Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Ikat janji setiap saat, berubah ke arah lebih baik

Posted by epondok di Januari 8, 2020


Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

 

Firman Allah SWT: “Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya.” (Al-Anbiya’: 1)

Pengarah, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fariza Md Sham, berkata ayat itu jelas menunjukkan kelangsungan hidup, memerlukan manusia melakukan perancangan kerana sepanjang perjalanan itu, sudah pasti ada onak duri yang perlu ditempuhi.

Fariza berkata, dalam usaha melicinkan perjalanan hidup, manusia bukan sahaja dituntut merancang, bahkan menetapkan hala tuju hidup di dunia, berikutan berikutan ia sebagai jambatan kepada kehidupan di akhirat.

“Apa yang dibuat di dunia ini dihitung Allah SWT di akhirat kelak. Kita perlu menetapkan hala tuju dan memastikan apa dilakukan diredai Allah SWT,” katanya.

Memetik buku Almarhum Said Hawwa, Al-Mustakhlash fi Tazkiyah al-Nafs (Mensucikan Jiwa), Fariza menyatakan penulis buku yang juga ulama terkenal menyarankan individu untuk muhasabah diri sebelum melakukan perubahan.

Penulis menyatakan bagi mencapai kejayaan dunia dan akhirat, manusia memerlukan ikatan janji harian, malah ikatan janji saat demi saat dengan dirinya.

“Sekiranya, manusia tidak membuat ikatan janji dengan dirinya dan dengan Tuhannya, kita akan lebih banyak menyimpang, hatinya lalai dan sesat.

“Oleh itu, manusia perlu melakukan muraqabah dan muhasabah diri untuk melalui tahun baharu, agar segala kelalaian, kegagalan dan indeks prestasi utama (KPI) yang tidak tercapai, boleh ditambah baik.

“Segala kejayaan dan pencapaian KPI dalam hidup yang ditetapkan dijadikan iktibar, asas untuk lebih melonjakkan kecemerlangan kehidupan di dunia dan akhirat,” katanya.

Fariza berkata, bagi memulakan perubahan dan menanamkan azam dalam diri untuk menjadi lebih baik, individu perlu fahami dan menghayati konsep hijrah.

“Hijrah bukan bermaksud semata-mata berpindah tempat secara fizikal, tetapi hijrah hati, fikiran, jiwa dan rohani ke arah yang lebih baik untuk mendapat kejayaan dan keredaan Allah SWT,” katanya.

Ia selari dengan sabda Rasulullah SAW: “Engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Ibadat dalam konteks ini bukan semata-mata bersifat khusus seperti solat dan puasa, tetapi termasuk ibadat umum seperti bekerja mencari nafkah dan berbuat baik sesama manusia.

“Laksanakan tugas di pejabat kerana Allah SWT melihat pekerjaan kita lakukan. Sudah pasti kita akan bekerja dengan bersungguh-sungguh dan penuh amanah.

“Dengan melakukan muraqabah (menghampirkan diri dengan Allah) dan muhasabah (penilaian diri) serta mengambil konsep hijrah untuk berubah menjadi lebih baik daripada tahun lepas, manusia pasti akan lebih berjaya dunia dan akhirat,” katanya.

Fariza berkata, umat Islam tidak perlu berkira melakukan perubahan dalam hidup untuk kebaikan kerana sesuatu yang pasti menjadi perhitungan di akhirat kelak.

Firman Allah SWT: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benarnya iman).” (Ali-Imran: 110)

“Justeru, untuk hari mendatang, bersama-samalah kita melakukan sebanyak kebaikan mengikut keupayaan dan kebolehan yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat, agama serta negara.

“Kehidupan dunia ini diumpamakan seperti menanam pokok. Apa ditanam itu yang dihasilkan. Penanaman ini adalah seperti kebaikan yang kita lakukan.

“Segala kebaikan yang dilakukan walau seberat biji sawi tetap dihitung oleh Allah SWT untuk diberi balasan pahala di akhirat kelak,” katanya.

Firman Allah SWT: “Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.” (Al-Anbiya’: 47)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: