Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Februari 2020

Zikir penenang jiwa

Posted by epondok di Februari 29, 2020

Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin

DI Malaysia, isu kesihatan mental agak membimbangkan.

Kajian Kementerian Kesihatan tahun 2015 mendapati secara amnya masalah mental bakal menjadi masalah kesihatan kedua terbesar di Malaysia selepas masalah jantung menjelang 2020.

Kajian itu juga menunjukkan, kira-kira 4.2 juta rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas berhadapan dengan penyakit mental.

Ini bermakna, daripada tiga orang yang kita temui, seorang daripadanya berkemungkinan mempunyai masalah mental.

Menurut pakar, kesihatan mental meliputi elemen emosi, akal dan tingkah laku.

Ia merangkumi kesihatan biologi, psikologi, sosial dan spiritual.

Selain pengaruh genetik dan personaliti, kesihatan mental turut dipengaruhi faktor lain seperti pengambilan dadah, arak, tekanan hidup serta persekitaran keluarga, tempat kerja dan rakan.

Antara masalah mental kerap berlaku dalam masyarakat ialah kemurungan, keresahan dan kecelaruan.

Kemuncak kepada masalah ini ialah dorongan membunuh diri.

Masalah ini bukan saja membabitkan golongan dewasa dan juga kanak-kanak.

Menurut WHO, dianggarkan 20 peratus kanak-kanak di seluruh dunia mengalami masalah kesihatan mental yang kebanyakannya tidak berjaya dikesan pada peringkat awal serta tidak menerima rawatan.

Ini membawa kepada kerugian yang besar kepada individu, masyarakat dan negara.

Penulis berasakan bahawa semua masyarakat harus memainkan peranan mewujudkan kesejahteraan mental dalam diri dan keluarga masing-masing.

Islam mementingkan ketenangan jiwa. Tiada cara terbaik untuk mendapatkannya, melainkan mengajar diri sendiri dan anak sentiasa berzikir mengingati Allah SWT dengan cara yang betul.

Dirikanlah solat, berzikir selepasnya dan jangan tinggalkan bacaan al-Quran serta wirid harian.

Firman Allah SWT bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” Surah al-Ra’d (ayat 28)

Marilah kita sentiasa berpesan, sesungguhnya dunia ini bukan matlamat akhir kita.

Kejayaan dunia tidak bermakna sekiranya kita mengabaikan akhirat. Mengejar dunia akan melahirkan manusia yang mementingkan kesempurnaan tanpa nilai.

Ajarlah anak dan rakan taulan supaya sentiasa bermunajat dan mengadu kepada Allah SWT semasa senang dan susah dan sama sekali tidak alpa dan kecewa dengan rahmat-Nya yang luas.

Firman Allah SWT dalam surah al-Zumar ayat 53 bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia-lah juga Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Penulis ingin mengajak pembaca mewujudkan persekitaran sejahtera, baik dalam rumah, kejiranan, sekolah, universiti dan tempat kerja.

Pelajar perlu dibimbing agar bijak mengurus tekanan dalam proses pembelajaran.

Elakkan tekanan dalam jiwa mereka seperti mengharapkan keputusan akademik yang cemerlang semata-mata, sedangkan banyak lagi potensi diri yang boleh dikembangkan.

Di pejabat, persekitaran tempat kerja perlu perhatian sewajarnya. Majikan dan pekerja perlu mengelakkan ketegangan dan kebencian.

Amalkan budaya saling menghormati, menyantuni dan memaafkan. Buanglah sifat panas baran dan suka mengarah tanpa belas ihsan.

Sekiranya kita mendapati ada rakan yang menunjukkan tanda kemurungan seperti berubah sikap, menyendiri, perubahan tabiat pemakanan dan penampilan. Santunilah mereka, ajaklah mereka mengingati Allah SWT dan sekiranya perlu, rujuklah kepada pakar kesihatan mental yang sedia membantu.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kunci kekuatan ummah

Posted by epondok di Februari 28, 2020

Dr Azlan Saiful Baharum

Al-Ukhuwah Al-Islamiyyah adalah satu konsep dalam Islam yang menyatakan bahawa setiap Muslim dengan Muslim lain adalah bersaudara.

Banyak ayat Al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW menjadi asas kepada konsep ini. Bahkan kerap kali kita mendengar kaitan di antara perkataan ‘ukhuwah’ dan ‘iman’ atau ‘Islam’.

Hal ini menunjukkan bahawa ukhuwah salah satu parameter utama keimanan dan keislaman seseorang. Ukhuwah salah satu daripada tiga unsur kekuatan yang menjadi ciri-ciri masyarakat Islam di zaman Rasulullah SAW iaitu pertama, kekuatan iman dan aqidah.

Kedua, kekuatan ukhuwah dan ikatan hati. Ketiga, kekuatan kepemimpinan dan senjata. Dengan tiga kekuatan ini, Rasulullah SAW membangunkan masyarakat ideal, memperluas Islam, mengangkat tinggi bendera tauhid dan meningkatkan bilangan umat Islam di muka bumi ini begitu pesat dan tempohnya kurang daripada setengah abad.

Catatan sejarah menceritakan kepada kita bahawa kaum Ansar sangat gembira menerima tetamu kaum Muhajirin hingga mereka berlumba-lumba menerima setiap sahabat Muhajirin yang sampai di Yathrib ketika itu (Madinah).

Mungkin kita berasa kagum dengan sikap unik sahabat Ansar ini yang kita sudah tentu tidak mampu dilakukan seperti mereka. Apakah yang mendorong mereka bersikap begitu?

Al-Quran sudah menjawab dengan menjelaskan rahsia yang mendorong sahabat golongan Ansar melakukan sesuatu yang luar biasa walaupun keadaan mereka yang sangat fakir dan sangat memerlukan bantuan.

Allah SWT berfirman memuji mereka: “Dan orang (Ansar) yang menetap di kota Madinah dan (beriman) sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) mencintai orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin) dan mereka mengutamakan (Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan.” Surah Al-Hasyr, ayat 9

Ukhuwah, cinta dan mengutamakan orang lain adalah syarat kebangkitan dan kemenangan, itulah strategi pertama dilakukan Rasulullah SAW dengan mempersaudarakan sahabat Ansar dan Muhajirin serta membangunkan masjid tempat membina persaudaraan dan kesatuan kaum Muslimin.

Ukhuwah tidak boleh dibeli dengan apa pun. Tapi ia diperoleh daripada penyatuan antara ikatan hati dan hati serta ciri istimewa daripada seorang Mukmin yang soleh.

Rasulullah SAW bersabda: “Mukmin satu sama lainnya bagaikan bangunan yang sebahagiannya mengukuhkan bahagian lainnya.” Hadis Riwayat Bukhari

Orang yang terikat dengan ukhuwah Islamiyah memiliki banyak keutamaan, antaranya, mereka merasakan kelazatan dan kemanisan iman. Sedangkan orang lain tidak merasakannya.

Rasulullah SAW bersabda: “Ada tiga golongan yang dapat berasakan manisnya iman: orang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih dari mencintai dirinya sendiri, mencintai seseorang kerana Allah dan ia benci kembali pada kekufuran sebagaimana ia benci jika ia dicampakkan ke dalam api neraka.” Hadis Riwayat Bukhari

Keduanya, mereka berada dalam naungan cinta Allah, di akhirat Allah SWT berfirman: “Di mana orang yang saling mencintai kerana-Ku, maka hari ini aku akan menaungi mereka dengan naungan yang tidak ada naungan kecuali naunganku.” Hadis Riwayat Muslim

Ketiganya, mereka adalah ahli syurga di akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda “Barangsiapa mengunjungi orang sakit atau mengunjungi saudaranya kerana Allah, maka malaikat berseru, ‘Berbahagialah kamu, berbahagialah dengan perjalananmu, dan kamu telah mendapatkan salah satu tempat di syurga.”’ Hadis Riwayat At-Tirmidzi

Seterusnya, bersaudara kerana Allah adalah amalan mulia dan mendekatkan diri kepada Allah. Rasulullah SAW pernah ditanya tentang darjat iman yang paling tinggi, baginda bersabda: “…Hendaklah kamu mencintai dan membenci kerana Allah…” Kemudian Rasul ditanya lagi, “Selain itu apa wahai Rasulullah?” Rasul menjawab, “Hendaklah kamu mencintai orang lain sebagaimana kamu mencintai dirimu sendiri dan hendaklah kamu membenci bagi orang lain sebagaimana kamu membenci bagi dirimu sendiri.” Hadis Riwayat Imam Al-Munziris

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Seruan Jom Hadir ke Ijtimak Pondok Malaysia 7 Mac 2020 ini

Posted by epondok di Februari 28, 2020

Posted in Video Kenangan | Leave a Comment »

3 cara taubat diterima

Posted by epondok di Februari 27, 2020

Hasan Jali

MENGAPA kita memilih jalan untuk bertaubat? Kerana ia jalan ke syurga.

Sebab jalan ke neraka itu adalah dosa. Taubat secara sederhana melepaskan diri daripada dosa yang pernah dilakukan.

Taubat ertinya menyesal seperti menyakiti teman kita, lalu kita menyesal atas perbuatan itu. Itu termasuk taubat.

Kerana itu orang yang dianggap bertaubat adalah bila mana dia menyesal dan tidak mengulangi perbuatannya.

Hadis Nabi SAW menyatakan: “Penyesalan itu adalah taubat.” Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hiban. Namun tentu saja tidak cukup dengan menyesal, kita juga mesti berazam tidak mengulangi kesalahan itu.

Bagaimanakah agar taubat kita diterima Allah SWT?

Seperti kita menanam padi, bagaimana ia boleh menghasilkan beras yang baik, dapat dijual dan dimakan? Atau bagaimana kita pandai atau kaya?

Jawapannya mesti ada cara atau syarat dan langkah sesuai dengan tujuan yang kita maksud.

Taubat pun sedemikian supaya ia boleh diterima, ada langkah yang perlu dilakukan.

Menurut Imam al-Nawawi, seorang ulama ahli hadis dan fiqh dalam kitab Riyadhus Salihin, ada tiga cara taubat kita diterima Allah SWT.

Pertama, hendaklah kita menjauhi dosa atau maksiat dilakukan. Kedua, menyesal atas dosa yang kita lakukan. Ketiga, berazam tidak mengulangi lagi kesalahan yang dilakukan.

Jika itu berupa tuduhan, maka kita perlu memberinya kesempatan melakukannya atau meminta maaf kepadanya.

Jika berupa ‘ghibah’ iaitu menceritakan keburukan orang lain, maka kita harus meminta maaf.

Contoh dosa kemanusiaan ialah seperti bila kita mencuri kasut orang, maka caranya selain bertaubat dengan tiga syarat berkenaan, kita juga mesti memulangkan kasut terbabit.

Jika kita tidak melakukan itu, maka seperti ingatan Rasulullah SAW bermaksud: “Orang yang meninggal, tapi masih punya tanggungan berupa hutang kepada orang lain, maka arwahnya akan menggantung di antara langit dan bumi sebelum dia membayarnya.” Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abu Sa’id dari Sa’ad bin Malik bin Sinan al-Khudri, diceritakan kisah taubat seorang yang membunuh 100 orang.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Dulu sebelum kalian, ada seseorang lelaki membunuh 99 orang, kemudian ia mencari seorang yang paling alim di muka bumi ini, maka ia ditunjukkan kepada seorang pendeta (rahib). Maka ia pun datang kepadanya dan mengatakan bahawa ia sudah membunuh 99 orang, apakah ia masih boleh diterima taubatnya? Jawab pendeta: “Tidak.”

Maka dia membunuh pendeta itu sehingga sempurnalah ia membunuh 100 orang. Kemudian ia mencari lagi seorang paling alim di muka bumi ini, maka ia ditunjukkan kepada seorang alim dan berkata bahawa ia membunuh 100 orang, apakah masih bisa diterima taubatnya?

Jawab orang alim itu: “Ya, siapakah yang dapat menghalangi taubat seseorang. Berangkatlah ke sebuah desa di sana. Sesungguhnya di desa itu penduduknya menyembah kepada Allah. Sembahlah kepada Allah bersama mereka dan jangan kembali ke kampungmu. Sesungguhnya kampungmu itu tempat yang buruk.”

Maka berangkatlah orang itu. Ketika sampai di tengah perjalanan, dia mati. Maka berselisih Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab. Malaikat Rahmat berkata: “Ia datang bertaubat kepada Allah dengan hati ikhlas.” Kata Malaikat Azab: “Ia belum pernah berbuat kebajikan sedikitpun.”

Akhirnya datanglah malaikat lain dengan bentuk manusia, lalu mereka menjadikannya sebagai hakim. Kata hakim: “Ukurlah antara dua tempat, manakah yang lebih dekat bererti itu untuknya.” Maka mereka mengukurnya, ternyata lebih dekat kepada tempat yang ia tuju, maka dia diterima oleh Malaikat Rahmat.” Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Begitu besar ampunan Allah SWT, bahkan untuk seseorang yang membunuh 100 orang sekalipun.

Jadi, siapakah yang dapat menghalangi taubat seseorang? Jawabnya, tidak seorang pun. Kerana Allah SWT Maha Pemurah dan Maha Pengampun, sehingga Dia tidak akan menutup pintu keampunan-Nya, seorang hamba mengalirkan air mata dan memohon belas kasih Rabb-Nya.

Dalam satu hadis lain dikatakan: “Sesungguhnya Allah menerima taubat hamba-Nya selama nyawanya masih belum sampai ke kerongkong,” Hadis Riwayat Ahmad

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ijtimak Pondok Malaysia 7 Mac 2020 ini di Pondok Pasir Tumboh

Posted by epondok di Februari 26, 2020

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Pilihan di tangan kita

Posted by epondok di Februari 21, 2020

Fatimah Syarha Mohd Noordin

Allah SWT membuat perbandingan yang berbekas di hati berkaitan air dan buih. Demikian juga berkaitan logam dan sisanya yang seumpama buih.

Manakah antara kedua-duanya akan diguna pakai?

Sudah tentu yang memberi manfaat. Begitulah dalam hidup ini. Hanya yang bermanfaat bagi manusia akan kekal manakala yang tiada manfaat akan lenyap.

Firman Allah SWT yang bermaksud:  “Allah menurunkan air (hujan) dari langit, maka mengalirlah air di lembah-lembah menurut ukurannya, maka arus itu membawa buih yang mengambang. Dan daripada apa (logam) yang mereka lebur dalam api untuk membuat perhiasan atau alat-alat, ada (pula) buihnya seperti buih arus itu. Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang bathil. Adapun buih itu akan hilang sebagai sesuatu yang tak ada harganya, adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan.” (Surah al-Ra’d, ayat 17)

Dalam hidup ini, terdapat banyak idea, falsafah dan gaya hidup yang menerjah pemikiran kita setiap hari.

Kita pasti terpanggil untuk mengikuti sebahagian daripadanya.

Bagaimana cara kita memutuskan satu pilihan? Adakah berpandukan selera nafsu atau berlandaskan ilmu?

Adakah kita mempunyai kayu ukur untuk menentukan mana yang baik dan buruk?

Hakikatnya, dalam Surah al-Ra’d, ayat 17  mendidik kita kriteria penting bagi memilih apa yang terbaik.

Bahkan, zaman-berzaman, pilihan demi pilihan sudah wujud sejak lama dahulu dan yang bermanfaat akan terus bertahan.

Sebaliknya, yang buruk akan lenyap ditinggalkan masa dan bersifat sementara.

Ia pasti akan musnah seiring waktu berlalu. Misalnya, terdapat banyak buku yang mencorakkan pemikiran manusia.

Hanya sesetengah buku yang akan diingati dan diperkatakan dalam jangka waktu yang cukup lama terutamanya yang bersifat keagamaan, sosial kemasyarakatan, sejarah dan berunsur pendidikan.

Lihat pula karya klasik karangan cerdik pandai yang tetap dijadikan rujukan meskipun sudah berabad lamanya.

Begitulah tabiat sesuatu yang bermanfaat, jangka hayatnya lama dan terus diingati.

Daripada semua kitab rujukan terbaik yang menjadi pilihan kita selama ini, tidak ada satu pun boleh menandingi kuasa dan pengaruh al-Quran dalam kehidupan.

Ajarannya mengenai tauhid iaitu mengatakan Allah SWT adalah satu konsisten sejak zaman rasul terdahulu.

Bagaikan air yang sentiasa diperlukan. Begitulah setiap zaman, manusia memerlukan, mengagumi dan menyanjungi Kalam Tuhan.

Bagaimana pula sikap kita terhadapnya?

Firman Allah SWT:  “Dia menurunkan Al Kitab (al-Quran) kepadamu dengan sebenarnya, membenarkan kitab yang telah diturunkan sebelumnya dan menurunkan Taurat dan Injil, sebelum (al-Quran), menjadi petunjuk bagi manusia dan Dia menurunkan Al Furqaan…” (Surah Al-Imran, ayat 3-4)

Setiap manusia dilahirkan dan dibesarkan dalam pelbagai perasaan, idea dan pandangan serta prasangka yang mewakili budaya.

Semua itu adalah dasar pembentukan cara berfikir manusia.

Namun, dalam pelbagai gagasan idea yang muncul, terdapat persoalan berkaitan pengetahuan rohani dan ilmu agama yang diwarisi daripada generasi sebelumnya.

Kita semua bertanggungjawab menentukan mana yang bernilai daripada apa yang kita pelajari agar kita memilih air, bukannya buih.

Setelah itu, kita perlu menggunakan kaedah yang betul untuk mengamalkan ilmu itu.

Seni dalam kehidupan apabila kita dapat menemukan kebijaksanaan, hidup dalam kebijaksanaan dan mewujudkan kebijaksanaan dalam kehidupan bersama masyarakat terutamanya orang di sekeliling kita.

Begitulah caranya kita memilih cara hidup seperti aliran air, bukannya buih.

Sekiranya kita mendisiplinkan diri untuk meraih ilmu dunia akhirat, segala usaha akan dibalas dengan kebahagiaan yang berpanjangan.

Berbalik kepada analogi menjadi air atau buih. Analogi itu turut berguna bagi kita saat mencari pekerjaan.

Carilah pekerjaan yang dapat memberikan manfaat buat diri dan masyarakat sekeliling walaupun kita sudah tiada lagi di dunia ini.

Rancanglah pekerjaan yang baik dan sekiranya kita merasakan pekerjaan yang sedang kita lakukan itu tidak memberikan kebaikan buat manusia, niatkanlah untuk mencari pekerjaan yang lebih bermakna.

Renungkanlah doa yang sering dipanjatkan oleh Nabi Muhammad SAW: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat bagi manusia, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” (Riwayat Ahmad)

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Pahala selepas mati

Posted by epondok di Februari 20, 2020

Islam meletakkan golongan yang berada pada jalan ilmu di kedudukan yang amat istimewa.

Sepertimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis itu menjelaskan, ganjaran yang bakal diterima orang yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu.

Kepayahan dirasai ketika menimba ilmu pengetahuan pasti tidak akan dipersiakan kerana Allah SWT menjanjikan kemudahan perjalanan untuk menuju ke syurga.

Mengenang susah payah ketika zaman belajar sudah pasti kejayaan menamatkan pengajian sesuatu yang sangat menggembirakan.

Mereka berhabisan wang untuk menampung pengajian. Bukan semua orang mampu membiayai pengajian sendiri.

Ada yang membuat pinjaman, malah ada ibu bapa terpaksa bergolok-gadai demi memastikan anak mereka mendapat tempat di institusi pengajian tinggi.

Mahasiswa juga terpaksa berjaga malam bagi  menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah.

Mereka menghabiskan masa muda dengan  membaca, mengkaji, menelaah, merujuk dan sebagainya.

Tidak kurang juga ada yang terpaksa melewatkan makan dan minum kerana perlu berkejar ke kelas selain menempuh jadual yang padat.

Semua keletihan itu pasti terubat sebaik sahaja menerima ijazah masing-masing. Namun ingatlah, usaha menuntut ilmu tidak terhenti selepas berakhirnya majlis konvokesyen.

Mungkin ada yang tidak merancang menyambung pengajian hingga ke peringkat seterusnya, tetapi perlu terus menimba ilmu.

Ilmu yang disediakan Allah SWT amat  luas. Tiada seorang manusia yang boleh menguasai keseluruhan ilmu Allah yang maha luas.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Luqman, ayat 27)

Setiap insan perlu menyedari kepentingan mencari ilmu yang bermanfaat. Manusia hanya mengetahui sekelumit kecil daripada sekalian ilmu yang disediakan Allah SWT.

Oleh itu, usah  sesekali membiarkan sifat sombong, bangga diri, kedekut ilmu serta perasan diri  hebat menguasai diri.

Orang yang benar-benar berilmu akan sentiasa merendah diri dan berasa senang berkongsi pengetahuannya dengan orang lain yang memerlukan.

Manusia juga boleh mendapat pahala berterusan meskipun sudah meninggal dunia dengan ilmu bermanfaat yang diajarkan kepada orang lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika seorang manusia meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali daripada tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang berdoa untuknya.” (Hadis riwayat Muslim)20

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Daurah Kitab oleh Syeikh Nuruddin al-Banjari di Masjid Kg Laut, Nilam Puri pada Sabtu ini

Posted by epondok di Februari 19, 2020

🔰 DAURAH KITAB TURATH 6.0🔰
💟 Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari
🌙 Kitab Fath al-Bari Syarh Sahih Bukhari (Kitab al-Iman)

🖊 Dengan segala hormatnya dijemput dan dipersilakan ke Program Daurah Kitab Turath
sepertimana maklumat di bawah:

📆 Tarikh: 22 Februari 2020 / Sabtu
🕒 Masa: 8.30 pg – 6.00 ptg
📌 Tempat: Masjid Kampung Laut Nilam Puri (KIAS)
🍵 Makanan Ringan Disediakan

🔒 Masuk percuma
 Kitab terjemahan ada dijual

SIla isi borang pendaftaran secara dalam talian mengikut pautan di bawah:
http://tiny.cc/daurahkitab

Sebarang pertanyaan boleh hubungi
Ustaz Abdullah Nasih
www.wasap.my/601120748740/daurahkitabturath

Ustazah Rabiatul
www.wasap.my/601131843119/daurahkitabturath

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Aturcara Ijtimak Pondok Malaysia 2020 pada 7 Mac 2020 ini

Posted by epondok di Februari 19, 2020

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Mohon ilmu bermanfaat

Posted by epondok di Februari 19, 2020

Mohd Rizal Azman Rifin

 

DALAM keasyikan menyaksikan manusia memajukan kehidupan duniawi, kita jarang mengakui semua yang terjadi adalah atas keizinan dan anugerah daripada Allah SWT.

Akal fikir kita sering ‘terperangkap’ bahawa manusia itu makhluk hebat sehingga lupa segala yang terhasil itu anugerah Allah semata-mata.

Sebagai umat Islam, kita seharusnya memulangkan setiap pujian atas nikmat akal fikiran serta keupayaan yang dimiliki kepada Allah SWT.

Betapa besarnya kekuasaan Allah SWT yang memberi nikmat akal fikiran kepada makhluk ciptaan-Nya.

Bagaimanapun, kita tidak seharusnya menjadi ‘penonton’ pada zaman perebutan ilmu pengetahuan hari ini.

Umat Islam mampu bangkit menjadi umat terbilang.

Setiap Muslim adalah khalifah Allah yang diamanahkan untuk memanfaatkan apa sahaja kurniaan-Nya.

Rasulullah SAW dilaporkan sentiasa berdoa agar dikurniakan Allah SWT dengan ilmu pengetahuan yang boleh mendatangkan manfaat.

Hal itu dinyatakan seorang sahabat karibnya, Abu Hurairah yang meriwayatkan, Baginda SAW pernah berdoa yang bermaksud: “Ya Allah, kurniakanlah aku manfaat daripada apa yang Engkau ajarkan kepadaku dan ajarkanku perkara yang bermanfaat bagiku dan tambahkanlah bagiku ilmu pengetahuan, segala puji bagi Allah dalam setiap keadaan.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Manakala Ummu Salamah pula memberitahu, Rasulullah SAW pernah berdoa pada solat Subuh ketika hendak memberi salam dengan lafaz doanya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” (Hadis direkodkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Syaibah dan al-Baihaqi)

Jabir seorang lagi sahabat Rasulullah SAW turut menceritakan, Baginda SAW sering menasihatkan umatnya berdoa kepada Allah bagi memperoleh ilmu yang bermanfaat.

Sebagaimana disabdakan Baginda SAW yang bermaksud: “Mohonlah kalian kepada Allah akan ilmu yang bermanfaat dan berlindunglah daripada Allah daripada ilmu yang tidak bermanfaat.” (Hadis Riwayat Abu Syaibah sebagaimana terkandung dalam Musannafnya)

Apa itu ilmu yang bermanfaat? Adakah ilmu itu tertakluk pada perolehan ilmu akhirat sahaja?

Sebagai umat Islam, tentunya kita memberikan jawapan ilmu yang bermanfaat adalah ilmu agama yang akan memandu kehidupan dunia untuk dijadikan bekalan akhirat.

Apa sahaja ilmu  bersangkutan agama adalah ilmu bermanfaat.

Dalam doa yang disabdakan Baginda SAW itu, lafaz ilmu yang bermanfaat tidak dinyatakan secara khusus sama ada ilmu dunia atau akhirat.

Bermakna apa sahaja ilmu pengetahuan, asalkan memberikan manfaat buat diri apatah lagi kepada manusia dikira sebagai ilmu yang bermanfaat.

Menerusi ilmu sains misalnya, kita mampu memahami apa sahaja yang terdapat di dunia.

Ilmu oceanology yang mengkaji hidupan marin dan laut akan memberikan kefahaman jelas betapa besarnya kekuasaan Allah dalam mencipta sesuatu.

Pastinya saintis Muslim meyakini kehebatan kekuasaan Allah SWT.

Ulama tersohor, Al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali mengingatkan masyarakat Islam: Sesungguhnya ilmu ialah jenis zikir yang paling afdal dan ilmu juga jenis jihad yang paling afdal.”

Pesanan beliau tidak tertakluk kepada penuntut ilmu agama sahaja, tetapi buat kesedaran semua penuntut ilmu termasuk berkaitan ilmu duiawi juga.

Ilmu duniawi seperti ilmu sains sekiranya diaplikasikan bersendikan iman dan takwa, pasti menjadi ilmu yang cukup memberikan kebaikan.

Itulah jihad dalam bidang ilmu. Ilmu untuk kebaikan ummah sejagat. Semoga umat Islam dapat bersama menjulang kembali imej dan maruah umat Islam dengan kehebatan ilmu pengetahuan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »