Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Disember 2019

Rawat luka kehidupan

Posted by epondok di Disember 31, 2019

Fatimah Syarha Mohd Noordin

 

SETIAP hari kita melalui cabaran demi cabaran kehidupan yang ‘memancing’ kita untuk berasa marah, bimbang, geram dan tertekan.

Allah SWT mengajar kita selalu bersikap sederhana, jangan terlalu bersedih dan jangan juga terlalu gembira. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput daripada kamu dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan kepadamu.” (Surah al-Hadid, ayat 23)

Di rumah, pencapaian pasangan atau anak-anak ada kalanya membuatkan kita berasa sombong dan bongkak.

Atau kerenah pasangan dan anak-anak barangkali mem-uatkan kita marah.

Di tempat kerja, kerenah majikan atau teman sekerja barangkali turut mengundang tekanan terhadap diri.

Ayat al-Quran itu memandu kita menguasai perasaan diri.

Dalam ayat lain, Allah SWT mengingatkan, kita mudah berkeluh kesah tatkala ditimpa musibah, menjadi kedekut tatkala mendapat kebaikan kecuali orang yang solat.

Nabi SAW pernah menegaskan, sabar itu adalah pada pukulan pertama.

Ini bermakna, pertama kali kita mendengar, melihat atau merasakan sesuatu yang menjadi ujian pada kita, bagaimana maklum balas kita?

Maklum balas pertama kita itulah melayakkan kita menjadi orang sabar atau sebaliknya di sisi Allah SWT.

Orang beriman mudah mengembalikan segalanya kepada Allah SWT dengan berkata, “Semuanya daripada Allah SWT, kepada-Nya kita kembali.”

Emosi yang tidak diurus hanya meletihkan diri sendiri. Ia menyebabkan kita sakit berkali-kali.

Kita pasti disakiti oleh rasa susah hati. Bukan setakat itu, bahkan kesan kemarahan boleh menyebabkan emosi terpendam kepada orang yang dimarahi, seterusnya jika tidak diselesaikan, ia mengakibatkan tekanan mental.

Jika dia adalah orang yang kita cintai, bukankah kita akan turut sakit jika dia mula mengalami penyakit depresi?

Bayangkan saat kita marah, bagaimana wajah kita? Sudikah kita menghantar wajah itu ke media sosial?

Saat marah, apakah perkataan yang terhambur di bibir? Adakah ia penuh caci maki?

Mahukah kita merekod dan memperdengarkan suara itu di YouTube? Atau sudikah kita merakam aksi kita yang ber-
tindak mengikut nafsu?

Sudah pasti kita tidak sudi kerana kita tahu apabila marah tidak diurus, ia hanya menghamburkan yang buruk-buruk. Sedangkan, kesalahan orang yang kita marah barangkali tidak sebesar mana.

Cuma kita terlalu fokus kepada kesalahannya dan terlupa fokus kepada kebaikan yang dia berusaha keras cuba lakukan.

Kita lebih bahagia apabila banyak memberi fokus melihat aib diri sendiri, menyembunyikannya dan memperbanyakkan istighfar.

Kita juga lebih bahagia apabila banyak melihat dan memuji kebaikan orang.

Namun, selalunya kita banyak melihat masalah orang dan hanya nampak kebaikan diri serta merasakan tiada apa lagi yang perlu diperbaiki.

Maka, mulakan hari kita dengan persiapan zikir pada waktu pagi dan petang seperti yang diajar Nabi SAW atau disebut al-Ma’thurat.

Dalam zikir pagi dan petang itu, kita dipandu untuk muhasabah, menyedari diri, memperbaharui janji dengan Allah, meminta ampun, berdoa, me-
ngetahui hakikat hidup, merawat luka kehidupan dan sebagainya.

Betapa ruginya hari yang kita lalui tanpa mengamalkan keindahan zikir-zikir berkenaan.

Apabila kita membuka mata pada waktu pagi, adakah kita memilih permulaan hidup pada hari itu dengan permulaan yang jauh daripada Allah SWT?

Adakah kita memilih permulaan hidup dengan mengharapkan bimbingan Allah SWT?

Ibnu Qayyim berkata, seperti yang diriwayatkan oleh Dr Aid Abdullah al-Qarni dalam kitabnya, La Tahzan, “Orang-orang yang mengenal Allah dengan baik sepakat bahawa ketika kita sesat, maka Allah menyerahkan segalanya kepada kita dan membiarkan apa yang terjadi antara kita dengan jiwa kita. Tetapi ketika kita benar, maka Allah akan selalu membimbing.”

Kita sentiasa berada dalam dua keadaan sama ada bingung atau mendapat petunjuk.

Saat kita mengingati Allah SWT, menyebut kesyukuran, membuat perkataan atau amalan yang meraih reda-Nya, Allah SWT pasti memberikan petunjuk-Nya.

Apabila kita mengabaikan dan melupakan Allah SWT, berani berkata buruk dan melakukan amalan derhaka, Allah SWT pasti murka dan mem-
biarkan kita terumbang-ambing sendirian.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Rahmat menangis ketika baca ayat al-Quran

Posted by epondok di Disember 30, 2019

BOLEH jelaskan hukum menangis ketika membaca al-Quran terutamanya ketika sedang solat?

Menangis adalah salah satu rahmat yang dicampakkan oleh Allah SWT ke dalam jantung hati hamba-Nya yang beriman.

Ia lambang kesucian jiwa, ketulusan hati serta zahir sifat khasyiatullah seorang hamba.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, beliau menceritakan, ketika anakanda Rasulullah SAW bernama Ibrahim meninggal dunia, berlinanglah kedua-dua mata Baginda SAW. Lalu Abd Al-Rahman bin Auf berkata: “Kamu juga menangis wahai Rasulullah?” Maka jawab Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai anak lelaki ‘Auf, sesungguhnya ia (tangisan) itu merupakan suatu rahmat.” (Riwayat Al-Bukhari – 1303)

Perbuatan menangis ketika membaca al-Quran pula adalah sifat golongan salaf serta syiar hamba Allah yang soleh.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Sa’d bin Abu Waqqas RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini turun dengan kesedihan. Maka apabila kamu membacanya hendaklah kamu menangis. Sekiranya kamu tidak menangis hendaklah kamu buat-buat menangis.” (Riwayat Ibn Majah – 1337)

Demikian juga terdapat sebuah atsar yang menyebutkan secara khusus akan perbuatan menangis ketika membaca ayat al-Quran di dalam solat.

Ini seperti yang disebutkan oleh Abdullah bin Syaddad, beliau berkata, maksudnya: “Aku mendengar tangisan teresak-esak Umar bin Al-Khattab dalam keadaan aku pada ketika itu berada di saf yang terakhir dalam solat Subuh. Beliau ketika itu membaca ayat daripada surah Yusuf, maksudnya: Sesungguhnya aku mengadu kesedihan dan dukacitaku kepada Allah.” (Lihat Syu’ab Al-Iman, Al-Baihaqi – 3/414)

Berkenaan cara menghadirkan perasaan sedih dalam pembacaan al-Quran, berikut kami kongsikan kata-kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah:

Cara untuk mendapatkannya (tangisan) adalah dengan menghadirkan perasaan sedih di dalam hati dengan cara meneliti apa yang terdapat di dalam al-Quran daripada ancaman serta amaran yang keras. Begitu juga (dia mengingati) perjanjian (antara dirinya dengan Allah SWT) dan memikirkan secara mendalam kekurangannya dalam hal berkenaan. Sekiranya dia tidak mampu menghadirkan perasaan dukacita dan tangisan sebagaimana yang berlaku kepada golongan Al-Khawaas, maka hendaklah dia menangis atas ketidakmampuannya (dalam menghadirkannya) kerana hal itu adalah antara sebesar-besar musibah. (Rujuk Al-Tibyan fi Adab Hamalat Al-Quran, Al-Nawawi – halaman 90)

Beliau juga menyebutkan kata-kata Hujjat Al-Islam, Al-Ghazali Rahimahullah: Menangis itu dituntut berserta dengan bacaan al-Quran dan juga ketika (dibacakan) al-Quran.

Kesimpulannya, kami menyatakan hukum menangis ketika membaca al-Quran adalah dibenarkan.

Bagaimanapun, perlu dijelaskan bahawa dalam mazhab Syafi’e, sekiranya perbuatan menangis di dalam solat itu nyata mengeluarkan sebutan dua huruf sama ada memiliki makna atau tidak, atau satu huruf tetapi memiliki makna seperti qi yang bermaksud peliharalah, maka batallah solatnya.

Jika tidak jelas sebutan dua hurufnya, maka tidak batal solat seseorang itu.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Mulakan hari, 4 keadaan kebaikan

Posted by epondok di Disember 29, 2019

Oleh Nazmi Yaakub

SETIAP Muslim dan Muslimat memulakan hari baharu selepas menunaikan solat Subuh pastinya tidak terlepas daripada empat keadaan seperti disimpulkan Imam al-Ghazali dalam kitabnya Bidayah al-Hidayah.

Pertama, keadaan paling utama adalah mencari ilmu bermanfaat, iaitu pengetahuan dan pengenalan yang menambahkan takwa kepada Allah SWT, sekali gus mengisi makrifat dalam beribadat kepada-Nya.

Ilmu berguna juga dinilai kepada sesuatu yang mengurangkan kecenderungan kepada dunia, sebaliknya menambahkan perasaan ingin kepada akhirat.

Ia juga dapat mengenalkan seseorang Muslim kepada penyakit hati dan amalan yang dapat membantu mereka menjauhi serta mengelakkannya.

Abu Said al-Khudri meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya seseorang mukmin tidak pernah kenyang daripada kebaikan (yakni ilmu), dia (sentiasa belajar dengan) mendengar pengajaran ilmu hingga (maut datang menjemputnya) dan dia masuk ke dalam syurga. (HR Tirmizi)

Kedua, keadaan beribadat dengan meneruskan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti berzikir seperti bertasbih, bertahmid, bertahlil dan bertakbir serta membaca al-Quran dan menunaikan solat sunat khususnya dhuha.

Allah SWT berfirman: “Wahai orang beriman, ingatlah dan sebutlah nama Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.” (Al-Ahzab: 42-43)

Ketiga, keadaan orang beriman berkhidmat kepada umat Islam seperti membantu masyarakat terutama golongan memerlukan seperti fakir miskin dan orang sakit.

Malah, khidmat itu juga termasuk melayani keperluan ulama dan ahli sufi seperti yang berlaku dalam tradisi Islam termasuk di alam Melayu.

Ibnu Abbas RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang berjalan untuk menunaikan hajat saudaranya, maka amalan itu lebih baik daripada iktikaf selama 10 tahun. Sesiapa yang beriktikaf selama sehari pun kerana mencari keredaan Allah, maka Allah akan menghalanginya daripada neraka sejauh tiga khandaq atau parit dengan lebar setiap parit lebih luas daripada jarak antara bumi dengan langit. (HR Tabarani)

Bagaimanapun, Imam al-Ghazali berkata, sekiranya ketiga-tiga perkara itu tidak dapat dilakukan, beliau menyarankan Muslim dan Muslimat berusaha menunaikan keperluan sendiri serta mencari nafkah sama ada untuk diri sendiri atau keluarga.

Saidina Ali RA meriwayatkan seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, apakah pekerjaan paling baik?” Baginda bersabda: “Seorang lelaki bekerja dengan tangannya dan setiap jual beli yang baik kerana sesungguhnya Allah suka kepada mukmin bekerja dan sesiapa berusaha bersungguh-sungguh untuk menyara hidup keluarganya adalah sama seperti orang berjihad pada jalan Allah.” (HR Ahmad)

Tumpuan kepada keempat-empat perkara itu dapat mengelakkan kita daripada terjerumus kepada tindakan menimbulkan gangguan dan mudarat kepada masyarakat sama ada dengan lidah mahupun tangan.

Keempat-empat keadaan itu wajar diberikan perhatian kepada kita yang berada di ambang akhir zaman kerana kemajuan teknologi maklumat boleh menyebabkan kemungkaran dan kejahatan menyusup dalam kehidupan harian kita.

Ini kerana di sebalik kesibukan menuntut ilmu, beribadat, membantu urusan umat Islam atau mencari rezeki, pintu melakukan kemudaratan tetap terbuka terutama dengan kemudahan teknologi maklumat itu.

Abu Barzah Aslami RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Wahai semua orang beriman dengan lidah sedangkan iman belum masuk ke dalam hati mereka, janganlah kamu mengumpat orang Islam, janganlah kamu mencari-cari keaiban mereka kerana sesiapa yang mencari-cari keaiban orang Islam, maka Allah SWT akan menjejaki keaibannya dan sesiapa yang Allah SWT jejaki keaibannya, maka dia akan dimalukan walaupun dalam rumahnya sendiri. (HR Abu Daud)

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Keadaan 3 golongan di Padang Mahsyar

Posted by epondok di Disember 27, 2019

DI Padang Mahsyar kelak, keadaannya digambarkan sangat panas sekali.

Dalam satu riwayat dinyatakan, seseorang akan tenggelam dalam peluh berdasarkan kadar dosa yang dilakukannya.

Di atas hamparan yang rata tiada bertepi itu manusia akan dikumpulkan dalam tiga kelompok.

Daripada Huzaifah Ibn Asad yang mengatakan bahawa sahabat Abu Zar R.Anhu bangkit berdiri lalu berkata: “Hai Bani Ghifar, katakanlah janganlah kalian berselisih kerana sesungguhnya orang yang benar dan dibenarkan (yakni Nabi SAW pernah bercerita kepadaku bahawa manusia dikumpulkan (kelak pada hari kiamat) menjadi tiga golongan.

“Satu golongan dalam kalangan mereka berkenderaan, mendapat makanan dan diberi pakaian manakala satu golongan lagi diiring dengan berjalan kaki dan juga sambil berlari-lari dan satu golongan lain pula diseret oleh para malaikat di atas wajah mereka, lalu diiring ke neraka.”

Maka salah seorang antara mereka bertanya kepada Abu Zar mengenai kedua-dua golongan berkenaan: “Kami sudah memahaminya, lalu bagaimanakah pula dengan orang yang diiringi dengan berjalan kaki sambil berlari?”

Abu Zar menjawab, “Allah menimpakan penyakit kepada semua kenderaan sehingga mati semua, tiada seekor kenderaan pun dapat bertahan hidup sehingga ada seorang yang mempunyai kebun yang paling disukainya rela menukarkan dengan seekor haiwan berkenderaan sebagai tunggangannya, tetapi dia tidak mampu mendapatkannya.” (Riwayat Ahmad dan turut diriwayatkan oleh al-Nasa’i dan al-Hakim)

Dalam buku 40 Hadis Huru Hara Kiamat, hadis itu menjelaskan, kelompok manusia pertama akan  dihimpunkan dalam keadaan sangat bertuah dan dipermudahkan urusan hisabnya di Mahsyar kerana mereka dapat  menunggang kenderaan, berpakaian serta  diberi makanan.

Golongan itu adalah mereka yang beriman dan sentiasa bersedia dengan amalan ketakwaan ketika di dunia.

Golongan kedua, mereka akan diseret serta disungkurkan muka ke bumi akibat kufur kepada Allah SWT.

Kemudian, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka oleh malaikat secara kasar dan keras.

Golongan ketiga pula adalah mereka yang berjalan kaki dan berlari-lari.

Tiada kenderaan buat mereka sebaliknya, Allah SWT menjadikan semua unta (kenderaan) ketika itu berpenyakit sehingga semuanya mati dan tidak dapat dijadikan tunggangan di Padang Mahsyar.

Golongan yang berjalan kaki dan berlari-lari itu adalah mereka yang banyak melakukan dosa dan maksiat.

Kesimpulannya, hadis  itu membuktikan amalan dan iman seseorang di dunia akan menjadi bekalan sangat berharga pada hari akhirat.

Sesiapa yang berjaya menyediakan  bekalan ketika hayatnya di dunia ini pasti akan dapat ‘menuai’ hasilnya pada hari berkenaan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Solat Gerhana Matahari Lepas Zohor hari ini 26 Disember 2019

Posted by epondok di Disember 26, 2019

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Khutbah Gerhana Matahari 26 Disember 2019

Posted by epondok di Disember 26, 2019

Khutbah Gerhana Matahari 2019

خطبة متهاري2019

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Adab ketika mendengar bacaan al-Quran

Posted by epondok di Disember 24, 2019

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Apabila al-Quran itu dibacakan, dengarkan dan diam supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-A’raf, ayat 204)

Begitulah pentingnya al-Quran. Apabila ada dalam kalangan ahli keluarga atau sahabat membaca al-Quran, kita perlu mendengarnya dengan penuh ketenangan supaya memperoleh rahmat.

Ini kerana ayat al-Quran itu adalah kata-kata yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibril.

Bermakna, membaca dan menelaah al-Quran itu adalah mempelajari kata-kata Allah SWT yang memiliki kebenaran dan petunjuk buat orang-orang beriman.

Kita perlu membaca atau mendengar bacaan al-Quran kerana ia dapat menghiburkan hati yang sedih, menenangkan jiwa yang resah gelisah serta melunakkan hati yang keras.

Abu Hurairah meriwayatkan, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Ada empat hal yang terasing di dunia ini iaitu al-Quran dalam perut orang yang zalim, masjid dalam seruan suatu kaum sedangkan mereka tidak melaksanakan solat, mushaf di rumah orang yang tidak pernah membacanya dan orang soleh yang berada dalam bangsa yang sesat.” (Diriwayatkan al-Dailami)

Selain itu, Nabi SAW turut menjelaskan kepentingan al-Quran iaitu menerusi hadis yang bermaksud: “Ada dua golongan manusia yang menyebabkan orang lain berasa sungguh iri hati kepada mereka iaitu orang yang membaca al-Quran siang dan malam dan orang kaya yang menggunakan hartanya di jalan Allah SWT.” (Diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim)

Sayid Sabiq dalam bukunya, Aqidah Islam menyatakan, al-Quran memiliki keistimewaan yang dapat kita bezakan daripada kitab lain yang diturunkan sebelumnya.

Antaranya, al-Quran memuatkan ringkasan ajaran yang pernah dimuatkan dalam kitab suci sebelumnya iaitu Zabur, Taurat dan Injil serta lembaran lain daripada Allah SWT.

Ajaran yang termuat dalam al-Quran adalah kalimat terakhir bagi memberi petunjuk yang benar kepada manusia dan ia kekal buat selama-lamanya.

Kerana itu, Allah SWT memelihara al-Quran sehingga hari kiamat dan perkara itu terbukti dengan ramainya kaum Muslimin yang menghafal ayat-ayat al-Quran.

Selain itu, al-Quran tidak bertentangan dengan hakikat alam semesta dan ilmu pengetahuan. Al-Quran adalah kata-kata Allah dan alam semesta serta apa sahaja yang terkandung di dalamnya adalah ciptaan Allah SWT.

Allah SWT turut berkehendak supaya ayat-ayat-Nya disebar luas serta disampaikan kepada manusia sehingga ia menjadi amalan dalam kehidupan mereka.

Atas sebab itu, Allah SWT menurunkan al-Quran dengan gaya bahasa yang istimewa, tidak sukar bagi sesiapa untuk memahami dan mengamalkannya.

ara itu dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Kami mudahkan al-Quran sebagai peringatan dan pengajaran, adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan.” (Surah Qamar, ayat 17)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Tidak bijak tuntut mansuh kesalahan jenayah syariah

Posted by epondok di Disember 22, 2019

Oleh Hafizah Iszahanid

 

JENAYAH syariah tidak boleh dihakimi berdasarkan undang-undang sivil, malah tuntutan untuk memansuhkannya atas alasan ia tidak sesuai dengan perkembangan semasa adalah kurang bijak.

Ini disebabkan meskipun jenayah syariah dilihat sebagai perbuatan separa jenayah, ia membabitkan persoalan urusan umat Islam selari dengan tuntutan Allah SWT.

Di negara ini, sejarah perundangan Islam sudah berlaku sejak sekian lama, manakala pada zaman penjajahan, ia berada di bawah bidang kuasa sultan.

Justeru, ia peraturan untuk orang Islam dengan sebahagian kesalahan jenayah syariah disebut dalam al-Quran dan hadis.

Antaranya hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA dan Ibnu Umar RA, bahawa kedua-keduanya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Ketika Baginda membaca khutbah Jumaat di atas mimbar, mudah-mudahan orang ramai tidak terus menerus suka meninggalkan sembahyang Jumaat tanpa uzur, nescaya Allah akan menutup ke atas hati mereka daripada menerima kebenaran dan kebaikan yang di kehendaki oleh agama. Maka jadilah mereka golongan orang yang lalai. (HR Muslim)

Timbalan Pengarah Penyelidikan & Pembangunan, Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Siti Zubaidah Ismail, berkata jenayah syariah ialah kelompok kesalahan yang tidak diperuntukkan oleh kuasa persekutuan.

Ia berkaitan dengan isu agama Islam sahaja dan dihukum oleh mahkamah syariah negeri.

“Kesalahan ini membabitkan pelanggaran terhadap rukun agama yang dilakukan oleh orang Islam.

“Ia meliputi kesalahan akidah, ajaran sesat misalnya, kesalahan berkaitan moral atau tatasusila antaranya berzina serta berkhalwat, yang tidak ada peruntukan mahkamah Persekutuan,” katanya.

Tambah Siti Zubaidah, jenayah syariah tidak terhad kepada kesalahan seperti khalwat atau makan di khalayak ramai pada Ramadan.

Antaranya berkaitan dengan akidah, iaitu kesalahan pemujaan, membuat dakwaan palsu, mengembangkan doktrin agama selain Islam dan menyebar doktrin palsu.

Selain itu, ia turut membabitkan kesalahan tatasusila seperti khalwat, bersekedudukan, pelacuran, hamil luar nikah, liwat juga lelaki berlagak perempuan.

Termasuk dalam definisi jenayah syariah juga, adalah hal membabitkan pencemaran kesucian Islam dan institusinya seperti menghina agama, mempersendakan ayat al-Quran atau hadis, tidak menghormati Ramadan, tidak bayar zakat, tidak solat jumaat juga berjudi.

Satu lagi kategori dilihat sebagai kesalahan pelbagai, iaitu perlakuan mengkafirkan orang, mencemarkan masjid, menggalakkan maksiat, memungut zakat fitrah tanpa kuasa tauliah, juga kesalahan keluarga seperti tidak membayar nafkah.

Tegas Siti Zubaidah, sehingga kini kesalahan jenayah syariah yang paling banyak di negara ini adalah khalwat.

Bagaimanapun, kesalahan begini hanya akan dapat dikesan berdasarkan keprihatinan masyarakat yang tampil membuat aduan.

“Kes khalwat selalunya berlaku pada waktu malam, jarang ada kes berlaku siang. Jadi penguat kuasa akan bertindak ikut aduan dan biasanya aduan itu malam.

“Hal ini sebenarnya cabaran kerana jika aduan itu didapati sah, penguat kuasa perlu bertindak tidak kira jam tiga atau dua pagi.

“Ini menyebabkan orang ramai melihatnya sebagai mengganggu ketenteraman awam dalam erti kata ketuk pintu rumah orang tengah malam, tetapi tidak bermakna penguat kuasa melakukannya sampai roboh.

“Selalunya mereka akan tunggu sampai pintu dibuka, ada kala ambil masa sampai 30 minit,” katanya.

Keadaan ini katanya perlu difahami, kerana penguatkuasaan berlaku atas aduan yang sah. Tidak timbul persoalan pihak penguat kuasa membuat intipan atau mengendap rumah persendirian berasaskan syak wasangka.

Tegas Siti Zubaidah, tindakan yang diambil oleh pihak penguat kuasa adalah berasaskan tatacara pengendalian piawai (SOP).

Satu hal yang menarik, meskipun kesalahan jenayah syariah itu terpakai kepada orang Islam, aduan yang datang dari orang bukan Islam turut diambil kira.

Siti Zubaidah berkata, kesalahan jenayah syariah di negara ini, mengalami pelbagai cabaran dan tafsiran sejak 40 tahun kewujudan dalam enakmennya tersendiri.

Bagaimanapun sebagai pensyarah Jabatan Syariah dan Undang Undang di API UM, beliau mengakui belum ada sebuah buku khas yang membincangkan mengenai jenayah syariah.

Hal ini menyebabkan beliau dan Penerbit Universiti Malaya tampil dengan naskhah Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah di Malaysia, yang pertama kali diterbitkan dua tahun lalu.

Naskhah itu turut memenangi Hadiah Karya Ilmiah kategori Seni, Sains Sosial dan Kemanusiaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2018.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Hubungan songsang undang bala, dosa

Posted by epondok di Disember 21, 2019

Oleh Latifah Arifin

 

ANTARA punca utama transmisi jangkitan Human Immunodeficiency Virus (HIV) adalah melalui melalui hubungan seksual melampaui batas agama khususnya membabitkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menurut laporan Kementerian Kesihatan bermula 1986 hingga Disember lalu, seramai 12,737 penghidap AIDS di dalam negara.

Jangkitan kuman HIV pada 2018 mencatatkan peningkatan tertinggi, iaitu 48 peratus dalam kalangan belia dan remaja yang berusia 20 hingga 39 tahun.

Maka, perbuatan segelintir masyarakat yang memperjuangkan hak golongan LGBT khususnya dalam perilaku seks songsang perlu diperbetulkan kerana ia bukan sahaja bercanggah dengan hukum syarak, bahkan demi kesejahteraan ummah yang boleh dijangkiti wabak berbahaya berkenaan.

Firman Allah SWT: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian kerana Allah hendak berasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Al-Rum: 41)

Golongan ini jelas melanggar konsep penciptaan jantina, iaitu lelaki dan perempuan seperti termaktub dalam al-Quran, maka kecelaruan dalam pemikiran antaranya mempersoalkan ketentuan Tuhan kononnya tidak dikurniakan bentuk tubuh yang selari dengan ‘naluri’ tidak wajar dijadikan asas atau sandaran.

Ibnu Kathir dalam kitabnya Qasas al-Anbiya’ menerangkan sikap ingkar kaum Nabi Lut AS. Mereka bertindak mengusir Baginda dan anak perempuannya, lantas membinasakan umatnya dalam keadaan hina.

Bahkan, kebanyakan ulama turut membahaskan kisah umat Nabi Lut AS sebagai pendedahan kepada penyelewengan fitrah insan yang abnormal.

Jelas, keinginan seks yang melawan arus dan menyimpang jauh daripada ajaran Allah SWT ini tindakan yang bertentangan dengan akidah Islam dan sistem hidup yang diatur-Nya.

Antara jalan terbaik untuk menangani penularan wabak penyakit berjangkit yang boleh membawa kepada risiko kematian ini adalah dengan kembali kepada asas agama.

Agama satu-satunya penyuluh hidup, melaluinya terdapat nilai rahmah kepada seluruh manusia dan sekalian alam.

Melalui ajaran Islam yang lengkap ini, ia membantu setiap umat menjalani hidup dalam keadaan terpelihara dan mengelakkan daripada terjerumus ke dalam lembah kebinasaan.

Terdapat banyak peringatan yang Allah SWT berikan bagi mengingatkan umat Islam supaya memilih cara hidup bersih, sebagai langkah pencegahan melindungi diri dan masyarakat sekeliling daripada dijangkiti penyakit berbahaya.

Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan).” (Al-Isra’: 32)

Justeru, lambakan ‘transgender Muslim’ hari ini yang begitu lantang menafikan dosa dan kesalahan seksual dilakukan mereka dengan membawa pemikiran bebas perlu dibanteras habis-habisan.

Pada masa sama, setiap Muslim perlu memainkan peranan untuk membantu supaya mereka dapat kembali kepada fitrah yang asal dan mengambil langkah perubahan yang sewajarnya.

Proses perkembangan seorang manusia itu daripada bayi, kanak-kanak, remaja dan dewasa melalui fasa yang berbeza dan berkemungkinan ada yang dipengaruhi faktor seperti keluarga dan persekitaran sehingga mengubah orientasi seksualnya.

Sesama Muslim perlu menasihati dengan pendekatan yang tidak bersifat menghukum semata-mata, bahkan usah sekali-kali menyerang keperibadian atau menyentuh aib si pelaku kononnya untuk tujuan menegur.

Ibnu ‘Umar RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim (lainnya), dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya untuk disakiti. Siapa yang membantu menunaikan hajat saudaranya, Allah akan tunaikan hajatnya. Siapa yang hilangkan satu kesusahan seseorang Muslim, maka Allah akan hilangkan satu kesusahannya daripada kesusahan-kesusahan pada Hari Kiamat. Siapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah akan tutup aibnya pada Hari Kiamat.” (HR Bukhari)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tegur dalam media sosial biar beradab

Posted by epondok di Disember 20, 2019

Oleh Hasliza Hassan

 

SETIAP hari ada sahaja berita tersebar sama ada dari sumber diterbitkan mahupun media dalam talian seperti Facebook, Twitter, Instagram serta perkongsian mesej melalui aplikasi WhatsApp.

Berita itu bukan sahaja akan mendapat tanda ‘suka’, ikon dan komen, bahkan akan dikongsi dengan meluas sama ada berserta komen positif mahupun negatif dan bahasa kasar.

Demi memberi justifikasi terhadap perbuatan itu, ramai menggunakan alasan hak asasi atau bebas menyuarakan pandangan, meskipun maksud hak itu lebih ditumpukan kepada milik peribadi membuatkan seseorang merasakan mereka bebas melakukan apa sahaja.

Hakikatnya, hak mempunyai maksud luas dan pada masa sama ada batasan, malah melakukan dan menyatakan kebenaran perlu diletakkan sebagai dalam hak yang perlu diberi keutamaan.

Apa yang berlaku hari ini, masing-masing ingin menegakkan hak sendiri tanpa mempedulikan hak orang lain. Akibatnya, berlaku salah guna hak yang mengakibatkan perselisihan dan pergaduhan.

Tidak hairanlah sesetengah orang menganggap sudah menjadi hak mereka untuk meletakkan kereta sesuka hati atau berhenti di kawasan tidak dibenarkan meskipun mengganggu kelancaran lalu lintas.

Lebih buruk apabila mereka berasa berhak memaki atau memarahi penguat kuasa yang menegur dan ingin menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang.

Sebenarnya, hak ada batasan kerana walaupun kita bebas bersuara tidak boleh sewenangnya membuat tuduhan membuta tuli, mengeluarkan kata-kata kesat atau memfitnah.

Malangnya, itulah yang berlaku apabila media sosial dihujani komen dan kenyataan yang mencabul hak orang lain. Ruangan komen menjadi medan untuk menghina, mengutuk dan mengaibkan.

Disebabkan terlalu ghairah menggunakan hak sendiri membuatkan kita terlupa untuk menghormati hak orang lain.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang suka agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersebar dalam kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat.” (An-Nur: 19)

Setiap hak yang diberikan kepada manusia, datang bersama had dan syarat perlu dipatuhi. Rasionalnya, batasan itu bertujuan memastikan setiap hak digunakan dengan cara yang betul.

Kenapa agaknya kita tidak menggunakan hak untuk melindungi saudara kita. Bukankah menjadi tanggungjawab setiap orang Islam memelihara hak Muslim lain?

Abu Musa RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Seorang Mukmin dengan Mukmin lain adalah seperti sebuah binaan, sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain. (HR Bukhari dan Muslim)

Namun, apa yang berlaku hari ini seolah-olah memperlihatkan masyarakat lebih mudah mengambil sikap menghukum daripada membela dan menyedarkan saudara mereka yang melakukan kesilapan seperti yang dapat dilihat di media sosial.

Apabila ada berita viral, ia menjadi perhatian umum dan kita dapat membaca komen daripada individu yang berlagak seperti penguat kuasa, hakim, peguam, ulama dan pembela kerana seolah-olah berasa mengetahui segala-galanya.

Lebih menggusarkan, bukan sahaja kisah negatif, malah perkara baik dilakukan sesetengah pihak turut mendapat kecaman hingga timbul pertanyaan, apa sebenarnya yang diingini oleh umat hari ini?

Bukanlah kita disuruh bersetuju atau menyokong perbuatan yang menyalahi syariat agama Islam, tetapi adalah lebih baik kita berusaha membantu dengan memberi pandangan atau nasihat secara penuh berhikmah.

Selain dapat mengelak daripada masalah berpanjangan, ia juga mencerminkan keindahan ajaran agama, adab dan budaya masyarakat yang mementingkan nilai moral serta etika yang baik.

Ibnu Umar RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Seorang Muslim ialah saudara kepada Muslim lain. Dia tidak boleh menzalimi dan merendahkannya. Sesiapa yang memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Sesiapa yang menghilangkan satu kesulitan daripada seseorang Muslim, maka Allah akan melepaskan baginya satu kesulitan daripada pelbagai kesulitan hari kiamat disebabkan perbuatannya itu. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya pada Hari Kiamat. (HR Bukhari dan Muslim)

Islam sebagai agama rahmat memelihara kesejahteraan umat manusia dalam semua aspek. Allah SWT menjanjikan balasan baik kepada mereka yang membantu saudaranya.

Layanan dan kata-kata baik juga mampu melembutkan hati yang keras atau menyedarkan seseorang yang sudah melakukan kesilapan.

Banyak kisah boleh diteladani daripada sirah Rasulullah SAW melayani musuh dan mereka yang membenci Baginda dengan sikap serta kata-kata yang baik. Akhirnya, Baginda menjadi orang yang paling disayangi musuh dan ummah.

Justeru, tanyalah diri adakah kita sudah menjalankan tanggungjawab menjaga hak Mukmin yang lain atau kita menjadi pihak yang mencabuli hak mereka.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »