Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 8 November 2019

Kenali fizikal Nabi melalui hadis, suburkan cinta

Posted by epondok di November 8, 2019

Oleh Latifah Arifin

 

RABIULAWAL menjadi bulan istimewa kepada umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia kerana ia menandakan kita berada dalam bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Umat Islam pasti akan meraikan sambutan Maulidur Rasul pada 12 Rabiulawal sebagai isyarat untuk terus menyemarakkan cinta kepada Rasulullah SAW dan mengikuti sunnah Baginda dalam segenap aspek kehidupan.

BH sendiri tidak terlepas daripada meraikan sambutan Maulidur Rasul dengan melancarkan kempen #JomCintaNabi untuk tahun kedua berturut-turut.

Bagaimanapun pepatah Melayu mengungkapkan tidak kenal, maka tidak cinta. Begitu juga dalam menyemai kasih kepada Nabi Muhammad SAW, ia menuntut Muslim mengenali setiap inci kehidupan Baginda daripada sejarah hidup, perjuangan dan susur galur keluarga hingga ciri fizikal.

Segala-gala terkait Rasulullah SAW tidak sepatutnya ditinggalkan, bahkan wajar diterokai untuk meningkatkan keimanan apatah lagi umat Nabi Muhammad SAW mendambakan syafaat Baginda kelak.

Mengambil sebahagian hidup Rasulullah SAW untuk diteladani ialah amalan yang sangat baik, namun ia belum mencukupi untuk mengungkapkan kecintaan hakiki kepada Baginda.

Pendakwah, Mohd Iqbal Zain, berkata mengenal aspek fizikal Rasulullah SAW antara ilmu perlu dikuasai setiap Muslim yang mengakui sebagai umat Nabi Muhammad SAW.

“Jika ciri fizikal Rasulullah SAW tidak penting, sudah tentu sahabat Nabi tidak perlu bersusah-payah meriwayatkan hadis mengenainya daripada hujung rambut sampai hujung kaki dengan amat terperinci.

“Sahabat mengetahui rupa paras Rasulullah SAW juga adalah ilmu yang perlu disampaikan kepada umat selepas mereka yang tidak berpeluang untuk melihat Baginda.

“Maka, mereka merekodkan semua yang dapat diperhatikan pada fizikal Baginda SAW,” katanya kepada Ibrah.

Mohd Iqbal mengingatkan keindahan ciri fizikal Rasulullah SAW banyak disebut dalam hadis oleh sahabat.

“Saidina Ali Abi Talib RA bercerita mengenai sifat Rasulullah SAW , menurutnya fizikal Baginda tidak terlalu tinggi dan tidak juga terlalu rendah.

“Baginda bertubuh sederhana dalam kalangan kaumnya. Rambutnya pula tidak kerinting bergulung dan tidak juga lurus kaku, melainkan ikal beralun.

“Badannya tidak gemuk atau wajahnya tidak bulat, tetapi bujur telur dengan kulit putih kemerah-merahan serta bulu mata lentik,” katanya.

Beliau berkata, sifat fizikal Rasulullah SAW yang sederhana antaranya tidak terlalu gempal berkulit coklat gelap dan tidak pula terlalu kurus melambangkan agama dibawa Baginda bercirikan wasatiyah, iaitu tidak terlalu ekstrim dan tidak pula terlalu longgar.

Bahkan, beliau menambah, Ali turut meriwayatkan cara Rasulullah SAW berjalan dan pergerakannya.

“Ketika berjalan, Baginda kelihatan tegap (kakinya diangkat dengan kekuatan), seolah-olah sedang turun dari tempat yang tinggi.

“Apabila Rasulullah SAW berpaling, kedua-dua bahunya berpaling serentak (seluruh badannya turut berpaling). Di antara kedua-dua bahunya, terdapat khatamun-nubuwwah, iaitu tanda kenabian Baginda.

“Sahabat turut meriwayatkan sesiapa yang melihat Baginda buat kali pertama, pasti akan menaruh rasa hormat dan segan kepadanya, manakala orang yang berkenalan dengan Baginda tentu akan mencintainya,” katanya.

Orang yang menceritakan sifat Rasulullah SAW, tentunya akan berkata: “Belum pernah aku melihat seseorang yang setanding dengannya, sama ada sebelum kelahirannya ataupun sesudah Baginda meninggal dunia.” (HR Tirmizi)

Mohd Iqbal berkata, Rasulullah SAW adalah makhluk paling sempurna diciptakan Allah SWT dan tidak ada ciptaan lain yang lebih unggul selain Baginda.

“Sebagai orang Islam, kita hendaklah beriktikad kesempurnaan dan keunggulan Baginda adalah pada setiap aspek merangkumi kekuatan jasmani, kemerduan suara, keindahan rupa paras, kefasihan, pengorbanan, kecintaan, mukjizat dan termasuk ketampanan.

“Walaupun Nabi Yusuf AS dikenali sebagai Nabi yang sangat tampan, Baginda jauh lebih kacak,” katanya.

Justeru, katanya tidak rugi untuk mengetahui dan mendalami aspek zahir Rasulullah SAW kera melaluinya kita akan dapat mengenali kesempurnaan, keindahan dan keunggulan Baginda.

“Hati manusia secara semula jadi tertarik dengan kecantikan, jadi untuk mencintai Baginda perlu jatuh hati dan tertarik kepada kehebatan rupa paras.

“Di akhirat nanti, setiap orang beriman akan berpeluang untuk melihat Rasulullah SAW, ia tidak terhad kepada yang menerima syafaat sahaja.

“Setiap orang beriman akan dimasukkan ke dalam syurga dan sebelum memasukinya akan diberi minum di telaga kauthar oleh Rasulullah SAW,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Sambutan 88 tahun Pondok Lubuk Tapah 9 November ini

Posted by epondok di November 8, 2019

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »