Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Kaitan takwa dan puasa 6 Syawal

Posted by epondok di Jun 3, 2020


Mohd Ajib Ismail

ANTARA amalan sunat yang dituntut dilakukan dalam Syawal adalah melaksanakan ibadah puasa sunat enam hari pada bulan itu. Tuntutan itu sabit daripada amalan Nabi SAW berdasarkan hadis mengenai kelebihan berpuasa enam hari pada Syawal iaitu bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun.

Di dalam sebuah hadis riwayat Muslim daripada Abu Ayub al-Ansari RA, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Barangsiapa yang berpuasa pada Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari ketika Syawal, ia bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim, No.1164).

Puasa sunat enam hari pada Syawal adalah sebahagian daripada puasa sunat sepanjang tahun yang disarankan dalam Islam selain puasa wajib sebulan ketika Ramadan. Tujuan terpenting ibadah puasa dilaksanakan adalah bagi mencapai ketakwaan di sisi Allah SWT.

Takwa bermaksud takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan, reda dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan. Takwa menjadikan seseorang melakukan amar makruf dan nahi mungkar, di samping taqarrub atau hampir kepada Allah dengan melakukan amalan sunat. Kepentingan takwa jelas apabila dinyatakan bahawa manusia yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa.

Di antara cara untuk mendapatkan sifat takwa ialah dengan memperbaiki ibadah seperti solat, tadabbur al-Quran, berkumpul dengan orang soleh, menuntut ilmu, tadabbur melihat alam semesta, melaksanakan perintah Allah secara konsisten, menghayati hikmah di sebalik perintah Allah, muhasabah diri, menjauhi lingkungan yang negatif, tidak terpedaya dengan dunia, menjauhi hawa nafsu, bersyukur, memperbanyakkan zikir, dan mengamalkan sunnah Rasulullah.

Ibadah puasa mendidik kita melaksanakan kepatuhan dan ketaatan kepada Allah walaupun tanpa diketahui oleh orang lain. Justeru ganjaran bagi orang berpuasa ditentukan secara khusus oleh Allah kerana mereka yang mempunyai keimanan yang kental saja mampu melaksanakannya, sebaliknya amat sukar bagi mereka yang goyah dan mudah mengikut hawa nafsu.

Di dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: “Setiap amalan anak Adam, pahalanya akan digandakan sepuluh kali ganda sehinggalah tujuh ratus kali ganda. Allah berkata: Kecuali puasa. Sesungguhnya ia milik Aku. Akulah yang akan membahagi-bahagikan ganjaran pahalanya. (Sahih Muslim, hadis no.1952).

Berkaitan maksud hadis tersebut, Imam al-Munawi berkata: “Orang yang berpuasa, Aku (Allah) memberinya balasan pahala yang banyak. Aku yang menguruskan balasan pahala itu tanpa diwakilkan kepada malaikat yang paling dekat atau makhluk-makhluk lain kerana puasa itu rahsia antara-Ku dengan hamba-Ku. Ini kerana apabila ditahan dirinya daripada nafsu syahwat maka ia diberi pahala dengan pengawasan Allah SWT.” (Faidh al-Qadir: 4/250)

Cabaran paling utama dalam kehidupan seharian manusia adalah melakukan kawalan kendiri walaupun tanpa sebarang peraturan dan undang-undang yang dapat dilihat. Di dalam Islam, pengawasan ini disebut sebagai amalan muraqabah.

Muraqabah bermaksud pengawasan dan pemantauan kendiri dengan keyakinan yang ada pada diri seseorang bahawa Allah sentiasa mengawasi, melihat, mendengar dan mengetahui setiap perbuatan yang dilakukan.

Orang yang menyedari bahawa Allah sedang mengawasi tingkah lakunya sudah tentu akan menjaga setiap tindakan dan perilaku pada setiap masa atau di mana-mana sahaja berada. Muraqabah dapat membentuk mental dan keperibadian seseorang sehingga menjadi manusia yang jujur.

Sepanjang melaksanakan ibadah puasa, kita juga berusaha mengelakkan diri daripada sifat keji seperti menipu dan bercakap perkara yang tidak baik.

Syawal kali ini disambut dengan sedikit kelainan susulan kita masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Fasa kelonggaran bersyarat ini menuntut warga masyarakat mengamalkan norma baharu dengan disiplin dan kawalan kendiri yang tinggi dalam mematuhi garis panduan sudah ditetapkan oleh pihak kerajaan bagi mendepani wabak Covid-19.

Kejayaan semua pihak memerangi wabak ini yang memasuki fasa baru amat bergantung kepada disiplin diri yang tinggi walaupun tiada lagi peraturan ketat yang mengikat.

Justeru, hikmah ibadah puasa diharap dapat menguatkan kita menjadi Muslim yang mempunyai sifat muraqabah dan kawalan kendiri yang tinggi dalam segenap aspek kehidupan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: