Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Suami amal syura

Posted by epondok di Januari 27, 2020


Fatimah Syarha Mohd Noordin

 

SUAMI adalah belahan jiwa isteri. Demikian juga isteri adalah belahan jiwa suami.

Penyatuan jiwa kedua-dua suami dan isteri menjadi antara tanda-tanda kebesaran Allah SWT seperti yang terakam dalam Surah al-Rum, ayat 21.

Matlamatnya ialah terbina hubungan atas dasar mawaddah, rahmah dan sakinah.

Namun, adakalanya suami menjadi cabaran buat isteri dan isteri menjadi cabaran buat suami.

Bagaimana bentuk cabaran berkenaan.

Menurut al-Qaraḍawi dalam pengantar buku Kebebasan Wanita Pada Zaman Risalah, mereka yang berhaluan keras (termasuk suami yang autokratik) menjadikan kehidupan wanita sempit bagaikan penjara.

Misalnya, wanita tidak dibenarkan keluar rumah, tidak boleh pergi ke masjid, tidak dianjurkan berbicara dengan kaum lelaki meskipun dengan cara yang sopan.

Muka dan telapak tangannya dianggap aurat, begitu pula suara dan pembicaraannya.

Bahkan wanita dilarang menggunakan pakaian putih yang biasa dilakukan oleh wanita Mesir sejak dahulu ketika mereka menunaikan ibadat haji dan umrah.

Ketika ditanyakan alasan pelarangannya, mereka menjawab perbuatan itu menyerupai lelaki.

Padahal dalam soal berpakaian, Allah SWT memberikan kelonggaran bagi wanita dalam hal yang tidak diperbolehkan bagi kaum lelaki, misalnya memakai perhiasan emas dan pakaian yang terbuat dari sutera.

Bahkan bagi suami yang ego dan autokratik, jika seorang wanita menikah dan tidak senang kepada suami, dia tidak boleh benci atau lari.

Dia cuma boleh bersabar mengharungi penderitaan, sampai suami berkenan mentalak atau dia meminta diceraikan (khulu’).

Tubuhnya dianggap seperti dimiliki dengan tukaran duit ringgit serta boleh diceraikan sesuka hati.

Wanita dilayan seperti tiada hak membuat pilihan, hanya boleh mengiyakan, tidak boleh menolak dan tidak berhak menuntut ganjaran atau ganti rugi.

Wanita dianggap jerat iblis untuk memesongkan manusia.

Wanita dianggap makhluk yang kurang akal dan agama dengan tafsiran seperti wanita tidak mempunyai kepakaran apa pun.

Wanita dianggap hamba atau setengah hamba oleh lelaki yang dikahwini untuk melampiaskan nafsu serakah. kaum lelaki.

Anggapan seperti ini seakan-akan mengulangi anggapan masyarakat ke atas wanita Romawi dalam sejarah yang menganggap wanita hamba lelaki.

Sikap yang ekstrim ini akan mengundang sikap ekstrim isteri sebagai pembangkang.

Lebih-lebih lagi, wanita yang berjawatan besar seringkali dikaitkan dengan sikap membangkang, sukar mentaati suami bahkan merendahkan pasangan walaupun tidak semuanya begitu.

Mengikut kajian oleh John Gottman, seorang pakar psikologi di Universiti Washington, antara sebab pasangan suami isteri sering bertengkar hingga membawa kepada perceraian ialah kerana memandang rendah kepada pasangan. (https://my.theasianparent.com
/punca-penceraian-di-malaysia/).

Ia termasuk mengkritik pasangan secara berlebihan hingga semua usaha tidak dihargai.

Bukan itu sahaja, ada yang bersikap tidak mahu mengalah. Apabila bergaduh, tiada langsung rasa bersalah dan asyik ingin menyalahkan pasangan.

Seterusnya, suka memotong cakap dan tidak mahu mendengar pendapat pasangan.

Ia adalah kesimpulan daripada kajian yang dilakukan 14 tahun ke atas 79 pasangan suami isteri.

Lebih-lebih lagi, realiti masyarakat menunjukkan, menjelang 2020, ada beberapa perubahan sosial hasil daripada perkembangan pembangunan negara.

Antaranya, penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan pada akhir ini amat jelas, mereka semakin ramai menceburkan diri dalam bidang pengurusan dan profesional di sektor awam dan swasta serta perniagaan.

Perkembangan ini ada baik dan buruknya.

Ia menimbulkan isu seperti kawalan dan penjagaan gadis yang berpindah dari kampung ke bandar dan penjagaan serta pendidikan anak bagi ibu yang berkerja.

Merujuk topik ini, ia menimbulkan isu rasa berdikari yang tinggi dalam kalangan wanita hingga terasa boleh hidup tanpa lelaki.

Apa yang pasti, sikap autokratik dan terlalu membangkang tidak menguntungkan kedua-dua pihak yang fitrahnya saling memerlukan dan saling melengkapi satu sama lain agar dapat melakukan check and balance.

Setiap pasangan perlu kembali kepada panduan al-Quran dan al-Sunnah.

Rasulullah SAW menunjukkan contoh strategi berbincang sentiasa digunakan sebagai mekanisme dalam membuat keputusan.

Kelebihan berbincang ialah, setiap ahli mementingkan kebenaran, berbanding siapa yang berkata sepertimana pesan Saidina Ali, lihatlah apa yang dikata bukan siapa yang berkata.

Bahkan ahli bawahan boleh bersuara tanpa perlu merasa takut dan bimbang risiko dizalimi oleh orang atasan.

Suami yang mengamalkan syura bukan autokratik akan lebih ditaati dan disayangi oleh isteri dan anak.

Dengan cara ini, anak akan merasakan didengari. Isteri akan berasa dihargai. Begitu juga suami, dia akan berasa dihormati dan ditaati.

Dalam sirah, terdapat banyak contoh berlakunya strategi berbincang dalam pengurusan keluarga.

Contoh, dalam peristiwa takhyir iaitu peristiwa di mana Rasulullah SAW memberikan pilihan kepada isteri-isterinya, Rasulullah SAW memulakan perbincangan dengan Aishah RA seperti yang dijelaskan dalam Surah al-Ahzab ayat 28 hingga 29.

Seterusnya, di pihak isteri, Ummu Sulaym menjadi satu contoh wanita yang mengutamakan hak suami sebagai pemimpin keluarga walaupun terpaksa memendam seketika kesedihan emosinya sendiri atas kematian anak mereka. (Rujuk hadith riwayat Muslim, Kitab Faḍa’il al-Ṣahabah, Bab Faḍail Abi Ṭalḥah al-Anṣari, no.hadith: 2144, 4:19

Kata-katanya begitu mengagumkan selepas melayani keperluan batin suaminya, Abu Ṭalḥah yang baru pulang ke rumah, terjemahan: “Wahai Abu Talhah, apa pendapat kamu, seseorang itu memberi pinjaman kepada orang lain. Adakah orang itu boleh menghalang permintaan peminjamnya ketika dia meminta?”

Suaminya menjawab, ‘Tidak.’ Maka Ummu Sulaym berkata, “Haraplah pahala daripada kematian anakmu.” Abu Talhah radiallahuanhu menjadi marah. Beliau berkata: Engkau membiarkan aku (tidak diberitahu tentang hal ini) sehingga aku menyetubuhi mu, kemudian baru engkau beritahu aku tentang keadaan anak lelaki aku! Beliau terus pergi menemui Rasulullah SAW dan memberitahu baginda apa yang telah berlaku.

Rasulullah SAW menjawab: Semoga Allah memberkati kalian untuk apa yang telah kalian lakukan malam tadi. Lalu Ummu Sulaym radiallahuanha pun hamil.

Begitu indahnya rumah tangga yang ditegakkan atas dasar perbincangan, lahirlah anggota keluarga yang menghormati dan mentaati.

Sebaliknya rumah tangga yang ditegakkan atas dasar autokratik akan melahirkan ahli keluarga yang membangkang dan jauh hati.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: