Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 27 Mei 2020

5 ciri penghuni syurga

Posted by epondok di Mei 27, 2020

Fatimah Syarha Mohd Noordin

Allah SWT menciptakan peristiwa yang berlaku di atas muka bumi ini sebagai ujian. Lalu diberikan banyak ujian kesenangan berbanding kesempitan.

Bagaikan banyak  cuaca terang  berbanding cuaca buruk bersama ribut petir.

Ribut petir tidak memanah kita setiap hari, begitulah ujian yang berat tidak menjengah kehidupan kita setiap masa.

Sesekali ujian berat menghimpit dan ia  tidak sesuai dengan keinginan kita, Allah SWT mahu kita tidak terlalu rasa cinta kepada dunia yang penuh cacat cela ini.

Di hujung nyawa, kita semua mengimpikan diseru sebagai jiwa yang tenang.  Dipanggil pulang ke rahmat dan kasih sayang Allah dalam keadaan reda dan diredai.

Diiktiraf sebagai hamba-Nya dan dijemput masuk ke dalam syurga-Nya. Impian itu Allah SWT gambarkan kepada kita dalam Surah al-Fajr.

Demi mendapat kebaikan itu, ada ciri-ciri yang perlu kita lengkapkan dalam diri supaya dicatat oleh Malaikat Raqib dan Atid.

1.Selalu bersandar harapan kepada Yang Maha Memelihara

Allah SWT menguji kita sehingga tiba pada satu tahap, kita berasa jalan sudah buntu. Pada saat itu, tunjukkan kepada Allah SWT kita sentiasa berdoa dan berusaha, bukan berputus asa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki daripada jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Talaq, ayat 2-3)

Ibn Kathir berkata:  “Sesiapa yang bertakwa kepada Allah dalam seluruh perintah-Nya dan menjauhi seluruh larangan-Nya, maka Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberikannya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka iaitu dari arah yang tidak pernah terlintas dalam hatinya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/31)

2.Selalu memohon pertolongan daripada Yang Maha Menolong

Apabila dihimpit masalah, kita berusaha mencari penyelesaian dengan pelbagai cara. Sehebat mana pun tip menyelesaikan masalah ditemui, tanpa sabar dan solat pada kedudukan teratas, ia tidak akan berkesan.

Dalam solat, kita berikrar berkali-kali Allah  yang kita sembah dan Dialah tempat kita memohon pertolongan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.” (Surah Al-Baqarah, ayat 45)

 

3. Selalu memujuk jiwa agar tetap kuat

Apapun yang Allah SWT hadirkan dalam hidup kita adalah satu bentuk ujian iman. Allah SWT berfirman yang maksudnya:  “Dan janganlah kamu berasa lemah (dalam perjuangan mempertahankan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap
apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (bersungguh-sungguh) beriman.” (Surah Ali Imran, ayat  139)

 

4. Berkongsi masalah dengan orang bertakwa, beriadah, berfikiran positif

Selepas  mengadu kepada Allah SWT, ringankan  beban di jiwa dengan berkongsi masalah dengan insan bertakwa lagi boleh dipercayai.

Niat  mesti  bersih untuk mencari solusi. Seandainya insan yang ditemui tidak mampu memberi solusi sekalipun, sekurang-kurangnya dia meredakan tekanan dalam jiwa.

Selain itu, beriadah juga terbukti membantu meredakan tekanan. Cari  masa memberi hak riadah kepada badan.

Fikiran yang tegang lebih mudah kembali positif. Arahkan fikiran itu kepada hal positif, misalnya memikirkan masalah umat Islam di Palestin lebih besar berbanding sekelumit ujian sedang kita hadapi.

5.Tawakal

Umpama tawakal penumpang saat mereka menyerahkan urusan keselamatan kepada kepakaran juruterbang dan petugasnya saat pesawat berlepas.

Begitu juga seharusnya kita menyerahkan urusan kehidupan kepada kepakaran Allah SWT tanpa ragu dan bimbang.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Setiap saat adalah rezeki

Posted by epondok di Mei 27, 2020

Fatimah Syarha Mohd Noordin

SEMUA orang mahu dilimpahkan rezeki. Apakah sebenarnya makna rezeki?

Dalam tafsir al-Quran al-Sya’rawi, rezeki ialah apa yang memberi manfaat bagi kita.

Luasnya rahmat Allah SWT kepada makhluk-Nya sehingga setiap kelahiran dan setiap ciptaan lahir bersama jaminan rezeki agar kita tidak perlu terlalu bimbang soal rezeki.

Menerusi firman Allah SWT bermaksud: “Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jugalah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat yang berkenaan).” (Surah Hud: ayat 6).

Dengan keyakinan semua rezeki ditetapkan Allah SWT, ia boleh menyelamatkan kita daripada kebimbangan.

Bagaimana yang dikatakan sikap terlalu bimbang soal rezeki? Terlalu bimbang soal rezeki boleh menjadi sebab seseorang terputus hubungan dengan Tuhan.

Siang malam mencari rezeki tanpa mempedulikan halal haram dan mengabaikan hak Tuhan dan hak sesama manusia.

Bimbangkan rezeki menjadi sebab seseorang terhalang daripada melakukan banyak kebaikan misalnya takut berkahwin dan takut memiliki anak.

Firman Allah SWT: “Dan kahwinkanlah orang bujang (lelaki dan perempuan) daripada kalangan kamu, dan orang yang soleh daripada hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Nur: ayat 32).

Dalam tafsir al-Quran al-Sya’rawi juga dinyatakan Allah SWT menguji kita dengan menjadikan rezeki ini ada yang baik, ada yang buruk, ada yang haram dan ada yang halal.

Ini bermakna, Allah SWT memerintahkan kita berusaha mencari rezeki halal dan berusaha mengelakkan rezeki yang haram.

Begitulah keindahan Islam yang selalu mengajar keseimbangan antara tawakal dan usaha, dunia dan akhirat.

Allah SWT juga mengajar kita keutamaan dalam berusaha. Firman-Nya: “Dan carilah pada apa yang dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagiamu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak akan menyukai orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qashash: ayat 77).

Allah SWT menyuruh berusaha mendapatkan akhirat dan jangan melupakan dunia.

Bermakna, mana lagi utama? Sudah tentulah akhirat lebih utama. Apabila kita jelas keutamaan, kita juga akan jelas strategi mengurus kehidupan.

Apa yang kritikal, kita perlukan rezeki di dunia dan akhirat. Kedua-dua rezeki dunia dan akhirat, kita kena usahakan sekarang, di dunia ini.

Semasa kita bekerja, niatkan kerana Allah SWT. Lakukannya bersungguh-sungguh dan rasai satu tanggungjawab fardu kifayah.

Justeru, kerja itu menjadi ibadat dan menjadi bukti di hadapan Allah SWT bahawa kita mementingkan akhirat.

Ketika tiba waktu solat, kerja utama kita adalah solat. Sebaik-baiknya, uruskan masa kita berdasarkan waktu solat. Rancang awal urusan dunia kita agar dapat solat awal.

Rasainya satu ibadat dan satu tanggungjawab fardu ain. Insya-Allah, ia juga bukti kita boleh tunjukkan di hadapan Allah SWT yang kita mementingkan akhirat.

Luasnya rahmat Allah SWT, apabila kita melakukan kerja akhirat misalnya solat, puasa dan membaca al-Quran, Allah SWT memberikan manfaat sejak di dunia lagi.

Berkaitan solat, ada kajian saintifik oleh dua orang Muslim dan seorang bukan Muslim dari Universiti Malaya (UM) mengenai pergerakan dalam solat dan kesannya pada anatomi dan fisiologi manusia.

Menurut kajian itu, ada perbezaan yang terjadi apabila seseorang bersolat dengan betul dan tidak betul, juga apabila seseorang bersolat dan tidak bersolat terhadap kesihatan otot, otak juga tulang.

Contoh, menurut kajian itu, rukuk menyamai pergerakan ‘senaman pagi’ iaitu apabila seseorang rukuk dengan betul, rukuk 90 darjah, otot-otot di bahagian badan akan teregang dengan sendiri.

Ia juga boleh mengelakkan sakit pada pinggang. Kajian Dr Ng Siew Cheok berkaitan gelombang otak apabila seseorang itu bersolat dan beliau mengakui memang ada kelebihan. Begitulah rahmatnya Allah SWT memberikan kebaikan spiritual, fizikal dan mental seumpama memberikan syurga yang disegerakan sejak di dunia lagi kepada pencinta akhirat yang sentiasa meletakkan Allah SWT nombor satu dalam kehidupan dan petunjuk Nabi SAW sebagai panduan.

Oleh sebab itu, yang paling penting dalam hidup, jagalah takwa kita kepada Allah SWT.

Jaga rasa takut dan berhati-hati dengan pengawasan Allah SWT walau seluas mana rezeki dunia yang kita usahakan.

Bahkan, Allah SWT menjanjikan mahu memberi rezeki yang tidak disangka bagi orang yang bertakwa.

Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya.

Allah SWT sudah menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »