Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Terjemah iktikad tawakal menerusi amal perbuatan

Posted by epondok di November 14, 2019


Oleh Hasliza Hassan

 

Kita biasa mengucapkan atau mendengar ayat, “Kita merancang dan Allah SWT juga merancang, perancangan Allah SWT adalah yang sebaik-baiknya.”

Andai kita bersedia menerima hakikat ini, tandanya kita menaruh sepenuh keyakinan terhadap qada dan qadar yang sudah ditetapkan Allah SWT kepada hamba-Nya. Tawakal antara cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Sifat tawakal lahir daripada kepercayaan tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah SWT dan sesungguhnya, Allah SWT suka hamba yang yakin serta menaruh sepenuh kepercayaan kepada-Nya.

Firman Allah SWT: “Dan bertawakallah kamu hanya kepada Allah, jika kamu orang yang beriman.” (Al-Maidah: 23)

Apabila dinilai kembali, pasti ada peristiwa yang membuktikan sifat rahmah Allah SWT kepada hamba-Nya.

Pernahkah pada saat kita mengharapkan keajaiban dan menyerahkan sepenuh harapan selepas puas berusaha, Allah SWT memakbulkan permintaan itu.

Sesungguhnya, Allah SWT kasih kepada hamba yang bertawakal sebagaimana firman-Nya: “Kemudian apabila engkau sudah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakal.” (Ali Imran: 159)

Selalunya, antara sedar atau tidak, ketika meletakkan kebergantungan hanya kepada-Nya, hati dan mulut tidak putus mengucapkan, Ya Allah kepada-Mu aku bertawakal.

Ini mengingatkan kepada seorang rakan yang tidak henti membaca doa setiap kali mencari ruang pakir dan sifat tawakal kepada Allah SWT itu, selalunya beliau tidak dihampakan.

Tidak dinafikan ada juga masanya kita mempersoalkan kasih sayang Allah SWT terutama apabila kesenangan dinikmati tiba-tiba ditarik dan di hadapan sedang menanti kesukaran atau masalah.

Memang sukar untuk dibayangkan, tetapi itu yang dirasai apabila tanpa disangka diduga dengan penyakit kritikal, alangkah terkejut dan terasa seakan putus harapan. Mungkin itu caranya Allah SWT ingin kita terus bergantung harap hanya kepada-Nya.

Justeru, letakkan sepenuh keyakinan, berusaha sedaya mungkin seterusnya bertawakal kerana dengan izin-Nya, akan ada jalan keluar daripada cara yang tidak disangka.

Ujian Allah SWT kepada hamba-Nya juga untuk membuktikan kekuatan mereka menghadapi kesusahan kerana Dia tidak akan menguji seseorang hamba melainkan mengikut kemampuan mereka.

Firman Allah SWT: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.” (Al-Baqarah: 286)

Merujuk buku Penawar Bagi Hati tulisan ulama Melayu terkemuka, Syeikh Abdul Qadir Mandili, beliau berkata rukun tawakal boleh dibahagikan kepada tiga, iaitu tauhid, perbuatan dan pekerjaan.

Tauhid adalah asal tawakal yang lahir daripada kepercayaan Allah SWT sahaja yang menciptakan setiap sesuatu, manakala perbuatan pula, menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT.

Sementara pekerjaan ialah usaha kerana tanpanya bagaimana kita hendak menyerahkan pengharapan kepada-Nya.

Contohnya, ditimpa sakit, tetapi tidak mendapatkan rawatan dan menerima apa sahaja yang akan terjadi. Ini bukan tawakal sebaliknya tindakan menyerah diri kepada perkara yang boleh membinasakan.

Rasulullah SAW bersabda: “Berubatlah kamu wahai sekalian hamba Allah kerana sebenarnya Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit, melainkan menurunkan ubatnya, kecuali satu penyakit, iaitu tua.” (HR Ahmad, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan Abu Daud)

Setiap waktu dalam solat kita membaca, kepada-Mu kami menyembah dan kepada-Mu kami memohon pertolongan. Jika benar kita bertawakal, sewajarnya iktikad itu diterjemahkan melalui amal perbuatan.

Allah SWT berfirman: “Katakanlah (Muhammad), Tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah buat kami. Dialah Pelindung kami, dan hanya kepada Allah orang beriman bertawakal.” (At-Taubah: 51)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: