Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Amanah penentu tahap keimanan

Posted by epondok di Jun 23, 2020


Perutusan Islam membawa mesej pemantapan akhlak Islam di samping menegakkan kalimah tauhid. Akhlak mempunyai ruang lingkup amat luas sehingga merangkumi setiap detik kehidupan manusia sama ada hubungan dengan Allah SWT, sesama Muslim dan bukan Muslim, haiwan serta makhluk lain. Ini sejajar ciri keistimewaan Islam yang bersifat syumul dan universal.

Antara sifat mendapat kedudukan tinggi dalam akhlak Islam ialah amanah. Islam amat menganjurkan umatnya menghiaskan diri dengan sifat amanah. Paling menarik, sifat ini dianggap titik penentu atau garis pemisah tahap keimanan dan keagamaan seseorang insan.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW menegaskan: “Tiada iman bagi orang tidak memegang amanahnya dan tiada agama bagi orang tidak dapat dipegang janjinya.” (HR Ahmad dan Dailami)

Orang yang pecah amanah tidak boleh dipercayai memikul amanah serta melakukan pengkhianatan ketika berkhidmat kepada masyarakat, bermakna ia bukan benar-benar beriman kepada Allah SWT.

Islam menuntut umatnya sentiasa beramanah seperti firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah itu sentiasa Maha Mendengar lagi sentiasa Maha Melihat.” (Al-Nisa: 58)

Rasulullah SAW tidak ketinggalan memberikan nasihat supaya bersifat amanah dalam kehidupan dan bersabda: “Sesungguhnya sifat amanah bertunjang dalam hati sanubari manusia, kemudian al-Quran diturunkan, maka hatinya yang bertunjangkan amanah itu akan mempelajari al-Quran dan sunah.” (HR Muslim)

Perlu ditegaskan, amanah mengungkapkan maksud atau pengertian amat luas dan mendalam. Ia bukan sekadar bersikap jujur dan benar dalam apa-apa jua urusan kehidupan manusia, malah turut mencakupi setiap tanggungjawab atau tugas yang wajib dilaksanakan.

Ia juga membabitkan segenap lapisan manusia sama ada pemimpin, rakyat, ibu bapa, anak dan individu.

Nabi SAW bersabda: “Setiap orang daripada kamu ialah pemimpin bertanggungjawab terhadap orang bawahan dipimpinnya. Seorang lelaki ialah pelindung ahli keluarganya dan bertanggungjawab terhadap tanggungannya. Seorang wanita di rumah suaminya ialah pelindung dan penjaga bertanggungjawab terhadap jagaannya. Begitu juga seorang khadam sebagai penjaga amanah harta tuannya dan bertanggungjawab terhadap jagaan di bawahnya.” (HR Bukhari)

Bertolak daripada sini, amanah membawa pengertian yang boleh dilihat daripada pelbagai sudut. Sebagai contoh, Islam ialah amanah yang dahulunya diperjuang dan ditegakkan nabi serta rasul silih berganti yang akhirnya disempurnakan Rasulullah SAW kepada sekalian warga alam ini.

Kemudian, amanah Islam diwarisi setiap insan beriman secara umum dan setiap ulama secara khususnya dalam perjuangan menegakkan panji Islam di muka bumi Allah SWT.

Seterusnya, badan, akal dan hati juga amanah yang wajib dipelihara. Pertama, tubuh terutama pancaindera seharusnya dipelihara dan digunakan untuk tujuan kebaikan dan menepati makna ibadah kepada Allah SWT.

Justeru, tubuh sebagai tempat terletaknya hati dan akal wajib dipelihara dan dijaga dengan baik dari segi pemakanan serta kesihatan.

Tubuh juga perlu dihindarkan daripada kemasukan bahan sama ada makanan minuman mengandungi unsur haram seperti arak atau diperoleh secara haram seperti judi dan rasuah.

Rasulullah SAW berpesan: “Daging yang tumbuh daripada makanan haram, maka neraka adalah lebih baik baginya.” (HR Tabrani dan Ibnu Asakir)

Kurniaan nikmat dianugerahkan Allah SWT juga termasuk dalam pengertian amanah. Justeru, segala nikmat seperti harta benda, kekayaan, kesihatan dan anak ialah amanah berharga yang wajib dipergunakan dan disalurkan untuk meraih keredaan-Nya.

Dalam konteks rumah tangga, ibu bapa memikul amanah melangsungkan kesinambungan tradisi keluarga apabila bertanggungjawab mengasuh, mendidik dan membesarkan anak dengan tarbiah atau pendidikan.

Justeru, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pengukuhan akidah, pemantapan ilmu Islam dan pengisian akhlak terpuji agar anak mereka kelak menjadi generasi bertakwa kepada Allah SWT dan bermanfaat kepada masyarakat dan negara.

Negara juga amanah atau tanggungjawab bersama antara pemimpin dengan rakyat jelata untuk dibangun serta dimakmurkan selaras landasan syarak.

Pemimpin sebenarnya memikul amanah besar lagi getir dalam pentadbiran apabila mereka wajib amanah dan jujur dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab bagi keharmonian dan kesejahteraan rakyat jelata.

Kebajikan, kerukunan dan kesejahteraan masyarakat perlu dipelihara. Oleh itu, pemimpin dilarang mengamalkan dasar nepotisme, kronisme dan rasuah atau mengeksploitasi jawatan serta kedudukan untuk kepentingan peribadi.

Pemimpin juga dilarang mengamalkan dasar pilih kasih atau kerana hubungan kerabat kekeluargaan yang termasuk dalam perbuatan khianat terlarang.

Baginda memberi peringatan keras: “Sesiapa melantik seseorang untuk mengetuai sesuatu kumpulan sedangkan ada orang lain lebih layak daripadanya di sisi Allah SWT, sesungguhnya dia mengkhianati Allah dan Rasul-Nya serta orang mukmin seluruhnya.” (HR Ahmad dan Hakim)

Akhirnya, Rasulullah SAW memberi amaran keras kepada umat Islam mengenai kepupusan sifat amanah dalam masyarakat Islam masa akan datang, sekali gus menjadi tanda kecil kiamat.

Rasulullah SAW pernah ditanya: “Bilakah akan berlaku hari kiamat? Baginda menjawab: Apabila sifat amanah hilang, maka tunggulah hari kiamat.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: