Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 8 Februari 2020

Muslim rabbani penyebar kedamaian

Posted by epondok di Februari 8, 2020

TASAWUR pendidikan rabbani ialah model pendidikan sofistikated dan holistik dalam usaha melahirkan pelajar Islam berkeperibadian tinggi menerusi penekanan terhadap aspek tauhidik.

Pensyarah Kanan, Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), Dr Muhamad Alihanafiah Norasid, berkata model itu meneguhkan nilai takwa dalam kalangan pelajar yang menjadi asas kepada pembangunan modal insan.

Katanya, Muslim rabbani yang berjaya dibentuk mampu menyebarkan kedamaian dan menghargai kewujudan bersama dalam masyarakat majmuk.

“Model itu distruktur mengikut terminologi kalimah ‘rabbani’ dalam al-Quran yang menuntut pembangunan modal insan menerusi tiga komponen terpenting, iaitu keilmuan, kerohanian, dakwah dan pengurusan.

“Penerapan model pendidikan terhadap Muslim berupaya melahirkan individu yang mampu mengimbangi prinsip dan pendekatan dakwah dalam masyarakat majmuk,” katanya ketika membentangkan Tasawur Pendidikan Rabbani di Malaysia pada Persidangan Antarabangsa Ke-9 Al-Quran di UM, Kuala Lumpur.

Alihanafiah berkata, elemen ketegasan membabitkan asas Islam, perlu diadaptasi dalam dakwah dengan penampilan yang menjulang maruah Islam.

Pembangunan Muslim rabbani katanya, ada dalam firman Allah SWT: “Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah.” Tetapi (sepatutnya ia berkata) : “Hendaklah kamu menjadi orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu dan kerana kamu selalu mempelajarinya.” (Ali Imran: 79)

Masyarakat berbilang kaum di negara ini, bukanlah menjadi alasan model berkenaan tidak boleh diterjemahkan, sebaliknya Alihanafiah berkata, ia mampu direalisasikan menerusi sokongan daripada semua pihak khususnya Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia.

Ia boleh diperkasakan menerusi sistem latihan dan siri penerangan dalam memberikan kefahaman kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Model ini bukan bertujuan mendiskriminasi bukan Islam, sebaliknya jika ia dilaksanakan, golongan bukan Islam turut mendapat manfaat, keamanan dan kesejahteraan selaras dengan gagasan Rahmatan lil ‘Alamin

Mengenai cabaran dalam merealisasikannya, Alihanafiah yang juga Pengerusi Syubban (Pemuda) Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berkata, gambaran Islam yang tidak tepat dan sentimen Islamophobia dalam kalangan masyarakat majmuk antara cabaran perlu dihadapi.

“Kewujudan ‘tangan ghaib’ seperti netizen menggunakan akaun palsu yang cuba memburukkan agamawan dan institusinya, sedikit sebanyak menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi agama lalu mengundang salah faham masyarakat terhadap syariat Islam itu sendiri,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »