Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 25 Mei 2020

Puasa sunat 6 hari di bulan Syawal

Posted by epondok di Mei 25, 2020

Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, ‘Asyura’ dan enam hari dalam bulan Syawal).

Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam bersabda, Allah subhanahu wata’aala berfirman (dalam hadis Qudsi):

(( كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ… وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ )) رواه مسلم.

Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Sahih Muslim no: 1151] Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.

Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

(( مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا )) رواه البخاري.

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Sahih Al-Bukhari no: 2840]

Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Bersempena dengan bulan Syawal ini, artikel ini akan membincangkan tentang puasa sunat ini.

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.

Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

(( مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ)) رواه مسلم.

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].

Dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.

Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.

Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal.

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Kerana itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadhan, sedangakan pada bulan lain Allah swt dilupai”.

Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.

Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).

 

 Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata:

( أَنَّ رَسُولَ اللهِ r نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ ) رواه مسلم.

Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari no: 1991].

 

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.

 

 Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.

Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah swt:

 وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ  [آل عمران: 133]

Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Aali Imran:133]

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Konsep Idkhal as-surur sambut hari raya

Posted by epondok di Mei 25, 2020

Ustaz Zainudin Hashim
Idkhal as-surur bermaksud (memasukkan rasa senang/gembira) kepada ahli keluarga khususnya pada menyambut hari raya adalah satu amalan sunat yang pernah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.Kerana Idkhal as-surur itu bermatlamat agar dapat mewujudkan rasa gembira, mesra, kasih sayang antara sesama insan terutamanya terhadap kedua ibu bapa, adik beradik, sanak saudara atau kaum kerabat, jiran tetangga, sahabat handai, kanak-kanak dan anggota masyarakat amnya. ImageIa adalah amalan mulia yang boleh dikatakan berpaksi kepada firman Allah SWT menerusi ayat 13 surah al-Hujurat (49) yang bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.”Jelas ayat di atas menggambarkan kepada kita bahawa matlamat utama penciptaan manusia di muka bumi ini adalah untuk berbaik-baik berdasarkan perkenalan sesama mereka, bagi mengeratkan hubungan intim di kalangan mereka.

Islam telah menetapkan garis panduan yang utuh dengan memasukkan rasa senag dan gembira di kalangan mereka sendiri bagi menjalani kehidupan yang penuh harmoni dan kedamaian yang hakiki.

Bagaimana keberkesanan idkhal as-surur di kalangan anggota masyarakat dijayakan?

Ia boleh diadaptasi menerusi pelaksanaannya secara praktikal:

1- Idkhal as-surur terhadap kedua-dua ibu bapa Iaitu dengan menunjukkan sikap hormat serta kasih terhadap mereka berdua, bukan kerana dengan kedatangan Syawal, malah sepanjang masa, kerana dengan sikap positif itu akan menggembirakan hati mereka dan tidak jadi masalah bagi mereka merestui setiap tindakan yang terbit dari diri anak-anak.

2- Idkhal as-surur terhadap adik-beradik Saling hormat-menghormati antara adik-beradik akan melahirkan rasa suka, mesra, kasih, dengan erti kata yang tua mengasihi yang muda dan yang muda menghormati dan mengasihi yang lebih tua.

3- Idkhal as-surur terhadap sanak saudara/kaum kerabat Dengan menziarahi bapa serta ibu saudara, sepupu dan sebagainya dengan penuh erat khususnya pada hari raya, akan menambahkan keutuhan kekeluargaan, kerana apabila seseorang itu menziarahi bapa saudaranya pada hari raya sebagai contoh, dia tidak akan ditanya kenapa dia datang, berbanding dengan hari biasa, jika ada kunjungan ziarah diadakan, sudah pasti tanggapan bapa saudara bahawa anak saudaranya itu mahu pinjam wang atau sebagainya.

Kesempatan bertemu perlu dimanfaatkan dengan memohon maaf, apatah lagi sebagai pangkat anak saudara, dengan cara ini akan menimbulkan rasa kasih bapa saudara terhadapnya, matlamat Idkhal as-surur tercapai dengan salang bermaafan.

4- Idkhal as-surur terhadap jiran tetangga, sahabat handai. Ia boleh dibuktikan dengan saling bermaafan, bertukar-tukar juadah hari raya untuk sama-sama rasa masakan masing-masing, menyahut undangan untuk ke rumah mereka dan mengundang mereka ke rumah kita. Kerana menyahut undangan mereka walaupun kesibukan dengan kunjungan dan sebagainya, akan membahagiakan tuan rumah yang rasa bangga dengan kehadiran, maka akan tercapailah maksud kegembiraan pada hari raya, ia tidak perlu menunggu apabila ada anjuran rumah terbuka.

5- Idkhal as-surur terhadap kanak-kanak Mereka adalah golongan yang sentiasa bersyukur terhadap apa yang mereka terima dari tuan rumah, apatah lagi mereka digembirakan dengan pemberian duit raya yang semakin tersohor mutakhir ini, walaupun ia mungkin diadaptasi dari budaya kaum lain, namun pendekatannya tidak merosakkan intipati ajaran Islam.

Mudah-mudahan dengan kesyukuran yang mereka tunjukkan itu, menjadi penyebab keluasan rezeki bagi mereka yang memberikan duit raya tersebut. – lanh _

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »