Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 26 Januari 2020

Etika Pencegahan Wabak Dalam Islam

Posted by epondok di Januari 26, 2020

Khairul Azhar bin Idris

 

Wabak Influenza pada waktu ini yang merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus influenza yang menjangkiti salur pernafasan kini merupakan satu ancaman baru  terhadap kesihatan dan nyawa manusia yang semakin hari semakin mencemaskan. Insiden jangkitan penyakit berkaitan pernafasan ini menunjukkan ada peningkatan di kebanyakan tempat tertentu di dunia ini, lantas turut meningkatkan suasana panik dan gelisah orang ramai, ditambah pula tiada sebarang vaksin dan ubatan khusus untuk mengubati penyakit misteri ini.

Serangan wabak ini oleh virus influenza  boleh dikawal melalui beberapa langkah pencegahan dan pengawalan yang tertentu dan didapati turut berkesan dalam membendung jangkitan yang lebih teruk dalam masyarakat. Dalam suasana di mana tiada sebarang ubat atau vaksin yang mampu mencegah atau mengubati penyakit, kaedah yang lebih berkesan adalah langkah-langkah pencegahan terutamanya yang mendorong kepada pengamalan cara hidup yang sihat dan melakukan aktiviti-aktiviti yang mengurangi risiko yang mengancam nyawa atau kesejahteraan diri dalam kehidupan. Dan kaedah inilah yang paling berkesan bagi mengatasi wabak influenza setakat ini.

Tamadun manusia telah menyaksikan bahawa sebelum kedatangan Islam ke Tanah Arab, keadaan kesihatan awam pada ketika itu amat daif. Penyakit berjangkit seperti cirit-birit, batuk kering, taun dan lain-lain amat mudah berlaku, bahkan secara berleluasa. Hanya dengan kedatangan Islam yang diturunkan oleh Allah menerusi Rasul-Nya, Muhammad s.a.w. penekanan terhadap kesihatan dan penjagaan kesihatan yang sempurna mula mendapat perhatian masyarakat.

Walaupun Rasulullah diutuskan bagi menyampaikan hukum-hukum Allah yang Maha Suci, tetapi ajaran dalam Islam amatlah menyeluruh sifatnya. Malah ajaran Islam juga amat menitikberatkan aspek penjagaan kesihatan yang sempurna supaya individu itu mempunyai kekuatan yang diperlukan bagi menjalankan ibadat kepada Tuhan.

Begitu juga, bagi menjadikan amalan ibadat dan doanya itu diterima Allah, individu Muslim itu mestilah sentiasa memelihara kesihatan diri terutamanya dalam memastikan kebersihan dan halal haram makanan yang diambil di samping menggunakan hanya pakaian yang bersih, tidak dikotori najis dan sebagainya.

Semua perkara ini terkandung dalam ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah sehingga muncul sebuah karya agung khusus berkaitan kaedah perubatan dan penjagaan kesihatan cara Rasulullah yang dikenali At Tibb an Nabawi yang dikarang oleh seorang perawi hadis dan ahli sejarah terkenal Abu Abdullah Muhammad al Dhahabi yang meninggal pada tahun 1348 Masihi.

Dalam ajaran agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah, pencegahan menjadi asas utama penjagaan kesihatan yang baik di samping melakukan aktiviti kehidupan secara bersederhana dan tidak berlebih-lebihan yang sentiasa dianjurkan oleh Islam kepada umatnya. Manakala bidang perubatan dan kesihatan moden yang berasaskan kaedah saintifik kini turut memberi penekanan terhadap pencegahan dan rawatan dalam menghadapi sesuatu jangkitan dan penyakit yang menjadi asas disiplin kesihatan awam.

Sememangnya sudah menjadi tugas setiap individu dan masyarakat Islam, wajib mencegah sebarang perilaku dan aktiviti yang mengundang kepada kemudaratan dan kehinaan.

Pendekatan yang berasaskan perubatan `mencegah’ dalam menangani wabak dan jangkitan penyakit sebenarnya telah diajar oleh Baginda Rasul dalam banyak situasi.

Dalam sebuah hadis, Baginda bersabda bermaksud: Apabila kamu mendengar penyakit taun berjangkit di sesuatu negeri, maka janganlah kamu memasuki negeri itu, demikian juga jika berjangkit di negeri tempat kamu tinggal, maka janganlah kamu keluar dari negerimu kerana melarikan diri dari penyakit itu.

Dan kekhuatiran ini berkisar apabila kita berkemungkinan sebagai kumpulan pembawa yang terlibat menjangkitkan pula penyakit berkenaan kepada orang lain. Ajaran dalam al-Quran, kita juga ditegah daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang menjerumus kepada kesengsaraan, kemudaratan dan kemusnahan.

Wabak influenza yang melanda dunia ketika ini dilihat bukan sahaja mengancam kesihatan dan nyawa manusia, malah turut memberi kesan yang kurang baik terhadap sumber ekonomi dan pendapatan sesebuah negara terutama bagi negara-negara di mana aktiviti pelancongan adalah di antara beberapa sumber pendapatan negara.

Keadaan ini beraku di samping sebagai kesan dari kebimbangan dan panik masyarakat yang enggan melawat negara yang berkenaan kerana takut dijangkiti, adalah juga berpunca dari langkah-langkah pencegahan dan larangan seperti kuarantin yang dikenakan oleh sesebuah negara.

Bagaimanapun, tindakan yang elok ini telah dianggap sebagai satu tindakan yang kurang baik, malah disalah tafsir pula akan mempunyai unsur sabotaj ke atas ekonomi negara lain.

Mungkin ini juga sebagai kesan tidak langsung globalisasi di mana negara-negara amat bergantung kepada negara lain bagi mengukuhkan ekonomi negara sendiri.

Walau apa pun tindakan yang diambil, faktor kesihatan dan keuntungan ekonomi adalah sama pentingnya.

Namun hakikatnya, Islam lebih mengutamakan kesejahteraan nyawa manusia dan ia perlu dipelihara pada setiap masa agar terhindar daripada sebarang perkara yang boleh mengancamnya.

Aspek ekonomi yang kukuh, di samping pemakanan yang baik dan sihat serta persekitaran yang bersih dan selamat amat berkait rapat dan turut membantu meningkatkan kesejahteraan nyawa manusia.

Namun ada pada ketika yang tertentu, seseorang itu perlu mengehadkan aktiviti sosioekonominya jika ia didapati akan mengancam kesejahteraan nyawanya.

Menurut prinsip Islam, sesuatu tindakan yang baik itu adalah yang mendatangkan manfaat kepada seluruh umat manusia.

Bagaimanapun, jika terdapat kemudaratan atau keburukan yang akan menimpa mereka, maka menghindari keburukan itu adalah lebih penting dan diutamakan daripada mencari kemanfaatan. Manakala jika terdapat pelbagai kepayahan dalam menangani sesuatu isu yang sukar seperti ketika wabak ini, maka Islam menyarankan agar menerima kepayahan yang mendatangkan dengan mengawal kesan buruk yang paling minimum kepada masyarakat.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »