Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Membaca al-Quran ikut cara Nabi SAW

Posted by epondok di November 30, 2019


Oleh Hasliza Hassan

 

MEMELIHARA al-Quran dengan baik termasuk menjaga bacaannya mengikut cara bacaan sebenar menjadi sunnah yang sepatutnya dikuasai umat Islam.

Sebagai mukjizat teragung Rasulullah SAW dan panduan dalam kehidupan umat Islam, al-Quran mempunyai banyak kelebihan kepada pendampingnya.

Rasulullah SAW bersabda: Dan tidak ada suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah, lalu mereka membaca kitab Allah dan mempelajarinya sesama mereka, melainkan ketenangan akan turun kepada mereka, rahmat meliputi mereka, malaikat akan menaungi mereka dan Allah akan menyebut mereka di hadapan malaikat di sisi-Nya. (HR Muslim)

Pendakwah, Mohammad Nazri Dewa, berkata membaca al-Quran dengan betul bermakna kita memelihara ketepatan wahyu Allah SWT sejak diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW hingga sekarang.

Mohammad Nazri berkata, apabila wahyu diturunkan, sahabat Rasulullah SAW akan pergi menemui Baginda untuk mendengar firman Allah SWT dan bertalaqi secara langsung.

Apabila mendapat wahyu, Rasulullah SAW akan meminta sahabat penulis seperti Muawiyah ibnu Abu Sufian RA dan Zaid ibnu Thabit RA menulisnya pada pelepah tamar atau kulit haiwan.

Bagaimanapun, sahabat lebih suka pergi sendiri kepada Baginda SAW untuk mendengar ayat diturunkan itu.

“Bagi kita yang tidak sezaman dengan Nabi SAW, hendaklah mencari guru al-Quran untuk mempelajari cara bacaan betul mengikut hukum ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, daripada sudut pembacaan, Rasulullah SAW membaca dengan jelas huruf demi huruf atau tartil, iaitu bacaan elok mengikut tajwid.

Ya’la ibnu Mamlak RA meriwayatkan beliau bertanya kepada Ummu Salamah RH mengenai cara Nabi SAW

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW memanjangkan pada tempat yang perlu dipanjangkan mengikut bilangan harakat sepatutnya dan membaca ayat demi ayat mengikut wakaf (perhentian) ditetapkan.

Mohammad Nazri berkata, Rasulullah SAW amat menjaga kesahihan bacaan diterimanya daripada Jibril AS dan Baginda akan bertadarus dengan penghulu malaikat itu setiap kali Ramadan.

Beliau berkata, menjadi fitrah manusia khususnya yang dididik dengan al-Quran daripada kecil untuk kembali kepada kitab suci itu termasuk apabila tiba bulan puasa.

“Bagaimana susah pun kita rasa, jiwa manusia akan tertarik kepada al-Quran. Contohnya pada Ramadan, secara automatik hati akan rasa kuat untuk membaca al-Quran,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan ada kala untuk mendekatkan diri kepada al-Quran seperti meluangkan waktu membaca atau mempelajari ilmunya perlu dilakukan secara paksa.

Beliau mengingatkan al-Quran memberi impak besar kepada setiap individu berusaha mendampinginya sebagai penolong dan pemberi syafaat pada akhirat nanti.

Malah, orang beriman yang sentiasa menjaga al-Quran, Allah SWT akan memelihara mereka seperti sabda Rasulullah SAW: Bacalah al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sambil memberikan syafaat kepada pembacanya. (HR Muslim)

Mohammad Nazri berkata, menjadi cabaran kepada guru mengajar al-Quran untuk menggunakan pendekatan lebih kreatif supaya proses pembelajaran mampu menarik minat pelajar.

Beliau yang membimbing kelas al-Quran di pejabat dan rumah berkata, antara cara boleh dilakukan ialah berkenalan terlebih dahulu dengan al-Quran seperti mengenali huruf serta sifatnya.

Mempelajari al-Quran tidak boleh dilakukan secara terburu-buru kerana sahabat Rasulullah SAW sendiri menghafaz ayat sedikit demi sedikit sesuai cara al-Quran diturunkan, iaitu berperingkat-peringkat.

“Biarlah belajar al-Quran bermula daripada sudut mudah kerana jika kita mengajar cara susah, ramai dikhuatiri lari. Apabila keseronokan belajar dapat dirasai, minat akan datang sendiri.

“Saya selalunya memulakan dengan mengenal asas terlebih dahulu kerana apabila sudah mengenali huruf, sifat dan makhrajnya, keseronokan mendalami ilmu al-Quran akan timbul,” katanya.

Beliau berkata, piawaian al-Quran sangat tinggi hingga apabila kita mula mempelajarinya akan terasa lebih banyak tidak diketahui kerana al-Quran diturunkan sebagai petunjuk dan penawar.

Oleh itu, berdampingan dengan al-Quran memerlukan kesungguhan dan setiap usaha memperbaiki cara bacaan, mempelajari ilmu tajwid atau mengenal huruf, akan dinilai Allah SWT.

“Ada hadis menjelaskan membaca satu huruf diberi 10 ganjaran. Bayangkan basmalah mempunyai 17 huruf, membacanya sahaja sudah dapat 170 ganjaran.

“Bolehkah kita mendapat markah penuh? Kita tidak tahu kerana Allah SWT menilainya tetapi daripada sudut kesungguhan belajar dan membaca dengan betul, insya-Allah ada nilainya,” katanya.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: