Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Rasulullah s.a.w kenal umatnya melalui selawat

Posted by epondok di November 4, 2019


Oleh Latifah Arifin

 

NABI Muhammad SAW adalah satu-satunya Nabi dan Rasul yang dianugerahkan syafaat membantu umatnya di akhirat kelak.

Malangnya, masih ramai yang hanya mengakui bahawa mengasihi, mencintai dan mengharapkan syafaat Baginda tetapi tidak melakukan sebarang inisiatif mahupun berusaha mendekati junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sedangkan Baginda sentiasa mendahulukan umatnya dalam segenap perkara, bahkan Rasulullah SAW sanggup dihina, dicerca, diuji dengan pelbagai fitnah bahkan menerima ugutan bunuh demi menegakkan syiar Islam.

Pengorbanan itu tidak lain tidak bukan demi memastikan umatnya tidak terjerumus ke lembah kesesatan.

Pendakwah, Bintu Fakhrurrazy ketika mengulas kitab As-Syifa’ karya Qadi Iyadh yang menghuraikan sejarah hidup, kedudukan dan keagungan Rasulullah SAW berkata, mencintai Baginda perlu disusuli akhlak dan tindakan selari amalan seperti dilaksanakan Nabi Muhammad SAW.

“Rasulullah SAW menyatakan orang paling baik dan dekat dengan kedudukannya pada kiamat ialah insan paling baik akhlak dan berselawat kepadanya.

“Dua perkara ini tidak boleh ditinggalkan atau cuma diambil satu daripadanya. Penuhkanlah diri dengan selawat kerana ia doa untuk diri kita sendiri.

Lebih banyak berselawat, Rasulullah SAW pasti lebih mengenali kita. Begitu juga jika sedikit jumlah selawat diucapkan, sudah tentulah Baginda sukar mengenali dan bagaimana pula untuk memberikan syafaat kepada kita kelak,” katanya pada Majlis Mengenali Rasulullah SAW dan Pengajian Kitab As-Syifa’ di Darul Murtadza Centre, baru-baru ini.

Bintu Fakrurrazy berkata, antara bahaya akhir zaman yang mencengkam ialah situasi masyarakat tidak lagi menjadikan Rasulullah SAW sebagai rujukan dan teladan terbaik dalam melayari kehidupan.

“Ramai orang sibuk hendak mengubah dunia tetapi terlepas pandang melihat ke dalam diri apakah segala perkara dilakukan itu baik atau sebaliknya.

“Jika seseorang mengikuti cara hidup Rasulullah SAW, maka ketika berada dalam situasi sukar, tindak balas diberikan sentiasa dalam batasan agama dan tidak melampaui batas.

“Umpamanya, ketika ada orang membuat kesalahan kepada kita, adakah kita memilih untuk membalas dengan kebaikan atau memberikan balasan setimpal dengan perbuatan buruknya. Reaksi kita ini bergantung kepada siapakah insan yang dijadikan panduan dalam hidup,” katanya.

Beliau berkata, Rasulullah SAW terkenal dengan sifat amat luhur, Baginda bukan sahaja tidak menyakiti orang lain, bahkan tidak menzalimi orang berbuat jahat kepadanya.

“Ada banyak sirah Rasulullah SAW wajar diteladani termasuk bagaimana Baginda menyantuni seorang Yahudi yang datang untuk mengutip hutang sedangkan belum tiba tempohnya dengan pelbagai makian.

“Dalam satu kisah, Rasulullah SAW dicekik seorang pemuda sehingga Saidina Umar RA mengangkat pedang untuk menikamnya tetapi ditenangkan oleh Baginda,” katanya.

Bintu Fakrurrazy berkata, amat beruntung umat Nabi Muhammad SAW kerana Baginda tidak pernah lelah menyimpan harapan dan keinginan melihat umatnya beriman kepada Allah SWT dan sekalian Rasul.

“Lihat sahaja kesabaran Rasulullah SAW ketika diuji dengan kata hinaan, dihalau dan dibaling dengan batu hingga cedera ketika menyampaikan dakwah kepada penduduk Kota Taif.

“Pada waktu itu, Jibril ingin menghancurkan bumi Taif sebagai balasan kepada kejahatan dilakukan mereka.

“Bagaimanapun, Rasulullah SAW pula bertindak sebaliknya dengan memohon doa kepada Allah SWT supaya dibukakan pintu hati dan keturunan mereka menerima Islam,” katanya.

Beliau turut berkata, kasih sayang Rasulullah SAW kepada umatnya berterusan sehingga di akhirat nanti.

“Baginda Rasulullah SAW akan tampil sebagai satu-satunya pemilik syafaat.

“Ketika itu, semua Nabi selain Baginda tidak mampu mengangkat tangan untuk membantu umatnya.

“Namun, Baginda yang melihat umatnya kebingungan, dengan segera naik ke Arasy Allah untuk memohon pertolongan-Nya,” katanya.

Tegas Bintu Fakrurrazy, sememangnya tidak mudah untuk memiliki dan kekal istiqamah dalam menerapkan sifat mulia seperti Rasulullah SAW.

Ia memerlukan kepada jalan mujahadah, iaitu berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu dengan niat bersungguh-sungguh kerana Allah SWT.

“Walaupun Baginda sudah wafat 1,400 tahun lalu, tetapi tidak mustahil untuk mengembalikan adab dimiliki Baginda pada zaman serba moden ini.

“Misalnya, ketika hati kita disakiti orang, mengapa tidak ikut acuan Rasulullah SAW dengan menghadiahkan doa kebaikan kepadanya.

“Bangunlah solat di saat tengah malam, merayu kepada Allah SWT permudahkan urusan orang yang kita tidak sukai itu, dengan jalan ini syaitan akan kalah dan segera pergi,” katanya.

Menurut Bintu Fakhrurrazy, akhlak Rasulullah SAW dan segala kebaikannya diperakui terpuji sejak kelahirannya sehinggalah ke akhir hayat Baginda.

Rasulullah SAW sebelum diangkat menjadi Rasul digelar oleh orang Quraisy sebagai al-Amin kerana kejujuran yang dipamerkannya meliputi segala hal.

Perjuangan Rasulullah SAW untuk Islam juga tidak pernah berhenti sehingga ke akhir hayatnya.

“Kesungguhan Rasulullah SAW berjuang demi Islam amat kuat. Jika kita lihat kisah umat terdahulu, Nabi Nuh AS misalnya yang berdakwah ratusan tahun, akhirnya hanya 90 orang beriman dan menerima Islam sepanjang tempoh itu.

“Allah SWT menurunkan bencana banjir besar sebagai balasan kepada kaum Nabi Nuh yang ingkar.

“Hal ini berlainan dengan Rasulullah SAW, bahkan ketika berada di ambang sakaratulmaut, Rasulullah SAW masih menyebut umatku, ia menunjukkan kasih sayang dan keprihatinan Baginda kepada kita semua,” katanya.

Allah SWT berfirman: Wahai Jibril pergilah kepada Muhammad (sedang Tuhanmu lebih mengetahui) dan tanyakan padanya apa yang membuatkan kamu menangis. Jibril pun mendatangi Rasulullah, lalu Baginda memberitahu Jibril (sebab tangisannya). Allah kemudiannya berfirman: Wahai Jibril pergilah kepada Muhammad dan katakan padanya: Sesungguhnya Kami akan meredaimu pada umatmu dan tidak akan berlaku buruk padamu. (HR Muslim)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: