Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Menyebar barakah sesama manusia

Posted by epondok di Januari 14, 2020


Mohd Rizal Azman Rifin

 

Kualiti iman dan takwa seseorang hamba dapat dilihat menerusi perbuatan yang dilakukan dalam kehidupan sehariannya.

Allah SWT mahukan hamba-Nya bukan sahaja taat dalam hal kerohanian semata-mata, sebaliknya turut melihat ketika dia berinteraksi sesama manusia dan persekitarannya.

Dalam satu hadis baginda SAW menyatakan, seorang Muslim dikira tidak beriman seandainya tidak mengasihi Muslim yang lain.

Hati orang beriman perlu sentiasa terisi dengan nilai kasih sayang dan sikap keprihatinan.

Imam at-Tirmizi ada meriwayatkan sebuah hadis menjurus kepada persoalan sama.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada, iringilah keburukan dengan kebaikan, pasti ia boleh menghapuskannya dan bergaulah manusia dengan akhlak yang baik.”

Iman dan ketakwaan akan menyerlahkan ‘dirinya’ untuk bersikap prihatin terhadap permasalahan hidup orang lain.

Hati dan jiwa cepat terasa dengan keperitan orang lain. Rasulullah memberi jaminan buat umatnya yang bersikap penyayang dan penuh perikemanusiaan itu.

Menerusi sabdanya yang bermaksud, “Barangsiapa meringankan seseorang yang berada dalam kesulitan di dunia ini, nescaya kelak Allah akan meringankan dirinya di dunia mahupun di akhirat.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Muslim beriman dan bertakwa juga ditampilkan melalui amalan sekecil-kecil memberi salam.

Amalan itu boleh diumpamakan sebagai perbuatan ‘menyebar barakah’ kepada orang lain.

Abu Daud meriwayatkan, Rasulullah bersabda, “Manusia paling utama di sisi Allah adalah yang terlebih dahulu memberi salam.”

Sabda Rasulullah itu boleh dijadikan sebagai suntikan motivasi buat seluruh umat Islam supaya saling berlumba-lumba meraih pahala sebagai penyebar barakah Allah.

Dalam peringatan lain, Rasulullah menegaskan, “Kamu tidak dapat masuk syurga sehingga kamu beriman, kamu tidak benar-benar beriman sehingga kamu berkasih sayang. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu satu amalan yang apabila kamu lakukannya, maka kamu akan berkasih sayang? Sebarkanlah salam antara kamu.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Jelas, antara piawaian atau ciri calon syurga adalah mereka yang menjaga hubungan sesama manusia dengan bersikap baik hati dan berkasih sayang.

Abdullah bin Amr mengisahkan seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah, ‘Apakah amalan Islam yang terbaik?’

Kemudian baginda menerangkan kepadanya, “Engkau memberi makan kepada orang lain dan engkau mengucapkan salam kepada orang yang engkau kenali mahu pun yang tidak engkau kenal.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Tidak cukup dengan memberi salam, apabila bersua muka secara langsung kita disarankan berdoa untuk kebaikan orang lain.

Perawi hadis sama juga mengetengahkan hadis memperkatakan hal itu. Baginda bersabda yang bermaksud: “Muslim yang mendoakan temannya secara diam-diam, akan disambut malaikat dengan berkata, ‘Semoga untukmu juga.’

Indah sungguh didikan Islam membawa manusia beriman dan bertakwa meniti arus kehidupan dunia di atas landasan ukhuwah.

Hidup dalam sebuah masyarakat yang memiliki pelbagai ragam, pastinya kita perlu mengurusnya dengan baik.

Kita tidak boleh hidup secara sendirian tanpa mengambil kira kepentingan orang lain.

Rasulullah rangkumkan sekali beriman kepada Allah dan hari akhirat dengan bentuk amalan hidup kita dengan manusia lain.

Iman dan takwa juga ibarat isi dengan kuku, apabila tercabut salah satunya maka akan cacatlah rupa bentuknya.

Dalam sebuah hadis lain dicatatkan, “Manusia penyayang akan dicintai Allah yang Maha Penyayang. Cintailah seluruh makhluk di bumi, nescaya makhluk di langit akan menyayangimu.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: