Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Solat jemaah ketika wabak

Posted by epondok di Mac 18, 2020


Mohd Shahrizal Nasir

MASYARAKAT perlu mengambil langkah menjaga kesihatan diri masing-masing dan orang sekeliling. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa menyalurkan maklumat situasi terkini jangkitan penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) di Malaysia.

Lebih-lebih lagi pada musim cuti sekolah sekarang, ibu bapa perlu memastikan langkah keselamatan perlu diambil perhatian serius terutama dalam merancang cuti keluarga.

Usaha pencegahan wabak Covid-19 juga membabitkan urusan ibadah. Misalnya, pada Jumaat lalu beberapa kenyataan membabitkan pelaksanaan solat Jumaat diberi sebagai panduan kepada umat Islam dalam menghadapi ancaman wabak.

Ini kerana solat Jumaat melibatkan perkumpulan orang dalam jumlah yang besar dalam sesebuah masjid yang mengambil tempoh masa tertentu kerana adanya penyampaian khutbah dan juga pelaksanaan solat.

Rentetan daripada itu, timbul pula persoalan berkaitan pelaksanaan solat fardu secara berjemaah di masjid, surau dan tempat awam.

Berkenaan perkara ini, paling utama untuk diberi perhatian adalah keperluan merujuk pengumuman pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Pengumuman KKM dilihat sebagai sumber paling penting dirujuk sebelum isu berkaitan pelaksanaan ibadah umat Islam diputuskan. Setakat hari ini, status penularan wabak Covid-19 di Malaysia masih terkawal.

Berdasarkan kenyataan akhbar KKM pada 12 Mac 2020, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 158 kes dengan 32 kes pulih sepenuhnya dan sudah discaj dari wad.

Situasi semasa ini memberi petunjuk belum ada keperluan penggantungan solat fardu secara berjemaah di masjid dan surau. Hal ini sekali lagi perlu bergantung kepada pengumuman KKM dari semasa ke semasa.

Penentuan ini berdasarkan kaedah fiqah menyatakan bahawa:  “Tindakan seorang ketua (pemerintah) ke atas rakyat, berdasarkan kepada kemaslahatan.”

Bagaimanapun, langkah memastikan diri tidak terbabit dengan jangkitan Covid-19 perlu diambil serius oleh umat Islam yang ingin menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid atau surau.

Antara yang boleh diambil perhatian ialah keberadaan di masjid atau surau termasuk dalam kategori tempat awam tidak perlu untuk tempoh terlalu panjang tanpa sebarang pelaksanaan ibadah.

Selain itu, umat Islam perlu kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer ketika pergi dan pulang dari masjid atau surau.

Amalan bersalam-salaman selepas solat fardu secara berjemaah juga boleh ditangguhkan untuk sementara waktu.

Sabda Rasulullah SAW mengenai solat berjemaah bermaksud: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.” (Hadis riwayat Muslim.)

Kelebihan amalan ini perlu difahami dengan betul dan sekiranya diri mempunyai gejala wabak Covid-19 atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif maka lebih utama mengelak pergi ke tempat awam termasuk masjid dan surau.

Meskipun tujuan ke masjid dan surau adalah untuk menunaikan solat berjemaah, namun jika keadaan diri tidak mengizinkan, maka lebih utama untuk solat di rumah. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Orang yang sakit janganlah mendatangi orang yang sihat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Bagi mereka yang terlibat dengan wabak COVID-19 atau yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit wabak ini, peluang utnuk menunaikan solat fardu secara berjemaah masih ada. Pelaksanaan solat fardu berjemaah di rumah masing-masing membuatkan mereka tidak terlepas daripada mendapat ganjaran yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Malah sebenarnya keadaan tidak sihat yang dialami oleh pesakit atau orang yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit boleh difahami sebagai satu bentuk keuzuran untuk mereka. Kewajipan mereka adalah untuk memastikan wabak COVID-19 tidak terus menular kepada orang lain.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: