Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for April 2020

Ramadan didik diri merasa diawasi

Posted by epondok di April 29, 2020

RAMADAN adalah bulan bagi mendidik kita merasa diri sentiasa diawasi oleh Allah SWT atau apa yang disebut sebagai muraqabah. Kita berpeluang untuk makan dan minum apabila bersendirian tanpa diketahui orang lain, tetapi tidak kita lakukan. Kalau kita makan dan minum pun tiada siapa yang tahu, dan berpura-pura lapar dan kononnya masih berpuasa. Tetapi kita tidak lakukan dan kerana itulah orang yang berpuasa itu adalah orang yang ikhlas dengan Allah SWT dan Allah SWT sendiri yang ingin membalas ganjaran keikhlasan mereka seperti mana hadis Nabi SAW: “Setiap amalan anak Adam itu diberi ganjaran 10 hingga 700 kali ganda kecuali puasa, ia adalah kerana-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya.” (Riwayat Muslim)

Ibadah puasa tidak seperti ibadah-ibadah lain dalam Islam. Ibadah lain sifatnya ialah melakukan sesuatu tetapi ibadah puasa ini menahan daripada melakukan beberapa perkara yang membatalkan puasa. Jika kita lihat ibadah solat misalnya, orang boleh nampak kita solat dan kita boleh menunjuk-nunjuk kepada orang bahawa kita solat. Begitu juga zakat, haji, sedekah dan amalan-amalan lain semuanya kita boleh tunjukkan kepada orang kita ­melakukan ibadah tersebut. Tetapi puasa, tiada siapa yang tahu dan nampak kita berpuasa.

Kita boleh sahaja mendakwa berpuasa tetapi hakikatnya telah makan ketika bersendirian tanpa diketahui orang lain. Jadi bagi orang yang benar-benar berpuasa memang sepatutnya Allah SWT sendiri yang memberikan ganjaran pahala kerana dia berpuasa ikhlas semata-mata mengharapkan keredaan Allah SWT tanpa mengharapkan pujian manusia.

Dalam kehidupan masyarakat hari ini, kita sudah terbiasa dengan pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) di banyak tempat, seperti di bank dan bangunan-bangunan lain. Tujuan CCTV itu antara lain untuk menjadi bukti dan menangkap mereka melakukan kesalahan di premis berkenaan. Ramadan adalah bulan melatih bahawa Allah SWT itu Maha Melihat, Allah SWT itu memiliki CCTV yang memantau setiap perlakuan kita sama ada ketika bersendirian atau ramai. Walau ketika bersendirian pun kita tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa kerana menyedari Allah SWT sedang memerhati kita. Justeru kenapa selepas Ramadan perasaan diawasi itu tidak diteruskan?

Allah SWT bukan wujud hanya di bulan Ramadan tetapi sepanjang masa dan memerhati setiap ketika. Sepatutnya, bagi mereka yang menjalani ibadah Ramadan dan lulus madrasah Ramadan ini mereka akan memiliki satu sifat iaitu ‘merasa sentiasa diawasi oleh Allah’ sepanjang masa dan ketika. Inilah sifat orang bertakwa seperti mana ditunjukkan oleh para Salafussoleh.

Kisah yang sering kita dengar berhubung seorang ibu yang berbincang dengan anak gadisnya tentang susu kambing yang sedikit mereka peroleh hari itu kerana suasana kemarau lalu si ibu mencadangkan dicampur dengan air. Namun dibantah oleh anak gadisnya kerana itu menipu dan Khalifah Umar ibn al-Khattab telah mengarahkan jangan menipu. Lalu ibu menjawab tidak mengapa kerana tiada yang melihat dan Khalifah Umar juga tiada. Namun jawab anak gadis tersebut yang tinggi sifat merasa diawasi atau muraqabah menyebut: “Benar wahai ibuku, Umar tidak melihat tetapi Tuhan Umar Maha Melihat!”. Perbualan tersebut didengari oleh Khalifah Umar yang kebetulan meronda setiap malam seperti kelaziman beliau, lalu kagum dengan anak gadis tersebut dan keesokan harinya mencadangkan kepada anak lelakinya agar mengambil gadis tersebut sebagai isterinya.

Begitu juga kita pernah men­dengar kisah bagaimana Umar ibn Abdul Aziz memadamkan pelita hak milik negara dan menyalakan pelitanya sendiri apabila berbicara tentang perihal keluarganya dan hal persendirian kerana tidak mahu berdosa menggunakan pe­lita negara yang bukan hak milikinya. Kisah ini masyhur tetapi sekadar kisah dalam lipatan sejarah, tidak diteladani dan dicontohi oleh kita umat Islam hari ini. Harta-harta bukan miliki kita, milik syarikat atau milik pejabat kita rakus menggunakannya seolah-olah harta tersebut milik diri sendiri dan lupa bahawa nanti akan dipersoalkan oleh Allah SWT.

Banyak lagi kisah para solihin yang menunjukkan bagaimana sepatutnya sikap orang yang bertakwa yang sentiasa merasakan dirinya diawasi oleh Allah SWT. Jika kita mampu membawa perasaan diawasi oleh Allah SWT ini keluar dari bulan Ramadan hingga ke bulan-bulan lain, nescaya kita akan berjaya menjadi hamba bertakwa seperti mana yang dikehendaki melalui matlamat berpuasa ini. Jika tidak, kita hanyalah menjadi orang yang ‘soleh’ di bulan Ramadan, tetapi tidak di bulan-bulan lain. Jika itulah sikap dan akhlak kita, maka kita belum mencapai matlamat Ramadan yang sebenar iaitu melahirkan insan-insan yang bertakwa kepada Allah SWT.

Kesimpulannya, Ramadan ini melatih kita berasa dekat dengan Allah, sentiasa diperhatikan oleh Allah SWT lalu kita perlu menjadi sebaik-baik manusia kerana diperhatikan oleh Tuhan Pencipta Sekalian Alam. Kalau CCTV yang perhati pun, sudah begitu beradab apatah lagi Tuhan yang memerhati kita.

Lalu ia menjadikan kita sebagai insan yang terbaik dalam semua keadaan, sebagai pekerja terbaik, sebagai ibu bapa terbaik, sebagai pelajar terbaik dan sebagai apa sahaja kita lakukan terbaik kerana dengan itu sahajalah diterima Allah seperti mana hadis Nabi SAW: “Allah itu terbaik dan tidak me­nerima melainkan yang terbaik.”

DR. NIK ROSKIMAN ABDUL SAMAD

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »

Ramadan membangun jiwa manusiawi

Posted by epondok di April 28, 2020

RAMADAN sering dikaitkan sebagai sekolah mendi­dik jiwa, hati dan nafsu (tarbiah) supaya berada dan kembali dalam keadaan fitrah. Berlapar dahaga sepanjang hari adalah latihan kawalan diri supaya lahir keinsafan tentang pentingnya nafsu dikawal, rasa kemanusiaan lahir dan mendorong jiwa ihsan untuk membantu yang lain. Daripadanya rasa manusiawi bakal tercetus.

Ramadan membangun jiwa jemaah. Bertarawih dan bertadarus umpamanya adalah latihan rohaniah bagaimana jiwa kebersamaan dan kekitaan lahir supaya watak muafakat terbina. Perpecahan sesama warga umat adalah bencana. Bukti yang terpapar kini dalam dunia Islam sangat nyata akibat jiwa jemaah tidak dihayati dan diterjemah dalam amalan menyebabkan lahirnya pelbagai firqah atau kumpulan yang sifatnya saling bercanggah dan membawa pendekatan melampau dan radikal yang berakhir dengan konflik.

Amalan di bulan Ramadan bukan sahaja mencetuskan peningkatan dalam produktiviti rohiyyah tetapi juga kepada produktiviti amaliah yang mempamerkan keindahan watak Islam itu sendiri. Keseimbangan antara kedua-duanya amat penting bagi melahirkan watak yang berimbang dan sederhana.

Tarbiah Ramadan yang tulen harus mampu mengubah sikap dan pemikiran ahli ibadah kepada amal yang lebih menyeluruh dalam kehidupan. Produk atau penghasilan Ramadan harus memiliki sifat sabar yang tinggi, rasa pemurah dan kemanusiaan yang tulus untuk menyantuni fakir dan miskin. Ia mendidik hati supaya tidak angkuh dan sombong dengan kelebihan yang dimiliki. Harta yang ada harus dibersihkan (zakat) supaya manfaatnya tersebar dalam kalangan asnaf. Kedudukan dan pangkat serta kekayaan yang dimiliki pula tidak menjadikan kita tinggi diri dan hilang kualiti manusiawi.

Membangun hati melalui tazqiah an nafs (pembersihan jiwa) amat dituntut. Ramadan adalah madrasah memba­ngun hati supaya niat yang terbina sifatnya menyantuni dan terlihat pada amal. Jika ini berlaku, hubung­an mene­gak kita dengan Allah terlihat dalam amal dan perbuatan. Itulah sebenarnya keindahan Islam yang bukan saja rohaniah sifatnya tetapi terpancar dalam pekerti yang baik.

Ramadan menganjurkan kita membaca al-Quran dan memahami isinya agar menjadi sumber amalan dalam kehidupan. Janji Rasulullah SAW dalam hujjatul wida’ khutbah terakhir baginda, umat Islam tidak akan sesat selama-selamanya selagi berpegang kepada al-Quran dan sunah.

Hari ini terdapat kelompok yang menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyatakan bahawa al-Quran sahaja yang harus dirujuk dan menolak hadis. Kelompok liberal dan pluralis agama pula meng­anggap semua agama sama dan rasionaliti adalah segala-gala. Ramadan harus mengembalikan kita kepada agama fitrah kerana sifat ibadah di bulan ini adalah sedemikian.

Solat bukan sekadar mendirikannya sebaliknya menjadi asas pencegahan daripada perbuatan keji dan mungkar. Rukuk dan sujud yang dihayati benar-benar membawa sifat kehambaan yang tinggi, yang akan mencetuskan pula sifat patuh, taat, akur dan tunduk kepada perintah Allah.

Puncak kepada tarbiyyah Ramadan bermaksud menjadikan kita orang yang bertakwa (muttaqeen). Jiwa takwa menjadi benteng yang penting bagi kita melayari kehidupan. Hidup yang sentiasa mempunyai hubungan menegak dengan Allah dan hubungan merentas sesama manusia menjadikan iman dan amal bergerak seiring.

Matlamat inilah yang menjadi sumber kekuatan kepada warga Mukmin berdepan dengan cabaran yang pelbagai. Allah menjadi sandaran kita dalam melakukan apa saja kerana sandaran itu bermaksud mencari reda-Nya. Reda Allah sangat penting supaya amal ibadah kita diteri­ma dan hikmahnya dirasakan oleh orang lain juga. Jiwa manusiawi inilah yang semakin pupus. Matlamat akhir madrasah Ramadan ialah mengukuhkan fitrah diri dan mengembalikan semula fitrah yang tiris dan hilang.

Moga Aidilfitri nanti menjadi hari kemenangan seolah-olah menjadikan kita lahir semula dengan jiwa manusiawi yang tinggi. Sebagai khalifah Allah yang akan me­nyumbang kepada kesejahteraan umat manusia.

 

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »

Ramadan sedia limpahan keberkatan

Posted by epondok di April 24, 2020

KETIKA berucap menyambut kedatangan bulan suci Ramadan, Rasulullah SAW menyebut Ramadan sebagai bulan agung dan penuh berkat.

Keagungan dan keberkatan menghiasi Ramadan menjadikan kehadirannya sentiasa dinanti-nantikan umat Islam di seluruh pelusuk dunia.

Perkataan berkat membawa erti kebaikan dan kebajikan yang melimpah. Menurut ulama tafsir terkenal Al-Asfihani, sesuatu itu disebut berkat apabila di dalamnya terkandung kebaikan dan kebajikan yang banyak.

Contohnya, air hujan disebut dalam al-Quran sebagai sesuatu yang mendatangkan kebaikan melimpah ruah kerana ia dapat menyuburkan tanah dan menumbuhkan pelbagai tanaman untuk umat manusia.

Menurut Syeikh Rashid Redha, ada dua keberkatan iaitu yang pertama ialah keberkatan fizikal seperti rezeki, kesihatan jasmani dan nikmat yang memberi kebahagiaan kepada manusia. Kedua, keberkatan tidak bersifat fizikal seperti turunnya wahyu, intuisi, ketenangan jiwa yang memandu manusia ke arah kesempurnaan dan kesejahteraan abadi.

Bulan al-Quran

Keberkatan kedua inilah yang menghiasi serinya Ramadan. Satu lagi kemuncak keberkatan yang menghiasi fadilat Ramadan ialah nuzul al-Quran yang terkandung peringatan dan keberkatannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan al-Quran ini juga pengajarannya yang berkat, yang Kami turunkan (kepada Nabi Muhammad); dengan keadaan yang demikian maka patutkah kamu mengingkarinya?” (Surah al-Anbiya’, ayat 50)

Istimewanya ialah malam al-Quran diturunkan disebut Allah SWT sebagai malam yang diberkati (lailatin mubarakah) dalam firman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba Kami ditimpa azab).” (Surah al-Dukhan, ayat 3)

Sesungguhnya, Ramadan diberkati dan mengandungi keistimewaan yang tidak terhingga banyaknya. Di dalam bulan ini, Allah SWT menurunkan rahmah, memberikan pengampunan dan menyediakan jaminan pembebasan manusia daripada api neraka.

Ganjaran berganda

Tidak cukup dengan itu, Allah SWT juga telah menutup pintu neraka, membelenggu pergerakan syaitan dan membuka seluas-luasnya pintu syurga. Di samping itu, dilipatgandakan ganjaran pahala segala ibadat dan amalan soleh sehingga ribuan kali ganda.

Kecuali ibadat puasa yang perhitungannya menjadi rahsia di sisi Allah SWT. Selanjutnya, Allah membuka pintu kemaafan dan keampunan seluas-luasnya.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan keredaan Allah, maka Allah akan mengampuni seluruh dosanya seumpama dia baru lahir dari rahim ibunya.” (Riwayat Ahmad)

Berdasarkan keistimewaan dan keberkatan disediakan sepanjang Ramadan, jelas menunjukkan Allah SWT menyeru umat Islam merebut ganjaran serta kelebihan itu dengan melakukan lebih banyak amalan soleh.

Hadirnya Ramadan mengundang 1,001 kesempatan bagi orang beriman dan bertakwa untuk beramal ibadat di samping bertafakur serta bermuhasabah diri. Amalan muhasabah akan mencetuskan keinsafan untuk memperbetulkan kesilapan dan meningkatkan kualiti ibadat.

Golongan yang rugi

Alangkah ruginya jika seseorang Muslim tidak mengisi Ramadan dengan amal ibadat dan tidak mengecapi fadilat yang disediakan Allah SWT bagi orang yang mengharapkan keredaan-Nya.

Maka benarlah sabda Rasulullah SAW: “Betapa ramainya orang yang berpuasa sepanjang hari, namun mereka tidak mendapat apa-apa melainkan keperitan lapar dan dahaga; begitu juga betapa ramainya orang yang berjaga malam hari, namun mereka juga tidak mendapat apa-apa melainkan kepenatan berjaga malam.” (Riwayat Ahmad dan Hakim)

Ibadat puasa sebenarnya melatih kita mengendalikan kehendak atau keinginan yang menuntut kesabaran untuk menahan diri daripada makan dan minum. Ibadat puasa juga melatih taat, sabar dan bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang telah mereka usahakan.” (Surah al-A’raf, ayat 96)

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »

Rebut peluang keberkatan Ramadan

Posted by epondok di April 23, 2020

Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusof

 

Sesungguhnya Allah SWT mengkhususkan Ramadan dengan keutamaan yang agung dan banyak keistimewaan. Justeru, hendaklah kita menghayati segala keistimewaan berpuasa supaya dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin dalam program Pesona D’Zahra di IKIMfm menyarankan umat Islam menunaikan ibadah puasa dengan ikhlas bukan berpuasa kerana orang lain berpuasa, maka kita juga perlu puasa.

Katanya, bulan penuh barakah ini mempunyai banyak keistimewaan yang perlu diketahui antaranya, diturunkan al-Quran pada Ramadan sebagai petunjuk bagi manusia yang berada dalam kegelapan menuju cahaya.

Al-Quran terkandung kebaikan

“Dengan al-Quran ini, Allah SWT memperlihatkan kepada kita kebenaran (al-haq) dan kebatilan. Al-Quran terkandung kebaikan, kebahagiaan, kemenangan bagi umat manusia serta keselamatan di dunia dan akhirat,” katanya.

Keistimewaan kedua, diwajibkan berpuasa pada bulan ini kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kerana itu, barang siapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) pada bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Ramadan juga bulan penghapus dosa yang pernah kita lakukan sama ada yang disedari atau tidak dengan syarat puasa kita dilaksanakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh berdasarkan iman serta mengharapkan pahala daripada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala daripada Allah SWT, nescaya diampuni dosa-dosanya telah lalu.” (Muttafaqun alaih).”

Dibukakan pintu syurga pada Ramadan kerana banyaknya amal soleh yang disyariatkan pada bulan itu menyebabkan masuknya seseorang dalam syurga, manakala ditutup pintu neraka.

Pada bulan mulia ini umat Islam dituntut menunaikan solat sunat Tarawih selepas solat fardu Isyak dan waktunya berkekalan sehingga akhir malam.

Keberkatan bulan Ramadan yang tidak diberikan kepada bulan lain ialah digandakan pahala setiap amal kebajikan. Ibadah fardu diberi pahala sehingga 70 kali ganda, manakala ibadah sunat diberi pahala seperti ibadah fardu.

Kelebihan malam al-Qadar

Syaitan dibelenggu pada Ramadan untuk tidak menggoda manusia, menjerumuskan mereka dalam kemaksiatan seperti dilakukan pada bulan lain.

Kelebihan paling besar bulan Ramadan ialah di dalamnya terdapat malam al-Qadar (kemuliaan) yang dinyatakan keistimewaannya secara khusus oleh Allah SWT dalam surah al-Qadr: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 1-5)

Muhamad Abdullah merumuskan, orang yang tahu menilai kelebihan dan keistimewaan Ramadan pasti tidak akan mensia-siakan peluang merebutnya.

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »

Ramadan anugerah istimewa kepada umat Islam

Posted by epondok di April 22, 2020

BERBEZA dengan bulan yang lain, Ramadan merupakan bulan istimewa bagi umat Islam. Ini kerana Ramadan adalah bulan yang dijanjikan Allah SWT pelbagai kelebihan iaitu dengan menggandakan pahala kebajikan, diangkat darjat dan dihapuskan dosa-doa hamba-Nya.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya:

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharap balasan daripada Allah, akan diampunkan dosanya yang telah lalu. Sesiapa yang menghidupkan malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap balasan daripada Allah, akan diampuni dosanya yang telah lalu.” (Muttafaqun Alaih)

Malah, sepanjang bulan itu juga, pintu syurga terbuka seluas-luasnya bagi orang yang berpuasa manakala pintu neraka ditutup rapat.

Tidak dinafikan, Ramadan adalah anugerah Allah dan nikmat yang sangat agung buat menghiburkan hati orang beriman dan membahagiakan jiwa orang bertakwa.

Setiap kali Ramadan menjelang, Rasulullah SAW sering menggembirakan sahabat dengan kata-kata motivasi agar mereka lebih bersedia menyambutnya dengan penuh ketaatan dan merebut peluang yang dijanjikan oleh Allah.

Daripada Salman Al-Farisi r.a. berkata: Rasulullah menyampaikan khutbah pada hari akhir bulan Syaaban.

Sabda baginda: “Wahai manusia! Telah menaungi kamu bulan yang agung, bulan diberkati, bulan terdapat padanya satu malam lebih baik daripada 1,000 bulan, Allah mewajibkan berpuasa di dalamnya, sunat menghidupkan malamnya, sesiapa yang menghampirinya dengan amal kebaikan seolah-olah (pahalanya) seperti pahala fardu, sesiapa mengerjakan amalan fardu seolah-olah (pahalanya) seperti pahala 70 amalan fardu, Ramadan bulan kesabaran dan pahala sabar adalah syurga …..”

PERSEDIAAN RAMADAN

Sebagai mensyukuri kedatangan bulan penuh keberkatan ini, umat Islam dituntut untuk membuat persiapan bagi meraih segala anugerah dan kelebihan yang dijanjikan. Antaranya:

1) Sedia bertaubat – Islam memperuntuk satu amalan yang boleh menghapuskan segala dosa iaitu taubat sebagai mengimbangi kelemahan manusia.

Berasaskan sifat Allah, al-Tawwab (Maha Penerima Taubat) dan al-Ghafur (Maha Pengampun) sudah pasti Allah tidak akan membiarkan kelemahan hamba-Nya begitu sahaja.

Sebagai orang beriman kita dituntut agar sentiasa memohon keampunan Allah atas segala dosa dilakukan sama ada kecil atau besar.

2) Bersegera mengerjakan amal kebaikan – Ia merupakan sikap terpuji bagi orang beriman. Amalan ini akan menjauhkan daripada kerugian dan meningkatkan izzah (kemuliaan) di sisi Allah.

Kesannya, kita berasa seronok dan bersemangat dalam mengerjakan amalan-amalan fardu dan sunat sepanjang masa.

3) Rebut peluang memperoleh rahmat Allah – Rahmat ialah belas kasihan dikurniakan Allah kepada mereka yang dikehendaki-Nya.

Setiap orang Islam mesti berusaha untuk mendapatkan rahmat Allah dengan memperkasa keimanan, melakukan transformasi diri dan bermujahadah pada jalan diredai-Nya.

4) Menjauhi segala perkara yang menyebabkan amalan tidak diterima – Untuk memperoleh kehidupan diredai Allah, umat Islam hendaklah sentiasa melakukan segala perkara kebaikan, bermanfaat dan diterima oleh Allah.

Allah tidak meletakkan banyaknya amal sebagai prasyarat untuk diterima. Sekali pun amal itu sedikit tetapi dikerjakan dengan ikhlas, maka ia tetap tinggi di sisi Allah.

5) Meneguhkan tali persaudaraan – Islam menuntut umatnya agar sentiasa bersatu padu dan menzahirkan solidariti tanpa berbelah bahagi.

Konsep persaudaraan berteraskan ikatan ketuhanan menjadi asas dan instrumen efektif kepada perpaduan seluruh umat Islam. Sekiranya dapat menghayati konsep persaudaraan ini, nescaya akan lahir sebuah peradaban manusia yang unggul.

Kehadiran Ramadan yang disambut dengan ketulusan hati dan kelapangan pemikiran akan membentuk keteguhan sahsiah dalam mempertahan iman dan takwa kepada Allah, malah menjadi perisai yang melindungi diri daripada kehancuran jiwa.

Sehubungan itu, umat Islam perlu merebut peluang dan memanfaatkan kelebihan Ramadan dengan sebaik-baiknya.

Tingkatkan tumpuan dan kekuatan diri untuk beribadah kepada Allah sebanyak-banyaknya dengan berzikir, membaca al-Quran, mengerjakan solat sunat terutamanya solat sunat tarawih serta witir yang dituntut dilakukan secara berjemaah.

PEDOMAN

* Kunjungan 
Ramadan adalah tetamu agung yang wajib dimuliakan oleh setiap umat Islam dengan bersungguh-sungguh menerusi amalan ketaatan.

* Jadikan 
Ramadan kali ini 
adalah yang terbaik, jangan biarkannya berlalu tanpa memperoleh 
keampunan 
daripada Allah.

* Berlumba dalam melaksanakan amalan sepanjang bulan Ramadan kerana setiap amalan yang dilakukan akan dilipatgandakan ganjarannya.

Artikel JAKIM

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »

Ramadan sedia limpahan keberkatan

Posted by epondok di April 21, 2020

KETIKA berucap menyambut kedatangan bulan suci Ramadan, Rasulullah SAW menyebut Ramadan sebagai bulan agung dan penuh berkat. Keagungan dan keberkatan menghiasi Ramadan menjadikan kehadirannya sentiasa dinanti-nantikan umat Islam di seluruh pelusuk dunia.

Perkataan berkat membawa erti kebaikan dan kebajikan yang melimpah. Menurut ulama tafsir terkenal Al-Asfihani, sesuatu itu disebut berkat apabila di dalamnya terkandung kebaikan dan kebajikan yang banyak. Contohnya, air hujan disebut dalam al-Quran sebagai sesuatu yang mendatangkan kebaikan melimpah ruah kerana ia dapat menyuburkan tanah dan menumbuhkan pelbagai tanaman untuk umat manusia.

Menurut Ulama’, ada dua keberkatan iaitu yang pertama ialah keberkatan fizikal seperti rezeki, kesihatan jasmani dan nikmat yang memberi kebahagiaan kepada manusia. Kedua, keberkatan tidak bersifat fizikal seperti turunnya wahyu, intuisi, ketenangan jiwa yang memandu manusia ke arah kesempurnaan dan kesejahteraan abadi.

Bulan al-Quran

Keberkatan kedua inilah yang menghiasi serinya Ramadan. Satu lagi kemuncak keberkatan yang menghiasi fadilat Ramadan ialah nuzul al-Quran yang terkandung peringatan dan keberkatannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan al-Quran ini juga pengajarannya yang berkat, yang Kami turunkan (kepada Nabi Muhammad); dengan keadaan yang demikian maka patutkah kamu mengingkarinya?” (Surah al-Anbiya’, ayat 50)

Istimewanya ialah malam al-Quran diturunkan disebut Allah SWT sebagai malam yang diberkati (lailatin mubarakah) dalam firman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba Kami ditimpa azab).” (Surah al-Dukhan, ayat 3)

Sesungguhnya, Ramadan diberkati dan mengandungi keistimewaan yang tidak terhingga banyaknya. Di dalam bulan ini, Allah SWT menurunkan rahmah, memberikan pengampunan dan menyediakan jaminan pembebasan manusia daripada api neraka.

Ganjaran berganda

Tidak cukup dengan itu, Allah SWT juga telah menutup pintu neraka, membelenggu pergerakan syaitan dan membuka seluas-luasnya pintu syurga. Di samping itu, dilipatgandakan ganjaran pahala segala ibadat dan amalan soleh sehingga ribuan kali ganda. Kecuali ibadat puasa yang perhitungannya menjadi rahsia di sisi Allah SWT.

Selanjutnya, Allah membuka pintu kemaafan dan keampunan seluas-luasnya. Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan keredaan Allah, maka Allah akan mengampuni seluruh dosanya seumpama dia baru lahir dari rahim ibunya.” (Riwayat Ahmad)

Berdasarkan keistimewaan dan keberkatan disediakan sepanjang Ramadan, jelas menunjukkan Allah SWT menyeru umat Islam merebut ganjaran serta kelebihan itu dengan melakukan lebih banyak amalan soleh. Hadirnya Ramadan mengundang 1,001 kesempatan bagi orang beriman dan bertakwa untuk beramal ibadat di samping bertafakur serta bermuhasabah diri. Amalan muhasabah akan mencetuskan keinsafan untuk memperbetulkan kesilapan dan meningkatkan kualiti ibadat.

Golongan yang rugi

Alangkah ruginya jika seseorang Muslim tidak mengisi Ramadan dengan amal ibadat dan tidak mengecapi fadilat yang disediakan Allah SWT bagi orang yang mengharapkan keredaan-Nya. Maka benarlah sabda Rasulullah SAW: “Betapa ramainya orang yang berpuasa sepanjang hari, namun mereka tidak mendapat apa-apa melainkan keperitan lapar dan dahaga; begitu juga betapa ramainya orang yang berjaga malam hari, namun mereka juga tidak mendapat apa-apa melainkan kepenatan berjaga malam.” (Riwayat Ahmad dan Hakim)

Ibadat puasa sebenarnya melatih kita mengendalikan kehendak atau keinginan yang menuntut kesabaran untuk menahan diri daripada makan dan minum. Ibadat puasa juga melatih taat, sabar dan bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang telah mereka usahakan.” (Surah al-A’raf, ayat 96)

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »

Berusaha mencari malam al-qadar

Posted by epondok di April 18, 2020

Mohd. Radzi Mohd. Zin

 

RAMADAN begitu pantas meninggalkan kita. Hari ini kita sudah berada pada 21 Ramadan. Bermakna kita sudah memasuki fasa paling ditunggu-tunggu oleh orang yang beriman. Hal ini kerana, di dalamnya terkan­dung malam al-qadar iaitu kemuncak ibadat yang menjanjikan ganjaran pahala lebih 1,000 bulan atau kira-kira 83 tahun.

Saban tahun kita diingatkan tentang kelebihan ­lailatulqadar. Macam biasa, ada yang memberi perhatian dan ramai juga yang buat-buat tidak tahu. Pendek kata, hanya mereka yang beriman menyakini ganjaran pahala berlipat-ganda yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Kita doakan mereka yang masih alpa dan mensia-siakan peluang hidup dalam 10 terakhir Ramadan agar mendapat hidayah Allah SWT dan berubah.

Untuk kita, mari contohi Rasulullah SAW dalam beribadat untuk mencari malam al-qadar. Nabi SAW menasihatkan umatnya untuk mencari lailatulqadar pada penghujung 10 malam Ramadan berdasarkan sabda baginda yang bermaksud: “Carilah lailatulqadar pada 10 terakhir Ramadan.” (Muttafaq ‘alaih).

Daripada 10 malam terakhir itu, baginda memperinci lagi kepada malam-malam ganjil. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Carilah lailatulqadar pada malam ganjil di 10 hari terakhir Ramadan.” (Riwayat Bukhari)

Kalau kita perhatikan, dalam kedua-dua hadis di atas, dimulakan dengan perkataan carilah. Maksudnya kita kena berusaha dan melakukan pelbagai ibadat, bukannya berpeluk tubuh membiarkan malam yang penuh keberkatan itu berlalu begitu sahaja.

Paling minimum, hendaklah kita solat Isyak dan Su­buh berjemaah pada 10 malam terakhir Ramadan. Yang lebih baik adalah melakukan pelbagai ibadat lain ­seperti membaca al-Quran, banyakkan bersedekah, solat tahajud, solat taubat dan solat sunat lain serta berzikir memuji Allah dan memohon keampunan Ilahi.

Adapun doa yang sangat dianjurkan kita membacanya adalah sebagai mana hadis yang diriwayatkan daripada Aishah r.a.: “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW bagaimana kiranya saya mengetahui malam lai­latulqadar dengan tepat. Apa yang saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa yang berikut yang maksudnya: “Ya Allah ya Tuhanku sesungguhnya engkau sentiasa memaafkan salah silap hamba lagi suka memaafkan, oleh itu maafkanlah salah silapku.”(Riwayat Tirmidzi)

Sepatutnya selepas 20 hari melalui fasa Ramadan, tubuh badan kita sudah mulai serasi dengan pelbagai ibadat. Yang utamanya, membaca al-Quran sementelahan Ramadan adalah bulan diturunkan kitab suci itu. Pada malam­nya pula, tubuh kita sudah biasa dengan solat tarawih dan witir. Maka ia dapat membantu untuk kita bangun malam menunaikan pelbagai solat sunat atau ibadat yang lain.

Jika kita mampu bertahan atau istiqamah dalam beribadat pada 10 malam terakhir insya-Allah kita termasuk dalam golongan orang yang mendapat keampun­an daripada Allah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Barang siapa menghayati lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang (dan pelbagai jenis ibadat lain) sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah, nescaya ia diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. (Riwayat Bukhari)

Lailatulqadar mempunyai kelebihan yang amat besar. Diriwayatkan daripada Mujahid dikatakan sebab turun ayat tersebut (surah al-Qadr) ialah Nabi SAW telah menyebut tentang seorang lelaki daripada Bani Israel yang menggunakan alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum atas perbuatan itu lalu Allah menurunkan ayat tersebut.

Dalam riwayat daripada Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah menyebut empat orang Bani Israel yang beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak menderhakai Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberi­tahu Rasulullah bahawa Allah menurunkan yang lebih baik daripada amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadr dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Nabi SAW dan para sahabat amat gembira.

 

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »

Beri binatang makan amalan terpuji

Posted by epondok di April 12, 2020

Hilmi Isa

Daripada Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seorang wanita di azab kerana seekor kucing yang ia kurung hingga mati kelaparan. Maka dia masuk neraka kerananya. Engkau tidak memberinya makan dan tidak pula engkau beri minum ketika engkau mengurungnya dan tidak pula engkau membiarkannya agar dia makan binatang-binatang tanah.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Di dunia ini, kita berkongsi kehidupan dengan pelbagai makhluk lain. Satu daripada makhluk terbesar selain manusia adalah binatang.

Kita dan binatang saling memerlukan dan sesetengah jenis binatang menjadi hidangan kita. Tidak semua aspek kehidupan kita sama dengan binatang, tetapi banyak aspek zahiriah kita ada persamaan dengannya.

Berdasarkan hadis itu, jelas ada wanita diazab di neraka kerana tidak memiliki sikap belas ihsan terhadap seekor kucing.

Sisa makanan kita setiap hari adalah hidangan yang lazat bagi mereka. Apa salahnya kita beri mereka berbanding mencampaknya terus dalam tong sampah?

Malah, keadaan seekor kucing yang sarat bunting juga lemah dan lelah sama seperti wanita mengandung yang tidak bermaya untuk berdiri dan berjalan.

Alangkah baiknya jika kita mempunyai sebahagian peruntukan untuk membeli makanan buat kucing jalanan (stray cats). Ia binatang yang tidak dipandang kerana ramai hanya ingin memelihara kucing berbulu kembang atau baka import.

Beri harapan dan kehidupan untuk binatang kerana akan membuatkan kita bahagia. Kecintaan kepada binatang akan membentuk sikap dan jiwa penyayang.

Anak kecil yang diasuh mencintai binatang akan membesar dengan sikap prihatin dan sentiasa mengambil berat. Apabila ternampak kucing kurus kering di tepi jalan, hati mereka terdetik untuk memberi makanan.

Sifat prihatin itu bukan saja ‘tumpah’ terhadap binatang, bahkan kepada manusia juga. Perhatikan bagaimana masyarakat negara maju memberi layanan terhadap binatang.

Mereka sangat prihatin terhadap kebajikan binatang sehingga pesalah yang menzalimi binatang akan dikenakan hukuman berat.

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ketika ada seorang lelaki sedang berjalan di suatu jalan ia merasa sangat haus. Lalu ia menemukan sebuah sumur kemudian dia turun ke dalamnya lalu ia minum dan kemudian keluar. Tiba-tiba ada seekor anjing yang menjulurkan lidahnya. Akibat kehausan ia terpaksa makan tanah lembap.

Orang itu lalu berkata, “Anjing ini kehausan seperti yang aku alami.” Lalu ia turun ke sumur itu kemudian mengisi sepatunya dengan air dan memegangnya dengan mulut lalu memberi minum anjing itu. Maka, Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuninya.”

Sahabat kemudian bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah terhadap haiwan-haiwan ada pahala bagi kami?” Baginda bersabda, “Pada setiap makhluk hidup mendapat pahala.” (Hadis Riwayat Muslim)

Jelas, amalan menjaga, merawat atau memberi makanan serta minuman kepada binatang terbiar adalah amalan yang sangat terpuji dan mulia di sisi agama.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Abai kebersihan undang penyakit

Posted by epondok di April 10, 2020

Oleh Rizal Azman Rifin

NILAI kebersihan adalah antara elemen yang diutamakan dalam Islam. Malah, Islam meletakkan nilai kebersihan sebagai tonggak dalam menentukan sah dan tidak amal ibadah yang dilakukan. Misalnya dalam solat yang berwuduk menjadi penentu kepada titik mula kepada solat. Tanpa wuduk yang sempurna menyebabkan solat kita tidak sah dan diterima Allah.

Dalam sebuah hadis sahih dibawa oleh Abu Malik al-Asy’ari beliau memberitahu bahawa Rasulullah SAW bersabda, ‘Kebersihan adalah sebahagian daripada iman.’ (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Begitu juga dengan hadis berikut ini sebagaimana dikhabarkan oleh Sa’d bin Abu Waqqash yang hadis ini diperolehnya daripada ayahnya sendiri. Kata Sa’d, bahawa Rasulullah bersabda, ‘Sesungguhnya Allah adalah baik yang menyukai kebaikan, bersih yang menyukai kebersihan, mulia yang menyukai kemuliaan, dermawan yang menyukai kedermawanan. Maka bersihkanlah halaman rumah kamu.’ (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Jadi, usaha kerajaan menerusi pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang satu demi satu program atau kempen memelihara dan menjaga kebersihan alam sekitar adalah pendekatan yang seharusnya seluruh rakyat, apatah lagi kita yang Islam ini sama-sama menjadi sebahagian daripada penyokong dan penggerak kepada usaha memelihara kebersihan sama ada di laman rumah sendiri atau di persekitaran kampung.

Statistik terkini yang dikeluarkan KKM memaparkan 2,404 kes denggi berlaku sepanjang lima hari awal tahun ini iaitu dari 3 hingga 7 Januari lalu. Manakala kes yang membabitkan kematian yang berpunca daripada demam denggi pula dicatat 336 kes bagi tempoh 3 Januari tahun lalu hingga 7 Januari lalu.

Laporan terkini yang disahkan sendiri oleh KKM itu sewajar membuka mata dan hati kita supaya tidak mengabaikan aspek menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal kita. Seharusnya program secara berjemaah dalam sesebuah komuniti seperti gotong- royong membersihakan halaman kampung dan sekitaran komuniti perbandaran diadakan dengan lebih giat dan setiap warganya tidak mengecualikan diri.

Lebih penting lagi ialah aspek memelihara kebersihan itu dimulakan dalam rumah sendiri. Jadi, di sini perlu ibu bapa mendidik anak-anak dalam memastikan nilai kebersihan sentiasa terpupuk utuh. Budayakan kehidupan rumah tangga yang utamakan kebersihan baik dari segi kebersihan fizikal tubuh badan, mahupun kebersihan persekitaran laman kediaman.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kebanyakan orang utamakan rezeki berbanding ibadah

Posted by epondok di April 9, 2020

FOUZIAH AMIR

 

MESKIPUN ramai yang meyakini rezeki itu diberikan oleh ALLAH SWT, namun persoalan tentang perkara itu seringkali berlegar-legar dalam ruang fikiran kita.

Demikian antara pengisian penting pada program Motivasi Infaq Legacy Circle (ILC) yang berpandukan Surah al-Baqarah ayat 260 dan 261 di Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Ujar Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, Fazrul Ismail, ayat 260 surah tersebut menjadi motivasi untuk kita memfokuskan iman. Kalam ALLAH tersebut mengisahkan tentang Nabi Ibrahim, burung dan keimanan.

Bertadabbur ayat 260 dan 261 surah berkenaan, tambah beliau, hidup dan mati sebenarnya adalah isu besar. Hanya ALLAH SWT yang boleh menghidupkan yang mati dan mematikan yang hidup.

“Nabi Ibrahim AS bertanya soalan beraras tinggi kepada ALLAH SWT tentang kehidupan dan kematian. Ia berkaitan dengan iman.

“Lain pula halnya dengan kita pada hari ini yang seringkali bertanyakan perihal rezeki, tetapi jarang bertanya bagaimana kita mati. Begitu juga dengan rezeki tidak cukup sehingga menjadi kekangan untuk membantu orang lain. Ternyata bab rezeki ini adalah amat penting bagi hamba ALLAH,” katanya.

ALLAH SWT berfirman: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-KU. AKU tidak mengkehendaki rezeki sedikit pun daripada mereka dan AKU tidak mengkehendaki agar mereka memberi makan kepada-KU. Sesungguhnya ALLAH SWT, DIALAH pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh.” (Surah al-Dzariyat, ayat 56 – 58)

Berdasarkan ayat al-Quran itu, jelas Fazrul, sewajarnya kita mesti mengutamakan ibadah. ALLAH yang memberi dan menyusun rezeki kita. Namun, kebanyakan orang memegang falsafah terbalik apabila mengutamakan rezeki berbanding ibadah.

“ALLAH SWT MAHA BERKUASA dan MAHA BIJAKSANA dalam menyusun kehidupan dan kematian hamba-NYA. Oleh sebab itu, kita perlu berusaha mentaati ALLAH SWT, kemudian perhatikan hasilnya. Ini kerana, urusan rezeki adalah milik ALLAH. Jika kita dapat memahami keutamaan hidup ini iaitu beribadah kepada ALLAH, maka banyak persoalan rezeki boleh ditangani dengan mudah dengan izin ALLAH SWT.

“Formula meraih rezeki adalah infak ke jalan ALLAH. Begitupun, infak mencabar keimanan kita. Kebanyakan orang suka menerima daripada memberi. Jika mengikut kaedah berpandukan al-Quran, ALLAH akan memberi ganjaran sehingga 700 kali ganda,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »