, takbir dan tahmid”. (Hadis Ahmad).

Pada hari Arafah, setiap jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia akan melaksanakan satu rukun haji iaitu berwukuf di Padang Arafah. Amalan wukuf adalah satu perhimpunan besar manusia padang dengan bahang terik mentari, tiada daya dan upaya melainkan mereka semuanya mengharapkan keredaan Ilahi. Perhimpunan jutaan manusia itu melambangkan perhimpunan besar yang bakal dihadapi setiap manusia untuk dihisab segala amalan diri di Padang Mahsyar kelak.

Oleh itu, setiap insan wajib muhasabah diri dan juga bertaubat terhadap segala dosa sebelum Allah pamerkan segala dosa tersebut di hadapan jutaan manusia di Padang Mahsyar itu.

Dari sudut sejarahnya, ada pendapat yang mengatakan bahawa perkataan Arafah itu berasal dari pertemuan kembali Nabi Allah Adam dan isterinya Siti Hawa yang diturunkan ke bumi secara berasingan dan akhirnya mereka bertemu kembali di lembah yang dikenali sekarang dengan Padang Arafah. Ada juga ulama yang me-nyatakan bahawa ia berasal dari peristiwa pertemuan Nabi Allah Ibrahim dengan isterinya Siti Hajar dan anaknya, Nabi Allah Ismail AS yang lama berpisah.

Sebahagian ulama pula berpendapat perkataan Arafah itu adalah hasil pemahaman Nabi Ibrahim yang menghayati perintah Allah SWT yang tersirat di dalam mimpinya untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail. Oleh kerana itulah, hari Wukuf di Arafah juga dikenali sebagai hari Tarwiyah yang bermaksud hari renungan. Dikisahkan, Nabi Ibrahim sentiasa merenung dan mengimbas kembali mimpinya berturut-turut dan akhirnya Baginda faham (Arafa) maksud mimpi dan terus melaksanakan mimpi berkenaan.

Selanjutnya, perhimpunan secara besar-besaran di Padang Arafah menyaksikan suatu jalinan kemas persaudaraan Islam dan juga kesatuan ummah yang utuh agar mereka bersatu teguh dan bersemangat padu dalam meneruskan kesinambungan Islam untuk bertapak di atas bumi Allah ini, bahkan juga meneruskan tradisi kecemerlangan Islam yang telah dirintis oleh generasi Rasulullah dan sahabat-sahabat serta generasi selepasnya.

Tambahan pula, jalinan yang terbina atas paksi ketakwaan ini dengan pakaian ihram yang sama putih, tanpa mengira kedudukan dan pangkat seseorang, umat Islam melupakan segala prejudis perkauman atau kebangsaan, warna kulit, taraf kedudukan, kekeluargaan dan sebagainya.

Semuanya ini adalah untuk menyedarkan umat manusia bahawa mereka semua pada hakikatnya adalah sama rata di sisi Allah dan mereka semuanya pada hakikatnya berasal daripada tanah.

Begitulah antara kelebihan yang terhampar pada sepuluh hari Zulhijjah yang sewajarnya direbut setiap Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT. Muslim yang beriman akan sentiasa mengintai peluang keemasan yang disediakan Allah SWT pada sepanjang masa dan seterusnya memanfaatkannya demi meraih keredaan-Nya dan kebahagiaan abadi di akhirat kelak. Muslim yang paling bijaksana di sisi Allah SWT ialah seorang Muslim yang sentiasa bermuhasabah diri dan beramal untuk hari kemudian.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Gandakan amalan 10 awal Zulhijjah

Posted by epondok di Julai 24, 2020

MOHD. RADZI MOHD. ZIN

 

Telah beberapa hari kita mula masuk ke bulan Zulhijjah yang juga dikenal sebagai bulan haji. Untuk itu, kita doakan agar semua dhuyufurrahman (tetamu Allah) diberi kesihatan yang baik seterusnya dapat melaksanakan rukun Islam kelima dengan sempurna. Seterusnya beroleh haji mabrur.

Bagi kita yang berada di tanah air, marilah merebut beberapa peluang yang disediakan untuk mendapat keredaan Allah dan pahala amalan dalam 10 hari pertama Zulhijjah. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu”. (Riwayat al-Bazzar)

Antara amalan yang amat digalakkan sepanjang 10 awal Zulhijjah adalah berzikir (Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah dan Allahu Akbar). Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu. (al-Hajj: 28)

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ sebagai 10 hari awal Zulhijjah dan inilah pendapat majoriti ulama. Amalan yang kedua adalah puasa. Umat Islam yang tidak menunaikan fardu haji amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah. Tarikh 9 Zulhijjah iaitu Hari Arafah pula adalah hari terbaik berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah: “Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah.” (Riwayat Muslim) Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

Ketiga, melakukan lain-lain amalan seperti bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan sebagainya.

Seterusnya, menjauhi maksiat. Peluang berada dalam 10 hari awal Zulhijjah adalah masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih menangguhkannya. Amat biadab jika umat Islam bersuka ria dengan me­lampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarlah bahawa hidup ini hanyalah sementara dan seluruh keseronokan itu adalah tipu daya syaitan semata-mata.

Kelima adalah takbir: Saidina Ali menunjukkan bahawa takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga Tasyrik.

Yang terakhir adalah ibadah korban. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bagi setiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), agar mereka menyebut nama Allah, rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka berupa haiwan ternak. (al-Hajj: 34)

Menyembelih binatang korban hanya boleh dilak­sanakan seusai solat Hari Raya Aidiladha sehinggalah akhir hari Tasyriq. Oleh itu, penyembelihan haiwan korban boleh dilaksanakan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri memotong rambut dan kuku bermula 1 Zulhijjah sehingga selesai menjalankan ibadat korban.

Ia berdasarkan hadis nabi SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang ingin menyembelih (korban), dan telah masuk 10 awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya sehinggalah sampai korban itu dilaksanakan.” (Riwayat Muslim)

Justeru, majoriti ulama mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh bagi yang me­langgarnya. Bagaimanapun ia tidaklah termasuk dalam kategori haram. Oleh itu, dibenarkan memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wuduk dan ibadah-ibadah lain yang wajib.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Tok Guru Hj Yaakob Lorong Gajah Mati (1895-1956)

Posted by epondok di Julai 24, 2020

 

Salah seorang guru agama paling terkemuka di Kota Bharu pada suku ke dua abad ke-20 Masihi. Murid kanan Tok Kenali yang sebarisan dengan Hj. Saad Kangkong, Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Abdullah Tahir Bunut Payong, Hj. Mat Jebeng, Hj. Ahmad Batu Tiga Repek dll. Nama sebenar tokoh utama ini  ialah Hj. Yaakub bin Hj. Ahmad yang tinggal di Lorong Gajah Mati, Kota Bharu.

 

Kerja awalnya bermula sebagai kerani di Mahkamah Syariah Kota Bharu dan pernah ditugaskan mengambil peringatan mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Mulai 1 April 1922,dilantik sebagai guru di Madrasah Muhammadiah (Sekolah Melayu Majlis)  dengan gaji permulaan RM20 sebulan. Selepas 15 tahun (mulai 1 Julai 1938), bertukar menjadi guru kitab di Masjid Muhammadi (nama rasmi Masjid Besar Kota Bharu) yang berperanan sebagai pusat pengajian pondok terpenting di Kelantan pada ketika itu. Gajinya meningkat ke RM28 sebulan. Seterusnya mulai 1 Januari 1940, bertukar ke  Jami’ Merbau Ismaili (nama awal Maahad Muhammadi) apabila pengajian kitab di Masjid Muhammadi berpindah ke situ. Gaji bulanannya sejak awal 1940 ialah RM34 dan beliau kekal berkhidmat

di situ sehingga 1945.

 

Antara murid-murid harapnnya ialah tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz (Menteri Besar Kelantan sekarang), Dato’ Hj. Ismail Yusoff (bekas Mufti Kerajaan Kelantan), Tuan Guru Engku Hj. Syed hasan Lemal, Tuan guru Hj. Awang Nuh Beris Kubor Besar, Ustaz Wan Mohd Saghir Kg. Baru,Pasir Pekan, Tuan Guru Hj. Abdul Wahid Sungai Udang (Melaka) dan Tuan Guru Hj. Ahmad Osman,Hutan Palas, Kodiang (Kedah).

 

Kewibawaan dan pengalaman luasnya sedemikian melayakkan beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama’ MAIK (seawal 1932) beberapa penggal. Pada mulanya beliau termasuk pengikut Sidi Muhammad al-Azhari (pengembang Tarikat Ahmadiah di negeri Kelantan), tetapi kemudian mengubah sikap, iaitu setelah beliau berdamping dengan Maulana Tok Khurasan, guru perintis ilmu hadis di Kelantan.

 

Tuan Guru Hj. Yaakub meninggal dunia  di Kota Bharu pada waktu fajar hari Sabtu –6 Jamadilawal 1376 bersamaaan 8 Disember  1956 dengan meninggalkan 3 orang putera yang dikenali ramai, iaitu;

 

·         ·         Dato’ Hj. Hussain (ahli perniagaan)-pewakaf Masjid al-Muttaqin di Lundang dan Masjid al-Ihsan di Dusun Muda, Kota Bharu.

·         ·         Hj. Hasan (pengasas Pustaka Aman Press, Kota Bharu dan pewakaf Sekolah Islam Aman Kota Bharu).

·         ·         Ustaz Yusoff Zaky@ Dato’ Seri Setia Raja (pengarang terkemuka, pengasas Pustaka Dian Kota bharu dan Penterjemah Tafsir fi-Zilal al- Quran).

Posted in Tokoh Ulama' | Leave a Comment »