Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 22 Disember 2019

Tidak bijak tuntut mansuh kesalahan jenayah syariah

Posted by epondok di Disember 22, 2019

Oleh Hafizah Iszahanid

 

JENAYAH syariah tidak boleh dihakimi berdasarkan undang-undang sivil, malah tuntutan untuk memansuhkannya atas alasan ia tidak sesuai dengan perkembangan semasa adalah kurang bijak.

Ini disebabkan meskipun jenayah syariah dilihat sebagai perbuatan separa jenayah, ia membabitkan persoalan urusan umat Islam selari dengan tuntutan Allah SWT.

Di negara ini, sejarah perundangan Islam sudah berlaku sejak sekian lama, manakala pada zaman penjajahan, ia berada di bawah bidang kuasa sultan.

Justeru, ia peraturan untuk orang Islam dengan sebahagian kesalahan jenayah syariah disebut dalam al-Quran dan hadis.

Antaranya hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA dan Ibnu Umar RA, bahawa kedua-keduanya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Ketika Baginda membaca khutbah Jumaat di atas mimbar, mudah-mudahan orang ramai tidak terus menerus suka meninggalkan sembahyang Jumaat tanpa uzur, nescaya Allah akan menutup ke atas hati mereka daripada menerima kebenaran dan kebaikan yang di kehendaki oleh agama. Maka jadilah mereka golongan orang yang lalai. (HR Muslim)

Timbalan Pengarah Penyelidikan & Pembangunan, Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Siti Zubaidah Ismail, berkata jenayah syariah ialah kelompok kesalahan yang tidak diperuntukkan oleh kuasa persekutuan.

Ia berkaitan dengan isu agama Islam sahaja dan dihukum oleh mahkamah syariah negeri.

“Kesalahan ini membabitkan pelanggaran terhadap rukun agama yang dilakukan oleh orang Islam.

“Ia meliputi kesalahan akidah, ajaran sesat misalnya, kesalahan berkaitan moral atau tatasusila antaranya berzina serta berkhalwat, yang tidak ada peruntukan mahkamah Persekutuan,” katanya.

Tambah Siti Zubaidah, jenayah syariah tidak terhad kepada kesalahan seperti khalwat atau makan di khalayak ramai pada Ramadan.

Antaranya berkaitan dengan akidah, iaitu kesalahan pemujaan, membuat dakwaan palsu, mengembangkan doktrin agama selain Islam dan menyebar doktrin palsu.

Selain itu, ia turut membabitkan kesalahan tatasusila seperti khalwat, bersekedudukan, pelacuran, hamil luar nikah, liwat juga lelaki berlagak perempuan.

Termasuk dalam definisi jenayah syariah juga, adalah hal membabitkan pencemaran kesucian Islam dan institusinya seperti menghina agama, mempersendakan ayat al-Quran atau hadis, tidak menghormati Ramadan, tidak bayar zakat, tidak solat jumaat juga berjudi.

Satu lagi kategori dilihat sebagai kesalahan pelbagai, iaitu perlakuan mengkafirkan orang, mencemarkan masjid, menggalakkan maksiat, memungut zakat fitrah tanpa kuasa tauliah, juga kesalahan keluarga seperti tidak membayar nafkah.

Tegas Siti Zubaidah, sehingga kini kesalahan jenayah syariah yang paling banyak di negara ini adalah khalwat.

Bagaimanapun, kesalahan begini hanya akan dapat dikesan berdasarkan keprihatinan masyarakat yang tampil membuat aduan.

“Kes khalwat selalunya berlaku pada waktu malam, jarang ada kes berlaku siang. Jadi penguat kuasa akan bertindak ikut aduan dan biasanya aduan itu malam.

“Hal ini sebenarnya cabaran kerana jika aduan itu didapati sah, penguat kuasa perlu bertindak tidak kira jam tiga atau dua pagi.

“Ini menyebabkan orang ramai melihatnya sebagai mengganggu ketenteraman awam dalam erti kata ketuk pintu rumah orang tengah malam, tetapi tidak bermakna penguat kuasa melakukannya sampai roboh.

“Selalunya mereka akan tunggu sampai pintu dibuka, ada kala ambil masa sampai 30 minit,” katanya.

Keadaan ini katanya perlu difahami, kerana penguatkuasaan berlaku atas aduan yang sah. Tidak timbul persoalan pihak penguat kuasa membuat intipan atau mengendap rumah persendirian berasaskan syak wasangka.

Tegas Siti Zubaidah, tindakan yang diambil oleh pihak penguat kuasa adalah berasaskan tatacara pengendalian piawai (SOP).

Satu hal yang menarik, meskipun kesalahan jenayah syariah itu terpakai kepada orang Islam, aduan yang datang dari orang bukan Islam turut diambil kira.

Siti Zubaidah berkata, kesalahan jenayah syariah di negara ini, mengalami pelbagai cabaran dan tafsiran sejak 40 tahun kewujudan dalam enakmennya tersendiri.

Bagaimanapun sebagai pensyarah Jabatan Syariah dan Undang Undang di API UM, beliau mengakui belum ada sebuah buku khas yang membincangkan mengenai jenayah syariah.

Hal ini menyebabkan beliau dan Penerbit Universiti Malaya tampil dengan naskhah Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah di Malaysia, yang pertama kali diterbitkan dua tahun lalu.

Naskhah itu turut memenangi Hadiah Karya Ilmiah kategori Seni, Sains Sosial dan Kemanusiaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2018.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »