Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

‘Tidak akan ada sesiapa seperti Nabi Muhammad s.a.w’

Posted by epondok di Disember 2, 2019


Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

 

MENGETAHUI rupa paras dan bentuk fizikal Rasulullah SAW menjadi antara cara menambah kecintaan kepada Baginda.

Mudir Pondok Turath Islam Baitussaadah, Dr Mohd Sobri Ellias, berkata pengetahuan itu menjadi harus lantaran dapat menambah perasaan cinta, kasih dan rindu kepada Rasulullah SAW.

Mohd Sobri berkata, apabila perasaan itu subur dan mekar dalam jiwa umat Islam, semangat pastinya akan berputik dan bercambah untuk mengamalkan serta mempertahankan sunah Rasulullah.

Beliau berkongsi perbicaraan rupa paras dan tubuh badan Nabi Muhammad SAW yang mempunyai banyak sumber seperti terakam kemas dalam kitab sangat masyhur, iaitu Al-Syamail al-Muhammadiyah karangan al-Imam al-Hafiz Tirmizi.

“Kitab itu dikarang untuk menjelaskan rupa paras dan keperibadian Nabi SAW dengan sanad hadis bersambung hingga kepada sahabat utama,” katanya.

Sanad ialah rantaian perawi atau ahli hadis meriwayatkan hadis yang menghubungkan antara setiap generasi, sekali gus amat penting dalam menjamin ketulenan khabar dibawa hingga kini.

Antara sahabat yang meriwayatkan rupa paras Nabi ialah Anas Ibnu Malik RA, Sayidina Ali Abu Talib RA, al-Bara’ Ibnu Azib RA, Hindun Abu Halah RA, Abdullah Ibnu Abbas RA, Jabir Ibnu Samurah RA dan Jabir Ibnu Abdillah RA.

Memetik kitab itu, Mohd Sobri berkata, Nabi Ibrahim AS ialah orang paling mirip rupa paras dengan Rasulullah SAW dalam kalangan Nabi, manakala Sayidah Fatimah al-Zahra’ RA dan Qudtham Ibnu al-‘Abbas adalah individu paling mirip rupa paras dengan Baginda dalam kalangan kerabat.

“Rupa paras Baginda seperti warid berdasarkan perkhabaran Sayidina Ali Abu Talib RA dan Hindun ialah Baginda mulia lagi hebat bahkan kehebatannya sangat terserlah.

“Kitab itu menyebut ketinggian Rasulullah SAW sederhana, iaitu tidak terlalu tinggi atau rendah, manakala wajah bersinar cemerlang laksana bulan penuh pada malam bulan mengambang.

“Rambut Nabi SAW hitam pekat, tidak terlalu kerinting atau lurus ikal mayang, sebaliknya lurus berombak-ombak, kadang-kala dibiarkan panjang hingga ke cuping telinga dan ada kala mencecah bahagian antara dua bahu,” katanya.

Kitab Syamail itu turut meriwayatkan hadis yang memperincikan rambut Nabi SAW yang sekiranya terbelah dua, Baginda akan membiarkannya.

Wajah Rasulullah SAW tidaklah kembung atau terlalu bulat, sebaliknya ada bentuk bujur, manakala kulit Baginda putih merah-kemerahan, mata hitam sangat hitam dan kelihatan garis halus berwarna merah pada mata putih, bulu mata panjang dan lebat, dahi luas, kedua-dua keningnya terpisah dan bukan bersambung di tengah.

Beliau mengambil riwayat dalam kitab itu yang turut menjelaskan di antara kedua-dua kening Rasulullah SAW, terdapat satu urat yang akan timbul sekiranya Baginda sedang marah.

Hidung Nabi SAW mancung, dua pipi rata, mulut lebar yang sederhana, sekali gus melambangkan kefasihan Baginda bertutur kata, janggut tebal dan gigi tidaklah rapat, sebaliknya berjarak antara gigi, leher putih berseri seakan-akan perak serta sendi besar seperti bahagian dua siku dan dua lutut.

“Bahagian di antara dua bahunya luas, bahkan dadanya bidang. Anggota badan Baginda nampak kuat dan gagah. Perut dan dada Baginda sama rata. Pada kebanyakan daripada bahagian jasad Baginda tidak berbulu melainkan hanya pada beberapa bahagian sahaja seperti pada dua lengan, dua betis dan bahagian atas dada,” katanya.

Pada bahagian antara dada dan pusat Baginda ada garisan bulu halus, manakala dua tulang pergelangan tangan Baginda lebar.

Tapak tangan Nabi SAW lebar dengan jari sederhana panjang, sedangkan kedua-dua tapak tangan dan tapak kaki tebal serta padat berisi.

Bahagian dalam kedua tapak kaki Rasulullah SAW juga sederhana tinggi, dua tapak kaki licin dan tiada rekahan kedua-keduanya.

Malah, sahabat turut meriwayatkan cara Nabi SAW berjalan, iaitu dengan penuh semangat dan wibawa dengan mengangkat kaki secara sempurna yang begitu juga ketika meletakkannya kembali.

Berhubung langkah kaki Rasulullah SAW, sahabat meriwayatkan ia dikatakan luas hingga apabila Baginda berjalan, seolah-olah turun dari tempat tinggi.

Apabila Nabi SAW menoleh, Baginda akan berbuat demikian dengan keseluruhan badan, manakala antara kedua-dua bahunya terdapat khatam nubuwwah, iaitu tanda kenabian.

Mohd Sobri berkata, Rasulullah SAW lebih banyak melihat ke tanah daripada mendongak ke langit tatkala tidak berbicara dengan sesiapa.

Baginda akan berjalan di belakang sahabat dan mula sekali memberikan ucapan salam kepada orang yang Baginda temui.

“Nabi Muhammad SAW ialah penutup sekalian Nabi, manusia paling baik hati dan sangat pemurah, mudah untuk bergaul serta berurusan dengan Baginda.

“Baginda juga paling benar tutur kata hingga sesiapa menemuinya buat kali pertama, nescaya akan dapat merasai kehebatan dan sesiapa bergaul dalam keadaan sudah mengenali, nescaya akan bertambah cinta dan kasih.

“Malah, tidak akan ada yang seperti Nabi Muhammad SAW sama ada sebelum kedatangan Baginda atau selepasnya,” katanya.

Beliau menambah, di sisi ulama Ahli Sunah Wal Jamaah (ASWJ), sesiapa yang bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW, melihat Baginda dalam rupa paras asli, ia berita gembira bahawa dia akan mati dalam iman dan kelak akan dimasukkan ke dalam syurga.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: