Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Memuji Allah setiap masa

Posted by epondok di Jun 22, 2020


Abd Rahman Tajuddin

SESUNGGUHNYA zikir Ismu Zat Allah mempunyai dalil ilmiah daripada al-Qur’an, sunah dan kitab Turath Ulama yang muktabar.

Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kepada sekalian manusia untuk mengingat kepada Allah dengan berzikir sebanyak-banyaknya.

Zikir itu juga bermakna mengingat secara bahasanya.

Ini jelas seperti dalam surah Al-Baqarah, Allah berfirman: “Ingatlah kamu (berzikir) kepada-Ku, niscaya Aku ingat (pula) kepadamu.” (Surah Al-Baqarah, ayat 152)

Berzikir kepada Tuhan itu dengan penyebutan nama-Nya.

Ini jelas apabila al-Quran menyatakan kepada manusia untuk menyebut nama Tuhan.

Maka ternyata nama Tuhan adalah Allah. Allah adalah Ismu Al-Zat. Ismu Rabb (Nama Tuhan) adalah Allah SWT.

Dalil ini jelas dalam al-Quran: “Dan sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadahlah kepada-Nya dengan sepenuh hati.” (Al-Muzzammil, ayat 8)

Dalam sejarah peradaban manusiapun, para anbiya disuruh berzikir dengan penyebutan nama Allah ini.

Ini jelas tercatat dalam al-Quran apabila Allah berfirman kepada Nabi Zakaria AS supaya menyebut nama-Nya dan bertasbih sebanyak-banyaknya di waktu pagi dan petang.

Dalilnya adalah firman Allah: “…Dan sebutlah (nama) Tuhanmu sebanyak-banyaknya serta bertasbihlah di waktu petang dan pagi hari.” (Surah Ali Imran, ayat 41)

Maka sangat jelas manusia disuruh berzikir dengan nama Tuhan iaitu Allah dan disuruh bertasbih Subhanallah pada bila-bila masa sahaja.

Malah al-Quran dengan jelas dan terang menyuruh orang beriman berzikir dengan menyebut kalimah ‘Allah’.

Firman Allah dalam al-Quran: “Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya.” (Surah Al-Ahzab, ayat 41)

Ayat berkenaan menganjurkan orang beriman untuk menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya.

Ayat surah Al-Ahzab ini dengan jelas tanpa takwilan dan tafsiran menyuruh untuk berzikir nama Allah sebanyak-banyaknya.

Selain daripada neraca dalil al-Quran, kita akan menemui beberapa hadis yang menyatakan zikir dengan penyebutan kalimah Allah itu mempunyai sandaran yang kuat.

Ini direkodkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Muslim menyatakan: “Daripada Anas, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Kiamat tidak akan berlaku sehingga di muka bumi tidak disebut lagi: Allah, Allah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Malah salah satu tanda kiamat adalah apabila tiada lagi manusia berzikir kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Maka jelas ‘virus wahabi’ yang melarang zikir Allah adalah salah satu daripada kemunculan Dajjal yang merupakan salah satu daripada tanda kiamat besar.

Jika kita meneliti tulisan kitab ulama silam, kita mendapati hampir keseluruhannya menyuruh umat Islam supaya berzikir dengan menyebut kalimah Allah.

Ini dapat dibuktikan apabila Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali menjelaskan kepada kita cara berzikir iaitu dengan penyebutan kalimah Allah sebagaimana berikut: “Maka sesungguhnya dasar daripada jalan tasawuf adalah makanan yang halal. Maka ketika itu terpenuhi, hendaknya seorang guru mentalqinkan kepada muridnya salah satu bentuk zikir sehingga lisan dan hatinya sibuk dengan itu. Ia duduk dan misalnya berkata: ‘Allah, Allah’ atau ‘Subhanallah Subhanallah’ atau redaksi lain yang diajarkan oleh gurunya.” (al-Ghazali, Ihya’ Ulum ad-Din, III, 77)

Daripada literasi kitab ulama muktabar, kita menemui zikir ini dengan kalimah Allah, SubhanAllah, Alhamdulillah, La ilaha Ilallah, Allahu akbar dan sebagainya.

Malah, Imam ar-Ramli yang juga ulama mujtahid mazhab Syafi’iyah menyatakan dalam kitab fatwanya mengenai zikir kalimah Allah mendapat pahala: “Imam ar-Ramli ditanya tentang ucapan seseorang di majlis zikir Allah, Allah di saat ia tersedar daripada keheningan zikirnya, apakah itu disebut zikir atau tidak? Dan bila tidak, apakah berpahala atau tidak? Ar-Ramli menjawab: “Ia mendapat pahala sebab berniat zikir.” (ar-Ramli, Fatawa ar-Ramli, IV, 358)

Malah ulama zaman silam mengamalkan zikir Allah Allah ribuan kali.

Ini tercatat dalam kitab Turath ulama silam.

Al-Hafidz Az-Dzahabi ketika menulis biografi ulama bernama Ibnu Najiyah, beliau menjelaskan: Ibnu Asakir berkata bahawa putranya Ibnu Najiyah berkata: “Ayahku setiap waktu pagi dan malam ketika sakitnya mengucapkan Allah Allah sekitar 15,000 kali. Beliau selalu mengucapkan sampai ia redup.” (Siyar A’lam An-Nubala’ 15/110)

Jelas kepada kita ulama zaman silam melakukan zikir Allah sebanyak-banyaknya.

Maka mari kita sama-sama berzikir dengan Ismu Zat Allah sebanyak-banyaknya.

Di samping zikir Ismu Zat itu juga kita perbanyakkan zikir dengan ucapan tasbih Subhanallah, ucapan Tahmid Alhamdulillah, ucapan Tahlil La Ilaha Ilallah dan ucapan takbir Allahu akbar.

Biarkan ‘virus wahabi’ yang melarang zikir Allah, biarkan mereka dalam kegelapan yang nyata.

Ayat al-Quran berikut ini sudah cukup bermakna kepada pencinta Allah yang sentiasa melirikkan zikir Allah.

Maknanya: “Sebutlah Allah kemudian biarkanlah mereka bermain dalam kesesatannya.” (Surah al An’am, ayat 91)

Secara kesimpulan zikir Allah itu mempunyai dalil dan hujah yang kuat daripada al-Quran, Sunah dan kitab Turath warisan Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: