Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for November 2019

Membaca al-Quran ikut cara Nabi SAW

Posted by epondok di November 30, 2019

Oleh Hasliza Hassan

 

MEMELIHARA al-Quran dengan baik termasuk menjaga bacaannya mengikut cara bacaan sebenar menjadi sunnah yang sepatutnya dikuasai umat Islam.

Sebagai mukjizat teragung Rasulullah SAW dan panduan dalam kehidupan umat Islam, al-Quran mempunyai banyak kelebihan kepada pendampingnya.

Rasulullah SAW bersabda: Dan tidak ada suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah, lalu mereka membaca kitab Allah dan mempelajarinya sesama mereka, melainkan ketenangan akan turun kepada mereka, rahmat meliputi mereka, malaikat akan menaungi mereka dan Allah akan menyebut mereka di hadapan malaikat di sisi-Nya. (HR Muslim)

Pendakwah, Mohammad Nazri Dewa, berkata membaca al-Quran dengan betul bermakna kita memelihara ketepatan wahyu Allah SWT sejak diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW hingga sekarang.

Mohammad Nazri berkata, apabila wahyu diturunkan, sahabat Rasulullah SAW akan pergi menemui Baginda untuk mendengar firman Allah SWT dan bertalaqi secara langsung.

Apabila mendapat wahyu, Rasulullah SAW akan meminta sahabat penulis seperti Muawiyah ibnu Abu Sufian RA dan Zaid ibnu Thabit RA menulisnya pada pelepah tamar atau kulit haiwan.

Bagaimanapun, sahabat lebih suka pergi sendiri kepada Baginda SAW untuk mendengar ayat diturunkan itu.

“Bagi kita yang tidak sezaman dengan Nabi SAW, hendaklah mencari guru al-Quran untuk mempelajari cara bacaan betul mengikut hukum ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, daripada sudut pembacaan, Rasulullah SAW membaca dengan jelas huruf demi huruf atau tartil, iaitu bacaan elok mengikut tajwid.

Ya’la ibnu Mamlak RA meriwayatkan beliau bertanya kepada Ummu Salamah RH mengenai cara Nabi SAW

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW memanjangkan pada tempat yang perlu dipanjangkan mengikut bilangan harakat sepatutnya dan membaca ayat demi ayat mengikut wakaf (perhentian) ditetapkan.

Mohammad Nazri berkata, Rasulullah SAW amat menjaga kesahihan bacaan diterimanya daripada Jibril AS dan Baginda akan bertadarus dengan penghulu malaikat itu setiap kali Ramadan.

Beliau berkata, menjadi fitrah manusia khususnya yang dididik dengan al-Quran daripada kecil untuk kembali kepada kitab suci itu termasuk apabila tiba bulan puasa.

“Bagaimana susah pun kita rasa, jiwa manusia akan tertarik kepada al-Quran. Contohnya pada Ramadan, secara automatik hati akan rasa kuat untuk membaca al-Quran,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan ada kala untuk mendekatkan diri kepada al-Quran seperti meluangkan waktu membaca atau mempelajari ilmunya perlu dilakukan secara paksa.

Beliau mengingatkan al-Quran memberi impak besar kepada setiap individu berusaha mendampinginya sebagai penolong dan pemberi syafaat pada akhirat nanti.

Malah, orang beriman yang sentiasa menjaga al-Quran, Allah SWT akan memelihara mereka seperti sabda Rasulullah SAW: Bacalah al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sambil memberikan syafaat kepada pembacanya. (HR Muslim)

Mohammad Nazri berkata, menjadi cabaran kepada guru mengajar al-Quran untuk menggunakan pendekatan lebih kreatif supaya proses pembelajaran mampu menarik minat pelajar.

Beliau yang membimbing kelas al-Quran di pejabat dan rumah berkata, antara cara boleh dilakukan ialah berkenalan terlebih dahulu dengan al-Quran seperti mengenali huruf serta sifatnya.

Mempelajari al-Quran tidak boleh dilakukan secara terburu-buru kerana sahabat Rasulullah SAW sendiri menghafaz ayat sedikit demi sedikit sesuai cara al-Quran diturunkan, iaitu berperingkat-peringkat.

“Biarlah belajar al-Quran bermula daripada sudut mudah kerana jika kita mengajar cara susah, ramai dikhuatiri lari. Apabila keseronokan belajar dapat dirasai, minat akan datang sendiri.

“Saya selalunya memulakan dengan mengenal asas terlebih dahulu kerana apabila sudah mengenali huruf, sifat dan makhrajnya, keseronokan mendalami ilmu al-Quran akan timbul,” katanya.

Beliau berkata, piawaian al-Quran sangat tinggi hingga apabila kita mula mempelajarinya akan terasa lebih banyak tidak diketahui kerana al-Quran diturunkan sebagai petunjuk dan penawar.

Oleh itu, berdampingan dengan al-Quran memerlukan kesungguhan dan setiap usaha memperbaiki cara bacaan, mempelajari ilmu tajwid atau mengenal huruf, akan dinilai Allah SWT.

“Ada hadis menjelaskan membaca satu huruf diberi 10 ganjaran. Bayangkan basmalah mempunyai 17 huruf, membacanya sahaja sudah dapat 170 ganjaran.

“Bolehkah kita mendapat markah penuh? Kita tidak tahu kerana Allah SWT menilainya tetapi daripada sudut kesungguhan belajar dan membaca dengan betul, insya-Allah ada nilainya,” katanya.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Yahudi, Nasrani sembunyi kenabian Rasulullah

Posted by epondok di November 29, 2019

Oleh Ahmad Shukri Yusoff

 

PENDETA Yahudi yang menganut Islam, Abdullah Ibn Salam berkata, “Aku lebih lama mengenali Baginda Nabi SAW daripada mengenali anakku sendiri. Lalu Umar bertanya kepadanya: Mengapa Abdullah menjawab: Aku tidak ragu Nabi Muhammad SAW seorang nabi, tetapi anakku, boleh menyebabkan ibunya menyeleweng.” Secara spontan Umar menciumnya.

Demikianlah pengakuan seorang pendeta Yahudi yang mendapat hidayah Allah SWT dan pengakuan sama daripada Tamim Al-Darriy, bekas pendeta Kristian.

Sebenarnya orang Yahudi dan Nasrani mengenali Rasulullah SAW dan kebenaran dibawa Baginda seperti mana tertulis dalam kitab Taurat dan Injil. Mereka sengaja menyembunyikan kebenaran ayat yang menceritakan mengenai kemunculan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang menggembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah Ali-Imran, ayat 21)

Perbuatan melampau

Abu Al-Abbas bin Al-Mubarrad berkata, ayat ini mengisahkan mengenai sekumpulan Bani Israel yang membunuh nabi mereka yang menyeru supaya beriman kepada Allah SWT. Begitu juga apabila datang sekumpulan orang beriman yang membela kebenaran, mereka turut dibunuh.

Ilmu yang diketahui perlu disebarkan kepada masyarakat umum apatah lagi ilmu berkaitan kebenaran, tidak boleh disembunyikan. Sikap Yahudi dan Nasrani menyembunyikan kebenaran berita kemunculan Nabi Muhammad SAW dan perkara lain yang mereka tahu kebenarannya adalah perbuatan melampaui batas.

Sebenarnya golongan Yahudi dan Nasrani mengenali Nabi Muhammad SAW sebelum kehadiran baginda lagi. Allah SWT telah mengkhabarkan berita kemunculan Nabi Muhammad SAW menerusi wahyu yang disampaikan kepada Nabi Musa dan Nabi Isa.

Nafikan kebenaran

Golongan itu sengaja menyembunyikan kebenaran dan akan menafikan kemunculan Nabi Muhammad SAW. Jika ditanya, mereka mengakui nabi disebutkan dalam kitab mereka, tetapi menyembunyikan hakikat kebenarannya malah orang Nasrani mengatakan nabi dijanjikan adalah Isa al-Masih bukan Nabi Muhammad SAW.

Mereka turut membunuh golongan yang membimbing manusia ke arah kebaikan dan berlaku adil seperti diajarkan nabi. Orang yang berusaha melaksanakan petunjuk nabi berada di bawah pengaruh nabi dan mereka turut dibenci golongan Yahudi serta Nasrani.

Kedua-dua golongan itu juga melancarkan serangan terhadap Nabi Muhammad SAW dan keinginan membunuh Baginda turut dirasakan kaum musyrik Arab. Perbincangan membunuh Baginda dilakukan golongan Yahudi yang hidup ketika ayat ini diturunkan.

Berpaling kepada kebenaran dalam hakikat kehidupan hari ini mungkin berbeza dengan keadaan berlaku pada zaman nabi tetapi memang ada dalam kalangan umat Islam yang sudah mengetahui kebenaran dan tetap ingin menyembunyikannya.

Mereka sedar terhadap tuntutan agama dan hukum ditetapkan syarak namun disebabkan enggan melaksanakan tanggungjawab sebagai umat Islam atas sebab tertentu, mereka cuba menafikan kebenaran yang diketahui.

Posted in Artikel Ramadhan | Leave a Comment »

Pendeta Yahudi tunggu kemunculan Nabi

Posted by epondok di November 28, 2019

Oleh Faiz Othman

 

NABI Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang ingin melihat seorang lelaki ahli syurga, maka lihatlah Abdullah ibn Salam.” (Riwayat Muslim)

Saidina Abdullah ibn Salam terkenal dengan sifatnya yang baik, bertakwa, jujur dan istiqamah dalam kebenaran. Sebelum memeluk Islam, sebagai pendeta beliau menyampaikan nasihat, beribadah, menguruskan ladang dan ternakan, merenung serta mengkaji isi kandungan kitab Taurat.

Setiap kali membaca kitab Taurat, beliau akan termenung panjang tatkala membaca berita akan muncul nabi akhir zaman di Makkah bagi menyempurnakan risalah kenabian Nabi terdahulu. Beliau meneliti sifat nabi itu yang disebut di dalam Taurat.

Dicatatnya tanda kenabian itu satu persatu. Kebimbangan beliau bertukar gembira tatkala membaca Nabi itu akan berhijrah ke Yathrib, tinggal di sana sebagai nabi yang memimpin ummah. Beliau berharap dipanjangkan usia supaya dapat bertemu dengan nabi.

Husin berkata, “Ketika kamu mendengar cerita Nabi itu, aku sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mendekatinya. Aku mula mengkaji nama dan keturunan, sifat Baginda serta apa yang dibawa olehnya. Aku mengambil tahu kedudukan dalam kaumnya, hingga tidak satu pun berita Baginda yang tidak aku ketahui. Aku kemudian membandingkan dengan maklumat yang aku dapat di dalam Taurat. Apakah benar yang dinyatakan menyamai dengan diri Baginda. Aku sembunyikan hal itu daripada pengetahuan kaum Yahudi.”

Menanti kemunculan nabi

Tiba berita mengenai penghijrahan Nabi SAW ke Yathrib, ketika itu Baginda singgah di Quba’ selama empat hari. Ramai masyarakat Madinah berkumpul dan menyambut Baginda SAW.

Husin berkata, “Aku ketika itu berada di atas pohon kurma sedang memetik buah-buah kurma dan ibu saudaraku Khalidah binti al-Haris duduk di bawah pohon berkenan. Mendengar berita kemunculan Nabi SAW, aku segera mengucapkan Allahu Akbar.”

Ibu saudaraku bertanya: “Apa yang engkau sebutkan itu? Demi Allah, andai kata perkataan yang engkau dengar daripada Musa bin Imran, pasti engkau tidak akan lakukan sedemikian.

Husin kemudian menjawab: “Demi Allah, ibu saudaraku, sesungguhnya dia adalah saudara kepada Musa bin Imran dan dia adalah orang yang membawa agama yang sama seperti Musa bin Imran. Dia diutuskan oleh Allah SWT sebagaimana Allah utuskan Musa bin Imran.

Maka, ibu saudaranya menyebut: “Jika begitu, apa lagi yang engkau tunggu. Pergi dan lihat sendiri apakah benar dia adalah nabi yang dinyatakan di dalam Taurat dan Injil.”

Husin turun lalu menuju ke Quba’. Beliau masuk dan mencelah-celah di lautan manusia yang hadir menyambut Nabi SAW. Perkara pertama yang beliau dengar daripada lidah Baginda ialah, “Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, sediakanlah makanan dan solat pada malam hari dalam keadaan orang ramai tidur. Kalian akan masuk syurga dengan selamat.”

Mendengarkan kata-kata itu, menjadikan beliau bertambah semangat untuk mendekati Baginda SAW. Apabila beliau menghampiri Nabi SAW, beliau melafazkan kalimah syahadah. Dalam lautan manusia, Baginda SAW berpaling ke arah Husin saat mendengarkan kalimah itu.

Ajak pendeta Yahudi beriman

Baginda bertanyakan namanya lalu beliau mengatakan Husin bin Salam. Lantas Baginda SAW menjawab: “Tidak, bahkan awak Abdullah ibn Salam. Abdullah menjawab: Baik Rasulullah, mulai hari ini, namaku Abdullah ibn Salam. Demi Tuhan yang mengutuskan engkau dengan kebenaran, aku tidak akan suka namaku dipanggil selain daripada nama ini.”

Hari berlalu dan beliau bertemu dengan Rasulullah SAW supaya Baginda dapat berdakwah kepada pembesar Yahudi dan bertanya mengenai kedudukan Abdullah kepada pembesar agama Yahudi.

Saat Rasulullah SAW berdakwah kepada pembesar Yahudi, Abdullah bersembunyi di sebalik kamar di belakang Baginda. Pembesar Yahudi berhujah mengenai kebenaran Baginda SAW dalam menyampaikan risalah Allah SWT dan Baginda tidak mampu berdebat lagi dengan mereka.

Baginda SAW kemudian bertanya: “Apa pandangan kalian mengenai Husin bin Salam? Mereka bersungguh-sungguh memuji Husin bin Salam dan mengatakan beliau penghulu mereka serta mengatakan seorang pendeta terhormat dalam kalangan mereka.

Kata Baginda: “Apa pandangan kalian kalau Husin memeluk Islam? Mereka menolak kemungkinan itu.

Maka saat itu, keluar Abdullah daripada tempat persembunyiannya dan berkata: Wahai seluruh pembesar Yahudi, berimanlah dengan Allah, terimalah apa yang didatangkan kepada kalian oleh Muhammad SAW. Benar, Muhammad adalah Nabi kalian semua.

Demi Allah, kalian mengetahuinya. Benar Muhammad adalah utusan Allah SWT dan kalian dapati namanya termaktub di dalam kitab kalian serta sifat kenabiannya tidak lagi asing kepada kalian.

Sesungguhnya aku, Abdullah bin Salam bersaksi bahawa Baginda SAW adalah utusan Allah. Aku juga menyeru kalian beriman dengannya.”

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Abbad gadai nyawa demi al-Quran

Posted by epondok di November 27, 2019

Oleh Mohd Faiz Othman

 

Abbad bin Bisyr al-Asyhali yang terkenal sebagai pahlawan Islam adalah seorang yang kuat dan beramanah menjaga urusan, serta tadbir urus harta orang Muslim. Beliau sangat dekat dengan al-Quran sehinggakan setiap waktu yang ada untuk membaca al-Quran dan berjuang ke jalan Allah SWT. Menerusi perkongsian Ustaz Mohd Hazri Hasyim al-Bindany di IKIMfm menceritakan mengenai keperibadian Abbad bin Bisyr al-Asyhali.

Daripada Umar al-Khattab, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab al-Quran.” (Riwayat Muslim)

Menerusi perkongsian dalam segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm, Ustaz Mohd Hazri Hasyim al-Bindany berkongsi mengenai seorang sahabat yang hidupnya banyak diisi dengan membaca al-Quran.

Tokoh terkemuka dalam kalangan orang Ansar itu ialah Saidina Abbad bin Bisyr al-Asyhali yang juga terkenal sebagai pahlawan Islam, seorang yang kuat dan beramanah menjaga urusan serta tadbir urus harta Muslim.

Saidatina ‘Aisyah pernah berkata, tiga orang daripada orang Ansar yang tiada seorang pun dapat menandingi ketokohan Saad bin Muaz, Usaid bin al-Hudair dan Saidina Abbad bin Bisyr.

Abbad masih muda ketika Islam sampai ke Madinah melalui pendakwah pertama diutuskan Rasulullah SAW, Saidina Mus’ab bin Umair. Jiwa mudanya meronta-ronta ingin mengetahui mengenai agama dibawa Rasulullah.

Pada satu hari, beliau berkumpul pada satu majlis Saidina Mus’ab dan bersedia untuk mendengar dan mengambil tahu apa yang akan dibicarakan. Mendengar bacaan ayat al-Quran oleh Mus’ab, ia terus meresap dan menyentuh hati Abbad, lantas bertautlah kasih sayang keimanan antara Abbad dan Mus’ab.

Mereka menjadi rapat kerana nikmat iman dan Islam yang dikecapi oleh Abbad. Beliau bukan sekadar tertarik dengan al-Quran, bahkan dikatakan begitu asyik dengan al-Quran.

Sentiasa bersama al-Quran

Sehinggakan hatinya, siang mahupun malam berpegang erat dengan al-Quran. Sahabat akan mendapati dan menemui beliau dalam dua keadaan, sama ada membaca al-Quran mahupun berperang di jalan Allah SWT.

Beliau dikenali sebagai imam kerana sering dilantik mengimamkan solat. Pada satu malam, saat Rasulullah SAW sedang bertahajud, Baginda terdengar Abbad membaca al-Quran.

Rasulullah SAW mendapatkan kepastian daripada Saidatina ‘Aiysah, maka ‘Aisyah menjawab: “Benar ya Rasulullah. Lantas Rasulullah SAW mendoakan Abbad dengan doa: Ya Allah, ampunkanlah dosanya.”

Beruntungnya Abbad yang didoakan oleh Rasulullah SAW. Beliau juga menyertai hampir semua peperangan umat Islam, sangat setia dan kuat mujahadahnya ketika berperang.

Suatu yang indah dalam hidup Abbad, walau di mana sahaja beliau berada, al-Quran tidak pernah lekang daripada kehidupannya. Setiap selang waktu yang ada, pasti akan dilengkapkan dengan membaca al-Quran.

Pernah berlaku, saat Rasulullah SAW pulang dari peperangan Zat al-Riqaaq, Baginda singgah pada satu lembah untuk berehat. Baginda bertanya kepada sahabat, siapakah yang akan berjaga demi mengawal keselamatan.

Lantas Abbad dan saudaranya Ammar bangun menyatakan kesanggupan untuk berjaga. Ammar dan Abbad adalah dua orang yang dipersaudarakan oleh Rasulullah SAW selepas peristiwa hijrah Baginda.

Ammar memilih untuk tidur dahulu, maka Abbad mengambil tugas untuk berkawal. Kesempatan malam yang sunyi dan tenang digunakan Abbad untuk beribadah dan ketika itu seorang daripada angkatan musuh mendekati pasukan Rasulullah SAW.

Musuh itu melepaskan anak panah ke arah Abbad yang sedang solat tetapi dicabut Abbad yang sedang membaca surah al-Kahfi. Begitulah yang berlaku sehingga anak panah ketiga dan darah terus mengalir, Abbad mengejutkan Ammar.

Ketika itu, musuh tadi bergegas lari meninggalkan mereka. Apabila Ammar bertanya kenapa tidak dikejutkan beliau ketika anak panah pertama mengenainya, Abbad menjawab: “Aku sanggup sampai nyawaku tercabut daripada tubuhku daripada aku memberhentikan bacaan al-Quran.”

Jika bukan kerana bimbang keselamatan Rasulullah SAW dan angkatan yang lain, pasti Abbad tidak akan memberhentikan solat dan bacaan al-Quran. Begitulah jiwa mereka yang Allah SWT muliakan dengan al-Quran.

Dapat kita hayati dan muhasabah diri adakah kita menjadikan al-Quran sahabat yang akrab. Semoga kita dapat menjadikan sahabat Rasulullah SAW sebagai contoh dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Bendung jualan arak untuk lindungi masyarakat

Posted by epondok di November 26, 2019

Mohamad Muhaimin bin Mohamad Zaki

 

CADANGAN baharu Kabinet Taiwan meluluskan satu draf pindaan terhadap Kanun Keseksaan yang akan menjadikan kesalahan menyebabkan kematian ketika memandu dalam keadaan mabuk sebagai kesalahan bunuh menunjukkan betapa seriusnya bahaya arak kepada manusia.

Walaupun cadangan itu memerlukan kelulusan di peringkat parlimen, namun ia menjadi usul yang menggemparkan susulan terdapat banyak kes kematian berprofil tinggi yang mencetuskan kemarahan meluas masyarakat setempat.

Begitu juga dengan di negara kita, kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk semakin membimbangkan. Mengapakah perkara sedemikian terjadi?

Adakah penguatkuasaan undang-undang yang lemah atau terlalu mudah minuman keras didapati di pasaran sehingga jumlah kematian saban tahun meningkat angkara minuman yang diharamkan agama Islam itu?

Menurut kacamata Islam, arak adalah perkara yang memabukkan.

Semua benda yang memabukkan walau apa pun namanya, hukum meminumnya adalah sama dengan hukum arak iaitu haram yang membawa mudarat kepada kehidupan manusia.

Menurut ijmak  ulama, pengharaman arak kerana ia memabukkan.

Oleh itu, pengharaman itu mestilah sama terhadap semua minuman yang memabukkan tanpa perbezaan walau apa jua asalnya.

Ini berdasarkan satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud, semua yang memabukkan adalah haram.

Selain itu, terdapat satu hadis riwayat Abu Dawud dan Ibn Majah daripada Abu Malik bin al-Asy’ari RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Demi sesungguhnya manusia dalam kalangan umatku akan minum arak yang mereka menamakannya dengan nama yang lain.”

Tidak hairanlah kita melihat lambakan arak di pasaran dijual secara terbuka terutama di premis 24 jam.

Ia  boleh membawa kesan serius kepada masyarakat jika tidak dibendung.

Ketika seseorang berada dalam keadaan mabuk, pemikiran akan menjadi terlalu kacau sehingga menghalang fungsi akal.

Al-Quran menukilkan dalam Surah al-Maidah, ayat ke-91, yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”

Disebutkan juga dalam satu hadis balasan bagi mereka yang meminum arak ketika hidup di dunia.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menjanjikan azab kepada peminum arak dengan minuman lumpur kebinasaan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah lumpur kebinasaan itu?” Baginda menjawab: “Peluh penghuni neraka atau perahan ahli neraka.” (Hadis riwayat Muslim)

Arak adalah kunci segala kejahatan. Bahana arak boleh menyebabkan keluarga bahagia menjadi porak-peranda  dan pekerja yang berdedikasi menjadi seorang yang bermasalah.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Akhlak Nabi teladan umat Islam, dikagumi Barat

Posted by epondok di November 25, 2019

Oleh Latifah Arifin

 

PADA ambang akhir zaman ini menyaksikan serangan terhadap Islam jelas lebih berani dan ekstrim, ditambah keruntuhan akhlak dan keperibadian umat Islam yang berjaya dimanipulasi musuh agama ini.

Lebih menyedihkan, Nabi Muhammad SAW yang sewajarnya dijadikan suri teladan setiap Muslim difitnah dan ditohmah dengan pelbagai dakwaan yang turut berpunca kegagalan kita mencontohi kemuliaan akhlak Baginda.

Sabda Rasulullah SAW: Aku tidak diutuskan (oleh Allah) kecuali hanyalah untuk menyempurnakan akhlak mulia. (HR Ahmad)

Sejauh manakah kita sedar pentingnya untuk tidak sekadar mengagumi keperibadian dan akhlak mulia Rasulullah SAW dengan lisan semata-mata, sebaliknya menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.

Penulis dan pendakwah, Hadi Fayyadh, berkata kehidupan tidak dipandu akhlak murni menyebabkan masyarakat akan sentiasa dibelenggu perasaan takut, bimbang serta tidak aman.

“Jenayah akan meningkat dan nilai kemanusiaan tidak lagi dipandang bahkan nyawa seolah-olah tiada lagi harga dan nilainya.

“Pemimpin pula tidak lagi dipercayai kerana skandal dan salah laku hingga rakyat tidak lagi boleh meletakkan kredibiliti dan harapan sebagai pelindung dan penyelamat,” katanya.

Justeru, Hadi Fayyadh berkata, berbekalkan akhlak mulia seperti ditunjukkan Rasulullah SAW, segala masalah hidup dapat diselesaikan dengan baik.

Beliau berkata, alasan segelintir masyarakat yang menyifatkan mustahil untuk mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW jelas tidak boleh diterima.

Ini kerana sunnah dan kehidupan Rasulullah SAW bersesuaian pada setiap masa hatta dalam gaya hidup moden kerana asasnya ia mengajak kita mengamalkan kesederhanaan dalam apa sahaja situasi.

“Ia tidak sesukar yang disangka tetapi mungkin kita tidak memiliki ilmu dan pendedahan sebenar terhadap Rasulullah SAW hingga ada yang keliru dan tidak faham konsep sebenar akhlak Baginda.

“Cuba kita belajar dan fahami dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan, maka sifat serta akhlak Baginda akan mudah diikuti dan mampu diteladani,” katanya.

Antara sifat yang perlu diteladani, kata Hadi Fayyadh, ialah pemurah hingga setiap hari, Baginda akan memastikan harta dimilikinya didermakan kepada fakir miskin.

Rasulullah SAW bersabda: Orang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia dan jauh dari api neraka.

Orang kedekut itu jauh dari Allah, jauh dari manusia dan dekat dengan neraka. Sesungguhnya orang bodoh tetapi pemurah itu lebih disayangi Allah daripada abid yang bakhil. (HR Tirmizi)

Mengulas tutur bicara Rasulullah SAW, Hadi Fayyadh menyarankan ada banyak yang mampu kita lakukan kerana kesungguhan untuk menyempurnakannya berkait dengan keikhlasan hati masing-masing.

“Ketika berbicara, Baginda menggunakan ayat ringkas, padat, lengkap dan mudah difahami pendengar.

“Baginda tidak akan bercakap melainkan perkara penting dan terdapat keperluan serta tidak akan meninggikan suara melainkan untuk menyatakan hal benar dan apabila berkait hak Allah SWT,” katanya.

Hadi Fayyadh berkata, akhlak Rasulullah SAW amat luar biasa kerana ia antara perkara paling banyak dibicarakan hatta dalam kalangan musuh Islam.

“Akhlak Rasulullah SAW ialah al-Quran, terpancar sepanjang zaman walaupun sudah lama wafat tetapi masih ramai tertarik dengan Islam kerana terpesona dengan akhlak Baginda.

“Rasulullah SAW sangat mengasihi anak yatim, berlemah-lembut dengan golongan tua, sangat menyintai jiran tetangga dan golongan fakir hingga sanggup berlapar demi berkongsi sebiji kurma walaupun hanya itu yang Baginda miliki,” katanya.

Beliau menambah, pengarang Barat seperti Michael H Hart menobatkan Rasulullah SAW sebagai figura di tempat pertama daripada 100 tokoh manusia paling berpengaruh di dunia.

“George Bernard Shaw menyatakan Rasulullah SAW memiliki peribadi sangat agung dan penyelamat kemanusiaan.

“Beliau sangat meyakini andai Rasulullah SAW masih hidup dan menjadi pemimpin di dunia moden ini, maka Baginda mampu mengatasi segala permasalahan serta membawa kedamaian serta kebahagiaan yang diperlukan dunia,” katanya.

Menurut Hadi Fayyadh, terlalu banyak sirah Rasulullah SAW yang mempamerkan keindahan akhlak Baginda yang tiada tolok-bandingnya.

“Seorang Arab Badwi pernah menarik kain rida’ yang dipakai Nabi SAW buatan Najran yang kainnya kesat dengan kasar hingga berbekas leher Baginda.

“Namun, Rasulullah SAW tidak marah, sebaliknya menghadiahkan jubah itu kepadanya,” katanya.

Ada juga seorang wanita tua selalu menyakiti Rasulullah SAW dengan meletakkan halangan seperti duri dan najis di jalan yang selalu dilalui Baginda tetapi tidak pernah bertindak balas.

Malah, ketika wanita itu sakit, Rasulullah SAW menziarahi dan menunjukkan kasih sayang terhadapnya.

“Wanita itu terharu dengan kebaikan Rasulullah SAW, lantas memeluk Islam di tangan Baginda,” katanya.

Beliau berkata, jika dihayati setiap kebaikan daripada akhlak Rasulullah SAW, ia wajar menjadi acuan kepada umat hari ini untuk menunjukkan pendekatan dakwah terbaik.

“Kita banyak bercakap daripada bertindak dan gemar menghukum daripada mendidik sedangkan dakwah itu kasih sayang.

“Rasulullah SAW mengajarkan ada ketika perlu berlemah-lembut dan pada waktu tertentu mesti bertegas yang bergantung kepada keadaan,” katanya.

Hadi Fayyadh berkata, akhlak ialah nadi utama dalam pembangunan manusia dan penting kerana mencorak tingkah laku manusia, mencerminkan keimanan dan menentukan kejayaan hakiki sesebuah tamadun.

“Pertimbangan dalam soal pembangunan material tidak mencukupi kerana sudah terbukti banyak tamadun runtuh kerana kerosakan daripada sudut akhlak,” katanya

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Daurah Hadis Fitnah Akhir Zaman oleh Maulana Hussien Abdul Kadir di Masjid Kg Laut, Nilam Puri

Posted by epondok di November 24, 2019

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Teladani keperibadian, pengorbanan isteri Nabi

Posted by epondok di November 24, 2019

Oleh Hasliza Hassan

 

LELAKI dan wanita mempunyai kedudukan sama untuk mendapatkan pahala apabila beriman, taat dan rajin melakukan amal soleh.

Setiap amal perbuatan Rasulullah SAW menjadi sunnah kepada umat Islam tanpa mengira lelaki atau wanita dan kanak-kanak, belia atau orang tua.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, berkata sunnah bermaksud setiap perbuatan, perkataan dan perakuan serta apa-apa sahaja disabitkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Oleh itu, sesiapa yang mengikut sunnah diberi pahala, selain menterjemahkan bukti cinta kepada Baginda.

“Wanita dan lelaki daripada sudut kehambaan tidak ada bezanya. Oleh itu, wanita yang mencontohi amal perbuatan Nabi SAW, bermakna mereka mengamalkan sunnah Baginda.

“Pada masa sama, ada nasihat dan pesanan Rasulullah SAW kepada wanita yang disampaikan menerusi akhlak Baginda dengan golongan berkenaan,” katanya.

Beliau memetik hadis diriwayatkan Imam Tirmizi mengenai wanita Ansar, Ummu Imarah al-Anshariyah RA yang menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Saya melihat semua diperuntukkan bagi lelaki. Saya tidak menemukan wanita disebut sedikit pun (dalam al-Quran).”

Maka, firman Allah SWT turun: “Sesungguhnya lelaki dan wanita Muslim; lelaki dan wanita mukmin; lelaki dan wanita tetap dalam ketaatan; lelaki dan wanita benar; lelaki dan wanita sabar; lelaki dan wanita khusyuk; lelaki dan wanita bersedekah; lelaki dan wanita berpuasa; lelaki dan wanita memelihara kehormatan; lelaki dan wanita banyak menyebut (nama) Allah; Allah menyediakan keampunan dan pahala yang besar kepada mereka.” (Al-Ahzab: 35

Nik Salida berkata, sebenarnya untuk menjalani kehidupan di atas landasan agama dan beriman dengan sunnah Rasulullah SAW menjadi perkara mudah kepada wanita, iaitu dengan mengambil iktibar keperibadian isteri Baginda.

Saidatina Khadijah RA yang digelar sebagai Ummul Mukminin, Thahirah, penghulu wanita dan penghulu syurga bukan disebabkan berasal golongan bangsawan, sebaliknya sifat kesempurnaan dalam melakukan sesuatu perkara.

“Khadijah bukan melakukan sesuatu dengan baik semata-mata, bahkan komited dan sempurna. Beliau mendermakan semua harta tanpa risau ia akan habis, malah ketika hampir menghembuskan nafas terakhir, masih memikirkan apa boleh diberi untuk Islam.

“Khadijah berkata, andai tulang rusuknya boleh dibuat pedang untuk berperang, maka ambillah. Oleh itu, wanita yang ingin mengikut sunnah, belajarlah daripada isteri Rasulullah SAW,” katanya.

Begitu juga Saidatina Aishah RA ialah isteri Rasulullah SAW paling muda dan cantik juga terdedah kepada fitnah tetapi sentiasa sabar dan kuat menghadapi dugaan serta berserah kepada Allah SWT.

Oleh itu katanya, keperibadian isteri Rasulullah SAW sudah tersimpul banyak panduan dan pengajaran yang boleh diambil iktibar oleh wanita hari ini.

Beliau berkata, wanita bertuah kerana banyak sunnah Rasulullah SAW yang wajar dicontohi lelaki yang memberi keuntungan kepada wanita dan kanak-kanak.

Ini kerana Rasulullah SAW bersabda: Orang mukmin paling sempurna imannya adalah orang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik kamu adalah yang paling baik kepada isterinya. (HR Tirmidzi)

“Sahabat pernah bertanya kepada Aishah mengenai akhlak Rasulullah SAW dengan keluarganya dan Aishah menceritakan, ketika berada di rumah Baginda selalu membantu urusan rumahtangga.

“Rasulullah SAW sudah menunjukkan contoh serta memberi tips bagaimana bersikap dan menjalin hubungan dengan isteri atau ahli keluarga yang perlu diteladani lelaki dalam memenuhi tuntutan mengikut sunnah Baginda,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Nabi rai, manfaat fitrah kanak-kanak bermain

Posted by epondok di November 23, 2019

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

 

KANAK-KANAK dan permainan tidak dapat dipisahkan, malah ia antara elemen utama dalam mempengaruhi perkembangan mental dan fizikal mereka.

Namun, jenis permainan perlu berkualiti dan menepati jantina seperti budak perempuan bermain anak patung, manakala budak lelaki mainan lasak umpamanya bola sepak.

Hal itu perlu diperhatikan supaya tidak berlaku kecelaruan gender dan identiti ketika kanak-kanak melalui proses tumbesaran.

Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fariza Md Sham, berkata Rasulullah SAW mengizinkan Saidatina Aishah RA, bermain dengan anak patung bersama rakan-rakannya.

Beliau berkata, ini berikutan Rasulullah SAW mengetahui fitrah wanita suka kepada anak patung.

“Patung permainan bukan sembahan, sebaliknya menjadi bahan permainan kanak-kanak perempuan sahaja.

Aishah meriwayatkan dalam hadis: Aku bermain anak patung di sisi Rasululah SAW bersama-sama beberapa teman. Apabila Rasulullah SAW masuk ke ruang itu, kami berselindung daripadanya, lalu mereka berkumpul mendekatiku dan mereka pun bermain-main denganku. (HR Bukhari)

Fariza berkata, Rasulullah SAW sendiri ketika melalui zaman kanak-kanak, turut bermain-main bersama rakan sebaya.

“Baginda membesar seperti anak kecil dan remaja lain, tetapi tetap ada perbezaan, iaitu Baginda tidak melakukan perbuatan bertentangan dengan moral manusia seperti berjudi dan berfoya-foya,” katanya.

Fariza menjelaskan keperluan bermain dalam kalangan kanak-kanak perlu diambil kira kerana ia fitrah kejadian manusia.

Ketika proses pembelajaran dan perkembangan psikologi baik, kanak-kanak akan berasa gembira yang menjadi kepuasan ketika bermain.

“Ia membantu dalam pembangunan kreativiti kanak-kanak hingga Islam menggalakkan kanak-kanak diberikan kebebasan bermain kerana keperluan asas kanak-kanak perlu diberikan ibu bapa dan guru,” katanya.

Bagaimanapun, Fariza mengingatkan ibu bapa atau guru supaya memberikan tunjuk ajar permainan yang baik atau tidak bertentangan syariat Islam.

Antara larangan ialah permainan berbentuk syirik kepada Allah SWT, mengandungi unsur penipuan, judi atau mendorong perlakuan akhlak buruk.

Fariza menjelaskan permainan dibenarkan dalam Islam adalah yang memupuk kesan positif terhadap pembentukan psikologi, akhlak dan sahsiah.

“Rasulullah SAW menegaskan pemberian amat berharga daripada bapa kepada anaknya ialah pendidikan budi bahasa dan akhlak mulia.

Rasulullah bersabda: Tidak ada pemberian lebih baik daripada seorang bapa kepada anaknya melainkan pendidikan adab baik. (HR Tirmizi)

Justeru dalam memilih permainan untuk anak, Fariza menasihatkan supaya kita memilih seperti disarankan Islam, iaitu sesuatu yang boleh membentuk akhlak dan budi kanak-kanak.

“Pendidikan akhlak dan adab baik boleh diperoleh ketika bermain dengan rakan sebaya.

“Tertib permainan berupaya melatih kanak-kanak saling menghormati, bertolak-ansur, bekerjasama dan berdaya saing,” katanya.

Fariza mencadangkan antara permainan boleh dijadikan pilihan anak ialah berbentuk sukaneka dan dalaman.

Antara jenis permainan digalakkan dalam Islam adalah yang membantu membentuk fizikal dan jasmani sihat seperti bola sepak, badminton, berlari, berkuda, memanah serta berenang.

Begitu juga permainan yang boleh membentuk perkembangan mental, kecerdasan dan kreativiti kanak-kanak seperti catur, merekacipta melalui permainan seperti lego, robotik serta melukis.

Ia turut merangkumi permainan yang boleh memberi pengetahuan tradisi, adat dan budaya seperti seperti congkak, guli dan gasing.

“Permainan seperti ini dapat membentuk pengetahuan berhubung adat budaya dan membentuk pergaulan antara rakan sebaya dan ahli keluarga,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

4 Amalan sunnah umpama tunai hak ibadah

Posted by epondok di November 22, 2019

Solat, puasa, tilawah dan sedekah menjadi empat ibadah yang sangat ditekankan dalam Islam seperti disuruh Rasulullah SAW.

Sheikh Nawawi al-Bantani dalam kitabnya, Nashaihul ‘Ibad, iaitu kumpulan nasihat pilihan kepada hamba Allah SWT menyebut empat amalan sunah yang perlu diamalkan.

Beliau menulis sesiapa yang melaksanakan solat sunat rawatib 12 rakaat setiap hari, orang beriman itu sudah menunaikan hak solat.

“Sesiapa berpuasa tiga hari setiap bulan, maka dia sudah menunaikan hak puasa, manakala orang yang membaca 100 ayat setiap hari, dia menunaikan hak membaca.

“Sesiapa yang bersedekah satu dirham (2.975 gram perak atau RM6.75) setiap Jumaat, maka dia sudah menunaikan hak sedekah,” tulisnya.

Sheikh Nawawi berkata, 12 rakaat sunat rawatib itu ialah dua rakaat sebelum solat Subuh yang juga dikenali sebagai solat sunat fajar; dua rakaat sebelum dan selepas solat Zuhur; empat rakaat selepas solat Asar dan dua rakaat selepas solat Maghrib.

Beliau turut menyertakan perincian solat sunat rawatib yang berbeza dalam hadis riwayat Imam Tirmizi, iaitu dua rakaat solat sunat fajar; empat rakaat sebelum dan dua rakaat selepas solat Zuhur serta dua rakaat masing-masing selepas solat Maghrib dan Isyak.

Dalam menjelaskan puasa tiga hari setiap bulan, Sheikh Nawawi menegaskan maksudnya ialah puasa hari putih yang merujuk ketika bulan mulai terang hingga menjadi purnama kecuali pada Zulhijjah.

Beliau turut memetik kitab at-Tuhfah yang menyatakan hikmah disunatkan puasa tiga hari setiap pertengahan bulan dalam kalendar Hijrah disebabkan pahala puasa setiap hari itu digandakan 10, sekali gus menjadikannya seolah-olah berpuasa sebulan penuh.

Dalam konteks tilawah al-Quran pula, Sheikh Nawawi menyarankan umat Islam supaya membaca tujuh surah Munjiyyat setiap hari, iaitu as-Sajadah, Yasin, Fushilat, ad-Dukhan, al-Waqi’ah, al-Hasyr dan al-Mulk.

Selain itu, beliau turut mencadangkan kita membaca ayat permulaan surah al-Hadid, ayat terakhir al-Hasyr, al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas setiap pagi serta petang.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »