Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 20 Mac 2020

Cegah kemudaratan diri, orang lain dituntut syarak

Posted by epondok di Mac 20, 2020

ISLAM melarang perbuatan berbahaya dan memberikan kemudaratan kepada orang lain di persekitarannya, sama ada keluarga, masyarakat mahupun rakyat di negaranya tanpa mengira perbezaan agama.

Justeru, ulama usul fiqh merumuskan kaedah penting yang dikenali sebagai qawa’id fiqhiyah, iaitu ‘la darar wala dirar’ yang menekankan keperluan untuk menghilang dan menghapuskan semua kemudaratan yang diperakui syarak.

Berdasarkan kaedah itu juga, orang Islam tidak dibenarkan melakukan sesuatu tindakan yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri, bahkan mencetuskan kemudaratan kepada orang lain.

Kaedah berkenaan dirumuskan berdasarkan perintah daripada Allah SWT seperti firman-Nya: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya.” (Al-A’raf: 56)

Larangan itu turut disebut dalam hadis yang diriwayatkan Sa’ad Ibnu Sinan al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidak boleh melakukan perbuatan yang mudarat dan dan tidak boleh memudaratkan orang lain. (HR Ibnu Majah)

Kaedah berkenaan juga menerbitkan satu kaedah cabang, iaitu menolak kerosakan adalah lebih utama berbanding mendatangkan maslahah atau kebaikan.

Sekiranya kita memahami kaedah cabang itu, maka ia akan menjawab persoalan mengapa pesakit positif COVID-19 atau orang yang dinasihatkan melakukan kuarantin, tidak dibenarkan ke tempat lain termasuk masjid atau surau.

Masjid at-Taqwa di Taman Merpati, Sandakan menjalani pembasmian kuman oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Ahad lalu. - Foto BERNAMA/Arjasneh Ahmad
Masjid at-Taqwa di Taman Merpati, Sandakan menjalani pembasmian kuman oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Ahad lalu. – Foto BERNAMA/Arjasneh Ahmad

Mereka perlu mengambil kira kemudaratan penularan penyakit hingga terpaksa melepaskan keutamaan menunaikan solat berjemaah di masjid.

Malah, tindakannya pergi ke masjid sehingga menyebabkan jemaah lain berdepan dengan risiko jangkitan penyakit berkenaan, menyebabkan orang itu melakukan sesuatu dilarang dalam agama.

Hal yang sama juga terpakai dalam konteks larangan yang lebih besar seperti sekatan terhadap ibadat umrah ataupun penutupan masjid yang dilakukan di banyak negara berdasarkan situasi setempat dan pandangan pakar.

Begitu juga dengan keputusan kerajaan yang menetapkan penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk solat Jumaat.

Ia selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang bersidang, kelmarin.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »