Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Amal akhlak Nabi s.a.w tawan hati manusia

Posted by epondok di Februari 9, 2020


MEMANG bukan mudah mencontohi dan mengikut akhlak Nabi Muhammad SAW, namun kita perlu mempraktikkan sifat dan sikap terpuji Baginda mengikut keupayaan masing-masing.

Apatah lagi kehidupan dipenuhi pelbagai ragam dan budaya, akhlak mulia Rasulullah SAW sekiranya diamalkan akan disenangi dan memberi manfaat kepada semua makhluk termasuk haiwan.

Akhlak mulia Rasulullah SAW itu boleh disaksikan bukan sahaja dalam konteks rumah dan masyarakat, bahkan atas kedudukan Baginda sebagai pemimpin.

Mudir Am Mujamma’ Darul Hadis, Kedah, Sheikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli, berkata akhlak terpuji mampu menawan hati semua orang termasuk ketika marah, malah teladan Baginda dapat meredakan kemarahan dan ketegangan dilalui.

Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak. (HR Baihaqi)

Hakikatnya, semua Nabi dan Rasul diutuskan untuk memperelokkan akhlak manusia, sekali gus menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai kesinambungan rantaian perjuangan mereka dengan Baginda sebagai utusan terakhir menyempurnakan akhlak mulia terbabit.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya kamu Nabi Muhammad SAW berada di atas akhlak yang mulia.” (Al-Qalam: 4)

Muhd Zainul Asri yang memetik pandangan ulama tasawuf, Imam Junaid al-Baghdadi berkata, ketinggian dan kemuliaan akhlak Rasulullah SAW menyaksikan hanya Allah SWT ada dalam hati Baginda, sekali gus menunjukkan seseorang yang hatinya mengingati pencipta, pasti memiliki akhlak paling tinggi.

Saad Ibnu Hisyam RA meriwayatkan beliau pernah bertanya Sayidatina Aisyah RA mengenai akhlak Rasulullah SAW. Ummul Mukminin itu menjawab: “Akhlaknya ialah al-Quran.” (HR Ahmad)

Malah tiada siapa mampu menandingi takwa Nabi SAW kepada Allah SWT hingga tiga sahabat RA bertanya kepada Aishah mengenai Baginda. Mendengarkan jawapan itu, lelaki pertama mahu berpuasa sepanjang hari dan tidak akan makan, manakala lelaki kedua mahu sentiasa solat malam tanpa tidur dan lelaki ketiga tidak mahu berkahwin buat selama-lamanya, sebaliknya akan beribadah setiap hari.

Selepas Rasulullah SAW mengetahui azam itu, Baginda menegur mereka dengan berhemah: “Aku juga tidur dan aku juga bangun, aku juga berbuka dan aku juga berkahwin.”

Justeru, Muslim perlu merangkumkan takwa dan takut seperti dijelaskan Sayidina Ali KWH bahawa takwa seperti orang berjalan di atas jalan yang penuh duri, iaitu berhati-hati, sabar, teliti, amanah dan jujur, sekali gus merangkumi semua sifat Nabi SAW.

Antara akhlak Nabi SAW yang wajar diikuti ialah pemaaf. Firman Allah SWT: “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan makruf serta pedulikan orang bodoh.” (Al- A’raf: 199)

Puncak sifat pemaaf Nabi SAW antara lain boleh dilihat bagaimana Baginda memaafkan Wahsyi yang baru memeluk Islam sedangkan ketika Musyrik sebelumnya, beliau membunuh bapa saudara Baginda, Sayidina Hamzah RA di medan perang.

Ketinggian akhlak juga perlu diterjemahkan di rumah seperti teladan daripada Rasulullah SAW yang membantu dalam membuat kerja rumah dan tidak suka menyusahkan isteri seperti menjahit baju dan membaiki kasut sendiri.

“Cuba kita ambil positif seperti ketika menemani isteri membeli belah, suami wajar membantu pasangannya dalam memilih barang atau memenuhi permintaannya berdasarkan kemampuan.

“Jika enggan, memadai duduk di dalam kereta sambil mengaji atau berzikir, pulang dahulu ke rumah atau menunggu di masjid untuk solat sunat. Namun, janganlah merungut atau mengungkit sekiranya diminta menemani mereka,” katanya ketika mengupas Kitab Hadis 40 Akhlak Rasulullah karya al-Muhaddis al-Musnid Sheikh Toriq Muhammad Sardar (Muhaddis Madinah) di Surau Haji Hasan Kampung Serkam, Melaka.

Begitu juga akhlak Nabi SAW yang bersifat penyayang dan lemah-lembut dengan kanak-kanak hingga Baginda Rasulullah tidak akan melepaskan tangan kanak-kanak ketika bertemu selagi mereka tidak berbuat demikian yang sebenarnya sunnah yang sama dengan sahabat yang lebih berusia.

Malah, Rasulullah SAW sangat menjaga peribadi orang lain seperti diceritakan Aishah: “Ketika diceritakan kepada Nabi SAW mengenai seseorang lelaki, Baginda tidak menyebut apa dikatakan si fulan, sebaliknya menggunakan ungkapan apa dikatakan kaum terbabit.”

Dalam konteks kepimpinan, keadilan mencari antara ciri penting akhlak Rasulullah SAW walaupun terhadap diri sendiri.

Abu Sa’id al-Khudri RA meriwayatkan ketika Nabi SAW membahagikan harta zakat dan ghanimah, seorang lelaki datang menyerbu hingga Baginda menghalangnya dengan kayu yang ada bersamanya secara tidak sengaja, lalu melukai muka lelaki itu.

Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Datanglah kepadaku dan balaslah semula.” Lelaki itu menjawab: “Bahkan aku memaafkan tuan wahai Rasulullah.”

Selain itu, Nabi SAW juga tidak suka menolak permintaan seseorang hingga Anas Ibnu Malik RA berkata: “Sesungguhnya Nabi tidaklah diminta sesuatu oleh seseorang, melainkan pastinya Baginda akan memberikannya.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: