Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 10 Januari 2020

4 Cara kenali penyakit hati

Posted by epondok di Januari 10, 2020

Mohd Rizal Azman Rifin

 

IMAM al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin menyatakan 4 cara untuk mengenal pasti penyakit hati.

  • Pertama, daripada guru yang boleh melihat kekurangan dan kelemahan jiwa seseorang.

Yang dimaksudkan dengan guru itu mestilah orang yang tinggi akhlaknya.

  • Kedua, daripada sahabat yang tinggi akhlak dan dapat menegur kekurangan diri kita. Bagaimanapun, Imam al-Ghazali mengatakan sahabat seumpama itu sukar untuk dicari.
  • Ketiga, daripada kritikan musuh seseorang terhadap dirinya. Orang bijak akan mengambil manfaat lebih daripada musuhnya berbanding sahabatnya yang barangkali tidak menegur kesilapannya.
  • Keempat, daripada pemerhatian kita dalam diri orang lain.

Apabila terdapat kekurangan pada orang lain, maka kita perlu segera bermuhasabah sama ada kekurangan itu juga terdapat pada diri kita atau tidak.

Apabila seseorang melihat kekurangan pada dirinya, lalu dia bermuhasabah, secara tidak langsung dia dapat memperbaiki akhlaknya.

Di samping itu, dia tidak pula mencela orang lain kerana menyedari kelemahan yang ada pada dirinya.

Dalam buku Ensiklopedia Akhlak Rasulullah turut menyenaraikan perkara lain yang boleh dilakukan untuk melatih diri antaranya dengan beribadat dan berdoa.

Misalnya, ibadat solat adalah proses didikan yang mampu membentuk akhlak serta melatih diri untuk membina hubungan dengan Yang Maha Pencipta.

Ketika solat, kita dilatih dan dituntut untuk kekal fokus dengan memandang ke arah tempat sujud.

Selain itu, solat mampu menjadikan seseorang menjaga masa dengan melaksanakan solat tepat pada waktunya.

Solat juga satu ibadat yang dapat mencegah seseorang daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

Perkara itu hanya mampu dicapai sekiranya ibadat yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan kerana Allah SWT semata-mata serta dalam keadaan khusyuk.

Barangkali ramai antara kita melaksanakan solat, bagaimanapun, solatnya masih tidak mampu menjadi benteng kepada dirinya daripada keburukan.

Bagi mengindahkan akhlak diri, kita perlu berusaha mempertingkatkan kualiti solat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bacalah apa yang diwahyukan kepadamu iaitu kitab (al-Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya, solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Sesungguhnya, mengingati Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadat-ibadat lain) dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Sehubungan itu, kita perlu sentiasa memanjatkan doa dengan penuh pengharapan supaya Allah SWT memakbulkan doa kita.

Berdoalah dengan penuh rendah diri dengan suara yang lembut.

Allah SWT pasti akan memperkenankan doa orang yang benar-benar memohon kepada-Nya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jika kalian berdoa kepada Allah, maka bersungguhlah dalam berdoa dan jangan seorang antara kalian berkata, ‘Jika Engkau berkehendak, maka berilah aku,’ kerana Allah sama sekali tidak pernah dipaksa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »