Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Perbuatan fasad rosakkan alam sekitar

Posted by epondok di Disember 18, 2019


Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

 

KELESTARIAN alam sekitar ada disebut dalam al-Quran antaranya seperti yang boleh dibaca dalam surah Hud ayat ke-61, sekali gus membuktikan Islam menitikberatkan mengenainya.

Justeru, ia seharusnya diamalkan umat Islam bermula dengan menyingkirkan perkataan ‘fasad’ dalam kamus kehidupan bagi memastikan kelestarian alam terus dinikmati generasi akan datang.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, berkata fasad bererti perbuatan manusia mencemari, merosakkan dan melumpuhkan alam sekitar hingga sistem sedia ada musnah.

“Perkataan fasad ada disebutkan dalam al-Quran seperti firman Allah SWT: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya: Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah: 30)

“Fasad ini disebut lagi dalam firman Allah SWT: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali.” (Ar-Rum: 41),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Peranan Agama Memperoleh Kelestarian Ekologi Dalam Negara Islam pada Seminar Antarabangsa Mengenai Islam dan Kelestarian Ekologi 2019 anjuran Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS).

Zulkifli berkata, situasi hari ini sangat menyedihkan misalnya sumber air bagaikan tidak lagi dilihat penting sedangkan hal sedemikian tidak terjadi antara 40 hingga 50 tahun lalu hingga air sungai boleh diminum terus daripada sumbernya.

“Hari ini, saya yakin tidak ramai berani minum air sungai atau air belum diproses bimbang akan mati yang kerosakan itu adalah kerana kesilapan yang kita lakukan,” katanya.

Sambil mengambil tragedi pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, sebagai contoh, Zulkifli berkata, akibat kerakusan manusia, negara terpaksa mengeluarkan kos sangat tinggi untuk merawatnya, sedangkan kos memulihara mungkin tidak begitu tinggi.

“Kalimah fasad patut dihapuskan daripada manusia dan kita perlu memiliki kesedaran supaya tidak melakukannya kerana ia akan mempercepatkan lagi kerosakan alam.

“Rasulullah SAW sejak awal lagi sudah mengingatkan manusia mengenai kelestarian dan penjagaan alam sekitar yang sekiranya kita mengamalkannya insya-Allah kita berjaya,” katanya.

Tambah Zulkifli, Rasulullah SAW juga bersabda: Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang daripada kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah. (HR Ahmad dan Bukhari)

Hadis itu katanya, menjelaskan Rasulullah SAW menekankan kepentingan menanam pokok.

“Apabila Rasulullah SAW berada di Madinah, Baginda menjaga kota itu terutama bukit-bukau yang disebutkan sebagai bukit yang menandakan Madinah. Ertinya pengekalan alam semula jadi ciptaan Allah amat digalakkan,” katanya.

Zulkifli berkata, apa yang difahami umat Islam adalah Rasulullah SAW menekankan kehidupan di dunia ini adalah bersyarikat, iaitu semuanya ada pemilikan bersama seperti sabda Baginda: Muslim berkongsi dalam tiga perkara, iaitu air, padang ragut dan api. (HR Abu Daud dan Ibnu Majah)

“Melestarikan alam sekitar perlukan usaha bersama. Kita bukan mahukan akta atau perundangan kerana yang paling mustahak ialah kesedaran dalaman.

“Kita mahu negara ini terkenal dengan alam sekitar yang indah dan sebagai negara Islam kita harus menzahirkannya,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: