Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 29 Januari 2020

Pendidikan suatu Keperluan, bukan pilihan

Posted by epondok di Januari 29, 2020

Mohd Shahrizal Nasir

 

PENDIDIKAN amat penting bagi melahirkan insan yang baik. Kesedaran tentang pentingnya pendidikan sememangnya ada dalam diri setiap ibu bapa.

Sebab itulah mereka sanggup menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit untuk memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan sempurna.

Apabila anak mencapai usia seawal lima atau enam tahun, mereka dihantar ke tadika atau taska bagi menimba ilmu yang bersesuaian dengan peringkat umur.

Islam amat menekankan aspek pendidikan sehingga meletakkan golongan berilmu pada tempat yang amat istimewa.

Golongan penuntut ilmu dikurniakan pelbagai keistimewaan termasuk dimudahkan baginya jalan menuju ke syurga.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Ilmu yang bermanfaat untuk kehidupan manusia semuanya berfaedah dan dituntut agar dipelajari.

Islam tidak pernah sama sekali mengetepikan kepentingan mempelajari ilmu yang dapat membantu manusia mencapai kehidupan yang baik di dunia.

Begitu juga halnya dengan ilmu yang dapat memberi keuntungan kepada diri di akhirat nanti.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka”.  (Surah al-Baqarah, ayat 201)

Menyedari hakikat ini, perlu difahami bahawa ilmu yang berkaitan dengan agama adalah satu keperluan bagi umat Islam.

Ia bukan satu pilihan sebaliknya satu keperluan yang akan memberi manfaat kepada manusia bukan sahaja di akhirat, tetapi turut berguna untuk kehidupan di dunia.

Perhatikanlah apabila ilmu agama membahaskan perihal solat, maka antara yang diberi pendedahan ialah berkenaan masa masuknya waktu solat.

Begitu juga jika membabitkan perbahasan tentang solat qasar ketika bermusafir yang memerlukan seseorang tahu tentang jarak perjalanan yang dibolehkan untuk mengambil rukhsah solat.

Semuanya ini membabitkan ilmu matematik dalam erti kata perkiraan nombor.

Begitu juga ketika membicarakan perihal sembelihan yang diperincikan dalam Islam.

Antaranya tatacara sembelihan yang perlu diputuskan urat halkum dan urat marih haiwan terbabit.

Begitu juga dengan solat gerhana yang membabitkan fenomena luar biasa membabitkan matahari atau bulan.

Semua ini dibincangkan dalam ilmu agama membabitkan cakupan ilmu sains.

Kajian permukaan bumi sebagai ruang dan tempat masyarakat manusia hidup juga dibincangkan dalam agama Islam.

Jika tidak, bagaimana mungkin isu berkaitan penentuan arah kiblat dan aplikasi rukhsah ibadat membabitkan keadaan sekeliling dapat diselesaikan dengan baik.

Semuanya ini ada kaitannya dengan ilmu geografi yang tidak terpisah daripada perbahasan dalam Islam.

Hatta mempelajari bacaan al-Quran dengan tajwid yang betul serta lagu indah juga sebahagian daripada ilmu seni.

Malah, kesenian inilah yang perlu ditekankan kerana ia dapat membentuk jati diri Muslim yang cukup sempurna.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil amri (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu.” (Surah an-Nisa’, ayat 59)

Begitu juga tentang politik yang turut disentuh oleh Islam.

Banyak lagi sebenarnya cabang ilmu yang berada dalam perbahasan ilmu Islam sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Ilmu sejarah, ekonomi, undang-undang semuanya disentuh dalam perbahasan ilmu agama.

Inilah yang dimuatkan dalam mata pelajaran Pendidikan Islam yang diajarkan kepada anak-anak sama ada di sekolah rendah mahupun menengah.

Ilmu Islam tidak akan sama sekali merugikan umat sebaliknya ia menawarkan cakupan perbahasan ilmu yang amat bermanfaat dan diperlukan oleh setiap Muslim.

Pendidikan Islam bukan sahaja mampu melahirkan hamba yang taat kepada Allah SWT, tetapi juga khalifah yang mampu mentadbir dunia.

Usah memahami ilmu agama hanya membabitkan ibadat solat dan puasa yang menjadi ibadat khusus hamba kerana Tuhannya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »