Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 21 Januari 2020

Hayati nilai rahmah dalam al-Quran

Posted by epondok di Januari 21, 2020

Mohd Ajib Ismail

 

AL-QURAN adalah panduan dan rujukan terpenting umat Islam
di dalam segenap aspek kehidupan.

Melalui amalan membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan al-Quran, ia menjadi inspirasi dan pemangkin semangat bagi masyarakat Islam untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan
di akhirat.

Penghayatan terhadap mesej yang terkandung di dalam al-Quran juga dapat menyuntik motivasi diri supaya lebih maju dan berjaya dalam kehidupan.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Jaathiyah, ayat 20 yang bermaksud: “Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang membuka matahati manusia dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya).”

Amalan membaca al-Quran mengandungi fadilat yang besar.

Justeru golongan yang membaca al-Quran sebagai rutin hariannya diganjari Allah dengan ganjaran pahala yang banyak.

Pahala membaca al-Quran itu bukan hanya dikira berdasarkan keseluruhan ayat atau surah, tetapi setiap huruf itu diberikan ganjarannya 10 pahala.

Abdullah bin Mas’ud menyatakan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia melakukan satu kebajikan. Dan satu kebajikan itu dilipatgandakan sepuluh kali. Saya tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, melainkan Alif itu satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Sunan Tirmizi)

Selain itu, di dalam al-Quran juga terkandung mesej dan nilai-nilai RAHMAH (Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami, Hormat) yang dapat dihayati umat Islam.

Pemahaman terhadap nilai-nilai dan mesej RAHMAH ini dapat menjadi panduan dan pengajaran dalam usaha kita menterjemahkan Islam sebagai agama rahmah dalam kehidupan.

Contoh, ajaran Islam menganjurkan supaya umat manusia hidup secara muafakat, bekerjasama dan bertolak ansur.

Allah berfirman dalam surah al-Ma’idah ayat 2 yang bermaksud “Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu – mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).

Al-Quran juga menganjurkan supaya manusia bersikap adil dan ihsan kepada sesama manusia.

Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 90 yang bermaksud “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.”

Ajaran yang terkandung dalam al-Quran amat menekankan kepentingan manusia menjalani kehidupan dengan memelihara hubungan persaudaraan, menjadi pendamai bagi pihak yang bertelagah, menjaga tutur kata dan budi bicara supaya keharmonian dan kemesraan hidup bermasyarakat sentiasa terpelihara.

Inisiatif bagi menyampaikan mesej keindahan Islam melalui pelbagai aktiviti dan program penghayatan al-Quran perlu dipergiatkan bukan sahaja melibatkan masyarakat Islam, tetapi boleh diperluas kepada masyarakat bukan Islam supaya golongan ini juga dapat menikmati keindahan dan nilai rahmah Islam.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »