Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Syukur nikmat umur

Posted by epondok di Januari 9, 2020


Fadly Samsudin

Lebih seminggu kita berada pada tahun baharu 2020.

Lazimnya, ramai yang berazam untuk melakukan perubahan tertentu dalam hidup mereka untuk mengharungi tahun baharu.

Pelbagai azam disasarkan. Antaranya, bertekad berhenti merokok, menabung untuk membawa keluarga bercuti, melangsaikan hutang dan memulakan perniagaan kecil-kecilan bagi menambah pendapatan.

Bagaimanapun, kita perlu sentiasa beringat, melangkah ke tahun baharu juga menandakan usia kita semua semakin hampir ke titik penghujungnya.

Hanya Allah SWT yang maha mengetahui bila masanya secara tepat.

Pensyarah Pusat Pengajian Asasi, Management & Science University (MSU), Ustaz Fahimi Zakaria berkata, tahun masihi berbeza dengan tahun hijrah dari segi penetapan dan tempohnya disebabkan tujuannya yang berbeza.

Menurutnya, tahun hijrah diasaskan oleh Umar al-Khattab RA demi maslahah umat Islam seperti penentuan musim haji, bulan puasa, peperangan serta waktu siang dan malam.

“Tahun masihi pula diasaskan oleh gereja di Rom sebagai rujukan penganut Kristian di seluruh dunia seperti yang ada pada hari ini.

“Perkataan masihi juga ada kaitan dengan gelaran kepada Nabi Isa AS dan dajal yang membawa erti hilang, rata, sembuh, buang atau bersih (Mu‘jam al-Maa‘ni).

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya al-Masih Isa bin Maryam itu rasulullah dan kalimah-Nya.” (Surah al-Nisa’, ayat 171)

“Menurut Syeikh Ali al-Sabuni, al-Masih bertujuan memuliakan dan membersihkan baginda AS daripada kesyirikan golongan Kristian yang mengatakan Isa itu anak Allah, sebaliknya baginda AS hamba dan Rasulullah (Sofwah al-Tafasir).

“Selain itu, Ibnu Kathir pula menyatakan, al-Masih merujuk tapak kaki Isa yang rata dan baginda pernah menyembuhkan orang sakit.

“Dalam Surah Ali Imran, ayat 140 dinyatakan, penggiliran masa itu satu fitrah yang ditetapkan oleh Allah SWT sejak penciptaan langit dan bumi lagi supaya orang yang beriman mengambil pengajaran dan menjadi hamba yang benar-benar meyakini setiap ketentuan-Nya,” katanya.

Fahimi berkata, sebagai Muslim, kita hendaklah bersyukur dengan nikmat umur masih berbaki dengan membuktikan kesungguhan dalam ibadat kepada Allah SWT.

“Setiap kali kedatangan tahun baharu, kita perlu menyambutnya dengan amalan murni dan aktiviti sihat seperti solat sunat hajat, majlis agama dan solat berjemaah.

“Kita dilarang merosakkan kesucian Islam dengan sambutan bercanggah dengan syarak seperti pergaulan bebas, minum arak dan hiburan yang melampau,” katanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hendaklah tolong-menolong dalam kebaikan dan ketakwaan, janganlah tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya azab-Nya sangat berat.” (Surah al-Ma’idah, ayat 2)

Berdasarkan hadis Rasulullah SAW iaitu: “Amalan yang paling disukai oleh Allah SWT ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

“Letakkanlah apa sahaja azam baik yang kita mampu melakukannya secara berterusan seperti berazam bersedekah RM1 setiap hari, berpuasa sunat sekali setiap minggu, solat sunat dhuha setiap hari atau apa sahaja yang dapat menjadikan kita hamba yang lebih sempurna,” katanya.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: