Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Usah biarkan was-was terus dibisik syaitan

Posted by epondok di Januari 1, 2020


Oleh Hasliza Hassan

 

IBLIS ialah musuh yang nyata bagi manusia kerana ia bersumpah di hadapan Allah SWT selepas mendapat kemurkaan besar kerana angkuh dan enggan bersujud kepada Nabi Adam AS.

Iblis dalam sumpahnya itu, berjanji akan menghasut dan menyesatkan umat manusia hingga Hari Kiamat, sekali gus bersama-sama dengannya dalam neraka kelak.

Firman Allah SWT: “Turunlah engkau dari Syurga ini kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan hina. Iblis berkata: “Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (Hari Kiamat).” Allah berfirman: “Sesungguhnya engkau daripada golongan diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu).” Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan aku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (daripada menjalani) jalan-Mu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka, daripada hadapan mereka serta daripada belakang mereka, dan daripada kanan mereka serta daripada kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.” Allah berfirman: “Keluarlah engkau dari syurga sebagai makhluk terhina dan terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah Aku akan memenuhi neraka jahanam dengan (golongan) kamu (derhaka) semuanya.” (Al-A’raf: 13-18)

Antara cara iblis dan syaitan menyesatkan manusia adalah dengan menimbulkan perasaan was-was di hati dengan membisikkan persoalan yang boleh mencetuskan rasa ragu.

Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Syaitan akan datang kepada seorang daripada kamu dan berkata: ‘Siapa menciptakan ini? Siapa menciptakan ini?’ Hingga dia berkata: ‘Siapa mencipta Tuhanmu?’ Sekiranya soalan ini sampai, maka dia (orang beriman) hendaklah beristighfar kepada Allah dan berhenti (daripada melayani persoalan itu). (HR Bukhari)

Iman akan mengukuhkan akidah dan keyakinan hati bahawa hanya Allah SWT ialah Tuhan yang berhak disembah. Beriman kepada Allah SWT bermakna kita meyakini keesaan dan kekuasaan Allah SWT.

Hari ini, muncul ramai ilmuwan dan cendekiawan Islam yang pakar dalam pelbagai bidang ilmu. Justeru, mereka bersedia memberi penjelasan untuk memahami ilmu ketuhanan bagi mengukuhkan akidah umat Islam.

Ini termasuk menjelaskan penemuan sains dalam al-Quran dan sunah yang mencorakkan ilmu alam semula jadi yang diselaraskan dengan aspek keimanan. Ia juga menyingkap rahsia ayat al-Quran dan hadis berkaitan dengan ilmu sains berdasarkan penemuan ilmiah.

Namun, ada perkara berkaitan iman yang sebenarnya tidak perlu dipersoalkan tetapi disebabkan keraguan timbul, ulama bersedia untuk memberikan jawapan supaya umat Islam tidak tersesat.

Oleh itu, dalam memahami agama dan mencari jawapan kepada persoalan mengenai akidah dan agama Islam, kita perlu bertanya kepada yang benar-benar pakar.

Allah SWT memerintahkan manusia bertanya kepada ahlinya apabila tidak tahu atau kurang jelas mengenai sesuatu perkara. Firman-Nya: “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kalian tidak mengetahui.” (An-Nahl: 43)

Bertanya kepada yang bukan ahli hanya akan menyebabkan timbul lebih banyak persoalan, tambahan dalam zaman yang semuanya mengharapkan penjelasan berteraskan ilmu, bukan logik akal semata-mata.

Perlu juga mengetahui perbezaan antara urusan agama dan dunia supaya kita bertanyakan kepada orang yang pakar dalam bidangnya. Urusan agama ditanyakan kepada ulama dan ilmu dunia dirujuk dengan ahlinya.

Apabila soalan dijawab bukan orang yang pakar, maka berlakulah perbezaan pandangan yang hanya akan mengelirukan masyarakat. Pertembungan antara yang benar dan batil, yang jahil akan tersepit hingga ada tersasar daripada landasan kebenaran.

Kita sudah diingatkan oleh Rasulullah SAW dalam sabda Baginda seperti diriwayatkan Abdullah ibnu Amru RA: Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu, sekali gus daripada hamba, akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan cara mewafatkan ulama hingga apabila sudah tidak tersisa ulama maka manusia akan mengangkat pemimpin daripada kalangan orang bodoh, ketika mereka ditanya mereka berfatwa tanpa ilmu, mereka sesat dan menyesatkan. (HR Bukhari)

Bak kata pepatah Melayu, malu bertanya sesat jalan. Maka, rajinkan diri belajar dan merujuk kepada yang arif. Jangan malu bertanya kerana asal usul kelahiran manusia juga dalam keadaan tidak tahu apa-apa.

Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya (kerana kejahilan itu seumpama penyakit). (HR Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: